PENDIDIKAN ROHANI BERASASKAN SAINS AL-QURAN
Transcript of PENDIDIKAN ROHANI BERASASKAN SAINS AL-QURAN
ASEAN Comparative Education Research Journal on Islam and Civilization (ACER-J) Volume 1(1) January 2017, 64-77.
64
PENDIDIKAN ROHANI BERASASKAN SAINS AL-QURAN
Mohd Fuad Othman
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Mohd. Aderi Che Noh
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Maimun Aqsha Lubis
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Wan Nurul Syuhada’ Wan Hassan
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia
ABSTRAK
Pendidikan rohani merupakan salah satu aspek penting yang diberi penekanan di dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan selain aspek jasmani, intelektual dan emosi. Menurut
perspektif Islam, aspek rohani tidak akan mampu dibangunkan tanpa panduan yang benar iaitu
al-Quran. Artikel ini bertujuan untuk menjelaskan kedudukan sains al-Quran bagi
membincangkan ayat-ayat yang berkaitan dengan fenomena alam sebagai sumber pendidikan
yang dapat mendorong manusia supaya beriman kepada Allah s.w.t., membina rohani yang
tunduk dan patuh kepada ajaranNya dan dijelmakan dalam bentuk akhlak dan cara hidup yang
terpuji. Metodologi kajian ini adalah berbentuk kepustakaan. Hasil kajian ini mendapati
bahawa sains al-Quran memainkan peranan yang amat penting sebagai sumber pendidikan
yang efektif untuk mengenali Tuhan yang mencipta alam dan membimbing manusia
melakukan kajian dan penyelidikan berasaskan akhlak dan etika Islam serta menghasilkan
produk yang boleh memberi manfaat dan kesejahteraan kepada manusia dan alam. Selain itu,
artikel ini turut mengemukakan saranan pendekatan ke arah menerapkan pengajian sains al-
Quran dalam kurikulum sains dan teknologi agar mampu melahirkan saintis dan teknokrat yang
berjiwa Islami. Semoga dengan integrasi di antara kedua-dua bidang ilmu ini akan dapat
mencapai matlamat melahirkan insan kamil dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani,
intelektual dan sosial.
Kata kunci: Pendidikan; Kerohanian; Sains; Al-Quran; Integrasi
SPIRITUAL EDUCATION BASED ON SCIENCE QURAN
ABSTRACT
Spiritual education is one important aspect that should be emphasized in the National Education
Philosophy besides the physical, intellectual and emotional aspects. According to the Islamic
perspective, the spiritual aspect will not be able to be developed without proper guidance of
Al-Qur’an. This article aims to explain the science of the Koran that discuss the verses related
to natural phenomena as an educational resource that can encourage people to believe in Allah
ASEAN Comparative Education Research Journal on Islam and Civilization (ACER-J) Volume 1(1) January 2017, 64-77.
65
s.w.t., build their spiritual so submissive and obedient to His teachings and incarnated in a
praiseworthy manner. Methodologically, this study is in the form of literature. The results
showed that the science of the al-Qur’an plays a very important role as a source of effective
education to recognize the God who has created the universe and guides human beings in
conducting studies and researches based on moral and ethical principles as well as in producing
products which can give benefits and provide welfare to mankind and nature. In addition, this
article also recommends approaches to implementing the scientific studies of the Al-Qur’an in
the curriculum of science and technology in order to produce scientists and technocrats who
inspired by Islam. Hopefully, with the integration of these two disciplines, the aim of producing
a perfect and balanced human being in terms of physical, emotional, spiritual, intellectual and
social could be achieved.
Keywords: Education; Spiritual; Science; Al-Quran; Integration
PENDAHULUAN
Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan pembangunan insan yang bersepadu dan
seimbang dari aspek rohani, intelek, emosi dan jasmani dengan berteraskan kepada
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Bahkan Falsafah Pendidikan Islam secara khusus
menekankan bahawa keseimbangan dan kesepaduan tersebut hendaklah berpaksikan al-Quran
dan Sunnah bagi mencapai keredhaan Allah SWT. (Asmawati & Fathiyah 2012). Hal ini
disokong oleh Al-Hasyimi (1981) menegaskan bahawa seorang Muslim yang benar-benar
mengikuti ajaran agamanya haruslah seimbang di antara kehendak jasmani, akal dan rohaninya
berpandukan pimpinan wahyu dan sunnah.
Dalam Islam, tujuan yang ingin dicapai dalam pendidikan adalah membentuk insan
kamil, yakni manusia yang sempurna dengan memiliki kecerdasan intelektual dan rohani sekali
gus (Shamsul Arifin 2014). Matlamat ini tidak mungkin tercapai tanpa adanya sistem dan
proses pendidikan yang baik. Oleh itu, para sarjana dalam bidang Pendidikan Islam sentiasa
berusaha mempertingkatkan usaha membangunkan pemikiran dan kemahiran bagi melahirkan
insan yang sempurna bagi memikul tugas memakmurkan kehidupan di atas muka bumi ini.
Menurut Ahmad Fakhrurrazi dan Mahfuzoh (2014), di antara kesemua elemen yang
ditekankan dalam falsafah pendidikan tersebut, aspek rohani adalah paling utama dalam
menentukan kemenjadian insan baik. Perkembangan rohani atau spiritual merupakan salah satu
tujuan pendidikan Islam yang penting kerana terdapat unsur roh dalam diri insan (Asmawati &
Fathiyah 2012). Dimensi rohani hakikatnya berkaitan dengan aspek keimanan kepada Allah
SWT., malaikat, rasul, hari Akhirat serta qada’ dan qadar. Keimanan pula merujuk kepada
situasi insan membuat pengakuan dengan lidahnya, meyakininya dalam hati dan
menterjemahkan keimanan menerusi amalan salih (Achoui 1998). Justeru itu, keimanan yang
teguh perlu diiringi dengan amalan salih dan tingkah laku yang baik.
Pendidikan Islam juga turut memberi fokus agar insan menjauhi perbuatan dosa di
dalam menjalani kehidupan yang baik (Alhasan 2005). Hal ini disokong oleh Al-Aroosi (1990)
bahawa Pendidikan Islam berperanan membersihkan hati dan melindungi hati daripada nafsu
yang buas dan dorongan yang tidak sihat. Kegagalan untuk meletakkan kedua-dua sumber asasi
di dalam pendidikan Islam akan menyebabkan kegagalan dalam membentuk sahsiah Muslim
yang komited terhadap tuntutan agama.
