Peranan Media Dalam Melestarikan Masyarakat

11

Click here to load reader

description

peranan media

Transcript of Peranan Media Dalam Melestarikan Masyarakat

Page 1: Peranan Media Dalam Melestarikan Masyarakat

1

PERANAN MEDIA DALAM MELESTARIKAN

MASYARAKAT KASIH SAYANG

Nik Roskiman Abdul Samad1

Pengarah Pusat Media,

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

PENDAHULUAN

Media merupakan satu bentuk perantara perhubungan atau komunikasi sesama

manusia yang sudah wujud sejak seawal manusia diciptakan lagi. Manusia sejak

dahulu kala cuba berhubung antara satu sama lain melalui pelbagai bentuk

komunikasi. Ada bentuk komunikasi melalui gambar-gambar di dinding-dinding gua,

ada dalam bentuk tulisan lama dan sebagainya. Tujuan komunikasi itu wujud adalah

agar manusia dapat berhubung antara satu sama lain dan dapat menyampaikan dan

menerima maklumat yang cukup terhadap hal-hal persekitaran yang dilalui agar

dengan itu mereka mampu menjalani kehidupan dengan lebih efektif dan sempurna.

Cara penyampaian maklumat kemudiannya turut berubah dengan berlakunya

peredaran zaman dan penciptaan teknologi.

Dalam teori komunikasi Barat, orang yang dikatakan mula bercakap berhubung

dengan “teori komunikasi” ini ialah ahli falsafah Yunani yang terkenal Aristotle

(m.322SM) yang membicarakan bahawa komunikasi itu melibatkan tiga pihak, iaitu

“pengirim” dan “penerima” serta “mesej”nya.2 Walaupun hal ini merupakan perkara

asas yang diketahui umum, pada masa itu mungkin beliaulah orang yang pertama

bercakap berhubung dengan aspek komunikasi ini. Bagi umat Islam, sekiranya yang

dimaksudkan dengan komunikasi itu ialah perhubungan antara dua pihak, maka

komunikasi yang terawal yang kita ketahui pernah wujud adalah antara Pencipta

Alam ini dengan para malaikat-Nya seperti mana yang dirakamkan dalam al-Qur’an,

mafhumnya:

1 Penulis ialah Pengarah Pusat Media di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

2Apa yang dibicarakan oleh Aristotle sebenarnya berasaskan prinsip retorika (rhetoric) yang

dibangunkan oleh beliau yang kemudiannya dikenali hari ini sebagai asas kepada teori komunikasi

iaitu pengirim (speaker), penerima (person addressed) dan maklumat (subject). Teori ini kemudian

dibangunkan pula oleh seorang yang bernama Wilbur Lang Schramm yang membahagikan model

komunikasi kepada tiga bentuk, iaitu sehala, lapangan dan dua hala.2 Lasswell kemudiannya

membicarakan pula “siapa (Who) yang berkata apa (say What) melalui saluran mana (by Which

channel) kepada siapa (to Whom) dan memberikan kesan apa (with What effects).2

Page 2: Peranan Media Dalam Melestarikan Masyarakat

2

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat:

Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di atas muka bumi.

Mereka (malaikat) berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan di

bumi itu orang yang akan membuat kerosakan dan menumpahkan darah,

padahal kami senantiasa bertasbih memujikan Engkau dan mensucikan

Engkau? Kemudian Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Aku

mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.3

Komunikasi itu diteruskan apabila Allah SWT melalui perantaraan Jibril a.s.

menyampaikan wahyu Allah SWT kepada Baginda SAW. Baginda SAW pula

berkomunikasi dengan para sahabat dengan menyampaikan setiap wahyu yang

Baginda SAW terima. Pada satu peringkat, Jibril a.s merupakan perantara (media)

antara Allah SWT dengan Nabi SAW, pada peringkat seterusnya Baginda SAW pula

sebagai perantara antara Jibril a.s. dengan sahabat. Walaupun penyampaian pada

ketika itu begitu tradisional dan klasik tanpa sebarang peralatan canggih seperti

teknologi hari ini untuk penyampaian yang meluas (mass media broadcast), kita harus

mengakui bahawa sekurang-kurangnya komunikasi wujud dan perantaraan juga

wujud sesuai pada zaman itu.

