Menyemai Benih (Bhg 2) Mengaku

7
MENYEMAI BENIH Dalam siri ini, perkataan benih merujuk kepada Firman Tuhan sepertimana dijelaskan Yesus dalam Lukas 8:11. Apabila Yesus membantu murid-murid-Nya memahami perumpamaan tentang penabur benih, dia secara spesifik berkata, Benih itu ialah firman Allah . Setiap kali frasa menyemai (menabur) benih dipakai dalam siri ini, ia merujuk kepada usaha-usaha menyebar Firman Allah dengan pelbagai cara yang kreatif dan alkitabiah. A.1. Menyemai benih dalam diri sendiri – menghafal Firman Tuhan Pertama sekali kita akan melihat bagaimana untuk menyemai benih dalam diri kita dan cara pertama ialah dengan menghafal Firman Allah. Dalam Mazmur 119:11a, si pemazmur berkata, Dalam hatiku aku menyimpan janji-Mu. Menyimpan dalam hati ialah sinonim bagi menghafal. Ramai berfikir menghafal ialah menyimpan maklumat dalam minda mereka tetapi sebenarnya penghafalan yang benar berlaku apabila maklumat itu berjaya disimpan dalam hati anda. Itu sebabnya penjelasan ringkas untuk menghafal dalam bahasa Inggeris ialah to learn by heart’ atau belajar dengan hati . Apabila maklumat itu dipelajari (fahami) dan disimpan dalam hati, penghafalan telah berlaku. Faedah Menghafal Firman Allah 1. Kemungkinan mentaati perintah Allah akan meningkat (Ulangan 31:12-13) Apabila Musa menerangkan semula perintah-perintah Allah kepada satu generasi baru orang Israel yang tidak lama lagi akan memasuki Tanah Perjanjian, dikatakan semua yang hadir mendengar dan belajar perintah Allah dan kemudian melakukannya dengan setia. Apa yang tidak disedari ramai orang hari ini ialah pendengar-pendengar Musa tidak mencatat apa yang dikatakan Musa atau diberi buku yang mengandungi perintah-perintah Tuhan! Sebaliknya bila dikatakan mereka belajar , yang dimaksudkan ialah mereka berusaha memahami dan menghafal perintah-perintah itu. Apakah hasilnya? Setiap perintah yang dihafal (boleh diingat) ditaati (mereka melakukan dengan setia segala perkataan hukum Taurat ini). Apabila anda belajar perintah Allah - berusaha memahami dan menghafal perintah-perintah itu kemungkinan anda juga melakukan dengan setia segala perkataan yang dari Allah juga akan meningkat. Apa yang anda faham dan ingat, anda dapat lakukan. 2. Pertahanan untuk melawan dosa (Mazmur 119:11) Si pemazmur mahu mentaati perintah-perintah Allah dan dia menemukan satu cara yang berkesan menyimpan Firman Allah dalam hatinya (menghafal). Dalam melakukan ini dia juga sedar dan mengaku bahawa dengan adanya perintah Allah dalam hatinya, dia dapat mengelakkan dirinya daripada berdosa (supaya aku jangan berdosa terhadap Engkau). Apabila Firman Allah ada dalam hati anda Roh Kudus boleh mengingatkan anda apa yang diingini atau dilarang Tuhan dengan senang dan cepat setiap kali anda tergerak untuk berdosa, perintah Allah yang sesuai akan timbul naik dalam minda anda dan dalam pendengaran anda, iaitu Firman yang telah anda simpan dalam hati anda.

Transcript of Menyemai Benih (Bhg 2) Mengaku

Page 1: Menyemai Benih (Bhg 2) Mengaku

MENYEMAI BENIH

Dalam siri ini, perkataan ‘benih’ merujuk kepada Firman Tuhan sepertimana dijelaskan Yesus dalam Lukas 8:11. Apabila Yesus membantu murid-murid-Nya memahami perumpamaan tentang penabur benih, dia secara spesifik berkata, “Benih itu ialah firman Allah”. Setiap kali frasa menyemai (menabur) benih dipakai dalam siri ini, ia merujuk kepada usaha-usaha menyebar Firman Allah dengan pelbagai cara yang kreatif dan alkitabiah.

