perubahan politik-Peter Triantafillou

26
1.0 PENGENALAN Dalam menyoroti perubahan yang wujud dalam sistem politik di Malaysia sehingga ke tahap kemantapan sebuah negara bangsa, penelitian perlu dimulakan dengan melihat peringkat awal perkembangan sistem politik di Malaysia. Berdasarkan kepada artikel Peter Triantafillou, ‘From Blood to Public Office: Constituting Bureaucratic Rulers in Colonial Malaya’ , sistem politik orang Melayu yang utuh sebelum campur tangan Inggeris adalah diketuai oleh Sultan. Sultan merupakan simbol kesatuan dalam kawasan pemerintahannya dan mempunyai kuasa autoriti. Secara kasarnya, sistem politik tradisional Melayu jelas kelihatan pada struktur sosial masyarakat tradisional, iaitu pada satu pihak ada golongan pemerintah yang berkuasa dan menikmati segala kemudahan dan di pihak lain pula terdapat golongan rakyat yang diperintah. Jika ditinjau dari segi pengagihan sumber politik, kuasa tertumpu pada golongan pemerintah saja dan dianggap sebagai hak penuh golongan itu. Semua proses membuat keputusan yang penting dan lebih luas bidangnya dilakukan pada peringkat tersebut. Dengan ketiadaan undang-undang bertulis mengenai kuasa pemerintah, kuasa autoriti telah diwariskan mengikut keturunan dan terus menjadi amalan dan berkembang yang mana membawa kepada wujudnya hubungan yang kukuh dalam ketaatan antara pemerintah dengan golongan yang diperintah. Menurut Triantafillou (2004), selepas kedatangan penjajah British berlaku perubahan dalam kuasa pemerintahan 1

Transcript of perubahan politik-Peter Triantafillou

Page 1: perubahan politik-Peter Triantafillou

1.0 PENGENALAN

Dalam menyoroti perubahan yang wujud dalam sistem politik di Malaysia sehingga ke

tahap kemantapan sebuah negara bangsa, penelitian perlu dimulakan dengan melihat

peringkat awal perkembangan sistem politik di Malaysia. Berdasarkan kepada artikel

Peter Triantafillou, ‘From Blood to Public Office: Constituting Bureaucratic Rulers in

Colonial Malaya’, sistem politik orang Melayu yang utuh sebelum campur tangan

Inggeris adalah diketuai oleh Sultan. Sultan merupakan simbol kesatuan dalam kawasan

pemerintahannya dan mempunyai kuasa autoriti.

Secara kasarnya, sistem politik tradisional Melayu jelas kelihatan pada struktur

sosial masyarakat tradisional, iaitu pada satu pihak ada golongan pemerintah yang

berkuasa dan menikmati segala kemudahan dan di pihak lain pula terdapat golongan

rakyat yang diperintah. Jika ditinjau dari segi pengagihan sumber politik, kuasa tertumpu

pada golongan pemerintah saja dan dianggap sebagai hak penuh golongan itu. Semua

proses membuat keputusan yang penting dan lebih luas bidangnya dilakukan pada

peringkat tersebut. Dengan ketiadaan undang-undang bertulis mengenai kuasa

pemerintah, kuasa autoriti telah diwariskan mengikut keturunan dan terus menjadi

amalan dan berkembang yang mana membawa kepada wujudnya hubungan yang kukuh

dalam ketaatan antara pemerintah dengan golongan yang diperintah.

Menurut Triantafillou (2004), selepas kedatangan penjajah British berlaku

perubahan dalam kuasa pemerintahan tradisional kepada sistem pentadbiran penjajah

yang merupakan satu bentuk pemerintahan yang baru dan berbeza daripada budaya

masyarakat Melayu pada ketika itu. Masyarakat Melayu mengalami pertembungan

dengan suatu masyarakat dan kebudayaan yang baru, iaitu masyarakat Inggeris yang

mempunyai ciri-ciri ekonomi kapitalis, sistem politik-pentadbiran yang kukuh dan

pentadbiran pendidikan yang maju. Pentadbiran British ini cuba membentuk masyarakat

Melayu mengikut acuan mereka dengan memberi pendidikan berasaskan barat.

Berdasarkan kajian, kesan daripada latihan dan amalan yang dilakukan oleh

pemerintah British sebenarnya bukanlah untuk membuang sifat dalaman orang Melayu

tetapi adalah untuk menghasilkan tingkah laku yang mana bagi membolehkan orang

Melayu memerintah diri mereka sendiri mengikut norma dan tingkah laku yang

sewajarnya.

1

Page 2: perubahan politik-Peter Triantafillou

2.0 DEFINISI KONSEP

Umumnya konsep yang dikemukakan oleh Peter Triantafillou iaitu ‘From Blood to

Public Office: Constituting Bureaucratic Rulers in Colonial Malaya’ membawa

pengertian, iaitu perubahan corak politik Melayu daripada mereka yang berdarah

keturunan Melayu kebanyakan (golongan hamba) kepada perjawatan pegawai tinggi iaitu

dengan wujudnya perkembangan pemerintahan birokratik dalam sistem penjajahan

Malaya. Konsep ini menerangkan bahawa pada abad ke-19 telah berlaku perubahan pada

masyarakat Melayu yang mana menjadi garis pemisah antara masyarakat Melayu tradisi

dengan masyarakat Melayu yang telah mula berubah ke arah pemodenan sesuai dengan

suasana dunia ketika itu. Kemunculan masyarakat Melayu baru ini mempunyai kaitan

yang sangat rapat dengan sistem birokrasi yang diperkenalkan oleh British. Ramai sarjana

menghubungkaitkan antara kewujudan Perkhidmatan Awam Malaya (Malayan Civil

Service) dengan kemunculan masyarakat Melayu baru ini.

