pemikiran mahathir

31
PEMIKIRAN TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD SIEW CHANG YEE Falsafah dan pemikiran Melayu merupakan satu bidang kajian yang amat menarik. Ia merupakan satu bentuk wacana untuk memahami secara mendalam bagaimana orang Melayu membentuk falsafah hidup mereka dalam usaha untuk mempertingkat serta memperbaiki status mereka dalam pelbagai bidang kehidupan. Antara perkara yang sering diperbincangkan ialah mengenai kemajuan, permasalahan sikap, penguasaan terhadap pelbagai bidang ilmu dan juga kemampuan orang Melayu untuk terus bersaing dalam era globalisasi. Lantaran itu, dalam tugasan ini penulis akan memberi tumpuan terhadap permasalahan orang Melayu menerusi pemikiran Dr. Mahathir Mohamad . Dalam mengupas permasalahan itu, aspek kemiskinan serta kemunduran orang Melayu akan dibincangkan dengan teliti dan mendalam. Di mana tiga karya utama Dr Mahathir Mohamad iaitu Dilema Melayu ( 1970 ), The Challenge ( 1986 ) dan Melayu Mudah Lupa ( 2001 ) akan dijadikan rujukan asas dalam tugasan ini. Ia penting bagi mendapatkan ‘ frame of thinking’ Dr. Mahathir Mohamad terhadap permasalahan orang Melayu yang berkisarkan kepada permasalahan kemunduran serta kemiskinan masyarakat itu. 1

Transcript of pemikiran mahathir

Page 1: pemikiran mahathir

PEMIKIRAN TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD

SIEW CHANG YEE

Falsafah dan pemikiran Melayu merupakan satu bidang kajian yang amat menarik. Ia

merupakan satu bentuk wacana untuk memahami secara mendalam bagaimana orang

Melayu membentuk falsafah hidup mereka dalam usaha untuk mempertingkat serta

memperbaiki status mereka dalam pelbagai bidang kehidupan. Antara perkara yang

sering diperbincangkan ialah mengenai kemajuan, permasalahan sikap, penguasaan

terhadap pelbagai bidang ilmu dan juga kemampuan orang Melayu untuk terus bersaing

dalam era globalisasi.

Lantaran itu, dalam tugasan ini penulis akan memberi tumpuan terhadap

permasalahan orang Melayu menerusi pemikiran Dr. Mahathir Mohamad . Dalam

mengupas permasalahan itu, aspek kemiskinan serta kemunduran orang Melayu akan

dibincangkan dengan teliti dan mendalam. Di mana tiga karya utama Dr Mahathir

Mohamad iaitu Dilema Melayu ( 1970 ), The Challenge ( 1986 ) dan Melayu Mudah

Lupa ( 2001 ) akan dijadikan rujukan asas dalam tugasan ini. Ia penting bagi

mendapatkan ‘ frame of thinking’ Dr. Mahathir Mohamad terhadap permasalahan orang

Melayu yang berkisarkan kepada permasalahan kemunduran serta kemiskinan

masyarakat itu.

Di samping ketiga-tiga buku tersebut, penulis turut akan merujuk kepada

beberapa siri penulisan ahli akademik lain yang menulis tentang Dr. Mahathir Mohamad.

Antara buku yang dijadikan rujukan dalam menyiapkan tugasan ini ialah The Malay

Dilemma Revisited ( 1999 ) oleh M. Bakri Musa, The Other Side of Mahathir ( 1994 )

oleh Zainuddin Maidin, Kolokium Pemikiran Tun Dr. Mahathir ( 2004 ) yang disunting

oleh Ramlah Adam, Reflections: The Mahathir Years ( 2004 ) yang disunting oleh

Bridget Welsh dan Paradoxes of Mahathirism: An Intellectual Biography of Mahathir

Mohamad ( 1995 ) oleh Khoo Boo Teik. Rujukan serta pembacaan tambahan ini penting

1

Page 2: pemikiran mahathir

dalam proses memahami pemikiran Dr Mahathir Mohamad dan seterusnya mendapat satu

gambaran kasar tentang ‘ mode of thinking’ beliau.

1.1 POLA PEMIKIRAN MASYARAKAT MELAYU

Falsafah pemikiran Melayu memasuki satu tahap baru dengan kemunculan Abdullah

Munsyi . Ia merupakan satu titik pemisah kepada penulisan-penulisan yang berunsurkan

mytopoeism Melayu yang sarat dengan unsur-unsur tahyul, mitos, legenda yang

dimanifestasikan dalam karya-karya pra-Islam dan dicampur aduk dengan pengaruh

Hindu-Buddha. Menurut Mohd Wahiduddin b. Abd. Wahab ( 1965 ) : ‘…there is nothing

legendary or mythical in his writing and that is a break way from traditional Malay

writing of legends and romance century round the court’.1

Pemikiran Abdullah Munsyi jelas menonjolkan cirri-ciri pembaharuan dan ia

memberi tumpuan kepasa aspek kehidupan masyarakat massa dan melihat sesuatu

peristiwa itu dari kaca mata masyarakat biasa dan tidak lagi terikat dengan pemikiran

tradisional. Menurut Shaharuddin Maarof ( 1998):

‘ Abdullah Munsyi merupakan pelopor dalam pemikiran moden Melayu. Beliau melihat serta mengkaji secara kritis kemiskinan dan kemunduran orang Melayu serta kaitannya dengan kepimpinan, nilai sosial dan juga sikap mereka terhadap aspek pembangunan.’2

Kedatangan kuasa Barat serta kemajuan dalam pendidikan telah melahirkan cendiakawan

Melayu yang sedar tentang peminggiran serta kemunduran bangsa mereka dalam arus

pembangunan. Ia seterusnya membawa kepada kelahiran tiga aliran utama dalam

pemikiran Melayu iaitu konservatif, reformist dan sekular. Persoalan yang berlegar di

kalangan pendukung aliran-aliran ini pada ketika itu ialah sama ada untuk menolak,

1 Mohd Wahiduddin b. Abd. Wahab, Abdullah Munsyi: As a Historian, Tesis Sarjana Muda, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1965, hlm. 5. 2

? Dr Shaharuddin Maaruf, Malay Ideas on Development: From Fuedal Lord to Capitalist, Times Book International, Singapore, 1988, hlm.25.