A.1. Menyemai benih dalam diri sendiri – menghafal Firman Tuhan

Pertama sekali kita akan melihat bagaimana untuk menyemai benih dalam diri kita dan cara pertama ialah dengan menghafal Firman Allah.Dalam Mazmur 119:11a, si pemazmur berkata, “Dalam hatiku aku menyimpan janji-Mu.” Menyimpan dalam hati ialah sinonim bagi menghafal. Ramai berfikir menghafal ialah menyimpan maklumat dalam minda mereka tetapi sebenarnya penghafalan yang benar berlaku apabila maklumat itu berjaya disimpan dalam hati anda. Itu sebabnya penjelasan ringkas untuk menghafal dalam bahasa Inggeris ialah ‘to learn by heart’ atau ‘belajar dengan hati’. Apabila maklumat itu dipelajari (fahami) dan disimpan dalam hati, penghafalan telah berlaku.

Faedah Menghafal Firman Allah

1. Kemungkinan mentaati perintah Allah akan meningkat (Ulangan 31:12-13)

Apabila Musa menerangkan semula perintah-perintah Allah kepada satu generasi baru orang Israel yang tidak lama lagi akan memasuki Tanah Perjanjian, dikatakan semua yang hadir mendengar dan belajar perintah Allah dan kemudian melakukannya dengan setia. Apa yang tidak disedari ramai orang hari ini ialah pendengar-pendengar Musa tidak mencatat apa yang dikatakan Musa atau diberi buku yang mengandungi perintah-perintah Tuhan! Sebaliknya bila dikatakan mereka ‘belajar’, yang dimaksudkan ialah mereka berusaha memahami dan menghafal perintah-perintah itu. Apakah hasilnya? Setiap perintah yang dihafal (boleh diingat) ditaati (mereka melakukan dengan setia segala perkataan hukum Taurat ini). Apabila anda belajar perintah Allah - berusaha memahami dan menghafal perintah-perintah itu – kemungkinan anda juga melakukan dengan setia segala perkataan yang dari Allah juga akan meningkat. Apa yang anda faham dan ingat, anda dapat lakukan.

2. Pertahanan untuk melawan dosa (Mazmur 119:11)

Si pemazmur mahu mentaati perintah-perintah Allah dan dia menemukan satu cara yang berkesan – menyimpan Firman Allah dalam hatinya (menghafal). Dalam melakukan ini dia juga sedar dan mengaku bahawa dengan adanya perintah Allah dalam hatinya, dia dapat mengelakkan dirinya daripada berdosa (supaya aku jangan berdosa terhadap Engkau). Apabila Firman Allah ada dalam hati anda Roh Kudus boleh mengingatkan anda apa yang diingini atau dilarang Tuhan dengan senang dan cepat – setiap kali anda tergerak untuk berdosa, perintah Allah yang sesuai akan timbul naik dalam minda anda dan dalam pendengaran anda, iaitu Firman yang telah anda simpan dalam hati anda. Mereka yang menghafal Firman Tuhan sedang membina satu tembok pertahanan yang kukuh untuk melawan dosa.

3. Senjata melawan Iblis (Matius 4:4; Efesus 6:17)

Page 2: Menyemai Benih (Bhg 2) Mengaku

Apabila Yesus digoda oleh Iblis, dia melawan balik dan mengalahkan Iblis dengan mengisytiharkan Firman Allah yang sudah dia hafal, yang disimpan dalam hatinya. Adalah amalan biasa dalam budaya Yahudi supaya setiap anak lelaki menghafal Taurat sebelum menjangkau umur 12 tahun dan sudah semestinya Yesus juga telah menghafal Perjanjian Lama khususnya 5 buku pertama (Taurat). Walaupun tidak ada akses kepada Firman Tuhan yang tertulis, Yesus masih dapat merujuk kepadanya dengan tepat dan mengalahkan Iblis.

Bagaimanakah ini boleh terjadi? Dalam Efesus 6:17 kita diberitahu bahawa sebenarnya Firman Allah berfungsi sebagai pedang dan akan dipakai Roh Kudus untuk membantu kita menyerang dan mengalahkan Iblis. Mahu mempunyai persenjataan yang lengkap dan sedia dipakai untuk melawan Iblis? Hafallah Firman Allah.

Kaedah Menghafal Firman Allah

Ada pelbagai cara untuk menghafal perkataan dan cara yang dicadangkan bukan cara berkesan atau yang biasa anda pakai. Itu tidak menjadi masalah – tidak kira apa kaedahnya, yang penting anda dapat dengan berjaya menggunakannya untuk menghafal perintah-perintah Allah.

1. Baca dengan suara kedengaran – baca ayat yang mahu dihafal dengan suara yang kedengaran berulang kali, dengan intonasi dan nada yang sesuai dengan maklumat dalam ayat itu. Baca sehingga anda memahami dan menjiwai inti pati ayat itu. Jika ada perkataan yang tidak difahami atau maksud ayat itu tidak dapat ditangkap, berhenti dan cari pemahaman terlebih dahulu. Ingat – anda tidak dapat menghafal apa yang anda tidak faham.