Pada peringkat awal pelaksanaan sistem birokrasi dalam pentadbiran, jawatan-

jawatan yang diwujudkan disandang oleh Pegawai Inggeris sendiri dengan alasan bahawa

mereka memang layak kerana telah biasa dengan sistem itu sedangkan bagi masyarakat

Melayu, sistem itu adalah satu sistem yang baru dan berbeza daripada sistem pentadbiran

tradisi yang diamalkan sebelum ini. Oleh itu, mereka tidak berkebolehan dan perlu

menjalani latihan terlebih dahulu untuk membolehkan orang Melayu menjawat jawatan-

jawatan tersebut. Hal ini telah menyebabkan pihak British menubuhkan sebuah institusi

pendidikan untuk melatih golongan ini. Pada awal abad ke-20 barulah terdapat

segolongan generasi muda daripada kelas aristokrat1 Melayu yang benar-benar terdidik

dengan pendidikan barat dan terlatih untuk dilantik menjadi pegawai-pegawai birokrat2 di

pelbagai jabatan.

1 Aristokrat kaum bangsawan2 Birokrat pegawai yang bertindak secara birokrasi

2

Page 3: perubahan politik-Peter Triantafillou

3.0 PERUBAHAN POLITIK DI MALAYA

Perubahan corak pemerintahan di Negeri-negeri Melayu daripada sistem kerajaan kepada

sistem pentadbiran birokrasi Inggeris merupakan suatu anjakan yang besar dalam sistem

politik Melayu. Berdasarkan kepada artikel Triantafillou (2004), perubahan ini boleh

dikupas berdasarkan tiga perbezaan yang ketara antara kedua-dua sistem pemerintahan

ini, iaitu menerusi pengamalan kuasa, pelantikan jawatan dan corak pemerintahan yang

diamalkan.

Pengamalan kuasa oleh kerajaan Melayu pada ketika itu adalah berdasarkan

pemerintahan berbentuk autoritarian, yang mana Sultan sebagai ketua kerajaan

mempunyai kuasa mutlak ke atas subjek (rakyat) yang diperintahnya termasuklah

menentukan hidup mati seseorang individu yang di bawah kekuasaannya. Pengamalan

kuasa dalam sistem pemerintahan Melayu ini turut mempunyai persamaan dengan sistem

pemerintahan empayar yang mana boleh dilihat berdasarkan sistem kerahan yang menjadi

amalan dan juga berdasarkan dominasi etnik, iaitu Melayu dalam pemerintahan kerajaan.

Oleh itu, boleh dikatakan sistem pemerintahan Melayu adalah mengamalkan konsep

empayar de facto3 kerana ketiadaan undang-undang bertulis yang mengenai had kuasa

pemerintah. Walaupun British juga mengamalkan konsep empayar, pemerintahannya

adalah berbeza dengan amalan kuasa pemerintahan Melayu kerana amalan kuasa

pemerintah empayar British adalah berdasarkan konsep de jure4 iaitu kuasa pemerintahan

tertakluk kepada undang-undang bertulis yang telah dikuatkuasakan.

Berdasarkan skop pelantikan jawatan pula, jawatan Sultan adalah diwarisi

berdasarkan darah keturunan dan kekananannya dalam kerabat diraja. Begitu juga bagi

jawatan-jawatan lain dalam kerajaan, namun pelantikannya turut dipengaruhi oleh

persetujuan Sultan. Berbeza dengan kaedah ini, pelantikan pegawai pentadbir British

adalah berdasarkan merit akademik dan kemahiran mentadbir yang dimiliki oleh

seseorang individu itu. Oleh yang demikian, kebanyakan pengawai dalam pentadbiran

British adalah terdiri daripada pegawai Eropah pada awal pemerintahannya di Malaya

kerana golongan ini dilihat mempunyai lebih kemahiran berbanding kaum Melayu pada

ketika itu.

3 De facto digunakan apabila tidak terdapat undang-undang atau piawaian yang berkenaan, namun terdapat amalan umum yang telah diterima, walaupun bukan sejagat.4 De jure bermaksud disisi undang-undang; merujuk kepada hal ehwal undang-undang atau pentadbiran.

3

Page 4: perubahan politik-Peter Triantafillou

Bagi perbezaan yang ketiga pula, corak pemerintahan negeri-negeri Melayu pada

ketika itu adalah secara terpisah, yang mana setiap negeri mempunyai Sultan sebagai

pemerintah negeri. Ini bermakna, kekuasaan dan tanggungjawab Sultan terhadap subjek

yang diperintahnya hanya tertakluk dalam wilayah yang diperintahnya sahaja. Namun,

keadaan ini telah berubah dengan kedatangan British sebagai penjajah. Setiap negeri telah

dipaksa untuk menerima Residen Inggeris dan ini telah menyebabkan kuasa Sultan telah

dihadkan kepada hal ehwal agama Islam dan adat-adat Melayu. Bagi melancarkan tugas-

tugas pentadbiran, British telah mengamalkan pemerintahan birokrasi berpusat pada

sekitar tahun 1890 an dan ini merupakan titik tolak kepada perubahan sistem pentadbiran

Melayu yang pada awalnya secara terpisah kepada bentuk pentadbiran yang lebih teratur

dan sistematik.