Malahan Al-Attas (1981) dan Mohd. Kamal (1988), menjelaskan pendidikan moden
yang bersifat liberal dan sekular tidak memberikan perhatian yang sewajarnya kepada aspek
pembentukan akhlak dan rohani yang sihat. Hal ini berlaku kerana manusia telah
meminggirkan petunjuk agung iaitu al-Quran dan Sunnah dan meletakkan materialistik sebagai
ASEAN Comparative Education Research Journal on Islam and Civilization (ACER-J) Volume 1(1) January 2017, 64-77.
66
matlamat kehidupan (Haron Din 1992). Natijahnya adalah kewujudan generasi yang
mempunyai kepakaran dalam bidang ilmu keduniaan tetapi kurang menghargai akhlak dan
agama dalam profesyen dan kehidupan mereka.
Masalah keruntuhan akhlak berpunca daripada minda manusia yang terlupa akan tujuan
sebenar dia dicipta ke alam ini sebagai khalifah Allah SWT. (Raudlotul Firdaus & Mohd. Shah
2013). Oleh itu manusia cenderung mengamalkan sebarang nilai yang difikirkan baik untuk
dirinya walaupun bertentangan dengan nilai agama serta norma hidup masyarakat. Apa yang
lebih membimbangkan ialah kesan yang diberikan oleh mereka kepada masyarakat seperti,
gejala penagihan dan pengedaran dadah, pergaulan bebas, vandalisme, gengsterisme dan lain-
lain.
Kesepaduan di antara keempat-empat elemen dalam falsafah pendidikan tersebut masih
belum berjaya kerana sistem pendidikan barat yang bersifat sekular masih diamalkan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran (Zanaton et.al 2014). Pendidikan ilmu akademik dan
agama masih diasingkan di mana agama yang membina akhlak pelajar diajar dalam mata
pelajaran pendidikan Islam (bagi pelajar Islam) dan nilai murni (bagi pelajar bukan Islam),
sedangkan mata pelajaran lain tidak disepadukan dengan unsur rohani dan nilai (Yusof 2013).
Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan salah laku dan gejala sosial yang negatif
berlaku dalam kalangan generasi muda hari ini termasuklah pelajar-pelajar yang berada di
institut pengajian tinggi. Hal ini dibuktikan dengan kajian yang dilakukan oleh Zainuddin,
Zuria dan Salleh (2008), masalah pergaulan bebas dalam kalangan generasi muda termasuk
kalangan yang mempunyai pendidikan tinggi sering dipaparkan melalui media tempatan
(Berita Harian 18 Ogos 2003; Utusan Malaysia 3 Jun 2002; Utusan Malaysia 18 Januari 2003).
Laporan media mengenai peningkatan masalah sosial dalam kalangan pelajar universiti
seperti kes khalwat sedikit sebanyak memberi gambaran buruk kepada institusi berkenaan.
Berita Harian (18 Ogos 2003) telah melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah
menangkap pelajar-pelajar IPT seramai 341 orang sepanjang 2002 dan 178 orang sepanjang
2003 kerana kesalahan melakukan perbuatan tidak bermoral. Kesalahan-kesalahan ini
termasuklah berkhalwat dan berkelakuan tidak sopan di tempat awam. Pelajar-pelajar yang
terlibat ialah dari beberapa institut pengajian tinggi awam dan swasta serta politeknik.
Menurut Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr. We Ka Siong, sepanjang tahun 2010,
sebanyak 5,212 kes vandalisme yang melibatkan pelajar sekolah telah dilaporkan di seluruh
Malaysia. Vandalisme berhubung kait dengan penyalahgunaan harta sekolah; sama ada
mengakibatkan kerosakan atau pencemaran. Walaupun jumlah ini hanya mewakili sekitar 2
peratus daripada keseluruhan bilangan pelajar keseluruhan, namun tidak semua kes dilaporkan
oleh pihak sekolah (Utusan Malaysia, 27hb Disember 2010). Dalam satu kajian yang dilakukan
oleh Noor Roazana Ishak (2010) di sebuah sekolah di Kuala Lumpur terhadap 50 orang pelajar
sekolah menengah tingkatan empat mendapati, seramai 34 peratus pelajar suka menconteng
harta benda sekolah.
Kajian Ruslinawati et. al (2013) berkenaan tahap penghayatan akidah dalam kalangan
pelajar politeknik mendapati bahawa ia berada pada tahap sederhana dan memberi kesan
kepada akhlak dan tingkah laku mereka. Kajian berkaitan dengan kefahaman dan amalan
beragama juga pernah dilakukan oleh Asjad et. al. (2010) kepada para pelajar baru Universiti
Teknologi Mara (UiTM). Hasil kajian mendapati bahawa tahap kefahaman dan amalan
beragama pelajar-pelajar baru UiTM tidaklah terlalu bermasalah. Walau bagaimanapun,
terdapat segelintir pelajar yang lemah dari sudut kefahaman dan amalan mereka. Selain itu,
kajian mendapati bahawa amalan-amalan negatif yang bercanggah dengan ajaran Islam telah
menjadi kebiasaan kepada para pelajar yang terlibat dalam kajian ini.
Berdasarkan beberapa fakta yang telah dikemukakan, jelas menunjukkan bahawa gejala
negatif masih berlaku dan bertambah saban tahun walau pun para pelajar telah mengikuti
ASEAN Comparative Education Research Journal on Islam and Civilization (ACER-J) Volume 1(1) January 2017, 64-77.
67
pembelajaran Pendidikan Islam dan al-Qur’an di sekolah mahu pun di institut pengajian tinggi.
Hal ini disebabkan oleh kurangnya penghayatan agama dan pengamalannya di dalam
kehidupan pelajar itu sendiri (Ab. Halim & Nik Rahimi 2010). Sehubungan itu, ia menjadi
suatu cabaran kepada guru Pendidikan Islam khususnya dan guru-guru Muslim amnya untuk
memilih pendekatan yang lebih efektif dan berkesan bagi menerapkan nilai-nilai keimanan dan
ketakwaan di dalam diri pelajar terutama semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam
kelas. Aspek rohani yang menjadi teras kepada pembentukan diri manusia perlu digarap dengan
acuan al-Quran yang menjadi sumber utama pendidikan duniawi dan ukhrawi.
