Muzium Sebagai Institusi Pendidikan Tidak Formal Dalam ... Sebagai Institusi Pendidikan Tidak... ·...

11
Muzium Sebagai Institusi Pendidikan Tidak Formal Dalam Pengajaran & Pembelajaran Subjek Sejarah Mohd Azmi bin Mohd Yusof [email protected] & Miti Fateema Sherzeella Mohd Yusoff [email protected] Jabatan Muzium Malaysia Jalan Damansara 50566 Kuala Lumpur Abstrak Pemahaman masyarakat di Malaysia tentang kepentingan muzium sebagai institusi pembelajaran tidak formal dalam bidang pendidikan belum cukup mendalam. Justeru timbullah konotasi bahawa muzium hanya menjadi tempat simpanan barang-barang lama dan purba sahaja. Walaupun muzium telah wujud di Malaysia sejak lebih dari sekurun yang lalu namun kesedaran masyarakat tentang peranan yang dimainkan masih lagi cetek. Minat serta kecenderungan untuk melawat muzium semakin terhakis lantaran kewujudan pelbagai taman tema yang menyediakan hiburan dan keseronokan semata-mata. Saingan ini seolah-olah mengaburi dan menafikan peranan muzium. Situasi ini jauh berbeza dengan pendekatan masyarakat barat mengenai muzium di mana muzium diletakkan dalam ketegori yang paling istimewa kepada negara. Institusi muzium menjadi sebuah institusi yang paling berkesan sebagai wadah penyebaran ilmu. Kertas kerja ini akan cuba mengupas beberapa isu penting mengenai peranan muzium sebagai institusi pendidikan dan pembelajaran yang tidak formal. Selain itu, kertas ini juga akan cuba melihat bagaimana muzium boleh dijadikan suatu kaedah atau alternatif bagi mengatasi masalah kurang minat di kalangan pelajar sekolah dengan mata pelajaran sejarah.

Transcript of Muzium Sebagai Institusi Pendidikan Tidak Formal Dalam ... Sebagai Institusi Pendidikan Tidak... ·...

Muzium Sebagai Institusi Pendidikan Tidak Formal Dalam Pengajaran &

Pembelajaran Subjek Sejarah

Mohd Azmi bin Mohd Yusof

[email protected]

&

Miti Fateema Sherzeella Mohd Yusoff

[email protected]

Jabatan Muzium Malaysia

Jalan Damansara

50566 Kuala Lumpur

Abstrak

Pemahaman masyarakat di Malaysia tentang kepentingan muzium sebagai institusi

pembelajaran tidak formal dalam bidang pendidikan belum cukup mendalam. Justeru

timbullah konotasi bahawa muzium hanya menjadi tempat simpanan barang-barang

lama dan purba sahaja. Walaupun muzium telah wujud di Malaysia sejak lebih dari

sekurun yang lalu namun kesedaran masyarakat tentang peranan yang dimainkan

masih lagi cetek. Minat serta kecenderungan untuk melawat muzium semakin terhakis

lantaran kewujudan pelbagai taman tema yang menyediakan hiburan dan keseronokan

semata-mata. Saingan ini seolah-olah mengaburi dan menafikan peranan muzium.

Situasi ini jauh berbeza dengan pendekatan masyarakat barat mengenai muzium di

mana muzium diletakkan dalam ketegori yang paling istimewa kepada negara. Institusi

muzium menjadi sebuah institusi yang paling berkesan sebagai wadah penyebaran

ilmu. Kertas kerja ini akan cuba mengupas beberapa isu penting mengenai peranan

muzium sebagai institusi pendidikan dan pembelajaran yang tidak formal. Selain itu,

kertas ini juga akan cuba melihat bagaimana muzium boleh dijadikan suatu kaedah

atau alternatif bagi mengatasi masalah kurang minat di kalangan pelajar sekolah

dengan mata pelajaran sejarah.

Pengenalan

**Sejarah menceritakan:

“Apa yang telah dilalui, Dimana kita berada dan Kemana hala tuju kita.”

Peranan institusi muzium dewasa ini telah melalui pelbagai perubahan seiring dengan

perkembangan zaman. Dari pusat pembelajaran menerusi kaedah komunikasi dua hala

seperti yang pernah diamalkan di Greek hingga kepada Cabinet of Curiosity di Eropah,

institusi ini telah menempuh evolusi pembangunan dan fasa yang menekankan peranan

dan fungsinya dalam mempamer dan memperagakan koleksinya. Pada hari ini institusi

muzium turut mampu memainkan peranan penting membantu dalam mengukuhkan

proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi subjek sejarah yang dipelajari di

sekolah.

