PELAKSANAAN KLINIK BAHASA ARAB SEBAGAI · PDF fileIsu mengenai kelemahan pelajar dalam...
Transcript of PELAKSANAAN KLINIK BAHASA ARAB SEBAGAI · PDF fileIsu mengenai kelemahan pelajar dalam...
1
PELAKSANAAN KLINIK BAHASA ARAB SEBAGAI WADAH PENGUASAAN
BAHASA ARAB DI KUIS
Noor Shamshinar binti Zakaria
Abstrak
Pelaksanaan Klinik Bahasa Arab bagi meningkatkan penguasaan Asas Bahasa Arab dalam
kalangan pelajar sama ada di peringkat rendah, menengah mahupun peringkat pengajian
tinggi perlu dilaksanakan sebagai wadah penguasaan Bahasa Arab. Kebanyakan pelajar
berminat dalam mempelajari dan menguasai Bahasa Arab namun disebabkan pembelajarannya
yang terhad di dalam kelas menjadikan mereka agak terbatas untuk memahami dan meneroka
bahasa tersebut dengan baik. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk mengetahui tentang
kepentingan pelaksanaan Klinik Bahasa Arab bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Arab
dalam kalangan pelajar di KUIS. Kajian ini dijalankan secara kualitatif dengan melakukan
pemerhatian dan temubual terhadap beberapa orang pelajar dalam bidang diploma perguruan
TASL dan Pendidikan Islam yang terlibat secara langsung dalam Kilinik Bahasa Arab.
Berdasarkan kepada pemerhatian dan temubual yang dilakukan terhadap beberapa orang
pelajar dalam bidang perguruan Bahasa Arab dan Pendidikan Islam di KUIS, mereka
menunjukkan minat yang tinggi terhadap pelaksanaan Klinik Bahasa Arab. Di antara faktor-
faktor yang mendorong minat mereka untuk melibatkan diri dalam Klinik Bahasa Arab adalah :
(a) kesedaran untuk memperbaiki kelemahan dalam Asas Bahasa Arab , (b) dorongan untuk
menguasai Asas Bahasa Arab dengan lebih baik , (c) ingin memperkukuhkan ilmu Asas Bahasa
Arab yang sedia ada (d) ingin menambahkan kosa kata Bahasa Arab dan (e) sebagai
persediaan awal sebelum menjalani latihan praktikum di sekolah. Oleh itu, artikel ini akan
membincangkan mengenai kepentingan melaksanakan Klinik Bahasa Arab sebagai satu cara
bagi meningkatkan penguasaan Asas Bahasa Arab yang lebih mantap dalam kalangan pelajar
di KUIS di samping membantu meningkatkan keyakinan mereka dalam proses PdP Bahasa
Arab.
Kata kunci : Klinik Bahasa Arab, penguasaan Bahasa Arab, pelajar
1.0 PENGENALAN
Terdapat pelbagai istilah yang digunakan untuk mendefinisikan konsep sesuatu kelas yang tidak
formal yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi kefahaman seseorang terhadap sesuatu bidang
ilmu yang dipelajari. Ada yang menyatakan ia merupakan kelas tambahan atau tuisyen yang
bermaksud bimbingan tambahan yang diberikan kepada pelajar (individu atau kumpulan kecil)
bagi mata pelajaran tertentu. Perkataan ini berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris tuition
yang bermaksud "pengajaran" (Wikipedia, 2013). Tuisyen diperlukan oleh pelajar-pelajar yang
lemah dan tertinggal dalam pelajaran. Pelajar yang berkenaan mungkin menghadapi pelbagai
masalah seperti tidak minat belajar, tidak faham-faham, atau tidak dapat menumpukan perhatian
dalam kelas sehinggakan dia tertingal dalam pelajaran. Maka dalam keadaan inilah seorang
pelajar memerlukan tuisyen, yakni bimbingan tambahan. Peranan tuisyen sebenarnya tidak
terletak pada penyampaian ilmu pengetahuan baru kepada pelajar. Sebaliknya tuisyen lebih
2
berperanan dalam pengukuhan ilmu pengetahuan yang telah dipelajari oleh pelajar di sekolah.
Maka peranan utama tuisyen sebenarnya adalah pelatihan (bahasa inggeris:coaching).
Di antara definisi yang lain ialah kelas bimbingan. Menurut Othman Mohamed (2000),
bimbingan merupakan sebahagian daripada proses menolong. Ia melibatkan usaha memberi
arahan secara teratur serta mengandungi maklumat sesuai bagi menentukan agar sesuatu
matlamat tercapai oleh orang yang menerimanya. Lazimnya bagi penentuan kebajikan dan
perkembangan dirinya.
