Malaysia Dan ASEAN Bersedia Untuk AEC

2
Malaysia Dan ASEAN Bersedia Untuk AEC KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) akan berkuat kuasa pada akhir 2015, dan ramai yang mempersoalkan persiapan Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini. Dari perspektif anggota bukan ASEAN, Malaysia bersama-sama negara anggota ASEAN bersedia untuk mengalu-alukan AEC dalam mencapai matlamat integrasi ekonomi serantau. Antara matlamat AEC ialah menggalakkan pasaran tunggal dan asas pengeluaran, membangunkan wilayah ekonomi yang kompetitif dan rantau bersepadu dalam ekonomi global. Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EUMCCI) Fermin Fautsch berkata prospek bagi Malaysia dan ASEAN adalah positif, sama ada dalam kalangan 10 negara anggota atau tidak lama lagi AEC dengan negara-negara lain. Menurut beliau, ASEAN dijangka menjadi ekonomi keenam terbesar di dunia menjelang 2020 dan untuk mencapai status tersebut, setiap anggotanya perlu mengukuhkan intra- perdagangan dalam komuniti sebelum berdagang sebagai sebuah komuniti dengan blok perdagangan lain. Ini tidak mustahil berikutan kebanyakan tarif dalam ASEAN telah dimansuhkan, menjadikan proses perdagangan lebih mudah, katanya. "Lebih 98 peratus daripada barangan, pada dasarnya tiada tarif dan ini akan memberi manfaat kepada negara-negara ASEAN dan tidak lama lagi akan memberi faedah kepada negara lain yang mempunyai perdagangan dengan komuniti ASEAN. "Pada masa ini, intra-perdagangan di ASEAN hanya kira-kira 25 peratus berikutan kebanyakannya merupakan perdagangan dengan negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Jepun dan China," katanya kepada Bernama. Beliau berkata senario ini adalah normal berikutan mana-mana negara biasanya mahu membina hubungan perdagangan dengan negara-negara besar dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi. Kesatuan Eropah misalnya, beliau berkata negara dalam kumpulan itu juga turut fokus kepada membina hubungan dengan ekonomi yang semakin berkembang berbanding dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah. Bagaimanapun pada hari ini, selepas lebih 40 tahun dan dengan 28 buah negara, intra-perdagangan dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah menyumbang 60 peratus. Setiap anggota perlu menyokong antara satu sama lain dan bersama, mereka akan membentuk blok perdagangan yang lebih besar, yang merupakan jenis perjanjian antara kerajaan, jelas beliau. Fautsch juga berkata ASEAN akan berkembang dengan pesat. Bagaimanapun, katanya, "integrasi merupakan suatu perjalanan dan ia tidak akan berlaku pada satu malam".

description

Malaysia Dan ASEAN Bersedia Untuk AEC

Transcript of Malaysia Dan ASEAN Bersedia Untuk AEC

Malaysia Dan ASEAN Bersedia Untuk AEC

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) akan berkuat kuasa pada akhir 2015, dan ramai yang mempersoalkan persiapan Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini.

Dari perspektif anggota bukan ASEAN, Malaysia bersama-sama negara anggota ASEAN bersedia untuk mengalu-alukan AEC dalam mencapai matlamat integrasi ekonomi serantau.

Antara matlamat AEC ialah menggalakkan pasaran tunggal dan asas pengeluaran, membangunkan wilayah ekonomi yang kompetitif dan rantau bersepadu dalam ekonomi global.

Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EUMCCI) Fermin Fautsch berkata prospek bagi Malaysia dan ASEAN adalah positif, sama ada dalam kalangan 10 negara anggota atau tidak lama lagi AEC dengan negara-negara lain.

Menurut beliau, ASEAN dijangka menjadi ekonomi keenam terbesar di dunia menjelang 2020 dan untuk mencapai status tersebut, setiap anggotanya perlu mengukuhkan intra-perdagangan dalam komuniti sebelum berdagang sebagai sebuah komuniti dengan blok perdagangan lain.

Ini tidak mustahil berikutan kebanyakan tarif dalam ASEAN telah dimansuhkan, menjadikan proses perdagangan lebih mudah, katanya.

