Politik

30
1.0 PENGENALAN Nasionalisme adalah merupakan satu fenomena yang kompleks dan boleh dikatakan terdapat di mana-mana, sama ada di negara yang telah merdeka mahupun yang masih dijajah. Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa nasionalisme di negara merdeka adalah lebih tersusun dan lancar pergerakannya berbanding dengan nasionalisme di negara yang terjajah. Nasionalisme di negara merdeka lebih berbentuk melindungi identiti kebudayaan yang dirasakan telah tergugat manakala di negara terjajah lebih bersifat penentangan terhadap penjajah. Sebagai contoh, di Malaysia, gerakan awal nasionalisme melayu berlaku bertujuan menentang penjajah. Pada tahun 1882, Barnest Renan mengemukakan pendapatnya tentang fahaman bangsa. Menurutnya bangsa itu adalah satu nyawa. Golongan agama sememangnya memainkan peranan yang penting dalam kesedaran kebangsaan dan politik orang Melayu. 1 Antara tokoh berpendidikan agama yang terkenal dalam gerakan awal nasionalisme melayu adalah Syed Sheikh Ahmad al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Dr Burhanuddin Al- Helmy dan Za ba. Terdapat pelbagai faktor yang mendorong golongan berpendidikan agama dalam gerakan awal nasionalisme melayu. Antaranya adalah, akibat pengaruh luar. Sebagai contoh, Gerakan Pemulihan Islam di Mesir. Gerakan Pemulihan Islam bermula di Mesir sejak tahun 1850. Gerakan ini dipimpin oleh Sayid Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Konsep Gerakan Pemulihan Islam telah memberi ilham kepada pelajar-pelajar Melayu yang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir untuk berjuang di negara sendiri. Pelajar-pelajar yang 1 Zawiyah Mohammad Yusof, 1983/84, Semangat Perjuangan Melayu : Satu Analisis Sosiologi Mengenai PKMM, Arkib Negara, Hlm : 52-56.

description

politik.

Transcript of Politik

1.0 PENGENALAN Nasionalisme adalah merupakan satu fenomena yang kompleks dan boleh dikatakan terdapat di mana-mana, sama ada di negara yang telah merdeka mahupun yang masih dijajah. Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa nasionalisme di negara merdeka adalah lebih tersusun dan lancar pergerakannya berbanding dengan nasionalisme di negara yang terjajah. Nasionalisme di negara merdeka lebih berbentuk melindungi identiti kebudayaan yang dirasakan telah tergugat manakala di negara terjajah lebih bersifat penentangan terhadap penjajah. Sebagai contoh, di Malaysia, gerakan awal nasionalisme melayu berlaku bertujuan menentang penjajah. Pada tahun 1882, Barnest Renan mengemukakan pendapatnya tentang fahaman bangsa. Menurutnya bangsa itu adalah satu nyawa. Golongan agama sememangnya memainkan peranan yang penting dalam kesedaran kebangsaan dan politik orang Melayu.[footnoteRef:1] Antara tokoh berpendidikan agama yang terkenal dalam gerakan awal nasionalisme melayu adalah Syed Sheikh Ahmad al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Zaba. [1: Zawiyah Mohammad Yusof, 1983/84, Semangat Perjuangan Melayu : Satu Analisis Sosiologi Mengenai PKMM, Arkib Negara, Hlm : 52-56.]

Terdapat pelbagai faktor yang mendorong golongan berpendidikan agama dalam gerakan awal nasionalisme melayu. Antaranya adalah, akibat pengaruh luar. Sebagai contoh, Gerakan Pemulihan Islam di Mesir. Gerakan Pemulihan Islam bermula di Mesir sejak tahun 1850. Gerakan ini dipimpin oleh Sayid Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Konsep Gerakan Pemulihan Islam telah memberi ilham kepada pelajar-pelajar Melayu yang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir untuk berjuang di negara sendiri. Pelajar-pelajar yang berpendidikan Arab dari Mesir pulang ke Tanah Melayu dan menjadi pelopor Gerakan Islah-Islam. Tokoh-tokoh terkenal ialah Syed Sheikh Ahmad al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Mohammad Salim al-Kalali dan Haji Abbass bin Mohammad Taha. Mereka menyebarkan idea-idea Islam-Islamiah atau pemulihan agama Islam serta konsep Pan-Islamisme di kalangan kaum Melayu menerusi majalah al-Imam.

2.0 SYED SYEIKH AL-HADI 2.1 Latar BelakangSyed Syeikh Al-Hadi dilahirkan pada petang selasa pada 25 Rejab tahun 1291 Hijrah bersamaan 1867 Masihi di Kampung Hulu, Melaka. Beliau meninggal dunia pada 20 Februari 1934 bersamaan 6 Zulkaedah 1352 Hijrah, malam Rabu di rumah Nombor 410, Jalan Jelutong, Pulau Pinang. Bapa Syed Syeikh Al-Hadi ialah Syed Ahmad bin Hassan Al-Hadi yang merupakan seorang berbangsa Arab daripada keturunan Hadramaut. Ayahnya iaitu Syed Ahmad dilahirkan di Kampung Hulu Melaka pada malam Sabtu, 1 syawal 1253 Hijrah dan meninggal dunia pada 15 Zulhijah 1312 Hijrah di Pulau Penyengat, Riau. Hal ini disebabkan nendanya Syed Hassan bin Saggaf Al-Hadi juga dilahirkan di Melaka. Bapa telah berkahwin dengan seorang perempuan melayu Melaka iaitu Syarifah Syeikhun pada tahun 1275 Hijrah dan hasil daripada perkahwinan itu mengurniakan tujuh orang anak iaitu tiga lelaki dan empat perempuan. Menurut Syed Alwi Al-Hadi, adik beradik Syed Syeikh Al-Hadi kebanyakan meninggal dunia semasa kecil dan ketika remaja melainkan Syed Syeikh Al-Hadi dan adiknya Syed Hussien dan Syarifah Noor yang dipanjangkan umur sehingga 60 tahun.[footnoteRef:2] Selain itu, Syed Syeikh Al-Hadi juga pernah berkahwin dengan seorang perempuan dari keluarga Melayu di Singapura dan mendapat seorang anak perempuan yang bernama Mariam. [2: Talib Samat, 2010, Kenali Tokoh Berjaya Jilid 1, Selangor : Pekan Ilmu Publication Sdn. Bhd, Hlm : 301.]