4.0 TEORI DAN IDEOLOGI PEMERINTAHAN BRITISH DI MALAYA

Berdasarkan amalan pemerintahan penjajah British di Malaya, tidak keterlaluan jika

dikatakan secara teoritikalnya pentadbiran birokratik British mempunyai ciri amalan

konsep bonapartism5 semasa era penjajahannya di Malaya. Dalam sistem penjajahan

moden (neo-colonialism), konsep bonapartism dirujuk sebagai golongan berhaluan kanan

yang berpegang kuat kepada idea pembentukan pemusatan kuasa dan penyatuan negeri-

negeri di bawah suatu sistem pentadbiran (Wikipedia.com). Walaupun pemerintahan

British mempunyai ciri-ciri amalan konsep bonapartism, namun ianya tidak bererti

British mengamalkan sistem diktator kerana amalan konsep ini dalam sistem birokrasi

British adalah bersifat weak-bonapartism, iaitu amalan kuasa yang berbentuk semi-

autoritarian (Goh, 2006).

Berdasarkan penelitian, ciri-ciri amalan konsep ini dapat dilihat dalam

pentadbiran British di Malaya menerusi tiga aspek, iaitu yang pertama adalah

berdasarkan peringkat-peringkat penyatuan negeri-negeri dan pemusatan kuasa oleh

British yang mana bermula daripada penubuhan Negeri-negeri Selat pada tahun 1826

sehinggalah kepada pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896.

5 Goh, D. P., "Class Struggle, Ethnographic Ideology and Bonapartist State Formation in Colonial Malaya and Philippines", Kertas Kerja American Sociological Association, Ogos 2006, <http://www.allacademic. com/meta/p104287_index.html> (2008-09-05)

4

Page 5: perubahan politik-Peter Triantafillou

Pemusatan kuasa ini telah membolehkan British mendominasi sistem pentadbiran dan

menyebabkan kuasa Raja-raja Melayu semakin berkurangan.

Aspek yang kedua pula merujuk kepada dasar pecah dan perintah yang diamalkan

British yang mana telah membahagikan sistem ekonomi, pendidikan dan pola

kependudukan mengikut etnik. Polisi laissez-faire6 yang diamalkan oleh British juga

telah mendorong kaum Cina dan India memperoleh tempat sebagai golongan pertengahan

yang mengamalkan pekerjaan seperti peniaga, pelombong dan pemiutang. Bagi golongan

Melayu elit pula, mereka telah diberi peluang bagi menjawat jawatan dalam pekhidmatan

awam, manakala bagi golongan Melayu kebanyakan, mereka terpaksa menyara diri

dengan bekerja sebagai petani-petani kecil di kawasan luar bandar.

Aspek yang ketiga pula boleh dilihat menerusi pengkelasan kaum bumiputera

oleh British berdasarkan ideologi ethnographic7. Menerusi ideologi ini, kaum bumiputera

telah dirujuk sebagai Melayu yang memiliki kedudukan sebagai sebuah kaum yang

mempunyai ciri-ciri di antara golongan primitif dan kaum bertamadun yang mempunyai

organisasi dan mengamalkan ciri-ciri sistem feudal. British juga berpendapat bahawa

masyarakat Melayu sebagai sebuah kaum bawahan yang jauh berbeza daripada mereka

daripada sudut ketamadunan dan pengetahuan. Oleh itu, British beranggapan bahawa

menjadi “tanggungjawab” mereka untuk membawa perubahan kepada bangsa Melayu,

iaitu dengan mendidik dan mengubah gaya pemerintahan Melayu kepada bentuk

pentadbiran yang lebih baik berdasarkan undang-undang dan birokrasi selaras dengan

gaya ketamadunan barat.

Bagi mengubah cara pentadbiran pemerintah Melayu ini, British melihat hanya

pendidikan mampu menjadi pemangkin kepada perubahan ini. Namun ironinya, pada

masa yang sama pendidikan juga telah dijadikan medium politik oleh British bagi

mengukuhkan lagi kedudukan dan pengaruhnya dalam kalangan golongan Melayu elit di

Malaya pada masa itu. Oleh yang demikian, dengan dasar pendidikan dan peranan yang

dimainkan oleh British, ianya bukan sahaja telah merubah corak pemerintahan dan

pendidikan di Malaya, malah telah membuka dimensi baru dalam membentuk pemikiran

dan kesedaran orang Melayu dalam perjalanan menuju kepada kemantapan sebuah negara

bangsa.

6 Laissez-faire pasaran bebas7 Ideologi ethnographic membezakan sesuatu populasi berdasarkan bangsa yang mempunyai perbezaan yang jauh daripada segi kebudayaan dan taraf.