Selain itu, ada sesetengah maksud kelas tambahan ini merujuk kepada ‘klinik’. Merujuk Kamus
Dewan Edisi Keempat, definisi klinik ialah tempat untuk memberi diagnosis dan merawat
pesakit luar. Oleh itu, perkataan ‘klinik’ yang digunakan untuk Klinik Bahasa Arab bolehlah
dikatakan sebagai tempat untuk membantu para pelajar yang lemah dan memberi bimbingan
tambahan kepada mereka (individu atau kumpulan kecil) bagi mata pelajaran Bahasa Arab.
Fungsinya pula ialah memberi diagnosis dan rawatan pengukuhan Asas Bahasa Arab yang telah
dipelajari oleh pelajar serta membantu masalah mereka seperti tidak minat belajar, tidak faham-
faham, atau tidak dapat menumpukan perhatian dalam kelas sehinggakan dia tertingal dalam
pelajaran.
Walaupun pada asasnya Klinik Bahasa Arab adalah membimbing pelajar dan melakukan
pengukuhan ilmu terhadap mereka, tetapi satu lagi unsur yang sangat penting ialah unsur
interaktiviti di mana pelaksanaan Klinik Bahasa Arab adalah ingin mewujudkan satu persepsi
bahawa Bahasa Arab bukanlah satu bahasa yang susah atau sukar dipelajari jika pelajar diajar
dengan gaya dan kaedah yang betul. Dengan cara penyampaian yang berkesan, pelajar dapat
mengenal setiap kelemahan yang dimilikinya dan pada masa yang sama boleh membetulkan
kesilapan tersebut dan akhirnya pelajar merasakan segala kelemahan dan persoalan yang
menghantuinya mengenai kesukaran mempelajari Bahasa Arab terjawab.
Oleh yang demikian, artikel ini dilakukan untuk mengetengahkan tentang peri pentingnya
pelaksanaan Klinik Bahasa Arab bagi membantu para pelajar untuk menguasai Bahasa al Quran
tersebut.
2.0 PENYATAAN MASALAH
Isu mengenai kelemahan pelajar dalam penguasaan Bahasa Arab sering dipersoalkan oleh para
sarjana pendidikan mahupun ahli akademik. Dalam beberapa kajian yang dijalankan telah
menunujukkan bukti tentang kelemahan pelajar dalam Bahasa Arab. Antaranya kajian yang
dilakukan oleh Mohd. Zaini (2012) menunjukkan prestasi pelajar dalam penguasaan Bahasa
Arab khususnya tatabahasa Arab didapati semakin merosot. Manakala menurut Abdul Aziz
Musa (1998), Che Kamarudin Kamel Che Muhammad (1999), Abdul Ghani Md Hassan (1999)
dan Mohd Fazli Ismail & Mohd Sukki (2012) menyatakan bahawa pelajar yang mempunyai
masalah lemah dalam penguasaan Bahasa Arab didapati sangat lemah dalam pengetahuan Asas
Bahasa Arab. Pelajar juga dikatakan lemah dalam Bahasa Arab kerana sikap mereka sendiri
yang malas belajar dan tidak berusaha untuk menguasai bahasa tersebut malah mereka hanya
bergantung kepada guru semata-mata ketika mempelajari Bahasa Arab di dalam kelas.
Di samping itu, timbul pula sebahagian pelajar yang menyatakan perasaan tidak minat terhadap
bahasa tersebut kerana beranggapan Bahasa Arab susah untuk dipelajari. Hal ini kerana mereka
merasakan walaupun mereka telah mempelajari Bahasa Arab sejak di bangku sekolah lagi
3
samada di peringkat rendah mahupun menengah, mereka masih tidak dapat menguasai serta
memahami Bahasa Arab dengan baik. Menurut Bloom (1999), pembelajaran yang tidak
sempurna di peringkat awal akan menyebabkan pembelajaran yang tidak sempurna pada
peringkat susulan.
Berdasarkan kajian-kajian yang dinyatakan telah menunjukkan kelemahan pelajar dalam Bahasa
Arab adalah disebabkan mereka sendiri. Tetapi, jika dilihat mengenai pengajaran guru masih
terdapat sebilangan guru tidak melaksanakan pengajaran dengan baik seperti penggunaan
kaedah pengajaran yang tidak sesuai, laras bahasa yang digunakan oleh guru terlalu tinggi dan
terdapat juga guru yang mengajar subjek Bahasa Arab bukan dalam kalangan guru Bahasa
Arab. Menurut Kajian yang dilakukan oleh Zawawi Ismail, Ab Halim Tamuri, Nik Mohd
Rahimi Nik Yusoof dan Mohd Ala-Uddin Othman (2011) mendapati guru hanya menggunakan
beberapa teknik sahaja dalam pengajaran kemahiran bertutur Bahasa Arab seperti teknik soal
jawab, dengar ulang, korus, prosa dan dialog. Penggunaan teknik yang hanya berfokus kepada
beberapa teknik sahaja akan mengganggu keberkesanan kerana setiap teknik yang digunakan
mempunyai kekuatan dan kelemahan. Sekiranya tumpuan diberikan kepada teknik tertentu
maka kelemahan teknik ini perlu ditampung dengan menggunakan teknik yang lain.