Al-Quran adalah satu-satunya kitab panduan yang lengkap dan sempurna yang tidak
mengandungi sebarang cacat celanya. Al-Quran juga merupakan sumber ilmu pengetahuan
yang utama di dalam pelbagai bidang kehidupan manusia berasaskan akidah yang sahih, ibadah
yang sempurna dan akhlak yang mulia. Ia juga menjadi teras di dalam bidang ilmu sains
kemanusiaan dan sains tabii yang menjadi pelengkap kepada kehidupan manusia di dunia ini
(Mohd Arip 2007). Justeru, kajian ini bertujuan untuk membincangkan tentang pendidikan
rohani berasaskan sains al-Quran sebagai satu pendekatan baru di dalam menerapkan nilai-nilai
keimanan dan akhlak Islam dalam kalangan umat Islam masa kini dan umat manusia secara
amnya.
KONSEP PENDIDIKAN ROHANI
Konsep rohani dalam proses pendidikan tidak dapat dinafikan kesan positifnya dalam
kehidupan manusia. Titik tolak pendidikan rohani adalah pembersihan hati agar ilmu yang baik
dapat diterima dan diamalkan mengikut darjah keyakinan manusia terhadap Allah SWT (M.
Amir 2014). Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah al-Syam, ayat 7-10
yang bermaksud:
Dan jiwa serta penyempurnaan (ciptaanNya) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu
(jalan) kefasikan dan ketakwaan, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa
itu dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.
(Abdullah Basmeih 2001)
Al-Zantany (1984) menjelaskan, tarbiyah ruhiyah (rohani) merupakan sebahagian
daripada aspek penting dalam pendidikan Islam di samping tarbiyah jismiyah (jasmani),
tarbiyah ‘aqliyah (intelektual), tarbiyah wijdaniyah (emosi), tarbiyah khuluqiyah (akhlak) dan
tarbiyah ijtima’iyah (sosial). Ali Abdul Hamid Mahmud (2000) mendefinisikan pendidikan
rohani sebagai sebuah sistem yang lebih memfokuskan pada pembinaan aspek rohaniah
manusia. Ini bermaksud bahawa dalam pendidikan rohani terdapat hubungan di antara wilayah
rohaniah manusia iaitu jiwa, nafsu, roh dan akal. Dengan demikian pendidikan rohani adalah
sebuah pembinaan bagi seseorang untuk mengembangkan segala potensi rohani yang dapat
melahirkan perilaku atau sikap terpuji menuju ke arah pembentukan keperibadian mulia
sehingga bermanfaat bagi dirinya dan masyarakat.
Selain itu, pendidikan rohani atau disebut sebagai tazkiyah al-nafs dalam ilmu tasawuf
bermaksud pembersihan jiwa daripada sifat keji dan kezaliman yang dilakukan oleh tingkah
laku yang zahir (Mohd Murtadha 2010). Ia melibatkan dua proses yang utama iaitu takhalli
iaitu membersihkan diri daripada sifat-sifat yang tercela (mazmumah) yang menghalang
seseorang daripada mencapai keredhaan Allah SWT dan tahalli iaitu menghiasi jiwa dengan
sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) sebagaimana yang dituntut oleh Islam.
ASEAN Comparative Education Research Journal on Islam and Civilization (ACER-J) Volume 1(1) January 2017, 64-77.
68
Ini turut ditekankan Rohana (2010) dalam Nor Aishah et. al (2013) bahawa pendidikan yang
berkaitan dengan pembangunan rohani atau spiritual bermaksud membangunkan jiwa
kehambaan yang mengakui kewujudan Allah Yang Maha Mencipta dan pembangunan potensi
fizikal pula bermaksud membangunkan manusia bagi membolehkannya menunaikan
tanggungjawab sebagai Khalifah.
Menurut beliau lagi, kedua-dua peranan manusia ini perlu dipimpin dengan sistem
pendidikan yang boleh memandu manusia dalam proses kebebasan memilih dengan betul. Ciri
spiritual berfungsi menghantar mesej yang sama iaitu satu rasa dan ilham ke arah mencintai
kebenaran dan menolak kejahatan tanpa mengira bangsa dan agama (Nor Aishah 2013). Sharon
Lee (2009) mendefinisikan ciri spiritual seperti berikut:
“A moral sense of right or wrong; a sense of responsibility felt for private or public actions,
motives, etc.; the faculty or principle that leads to the approval of right thought or action and
condemnation of wrong.”
Penyataan tersebut merupakan asas pembangunan spiritual yang meletakkan garis
sempadan antara perkara yang betul dan yang salah. Menurut Hasan (1988) pula, akal manusia
mempunyai keupayaan spiritual yang sumber dan prinsipnya adalah prinsip Ilahi bersumberkan
al-Quran. Akal pula akan memikirkan setiap ciptaan Allah s.w.t. dan mendorong manusia
untuk mengagungkanNya, mentaatiNya demi mendapatkan ganjaran yang besar di
sisiNya.Begitu juga Maslow (1943) dalam Musliha et. al (2011) yang telah memperkenalkan
konsep kesedaran kendiri (self-actualization) iaitu mencapai potensi diri yang bermakna
kepada seseorang (Rajah 1).
Bagi Maslow, manusia dilahirkan dengan mempunyai kuasa dalaman untuk
menghasilkan potensi diri maksimum yang dikenali sebagai kesedaran kendiri. Untuk
mencapai kesedaran kendiri, perlu melalui beberapa tahap. Ia bermula daripada tahap asas iaitu
keperluan fisiologi diikuti oleh keperluan keselamatan seterusnya kepada keperluan sosial
kemudian meningkat kepada keperluan penghormatan dan akhirnya tahap mencapai
kesempurnaan kendiri atau kesedaran kendiri. Pelajar yang mempunyai kesedaran kendiri yang
tinggi akan bermotivasi untuk belajar dan tidak terlibat dengan tingkah laku tidak berdisiplin
seperti mencuri, bergaduh, melepak, vandalisme, terlibat dengan dadah, maksiat dan
sebagainya lagi.
Malahan menurut Maslow lagi, peringkat tertinggi ialah kesedaran kendiri iaitu
seseorang merasakan telah mencapai potensi diri sepenuhnya; iaitu mempunyai personaliti
yang sihat, memainkan peranan dengan lebih berkesan berdasarkan kemahuan diri dan bukan
paksaan. Namun, hanya dua peratus manusia sahaja di dunia yang mencapai tingkat teratas;
peringkat kesedaran kendiri (Nor Aishah 2012).