Syed Syeikh Al-Hadi melanjutkan pelajaran di Timur Tengah. Beliau merupakan antara kumpulan anak Melayu yang terawal mendapat peluang belajar di Timur Tengah. Hal ini disebabkan mereka adalah pengiring kepada anak-anak keluarga diraja Riau-Lingga yang sering melawat Timur Tengah. Lawatan itu adalah bertujuan untuk melawat dan melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang agama dan bahasa arab. Di Kaherah, Syed Syeikh Al-Hadi mendapat pendidikan daripada Syeikh Muhammad Abduh (1849-1905)[footnoteRef:3] yang merupakan seorang pengasas gerakan Islam yang termasyhur pada masa itu. Pada masa itu, beliau berusia 28 tahun dan Syed Muhammad Abduh berusia 46 tahun. Syed Muhammad Abduh merupakan seorang yang terkenal dengan pemikiran yang maju dan revolusioner sehingga berjaya membawa pembaharuan dalam cara berfikir dan membangunkan masyarakat di Timur Tengah terutamanya di Mesir. Syed Syeikh Al-Hadi mempunyai semangat dan fikiran yang progresif dan berusaha untuk membawa perubahan dalam masyarakat Melayu dalam bidang agama. [3: Talib Samat, 2010, Kenali Tokoh Berjaya Jilid 1, Selangor, Pekan Ilmu Publication Sdn. Bhd, Hlm : 303.]

2.2 Sumbangan Dalam Gerakan Awal NasionalismeBeliau menjadi pendakwah dan menyebarkan ajaran islam berasaskan pemikiran progresif yang dipelajari dengan Syed Muhammad Abduh di kampung halamannya di Melaka sekembali dari negeri Johor Bharu. Beliau menubuhkan Madrasah Al-Hadi untuk menyebarkan ilmu agama kepada penduduk kampung kelahirannya. Namun demikian, cara pemikirannya yang mendahului zaman telah menimbulkan kemarahan dan penentangan golongan tua dan ulama tradisional. Berikutan daripada itu, beliau diugut sehingga beliau melarikan diri meninggalkan Melaka. Selepas peristiwa di Melaka, beliau telah membawa diri ke Pulau Pinang untuk meneruskan perjuangan agama dan penyebaran dakwah islamiah. Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang sesuai dalam perjuangannya kerana beliau telah berjaya menerokai bidang penulisan dan gerakan refomarsi. Di sana, beliau telah menubuhkan sebuah madrasah yang dikenali sebagai Madrasah Al-Mashoor[footnoteRef:4] pada tahun 1916 yang berfungsi sehingga kini (dikenali dengan nama SMKA Al-Mashoor dan Maahad Mashoor Islami). Madrasah tersebut telah melahirkan pelajar yang terkemuka antaranya ialah Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang merupakan seorang tokoh nasionalis dan pejuang kemerdekaan. Di sini juga, beliau telah digelar Bapa Novel Melayu kerana mahir dalam bidang kesusasteraan dan pensuratkhabaran. [4: Prof Madya Dr. Mohd Rosdi, 2011, Ilmuwan Nusantara, Selangor : PTS Islamika Sdn.Bhd, Hlm : 13.]

Selain itu, Syed Syeikh Al-Hadi juga melibatkan diri dengan pengaruh dan pemikiran perjuangan Kaum Muda hasil daripada pengajiannya bersama dengan Syeikh Muhamad Abduh dan Syeikh Jamal Afghani di Mesir ketika beliau berulang-alik daripada Mesir untuk pulang ke kampungnya di Pulau Penyengat. Melalui itu, Syed Syeikh Al-Hadi telah memberi sumbangan kepada masyarakat dengan cuba menghapuskan amalan khurafat dan bidaah dalam kalangan umat islam pada ketika itu. Berikutan itu, melalui idea dan pemikiran islah yang dikemukakan oleh beliau telah berjaya membuka minda masyarakat tentang islam dan nasionalisme.Syed Syeikh Al-Hadi mempunyai peranan yang besar dalam gerakan awal nasionalisme. Hal ini disebabkan beliau seorang wartawan yang berperanan menyampaikan matlumat dan berita kepada orang ramai sehingga dapat menyedarkan mereka tentang pentingnya semangat nasionalisme dalam diri masing-masing. Di samping itu, golongan wartawan ini juga di tugaskan untuk memberi pendapat atau pandangan dalam sesuatu masalah dan menambahkan ilmu pengetahuan kepada orang Melayu dalam kehidupan mereka. Beliau meneruskan perjuangannya dalam nasionalisme melayu adalah dengan cara menerbitkan majalah yang pertama iaitu majalah Al-Iman yang diterbitkan pada 22 Julai 1906. Majalah ini ditulis dengan huruf jawi dan berukuran lebar 6.3 inci sehingga 8.6 inci. Majalah Al-Iman[footnoteRef:5] ini mengandungi 32 halaman yang di dalamnya terisi dengan saranan beliau kepada orang Melayu tentang kesedaran berkenaan dengan perubahan islam yang merupakan agama yang syumul. Beliau juga menitikberatkan berkaitan dengan isu agar semua umat islam memperjuangkan islam mesti berlandaskan al-Quran dan Hadis. Hal ini adalah bertujuan agar mereka tidak terpesong dan mudah terpengaruh dengan penjajahan British ataupun Jepun. Melalui majalah Al-Iman ini juga, beliau menyarankan agar sistem pendidikan baru diperkenalkan yang berdasarkan pendidikan Islam bagi penambahan bahasa Arab, Inggeris, Ilmu Hisab dan agama. Di samping itu, melalui akhbar ini juga, beliau ingin menyedarkan masyarakat bahawa dengan cara mengubah sistem pendidikan akan mampu menentang pengaruh sekular Barat dan mengambil alih pentadbiran yang di pegang oleh penjajah. [5: Penerbitan Majalah Al-Iman terpaksa diberhentikan pada tahun 1908 disebabkan kekangan wang.]