Penggunaan teknik yang pelbagai akan menyediakan peluang yang lebih baik untuk pelajar
menguasai kemahiran bertutur Bahasa Arab kerana setiap pelajar mempunyai keserasian
tertentu dan kemampuan yang pelbagai. Oleh itu dapatan ini secara jelas menunjukkan sikap
guru dan amalan guru dalam menggunakan teknik pengajaran kemahiran bertutur tidak
mengikuti pendekatan komunikatif.
Oleh itu, pencapaian Bahasa Arab jika dilihat pada hari ini masih dalam keadaan yang tidak
memuaskan dalam kalangan pelajar kita sama ada puncanya daripada pihak pelajar mahupun
guru ataupun faktor-faktor yang lain. Kelemahan pelajar dalam Bahasa Arab ini sering berlaku
sama ada di peringkat rendah, menengah dan juga di IPT.
Namun, usaha untuk menangani kelemahan pelajar dalam menguasai Bahasa Arab jarang
dilakukan dengan melaksanakan kelas tambahan bagi subjek Bahasa Arab. Kebanyakan kelas-
kelas tambahan yang dianjurkan hanya untuk subjek-subjek yang lain seperti subjek
Matematik, Sains, Bahasa Inggeris, Sejarah dan lain-lain. Jika terdapat kelas tambahan untuk
subjek Bahasa Arab, kebanyakannya pula disediakan untuk pelajar-pelajar sekolah sama ada
peringkat rendah atau menengah. Amat kurang sekali pelaksanaan kelas tambahan bagi subjek
Bahasa Arab atau Klinik Bahasa Arab di peringkat IPT. Sepatutnya perlu ada satu usaha bagi
menangani permasalahan dalam penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar IPT juga
memandangkan Bahasa Arab merupakan bahasa pengantar yang digunakan dalam proses PdP di
sesetengah IPT terutamanya dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab.
Oleh yang demikian, artikel ini menekankan betapa pentingnya pelaksanaan Klinik Bahasa
Arab di KUIS bagi membantu para pelajar dalam penguasaan subjek Bahasa Arab. Penguasaan
ilmu Asas Bahasa Arab yang optimum dalam kalangan pelajar dapat membantu mereka
memahami Bahasa Arab dengan baik dan betul serta dapat mempraktikkannya dengan tepat.
4
3.0 METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini menggunakan kajian kualitatif dengan menggunakan kaedah pemerhatian dan
temubual terhadap sebilangan guru pelatih Bahasa Arab dan Pendidikan Islam, KUIS yang
menyertai Klinik Bahasa Arab. Antara prosedur yang digunakan dalam kajian ini ialah :
1. Sampel Kajian – pemilihan sampel kajian adalah bertumpu kepada bilangan guru pelatih
Diploma Perguruan Bahasa Arab dan Pendidikan Islam, KUIS. Kajian ini melibatkan
seramai 58 orang guru pelatih yang berada di semester 4 sebagai responden kajian.
2. Instrumen Kajian – kajian ini dijalankan dengan menggunakan kajian kualitatif, iaitu
pemerhatian serta temubual yang dijalankan terhadap 9 orang responden untuk
mengetahui faktor-faktor penglibatan mereka dalam Klinik Bahasa .
3. Analisi Data – semua data yang diperoleh dianalisis bermula dengan proses coding
untuk membentuk tema dapatan daripada responden dan seterusnya dinilai frekunsi
setiap tema untuk menentukan faktor-faktor penglibatan guru pelatih dalam Klinik
Bahasa Arab.