Namun demikian berdasarkan pemerhatian, wujud jurang di antara penglibatan guru

dan institusi pendidikan dengan institusi muzium dalam menjadikan institusi muzium

sebagai sebahagian daripada proses P&P subjek sejarah. Hal seumpama ini terjadi

disebabkan amat kurang kajian bersifat akademik atau kajian kes dilaksanakan dengan

fokus ke atas korelasi di antara dua institusi ini. Ia berlaku berikutan kedudukan portfolio

yang berbeza sedangkan kedua-duanya mempunyai perkaitan rapat dan saling

melengkapi antara satu sama lain khususnya untuk kemajuan sistem pendidikan

negara.

Bandura (1986) dalam teori perlakuan model menekankan perhubungan rapat di antara

persekitaran dan individu dalam mempelajari sesuatu. Menurut beliau, persekitaran

turut memainkan peranan penting dalam menjana daya kognitif individu. Penjanaan ini

akan menentukan serapan maklumat kekal atau pun sebaliknya untuk digunakan di

masa akan datang. Memang benarlah bagai dikata, pengalaman merupakan guru yang

paling baik dalam mengemudi kehidupan mendatang.

Justeru, dalam merungkai persoalan ini, penulis melihat institusi muzium berupaya

membantu dalam mengukuhkan proses P&P yang dijalankan oleh golongan pendidik.

Ini akan memastikan proses P&P berlangsung dengan lancar menerusi suatu

pendekatan yang berbeza.

Peranan Muzium Di Dalam Pendidikan

Pendidikan sebagai faktor penting dalam fungsi muzium telah lama diiktiraf sejak

pembukaan muzium kepada umum.1 Muzium dilihat sebagai satu institusi yang mampu

menyalurkan pendidikan sejarah dengan efektif memandangkan ia mempunyai kaedah

dan material bersesuaian di dalam simpanannya. Kaedah pendidikan ini diterapkan

melalui pameran dan himpunan koleksi bagi memudahkan pemahaman masyarakat

terhadap identiti dan fasa evolusi sesebuah tamadun dan masyarakat. Dalam konteks

masyarakat moden, muzium berkeupayaan untuk mempelbagaikan proses

penyampaian maklumat dan memberi pendidikan kepada kanak-kanak khususnya dan

masyarakat umumnya terhadap perkembangan yang berlaku di sekitar mereka secara

positif. Pendekatan ini boleh membantu mereka supaya lebih memahami dan

menghargai sejarah di samping memupuk sikap bangga terhadap usaha dan

pencapaian yang telah dilakukan oleh generasi terdahulu.

Namun begitu, pemahaman tenaga pendidik dari institusi pendidikan berkaitan subjek

sejarah itu sendiri dilihat sebagai asas utama menyumbang kepada pemahaman pelajar

dalam memahami sesuatu peristiwa sekaligus memberikan pengalaman dalam bentuk

ingatan yang berkekalan dan bersifat mendidik. Ini kerana setiap pengalaman yang

dilalui oleh pelajar terutamanya dalam menelusuri isi kandungan mata pelajaran sejarah

berkemungkinan tersasar dari landasan pengertian sesuatu peristiwa itu sendiri apabila

pelajar didedahkan dengan aspek pembelajaran menerusi muzium sebagai medium

P&P.

Contohnya kekalahan Melaka di tangan Portugis sering disogokkan dengan kekangan

senjata moden kuasa penjajah. Sogokan ini menjadi suatu ingatan yang kekal setiap

kali bicara berkenaan penaklukan ini dibuat. Walau bagaimanapun, koleksi senjata

yang dipamerkan di muzium mewakili orang Melayu Melaka termasuklah meriam,

senjata api dan sebagainya amat bertentangan dengan gambaran asal yang diberikan

1 George E. Hein. Learning in the Museum. Routledge. New York. 1998. hlm. 3

kepada pelajar. Justeru itu, timbul konflik di antara pengalaman penceritaan yang

didapati dari proses pengajaran dengan bukti menerusi koleksi yang diperolehi semasa

lawatan lapangan ke muzium mengakibatkan pengalaman yang diperolehi tidak lagi

bersifat mendidik.