Syed Syeikh Al-Hadi juga telah menerbitkan majalah Al-Ikhwan[footnoteRef:6] di Pulau Pinang bagi membangkitkan kesedaran orang Melayu untuk menentang British dan meningkatkan semangat nasionalisme dalam kalangan mereka. Akhbar ini membicarakan berkaitan dengan tentang penyebaran agama yang baru berlandaskan Al-quran dan Sunnah serta sekaligus dapat menimbulkan kesedaran sosial dalam kalangan politik orang Melayu. Penerbitan pertama majalah Al-Ikhwan ini ialah pada 16 September 1926. Melalui penerbitan majalah ini, Syed Syeikh Al-Hadi mempunyai peranan yang tersendiri dalam gerakan awal nasionalisme. Antaranya beliau menyeru semua ikhwan Muslimin agar memajukan diri, menurut kebebasan dan batas-batas yang telah ditetapkan dalam Islam. Beliau juga menerangkan bahawa agama Islam mempunyai banyak kelebihan kepada mereka yang sentiasa berpegang kepadanya. [6: Di dalam majalah Ikhwan itu juga beliau menceritakan dan membawa perkhabaran di dalam negeri apa-apa faedah umum atau menolak mudarat dan membawa berita dari luar negeri yang memberi kiasan untuk mendapat kehidupan yang sempurna.]

Tidak cukup dengan dua majalah tersebut untuk meningkatkan kesedaran dan semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu, beliau menerbitkan sebuah lagi akhbar yang dikenali dengan akhbar Saudara. Idea-idea yang terkandung dalam akhbar ini sedikit sebanyak menjadikan penduduk Tanah Melayu pada ketika itu bangkit untuk menuntut kemerdekaan. Melalui akhbar ini beliau juga meneruskan perjuangan berkaitan dengan isu-isu agama yang merupakan saluran utama bagi idea pembaharuan Islam Kaum Muda. Hal ini disebabkan akhbar ini memainkan peranan penting untuk menyampaikan matlumat dan menyuarakan pendapat tentang reformis islam dari kaum muda. Menjelang tahun 1930-an akhbar ini telah menerangkan kesedaran politik dalam kalangan orang Melayu yang sangat jelas apabila ia mula menyeru umat Islam terutama orang Melayu supaya berusaha menjaga negeri agar tidak dikuasai oleh bangsa asing.Selain itu, Syed Syeikh Al-Hadi juga melibatkan diri beliau dalam penulisan novel, iaitu lima buah novel saduran. Hikayat Faridah Hanom[footnoteRef:7] merupakan salah satu daripada novel Syed Syeikh Al-Hadi yang menjadi tarikan ramai pada tahun 1925-1926 sehingga menjadikan beliau terkenal dalam Sejarah Kesusteraan Melayu Moden. Penerbitan yang diusahakan oleh Jelutong Press telah memberi keuntungan yang berlipat ganda sehingga dapat menampung modal untuk menerbitkan buku yang lain. Novel ini mengandungi kandungan mengenai isu kahwin paksa, kebebasan wanita, hak-hak asasi kaum wanita dalam bidang pendidikan dan masyarakat, kewajipan suami isteri, pembahagian harta pusaka, semangat kebangsaan dan semangat kepahlawanan. Antara novel saduran yang lain ialah Hikayat Anak Dara Ghassan, Hikayat Taman Chinta Berahi dan Hikayat Nurul Ain tergolong dalam siri novel Angan-Angan Kehidupan. Beliau juga menerbitkan buku-buku keagamaan yang berjudul Al-Tarikh al-Islami sepertimana pernah tersiar dalam majalah Al-Ikhwan. Kitab-kitab tafsir juga diterbitkan oleh beliau seperti kitab Tafsir Juz Amma (1927), Tafsir al-Fatihah (1928), Alam Perempuan (1930), Agama Islam dan Akal (1931), dan Hadiah Kebangsaan (1933). [7: Dr. Abdul Rahman Hj Abdullah, 1997, Pemikir Islam Di Malaysia: Sejarah dan Aliran, Gema Insan : Kuala Lumpur, Hlm : 178.]