2. Tulis berulang kali ayat itu – pastikan anda salin ayat itu dengan betul dan sesuai dengan cara anda menyebutnya, setiap rasa sebutan pada satu garis yang berbeza. Setelah menulis beberapa kali, cuba menulis dari ingatan (tidak merujuk dari mana-mana). Buat pembetulan jika ada yang salah tulis. Ini boleh dilakukan beberapa minit setiap hari, pada masa santai anda atau pada masa yang anda tetapkan.

3. Lihat ayat itu – ayat anda itu harus dapat dilihat dengan sering; letakkannya di sebelah cermin muka, dalam screensaver anda atau di dalam buku sekolah anda. Yang penting ia dapat dilihat di beberapa buah tempat yang anda sering perhatikan.

Setiap kali anda berpeluang mengongsi ayat hafalan anda itu, beranikan diri dan nyatakannya. Ini akan membantu mengingatkan ayat itu dengan baik.

Ada banyak ayat dalam Alkitab yang boleh dihafal. Oleh itu saya cadangkan anda bermula dengan menghafal perintah-perintah Yesus supaya sebagai pengikut Yesus anda selalu tahu dan ingat perintah-perintah-Nya dan dengan itu sedia mentaatinya, melepaskan diri dari berdosa (melanggar perintah Tuhan) dan menggunakannya untuk menjawab persoalan manusia dan godaan Iblis.

Selamat menghafal perintah-perintah Allah dengan berjaya mulai hari ini!

Page 3: Menyemai Benih (Bhg 2) Mengaku

Soalan Diskusi

1. ‘Benih itu Firman Allah’. Mengapakah Firman Allah disamakan dengan benih dan apakah implikasinya kepada kita?

2. Apa fahaman anda sebelum ini tentang ‘menghafal’? Apa yang anda faham dengan frasa: hafal dengan hati bukan dengan minda?

3. Manakah satu daripada faedah menghafal perintah Allah yang paling menarik perhatian anda dan mendorong anda untuk menghafal Firman Allah? Mengapa?

4. Apakah kaedah-kaedah menghafal yang telah anda pakai dengan berjaya? Kongsi dengan ahli-ahli lain dalam kumpulan anda.

5. Apakah yang anda akan buat mulai sekarang supaya anda akan berjaya menghafal perintah-perintah Yesus?

Page 4: Menyemai Benih (Bhg 2) Mengaku

A.2. Menyemai benih dalam diri sendiri – mengaku Firman Tuhan

Cara kedua menyemai Firman Allah dalam diri anda ialah dengan mengakunya. Dalam Alkitab perkataan ‘mengaku’ ialah terjemahan perkataan Yunani homologeo – homo bermaksud sama atau sejenis dan logeo dari perkataan logos yang bermaksud perkataan. Jadi mengaku dalam konteks alkitabiah bermaksud mengatakan hal yang sama (kata-kata dia sama dengan kata-kata seseorang yang lain), apa yang dikatakan tidak bercanggah dengan apa orang lain katakan.

Apabila kita mengaku FirmanTuhan apa yang keluar dari mulut kita tidak bercanggah dengan apa yang keluar dari mulut Tuhan. Perhatikan apa yang anda kata tentang diri anda – adakah ia sama dengan apa yang Allah katakan tentang anda? Kalau apa yang anda cakap berbeza dengan apa Tuhan bercakap, anda telah gagal mengaku (homologeo) Firman Tuhan, kata-kata anda belum lagi dipadankan dengan kata-kata (Firman) Tuhan.

Untuk mengaku Firman Allah, anda mesti dari sekarang sengaja atur kata-kata anda supaya sepadan dengan Firman Tuhan – pastikan pengisytiharan anda tentang diri, situasi dan kepercayaan anda sesuai dengan penyataan Allah tentang diri, situasi dan kepercayaan anda.

Mengaku Firman Tuhan juga bermaksud anda setuju dengan Firman Tuhan dan menyatakan ia benar. Persetujuan diperlukan sebelum pengakuan dapat dilakukan. Apabila seorang Kristian tidak dapat atau tidak mahu mengaku Firman Tuhan, nyata Firman Tuhan belum lagi benar dan tersimpan dalam hatinya.

Ingat: anda disuruh mengaku Firman Tuhan, mengatur kata-kata anda supaya sama dengan kata-kata Tuhan kerana anda yakin kata-kata Tuhan itu benar.

Memahami Dinamik Pengakuan Firman Allah

Baca Roma 10:9-10.