“The belief that all genuine education comes from experience does not mean that all

experiences are genuinely or equally educative. Experience and education cannot be

directly equated with each other. For some experiences are mis-educative. Any

experience is mis-educative that has the effect of arresting and distorting the growth of

further experience. An experience may be such as to engender callousness; it may

produce lack of sensitivity and of responsiveness...a given experience may increase a

person’s automatic skill in a particular direction and yet tend to land him in a groove or

rut…An experience may be immediately enjoyable and yet promote the formation of a

slack and careless attitude…Each experience may be lively, vivid, and “interesting” and

yet their disconnectedness may artificially generate dispersive, disintegrated, centrifugal

habits. The consequence of formation of such habits is inability to control future

experiences. They are then taken, either by way of enjoyment or of discontent and

revolt, just as they come.”2

Peranan institusi muzium pada hari ini juga berubah mengikut perubahan pendekatan

terhadap pendidikan. 3 Ia bukan lagi sekadar tempat untuk membuat lawatan ke

lapangan mengisi waktu senggang usai peperiksaan atau tempat bersantai semata-

mata. Kini, institusi muzium dan pendidikan dilihat mempunyai kaitan erat di antara

saling dalam menjayakan skop subjek yang diajar. Di Barat, perbincangan untuk

menjadikan muzium sebagai sokongan ke arah pencapaian matlamat pendidikan telah

lama dibincangkan.

Contohnya di Britain, pengenalan kepada kurikulum nasional yang diperkenalkan

kepada umum pada tahun 1989 telah membincangkan perkara ini. Pengamal muzium

2 John Dewey. The School and Society. University of Chicago Press. Chicago. 1900/1956. hlm. 13-14

3 George E.Hein. Learning in the Museum. Routledge. New York. 1998. hlm. 7

telah bekerjasama dengan kerajaan tempatan memastikan setiap pameran dan

program yang dilaksanakan sejajar dengan isi kandungan kurikulum sekolah. 4

Seiring dengan perkembangan masa, institusi muzium seharusnya diletakkan sebaris

dengan institusi pendidikan atas kemampuannya menyokong pendidikan di sekolah.

Sudah tiba masanya institusi muzium diiktiraf sebagai kaedah P&P yang boleh

digunakan sebagai alternatif bersama pendekatan konvensional sedia ada.

Aplikasi P&P Menerusi Muzium

Apa itu P&P?

Bagi golongan yang datang bukan dari institusi pendidikan, pemahaman terhadap P&P

mungkin agak berbeza. Secara ringkasnya, P&P terdiri daripada 2 komponen iaitu

pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran adalah berkait dengan tanggungjawab guru

sebagai penyampai ilmu dan keberkesanan pengajaran ialah kejayaan guru mencapai

objektif dalam membantu pelajar belajar apa yang mereka hendak

sampaikan. 5 Manakala pembelajaran merupakan perubahan tingkah laku yang

melibatkan keterampilan kognitif iaitu penguasaan ilmu dan perkembangan kemahiran

intelek.6

Apa yang menarik perhatian penulis adalah pembelajaran wujud secara formal, tak

formal atau non formal. Penulis suka menggunakan terma formal dan tidak formal

dalam membezakan di antara institusi muzium dan institusi pendidikan dari aspek

kurikulum dan bagaimana aturan proses P&P dilaksanakan di kedua-dua buah institusi.

Contohnya, kandungan silibus subjek Sejarah yang diajar di sekolah dimulakan dengan

peringkat-peringkat yang ditetapkan bermula dari set induksi sehingga aktiviti

pengukuhan dalam menyempurnakan proses P&P. Sebaliknya, di muzium aturan

4 Ibid. hlm. 9

5 Rahil mahyuddin, Jami’ah Mohamad & Kasnani Ab. Karim. Psikologi Pendidikan II. Longman. Kuala Lumpur. 2000.

hlm. 1 6 Ibid. hlm. 2

berkenaan mungkin tidak mengikut peringkat yang ditetapkan atau pusingan prosesnya

tidak lengkap.

Kedua-dua set formal dan tidak formal tetap boleh berlaku apabila proses pembelajaran

menggunakan bantuan objek. Pelajar diberi ruang dan kebebasan untuk meneroka atau

memahami sesuatu bahan yang terdapat di muzium bergantung kepada minatnya.

Proses pelaksanaan aktiviti atau cara pengajaran dalam sesebuah program pendidikan

muzium ialah dengan menempatkan peserta di dalam bilik menyerupai bilik darjah

dengan seorang pemudahcara dari kalangan pengamal muzium untuk mengajar di

hadapan.7

Walau bagaimanapun, penulis merasakan bahawa terma ini tidak menentukan,

memisahkan atau menolak kemungkinan kualiti pedagogi yang berlangsung sama ada

di institusi muzium atau institusi pendidikan adalah serupa. Contohnya, kedua-dua buah

institusi ini mengambil berat terhadap pemahaman dan minat pelajar terhadap sesuatu

perkara yang diajar serta psikologi pelajar yang berada di muzium sepanjang proses

P&P berlaku.