DEFINISI MEDIA

Media berasal daripada kalimah Inggeris yang mengikut Oxford English Dictionary

membawa maksud “the main means of mass communication”yang diberi takrifan

dalam Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai “alat atau perantara komunikasi

(perhubungan)” yang mampu menyampaikan maklumat kepada orang ramai dalam

masa yang singkat.

Antara contoh media termasuklah media elektronik seperti radio, televisyen

dan media cetak seperti akhbar dan majalah, serta yang terkini termasuklah laman

web, blog, microblog, Facebook, Twitter, Internet, protocol TV (IPTV), Whatsapp,

Webchat, Telegram dan sebagainya.

Kalau suatu ketika dahulu penyaluran informasi lebih bersifat antara dua

individu atau kelompok yang kecil (narrow broadcasting), kini penggunaannya lebih

3 Surah al-Baqarah:30

Page 3: Peranan Media Dalam Melestarikan Masyarakat

3

meluas dan melibatkan banyak manusia (mass broadcasting). Dengan penciptaan

pelbagai peranti elektronik komunikasi berasaskan Internet, komunikasi tidak lagi

dibatasi oleh sempadan geografi. Kini informasi yang sumbernya ada di Malaysia

misalnya, boleh turut disalurkan dan disebarkan kepada mereka yang berada di

London, New York, Cape Town atau di mana-mana sahaja di dunia ini.

Ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menjadikan dunia hari ini

berubah dari segi gaya hidup dan cara maklumat dan komunikasi itu disebarkan.

Keadaan tersebut menjadi lebih meluas dan tidak terbatas hanya kepada bentuk

konvensional yang diterima pakai selama ini. Kedua-dua komponen terkesan, iaitu

“maklumat” dan “komunikasi”. Melalui media komunikasi, manusia mampu

menyebarkan maklumat kerana perkara yang ingin disampaikan melalui komunikasi

ialah maklumat dalam apa-apa jua bentuk sama ada audio, visual, audio visual atau

penulisan.

MEDIA DI MALAYSIA

Malaysia seperti negara-negara lain di dunia ini tidak terlepas daripada dilanda

gelombang transformasi media dalam pelbagai bentuk media seperti yang kita

nyatakan pada awal tadi, sebagai contoh:

1. Media cetak: akhbar, majalah, jurnal

2. Media elektronik: radio, tv, satelit tv, IPTV, dan lain-lain

3. Media baharu (media sosial): web, blog, twitter, facebook dan lain-lain.

Dengan pelbagai bentuk media ini, sudah pasti kesan dan pengaruhnya amat

besar terhadap masyarakat awam. Berdasarkan kajian Nielsen Establishment Study

2011,4 dianggarkan hampir 5 juta rumah memiliki set televisyen dengan jumlah

keseluruhan penonton dianggarkan sekitar 20 juta orang dengan Astro mendakwa 53

peratus daripada rumah telah melanggan perkhidmatan mereka.5 Begitu juga dengan

mereka yang menonton melalui saluran-saluran berbayar lain seperti Unifi Hypp TV

yang dianggarkan sudah melebihi 500,000.6 Berdasarkan satu kajian pada tahun

4 Dipercayai jumlah ini terus meningkat, namun penulis tidak berkesempatan mendapatkan data terkini.

5Rujuk Astro Financial Highlights for the first 3 months of the financial year ending 31 January 2014.

6 TM News Release 25 January 2013.

Page 4: Peranan Media Dalam Melestarikan Masyarakat

4

2012,7 orang dewasa di Malaysia ini dianggarkan secara purata menonton televisyen

tiga jam setiap hari.

Pendengar radio pula, mengikut anggaran terbaharu yang dikeluarkan oleh

Nielsen pada 28 Oktober lalu, di Semenanjung Malaysia sahaja berjumlah 17.5 juta

orang dengan 94.4 peratus terdiri daripada mereka yang berusia 10 tahun ke atas.