5

Page 6: perubahan politik-Peter Triantafillou

5.0 SISTEM PENDIDIKAN ZAMAN BRITISH

Hakikatnya, sebelum kedatangan kuasa-kuasa asing di Tanah Melayu, orang Melayu

sudah mempunyai sistem pendidikannya sendiri. Sistem pendidikan yang wujud pada

ketika itu bersifat tidak formal, dipercayai berkembang bersama-sama dengan penyebaran

agama Islam di Tanah Melayu. Pendidikan agama Islam terus berkembang apabila

terdapat beberapa orang ulama dari Timur Tengah berhijrah ke negeri-negeri Melayu

pada abad ke-18. Golongan ulama ini mempelopori satu sistem pendidikan agama yang

lebih teratur dan dikenali sebagai sekolah pondok. Pengajian agama Islam sangat

ditekankan dalam sistem pendidikan sebelum kedatangan British, kerana masyarakat

Melayu pada masa itu menyanjung tinggi nilai-nilai agama.

Jika diteliti, bilangan-bilangan sekolah pondok bertambah dengan pesat seiring

dengan bertambah sekolah-sekolah sekular yang diperkenalkan oleh pentadbiran British

di Tanah Melayu. Sistem pendidikan di bawah pentadbiran British di Tanah Melayu lebih

mencerminkan unsur-unsur perkauman kecuali setelah sistem persekolahan Inggeris yang

lebih bersifat terbuka muncul di bandar-bandar.

Berdasarkan sistem pendidikan ini, ia dilihat lebih bersifat dualistic8 kerana

mengkhususkan pendidikan Inggeris yang dianggap sebagai sebuah sistem pendidikan

yang terbaik kepada golongan bangsawan dan pembesar, manakala rakyat biasa pula

dianggap lebih sesuai dengan pendidikan vernakular9. Keadaan ini didorong oleh

keinginan British untuk menjadikan sistem pendidikan Inggeris sebagai saluran melatih

anak-anak golongan bangsawan dan pembesar menceburkan diri dalam perkhidmatan

awam di Tanah Melayu selepas menamatkan pengajian masing-masing.

8 Dualistic merupakan teori yang berasaskan dua dasar yang berlainan.9 Vernakular sekolah vernakular masing-masing mempunyai orientasi tersendiri serta jauh daripada keseragaman. Ini adalah selaras dengan dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh pihak Inggeris.

6

Page 7: perubahan politik-Peter Triantafillou

5.1 PENDIDIKAN MELAYU

Pada peringkat awal, kerajaan British tidak berhasrat untuk memajukan bidang

pendidikan di Tanah Melayu. Ini kerana mereka berpendapat bahawa bidang pendidikan

terhadap orang Melayu adalah tidak mendatangkan faedah kepada orang Melayu itu

sendiri. Malah, penyediaan kemudahan pendidikan boleh melahirkan ‘satu kelas

terpelajar yang tidak berpuas hati dan kemudiannya akan bangkit menentang Empayar

British’ (Malik Munip, 1980:105).

Walau bagaimanapun, atas desakan raja-raja dan pembesar Melayu, akhirnya

pemerintah British bersetuju untuk memberi pendidikan setakat sekolah rendah kepada

orang Melayu. Setelah British berbuat begitu, sambutan ibu bapa terhadap usaha pihak

British pula tidak mendapat sambutan yang menggalakkan kerana kurangnya kesedaran

masyarakat Melayu tentang kepentingan pendidikan, selain tiadanya sistem

pengangkutan yang baik serta berfikiran sempit. Mereka menganggap sekolah-sekolah itu

menyebarkan ideologi sekular yang bertentangan dengan agama Islam. Oleh sebab tidak

mendapat sambutan yang menggalakkan, para pembesar Melayu telah berunding dengan

kerajaan British untuk mengatasi masalah tersebut. Apabila pihak kerajaan bersetuju

membenarkan pengajian al-Quran diajar, barulah ibu bapa membenarkan anak-anak

mereka belajar di sekolah-sekolah yang disediakan oleh pihak Inggeris.

Berdasarkan penelitian, bidang pendidikan pada zaman pemerintah British telah

membahagikan sistem pendidikan orang Melayu kepada dua jenis, iaitu sistem sekolah

rendah vernakular Melayu bagi kawasan luar bandar dan Kolej Melayu bagi golongan

elit.

5.2 PERKEMBANGAN SEKOLAH VERNAKULAR MELAYU

Richard O. Winstedt membuat perubahan kepada kurikulum di sekolah-sekolah

vernakular Melayu supaya bersesuaian dengan kehidupan orang Melayu. Penyusunan

kurikulum di sekolah-sekolah vernakular Melayu memang dihadkan sesuai dengan cita-

cita British memberi pendidikan sekadar untuk mengelakkan orang Melayu daripada buta

huruf kerana kerajaan British berpendapat kelayakan begini dianggap memadai kepada

7

Page 8: perubahan politik-Peter Triantafillou

kanak-kanak Melayu yang akan menjadi pemandu kereta lembu, penanam padi, nelayan

dan lain-lain (Ibrahim Saad, 1981:13).

Dari segi matlamat, kerajaan British tidak melihat kepentingan sekolah vernakular

Melayu sebagai alat pembangunan mental orang Melayu. Kerajaan British tdak berhasrat

untuk menjadikan sekolah ini sebagai ejen untuk memajukan intelektual atau

meningkatkan kehidupan sosial orang Melayu. British menganggap pelajaran vernakular

Melayu untuk membantu masyarakat Melayu di luar bandar mendapat pekerjaan yang

rendah. Oleh itu, ternyata matlamat utama pendidikan yang diberi kepada masyarakat

Melayu adalah untuk menyemai benih ”jiwa hamba” di hati anak-anak Melayu dan

melahirkan tenaga buruh kasar (Abd Rahman Ismail, 2005:304). Tenaga seperti ini

sangat penting untuk menjalankan dan melicinkan urusan pentadbiran mereka. Langkah

ini dengan sendirinya meletakkan kebanyakan orang Melayu pada tahap yang paling

rendah dalam perkhidmatan awam British di Tanah Melayu.