2

Page 3: pemikiran mahathir

terima atau adaptasikan sistem serta ilmu Barat ke dalam Islam. Ia mengakibatkan

kecelaruan serta perbalahan di kalangan ahli akademik Islam.

Aliran konservatif yang dipelopori oleh kaum tua dipengaruhi oleh ideologi al-

Ghazali lebih menjurus kepada penekanan konsep Jabariyyah yang mengatakan manusia

tidak berkuasa ke atas perbuatannya. Di mana nasib atau rezeki seseorang sudah

ditentukan sejak azali lagi dan manusia tidak memiliki daya ikhtiar untuk mengubah

kehendak Allah. Aliran ini dilihat menjadikan manusia itu pasif dan bergantung kepada

takdir semata-mata. Aliran konservatif ini menjadi pegangan golongan hierarki agama,

elit Melayu tradisional dan golongan ulama.

Menjelang tahun 1906, telah menyaksikan kelahiran aliran reformis yang

didukung oleh Gerakan Reformis Islam iaitu golongan yang mendapat pendidikan di

Arab. Mereka terpengaruh dengan Gerakan Islam di Timur Tengah yang diketuai oleh

Syed Jamaluddin Al-Afgahari dan Syed Muhammad Abduh. Gerakan ini mengesa umat

Islam untuk bangkit dan menentang perluasan kuasa Barat dan juga membersihkan

agama Islam daripada segala unsur-unsur yang khurafat dan memudaratkan agama itu.3

Gerakan reformis di Tanah Melayu didukung oleh tokoh-tokoh terbilang seperti Skeikh

Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Ahmad al-Hadi, Haji Abbas bin Mohd Taha dan Sheikh

Mohd Salim al-Kalali. Mereka menekankan perlunya proses ‘Culture Sintesisi’ dan

penyesuaian ilmu-ilmu Barat dengan Islam agar ia tidak bertentangan dengan akidah

orang Melayu. Aliran reformis memberi penekanan kepada penggunaan akal dalam

kehidupan harian dan juga mengatur kehidupan kita pada masa hadapan.

Kemerosotan pengaruh reformis menyaksikan kelahiran aliran pemikiran yang

lebih radikal iaitu aliran sekular yang lebih bersifat kebaratan. Ia menegaskan perlunya

untuk menyingkirkan budaya hidup tradisional yang luput dan mengekang kemajuan

orang Melayu. Ia menggalakkan penerimaan ilmu-ilmu Sains dan menumpukan kepada

ilmu yang bersifat akliah yang dianggap sebagai tunjang kekuatan manusia. Lantaran itu,

orang Melayu perlu menguasai ilmu sains agar mampu bersaing dengan kaum lain kerana

3 Sohaimi Abdul Aziz (ed.), Syed Syeikh Al-Hadi: Cendekia dan Sasterawan Ulung, Penerbit Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2003, hlm. 37.

3

Page 4: pemikiran mahathir

beranggapan bahawa ilmu-ilmu yang bersifat naqliah sahaja tidak mampu menyelesaikan

masalah kerana ia kurang praktikal. Pengaruh aliran ini semakin kuat sejak tahun 1940-

1960 dengan kemunculan Asas 50 yang menonjolkan pemikiran sekular mereka menerusi

penghasilan novel, cerpen, majalah dan akhbar. Golongan intelektual yang terdedah

kepada humanisme Barat ini memperjuangkan konsep ‘modernity’ dan mengagung-

agungkan sistem kapitalis Barat dan mengenepikan sIstem lama yang dianggap

menjumudkan orang Melayu. Kemuncak kepada perkembangan aliran ini adalah di

sekitar tahun 60an yang menyaksikan terbitnya ‘Revolusi Mental’ pada tahun 1969 yang

ditaja oleh Pemuda UMNO. 4

Secara ringkasnya, perkembangan pemikiran Melayu di negara kita dicorakkan

oleh tiga aliran utama dan seterusnya telah membentuk satu mood of thinking yang

berbeza-beza di kalangan golongan intelektual mahupun ahli politik. Ia seterusnya

membawa kepada proses pengabungjalinan aliran pemikiran pada zaman moden ini.

Proses itu telah melahirkan aliran-aliran pemikiran yang lebih moderate dan refleksible

pada masa ini.

2.1 IMBASAN PERJUANGAN DR MAHATHIR MOHAMAD

Penglibatan Dr Mahathir Mohamad secara aktif dalam politik bermula seawal tahun

1964. Profesionnya sebagai seorang doktor banyak membantu beliau dalam karier

politiknya. Dr Mahathir Mohamad dikenali sebagai Dr. UMNO dan banyak membantu

golongan miskin dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki taraf hidup orang Melayu

yang dibelenggu kemiskinan.5

Kejayaan memenangi kerusi parlimen kawasan Kota Setar pada tahun 1964 telah

melonjakkan nama Dr Mahathir di arena politik. Dalam usaha memperjuangkan nasib

bangsa Melayu, beliau telah muncul sebagai nasionalis Melayu yang paling dominan

dalam era 60an. Kelantangan menyuarakan pendapatnya tentang perlunya memelihara 4 Dr Shaharuddin Maaruf, Malay Ideas on Development: From Fuedal Lord to Capitalist, hlm.138.5

? M. Rejendran, Mahathir Mohamad: Prime Minister of Malaysia, IBS BUKU Sdn Bhd, Petaling Jaya, 1993, hlm. 2.