4.0 FAKTOR-FAKTOR PELAKSANAAN KLINIK BAHASA ARAB DI KUIS
Terdapat beberapa faktor yang dikenalpasti tentang pentingnya pelaksanaan Klinik Bahasa Arab
di KUIS, iaitu berdasarkan kepada faktor-faktor penyebab yang mendorong minat pelajar untuk
melibatkan diri dalam Klinik Bahasa Arab . Di antaranya ialah :
4.1 Kesedaran Untuk Memperbaiki Kelemahan dalam Ilmu Asas bahasa Arab
Masih ramai dalam kalangan pelajar di KUIS yang mempelajari Bahasa Arab lemah dalam
penguasaan Bahasa Arab walaupun mereka telah pun mengikuti subjek ini sejak di bangku
sekolah rendah lagi. Berdasarkan kepada temubual yang dilakukan oleh pengkaji ketika
melaksanakan Klinik Bahasa Arab terhadap para pelajar ini, kebanyakan mereka berada di tahap
penguasaan Asas Bahasa Arab yang agak lemah kerana mereka tidak dapat menjawab beberapa
soalan yang diutarakan dengan betul dan tepat. Melihat kepada kesalahan-kesalahan jawapan
yang diberikan, kesalahan tersebut hanyalah Asas Bahasa Arab seperti muannath dan muzakkar,
dhamir munfasil dan muttasil, penggunaan fiil madhi, mudhari’ dan amr, bilangan dan nombor,
sebutan dan makhraj huruf, nama-nama hari, tarikh dan kalendar, penggunaan waktu dan jam
serta beberapa bahagian lagi seperti ‘adad ma’dud dan mu’jam, iaitu nama-nama anggota badan,
jenis-jenis perkakas sekolah dan lain-lain .
Berdasarkan hasil temubual tersebut bersama pelajar, didapati kesemua mereka berpendapat
bahawa kesedaran yang tinggi untuk memperbaiki kelemahan Asas Bahasa Arab tersebut telah
mendorong mereka untuk mengikuti Klinik Bahasa Arab.
“Dengan menghadiri Klinik Bahasa Arab telah dapat membantu saya mengurangkan masalah
membuang masa berbual kosong, membaca bahan bacaan picisan dan melayari internet tanpa
had” [Rashidah]. Pandangan ini turut disokong oleh rakan beliau : “lebih baik kami menghadiri
Klinik Bahasa Arab daripada membunag masa dengan perkara-perkara yang tidak membantu
kami dalam meningkatkan ilmu pengetahuan khususnya ilmu Asas Bahasa Arab. Kami sedar
tentang amanah dengan tugas yang kami akan galas kelak” [Ainim] .
5
Kesedaran untuk mempelajari semula Asas Bahasa Arab ini timbul kerana mereka tahu
kebanyakan buku rujukan dan kertas kerja yang mereka perlu laksanakan adalah di dalam
Bahasa Arab. Pelaksanaan Klinik Bahasa Arab sudah tentu dapat membantu mereka mendalami
Asas Bahasa Arab, memudahkan mereka dalam menyempurnakan segala tugasan yang perlu
ditulis dalam Bahasa Arab serta merealisasikan keinginan pelajar-pelajar ini untuk menguasai
semula ilmu Asas Bahasa Arab. Mereka sanggup menghadirkan diri ke klinik Bahasa Arab
untuk mendalami ilmu Asas Bahasa Arab dengan sebaik mungkin.
Oleh itu, pelaksanaan Klinik Bahasa Arab sudah tentu dapat mengurangkan masalah pelajar
yang sering membuang masa berbual kosong, membaca bahan bacaan picisan dan melayari
internet tanpa had. Apabila masa mereka diperuntukkan untuk mengikuti Klinik Bahasa Arab
mereka telah menunjukkan tahap disiplin ilmu yang tinggi terutama dalam meningkatkan ilmu
pengetahuan khususnya ilmu Asas Bahasa Arab.
4.2 Dorongan Untuk Menguasai Asas Bahasa Arab Dengan Lebih Baik
Bagi sebahagian pelajar yang mengikuti bidang Perguruan Bahasa Arab, keinginan yang tinggi
untuk menguasai Asas Bahasa Arab dengan lebih baik telah mendorong mereka untuk
mengikuti Klinik Bahasa Arab. Keperluan menguasai ilmu Asas Bahasa Arab serta mempunyai
ilmu-ilmu yang berkaitan yang cukup semestinya dapat membantu mereka ketika pelaksanaan
sesi PdP kerana dengan persediaan ilmu yang cukup dapat memberi kesan yang terbaik terhadap
pembelajaran pelajar.
Keinginan yang tinggi untuk menguasai Asas Bahasa Arab telah mendorong guru pelatih untuk
mengikuti Klinik Bahasa Arab. “Saya tahu tentang perlunya menguasai Asas Bahasa Arab yang
baik kerana dengan memiliki dan menguasai ilmu Asas Bahasa Arab yang baik dapat membantu
melancarkan proses PdP Bahasa Arab yang lebih berkesan, menarik minat pelajar serta memberi
kesan yang terbaik terhadap pembelajaran pelajar” [Aina].