Berdasarkan penelitian kenyataan di atas, ia adalah bertentangan dengan pendapat

Triantafillou yang mengatakan bahawa orang Melayu merupakan bangsa yang pemalas

dan mempunyai tahap intelektual yang rendah. Walaupun pendapat beliau turut disokong

oleh beberapa penulis tentang masyarakat Melayu seperti Wheeler (1928), Raffles (1935)

dan Cortesao (1944) yang menyatakan orang Melayu kurang berorientasi pencapaian,

malas dan tidak suka bekerja keras (Wan Rafaei, 1983:124), namun Za’ba menyangkal

pendapat tersebut dengan pendiriannya bahawa masyarakat Melayu mempunyai hemah,

sanggup berusaha dan tidak malas, tetapi dengan kurangnya pengetahuan terhadap ilmu

baru, masyarakat Melayu menjadi mundur (Adnan Nawang, 1998:93). Selain itu,

kelemahan daripada aspek penyediaan kemudahan pendidikan dan juga kurikulum yang

tidak memfokuskan kepada peningkatan intelektual pelajar Melayu mengakibatkan

pelajar-pelajar sekolah vernakular Melayu terus tercicir dalam pelajaran. Jika dikaji

dengan teliti, tidak keterlaluan jika dikatakan sebenarnya dasar pihak British itu sendiri

yang meletakkan orang Melayu tidak berkembang kerana mereka berpendapat sekiranya

orang Melayu diberi pendidikan yang tinggi akan membangkitkan kesedaran dan mereka

bangkit menentang penjajahan British. Oleh sebab itulah kerajaan British hanya

membataskan pendidikan vernakular Melayu setakat sekolah rendah sahaja.

8

Page 9: perubahan politik-Peter Triantafillou

5.3 PENDIDIKAN INGGERIS UNTUK ORANG MELAYU

Pada awalnya, kerajaan British memang tidak membenarkan pendidikan Inggeris dibuka

kepada orang Melayu, tetapi akibat berkembangnya ekonomi di Tanah Melayu, semakin

ramai tenaga pekerja diperlukan untuk mengisi pelbagai jawatan di peringkat pertengahan

dalam perkhidmatan awam serta ditambah pula dengan kesedaran pihak British tentang

perbelanjaan yang semakin meningkat kerana mengambil bilangan pegawai Inggeris

yang tidak seimbang ramainya (Triantafillou, 2004). Oleh itu, kerajaan British membuka

pendidikan Inggeris kepada orang Melayu tetapi peluang ini dikhaskan kepada anak

golongan bangsawan sahaja. Ini adalah untuk mendamaikan kaum bangsawan sambil

hanya campur tangan yang minimum terhadap orang-orang Melayu kebanyakan.

Pada bulan Januari 1905, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) telah dibuka.

Walaupun pada asalnya kolej ini adalah untuk melatih anak-anak Melayu dari keturunan

bangsawan, namun terdapat juga anak-anak Melayu kebanyakan diterima belajar di sini.

Biasanya mereka datang daripada keluarga yang rapat dengan kaum bangsawan (Andaya

dan Andaya, 1983:265). Maktab ini adalah sekolah berasrama penuh khas bagi mendidik

anak-anak bangsawan Melayu agar menguasai bahasa Inggeris serta tatasusila Barat agar

boleh diserapkan ke dalam pentadbiran British di Tanah Melayu pada masa depan.

Selain MCKK, peluang anak-anak Melayu untuk menerima pendidikan Inggeris

sangat sedikit dan terbatas terutamanya bagi anak-anak Melayu yang tinggal di kawasan

luar bandar. Walaupun terdapat usaha yang dilakukan oleh orang Melayu luar bandar

untuk memohon pembukaan sekolah Inggeris di kawasan mereka seperti di Lenggong

dan Krian, Perak pada tahun 1913, namun, permintaan ini telah ditolak oleh British

kerana polisi pendidikan British terhadap orang Melayu adalah bertujuan untuk menyekat

orang Melayu daripada menerima pendidikan Inggeris (Loh, 1975: 81). Namun pada

tahun 1930, barulah anak-anak Melayu kebanyakan mendapat lebih banyak peluang

apabila kerajaan British memperkenalkan Special Malay Class dalam sistem pendidikan

Inggeris.

Umumnya, walaupun sekolah Inggeris terbuka kepada semua kaum dan

peringkat, tetapi sebahagian besar muridnya datang dari golongan atasan dan bilangan

pelajar Melayu sangat terbatas. Terdapat sekatan yang menghalang kemasukan orang

Melayu ke sekolah-sekolah Inggeris seperti perlu menjalani Special Malay Class terlebih

9

Page 10: perubahan politik-Peter Triantafillou

dahulu, tetapi jika tiada sekatan sekalipun, bilangan murid Melayu yang akan belajar di

sekolah itu tetap kecil. Ini kerana sekolah-sekolah Inggeris terletak di pusat bandar dan

bayaran yuran yang dikenakan agak tinggi. Selain itu, orang Melayu yang tinggal di luar

bandar sukar untuk memasuki sekolah ini kerana masalah pengangkutan dan kewangan.