4

Page 5: pemikiran mahathir

serta mempertahankan ketuanan Melayu menjadikan Dr Mahathir Mohamad begitu

sinomin dengan orang Melayu. Namun begitu, ia menimbulkan kebimbangan di kalangan

orang Melayu yang melihatnya terlalu agresif dan bersifat racist. Justeru itu, Lee Kuan

Yew mengecam beliau sebagai golongan ultra-Melayu.6 Dalam mengulas kecaman itu,

Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa:

‘ I have misinterpreted and misunderstood, even at the time when I was lebelled as Ultra. I felt that the label was a political gimmick, and that image is unacceptable to a large majority of Malaysians. When I was a member of Parliament, all I was talking about was the Malays should have a fair share in this country- no more than that.’ 7

Walaupun semakin mendapat sokongan orang Melayu, kelantangan menyuarakan

ideanya yang pro-Melayu secara terbuka telah memakan dirinya. Dr Mahathir telah tewas

dalam Pilihan Raya 1969 kepada Haji Yusof Rawa dan dalam mengulas kekalahan itu, Dr

Mahathir mendakwa dia telah dikhianati oleh pengundi Cina. Menurut Khoo Boo Teik

( 1995 ), dalam Paradoxes of Mahathirism,:

‘ He had caused some difficulties for himself by his outspoken views on the advancements of the Malays. For his opinions, he was labeled ‘ a Malay Ultra’ by Chinese, who voted heavily against him.’8

Kekalahan itu telah merencatkan perkembangan politik Dr Mahathir Mohamad. Beliau

mula mensasarkan kekecewaannya terhadap prestasi Parti Perikatan dalam Pilihan Raya

1969 yang dianggapnya berpunca daripada kelemahan pentadbiran Tunku Abdul Rahman

yang dikatakan terlalu banyak berkompromi, tidak serius dan komited terhadap

perjuangan bangsa Melayu dan tidak mempunyai visi bagi masa hadapan negara. 9

6 Zainuddin Maidin, The Other Side of Mahathir, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 1994, hlm. 16. 7

? Khoo Boo Teik, Paradoxes of Mahathirism: An Intellectual Biography of Mahathir Mohamed, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1995, hlm. 20. 8

? Ibis, hlm. 21. 9

? Zakry Abadi, Mahathir: dalam Dilema Melayu, Gelanggang Publishing, Kuala Lumpur, 1992, hlm. 17.

5

Page 6: pemikiran mahathir

Ia seterusnya telah mencetuskan satu polemik politik yang berpanjangan antara Dr

Mahathir Mohamad yang terus mengkritik pentadbiran Tunku Abdul Rahman

sehinggalah pada 17 Jun 1969, dalam sepucuk suratnya kepada Tunku, Dr Mahathir telah

mendesak beliau untuk meletakkan jawatan. Di dalam surat tersebut, Dr Mahathir

Mohamad mendakwa :

‘ Tunku hanya mendengar serta menerima pendapat daripada segelintir pegawai dikelilingnya. Pada masa yang sama, golongan itu tidak memberi nasihat yang sewajarnya. Lantaran itu, Tunku menjadi sasaram kebencian orang Melayu dalam UMNO mahupun PAS terutamanya mereka yang kehilangan anggota keluaarga mereka dalam tragedi 13 Mei. Tunku dikatakan perlu bertanggungjawab dalam insiden itu kerana kegagalan beliau memahami situasi perkauman pada masa itu dan gagal menghalang tragedi berdarah itu daripada tercetus.’10

Kritikan yang keras itu jelas menimbulkan perasaan kurang senang Tunku Abdul

Rahman dan ia berakhir dengan pemecatan Dr Mahathir dari UMNO pada 12 Julai 1969.

Namun begitu, ia bukan penghujung karier beliau dalam politik, sebaliknya Dr Mahathir

Mohamad semakin lantang dalam menyuarakan pendapatnya sehinggalah terhasilnya

buku Dilema Melayu yang diterbitkan pada tahun 1970 di Singapura. Antara analisanya

dalam buku tersebut, Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa keharmonian antara

kaum di Tanah Melayu tidak tulen bahkan tidak berakar umbi.11 Perselisihan kaum yang

serius tidak berlaku sebelum ini tidak hanyalah kerana ada penyesuaian dan sedikit tolak

ansur.

Dalam mengkritik pucuk kepimpinan negara pula, Dr Mahathir Mohamad melihat

kerajaan pimpinan Tunku banyak berlaku kepincangan dan penyelewengan.12 Penindihan

tugas dalam kerajaan dan parti sering menimbulkan kecelaruan. Kepentingan parti sering

10 Khoo Boo Teik, Paradoxes of Mahathirism: An Intellectual Biography of Mahathir Mohamed, hlm. 22.

11 Mahathir Bin Mohamad, Dilema Melayu, (terj ), Federal Publications, Kuala Lumpur, 1982, hlm. 6.

12 Ibid, hlm. 11-12.

6

Page 7: pemikiran mahathir

dibelakangkan dan pendapat Majlis Tertinggi serta ahli tidak lagi dihiraukan. Lantaran itu

parti menjadi lemah dan gagal mencatat keputusan yang baik dalam pilihan raya.

Pandangan yang telah diutarakan oleh Dr Mahathir Mohamad dalam Dilema Melayu

( 1970 ) telah dinyatakan dengan penuh ketegasan walaupun ia menyentuh sesetengah

subjek yang dianggap sebagai sensitif dan kontroversial pada ketika itu. Namun begitu, ia

telah menjadi satu karya ilmiah yang akan dikenang oleh orang Melayu buat selama-

lamanya kerana ia telah muncul ketika orang Melayu sedang menghadapi dilemma, jalan

buntu, dan kehampaan kerana kemerdekaan yang dicapai gagal memberi satu pembelaan

dan orang Melayu terus dibelenggu kemiskinan dan ketinggalan dalam arus

pembangunan.13

Buku tersebut telah diharamkan kerana dianggap terlalu kontroversi dan

membahayakan keamanan negara. Walaupun begitu, penerbitan Dilema Melayu serta

surat terbuka Dr Mahathir Mohamad telah berjaya mengembalikan namanya dalam arena

politik negara. Beliau dianggap sebagai hero dalam idealisme kepimpinan Melayu yang

berani bersuara demi mempertahankan hak serta ketuanan Melayu. Masyarakat Melayu

telah melihat penulisan itu satu pandangan yang kritis dari seorang nasionalis Melayu

yang peka dengan nasib bangsa yang hidup melarat di tanah air sendiri.