4.3 Memperkukuhkan Asas Bahasa Arab yang Sedia Ada
Terdapat sebahagian pelajar yang sudah menguasai ilmu Asas Bahasa Arab namun mereka juga
turut serta dalam Klinik Bahasa Arab untuk memperkukuhkan lagi Asas Bahasa Arab yang
sedia ada. “ Saya sangat teruja bila mengetahui tentang kewujudan Klinik Bahasa Arab kerana
saya ingin memperkukuhkan lagi Asas Bahasa Arab saya. Masih terdapat beberapa ilmu Asas
Bahasa Arab yang saya agak lupa tetapi dengan menghadiri Klinik Bahasa Arab ini saya telah
dapat mengingatinya semula dengan baik” [Hassan].
Bagi pelajar yang seperti ini mereka tahu bahawa tindakan menglibatkan diri dengan aktiviti
ilmiah akan mempengaruhi apa yang akan berlaku kepada mereka. Sekiranya mereka berusaha
mewujudkan kesungguhan dalam penguasaan Bahasa Arab, mereka akan mempunyai kawalan
dalaman diri yang kuat. Dengan kawalan dalaman yang kuat, ini akan memotivasikan mereka)
untuk melaksanakan sesuatu tugas seperti pelaksanaan proses PdP pada tahap yang terbaik
nanti. Sikap sebegini dapat memastikan mereka mencapai kejayaan dalam setiap tugas yang
dilaksanakan.
6
4.4 Menambahkan kosa kata bahasa Arab
Selain tiga faktor yang dinyatakan di atas, kesedaran mengenai kekurangan penguasaan kota
kata Bahasa Arab telah mendorong pelajar menghadiri Klinik Bahasa Arab. Sebilangan jumlah
pelajar menyatakan mereka mempunyai tahap penguasaan yang rendah terhadap kosa kata
Bahasa Arab. Kekurangan kosa kata ini telah menimbulkan kesukaran bagi mereka untuk
menguasai dan memahami Bahasa Arab dengan baik. Kenyataan ini selari dengan hasil
temubual di dalam Bahasa Arab bersama pelajar di mana terdapat sejumlah kesalahan yang
ditemui. Kesalahan-kesalahan ini berpunca dari lemahnya pelajar dalam kosa kata Bahasa Arab
tersebut. Di antara contoh-contoh kosa kata yang mempunyai kesilapan, “Umruka tis’ah
asyarah” [Fatah] ketika ditanya : “Kam umruka?”, “Taskunina fi Gombak” [Husna] ketika
ditanya : “Aina taskunina?”, “Fa’ala, fa’alaa, fa’aluu, fa’alat, fa’alatuma, fa’altum, ……..
fa’altunna, ….. fa’altu, fa’alnaa” [Adilah] ketika diminta menyebut tasrif fi’l al Madhi.
Mereka sedar sekiranya mereka masih tidak menguasai kosa kata Bahasa Arab yang banyak
sudah pasti sukar bagi mereka untuk melaksanakan PdP Bahasa arab dengan baik kerana situasi
pendidikan sekarang ini lebih menjuruskan kepada pemikiran pelajar dan memberi penekanan
kepada pelaksanaan pengajaran berasaskan kemahiran berfikir kritis. Semua ini dapat
dilaksanakan dengan baik sekiranya pelajar mempunyai penguasaan kosa kata Arab yang tinggi
serta kemahiran yang mendalam dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Untuk menguasai
kosa kata Bahasa Arab, para pelajar seharusnya mempunyai latihan yang cukup. Dengan
melibatkan diri dalam Klinik Bahasa Arab, mereka bukan sahaja dapat menambahkan kosa kata
Bahasa Arab malah kemahiran-kemahiran bahasa juga seperti kemahiran bercakap, membaca
dan menulis dapat dikuasai dengan baik.
4.5 Sebagai Persediaan Awal Sebelum Menjalani Latihan PRAKTIKUM di Sekolah
Latihan PRAKTIKUM yang bakal ditempuh oleh pelajar dalam bidang perguruan ini di sekolah
nanti telah membuka ruang yang sangat bermakna buat mereka dan menjadikannya begitu
komited terhadap pelaksanaan Klinik Bahasa Arab. Pelajar merasakan mereka perlu bersedia
dari awal sebelum mereka menjalani latihan PRAKTIKUM, terutamanya apabila mereka
diperlukan untuk mengajar subjek Bahasa Arab. “Kami tak pernah langsung cakap Bahasa Arab
sesama kami, jadi bagaimana kami hendak bercakap dalam Bahasa Arab dengan pelajar dalam
Bahasa Arab nanti” [Asma’ & Norliy].