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita bahawa penglibatan Syed Syeikh Al-Hadi yang sanggup berkorban apa sahaja telah mencetuskan kesedaran dan gerakan nasionalisme yang terawal di Tanah Melayu sehingga beliau menjadi aspirasi kepada pejuang-pejuang kemerdekaan untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajahan. Oleh itu, jelaslah kepada kita semua bahawa Syed Syeikh Al-Hadi yang merupakan tokoh daripada berpendidikan agama berusaha untuk menuntut kemerdekaan dan mengubah cara hidup orang Melayu daripada penjajahan British dan Jepun dengan menggunakan cara berdakwah dan melalui pendekatan penerbitan surat akhbar ataupun majalah. Melalui cara dan idea-idea yang disampaikan dapat mencetuskan semangat kemerdekaan dalam diri orang Melayu.3.0 SYEIKH MUHAMMAD TAHIR JALALUDDIN3.1 Latar BelakangNama penuhnya Muhammad Tahir bin Syeikh Muhammad atau dikenali dengan gelaran Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari merupakan tokoh bidang Falaq Syarie di alam Melayu Nusantara yang telah memantapkan bidang fardu kifayah tersebut di rantau ini menerusi pengajaran, penggunaan dan penyebaran ilmu tentangnya dalam kalangan alim ulamak yang bertanggungjawab membuat taqwim Islam tempatan. Syeikh Muhammad Tahir dilahirkan pada hari Selasa 4 Ramadhan 1286 Hijrah bersamaan 7 November 1869 di Ampek Angkek, Bukit Tinggi Minangkabau, Sumatera Barat. Bapanya seorang ulamak dikenali sebagai Sheikh Muhammad juga digelar Tuanku Muhammad atau Tuanku Cangking. Datuknya berketurunan bangsawan Minangkabau bernama Tuanku Ahmad Jalaluddin.Beliau yatim ketika kecil lagi dan dibesarkan oleh keluarga pihak ibunya dan apabila berumur hampir 12 tahun telah dihantar ke Makkah untuk belajar dan mendalami ilmu-ilmu agama Islam. Beliau berada di Makkah selama lebih 12 tahun. Perkahwinan Syeikh Muhammad Tahir semasa zaman mudanya di Sumatera tidak kekal. Beliau bernikah dan bercerai sebanyak lima kali semasa itu di atas persetujuan pihak-pihak isteri berkenaan kerana adat Minangkabau waktu itu sangat mendorong para wanita dan keluarga mereka untuk memperolehi zuriat daripada alim ulamak. Walau bagaimanapun, sistem Adat Perpatih yang kuat itu jugalah di antara sebab-sebab Syeikh Tahir berpindah keluar dari daerah Minangkabau dan merantau ke Tanah Melayu mulai tahun 1317H atau 1899M. Sheikh Tahir pulang ke Sumatera ketika berumur 24 tahun dan selepas empat tahun di sana, sekali lagi berangkat ke Timur Tengah, kali ini ke Mesir.Ketika berumur 11 tahun Syeikh Tahir Jalaluddin melanjutkan pelajaran ke Makkah. Selama 13 tahun di Makkah, beliau telah mempelajari pelbagai bidang ilmu. Keperibadian beliau banyak dipengaruhi oleh ilmu, pendekatan dan kealiman peribadi gurunya Syeikh Ahmad Khatib (1860-1915M) yang merupakan Imam bagi mazhab Syafie di Masjidil Haram dan yang juga merupakan abang sepupunya. Beliau juga selalu mendapat galakan dari Syeikh Ahmad Khatib agar terus mendalami ilmu pengetahuan Islam sedia ada. Sebagai seorang ulama yang dahagakan ilmu, pembelajaran selama berada di Mekah masih dianggap belum mencukupi. Bidang Falak telah beliau perdalami lagi semasa belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir selama empat tahun[footnoteRef:8]. [8: 1314H hingga 1318 H. bersamaan 1893M hingga 1897 M]

Di antara bidang-bidang yang telah beliau perolehi dan perdalami ialah ilmu-ilmu al Qur'an, Hadith, Tauhid, Fiqah, Usul Fiqh, Nahu, Saraf, Bayan, Ma'ani, Badi', 'Arudh, Mantiq, Tafsir, Hisab Handasah dan Falak. Beliau banyak dipengaruhi oleh ilmu, pendekatan dan kealiman peribadi gurunya, Syeikh Ahmad Khatib iaitu saudara berpangkat sepupu dengannya yang pada waktu itu terlantik sebagai Mufti Mazhab Syafie di Masjidil Haram. Semasa di situ beliau menerima juga pengaruh daripada pemikiran Syeikh Jamaluddin Al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh, tokoh Gerakan Islah[footnoteRef:9] (Pembersihan) dan Reformasi Islam yang berjuang untuk membersihkan Islam daripada fahaman yang bercampur-baur adat resam kuno, dan mengembalikan Islam ke landasan al-Qur'an dan Hadith yang suci. Lantaran kegiatan Syeikh Muhammad Tahir yang berkait dengan pemikiran Reformasi inilah, beliau dikenali juga sebagai ahli Kaum Muda atau golongan ulamak Reformis di kalangan masyarakat Melayu-Nusantara. [9: Gerakan Islah yang bertiup di Asia Barat pada awal abad ke-20 turut mempengaruhi alam pemikiran umat Islam di Nusantara Tanah Melayu yang terletak di perantaraan jalan dagang ke negeri China sama merasai tempiasnya. Gerakan Islah ini secara umumnya dapat dikatakan diperjuangkan untuk mengatasi kelemahan yang wujud dalam masyarakat Islam. ]