Perubahan pucuk kepimpinan menyaksikan kembalinya Dr Mahathir Mohamad

dalam UMNO pada tahun 1972. Sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang dan telah

diberi kepercayaan dalam UMNO mahupun kerajaan dalam memegang pelbagai jawatan

penting. Namun begitu matlamat perjuangan Dr Mahathir Mohamad masih belum selesai,

beliau terus berusaha untuk menyedar serta memajukan bangsanya melalui penulisan. Ia

telah membawa kepada lahirnya karya The Challenge pada tahun 1976. Dalam meniti

arus kemajuan, beliau melihat orang Melayu sedang menghadapi kekeliruan.14 Lantaran

itu dalam penulisan, The Challenge, Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa orang

Melayu sedang berhadapan dengan tiga cabaran iaitu diri mereka, agama mereka dan

politik mereka. Ini kerana ketiga-tiga perkara ini saling bergantungan dan bakal 13 Prof. Dato’ Dr. Ahmad Fawzi Haji Mohd. Basri, Kolokium Tun Dr. Mahathir, Institut Kajian

Sejarah dan Patriotisme, Melaka, 2004, hlm. 26.14

? Ibid, hlm. 39.

7

Page 8: pemikiran mahathir

menentukan kejayaan serta keupayaan bangsanya, Melayu. Aspirasi Dr Mahathir dalam

melihat orang Melayu setanding dengan bangsa lain tidak pernah terpadam walaupun

setelah beliau menjadi perdana menteri. Ia dapat dilihat dalam tegurannya terhadap orang

Melayu dalam buku Melayu Mudah Lupa ( 2001 ) yang merupakan kompilasi ucapan Dr

Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung UMNO pada 21 Jun 2001. Dalam

penulisannya Dr Mahathir Mohamad mengajak orang Melayu untuk mengimbas semula

kehidupan orang Melayu semasa zaman penjajahan dan mengingatkan mereka bahawa

pencapaian orang Melayu masih rendah. Beliau menggesa orang Melayu untuk terus

mengejar ilmu agar dan sentiasa mengingati perjuangan tokoh-tokoh pada masa yang

lampau.

Kemuncak karier politik Dr Mahathir Mohamad tiba pada 18 Julai 1981 apabila

beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Pada tahun

yang sama, Dr Mahathir Mohamad menang tanpa bertanding sebagai Presiden UMNO. Ia

seterusnya menandakan bermulanya era Mahathirism di Malaysia yang telah berlangsung

lebih daripada 20 tahun. Era pentadbiran Dr Mahathir Mohamad dianggap sebagai satu

era pentadbiran yang penuh dengan kontroversi. Menurut Rajendran ( 1993 ) dalam

Mahathir Mohamad: Prime Minister of Malaysia, Dr Mahathir Mohamad:

‘ …seen to be the most controversial figure ever hold this premier position. He is seen by many as the only prime minister who had the audacity to be very blunt and had no fear of “rocking the boat”. 15

Namun begitu, Dr Mahathir Mohamad berjaya mengatasi segala permasalahan itu dengan

begitu baik. Lantaran itu, beliau sentiasa disanjungi oleh rakan serta dihormati oleh

lawannya. Beliau dianggap sebagai ‘ the ultimate survivor as he has managed to remain

unscathed crisis during his leadership’16

15 M. Rejendran, Mahathir Mohamad: Prime Minister of Malaysia, hlm. 1.16

? Ibid.

8

Page 9: pemikiran mahathir

3.1 PEMIKIRAN DR MAHATHIR MOHAMAD MENGENAI PERMASALAHAN

ORANG MELAYU

Kerangka pemikiran Dr Mahathir Mohamad banyak dipengaruhi oleh corak pemikiran

golongan reformis yang dipelopori oleh Zaba dan Syeikh al-Hadi. Ia bertujuan untuk

untuk memperbaiki cara berfikir dalam kehidupan umat Islam. Ia menyeru orang Melayu

untuk keluar dari belenggu kemiskinan dan kemunduran dengan mendekati ilmu-ilmu

yang bersifat akliah terutamanya ilmu-ilmu yang bersifat saintifik. Di mana kedua-dua

tokoh ini berpendapat pengetahuan manusia perlu dihasilkan melalui kaedah-kaedah

saintifik. Lantaran itu untuk mencapai kemajuan, orang Melayu perlu menerima dan

menguasai sains Barat.

Ia kemudiannya membawa kepada perkembangan aliran sekular modernist di

dalam jiwa Dr Mahathir Mohamad. Corak pemikiran sekular ini jelas dalam pandangan

beliau tentang kemiskinan dan kemunduran orang Melayu. Beliau melihat kemiskinan

dan kemunduran itu daripada pelbagai sudut. Ia termasuklah aspek pendidikan, pemilikan

harta, nilai-nilai yang positif serta keyakinan diri.

Dalam melihat punca-punca kemunduran dan kemiskinan orang Melayu, Dr

Mahathir Mohamad memberi penekanan kepada faktor baka dan alam sekitar. Dalam

mengulas faktor pengaruh baka, beliau menyatakan bahawa kajian-kajian saintifik telah

pun membuktikan bahawa zuriat yang dilahirkan akan mewarisi baka ibu bapa yang lebih

menonjol dan menolak konsep lazim yang menyatakan zuriat hendaklah merupakan

perwatakan yang lebih sederhana dari sifat-sifat utama kedua-dua ibu bapa.17 Justeru itu,

beliau menegaskan bahawa ‘satu perkara yang diterima umum ialah faktor-faktor

keturunan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan sesuatu kaum.’18

17 Mahathir Bin Mohamad, Dilema Melayu, (terj ), hlm. 20.

18 Ibid, hlm. 19.

9

Page 10: pemikiran mahathir

Dalam usaha untuk mempertahankan pendapatnya, pandangan Cyril Dean

Darlington, seorang pakar genetik telah dipetik. Di mana tinjauan Darlington telah

digunakan untuk melihat aspek pembiakan keturunan orang melayu termasuklah soal

perkahwinan di antara sepupu atau kaum keluarga yang terdekat. Dr Mahathir Mohamad

mengulas:

‘Amalan begini biasa berlaku di kalangan orang melayu. Pengaruh keturunan boleh juga menimbulkan kesan buruk di dalam masyarakat yang menggalakkan setiap berkahwin, tidak kira sama ada orang itu sihat atau tidak. Oleh itu, orang-orang yang cacat tubuh badan atau otak juga dikahwinkan dan beranak pinak.’19

Setelah melihat pengaruh baka dalam perkembangan bangsa, Dr Mahathir Mohamad

turut membicarakan tentang pengaruh alam sekitar dalam pembentukan watak manusia.