5.0 PERBINCANGAN DAN IMPLIKASI KAJIAN
5.1 Kesedaran Untuk Memperbaiki Kelemahan
Hasil temubual menunjukkan bahawa pelaksanaan Klinik Bahasa Arab sangat penting kerana ia
dapat membantu pelajar terutamanya mereka yang mengambil bidang perguruan Bahasa Arab
atau Pendidikan Islam yang mengambil Bahasa Arab sebagai subjek minor bagi mengatasi
kelemahan dalam ilmu Asas Bahasa Arab. Kesedaran pelajar untuk memperbaiki kelemahan
dalam ilmu Asas Bahasa Arab dilihat sebagai satu faktor yang sangat penting berbanding
faktor-faktor yang lain. Dengan memiliki jiwa yang sentiasa sedar tentang sesuatau kelemahan
diri akan membantu seseorang menyelesaikan segala cabaran hidup dengan lebih lancar dan ini
7
akan membantu mereka melaksanakan proses pengajaran dalam suasana yang sentiasa
bermotivasi dan bersemangat ( Ahmad Zabidi : 2006).
Bagi pelajar, kesedaran dalam diri untuk memperbaiki segala kelemahan terutama dalam
menghadapi cabaran pengajaran Bahasa Arab akan menjadikan mereka sentiasa bersemangat
dan bermotivasi untuk terus menuntut ilmu Asas Bahasa Arab tersebut. Dalam Islam, Islam
menitik beratkan ketekunan dan kemahiran (itqan), kecekapan dan kecemerlangan (ihsan),
kejayaan yang paling tinggi (falah), kebenaran (al-haq), amanah (al-amanah), dan konsistensi
dalam melaksanakan sebarang tugasan dan tanggungjawab (IKIM : t.t).
5.2 Dorongan Untuk Menguasai Asas Bahasa Arab Dengan Lebih Baik
Hasil kajian juga menunjukkan bahawa pelaksanaan Klinik Bahasa Arab dapat mendorong
pelajar untuk menguasai Asas Bahasa Arab mereka dengan lebih baik. Pelaksanaannya juga
telah membuka peluang yang sangat tepat untuk mereka mempelajari, mengatasi pelbagai
masalah seperti tidak minat Bahasa Arab dan masalah tidak faham-faham tentang Asas Bahasa
Arab.
Bagi seorang guru yang mengajar Bahasa Arab, mereka perlu menguasai ilmu Asas Bahasa
Arab dengan baik seperti Makraj al huruf wa sifatuhu, ar roqmu wal ‘adad, Aqsam al kalimah,
Anwa’ al ism, Anwa’ al Fi’l, Asma’ al Isyarah, Ad Dhomir dan beberapa kata nama seperti
nama-nama bulan Masihi dan Hijriy, nama-nama hari dalam seminggu, warna, nama-nama
anggota badan, jam dan lain-lain lagi. Dengan menguasai Asas Bahasa Arab yang baik sudah
pasti membantu pelajar terutama yang bakal bergelar guru melaksanakan pengajaran Bahasa
Arab dengan lebih yakin dan berkesan .
Kenyataan ini sangat bertepatan dengan tanggungjawab guru . Menurut Azizah Lebai Nordin
(1999), guru yang berkualiti adalah guru yang mempunyai ilmu, mempunyai sifat tertentu,
boleh bekerjasama dengan guru lain dan boleh membuat refleksi kendiri sepertimana hasil
kajian yang dilakukan oleh Hopkins dan Stern (1996) yang telah mengenal pasti beberapa ciri
guru berkesan seperti berikut :
“The key characteristics of high quality teachers highlighted by the study are : commitment,
love of children, mastery of subject didactics and multiple models of teaching, the ability to
collaborate with other teachers, and a capacity for reflection”.
5.3 Memperkukuhkan Asas Bahasa Arab Yang Sedia Ada
Sesuatu ilmu yang sedia ada perlu kepada pengukuhan. Hasil kajian tentang implikasi faktor ini
menunjukkan bahawa pelaksanaan Klinik Bahasa Arab dapat memperkukuhkan ilmu Asas
Bahasa Arab yang sedia ada dalam diri pelajar tersebut.
Adalah menjadi satu kesilapan bagi seorang pelajar terutamanya yang bakal bergelar guru jika
tidak mahu berusaha untuk mencapai sesuatu ilmu sedangkan tugas seorang guru bukan sekadar
mengajar malah belajar secara berterusan. Menurut Dr Isjoni (2005) belajar bagi guru adalah
suatu kewajipan dan tidak pernah berhenti. Melalui pembelajaran guru akan lebih mengetahui
8
dengan jelas tugas yang diamanahkan kepadanya kerana dengan ilmu yang terbatas tidak akan
menjadikan guru tersebut maju dan cemerlang dalam profesionnya.