Perhatikan ada tiga komponen penting dalam amalan mengaku Firman Allah – percaya, mengaku, selamat.

Mengaku Firman Tuhan tidak ada kesan langsung jika apa yang diakui tidak terlebih dahulu dipercayai tetapi jika anda percaya Firman Allah dan mengakunya, anda akan ‘selamat’. Jadi untuk mengaku Firman Allah, syaratnya anda mesti percaya ayat itu terlebih dahulu. Pengakuan buta terjadi apabila seseorang Kristian mengaku berulang kali Firman (janji) Allah yang dia tidak percaya (yakin benar) – itu hanya melafazkan kata-kata kosong dan tidak ada apa yang luar biasa akan terjadi. Untuk pengakuan anda berkesan, apa yang diakui mesti terlebih dahulu dipercayai.

Kepercayaan seperti ini akan ada apabila anda yakin Allah tidak berdusta dan semua kata-kata-Nya benar dan akan berlaku (Bilangan 23:19; Yesaya 55:10-11). Firman yang keluar dari mulut Allah akan melakukan/menciptakan/menghasilkan apa yang dikatakan oleh Allah – Firman Allah bukan kata-kata kosong yang tidak berkuasa.

Apabila anda memerhatikan Alkitab (semoga setiap hari), lambat laun anda akan menjumpai ayat-ayat yang mempunyai kesan yang nyata dalam diri anda, ayat-ayat yang menginsaf, menghibur dan memberi harapan. Ini bukti anda sudah percaya apa yang Allah katakan dan yakin ia akan terjadi dan

Page 5: Menyemai Benih (Bhg 2) Mengaku

anda akan mengalaminya. Ayat-ayat seperti ini yang mesti diakui kerana ayat-ayat ini adalah dari Allah secara spesifik untuk anda dan situasi anda. Apabila ayat seperti ini diakui, kata Alkitab anda akan selamat.

Selamat dalam bahasa Ibrani ialah sozo yang boleh membawa maksud bebas, aman, sembuh dan lestari. Selamat tidak hanya bermaksud bebas daripada neraka (itu pemahaman sozo yang sangat sempit). Pertama sekali ia bermaksud mengalami pembebasan – anda boleh dibebaskan dari apa sahaja yang mengikat atau mengongkong hidup anda apabila anda mengaku Firman Allah dari Allah yang menjanjikan pembebasan atau campur tangan Tuhan dalam situasi anda. Pengakuan Firman dari Allah untuk anda juga boleh dipakai Allah untuk menghasilkan rasa aman dan sejahtera dalam diri anda.

Satu lagi hasil mengaku Firman Allah ialah kesembuhan – apabila anda sakit dan Allah menyatakan kata-kata-Nya yang secara khusus menjanjikan kesembuhan, jangan henti-henti mengaku janji-janji Tuhan itu sehingga kesembuhan penuh dialami. Berkat terakhir ialah lestari – hidup anda menjadi lebih teratur dan sempurna, tidak lagi tunggang terbalik atau kacau bilau. Semua ini milik anda apabila anda mengaku Firman Allah yang telah Dia nyatakan kepada anda.

Firman Yang Dihafal Akan Diakui

Satu cara untuk memastikan kata-kata anda selalu sepadan dengan kata-kata Allah ialah dengan menyimpan Firman Allah dalam hati anda, iaitu dengan menghafal ayat-ayat dalam Alkitab. Anda tidak akan dapat mengaku Firman Allah jika Firman itu belum terlebih dahulu disimpan dalam hati anda. Lukas 6:45 menyatakan bahawa orang bercakap apa yang ada didalam hati dan jika anda mahu bercakap Firman Allah, kata-kata Allah itu mesti terlebih dahulu dimasukkan ke dalam hati anda. Dalam terjemahan bahasa Inggeris, ayat dalam Lukas ini berkata bahawa dari kelimpahan hati, mulut bercakap – Firman Allah mesti penuh dan melimpah-limpah keluar dari hati anda supaya kata-kata anda selalu mengisytiharkan Firman Allah.