Orang Melayu dikatakan mundur dan malas kerana alam sekitar yang melingkungi

kehidupan mereka subur, tidak banyak halangan untuk memperoleh makanan, justeru itu

ia membentuk keperibadian orang Melayu yang relatif selesa. Selain itu, Dr Mahathir

Mohamad turut melihat pengaruh pekerjaaan orang Melayu terhadap diri mereka. Beliau

menyatakan:

‘Sebilangan besar orang Melayu terlibat di dalam penanaman padi, iaitu satu pekerjaan bermusim. Kerja-kerja sebenarnya hanya masa selama dua bulan dan masa lapangnya begitu panjang. Pada masa yang sama, iklim negeri ini panas dan lembab tidak begitu menggalakkan kerja-kerja berat ataupun daya pemikiran yang lebih aktif. Oleh itu, penduduknya lebih suka duduk rehat-rehat atau berbual-bual dengan jiran tetangga dan rakan-rakan mereka’.20

Dr Mahathir Mohamad telah membuat satu perbandingan dalam melihat pengaruh baka

dan alam sekitar dalam kehidupan orang Melayu . Di mana beliau melihat kesengsaraan

hiduporang Cina akibat daripada malapetaka dan peperangan yang berlaku di Tanah

Besar China telah membentuk satu jati diri yang kuat di mana masyarakat itu.

19 Ibid, hlm. 2. 20

? Ibid, hlm, 25.

10

Page 11: pemikiran mahathir

Di mana menurut Dr. Shaharuddin Maaruf ( 1988 ), ‘ In that process, the weak in

mind and body lost out to the strong and the resourceful’21 Pada masa yang sama,

masyarakat Cina menghalang perkahwinan pembiakan seketurunan dan amalan itu telah

pun diamalkan sejak beribu-ribu tahun dahulu.

Berdasarkan analisa yang dilakukan oleh Dr Mahathir Mohamad jelas dapat

dilihat pengaruh baka dan alam sekitar sebagai satu punca kemiskinan dan kemunduran

orang Melayu. Lantaran itu, beliau berpendapat orang Melayu dan tidak mampu

menghadapi cabaran pendatang China dan terpaksa mengalah. Orang Cina yang terkenal

dengan keazaman yang tinggi serta kerajinan telah mula mengambil alih peranan orang

Melayu dalam sektor ekonomi dan seterusnya meminggirkan mereka dari arus kemajuan.

Punca kedua, kemunduran orang Melayu juga berkaitan dengan tatasusila dan

sistem nilai mereka. Beliau melihat ia sebagai satu faktor yang memandu kehidupan

manusia. Perbincangan terhadap isu ini dapat dilihat dalam ulasan Dr Mahathir

Mohamad:

‘ Sesuatu bangsa itu berbeza bukan sahaja disebabkan olef fasiognomi, bahasa dan tempat tinggalnya tetapi juga oleh kebudayaannya. Kebudayaan terjalin erat dengan tatasusila dan sistem nilai sesuatu bangsa. Kesusilaan dan sistem nilailah yang melahirkan kesusasteraan, seni kreatif dan visual dan lain-lain manifestasi yang biasanya membentuk kebudayaan.’ 22

Dr Mahathir Mohamad beranggapan sistem nilai tradisional Melayu tidak

menggalakkan pertumbuhan ciri keusahawanan serta tidak mementingkan persaingan. Ia

melahirkan orang Melayu yang tiada keyakinan diri, tidak memnting masa, kurang

bertanggungjwab serta tidak produktif. Ia disebabkan oleh pemahaman yang salah serta

menyesatkan di kalangan umat Islam yang mengamalkan kehidupan yang tidak

mementingkan unsur duniawi dan hanya memberi keutamaan dalam soal keagamaan

21 Dr Shaharuddin Maaruf, Malay Ideas on Development: From Fuedal Lord to Capitalist, hlm. 141.

22

? Mahathir Bin Mohamad, Dilema Melayu, (terj ), hlm. 183.

11

Page 12: pemikiran mahathir

sahaja.23 Justeru itu orang Melayu menjadi anti pembangunan serta tiada tabiat menabung

kerana tidak mementingkan material .

Pada keseluruhannya, Dr Mahathir Mohammad melihat kemunduran serta

kemiskinan orang Melayu turut dilemahkan oleh sistem tatasusila dan nilainya. Khoo

Boo Teik ( 1995 ) telah menyenaraikan beberapa kelemahan ketara dalam sisitem nilai

nilai dan tatasusila orang Melayu. Antaranya ialah orang Melayu menghargai nywa tetapi

nampaknya tidak menghargai sepenuhnya apa yang dikatakan nywa dan tujuannya. Ini

kerana walaupun menghargai kehidupan, mereka seolah-olah tidak tahu matlamat hidup

mereka. Selain itu, orang Melayu turut dikatakan kurang berjaya dalam perniagaan

kerana tidak faham tentang kemampuan wang dan sifat orang Melayu yang terlalu tertib

dan sopan santun sering dieksplotasi oleh bangsa lain. Sebaliknya mereka lebih gemar

menahan diri dan tidak suka menyakitkan hati orang lain.

Dalam memperkatakan kemiskinan di kalangan orang Melayu, Dr Mahathir

Mohamad turut melihat dasar kapitalis sebagai punca kepada kemunduran itu. Kehadiran

kuasa-kuasa Barat sememangnya telah merobek sistem pentadbiran dan politik Melayu di

Tanah Melayu. Sikap rakus dan menindas penjajah yang tanpa segan silu mengeksploitasi

sumber negara telah menjadikan orang Melayu seolah-olah ‘melukut di tepi gantang’.

British yang mula bertapak di Pulau Pinang selepas pembukaanya pada tahun

1786 telah mengukuhkan penguasaanya terhadap Tanah Melayu selepas Perjanjian

Inggeris-Belanda 1824. Dasar ‘pecah dan perintah’ telah digunakan dalam usaha

mengawal kepentingan mereka di Tanah Melayu. Mereka bertindak sebagai pemisah atau

‘ buffer ’ antara orang Melayu dengan pendatang.24 Imigran Cina ditempatkan di kawasan

lombong dan bandar manakala imigran India pula dihantar ke kawasan estet dan pinggir

bandar. Masyarakat Melayu yang majoritinya petani dan nelayan digalakkan untuk terus

23

? M. Bakri Musa, The Malay Dilemma Revisited: Race Dynamics in Modern Malaysia, Merantau Publisher, USA, 1999, hlm. 8.24

? Mahathir Bin Mohamad, Dilema Melayu, (terj ), hlm. 144.