3.2 Sumbangan Dalam Gerakan Awal NasionalismeDalam zaman mudanya, Syeikh Tahir kerap berulang-alik ke Makkah dan Mesir, sama ada untuk membawa jemaah haji dari Sumatera ataupun untuk membuat perniagaan secara sampingan. Semasa di Mesir beliau mula berdampingan dengan tokoh-tokoh perjuangan Islam seperti Syeikh Muhammad Rashid Ridha yang bergiat dalam penulisan rencana-rencana melalui akhbar yang berunsur Islam, seperti Al-Manar. Syeikh Muhammad Tahir pernah juga menyumbangkan rencana-rencana ilmiah dalam akhbar tersebut. Pendekatan seperti ini telah beliau terapkan sekembalinya ke Tanah Melayu, dengan membuat banyak sumbangan kepada majalah-majalah Al-lmam[footnoteRef:10] dan Al-lkhwan[footnoteRef:11] di bawah kelolaan Syed Syeikh Al-Hadi dan lain-lain rakannya serta akhbar Saudara. [10: Majalah Al Iman telah diterbitkan pada 7 Jun 1906. Penerbitan Majalah ini merupakan detik bersejarah bagi seluruh umat Islam di Tanah Melayu dan Nusantara. Al Iman diterbitkan secara sebulan sekali dalam tulisan jawi merupakan majalah yang julung-julung kalinya memperkatakan soal-soal berkaitan kemiskinan, kelemahan dan kemunduran orang-orang Melayu dari segi ekonomi dan pelajaran. Antara matlamat utama penerbitan majalah ini ialah untuk membangkitkan kesedaran bagi mencapai kemajuan dan ketinggian ilmu dalam kalangan masyarakat melalui seruan yang menyeru supaya masyarakat Melayu khususnya berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka bagi menuntut ilmu pengetahuan. Majalah Al Iman juga adalah merupakan majalah pelopor yang menyedarkan orang-orang Melayu untuk bangun berjuang menentang penjajahan yang dilakukan oleh Inggeris dan Belanda. Sesungguhnya penerbitan majalah Al Iman telah dilihat sebagai pencetus kesedaran dalam kalangan orang-orang Melayu untuk bangun memerdekakan tanah air daripada cengkaman penjajahan.] [11: Majalah Al-Ikhwan adalah salah sebuah majalah yang diterbitkan pada 16 September 1926. Penerbitannya diusahakan oleh tokoh wartawan terkenal Syed Sheikh bin Ahmad Al-Hadi. Majalah ini diterbitkan di Pulau Pinang. Semasa mula-mula diterbitkan, majalah ini dicetak oleh The British Malaya Company dan kemudian oleh Jelutung Press, Pulau Pinang. Suratkhabar ini dalam tulisan jawi diterbitkan sebulan sekali pada tiap-tiap 16 hari bulan. Penerbitan majalah Al-Ikhwan bermula pada hari ini 16 September 1926 dan yang terakhir ialah pada 16 Disember 1931. Syed Sheikh adalah pengarang dan penerbit kepada akhbar ini Melalui Al-Ikhwan idea-idea baru mengenai sahsiah, ekonomi, sosial dibincangkan dalam panjang lebar bagi menyedarkan rakyat tentang pergolakan semasa dalam dan luar negara. ]

Selama dua puluh tahun menuntut ilmu agama di Makkah, Syeikh Tahir Jalaluddin berkesempatan bertugas sebagai seorang Syeikh Haji atau pilgrim broker dan sebagai mutawif atau pilgrim guide bagi orang-orang Jawi yang hendak menunaikan Haji terutamanya mereka yang datang dari daerah Medan, Deli, Langkat, Serdang (Sumatera Timur), Batu Bhara, Lesahan dan Minangkabau. Tatkala menghantar pulang orang-orang yang menunaikan Haji itu beliau berkesempatan membawa turun kitab-kitab agama dari Makkah untuk dijual di Pulau Pinang. 4.0 ZABA4.1 Latar Belakang.Zaba atau nama sebenarnya Tan Sri Dr. Zainal Abidin Ahmad dilahirkan pada tahun 1895 di sebuah kampung terpencil yang dikenali sebagai kampong Kerdas, terletak dekat Batu Kikir, Jempol Negeri Sembilan. Beliau berasal dari sebuah keluarga yang kuat beragama, oleh sebab itu, tidak hairanlah penulis ini telah belajar berkhatam Al-Quran, menghafal Surah Yassin dan berzanji ketika usianya mencecah tujuh tahun. Pendeta pujaan ramai ini hanya menjejakkan kakinya ke sekolah pada usia 12 tahun di Sekolah Melayu Batu Kikir dan kemudiaannya, bertukar ke Sekolah Melayu Linggi untuk mendalami ilmu pengajian Arab dan Islam atas. Zaba dikenali, disanjung dan dikenang sebagai pejuang bangsa, ilmuan pendidikan dan bahasa, tokoh agama dan politik[footnoteRef:12]. [12: Asmah Haji Omar, 2002, Pengenalan Ilmu Mengarang Melayu Edisi Ejaan Rumi Baharu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Hlm : 11.]