Walau bagaimanapun, Wan Mohd. Daud (2005) mentakrifkan kesedaran kendiri ialah
kesedaran diri manusia terhadap hakikat diri dan tujuan hidupnya iaitu manusia yang telah
kembali kepada fitrah dirinya dengan mengakui keesaan Allah s.w.t. sebagai Pencipta Yang
Tunggal. Berdasarkan takrif ini, manusia yang mempunyai kesedaran kendiri akan mampu
mengembangkan potensi dirinya terutamanya di dalam pembangunan spiritualnya. Tidak
mustahil kuasa dalaman positif yang dimiliki seseorang pelajar dapat dibangunkan dan
membentuk tingkah laku yang baik dalam kalangan pelajar.
Berdasarkan pentakrifan konsep kesedaran kendiri yang dikemukakan oleh kedua-dua
sarjana tersebut menunjukkan bahawa terdapat pertentangan di antara pandangan sarjana
Muslim dengan teori Maslow tersebut. Sarjana Muslim mengatakan bahawa kesedaran kendiri
perlu dicapai terlebih dahulu untuk merasai kesempurnaan hanya milik Allah SWT. iaitu
ASEAN Comparative Education Research Journal on Islam and Civilization (ACER-J) Volume 1(1) January 2017, 64-77.
69
kesedaran diri sebagai hamba yang sedar terhadap tujuan hidupnya serta apa yang ada pada
dirinya adalah milik Allah s.w.t. yang dinamakan pembangunan spiritual (rohani).
Rajah 1: Teori Hirarki Keperluan Abraham Maslow
*Sumber: Rohana, 2010)
Dalam mencapai matlamat pendidikan iaitu melahirkan pelajar sedar kendiri, antara
aspek penting yang di beri penekanan ialah potensi rohani pelajar yang merangkumi menyedari
dan menginsafi adanya Pencipta, menghargai dan mensyukuri pemberian pencipta, menyedari
dan menginsafi tanggungjawab, memupuk dan membina disiplin kendiri dan membentuk
akhlak mulia (Pusat Perkembangan Kurikulum 2001). Jika ciri-ciri ini dapat diterapkan,
masalah keruntuhan nilai akhlak pelajar akan dapat diperbaiki.
Bagi membolehkan perkara ini ditangani, antara saranan dan cadangan dikemukakan
ialah menggunakan pendekatan pendidikan yang menekankan proses membangunkan
kesedaran diri sebagai asas dengan menggunakan Teori Maslow Terbalik seperti Rajah 2.
Menurut Rohana (2010) dalam Musliha et. al (2011), proses pembangunan manusia bermula
dengan kesedaran diri iaitu bermula dengan pembangunan spiritual. Setelah mempunyai
pembangunan spiritual yang tinggi dalam diri, manusia akan terdorong untuk menguasai
peringkat yang seterusnya.
Rajah 2: Teori Hirarki Keperluan mengikut pemahaman sarjana Muslim
*Sumber Rohana (2010), Teori Maslow yang diterbalikkan
ASEAN Comparative Education Research Journal on Islam and Civilization (ACER-J) Volume 1(1) January 2017, 64-77.
70
Begitu juga dengan pelajar, mereka harus disedarkan dan dipupuk dengan
pembangunan rohani atau spiritual supaya pelajar akan menyedari tanggungjawabnya sebagai
khalifah Allah dan akan sentiasa mempunyai kesedaran diri untuk melakukan perkara yang
makruf dan menjauhi yang mungkar. Secara tidak langsung keperluan-keperluan lain seperti
kebolehan intelektual dan fizikal dapat ditingkatkan dengan mudah. Dengan menekankan
proses pendidikan yang berteraskan pembangunan rohani akan mampu menjadi landasan yang
kukuh bagi melahirkan pelajar yang seimbang, menyeluruh dan bersepadu selari dengan
matlamat pendidikan kebangsaan.
Berdasarkan beberapa pandangan yang telah dikemukakan oleh para sarjana, maka
dapat dirumuskan bahawa pendidikan rohani merupakan dasar dari seluruh bentuk pendidikan.
Ia berfungsi untuk menanamkan dan menguatkan potensi rohani yang ada, menyemai
keimanan pada diri seseorang; mengarahkan naluri kemanusiaan kepada kebenaran dan
mengarahkan jalan kehidupan berdasarkan pada esensi potensi rohani manusia yang
disandarkan pada keimanan kepada Allah SWT Oleh itu, manusia yang berhasil membina
jiwanya sesuai dengan acuan syariat Allah SWT akan menjadi manusia yang dinamis dalam
kehidupan dan sentiasa tunduk kepada Allah SWT.
MATLAMAT DAN TUJUAN PENDIDIKAN ROHANI
Di samping itu, pendidikan rohani juga mendorong seseorang untuk beramal soleh. Amal yang
baik adalah amal yang memenuhi dua kriteria iaitu niat yang ikhlas kerana Allah SWT dan
selaras dengan tuntutan syarak. Dengan adanya pendidikan rohani yang mantap di dalam diri
seseorang, maka ia dapat memperkuatkan jiwa manusia dalam menghadapi pelbagai bentuk
ujian dan rintangan. Seseorang itu akan dapat menghadapi sesuatu ujian dengan tenang dan
sabar. Hal ini tidak dapat diperoleh melainkan dengan melalui proses pendidikan rohani yang
berkesan.
Pendidikan rohani dan akhlak juga merupakan satu kesepaduan yang tidak terpisah di
antara satu dengan lain. Seseorang yang memiliki pendidikan rohani yang sempurna sudah
tentu akan menampilkan dan akhlak yang mulia pada diri mereka (Ajmain et. al 2012). Baik
dan buruk rohani seorang Muslim akan tergambar pada akhlaknya dalam menghadapi
kehidupan seharian. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud:
Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging. Jika ia baik, maka baiklah
seluruh jasadnya. Jika ia buruk, maka buruklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa itu
adalah hati.
(Al-Bukhari 2011)
Berdasarkan hadis di atas dapat difahami bahawa hati sebagai tempat berlakunya proses
pendidikan rohani perlu dibersihkan dan diasuh supaya sentiasa tunduk kepada kehendak
agama. Kehendak agama yang dimaksudkan di sini bukan hanya semata-mata dari aspek
ibadah khusus tetapi ianya mencakupi aspek agama yang lain termasuk dalam aspek tauhid,
akhlak dan menerima tanpa keraguan apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. dan
rasulNya (Mohd Murtadha 2010).
