Peranan Guru Sebagai Pembina Modal Insan

9
PERANAN GURU SEBAGAI PEMBINA MODAL INSAN Guru menjadi harapan bagi memastikan pembentukan jati diri pelajar yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat . Pelajar-pelajar akan menjadi warganegara yang berfikiran global dengan tidak mengesampingkan ciri-ciri tempatan justeru mampu bersaing dengan kepesatan dan ‘kesesakan’ dunia luar. Kecekapan dan keberkesanan peranan guru menerusi sistem pendidikan mampu membina negara bangsa yang berjaya. Mereka yang seharusnya terlebih dulu dilengkapi ciri akhlak mulia walaupun masyarakat kurang menghargai watak yang berbudi luhur." Justeru, kualiti pendidik atau guru menjadi pemangkin kepada usaha membina generasi modal insan bertaraf dunia. Malah, aspek melahirkan modal insan yang berkualiti itu menjadi agenda teras dalam RMK 9 dan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Hal itu menunjukkan betapa seriusnya negara dalam merencanakan barisan pelapis kepemimpinan dan warga kerja yang mampu menjana pembangunan negara ke arah pencapaian Wawasan 2020.

description

KSSR

Transcript of Peranan Guru Sebagai Pembina Modal Insan

PERANAN GURU SEBAGAI PEMBINA MODAL INSANGuru menjadi harapan bagi memastikan pembentukan jati diri pelajar yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat . Pelajar-pelajar akan menjadi warganegara yang berfikiran global dengan tidak mengesampingkan ciri-ciri tempatan justeru mampu bersaing dengan kepesatan dan kesesakan dunia luar. Kecekapan dan keberkesanan peranan guru menerusi sistem pendidikan mampu membina negara bangsa yang berjaya.Mereka yang seharusnya terlebih dulu dilengkapi ciri akhlak mulia walaupun masyarakat kurang menghargai watak yang berbudi luhur." Justeru, kualiti pendidik atau guru menjadi pemangkin kepada usaha membina generasi modal insan bertaraf dunia.Malah, aspek melahirkan modal insan yang berkualiti itu menjadi agenda teras dalam RMK 9 dan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Hal itu menunjukkan betapa seriusnya negara dalam merencanakan barisan pelapis kepemimpinan dan warga kerja yang mampu menjana pembangunan negara ke arah pencapaian Wawasan 2020.Peranan dan cabaran golongan pendidik pada masa mutakhir ini semakin diasak dengan pelbagai isu yang diberikan penekanan dan perhatian wajar. Antaranya ialah gejala kes pelanggaran disiplin seperti ponteng sekolah, kejadian buli khususnya di asrama, biadab terhadap guru, perbuatan vandalisme yang menjijikkan mata memandang, memeras ugut pelajar junior, bergaduh dalam kawasan sekolah dan terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. Semua isu ini perlu ditangani secara berkesan oleh sekolah kerana jika dibiarkan berterusan akan menjadi wabak yang membarah dalam kalangan anak muda kita. Dengan demikian, peranan dan tanggungjawab semua guru mesti menjurus kepada pembinaan sahsiah pelajar yang murni dan bukan setakat menjadi penyampai ilmu pengetahuan saja. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah mengatakan, guru bukan saja bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid, tetapi bertanggungjawab juga kepada pembentukan peribadi murid iaitu nilai hidup yang dipegang dan budaya yang diterima olehnya. (Petikan ucapan beliau pada Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan di Ipoh pada 16 Mei 2000 ). Jadi, di sini jelas menunjukkan kepada kita memang menjadi tanggungjawab teras seseorang guru itu membentuk jati diri anak muridnya dengan keluhuran budi pekerti yang tinggi dan terpuji.Khidmat guru jika dilakukan dengan ikhlas bukan saja dapat melahirkan generasi yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara, malah membuka peluang kepada guru meraih keberkatan Tuhan. Tugas guru adalah amanah yang datang dengan tanggungjawab serta beban berat kerana tidak dinafikan mendidik pelajar daripada usia lima tahun (prasekolah) bukan mudah serta memerlukan kesabaran tinggi. Harapan menggunung diletak pada bahu guru sering kali menimbulkan dilema kerana hakikat mendidik pelajar bukan hanya tanggungjawab guru, sebaliknya perlu mendapat sokongan ibu bapa yang menjadi guru di rumah.Sebenarnya, teras utama dalam aspek pendidikan adalah untuk membimbing dan memberi pendidikan akhlak murni. Jadi, dalam apa jua mata pelajaran yang diajar oleh seseorang guru, penerapan nilai murni itu tidak boleh diabaikan. Ini yang dikatakan nilai merentas kurikulum. Malah, seseorang guru sepatutnya memahami dan menghayati sedalam-dalamnya tafsiran Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjadi tunjang kepada sistem pendidikan di negara kita selama ini. FPK antara lain menyatakan, Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha berterusan ke arah mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Jika diteliti secara mendalam inti pati FPK itu, memang sudah lengkap dan tepat dalam usaha membina generasi warganegara yang seimbang dan mampu menjana keperkasaan tamadun bangsa serta negara.Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman yang juga Presiden Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan) menggariskan beberapa peranan yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang guru dalam merealisasikan FPK itu. Antaranya ialah guru bertindak sebagai pendakwah. Ini bermaksud guru bukan saja memainkan peranan sebagai pengajar, tetapi seharusnya mendidik anak didiknya dengan nilai akhlak mulia. Guru juga pendidik yang mendidik anak murid secara seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi. Menurut beliau lagi, seseorang guru adalah pemimpin. Ertinya memimpin dan memandu pelajar menjalankan sesuatu tugasan dengan betul dan berkesan. Seterusnya guru adalah pekerja yang mematuhi segala etika profesion ke arah membina anak muridnya menepati acuan sebagaimana yang termaktub dalam FPK. Guru juga boleh dianggap sebagai seorang pengusaha. Dengan itu untuk memenuhi ciri pengusaha yang dinamik, guru perlu mempunyai kemahiran dan sentiasa berupaya berfikir secara inovatif dan kreatif. Contohnya, bagaimana seseorang guru itu berupaya menarik perhatian pelajar agar sentiasa menerapkan disiplin diri yang unggul dan mematuhi ajaran agama. Selain itu, seseorang guru juga mesti bersikap profesional dalam bekerja dengan menunjuk contoh yang baik dan memiliki sahsiah diri yang terpuji. Ini penting kerana guru akan menjadi perhatian pelajar dan akan diikuti. Jangan pula seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Selain itu, menurut Dr Abdullah Sudin, seseorang guru mesti menjadi seorang pengikut yang baik. Ini bermaksud guru itu seharusnya taat dan mematuhi arahan ketua dalam melaksanakan sebarang tugasan dengan bersedia berkorban masa dan tenaga semaksimum boleh. Seterusnya guru juga berperanan sebagai seorang pejuang. Apakah maksud pejuang di sini? Tentulah perjuangan dalam menyempurnakan amanah negara dalam memberi pendidikan kepada anak bangsa dengan semangat waja dan tanpa putus asa. Seseorang pejuang sudah tentu tidak boleh berputus asa apabila berhadapan dengan kesulitan. Begitulah dengan guru. Apapun cabaran dan kekangannya, tugas dan amanah mesti diteruskan dengan efektif. Pejuang juga mesti ikhlas dalam perjuangannya. Demikianlah juga dengan guru, mereka seharusnya ikhlas dalam melaksanakan tugas mendidik anak bangsa. Tanggungjawab dan peranan guru tidak dapat dipertikaikan biarpun kadangkala mereka dipersalahkan apabila berlaku kes keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Kecekapan dan keberkesanan peranan guru menerusi sistem pendidikan mampu membina negara bangsa yang berjaya. Guru mempunyai peranan dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.Guru perlu menanamkan niat mereka mengajar demi menyelamatkan anak muridnya daripada kesengsaraan di akhirat kelak. Hakikatnya seseorang guru sewajarnya mesti sedar dan insaf bahawa di bahu mereka terletaknya amanah Tuhan dan harapan negara dalam membina generasi insan yang berwibawa, berintelek tinggi, berakhlak mulia serta bersahsiah towering personality. Ingatlah pendidik akan pesanan yang pernah diluahkan oleh Beecher, kanak-kanak adalah umpama simen basah dan setiap orang yang jatuh ke atasnya akan memberi kesan kepadanya. Demikian juga guru seharusnya menghayati kata-kata daripada Mann Horace ini, seseorang guru yang mengajar tanpa cuba menimbulkan dan menghidupkan keinginan serta semangat belajar dalam kalangan muridnya seperti orang yang menempa besi yang dingin. Bagi guru atau pendidik, mereka tidak pernah mengharapkan hadiah bertimbun setiap kali sambutan Hari Guru kerana harapan mereka biar anak didik menjadi insan berilmu dan berguna, seterusnya menyumbang khidmat bakti kepada negara. Guru mengerti usaha mendidik dan membangunkan insan bukan mudah. Meskipun begitu, semangat mereka tidak pernah luntur malah terus berusaha menyusun langkah meneruskan perjuangan demi memikul amanah Tuhan.Demikianlah antara peranan guru ketika ini. Mereka bukan saja menjadi contoh terbaik kepada masyarakat, bahkan peranan mereka lebih terbukti apabila negara kita berjaya melahirkan sumber tenaga manusia dalam pelbagai bidang.

RumusanSekiranya dilihat dari segi sistem yang telah disediakan dan dilaksanakan selama ini, terdapat usaha yang gigih untuk memperbaikinya dari semasa ke semasa. Sekiranya ditinjau secara halus dari segi hasil dasar dan sistem pendidikan kebangsaan, seharusnya ia mampu mengeluarkan pelajar yang berilmu, bermoral (akhlak), beradab dan bersopan, seorang individu yang boleh menjadi warganegara yang cukup baik. Namun terdapat pelbagai masalah moral, disiplin dan kelemahan akademik dalam kalangan sebilangan besar pelajar Melayu, terutamanya dari luar bandar. Kesimpulannya, jelas terbukti bahawa sekiranya setiap pendidik berpegang kepada FPK dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab profesional mereka, sudah pasti matlamat dasar pendidikan negara akan menjadi satu kenyataan, dan bukan hanya satu impian sahaja.