Membuat Pengakuan Persetujuan

Bila anda mengaku Firman Tuhan, anda sedang bersetuju dengan kata-kata Allah dan itu sebabnya pengakuan seperti ini juga dipanggil pengakuan persetujuan. Pengakuan seperti ini sangat berkesan bila anda tahu apa kata Allah tentang diri atau situasi anda yang telah dinyatakan-Nya dengan pelbagai cara khususnya melalui pembacaan Alkitab. Ayat-ayat seperti ini dalam lingkungan Kristian dipanggil rhema yang berbeza dengan logos, iaitu apa-apa huruf dan perkataan yang dibaca dalam Alkitab. Rhema pua ialah ayat yang telah menjawab soalan anda, yang telah memberi penghiburan, ayat yang sesuai dengan situasi semasa anda sehingga dihafal kerana ayat itu sering dibangkitkan dan dipakai. Pengakuan persetujuan ialah pengakuan ayat-ayat rhema anda kerana anda setuju dengan penyataan Allah dan yakin ayat itu untuk anda.

Mengapakah anda mahu mengaku kata-kata rhema ini? Untuk mengubah situasi. Namanya Abram tetapi sesudah Allah berkata kepada dia bahawa dia akan menjadi bapa satu bangsa yang besar, namanya ditukar menjadi Abraham (bapa banyak bangsa). Mulai hari itu, setiap kali dia mengaku dirinya Abraham, dia sedang membuat pengakuan persetujuan, mengakui dia bapa banyak bangsa walaupun ketika itu dia tidak ada satu anak pun! Akhirnya situasinya berubah dan menjadi seperti yang dijanjikan Tuhan.

Page 6: Menyemai Benih (Bhg 2) Mengaku

Sebab kedua mengapa anda mahu membuat pengakuan persetujuan ialah untuk menciptakan masa depan yang direncanakan Allah. Ada hal yang belum terjadi dalam hidup anda walaupun Allah sudah berkata bahawa ia akan berlaku tetapi anda boleh memilih mengakuinya benar walaupun belum direalisasikan oleh Allah.

Baca Matius 21: 18-21. Pengakuan Yesus di depan pohon ara yang tidak berbuah menyebabkan pohon itu mati (pengakuan Yesus ialah pengakuan kata-kata Tuhan kerana Yesus Tuhan) – setiap kali Yesus mengaku kehendak Allah dengan suara yang lantang, Dia menciptakan masa depan yang indah (ribut reda, orang sakit sembuh dan orang mati hidup kembali). Mungkin anda berkata, “Ini benar kerana Yesus Allah tapi siapa saya? Takkanlah pengakuan saya boleh mencipta sesuatu yang baik.” Kata Yesus, anda juga boleh membuat pengakuan yang berkesan jika anda percaya kepada penyataan Allah (rhema) yang diberi tentang masa depan anda dan berkata (homologeo) kepada ‘gunung’ anda sehingga apa yang dikatakan Allah itu terjadi! Untuk melihat rhema anda terjadi anda terlebih dahulu mesti percaya rhema itu dan sesudah itu mengaku (berkata dengan suara kedengaran) rhema itu sehingga ia terjadi.

Ini ialah perbezaan utama pengakuan positif dan ajaran-ajaran dalam buku seperti ‘The Secret’ – yang diakui bukan keinginan dan kehendak sendiri tetapi hanya penyataan Allah tentang diri dan situasi anda (kehendak Allah untuk anda).

Untuk membuat pengakuan persetujuan, bermula dengan rhema (sesuatu yang telah Allah nyatakan kepada anda tentang diri atau situasi anda). Kenal pasti ayat Allah itu, fahami isi kandungannya dan mula menghafal ayat itu.

Kerana anda percaya akan ayat itu dan yakin ia akan berlaku, mulalah mengaku Firman itu. Jika perlu sesuaikan pengakuan anda menggunakan kata-kata utama dalam ayat itu supaya pengakuan anda lebih peribadi dan tepat.

Pengakuan persetujuan berkuasa kerana sebelum pengakuan dibuat Allah telah berkata. Oleh itu, setiap hari luangkan masa untuk merenung Firman Tuhan supaya mendengar suara Allah yang akan dijadikan bahan pengakuan. Kalau anda percaya apa yang dikatakan Tuhan dan anda mengakunya, maka hal itu akan terjadi!

Soalan Diskusi:

a) Adakah kata-kata anda tentang diri dan situasi anda sepadan/sama dengan kata-kata Allah? Mengapakah penting supaya sama?

b) Bagaimana dengan menyimpan Firman Allah dalam hati (menghafal) membantu anda membuat pengakuan yang sepadan dengan kata Allah?

c) Apa bezanya mengaku firman Allah dan mengaku impian positif anda sendiri?

d) Apakah yang anda faham tentang 'rhema' dan mengapa ia penting untuk pengakuan efektif?

e) Apakah yang mungkin terjadi apabila pengakuan dari mulut anda sama dengan penyataan Allah tentang anda dan masa depan anda? Kongsikan beberapa pengakuan 'rhema' yang sudah anda buat.