Jumlah ini belum termasuk pendengar di Sabah dan Sarawak yang tidak boleh

diketepikan bilangan mereka. Dalam konteks IKIMfm, kami mempunyai pemancar di

Kota Kinabalu (93.9FM), di Lahad Datu (107.3FM), dan Tawau (100.7FM), Sabah

manakala di Sarawak pula, di Kuching (93.6FM), dan Miri (104.0FM). Radio yang

paling banyak pendengar di Malaysia ini didengari oleh 5.16 juta orang pendengar

seminggu dan bayangkan kesannya terhadap khalayak masyarakat. Pendengar

IKIMfm dalam seminggu dianggarkan, jika termasuk Sabah dan Sarawak adalah

seramai satu juta orang pendengar.8

Pengguna Internet di Malaysia pula dianggarkan melebihi 20 juta orang, iaitu

berjumlah sekitar 67 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini. Daripada

20 juta lebih pengguna Internet itu, lebih 13 juta memiliki akaun Facebook. Situasi ini

menunjukkan suatu fenomena yang luar biasa dari segi tumpuan masa yang diberikan

kepada Internet, Facebook dan media sosial yang lain.

7 http://www.statista.com/statistics/303524/time-spent-with-select-media-in-malaysia/

8Anggaran rasmi oleh pihak Nielsen Wave 1/2014 ialah 763,000 orang untuk Semenanjung Malaysia

sahaja.

Page 5: Peranan Media Dalam Melestarikan Masyarakat

5

FACEBOOK PUNCA PERCERAIAN?

Menurut laporan akhbar AGENSI bertarikh 24 Mei 2012, satu pertiga daripada

jumlah perceraian di United Kingdom adalah berpunca daripada Facebook. Menurut

satu kajian ke atas 5000 petisyen perceraian oleh firma perundangan United Kingdom,

Divorce Online, lebih 33 peratus perceraian tahun lalu yang disenaraikan adalah

berpunca daripada Facebook. Jumlah itu naik mendadak berbanding dengan 20

peratus pada 2009. Memetik kata peguam perceraian di Connecticut, Gary Trastman

kepada Smartmoney.com, “Saya melihat isu Facebook mengakibatkan perpecahan

perkahwinan berlaku sepanjang masa”. Manakala di tanah air kita pula, walaupun

setahu penulis belum ada statistik rasmi berapa ramai yang bercerai disebabkan oleh

Facebook, ada satu kenyataan yang pernah menggemparkan tanah air kita suatu ketika

dahulu, iaitu mengikut satu kajian dikatakan bahawa setiap 15 minit satu perceraian

Page 6: Peranan Media Dalam Melestarikan Masyarakat

6

terjadi di Malaysia.9 Kita percaya, ada peratusan tertentu yang disebabkan oleh

Facebook atau media.

PERANAN MEDIA MASSA ISLAM

Apabila diturunkan, al-Qur’an merupakan suatu bentuk komunikasi antara Tuhan

Pencipta Alam ini dengan manusia yang menjelaskan kepada manusia peranan dan

matlamat mereka dijadikan Allah di atas muka bumi ini. Al-Qur’an yang merupakan

“maklumat” itu diturunkan melalui perantara Jibril a.s. dan pada ketika itu Jibril a.s.

bertindak sebagai media perantara antara Allah SWT (pengirim maklumat) dengan

Nabi Muhammad SAW (penerima maklumat). Jibril a.s. dan sekalian para malaikat

tidak pernah berbohong atau memanipulasikan apa-apa yang diperintahkan oleh Allah

SWT sepertimana yang ditegaskan dalam al-Qur’an yang mafhumnya berbunyi:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga

kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu;

neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar

layanannya; mereka tidak menderhaka kepada Allah SWT dalam segala

yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka tetap melakukan

segala yang diperintahkan.10

Media massa pada asalnya bersifat sekadar untuk menyebarkan maklumat dan

komunikasi semata-mata. Kemudian media massa turut menjadi sumber hiburan dan

kini media terus bergerak mengalami transformasi bukan sekadar sebagai perantara

menyebarkan maklumat dan hiburan, tetapi juga sumber pelbagai aktiviti lain

termasuk baik dan buruk. Penyebaran ilmu dan pendidikan juga kini boleh dilakukan

menerusi media. Media seumpama sebilah pisau yang jika digunakan untuk tujuan

yang baik dapat memberikan manfaat, tetapi jika digunakan untuk tujuan jahat, maka

akan memberikan mudarat.