Menurut Rudy (2011), pendidikan rohani di dalam Islam bertujuan untuk menanamkan
akidah dan keimanan pada diri seseorang bahawa hanya Allah s.w.t. yang wajib disembah
sehingga dijelmakan dalam bentuk ibadah dan ubudiyah di dalam semua tindakan dan
pekerjaan. Ahmad Fakhrurrazi & Mahfuzoh (2014) menyatakan bahawa ibadah adalah
perbuatan fizikal yang tidak didasari dengan tauhid manakala ubudiyah pula adalah perlakuan
ibadah yang didasari dengan tauhid. Dengan kata lain ubudiyah adalah ibadah yang dilakukan
ASEAN Comparative Education Research Journal on Islam and Civilization (ACER-J) Volume 1(1) January 2017, 64-77.
71
dengan perlakuan zahir dan hati yang bebas daripada unsur syirik atau mempersekutukan Allah
SWT (Al-Mubarak 1988). Hal ini menunjukkan bahawa pendidikan rohani mendidik seseorang
hamba itu melakukan pekerjaan dan amalan dengan niat ikhlas kerana Allah SWT.
Selain itu, pendidikan rohani juga bertujuan untuk memandu manusia beriman dengan
qadar dan qada’ Allah SWT. sama ada yang baik atau buruk (Rudy 2011). Ia mengajak manusia
supaya meyakini bahawa segala perkara yang berlaku di atas muka bumi ini adalah bergantung
kepada kudrat (kuasa) dan iradat (kehendak) daripada Allah SWT. semata-mata. Manusia
hanya mampu berusaha dan berikhtiar untuk mencapai sesuatu keinginan dan kemahuan. Hal
ini mendidik seseorang hamba agar sentiasa berdoa dan bertawakal di dalam kehidupan mereka
(Said 2000).
Rudy (2011) juga menyatakan bahawa di antara tujuan lain pendidikan rohani di dalam
ajaran Islam ialah membersihkan hati manusia daripada kecenderungan yang negatif,
melakukan kerosakan dan penyelewengan yang memusnahkan kehidupan diri sendiri dan
orang lain. Ia juga melindungi manusia daripada mengikuti dorongan hawa nafsu dan mengejar
keuntungan material semata-mata tanpa mempedulikan tentang kebajikan dan keselamatan
masyarakat yang lain. Hal ini bercanggah dengan pedoman Rasulullah SAW. yang menyatakan
bahawa sebaik-baik manusia ialah yang bermanfaat kepada manusia yang lain (Al-Bukhari
2011). Allah SWT. juga telah memperingatkan hamba-hambaNya melalui Surah al-Rum ayat
41 yang bermaksud:
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa
yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak
merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah
lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
(Abdullah Basmeih 2001)
Ayat di atas menjelaskan bahawa kerosakan dan kemusnahan yang berlaku di atas muka
bumi ini adalah disebabkan oleh tindakan dan perbuatan manusia itu sendiri (Hamka 1982).
Perkara ini berlaku adalah disebabkan oleh dorongan jiwa yang kotor dan nafsu yang suka
kepada kejahatan. Oleh yang demikian, menjadi kewajipan ke atas setiap manusia supaya
memastikan hati mereka sentiasa tunduk dan mematuhi segala peraturan dan syariat Allah
SWT yang telah ditetapkan kepada mereka.
Berdasarkan dapatan yang telah dikemukakan di atas, maka dapat dirumuskan bahawa
pendidikan rohani yang sempurna serta berpaksikan kepada sumber utama Islam iaitu al-Quran
dan Sunnah akan dapat melahirkan individu Muslim yang kamil, seimbang dan harmonis. Jiwa
dan rohani yang disinari dengan pancaran iman akan sentiasa mendorong manusia melakukan
sesuatu yang boleh membawa kebaikan dan manfaat kepada manusia yang lain dan alam
sekitar. Justeru, setiap individu Muslim hendaklah berusaha untuk mempelajari, memahami
dan menghayati isi kandungan al-Quran yang merupakan mukjizat teragung sebagai suatu
kaedah terbaik untuk menjadikan jiwa dan rohani sentiasa tunduk dan patuh kepada syariat
Allah SWT. dan mendapat keredhaanNya.
SAINS AL-QURAN DALAM PENDIDIKAN ROHANI
Masyarakat Islam kini sedang berhadapan dengan masalah sosial dan keruntuhan akhlak yang
gawat. Hal ini berlaku kerana lemahnya keimanan dan pegangan terhadap cara hidup beragama
di dalam diri masing-masing dan juga terpengaruh dengan budaya negatif yang di bawa oleh
Barat seperti pergaulan bebas, perzinaan, pembuangan dan pembunuhan bayi yang tidak
berdosa, keruntuhan institusi rumah tangga dan kadar jenayah yang semakin meningkat (Mohd
Arip 2005, Khalijah 2011).
ASEAN Comparative Education Research Journal on Islam and Civilization (ACER-J) Volume 1(1) January 2017, 64-77.
72
Justeru, bagi menghadapi masalah tersebut, satu pendekatan tambahan yang lebih
efektif di dalam pendidikan rohani masyarakat Islam perlu diperkembangkan supaya dapat
melahirkan umat Islam yang lebih teguh imannya dan bertambah iltizam terhadap cara hidup
beragama di dalam kehidupan mereka. Persoalan ketuhanan dan kerohanian bukan hanya
dibuktikan melalui dalil-dalil naqli yang bersumberkan al-Quran dan dalil-dalil akal (logik)
semata-mata, tetapi ia juga wajar disokong oleh pendekatan sains al-Quran (Mohd Arip 2005,
Danial 2014). Pendekatan sains al-Quran dapat ditunjukkan berdasarkan rajah berikut:
Rajah 3: Kaedah Pengajaran Penghayatan Sains Al-Quran (Mohd Arip 2005)
Melalui pendekatan ini, ayat-ayat al-Quran tentang fenomena alam akan diperjelaskan
dengan menggunakan ilmu pengetahuan sains moden yang membuktikan apa yang dinyatakan
oleh al-Quran sejak 1400 tahun yang silam. Secara ringkasnya, apabila manusia yakin dengan
kebenaran al-Quran, maka manusia akan mula mempercayai dan mengimani persoalan
ketuhanan, kenabian, sam’iyat dan kerohanian sehingga mendorong mereka untuk mematuhi
segala perintah Allah SWT. dan meninggalkan segala tegahanNya kerana merasai kewujudan
pahala dan dosa, syurga dan neraka serta adanya alam Akhirat.
Matlamat pembelajaran sains antaranya ialah untuk membentuk pelajar agar
mempunyai sikap saintifik iaitu mempunyai kemahiran proses sains dan nilai yang tinggi.