Zaba merupakan salah seorang tokoh yang berpendidikan agama yang juga terlibat dalam gerakan awal nasionalisme melayu. Penulis ulung ini merupakan pelajar Melayu pertama yang berasal dari Negeri Sembilan yang telah menghabiskan zaman persekolahannya di Senior Cambridge dari darjah satu hingga darjah enam dalam jangka masa enam tahun. Pada tahun 1917, Zaba telah melangkah ke alam perkahwinan dan mempunyai seorang anak perempuan. Zaba tidak pernah mengenal erti berputus asa dan pernah berjuang untuk meninggikan martabat Bahasa Melayu suatu masa dahulu. Semasa mengajar di Kolej Latihan Sultan Idris, beliau berusaha untuk menyerapkan syarat-syarat aturan tatabahasa Arab dan Bahasa Inggeris dalam buku-buku teks sekolah dan bahan-bahan bacaan umum dalam Bahasa Melayu.4.2 Sumbangan Dalam Gerakan Awal NasionalismeZaba, merupakan salah seorang pejuang tanah air yang berani mengetengahkan aspek kemunduran masyarakat Melayu pada zaman pemerintahan British melalui hasil karyanya. Tindakannya itu pernah mengundang kesangsian bagi pihak British yang pernah mengehadkan hasil karyanya. Penulis agung ini suka bergiat aktif dalam perkhidmatan masyarakat Zaba melakukan gerakan awal nasionalisme dengan melalui penulisan dan bukannya dengan mengangkat senjata. Za'ba menyelesaikan keadaan orang Melayu dari aspek kemiskinan, pendidikan dan politik amat jelas dan mengemukakan beberapa panduan untuk mengatasinya antaranya orang Melayu mesti mempunyai kesedaran mengubah sikap dan mengutamakan ilmu. Segala kritikan Za'ba terhadap kemunduran dan kemiskinan orang Melayu adalah berdasarkan kepada pemerhatiannya semasa dari pencerobohan British[footnoteRef:13]. Namun keadaan ini tidak difahami oleh seluruh masyarakat dan segala sindirannya dipertikaikan dan dianggap telah menghina bangsanya sendiri sebaliknya beliau telah berusaha sedaya mungkin untuk kemajuan bangsanya sama seperti tokoh lain yang sezaman dengannya seperti Syed Syeikh Al Hadi, Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad. Walaupun mereka hidup sezaman masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk meluahkan idealisme mereka. Za'ba misalnya memilih cara penulisan dan kegiatan sosial untuk mencetuskan semangat nasionalisme. [13: Awang Sariyan, 2004, Sumbangan Pemikiran Zaba Dalam Pelanjutan Tradisi Linguistik Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Hlm : 95.]

Za'ba mengakui dirinya adalah seorang Melayu, beragama Islam dan perjuangannya ialah untuk memajukan bangsanya di dalam setiap lapangan kehidupan mereka. Hal ini telah menyebabkan kepada sikapnya yang lebih cenderung bersikap anti kepada raja dan pembesar Melayu, anti kolonialisme British dan memperjuangan pembebasan untuk bangsa Melayu. Bagi Za'ba, golongan raja-raja dan pembesar adalah kolaborator kolonialisme British di sepanjang zaman penjajahannya. Peranan sosial dan politik mereka bukannya melindungi rakyat malah jadi penghalang utama kepada pembangunan pemikiran dan fizikal orang Melayu sepertimana dalam bidang pendidikan yang menjadi aset penting untuk kemajuan dan perkembangan sesuatu bangsa terabai. Tanpa ilmu, tidak mungkin seorang itu boleh berlaku adil walaupun cuba berbuat demikian kerana jika seseorang mahu melaksanakan keadilan tetapi dia tidak tahu caranya disebabkan ilmunya yang terbatas[footnoteRef:14]. Hal ini disebabkan seseorang boleh terdedah pada kesilapan secara tidak sedar. Zaba menganggap sikap golongan elit ini telah menyebabkan pendidikan terabai, bahasa Melayu menjadi mundur, ekonomi Melayu tercicir di belakang ekonomi orang asing dan politik Melayu terhina oleh penjajahan. Disebabkan hal begini, Zaba telah meletakkan segala kemunduran dan kekurangan orang Melayu disebabkan kebodohan dan kesombongan golongan raja dan pembesar Melayu itu sendiri. Hal ini turut dipersetujui oleh Tun Mahathir dan boleh dilihat dengan jelas melalui penulisan Tun Mahathir dalam memoirnya Doktor Umum yang menegaskan betapa mudahnya raja-raja dan pembesar Melayu dipujuk dalam menyerahkan kedaulatan[footnoteRef:15]. Hanya melalui ugutan oleh Harold McMicheal, iaitu wakil kerajaan British pada masa itu, kesemua Sultan dan Raja-raja Melayu menyerahkan negeri mereka dengan mudah menandatangani perjanjian tersebut. [14: Asmah Haji Omar. 2002. Pengenalan Ilmu Mengarang Melayu Edisi Ejaan Rumi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Hlm : 82.] [15: Abdul Kadir Jasin, Doktor Umum : Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad, Kuala Lumpur : MPH Group Publishing, Hlm : 16.]

Zaba juga berpendapat, kecuali Sultan Kedah, iaitu Sultan Badlishah yang melengah-lengahkan dari memberi sumbangan yang besar dalam gerakan awal nasionalisme melayu dengan menyedarkan orang Melayu dalam bentuk sindiran melalui penulisan telah mendapat tekanan dari golongan pemerintah tradisional dan kolonial British contohnya pada tahun 1921, Za'ba dapat amaran lisan dari Raja Sir Chulan, dituduh cuba menghasut para pembaca akhbar dan majalah melalui tulisan yang bersifat anti kerajaan, disekat kenaikan gaji tahunannya, ditukar atau terbuang ke jabatan karang mengarang SITC di Tanjung Malim 1924. Semuanya berdasarkan pengalamanya sendiri dari pembacaannya bahan dari luar negeri seperti Encyclopaedia Of Islam tahun 1927.