Media-media arus perdana hari ini sama ada media cetak, media elektronik,

mahupun media baharu walaupun bukan berstatus media “pendidikan rasmi”

sepertimana TV Pendidikan atau Radio Pendidikan dan lain-lain, sepatutnya mampu

berperanan mendidik, menjadi agen perubahan dan membentuk budaya masyarakat.

9Kenyataan media oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berdasarkan rekod Jabatan

Kemajuan Islam Malaysia tahun 2009. Penulis tidak pasti sama ada ada statistik terkini berhubung

dengan perkara ini. 10

Surah al-Tahrim: 6

Page 7: Peranan Media Dalam Melestarikan Masyarakat

7

Pendidikan tidak semestinya bersifat formal, tetapi boleh dibuat dalam pelbagai

format bergantung pada kreativiti pihak media asalkan matlamatnya untuk mendidik

itu tercapai.11

Hari ini pendidikan dan hiburan digabungkan menjadi “edutainment”

(education + entertainment).

Masyarakat yang dihidangkan dengan bahan hiburan secara melampau dan

keterlaluan akan menjadi masyarakat yang ketagih hiburan dan mewujudkan budaya

hedonisme. Itulah realiti peranan media yang kita lihat hari ini, iaitu sebagai sumber

hiburan untuk mencari keseronokan dan membuang masa. Peratusan masa dan ruang

untuk perkara-perkara bermanfaat dalam media amat begitu sedikit sekali, walaupun

tidak dinafikan keadaan sedemikian wujud. Perkara bermanfaat akan diletakkan di

ruang-ruang yang bukan utama atau bukan pada waktu puncak (prime). Hal ini

berlaku apabila media tidak menyedari sesuatu yang dipaparkan itu sebenarnya dapat

mengundang dosa atau pahala. Oleh itu, pertimbangan keuntungan, berita sensasi dan

seumpamanya tidak terlepas daripada hukuman Allah SWT.

Oleh sebab itu, pada pandangan penulis, penggiat media, dalam usaha

membentuk masyarakat yang berkasih sayang (rahiman) dan melestarikan kasih

sayang hendaklah kembali kepada asal (go back to basics) iaitu dengan menginsafi

hakikat sebenar matlamat kewujudan manusia itu sendiri, misi dan visinya di atas

muka bumi ini, termasuklah untuk sekalian penggiat media tanpa terkecuali.

Saya tertarik untuk berkongsi noktah “tujuan filem Islami” yang dirakamkan

oleh Dr. Naim Haji Ahmad.12

Walaupun bercakap tentang “tujuan filem Islami”, pada

pandangan saya, kenyataan tersebut juga terpakai untuk semua media yang dapat

diringkaskan kepada tiga peranan penting sepertimana yang berikut:

1) Dakwah

Sememangnya diakui bahawa peredaran semasa dan perkembangan teknologi media

sepertimana yang kita fahami hari ini belum wujud semasa zaman awal Islam. Namun

begitu, ajaran Islam menganjurkan agar setiap kita berperanan sebagai dai dengan

melakukan kerja dakwah dalam skop yang kita ada. Tuntutan ini menjadikan penggiat

media turut berperanan utama sebagai perantara/alat/wasilah bagi menyebarkan

11

Ini tidaklah membawa maksud “matlamat menghalalkan cara”, selagi perkara ini dilakukan dalam

ruang lingkup yang dibenarkan oleh Syarak. 12

Untuk pembacaan lanjut, sila rujuk Dr. Naim Hj. Ahmad, Filem Islam Satu Pembicaraan, 132.