Masalah ini yang menyebabkan orang Melayu masih kurang mendapat pendidikan.

5.4 PENUBUHAN MAKTAB PERGURUAN

Bertambahnya bilangan sekolah hari demi hari menyedarkan kerajaan tentang

kepentingan dan keperluan mendesak ke atas guru-guru yang baik untuk ditempatkan di

sekolah-sekolah. Oleh itu, pada tahun 1922, sebuah maktab yang dinamakan Sultan Idris

Training College (SITC) telah didirikan di Tanjong Malim, Perak. SITC merupakan satu-

satunya institusi yang menggunakan bahasa Melayu di peringkat tinggi pada ketika itu.

Para pelajarnya berasal dari seluruh Tanah Melayu. Memandangkan mereka datang dari

latar belakang yang sama (keluarga petani, nelayan, penghulu, guru agama, kakitangan

rendah dalam pentadbiran penjajah) maka hubungan sesama mereka agak rapat kerana

masing-masing mempunyai persamaan.

Berdasarkan latar belakang sedemikian, mereka telah dididik dengan mata

pelajaran seperti pertanian asas dan pertukangan tangan peringkat rendah, supaya mereka

kelak dapat memperkenalkan kaedah-kaedah yang saintifik di kampung-kampung yang

terpencil di pedalaman. Langkah ini dibuat selaras dengan dasar pendidikan British yang

bertujuan untuk membataskan kemajuan ekonomi orang Melayu, iaitu dengan

mengekalkan kehidupan tradisi mereka di kampung dan menjauhkan mereka daripada

cabaran kegiatan ekonom moden. Matlamat dasar pendidikan British adalah untuk

memupuk ‘satu golongan petani dan nelayan yang berkebolehan sebagai tulang belakang

bangsa’ (Khoo dan Lo, 1978:200). Langkah ini jelas memperlihatkan matlamat pihak

penjajah untuk membataskan perkembangan pelajaran Melayu sehingga di peringkat

sekolah rendah sahaja.

Penubuhan SITC tidak bertujuan untuk memberi pendidikan di peringkat

menengah kepada orang Melayu kerana maktab ini bukan sebuah sekolah menengah.

SITC hanya sebuah maktab latihan perguruan yang melatih bakal-bakal guru untuk

ditempatkan di sekolah-sekolah Melayu luar bandar.

10

Page 11: perubahan politik-Peter Triantafillou

Umumnya, tujuan pendidikan yang dilaksanakan oleh pihak British kepada orang

Melayu menurut Peter Triantafillou, adalah untuk mendidik minda dan diri orang

Melayu, mendidik disiplin golongan elit Melayu, meningkatkan merit10 akademik,

membentuk semula masyarakat Melayu, memupuk peraturan tingkah laku, memupuk

semangat berpasukan, memupuk kesedaran terhadap peraturan dan perundangan serta

membentuk kerjaya dan tingkah laku pentadbir Melayu. Aspek-aspek ini adalah untuk

membentuk pengurusan kendiri dan tingkah laku dalam kalangan orang Melayu yang

ingin mendapatkan jawatan dalam pemerintahan birokrasi penjajah.

Berdasarkan penelitian, tujuan yang lebih penting pihak British menggalakkan

sistem pendidikan ini adalah untuk mengekalkan struktur sosial orang Melayu dan

serentak dengan itu memodenkan golongan Raja-raja Melayu supaya dapat menghadapi

cabaran semasa. Matlamat ini lebih sesuai dicapai dengan pendidikan di Kolej Melayu

Kuala Kangsar kerana kebangsawanannya berbanding dengan SITC yang berbahasa

pengantar Melayu yang hanya untuk orang-orang kebanyakan. Hakikatnya, sistem

pendidikan Melayu pada zaman Kolonial amat rendah dan mundur sekali. Menurut

Za’ba, ini dilihatnya dari dua sudut. Pertama, dari segi pemahaman atau iktikad agama

orang Melayu itu sendiri. Kedua, dari segi pentadbiran dan kurikulumnya (Za’ba,

1998;100).

6.0 PERUBAHAN YANG WUJUD DALAM SISTEM POLITIK SEHINGGA

KE TAHAP KEMANTAPAN SEBUAH NEGARA BANGSA

Satu daripada unsur penting dalam kebangkitan semangat kebangsaan dan pemantapan

negara bangsa ialah keinginan untuk mendapatkan hak politik dan membebaskan tanah

air daripada belenggu penjajahan. Mereka inginkan perubahan yang cepat dan menuntut

supaya lebih banyak hak diberi kepada orang Melayu. Golongan yang mahukan

perubahan seperti ini muncul pada tahun 1920 an dan mereka bukan terdiri daripada

golongan berpendidikan agama tetapi golongan ini merupakan pemimpin daripada aliran

pendidikan Melayu dan Inggeris. Sebuah institusi yang memainkan peranan penting

menyemai semangat kebangsaan dalam kalangan pelajar Melayu adalah SITC.