Namun, nampaknya budaya saintifik dan cara bekerja ahli sains masih belum dijadikan sebagai
budaya kerja dan amalan kehidupan masyarakat kini (Khalijah 2011). Hakikatnya, segala usaha
dalam kajian saintifik melalui proses pemerhatian, pencarian, penerokaan, perumusan dan
akhirnya generalisasi (Zanaton et. al 2014). Oleh kerana sumber mutlak ilmu ialah daripada
Allah SWT., maka pencarian ilmu dalam sains akan menghasilkan sifat kesyukuran, keagungan
maha pencipta dan peningkatan ketauhidan kepada Allah SWT.
Akhirnya, sifat ini dapat dicernakan melalui tingkah laku dalam kehidupan. Hal ini
menunjukkan bahawa sains dan al-Quran tidak ada sebarang percanggahan kerana ia berasal
dari sumber yang satu dan kedua-duanya membuktikan kewujudan Allah s.w.t. dan
mengukuhkan lagi keimanan seseorang (Mohd Arip 2005). Oleh itu, penerokaan ilmu sains
dengan berasaskan ilmu wahyu akan menghasilkan ahli sains yang mentauhidkan Allah dan
menyumbang kepada masyarakat secara harmoni. Konsep ini selari dengan paradigma tauhid
yang menggabungkan hubungan antara Allah, manusia dan alam sekitar.
Paradigma tauhid menggabungkan hubungan antara manusia dan alam semesta secara
horizontal, namun hubungan dengan Allah adalah secara vertikal (Yusof 2013). Kedudukan
Allah sentiasa di atas, namun zat kekuasaannya boleh dilihat melalui ayat-ayatNya. Alam
semesta ibarat kitab terbuka dan al-Quran merupakan kitab bertulis. Kedua-duanya bersepadu
dan tidak dapat dipisahkan. Alam harus dikaji bersama- sama al-Quran sebagai landasan tauhid
ASEAN Comparative Education Research Journal on Islam and Civilization (ACER-J) Volume 1(1) January 2017, 64-77.
73
(Zanaton et. al 2014). Al-Quran menggesa manusia berfikir melalui proses penyelidikan
mengenai kejadian alam semesta dan kejadian diri mereka. Terbukti, penemuan fakta sains
terkini telah menunjukkan kebenaran isi kandungan al-Quran (Danial 2014). Hal ini
diperkukuhkan lagi menerusi ayat 164 Surah al-Baqarah yang bermaksud:
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang,
bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang
Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati
(kering)nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan
awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; Sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan
dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.
(Abdullah Basmeih 2001)
Berdasarkan ayat di atas menjelaskan kepada kita segala kejadian dan fenomena yang
berlaku pada alam semesta ini merupakan tanda-tanda keagungan dan kebesaran Allah s.w.t.
yang dapat dirasai oleh golongan yang diistilahkan sebagai ulul albab. Menurut Ibnu Kathir
(t.t.), ulul albab bermaksud golongan yang mempunyai akal yang sempurna lagi bersih dan
mengetahui hakikat banyak perkara secara jelas dan nyata. Oleh itu, ulul albab merupakan
golongan yang menggunakan akal yang sempurna sehingga mampu meletakkan segala perkara
pada perspektif yang betul. Dengan kata lain, pemikiran dan pengkajian yang dilakukan oleh
golongan ini akhirnya akan membawa kepada pembuktian kewujudan Allah SWT. dan merasai
keagunganNya. Para saintis yang bertakwa kepada Allah boleh dikategorikan sebagai golongan
ulul albab (Danial 2014).
Ilmu sains pada hakikatnya merupakan suatu alat yang digunakan untuk mencari
jawapan kepada rahsia alam semesta. Allah SWT telah memberi manusia pemikiran yang
membezakan dengan makhluk lain adalah supaya manusia sentiasa berfikir tentang apa sahaja
yang mereka perhatikan di sekeliling mereka. Tujuan pemikiran ini adalah agar manusia dapat
mendekatkan diri kepada Tuhan (Zanaton et. al 2014). Saranan inilah yang termaktub dalam
ayat di atas iaitu agar manusia sentiasa mengingati Allah dalam apa jua keadaan. Saranan
berfikir ini ditegaskan dalam Al-Quran berkali-kali bagi menunjukkan kepentingannya.
Namun, hakikatnya manusia sering lalai dan kurang menggunakan pemikiran untuk
mendekatkan diri kepada Allah.
Al-Quran adalah kitab petunjuk dan bukan buku sains. Namun, al-Quran mengandungi
lebih daripada 750 ayat yang menyatakan tentang sesuatu fenomena alam yang tidak difahami
oleh manusia ketika ia diturunkan sejak 1400 tahun yang silam. Ia hanya dapat difahami dengan
jelas apabila ilmu pengetahuan manusia bertambah dan aktiviti pencerapan alam berlaku
dengan lebih baik dan tepat (Mohd Arip 2005). Allah SWT. menjelaskan kedudukan kebenaran
al-Quran melalui penemuan sains yang dihasilkan oleh manusia melalui Surah Fussilat, ayat
53 yang bermaksud:
Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat
(dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas
kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar.
(Abdullah Basmeih 2001)
Berdasarkan ayat tersebut mengisyaratkan bahawa kajian dan penyelidikan sains yang
dilakukan oleh manusia terhadap alam semesta ini akan membuktikan kebenaran al-Quran
tanpa ada sebarang keraguan. Oleh itu, seseorang Muslim itu mestilah menjunjung tinggi ayat
al-Quran dan mengutamakannya berbanding dengan sains. Perkara ini perlu dijadikan asas bagi
memastikan matlamat tercapai iaitu sains dijadikan alat bagi mengagungkan al-Quran,
ASEAN Comparative Education Research Journal on Islam and Civilization (ACER-J) Volume 1(1) January 2017, 64-77.
74
bukannya al-Quran dijadikan alat bagi membenarkan sains (Zanaton et. al 2014). Ini kerana
hukum tabii sains berlaku dengan izin Allah. Tanpa izinNya hukum sains tidak boleh berlaku.
Semua hukum itu adalah sunnatullah.
Kadang-kadang terdapat situasi suatu konsep sains tidak mematuhi hukum alam atau
teori sains. Keadaan tersebut sebenarnya telah menunjukkan kekuasaan Allah yang menguasai
segalanya (Haron Din 1993). Antaranya peristiwa yang berlaku kepada nabi sebagai mukjizat
dan kepada manusia biasa sebagai karamah. Sebagai contoh, api sifatnya panas. Itu adalah
sunnatullah atau dalam sains sebagai hukum tabii atau konsep sains. Namun dengan izin Allah,
hukum tabii tidak terjadi dimana api boleh menjadi sejuk seperti yang dirasai oleh nabi Ibrahim
ketika dimasukkan ke dalam nyalaan api yang besar oleh raja Namrud. Perkara ini dijelaskan
dalam Surah al-Anbiya’, ayat 69 yang bermaksud:
Kami berfirman: Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!.