Page 8: Peranan Media Dalam Melestarikan Masyarakat

8

dakwah Islam, iaitu mengajak manusia ke arah mengabdikan diri kepada Allah SWT,

sesuai dengan mafhum firman Allah SWT dalam Surah al-Imran ayat 104:

Dan hendaklah ada di kalangan kamu yang menyeru (berdakwah)

kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat

segala perkara yang baik, serta melarang segala perbuatan yang

salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang-

orang yang berjaya.

Dalam Surah Fussilat ayat 33 pula Allah berfirman, mafhumnya:

Siapakah yang lebih baik perkataannya selain orang yang mengajak

kepada Allah dan beramal dengan amalan soleh.

Walaupun ayat ini ditujukan khusus kepada para muazin yang menyeru orang

ramai supaya mendirikan solat, ayat tersebut juga ditujukan kepada setiap orang

mukmin yang mengajak ke arah kebaikan sepertimana yang dinukilkan oleh

al-Hassan dan lain-lain.13

Tugas dakwah ini sepatutnya turut dimainkan oleh penggiat

media, menggunakan saluran media untuk mengajak orang ramai beriman kepada

Allah SWT, dan memperkenalkan ciri-ciri ajaran Islam. Mereka sepatutnya tidak

meletakkan kerja ini hanya khusus kepada golongan agamawan semata-mata, tetapi

haruslah kepada semua masyarakat umum.

Termasuk dalam kerja dakwah ini ialah mengajak manusia ke arah perkara-

perkara ma’ruf dan menjauhi perkara-perkara mungkar (‘amru bil ma’ruf wa nahyu

anil munkar). Dalam konteks mewujudkan masyarakat yang berkasih sayang,

program-program yang bersifat mengajak manusia menghayati nilai-nilai murni dan

baik perlu disuburkan oleh media, manakala penganjuran aktiviti-aktiviti mungkar

perlu ditentang. Hal yang berlaku hari ini adalah sebaliknya apabila media lebih

banyak menyumbang ke arah mempromosikan aktiviti-aktiviti hiburan dan

kemungkaran.

2) Penerapan Nilai Murni

Media sewajarnya berperanan menerapkan nilai-nilai Islam atau nilai murni yang

diterima. Menghormati ibu bapa dan orang tua, berkasih sayang, menepati masa,

13

Tafsir al-Qurtubhi, 41:33.

Page 9: Peranan Media Dalam Melestarikan Masyarakat

9

menjaga kebersihan, dan seumpamanya merupakan antara nilai-nilai murni dan

akhlak yang wajar ditonjolkan untuk mendidik masyarakat agar mereka turut sama-

sama menghayati nilai-nilai ini. Amat malang apabila akhlak yang buruk turut

ditonjolkan oleh media. Satu kajian yang pernah dibuat di Barat bahawa semakin

kerap ditonjolkan berita-berita tentang “sumbang mahram” semakin menjadi-jadi

kejadian seumpama itu. Mengikut pakar Psikologi Islam, Prof. Dr. Malik Badri,

keadaan tersebut berlaku kerana masyarakat semakin hilang sensitiviti terhadap

perkara keji ini dan merasakan “jika orang lain boleh buat, apa salahnya aku buat,

bukan aku seorang saja”.14

Realitinya ternyata benar apabila kita melihat kejadian

buang bayi di negara kita juga semakin menjadi-jadi sehingga kita sendiri sudah mula

menganggapnya sebagai lumrah. Umat semakin hilang rasa sensitif dan kepekaan.