12

Page 13: pemikiran mahathir

menetap di kawasan luar bandar. Mereka mawarisi pelbagai masalah seperti kemiskinan,

kadar buta huruf yang tinggi serta kekurangan kemudahan asas yang menjadikan mereka

terus tertinggal dan tenggelam dalam arus pembangunan.

Dalam Melayu Mudah Lupa ( 2001 ), Dr Mahathir Mohammad menyatakan dasar

kapitalis penjajah mengakibatkan orang Melayu tertinggal jauh dalam bidang ekonomi

berbanding dengan kaum yang lain.25 Penjajah membolot 60% daripada kekayaan negara

dan bakinya dikuasai oleh bukan Melayu. Majoriti orang Melayu menjadi petani dan

nelayan dengan pendapatan yang amat rendah.26

Kemiskinan dan kemunduran orang Melayu boleh dilihat daripada beberapa

aspek. Antaranya ialah dari aspek pendidikan di mana Dr Mahathir Mohamad memberi

penekanan perlunya menguasai ilmu-ilmu yang bersifat akliah agar orang Melayu mampu

trus bersaing dengan bangsa lain. Menurut, M. Bakri Musa, dalam penulisan Education –

A Blemished Legacy:

‘ Malaysia educational achievement is racially skewed across the three main racial groups, with the indigenous Malay majority lagging behind the Chinese and Indian minorities.’27

Lantaran itu, Dr Mahathir Mohamad dalam karyanya Melayu Mudah Lupa (2001)

menyatakan orang Melayu tidak begitu menitik beratkan penguasaan ilmu. 28 Mereka

hanya menumpukan kepada fardu ain dan ibadat-ibadat wajib. Sikap itu dibidas Dr

Mahathir Mohamad yang menjelaskan ilmu-ilmu lain tidak kurang pentingnya dalam

Islam dan Islam mewajibkan penguasaannya kerana ia berkaitan dengan menjamin

kesejahteraan dan keselamatan umat islam daripada cengkaman musush-musuh Islam.

Sikap orang melayu terhadap ilmu turut diulas dengan panjang lebar dalam karya

25 Dr Mahathir Mohamad, Melayu Mudah Lupa, Pelanduk Publications, Selangor Darul Ehsan, 2001, hlm. 21.

26

? Ibid, hlm 22. 27

? M. Bakri Musa, Education -A Blemished Legacy in Reflections: the Mahathir Years, Bridget Welsh ( ed. ), Southeast Asia Studies Program, Washington, 2004, hlm. 450.28

? Dr Mahathir Mohamad, Melayu Mudah Lupa, hlm. 15

13

Page 14: pemikiran mahathir

Cabaran ( 1982 ). Di mana Dr Mahathir Mohamad menyatakan orang Melayu berada

dalam dilema pelajaran. Kedatangan Barat dan sistem pendidikan sekular gagal

dimanfaatkan oleh orang Melayu yang menerimanya dengan penuh prejudis.29 Orang

Melayu terus berpegang kepada pemikiran yang disifatkan jumud dan enggan menerima

unsur-unsur pembaharuan . Ia jelas dalam The Challenge ( 2002 ) yang menyatakan

bahawa:

‘ When the British began colonizing the Malay states and setting up schools to train staff for their government, education among the Malays was still confined to aqidah and ibadah in Islam. The concept of education as a means of disseminating knowledge, wheather general or specialized for training of workers, was new and alien to them. They viewed with suspicion the development of the school system introduced by the British regarding such education as foreign and secular. They were particulary worried about its effect on their religion, Islam’30

Lantaran itu, Dr Mahathir Mohamad beranggapan bahawa kemiskinan ilmu di kalangan

orang Melayu telah mengakibatkan kemunduran orang Melayu dan beliau menegaskan

bahawa mereka akan terus ketinggalan sekiranya tidak sanggup menerima dan melakukan

sebarang perubahan.

Kemiskinan dan kemunduran orang Melayu turut dilihat dari segi keperibadian

mereka. Dr Mahathir Mohamad beranggapan orang Melayu kekurangan nilai-nilai yang

diperlukan untuk bersaing dalam dunia globalisasi. Beliau menegaskan orang Melayu

tidak ‘fit’ untuk bersaing dengan bangsa lain. Di mana dalam system ekonomi kapitalis

era globalisasi ini, ia mengutamakan konsep ‘ survive of fitness ’.31

Keperibadian Melayu yang sederhana, sering merendah diri dan tidak suka menonjol diri

dianggap tidak sesuai dalam era ini. Ia mengakibatkan orang Melayu ditindas dan

29 Mahathir Mohamad, Cabaran, Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1982, hlm.33. 30

? ________________, The Challenge, Pelanduk Publications, Selangor, 2002, hlm. 21-22.31

? Dr Shaharuddin Maaruf, Malay Ideas on Development: From Fuedal Lord to Capitalist, hlm. 142.

14

Page 15: pemikiran mahathir

dimanipulasi di tanah air sendiri.32 Ini kerana mereka dianggap lemah dan sering

menunjukkan teleransi yang tinggi dan bersedia untuk berkompromi tanpa mengambil

pendirian yang tegas. Lantaran itu, Dr Mahathir Mohamad menggesa orang Melayu

untuk bersifat lebih agresif dan sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang

kemungkinan yang di luar jangkaan.

Perubahan sikap ini penting kerana beliau beranggapan amalan sopan santun

orang Melayu yang diasuh untuk berakhlak baik dipergunakan oleh orang bukan Melayu

untuk terus menekan orang Melayu. Misalnya British menganggap sifat memberi hormat

dan mengalah orang Melayu itu sebagai bukti kelemahan dan rendah diri orang Melayu.33

Dr Mahathir Mohamad berpendapat kehidupan di dunia ini perlu ada keseimbangan

antara kebendaan serta nilai kerohanian. Oleh itu, beliau berkata umat Islam hendaklah

melucutkan anggapan bahawa dunia ini untuk orang bukan islam dan akhirat pula untuk

orang Islam.34 Tanggapan ini dilihat sebagai punca kemiskinan ekonomi orang Melayu.