Dalam usaha menentang pejajah, Za'ba memilih cara dalam bentuk penulisan dan kegiatan sosial berbanding tokoh lain seperti Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad. Segala penulisannya adalah dari segala pemerhatian dan penelitian yang mendalam dan bentuk sindiran terhadap bangsanya yang mundur dan kekurangan semasa kuasa kolonial amat dahsyat adalah alternatif untuk menyedarkan bangsanya kerana bergerak bertentangan dengan arus yang deras meyebabkan diri kita dan orang lain hanyut dan lemas[footnoteRef:16]. Segala sindirannya itu boleh jadi panduan pada generasi sekarang. Dengan itu perjuangan Za'ba pada tahun 1920an hingga 1930an adalah lebih kepada banyak bekerja, contohnya menulis seberapa banyak buku yang terdaya olehnya berkaitan dengan orang melayu untuk panduan pada generasinya yang akan datang daripada banyak bercakap sahaja. [16: Asmah Haji Omar, 2002, Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Hlm : 83.]

Za'ba turut memuji sepertimana juga Syed Al Hadi bahawa Inggeris adalah penyelamat bangsa Melayu adalah telahan terawal mereka , merasakan British dapat menahan akan gerak menggelunsur orang Melayu dari terus ketinggalan namun perkembangan seterusnya tiada siapa dapat menentukan[footnoteRef:17]. Sikap anti kolonialisme British timbul sejak beliau melibatkan dirinya secara serius dalam penulisan rencana untuk akhbar tempatan pada tahun 1917 dan merasakan orang British atau orang Barat atau orang Nasrani atau kaum kafir musuh Islam. Sikap Za'ba yang berpendirian tegas iaitu membantu masyarakatnya untuk mencapai kemajuan hidup di dalam berbagai lapangan sesuai dengan perkembangan di kurun ke-20 ini dengan cara berusaha dalam bentuk apa cara asalkan ianya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. [17: Ismail Salleh, 2001, Sejarah Bahasa: Tatabahasa Zaba Dalam Perspektif Sejarah Penulisan Tatabahasa Bahasa Melayu, Seremban: Lembaga Muzium Negeri Sembilan, hlm.80.]

Apabila Zaba berada dalam pentadbiran kerajaan, beliau dapat menyuarakan pendapatnya mengenai orang Melayu khususnya dalam menyediakan agenda pendidikan. Semuanya dilakukan disebabkan mahu orang Melayu dan muslim mempunyai ilmu dan pengetahuan yang sesuai dengan kehendak Islam dan sesuai dengan tuntutan perkembangan zaman. Bagi Zaba, ianya merupakan senjata yang penting didalam perjuangan untuk membebaskan orang Islam dari cengkaman penjajahan Barat seperti British. Za'ba tidak mengalami tekanan fizikal seperti tokoh lain yang telah dipenjarakan tetapi beliau juga mengalami tekanan peribadi sepanjang perjuangannya seperti penulisannya sentiasa diawasi oleh pihak kolonial, gaji dan jawatannya di tahan dan ditukar kerja. Namun, sebagai seorang yang mahu melihat baangsanya bebas daripada cengkaman penjajah, peluang ini diguna sebaik mungkin oleh Za'ba menyumbangkan ideanya dalam bidang penulisan khususnya dari aspek bahasa Melayu. Za'ba tidak bergiat aktif dalam poltik seperti tokoh-tokoh lain yang sedang berusaha mendapatkan kemerdekaan tanah melayu dan pada tahun 1947 dan Zaba telah menjelaskan bahawa beliau tidak percaya kepada cara politik yang dijalankan dalam dunia sekarang dimana tidak pernah bersih dan kebolehan istimewanya adalah cenderung menulis dan mengarang keadaan fikiran dan ilmu pengetahuan. Pada tahun 1923, Zaba telah berjaya tubuhkan The Malay Literary Association Kuala Lumpur. Walaupun pertubuhan ini gagal bergerak maju tetapi ia merupakan satu proses penyatuan di kalangan anak muda Melayu berpendidikan Inggeris telah dimulakan oleh Za'ba sendiri iaitu melahirkan Persatuan Guru-Guru Melayu. Walaupun Sahabat Pena merupakan pertubuhan yang bukan saja tersusun rapi dari segi organisasi malah tercapai hasratnya untuk melihat orang Melayu dan muslim bersatu berasaskan konsep setanah Melayu di Semenanjung Melayu. Sukar untuk melihat sejauhmana tokoh ini bersama Ahmad Boestaman berperanan bersama kerana mereka bergerak dalam cara yang berbeza. Dilihat kedua-duanya melakukan yang terbaik untuk kebaikan orang Melayu ketika itu. Za'ba berjaya meneruskan kegiatan beliau dengan cara menyesuaikan diri dengan kehendak masa dan keadaan ketika itu[footnoteRef:18]. Zaba telah mengasaskan pejabat penterjemah di SITC. [18: Ismail Salleh, 2001, Sejarah Bahasa: Tatabahasa Zaba Dalam Perspektif Sejarah Penulisan Tatabahasa Bahasa Melayu, Seremban: Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Hlm : 80.]