Bagaimana muzium boleh membantu proses P&P?

Umum mengetahui kekuatan sesebuah muzium bergantung kepada kehebatan

himpunan koleksi yang dimiliki oleh sesebuah entiti itu sendiri. Namun, pemahaman

dan ilmu terhadap koleksi itu sudah semestinya hanya dikuasai oleh pengamal

permuziuman sahaja. Walaupun koleksi menentukan kehebatan sesebuah muzium, kini

ianya tidak lagi boleh diterima secara total dalam menentukan penanda aras muzium

berkenaan. Justeru itu, sekiranya perkongsian ilmu ini dapat dikongsikan secara bijak

oleh institusi pendidikan maka proses ini mampu memberikan manfaat dan

pembelajaran yang baik kepada pelajar dalam menerima pengajaran yang disampaikan

oleh guru.

7 George E.Hein. Learning in the Museum. Routledge. New York. 1998. hlm. 7

Knell dalam bukunya Museum Revolutions: How museums change and are changed

(2007);

“But museums are not solely about collections; indeed, they are rather less about

collections that we tend to believe.” (Simon J. Knell, 2007: xix)

Seeing is believing

Setiap penubuhan muzium mempunyai objektif yang jelas di sebalik penubuhannya.

Umpamanya, Muzium Negara memfokuskan kepada sejarah negara bermula dari era

pra sejarah hingga perkembangan terkini. Kandungan yang dipamerkan di dalam

Muzium Negara pada hari ini amat bertepatan dengan silibus subjek sejarah peringkat

Menengah Rendah. Justeru itu, menggunakan koleksi yang dipamerkan di Muzium

Negara contohnya sebagai bantuan dalam mengajar subjek sejarah dapat memberikan

kefahaman yang lebih jelas kepada pelajar berkenaan apa yang dibaca dari buku teks

di sekolah.

Koleksi yang dipamerkan di dalam muzium menyokong susur-galur peristiwa bersejarah

yang berlaku. Proses P&P boleh mengambil tempat di dalam Muzium Negara seperti

kelaziman yang dipraktis oleh guru. Kehadiran koleksi yang digunakan pula mampu

memberi pengalaman baru kepada pelajar untuk lebih memahami satu peristiwa

bersejarah menerusi bukti yang diletakkan di depan mata. Sekiranya pembelajaran di

sekolah, pelajar mempelajari dan mengetahui kewujudan sesuatu objek yang dikaitkan

dengan peristiwa yang berlaku. Contohnya, pemberian ufti bunga mas kepada Kerajaan

Siam menerusi slaid atau foto yang dimuatkan di dalam buku teks semata-mata. Di

muzium, pelajar berkesempatan untuk melihat sendiri objek bunga mas yang menjadi

koleksi dan dipamerkan kepada umum.

Pengalaman ini lebih dekat di hati pelajar kerana perkara yang disampaikan oleh guru

merupakan satu kejadian yang benar berlaku. Ini kerana manusia mudah belajar

sesuatu konsep atau memahami makna menerusi penglihatan kerana manusia

merupakan makhluk “visually oriented”.

Selain itu, terdapat juga koleksi yang dimiliki oleh muzium turut dibuat replika sekiranya

koleksi asal terlalu berharga seperti Manusia Perak. Pembuatan replika ini dibuat untuk

memberi pengalaman sentuhan kepada pelajar terhadap tekstur dan rupa bentuk

Manusia Perak dengan disokong oleh modul pendidikan muzium. Ianya amat

bertepatan dengan madah yang dilafazkan oleh Kung Fu Tze, seorang pujangga dan

ahli falsafah Cina’

“…kalau saya dengar, saya lupa, kalau saya lihat, saya ingat, kalau saya buat, saya

tahu…”

Hasilnya, teknik yang diaplikasikan ini mampu menjamin proses P&P berjalan lancar di

samping meningkatkan kefahaman dan menghadapi salah tanggapan atau tafsiran.

Salah satu teknik yang diaplikasikan muzium untuk mendidik masyarakat adalah

menerusi program pendidikan muzium. Program berteraskan pendidikan muzium

lazimnya diambil dari pameran dan aktiviti permuziuman yang dilaksanakan.

Menggunakan kandungan pameran yang dipamerkan, penggunaan ruang penerokaan

yang terdapat di Muzium Negara umpamanya, modul pendidikan dirangka bermula dari

sesi penerangan, rangsangan untuk mengambil bahagian sehingga aktiviti pengukuhan

dilaksanakan.