(Abdullah Basmeih 2001)
Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan bahawa api secara fitrahnya adalah panas
dan membakar. Tetapi di dalam peristiwa Nabi Ibrahim a.s. dapat dilihat bahawa api yang
sepatutnya membakar tubuh badan baginda tidak dapat memberi apa-apa kesan tanpa keizinan
daripada Allah SWT. (Hamka 1982). Apabila manusia memikirkan tentang kekuasaan dan
kehebatan Allah SWT. di dalam mencipta dan mentadbir alam ini dengan kesempurnaan tanpa
sebarang kekurangan dan kecelaan, maka akan bertambah keimanan dan ketaatan mereka
kepada Tuhan Rabbul ‘Alamin. Hal ini digambarkan menerusi Surah al-Anfal, ayat 2 yang
bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang
apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada
Tuhan mereka jualah mereka berserah.
(Abdullah Basmeih 2001)
Menurut Han Wehr (1974) dan Hamka (1982), ayat-ayat Allah s.w.t. yang disebut di
dalam al-Quran mengandungi dua maksud iaitu ayat-ayat al-Quran (verses) dan tanda-tanda
(sign) kebesaran dan keagungan Allah yang terdapat pada alam semesta ini. Oleh itu, setiap
Muslim sepatutnya menguasai ilmu pengetahuan berkaitan dengan ayat-ayat al-Quran dan
memahami juga ayat-ayat Allah yang tersembunyi di alam semesta (Danial 2014). Apabila
setiap individu Muslim dapat menguasai kedua-dua ayat Allah SWT., ia akan dapat melahirkan
individu yang benar-benar beriman dan memperoleh ilmu pengetahuan yang membuktikan
kewujudan Tuhan Yang Maha Pencipta lagi Maha Bijaksana (Ibn Kathir t.t.)
Berdasarkan kepada beberapa fakta yang disertakan dengan dalil daripada nas al-Quran
seperti yang telah dibentangkan, maka jelas menunjukkan bahawa sains dan al-Quran
merupakan sumber utama untuk manusia mengenali Allah s.w.t. sebagai Tuhan yang Mencipta
alam semesta ini sehingga ia diistilahkan sebagai ayat-ayat Allah. Kedua-dua sumber ini saling
bersepadu dan tidak boleh dipisahkan di antara satu dengan yang lain. Ayat-ayat al-Quran
datang sebagai asas petunjuk daripada Allah SWT manakala ayat-ayat dalam bentuk fenomena
alam sebagai bukti yang menyokong kebenaran wahyu tersebut.
Kebenaran sains al-Quran dapat mendorong manusia untuk mengkaji dan meneliti
sehingga mampu melahirkan cabang ilmu pengetahuan yang pelbagai seperti botani,
astronomi, biologi dan sebagainya seterusnya dapat meningkatkan keimanan dan mendekatkan
diri kepada Allah SWT Natijahnya, sains al-Qur’an mampu melahirkan para saintis yang
ASEAN Comparative Education Research Journal on Islam and Civilization (ACER-J) Volume 1(1) January 2017, 64-77.
75
diiktiraf oleh Allah SWT. dengan gelaran ulul albab. Di samping itu, dengan adanya
pendekatan sains al-Quran, manusia akan dapat mengatur kehidupan mereka berpandukan
petunjuk Allah SWT dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Mereka akan lebih menghargai
alam sekitar dan segala kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Melaluinya dengan
memakmurkan dan menguruskan kehidupan mereka dan alam ini mengikut peraturan yang
telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk memperoleh ganjaran pahala dan menuju
keredhaanNya.
KESIMPULAN
Unsur rohani adalah unsur yang paling penting dalam pendidikan insan. Pengabaian kepada
rohani menyebabkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan mustahil untuk dicapai. Meskipun
keadaan pengajaran dan pembelajaran di universiti lebih menekankan aspek intelektual yang
tinggi, namun aspek kerohanian juga harus seiring. Penerapan pendidikan kerohanian ini tidak
terbatas kepada bidang ilmu pengajian Islam semata-mata (Ahmad Fakhrurrazi & Mahfuzoh
2014).Sistem pendidikan di Malaysia perlu menampakkan transformasinya. Tidak hanya
menekankan ilmu sains dan matematik yang bersifat keduniaan dan sekular. Seharusnya ilmu
sains adalah satu sumber ilmu untuk membantu pelajar lebih peka kepada kebesaran Allah.
Ternyata, dalam al-Quran terdapat banyak elemen sains yang perlu diperjelaskan dan
diintegrasikan dalam pembelajaran sains seperti penciptaan manusia dan kejadian alam. Maka,
kurikulum harus ditunjangi dengan ilmu wahyu yang benar kerana ilmu akal hanya bersifat
logik (betul). Kesepaduan ini perlu ditonjolkan dalam buku teks sains dengan menyelitkan
bahan berkaitan ayat-ayat Al-Quran, gambar nilai-nilai murni, nasihat, panduan, kesan dan
akibat sesuatu perbuatan dan sebagainya. Semoga dengan penghayatan sains al-Quran di dalam
diri manusia akan dapat memberi rangsangan rohani kepada mereka agar dapat melihat
kewujudan Allah SWT yang Maha Esa, mendorong supaya beriman kepadaNya seterusnya
dapat membentuk diri menjadi manusia yang berakhlak dan beretika di dalam setiap pekerjaan
dan kehidupan mereka.
RUJUKAN
Abdullah Basmeih. 2001. Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran.
Kuala Lumpur: Jabatan Perdana Menteri.
Ab. Halim Tamuri & Nik Mohamad Rahimi Nik Yusoff. 2010. Kaedah Pengajaran
Dan Pembelajaran Pendidikan Islam. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Achoui, Mustapha. 1998. Human Nature from a Comparative Psychological
Perspective. The American Journal of Islamic Social Sciences. 15 (4): 71–95.
Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi & Mahfuzoh Mohammed Zabidi. 2014.
Pedoman Al-Quran dan Al-Sunnah Terhadap Pedagogi Kerohanian dalam
Pengajaran dan Pembelajaran di Universiti: Suatu Cadangan Awal. Proceeding
4th International Conference and Exhibition on Islamic Education 2014.