3) Bercakap Benar

Media hari ini sering kali dilihat mengorbankan nilai kebenaran semata-mata untuk

menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu sama ada pemilik media berkenaan atau

pihak-pihak lain yang mengawal penyiarannya. Hal ini menyebabkan media

mengorbankan prinsip kebenaran dan menyebarluaskan pendustaan. Allah SWT

melarang berdusta dalam apa-apa jua keadaan melainkan dalam keadaan tertentu

sahaja seperti peperangan, mendamaikan suami isteri dan lain-lain.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hajj ayat 30, yang mafhumnya

berbunyi, “Jauhilah perkataan dusta.” Dalil ini amat jelas menunjukkan kepada kita

betapa menjadi kewajiban setiap orang termasuk penggiat media untuk

menyampaikan kebenaran dan mengelakkan pendustaan dan pembohongan. Begitu

juga pesanan masyhur Baginda SAW yang mafhumnya berbunyi, “Berkata benarlah

walaupun pahit”.15

Perkataan dusta sudah pasti akan mewujudkan perpecahan dan permusuhan

dalam masyarakat. Malang sekali hari ini, perkara inilah yang berlaku dalam

masyarakat kita apabila media-media banyak menyogokkan berita-berita bohong dan

palsu, fitnah dan khabar angin sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan

masyarakat. Hal ini kerap kali terjadi apabila pihak media memilih untuk mengambil

14

Pernyataan ini penulis peroleh dalam kelas Psikologi oleh Prof.Dr. Malik Badri ketika penulis

mengikuti pengajian peringkat master (MA) di ISTAC. Hal ini turut dibahaskan hangat di Barat

seperti isu “How much should we highlight rape/incest? Do we desensitize by reporting many cases

daily? oleh Osama bin Javaid, Senior Officer at al-Jazeera Network. 15

Hadith sahih oleh Ibn Hibban.

Page 10: Peranan Media Dalam Melestarikan Masyarakat

10

pendapat sebelah pihak sahaja dan tidak mempedulikan pendapat pihak lain. Bagi

mewujudkan masyarakat yang berkasih sayang, sewajarnya media amanah terhadap

sesuatu maklumat dan berita dan menyiarkannya sepertimana yang diterima tanpa

memutarbelitkan fakta dan kebenaran demi tujuan-tujuan tertentu.

KESIMPULAN

Media amat berpengaruh dalam masyarakat dalam apa-apa jua keadaan termasuklah

untuk melestarikan kasih sayang (rahiman). Peranan ini hanya akan dapat dimainkan

jika penggiat media sendiri menginsafi matlamat mereka dijadikan Allah SWT di atas

muka bumi ini dan tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah SWT yang mengatasi

dan mendahului tanggungjawab mereka sebagai penggiat media. Apa-apa sahaja

program, aktiviti yang tidak diredhai oleh Allah SWT sepatutnya tidak disuburkan

bahkan sewajarnya dihalang, manakala program-progam, berita, aktiviti yang

menyuburkan ketaatan kepada Allah SWT hendaklah digalakkan. Tiga prinsip utama

perlu dimainkan oleh penggiat media ialah dakwah, penerapan nilai murni dan

bercakap benar. Inilah teras dan asas utama untuk melahirkan masyarakat yang aman

bahagia dan hidup harmoni serta diberkati Allah SWT. Wallahualam.

***

Page 11: Peranan Media Dalam Melestarikan Masyarakat

11

RUJUKAN

Faridah Ibrahim, et. al, 2012. Ethnic Media & Nation Building in Malaysia: Issues,

Perceptions and Challenges. Bangi: UKM.

Muhammad Zaki Mustafa, et. al, 2011. Representasi Islam Dalam Media. Nilai:

Universiti Sains Islam Malaysia.

Naim Haji Ahmad, 2011. Filem Islam Satu Pembicaraan. Shah Alam: Uni-N

Production Sdn.Bhd.

Nor Hartini Saari (ed.), 2011. Pemerkasaan Televisyen dalam Mendidik Masyarakat.

Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Stephen J.A.Ward, 2011. Ethics and the Media: an Introduction. Cambridge:

Cambridge Universiti Press.

Steward M.Hooever, 2006. Religion in the Media Age. Oxon:Routledge.

Yusri Ibrahim. Muqaddimah fi al-I’lam al-Islami.

http://www.alukah.net/culture/0/29205/

Zaharuddin Abdul Rahman, 2012. Ledakan Facebook Antara Pahala & Dosa. Batu

Caves: PTS Islamika Sdn.Bhd.