Justeru pendekatan yang dipraktis di muzium yang menyamai proses P&P di sekolah,

penulis merasakan bahawa ada ruang untuk kedua-dua institusi bekerjasama

mengguna pakai tatacara pengajaran formal sekolah dan tidak formal muzium ke arah

kefahaman dan pupukan minat terhadap pembelajaran pelajar.

Kurang Minat: Usaha Siapa?

Perkara yang perlu ditekankan bagaimana muzium dengan segala sumber yang ada

seperti koleksi, pameran, dan penyelidikan yang telah wujud dapat dimanfaatkan

secara maksimum bagi membantu tenaga pengajar di institusi pendidikan formal di

semua peringkat.

Kerjasama dua hala di antara institusi pendidikan dan muzium perlu untuk mewujudkan

jaringan kerjasama yang lebih mantap. Muzium perlu dijadikan salah satu komponen

penting dalam sistem pengajaran dan pembelajaran bermula di peringkat pendidikan

rendah hingga ke peringkat pendidikan tertinggi. Contohnya, lawatan ke muzium perlu

dipertingkatkan dan dibangunkan untuk memberi khidmat kepada pelajar sekolah dan

universiti sehingga ke peringkat maktab perguruan untuk membantu mereka memahami

subjek Sejarah yang diajarkan mengikut silibus masing-masing. Ini boleh dicapai

menerusi MoU yang boleh dibuat di antara institusi muzium dan pendidikan.

Golongan pendidik juga perlu mengambil inisiatif atau mereka daya kreativiti dalam

mencorakkan minat pelajar untuk memahami dan meminati subjek sejarah. Kefahaman

para pendidik dalam memahami isi kandungan subjek sejarah dan bahan yang terdapat

di muzium adalah penting bagi memastikan objektif P&P terlaksana. Justeru

penggubalan silibus di peringkat tertinggi juga harus mengambilkira muzium sebagai

salah satu kaedah bantuan mengajar yang lebih praktikal dan berkesan. Sebagai

langkah awal, pengenalan kepada subjek muzium itu sendiri di dalam silibus di

peringkat pengajian bakal pendidik memberi pilihan ke arah kepelbagaian kaedah

pengajaran dalam mengoptimumkan pemahaman terhadap subjek sejarah.

Kesimpulan

Kesimpulannya, muzium harus dipandang dari perspektif yang berbeza. Tanggapan

bahawa muzium sebagai tempat penyimpanan khazanah negara perlu diperhalusi

semula. Ini kerana konotasi sedemikian membawa kepada pandangan bahawa

sumbangan institusi muzium dalam pendidikan formal tidaklah begitu penting.

Perbezaan harus dilihat dari segi peranan dan tanggungjawab sosial yang digalas oleh

institusi ini. Sebagaimana proses P&P yang berlaku di dalam pendidikan formal untuk

menghasilkan satu indoktrinasi, ia juga turut berlaku di muzium. Justeru institusi

muzium dan pendidikan perlu saling melengkapi di antara satu sama lain bagi tujuan

pembentukan sahsiah pelajar dan jati diri mereka.

BIBLIOGRAFI

Bandura, Albert. (1986). Social Foundation of Thought and Action: A Social Cognitive

Theory. Englewood Cliffs, NJ: Prentice Hall

Dewey, J. (1900/1956). The School and Society. Chicago: University of Chicago Press

Falk, John H, & Lynn D. Dierking. (2000). Learning from Museums: Visitor Experiences

and the Making of Meaning. Tennessee: Altamira Press

Falk, John H. & Lynn D, Dierking. (2011). The Museum Experience. Walnut Creek, CA:

Left Coast Press Inc

Hein, George E. (1998). Learning in the Museum. New York: Routledge Taylor &

Francis Group

Knell, Simon J., Suzanne Macleod & Sheila Watson. (2007). Museum Revolutions: How

Museums Change and Are Changed. New York: Routledge Francis & Taylor Group

Rahil Mahyuddin, Jami’ah Mohamad & Kasnani Ab. Karim. (2000). Psikologi Pendidikan

II. Kuala Lumpur: Longman

Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan & Abdul Aziz Abdul Shukor. (2008). Psikologi

Pendidikan. Selangor: Oxford Fajar

Wittlin, Alma S. (1949). The Museum Its History and Its Tasks in Education. London:

Routledge and Kegan Paul Limited

LAMAN SESAWANG

ilmu.edublogs.org/2011/06/27/apakah-pengajaran-dan-pembelajaran-berkesan/ (tarikh

akses: 9 Julai 2012)

Psychology.about.com/od/developmentalpsychology/a/sociallearning.htm (tarikh akses:

11 Julai 2012)