Ini kerana tanpa kemajuan dan pencapaian kebendaan, umat Islam akan terus bergantung

kepada orang bukan Islam untuk kebanyakan dari keperluan mereka. Memandangkan

permasalahan ini, beliau menegaskan bahawa: ‘ Malays should develop their capitalism

and their survival may depend on it’35

Selain itu, Dr Mahathir Mohamad turut beranggapan tumpuan semata-mata

terhadap politik akan melemahkan orang Melayu. Ia mengakibatkan beliau menyangkal

system pengaggihan sebelum ini yang menampakkan orang Melayu memegang kuasa

politik manakala orang bukan Melayu pula menguasai sektor ekonomi. Sebaliknya beliau

menyaran orang Melayu untuk belajar dan berkongsi kepakaran dengan orang Cina yang

32 Mahathir Bin Mohamad, Dilema Melayu, (terj ), hlm. 190.

33 Ibid, hlm. 140. 34

? Ucapan-ucapan mengenai Islam oleh Dr Mahathir Mohamad dalam Mahathir: Riwayat Gagah Berani, J. Victor Morais ( terj. ), Arena buka Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 1982, hlm. 250. 35

? Dr Shaharuddin Maaruf, Malay Ideas on Development: From Fuedal Lord to Capitalist, hlm. 141.

15

Page 16: pemikiran mahathir

dominasi ekonomi negara. Ia perlu dalam proses pembelajaran kemahiran serta selok-

belok perniagaan.

Kemiskinan dalam ekonomi orang Melayu juga dikaitkan dengan kekurangan

pengalaman serta pengurusan yang kurang cekap.36 Dr Mahathir Mohamad berpendapat

orang Melayu gagal memanfaatkan peluang perniagaan yang sedia ada walaupun

mendapat pelbagai bantuan dari pihak kerajaan. Mereka terus ketinggalan dalam sektor

ekonomi kerana dikatakan suka mengaut untung dengan cepat dan tidak memahami

potensi sebenar wang. Justeru itu, orang Melayu gagal memperkembangkan potensi diri

dalam dunia perniagaan.

Kegagalan orang Melayu menguasai ekonomi negara dalam dilihat Dasar

Ekonomi Baru ( DEB ) yang menyaksikan mereka tidak mampu memiliki 30% equiti

negara. Malah ia mencatatkan penurunan dari masa ke semasa. Trend ini dapat dilihat

dalam pegangan saham bumiputera dalam tahun 1990 yang merosot dari 19.3% kepada

19.1% pada tahun 1999.37 Selain itu, orang Melayu turut mencatat kadar kemiskinan yang

tertinggi. Ia ketara di kawasan luar bandar dengan kadar kemiskinan sebanyak 12.4%

pada tahun 1999. 38 Dalam melihat pendapatan purata orang Melayu pula, 40%

daripadanya mencatat pendapatan sebanyak RM 742 sahaja dan ia semakin ketara di luar

bandar dengan pendapatan sebanyak RM 620 sebulan.39 Situasi ini jelas menggambarkan

kemiskinan serta kemunduran ekonomi orang Melayu yang telah pun diwarisi sejak

bergenerasi yang lalu.

36 Ucapan-ucapan mengenai Islam oleh Dr Mahathir Mohamad dalam Mahathir: Riwayat Gagah Berani, J. Victor Morais ( terj. ), hlm. 251.37

? Lee Hwok aun, The NEP, Vision 2020 and Dr Mahathir Continuity Dilemma, in Reflections: the Mahathir Years, Bridget Welsh ( ed. ), hlm. 276.38

? Ibid. 39

? Ibid.

16

Page 17: pemikiran mahathir

Kemiskinan dan kemunduran ekonomi orang Melayu turut disentuh Dr Mahathir

Mohamad dalam Melayu Mudah Lupa ( 2001 ), di mana beliau mengkiritk sikap orang

Melayu yang tidak sanggup membuat kerja berat dan susah.40 Sebaliknya

menyerahkannya kepada golongan imigran dalam soal melombong bijih dan juga kerja di

estet. Akhirnya apabila harga bijih dan getah melambung orang Melayu hanya mampu

melihat orang Cina dan India mengaut keuntungan yang berlipat ganda.

4.1 DR MAHATHIR MOHAMAD: PEMULIHAN DAN DILEMA MELAYU

Dr Mahahir menyaran orang Melayu agar orang Melayu memeriksa diri dan

kemudiannya mencari alternatif yang terbaik untuk melakukan perubahan. Ia haruslah

berlandaskan ilmu dan beliau menyatakan bahawa:

‘ Sebelum kita membincangkan kejadian-kejadian umum dalam pengalaman manusia dalam alam sekitarnya serta sikap orang Melayu terhadap kejadian-kejadian ini, barangkali ada faedahnya jika kita mengingati kembali rumusan-rumusan umum tentang nilai-nilai etika orang Melayu untuk melihat bagaimana kedudukannya berbanding dengan nilai-nilai etika yang dianjurkan oleh ahli-ahli falsafah dahulu kala.’41

Dalam itu, Dr Mahathir menyaran orang Melayu untuk merenung saranan Plato untuk

membina jati diri yang positif dengan memiliki tiga sifat utama iaitu kesederhanaan,

keberanian dan kebijaksanaan serta kesabaran. Beliau turut menggesa orang Melayu

untuk berusaha, rajin dan kuat bekerja serta menuntut ilmu. Pada masa yang sama

mengakui kelemahan diri dan mempelajari segala kecekapan dan berpegang pada nilai-

nilai murni untuk menghindari kemungkaran.

Dr Mahathir Mohamad juga melahirkan keyakinan bahawa tatasusila dan nilai

budaya adalah satu keperluan dalam kehidupan manusia. Sekiranya mereka ingin berjya

40 Dr Mahathir Mohamad, Melayu Mudah Lupa, hlm. 27.

41 _________________, Dilema Melayu, (terj ), hlm. 188.