10 Merit sifat, kualiti, perbuatan, dsb yang patut layak mendapat kepujian atau penghargaan.

11

Page 12: perubahan politik-Peter Triantafillou

Umumnya, kehidupan orang Melayu berada pada tahap yang amat buruk sekali

dan terus mundur serta ketinggalan dalam pelbagai bidang. Para pemimpin sedar akan

perkara ini dan telah mendesak kerajaan British untuk melakukan sesuatu bagi

mengatasinya. Namun, usaha yang dilakukan oleh pihak British ini dilihat amat

mengecewakan kerana tidak banyak yang dilakukan untuk mengubah nasib orang

Melayu. Lama-kelamaan semakin ramai orang Melayu telah tampil ke hadapan untuk

menuntut perubahan. Mereka ini bergerak melalui bebagai-bagai saluran dan organisasi

yang ditubuhkan untuk membangkitkan kesedaran kebangsaan dalam kalangan orang

Melayu.

Pada mulanya, perjuangan dalam membangkitkan kesedaran diterajui oleh

golongan intelektual Melayu berpendidikan Inggeris dan Melayu. Walau bagaimanapun,

golongan intelektual berpendidikan Inggeris ini dilihat mengambil sikap yang sederhana

dan sanggup bekerjasama dengan pihak British demi kepentingan sendiri. Perjuangan

mereka lebih menjurus kepada masalah-masalah sosioekonomi yang dihadapi oleh orang

Melayu seperti berkaitan dengan bidang pendidikan dan peluang untuk menyertai

perkhidmatan awam.

Oleh sebab itu, telah timbul golongan yang dikenali sebagai golongan haluan kiri

dan bersifat radikal. Golongan ini merupakan golongan intelektual yang mendapat

pendidikan Melayu. Mereka ini menyalahkan dan merasakan bahawa pembesar Melayu

termasuk Raja, tidak mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menentang kuasa

penjajah dan memulihkan kembali kuasa ekonomi orang Melayu. Oleh sebab sebahagian

besar pelajar SITC berasal dari keluarga miskin, mereka lebih memahami pelbagai

masalah yang dihadapi oleh orang Melayu di luar bandar. Kesedaran yang lahir dalam

kalangan pelajar SITC telah mendorong mereka untuk menyuarakan perasaan tidak puas

hati terhadap pentadbiran British di Tanah Melayu, terutamanya tentang kedudukan

orang Melayu yang masih mundur. Pada masa yang sama, mereka berusaha untuk

membangkitkan kesedaran orang Melayu umumnya.

Pada peringkat awal, mereka tidak menyuarakan penentangan terhadap British

secara terang-terangan, tetapi menggunakan cara yang lebih lembut seperti mengadakan

perbincangan dan perbahasan sesama sendiri. Ini kemudiannya disusuli dengan penulisan

dalam majalah-majalah dan buku-buku yang berkisar tentang masalah-masalah

kelemahan dan kemunduran orang Melayu. Selain rencana-rencana yang bertujuan untuk

12

Page 13: perubahan politik-Peter Triantafillou

memupuk kesedaran dalam kalangan orang Melayu, terdapat juga tulisan-tulisan yang

cuba menyedarkan orang Melayu bahawa kemunduran mereka juga sebenarnya berpunca

daripada kelemahan diri mereka sendiri.

Penglibatan para pelajar dan guru-guru SITC merupakan suatu sumbangan

penting dalam gerakan awal kesedaran kebangsaan yang semakin rancak pada akhir

tahun 1920 an dan seterusnya dalam kenyataan hidup orang Melayu. Setelah menyedari

beberapa masalah yang dihadapi orang Melayu, guru-guru lepasan SITC kemudiannya

kembali mengajar di kampung masing-masing dengan membawa bukan sahaja keazaman

untuk membangunkan anak bangsanya, tetapi juga pandangan-pandangan baru berkaitan

dengan kehidupan sosial dan perkembangan politik di tanah air. Walaupun usaha-usaha

mereka seringkali dihalang oleh pengaruh para pemimpin tradisi yang berkuasa dalam

masyarakat desa, tetapi mereka turut memberi sumbangan dalam melahirkan satu

generasi baru orang Melayu.

7.0 PERBINCANGAN

Artikel Peter Triantafillou, telah membincangkan bahawa kewujudan pentadbiran

penjajah British di Tanah Melayu pada tahun 1870 an adalah secara beransur-ansur.

Namun perubahan yang radikal dalam norma amalan tingkah laku kendiri Melayu pada

ketika itu membenarkan kedudukan autoriti politik kerajaan British. Dalam

ketidaktentuan pemerintahan, ketidakmatangan serta kelayakan yang rendah dalam

kalangan pemerintah di Malaya, pihak British secara beransur-ansur menyediakan ruang

kepada orang Melayu untuk menjawat jawatan dalam pemerintahan pentadbiran baru.

Pentadbiran ini bukan lagi berbentuk pewarisan berdasarkan keturunan atau ritual

ketaatan seperti mana di bawah pemerintahan tradisional tetapi berdasarkan merit

akademik, semangat berpasukan serta kapasiti untuk menguruskan diri yang mana telah

memisahkan antara tugas rasmi dengan kepentingan peribadi.