Selangor: Association of Malaysian Muslim Intellectuals (PIMM): 503-511
Ajmain Safar, Ab. Halim Tamuri & Mohd. Aderi Che Noh. 2012. Penghayatan Adab
dan Akhlak Terhadap Alam Sekitar dalam Kalangan Pelajar Sekolah. Jurnal
Teknologi (Social Sciences) 58 (2012): 1–11
Al-Aroosi, M. 1990. Kurikulum Islam dan Guru. Dalam Al-Efendi dan Baloch (editor).
Kurikulum dan Pendidikan Guru (137-159). Ahmad Jaffni Hassan, Mohamad
Nordin Zainuddin dan Asiah Idris. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1981. Islam dan Sekularisme. Terj. Karsidjo
ASEAN Comparative Education Research Journal on Islam and Civilization (ACER-J) Volume 1(1) January 2017, 64-77.
76
Djojosuwarno. Jakarta: Pustaka.
Al-Hasyimi, Muhammad Ali. 1981. Keperibadian Muslim di Dalam Al-Quran dan
Sunnah. Kuala Lumpur: Pustaka Salam
Alhasan, Ahmad Diya Eddin. 2005. The Role of Islamic Education in Crime Prevention.
The Islamic Quarterly. 49 (1): 35–63
Ali Abdul Hamid Mahmud. 2000. Al-Tarbiyah al-Rûhiyah. Terj. Abdul Hayyie al-
Kattani.Jakarta: Gema Insani Press.
Al-Mubarak, Muhammad. 1988. Aqidah Islam di dalam Al-Quran. Terj. Mudaser
Rosder. Kuala Kumpur: Dewan Pustaka Fajar
Al-Zantany.1984. Usus al-Tarbiyah fi al-Sunnah al-Nabawiyyah. Libya: Al-Darul
Arabiyah Lil Kitab
Asjad Mohamed, Muhammad Muzakkir & Mohd Hafiz Abd. Wahab. 2010. Kefahaman
dan Amalan Dalam Beragama : Kajian Terhadap Pelajar Baru Uitm Pahang dan
Universiti Malaysia Pahang. Kertas Projek. UiTM Pahang.
Asmawati Suhid & Fathiyah Mohd Fakhruddin. 2012. Gagasan Pemikiran Falsafah
dalam Pendidikan Islam: Hala Tuju dan Cabaran. Journal of Islamic and Arabic
Education. 4 (2) 2012: 57-70
Danial Zainal Abidin. 2014. Quran Saintifik. Selangor: PTS Millenia Sdn. Bhd.
Hamka. 1982. Tafsir Al-Azhar. Jakarta : Penerbit Pustaka Panjimas.
Han Wehr. 1974. A Dictionary of Modern Written Arabic. London: MacDonald &
Evans Ltd.
Haron Din. 1992. Manusia Dan Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hasan Langgulung. 1988. Manusia dan Pendidikan. Jakarta : Bulan Bintang
Ibn Kathir. t.t. Tafsir Al-Quran al-Azim. Kaherah: Darul Fikr
M. Amir Langko. 2014. Metode Pendidikan Rohani Menurut Islam. Jurnal Ekspose
Vol. XXIII, No. 1, Jun 2014:46-66.
Mohd Arip Kasmo. 2005. Pasak: Pengukuhan Akidah Menerusi Penghayatan Sains
Dalam Al-Quran. Seremban: Penerbitan Awan Biru.
Mohd Arip Kasmo. 2013. Mukjizat Saintifik dalam Sunnah Nabawiyyah. Seremban:
ITQANS Enterprise.
Mohd. Kamal Hassan. 1988. Pendidikan dan Pembangunan. Kuala Lumpur: Nurin
Mohd. Murtadha Ahmad. 2010. Tazkiyah Al-Nafs Dalam Ilmu Tasawuf. Seminar
Bicara Sufi. Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Mohd. Yusof Othman. 2013. Sains Islam (Tauhidik): Ke Arah Pembangunan Yang
Lestari. 4th International Symposium on Islam, Civilisation and Science.
Universiti Kebangsaan Malaysia .
Musliha Salma Mohd Radzi, Rohana Hamzah & Amimudin Udin. 2011. Menyelesaikan
Masalah Pembangunan Akhlak Pelajar : Analisis Penerapan Kemahiran Generik
Dalam Amalan Pendidikan. Journal of Edupres, Volume 1 September 2011:
223-229.
Nor Aishah Abdul Aziz, Mohd Zolkifli Abd Hamid, Ismail Saliyan & Nurul Izzati
Mohd Fuad. 2013. Kualiti Pendidikan Di Ipt: Pendekatan Spiritual Dalam
Pendidikan Berasaskan Hasil (OBE). Prosiding 2nd International Seminar on
Quality and Affordable Education (ISQAE 2013): 229-235.
Noor Roazana Ishak. 2010. Kecenderungan Pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah
Taman Tasek Melakukan Vandalisme. Laporan Kajian Projek Sarjana Muda.
Universiti Putra Malaysia.
Pusat Perkembangan Kurikulum (2001). Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat
ASEAN Comparative Education Research Journal on Islam and Civilization (ACER-J) Volume 1(1) January 2017, 64-77.
77
dan Misi. Kuala Lumpur. Kementerian Pendidikan Malaysia.
Rudi Ahmad Suryadi. 2011. Hadis Sumber Pemikiran Tujuan Pendidikan. Jurnal
Pendidikan Agama Islam-Ta’lim. Vol. 9 No. 2: 161-185.
Ruslinawati Abdul Ghani, Rohana Ahmad & Jamilah Omar. 2013. Penghayatan Akidah
Dalam Kalangan Pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah
(POLIMAS). Kertas Projek. Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah
(POLIMAS).
Said Ibrahim. 2000. Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Kuala Lumpur: Darul Makrifah.
Shamsul Arifin. 2014. Islam Ditinjau Dalam Aspek Pendidikan. Tarbiyatuna. Vol. 8
No. I, Februari 2014: 107-129.
Sharon Lee. 2009. Conflicts of Conscience. Tesis Sarjana Undang-undang. McGill
University, Montreal.
Wan Mohd. Nor Wan Daud. 2005. Filsafat dan Praktik Pendidikan Islam Syed
Muhammad Naquib Al-Attas. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Zainuddin Abu, Zuria Mahmud & Salleh Amat. 2008. Pendekatan Kaunseling
Menangani Masalah Kebebasan Dalam Kalangan Pelajar Institut Pengajian
Tinggi: Dua Kajian Kes. Jurnal Pendidikan (33): 107-128 .