5.4 Menambahkan Kosa Kata Bahasa Arab
Kekurangan kosa kata Bahasa Arab sering menjadi cabaran bagi kebanyakan pelajar. Namun,
hasil kajian ini menunjukkan bahawa pelaksanaan Klinik Bahasa Arab dapat membantu pelajar
menambahkan kosa kata Bahasa Arab.
Tahap penguasaan yang rendah terhadap kosa kata bahasa Arab serta kemahiran-kemahiran
bahasa yang menjadi cabaran utama pelajar atau guru dalam pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Arab dapat diatasi sekiranya pelajar atau guru mempunyai minat dan iltizam yang tinggi
dan mantap untuk mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut. Dengan sifat ini, pelajar mahupun
guru-guru tanpa dipaksa akan terus belajar, mencari, menerokai, mendalami dan mengajar ilmu
dengan lebih berkesan (IKIM : t.t). Di samping itu, dengan adanya usaha yang berterusan segala
kelemahan yang dialami tersebut dapat diatasi dan dapatlah guru membina keyakinan diri dalam
pengajaran Bahasa Arab. Sememangnya, kosa kata merupakan aset penting dalam mempelajari
bahasa asing seperti Bahasa Arab. Bahasa yang baik bergantung kepada penguasaan kosa kata
yang baik. Mengikut pendapat Rosni Samah (2009), proses pembelajaran Bahasa Arab pada
hari ini kurang berjaya disebabkan kurang menguasai kosa kata. Oleh yang demikian, bagi
meningkatkan penguasaan bahasa Arab dengan baik, pendedahan kosa kata hendaklah
diutamakan.
5.5 Sebagai Persediaan Awal Sebelum Menjalani Latihan praktikum
Hasil kajian menunjukkan juga bahawa pelaksanaan Klinik Bahasa Arab dapat dijadikan
sebagai platform atau persediaan awal sebelum guru pelatih menjalani latihan PRAKTIKUM di
sekolah. Dengan penyediaan modul yang merangkumi hampir keseluruhan sukatan pelajaran
yang terdapat di sekolah dan pelaksanaan bengkel penulisan Rancangan Pengajaran Harian
(RPH) Bahasa Arab telah dapat membantu guru pelatih merasa bersedia untuk melangkah kaki
ke sekolah ketika menjalani latihan PRAKTIKUM.
Persediaan dan perancangan awal adalah antara ciri terpenting guru berkesan. Menurut Rahimah
(1998), guru merupakan faktor paling penting dan menjadi tunjang kepada sekolah kerana
merupakan juruteknik yang bertanggungjawb terhadap core business of schools, khususnya
pembelajaran anak didiknya melalui pengajaran dan bimbingan. Seseorang guru yang baik ialah
guru yang memiliki tahap disiplin kendiri yang tinggi dan sifat ingin melakukan kebaikan
kepada orang lain dengan melaksanakan beberapa persediaan kendiri.
6.0 CADANGAN KAJIAN
Oleh itu, beberapa cadangan dapat disarankan pada kajian ini. Antaranya ialah :
1. Pihak yang berkenaan perlu menyokong pelaksanaan Klinik Bahasa Arab di peringkat
IPT amnya dan di KUIS khususnya bagi mengatasi segala permasalahan bahasa yang
dihadapi oleh pelajar atau bakal guru sebagai persediaan untuk mereka melaksanakan
PdP di sekolah kelak. Pihak berkenaan boleh memberi penekanan kepada pelajar atau
9
guru pelatih supaya dapat menghadiri kelas-kelas tambahan atau Klinik Bahasa Arab
bagi memantapkan lagi penguasaan Bahasa Arab. Tidak semua pelajar atau guru pelatih
yang telah tamat tempoh pengajian mempunyai penguasaan ilmu Asas Bahasa Arab
yang baik.
2. Pihak berkenaan perlu bekerjasama dengan pelajar atau guru pelatih untuk merancang
dan melaksanakan program-program yang berkaitan dengan penguasaan Bahasa Arab.
Cara ini akan menyebabkan pelajar atau guru pelatih merasa bahawa mereka adalah
sebahagian daripada program perancangan dan bukan hanya semata-mata melaksanakan
arahan.
3. Pelaksanaan pemantauan oleh pihak yang berkenaan mengenai kelemahan Asas Bahasa
Arab dalam kalangan pelajar atau guru pelatih dapat memberi dorongan terhadap mereka
bagi menghadapi pelbagai cabaran di sekolah kelak. Tindakan ini akan menyebabkan
pelajar atau guru pelatih lebih bersedia untuk menjalani latihan PRAKTIKUM
terutamanya dalam pengajaran Bahasa Arab.