"Lebih 98 peratus daripada barangan, pada dasarnya tiada tarif dan ini akan memberi manfaat kepada negara-negara ASEAN dan tidak lama lagi akan memberi faedah kepada negara lain yang mempunyai perdagangan dengan komuniti ASEAN.

"Pada masa ini, intra-perdagangan di ASEAN hanya kira-kira 25 peratus berikutan kebanyakannya merupakan perdagangan dengan negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Jepun dan China," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata senario ini adalah normal berikutan mana-mana negara biasanya mahu membina hubungan perdagangan dengan negara-negara besar dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi.

Kesatuan Eropah misalnya, beliau berkata negara dalam kumpulan itu juga turut fokus kepada membina hubungan dengan ekonomi yang semakin berkembang berbanding dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah.

Bagaimanapun pada hari ini, selepas lebih 40 tahun dan dengan 28 buah negara, intra-perdagangan dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah menyumbang 60 peratus.

Setiap anggota perlu menyokong antara satu sama lain dan bersama, mereka akan membentuk blok perdagangan yang lebih besar, yang merupakan jenis perjanjian antara kerajaan, jelas beliau.

Fautsch juga berkata ASEAN akan berkembang dengan pesat.

Bagaimanapun, katanya, "integrasi merupakan suatu perjalanan dan ia tidak akan berlaku pada satu malam".

Terdapat cabaran yang perlu ditangani, terutamanya dalam memastikan semua negara mempunyai infrastruktur yang amat baik, katanya.

"Mempunyai infrastruktur yang baik seperti jalan raya, lapangan terbang, elektrik, bekalan air dan telekomunikasi adalah penting. Ia menyediakan kemudahan kepada syarikat dari negara lain yang menjalankan perniagaan di negara tersebut.

"Berbanding beberapa negara anggotanya yang lain, infrastruktur di Malaysia amat baik dan mungkin lebih banyak pelaburan diperlukan di kawasan kurang penduduk," katanya.

Ditanya mengenai hubungan antara Kesatuan Eropah dan ASEAN sebaik sahaja AEC berkuat kuasa, katanya ia sudah pasti akan menjadi lebih kukuh.

"Dengan KDNK sebanyak US$18 trilion, Kesatuan Eropah masih menjadi pelabur terbesar di dunia dan ia merupakan rakan penting bagi Malaysia dan ASEAN.

"Kami disenaraikan sebagai pelabur asing kedua dalam sektor pembuatan di Malaysia pada tahun lepas, selepas Jepun, dan dengan integrasi ekonomi, ia akan menjadi positif kepada Malaysia dan ASEAN dari segi menarik pelaburan langsung asing," katanya.

Bagi Malaysia, Fautsch berkata, ia bukan sahaja menarik minat syarikat-syarikat besar untuk melabur di sini, tetapi juga syarikat bersaiz sederhana untuk turut bertapak dalam pelbagai sektor di sini.

"Dengan insentif terkini yang diumumkan kerajaan, saya pasti ia akan menarik lebih banyak syarikat untuk datang ke sini manakala syarikat sedia ada akan mengembangkan operasi mereka," katanya.

Dilaporkan bahawa lima koridor ekonomi Malaysia dijangka terus menarik pelabur tempatan dan asing dengan pelbagai aktiviti perniagaan dan peluang pekerjaan, dipacu oleh insentif cukai baharu.

Insentif itu termasuk pengecualian cukai pendapatan 100 peratus sehingga tempoh 15 tahun untuk syarikat yang baru ditubuhkan atau entiti sedia ada yang meluaskan operasi kepada kawasan kurang membangun di seluruh Malaysia.

Menjelang penubuhan AEC, Fautsch berkata dialog perniagaan antara kerajaan dan pemimpin perniagaan dari ASEAN dan Eropah akan diadakan pada 23 Ogos.

Forum tahunan itu akan dihadiri oleh Setiausaha Agung ASEAN Le Luong Minh, Presiden bagi Asia Tenggara dan Australasia Unilever Peter ter Kulve, Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

-- BERNAMA