Menurut Peter Triantafillou, bahawa pendidikan di Kolej Melayu bukanlah untuk

menginggeriskan orang Melayu tetapi untuk membuatkan mereka menghormati serta

menghargai bahasa Melayu, adatnya dan ajaran Islam. Berdasarkan kajian terhadap

pemerintahan kerajaan British, kewujudan sistem birokrasi sebagai menekan dan

membuang nilai keaslian Melayu kerana ia merupakan sesuatu yang baru bagi orang

13

Page 14: perubahan politik-Peter Triantafillou

Melayu. Kesan daripada latihan dan amalan yang dilakukan bukanlah untuk membuang

sifat dalaman orang Melayu tetapi adalah untuk menghasilkan tingkah laku yang mana

bagi membolehkan orang Melayu untuk memerintah diri mereka sendiri mengikut norma

tingkah laku dan birokrasi. Namun demikian, kemasukan orang Melayu ke Kolej Melayu

merupakan satu tindakan atas inisiatif mereka sendiri untuk mendapatkan tempat dalam

pentadbiran.

Berdasarkan penelitian, orang Melayu berusaha sendiri untuk mendapatkan

peluang pendidikan kerana dasar kerajaan British yang tidak mengambil berat mengenai

pendidikan orang Melayu. Sehubungan dengan itu juga masyarakat Melayu tidak

menerima khidmat sokongan untuk membantu mereka mengubah corak hidup mereka.

Ini dapat dilihat, walaupun mereka diberi peluang dalam pendidikan melalui sekolah-

sekolah Melayu yang didirikan tetapi mata pelajaran yang diajar hanyalah bertujuan

mengisi keperluan biasa murid-murid Melayu yang akan menjadi lebih baik prestasi

daripada ibu bapa mereka.

Dari segi sejarahnya, hakikat bahawa pendidikan Melayu diabaikan sehingga awal

1940 an adalah suatu kenyataan. Permintaan orang Melayu supaya memperbanyak

pelajar Melayu memasuki sekolah Inggeris juga tidak dilayani. Dari segi perkembangan

fizikalnya, hakikat bahawa kerajaan kolonial telah membangun dan memajukan

pendidikan di Tanah Melayu memang tidak dapat dinafikan. Namun begitu, mereka tidak

pernah mempunyai dasar untuk memajukan pendidikan Melayu. Malah raja-raja dan

pembesar Melayu sendiri, selaku kolaborator pihak kolonial sentiasa taat dan setia kepada

peranan tersebut (Adnan Hj Nawang, 1998:104).

Dalam keadaan seperti ini, terdapat persoalan walaupun kerajaan British memberi

pendidikan kepada masyarakat Melayu tetapi tiada perubahan dalam orang Melayu itu

sendiri. Untuk memasuki sekolah-sekolah Inggeris, orang Melayu kebanyakan tidak

mampu selain daripada kedudukannya yang jauh daripada tempat kediaman. Maka tidak

hairanlah jika orang Melayu terus tinggal ke belakang dan tidak mampu bersaing dengan

masyarakat pendatang yang lebih berpeluang kerana disediakan dengan pelbagai

kemudahan hidup.

14

Page 15: perubahan politik-Peter Triantafillou

8.0 KESIMPULAN

Tidak dapat disangkal bahawa dasar-dasar dan tindakan pemerintahan British di Malaya

pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 merupakan babak penting dalam mencorak

dan membentuk sistem politik Malaysia pada hari ini. Berdasarkan penelitian terhadap

artikel Peter Triantafillou ini, isu yang diketengahkan oleh beliau adalah lebih menjurus

kepada peranan pendidikan yang dipraktikkan oleh British di Malaya dalam merubah

corak pemerintahan Melayu kepada sistem yang lebih bersistematik berdasarkan

perundangan dan kod etika yang perlu dipatuhi.

Namun, perbincangan dan hujah-hujah beliau lebih membahaskan kepada fungsi

British dalam membawa perubahan tersebut tanpa melihat “permainan” politik British

dalam melaksanakan peranannya dan kesan daripada tindakan tersebut terhadap orang

Melayu. Berdasarkan dapatan kajian daripada pembacaan, selain untuk mendapatkan

sokongan yang berterusan daripada orang Melayu terutamanya daripada kalangan

bangsawan, pengenalan sistem pendidikan British yang bersifat bias tersebut juga adalah

bertujuan untuk menghalang mobiliti sosial masyarakat Melayu. Pelantikan pelajar-

pelajar lepasan kolej Melayu ke jawatan dalam sistem birokratik dilihat sebagai usaha

British untuk memastikan raison d’etre11 masyarakat Melayu dalam mengejar mobiliti

sosial menerusi bidang lain dapat disekat dan tidak berkembang. Hal ini kerana British

bimbang jika masyarakat Melayu mengecapi kemajuan terutamanya daripada segi

pendidikan dan ekonomi, mereka ini akan bangun menentang penguasaan penjajahan

British di Malaya. Walau bagaimanapun, sekitar awal abad ke-20 telah menyaksikan

kebangkitan semangat nasionalisme Melayu di atas kesedaran akan hakikat taraf hidup

orang Melayu yang masih ketinggalan.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa perubahan politik

yang berlaku di Malaya adalah berdasarkan kepada implikasi dasar penjajahan British

dan juga kesedaran orang Melayu itu sendiri terhadap kepentingan mobiliti sosial dalam

merubah diri ke arah pembentukan kemantapan sebuah negara bangsa di bawah acuan

pentadbiran mereka sendiri.

11 raison d’etre pemikiran rasional atau mempersoalkan kejadian sesuatu peristiwa.

15