17

Page 18: pemikiran mahathir

dalam kehidupan, maka mereka perlu mengambil langkah-langkah pembetulan dan untuk

orang Melayu, beliau menyarankan:

‘ Analisa tentang sistem nilai orang Melayu ini jelas menunjukkan bahawa sistem ini boleh menghalang kemajuan dan daya saing orang Melayu dalam masyarakat berbilang kaum. Memang betul bukan semua nilai itu buruk di mana iman yang teguh itu memanglah baik kerana dengan sendirinya ia akan menjadi daya penggerak. Tidak ada sebab Islam, jika ditafsir dengan betul, tidak dapat mencapai kesejahteraan rohaniah dan juga kemajuan ebendaan bagi orang Melayu’42

Lantaran itu, Dr Mahathir menyeru orang Melayu untuk mengakui kelemahan dalam

sistem nilai dan tatasusila mereka. Ia perlu sekiranya mereka inginkan perubahan dan

bertolak dari situ, Dr Mahathir Mohamad yakin orang Melayu ada harapan dan masih

boleh memperbaiki kehidupan mereka untuk keluar dari belenggu kemiskinan dan

kemunduran.

KESIMPULAN

Kedatangan kuasa Barat telah membawa satu senario politik yang baru di negara kita. Ia

menyaksikan keruntuhan zaman kegemilangan Melayu dan bermulanya sejarah

penjajahan yang panjang . Pada masa yang sama, ia turut mengubah struktur penduduk di

Tanah Melayu. Kemasukan imigran Cina dan India secara beramai-ramai sejak abad ke-

18 lagi telah membentuk satu masyarakat majmuk di Tanah Melayu.

Namun begitu, ia turut menyaksikan terpinggirnya orang Melayu dalam arus

pembangunan dan mereka ternyata gagal memperolehi sebarang manfaat daripada

kemajuan itu. Malah situasi ini tidak berubah setelah negara mencapai kemerdekaan . Ia

telah menimbulkan kesedaran golongan intelektual Melayu tentang nasib bangsa mereka.

Pada saat-saat inilah munculnya Dr Mahathir Mohamad., seorang nasionalis tulen

Melayu yang begitu lantang menyuarakan pendapatnya serta menuntut hak orang Melayu

selaku bumiputera. Idea serta pemikirannya banyak disalurkan menerusi penulisan dan

42 Mahathir Bin Mohamad, Dilema Melayu, (terj ), hlm. 204.

18

Page 19: pemikiran mahathir

antaranya ialah Dilema Melayu yang dianggap penuh kontroversi dan pernah diharamkan

di negara kita.

Di mana dalam karya itu, Dr Mahathir Mohamad cuba memberi tafsiran beliau

mengenai pendapat orang Melayu. Beliau berjaya membuat satu analisa yang begitu

mendalam tentang faktor kemunduran orang Melayu, masalah ekonomi serta sistem nilai

mereka. Beliau turut menegaskan bahawa orang Melayu yang mundur sewajarnya diberi

pembelaan yang sewajarnya bagi membolehkan mereka terus hidup.

Manakala dalam The Challenge pula, Dr Mahathir Mohamad melihat cabaran

terhadap orang Melayu tidak lagi dari kuasa luar sebaliknya dari diri mereka. Ia dikaitkan

dengan sikap mereka terhadap agama, penerimaan unsur-unsur luar dan kemampuan

orang Melayu membentuk satu organisasi dan disiplin yang tinggi dalam mengurus

kehidupan mereka. Dalam karya Melayu Mudah Lupa pula, Dr Mahathir mengingatkan

orang Melayu tentang sejarh silam bangsa itu, terutamanya semasa era penjajahan serta

pasca kemerdekaan. Ia dianggap sebagai satu refleksi kehidupan orang Melayu yang

semakin senang dan lupa pada sejarah perjuangan dahulu dan mengambil sikap tidak

endah dalam usaha kerajaan memartabatkan bangsa itu.

Kesimpulannya, pemikiran Dr Mahathir Mohamad berkiblatkan sekular modernist

dan ia terjelas terpapar dalam tiga siri penulisan yang telah dibincangkan secara panjang

lebar. Belaiu melihat satu-satunya cara bagi orang Melayu untuk meperbaiki diri ialah

menerusi perubahan sikap dan penerimaan ilmu-ilmu sains dan moden yang dianggap

sebagai tunjang kekuatan dunia pada masa ini.

SENARAI RUJUKAN

Welsh Bridget (ed. ). 2004. Reflections: The Mahathir years. Washington: Southeast Asia

19

Page 20: pemikiran mahathir

Studies Program.

Khoo Boo Teik . 1995. Paradoxes of Mahathir : An Intellectual Biography of Mahathir

Mohamad. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Mahathir Bin Mohamad . 1982. Dilema Melayu . ( terj. Ibrahim Saad ) Selangor: Federal

Publications Sdn Bhd.

___________________. 1982. Menghadapi Cabaran. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

___________________. 1986. The Challenge. Petaling Jaya: Pelanduk Publication.

___________________. 2001. Melayu Mudah Lupa. Petaling Jaya: Pelanduk

Publication.

M. Bakri Musa. 1999. The Malay Dilemma Revisited: Race Dynamics in Modern

Malaysia. USA: Gilroy.

Moris, Victor. J. 1982. Mahathir: Riwayat gagah Berani. ( terj. Abdul Razak b. Abdul

Rahman ). Kuala Lumpur: Arenabuku.

Rajendran M. 1993. Mahathir Mohamad Prime Minister of Malaysia. Petaling Jaya: IBS

Buku Sdn Bhd.

Ramlah Adam ( peny. ). 2004. Kolokium Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Melaka: Institusi Kajian Sejarah dan Patriotisme.

Shaharuddin Maaruf. 1988. Malay Ideas on Development: From Feudal Lord to

Capitalis. Singapore: Times International.

20

Page 21: pemikiran mahathir

Zainuddin Maidin. 1994. Mahathir di Sebalik Tabir. Kuala Lumpur: Utusan Publications

& Distributiors Sdn Bhd.

Zakry Abadi. 1992. Mahathir Dalam Dilema Melayu. Kuala Lumpur: Gelanggang

Publishing

Hasil Penulisan

SIEW CHANG YEE

UKM 2004/2007

21