4. Bagi pelajar atau guru pelatih pula, mereka perlu menyedari betapa beratnya
tanggungjawab yang dipikul sebagai seorang pengajar bahasa asing. Seharusnya
tanggungjawab tersebut dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin. Setiap guru yang
berjaya perlu memiliki dua ciri penting iaitu ilmu pengetahuan tentang bahasa yang
diajar dan kedua ialah ilmu berkenaan strategi dan teknik pengajaran Bahasa Arab serta
kreativiti dalam mempersembahkan gaya pengajaran yang efektif dan boleh menarik
minat pelajar.
5. Pelajar atau guru pelatih seharusnya juga mempunyai kekuatan pemikiran dengan
melakukan kajian dan penyelidikan secara bersendirian ataupun berkumpulan.
Sekurang-kurangnya kajian dan penyelidikan ini dapat membantu pelajar atau guru
pelatih mengenalpasti kelemahan dalam pelbagai aspek yang perlu diperbaiki dan dapat
merancang bentuk-bentuk program penambahbaikan yang berkesan.
7.0 KESIMPULAN
Secara amnya, pelaksanaan Klinik Bahasa Arab memberikan kesan yang sangat positif dalam
kalangan pelajar atau guru pelatih Diploma Perguruan Bahasa Arab dan Pendidikan Islam,
KUIS. Pelaksanaan Kilinik Bahasa Arab dalam usaha untuk menguasai ilmu Asas Bahasa Arab
yang optimum merupakan satu usaha yang sangat positif terutamanya untuk guru-guru pelatih
yang akan menjalani latihan praktikum dan akan mengajar subjek Bahasa Arab. Penguasaan
ilmu Asas Bahasa Arab yang kukuh serta pengetahuan yang tinggi mengenai kaedah dan teknik
pengajaran Bahasa Arab terutamanya terhadap pelajar-pelajar di peringkat rendah dapat
mewujudkan minat pelajar terhadap matapelajaran Bahasa Arab serta membangkitkan suasana
pengajaran dan pembelajaran yang meyeronokan. Lebih-lebih lagi dalam usaha memartabatkan
Bahasa Arab di persada dunia. Dengan pelaksanaan Klinik Bahasa Arab, segala permasalahan
yang berlaku dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab dapat diatasi oleh para pelajar
atau guru pelatih tanpa perlu bergantung kepada pihak lain.
10
8.0 RUJUKAN
Abdul Azizi Musa. 1998. Pengajaran Nahu Bahasa Arab; Satu Kajian Kes di
MaahadMuhammadi, Kota Bharu, Kelantan . 69-70.
Abdul Ghani Hassan. 1999. Kesilapan Membina Ayat Asas Dalam Kalangan Pelajar Sekolah
Menengah.
Ahmad Zabidi Abdul Razak. 2006. Ciri Iklim Sekolah Berkesan : Implikasinya Terhadap
Motivasi Pembelajaran. Jurnal Pendidikan 31, UM
Azizah Lebai Nordin. 1999. Guru Pendidikan Islam Yang Berkesan. Masalah Pendidikan, Jilid
22, Fakulti Pendidikan, UM
Che Kamarudin Kamel Che Muhammad. 1999. Satu Kajian Penguasaan Nahu Bahasa Arab
Peringkat Menengah Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Arab. 70-74
H. Isjoni, M.Si. 2005. Citra Guru Antara Tuntutan Dan Pengabdian. Unri Press, Riau, Jakarta.
Hopkins, D. & Stern, D. 1996. Quality teachers, quality school : International Perspectives and
Policy Implications. Teaching & Teacher Education 12(5), 501-517
Mohd Fadzli Ismail & Mohd Sukki Othman. 2012. Faktor-faktor yang mempengaruhi
pencapaian pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab: Satu tinjauan di SMAP
Kajang. Persidangan Kebangsaan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab 2012
(PKEBAR’12).
Mohd Zaini Sejo. 2012. Penekanan Ilmu Morfologi dalam Buku Teks Bahasa Arab Kurikulum
Baru Sekolah Menengah. Persidangan Kebangsaan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab
2012 (PKEBAR’12).
Othman Mohamed. 2000. Prinsip Psikoterapi dan Pengurusan dalam Kaunseling. UPM,
Serdang Selangor
Rahimah Haji Ahmad. 1998. Ucap Utama (III) Profesionalisma Guru dan Sekolah Berkesan.
Prosiding Deminar Pendidikan Guru Untuk Sekolah Berkesan 23.
Rosni Samah. 2009. Isu Pembelajaran Bahasa Arab Di Malaysia. USIM, Bandar Baru Nilai.
Zawawi Ismail, Ab Halim Tamuri et.al. 2011. Teknik Pengajaran Kemahiran Bertutur Bahasa
Arab Di SMKA Di Malaysia. GEMA OnlineTM Journal of Language Studies
11
11