Pada peringkat awal iaitu pada tahun 1916 sehinggalah tahun1923, Za'ba merupakan idealis yang berani mengkritik kelemahan pemerintah, golongan pembesar serta orang melayu secara terbuka melalui media umum. Manakala Peringkat kedua pada tahun 1924 sehingga 1950, pengawasan yang rapi daripada pihak pemerintah terhadap kegiatan Zaba meyebabkan corak perjuangannya lebih sederhana dan pragmatis. Walau bagaimanapun bentuk beliau menyemarakkan idea pemikirannya terhadap bangsa melayu ketika itu tidaklah menjadi persoalan besar, pokoknya usahanya dan sumbangannya mesti dikaji kerana semuanya itu dapat menyemaikan bibit-bibit semangat cintakan negara dan bangsa Melayu untuk bebas dari kongkongan pemerintah tradisional dan penjajah British. Zaba pada masa itu boleh dianggap sebagai enjin kepada penubuhan UMNO di mana kerja-kerja yang dilakukan beliau lebih kepada kerja-kerja kesetiausahaan. Beliau bertanggungjawab merangka dan menghubungi, malah memujuk pertubuhan-pertubuhan Melayu pada masa itu yang masih berorientasi kenegerian masing-masing. Pekerjaan tersebut dilakukan dengan semangat yang berkobar-kobar, serta penuh rasa insaf akan tugasnya sebagai pembela bangsa dan tanah air melihat realiti yang sedang berlaku pada masa itu. Pemilihan beliau adalah disebabkan pada masa itu politik orang-orang Melayu dan orang-orang bukan Melayu di Malaysia amnya sedang berpecah-belah dengan berpusatkan dua aliran yang besar, iaitu aliran kanan dan kiri. Kenyataannya juga adalah aliran kiri sedang mendominasi politik kebangsaan sehinggalah British mengambil tindakan menghalang kemaraan aliran tersebut dengan pelbagai halangan termasuklah perisytiharan Darurat pada tahun 1948.

Pada masa itu, UMNO bukanlah pertubuhan politik pertama orang Melayu kerana sebelumnya telah pun ada pertubuhan lain seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) merupakan parti politik Melayu pertama yang ditubuhkan pada tahun 1945. Namun demikian, dengan keupayaan dan karisma yang dimiliki Zaba, beliau telah berjaya menarik hampir kesemua pertubuhan Melayu yang berpecah-pecah dan berselerak yang ada di semua negeri itu untuk menyertai UMNO. Kehebatan beliau diperakui oleh tokoh-tokoh Kesatuan Melayu Muda atau KMM dan KPMM, misalnya Pak Sako yang merupakan bekas Pengerusi Parti Buruh dan bekas Yang Dipertua PKMM telah menulis satu artikel khusus mengenai Zaba serta menyanjung semangat nasionalis beliau dalam memoir beliau itu. Ketokohan Zaaba itu sendiri yang telah pun dikenali dan diperakui oleh orang-orang Melayu, serta personaliti dan latar belakang beliau yang bukan dari kalangan aristokrat menjadi faktor pengikat dan penarik kepada kejayaan pertubuhan-pertubuhan yang bergabung membentuk UMNO. Sumbangan langsung Zaba dalam proses memerdekakan tanah air melalui penglibatannya dalam menstrategikan UMNO sehingga berjaya memerdekakan tanah air. Hal ini menjelaskan bahawa Zaba juga telah meninggalkan kita dengan satu lagi perjuangan kemerdekaan yang sehingga kini belum berkesudahan, iaitu memerdekakan minda Melayu dari pemikiran dan pembinaan sikap yang kolot. Sejak tahun 30an beliau telah menulis berkenaan perkara-perkara khurafat dan kepercayaan tahyul yang diamalkan orang Melayu sehingga menjejaskan keupayaan mereka memasuki zaman moden.Bagi menghargai sumbangan pendeta Zaba dalam namanya, telah wujudnya Perpustakaan Peringatan Zaba untuk mengenang jasa beliau kepada perkembangan Bahasa Melayu di universiti Malaya. Pemikiran Pendita Zaba, khususnya dalam tema besar kemerdekaan tanah air secara fizikal dan kemerdekaan minda bangsanya patut menjadi perjuangan generasi baru khususnya kepada bangsa Melayu.5.0 DR BURHANUDDIN AL-HELMY5.1 Latar BelakangNama asalnya ialah Amir Burhanuddin bin Ungku Mohammad Noor. Beliau dilahirkan pada 29 November 1911 di Kampung Changkat Tualang, Kota Bharu, Perak. Burhanuddin merupakan anak pertama dari pasangan Haji Mohamad Nor dan Sharifah Zaharah bt Habib Osman.Ayahnya berasal dari Batusangkar,Tanah Datar,Sumatera Baratyang merantau ke Malaysia pada tahun 1908, sedangkan ibunya berasal dari Malaka. Bapanya adalah seorang alim Minangkabau yang mengajar tasawuf dan mengusahakan ladang tani. Burhanuddin Al-Helmy mendapat pendidikan awal di kelas Al-Quran dari sekolah Melayu. Dia dihantar ke Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatra Barat pada tahun 1924 hingga 1926. Pada tahun 1926, Burhanuddin Al-Helmy meneruskan pelajarannya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Seterusnya dari situ ke Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang. Burhanuddin Al-Helmy telah mendapat biasiswa seorang hartawan India muslim dari Pulau Pinang untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Aligarh. Di universiti tersebut Burhanuddin Al-Helmy telah berminat untuk mengambil bidang sastera dan falsafah yang diminatinya sejak dulu. Beliau telah mendapat PhD daripada Universiti Aligarh, India. Sekembalinya dari pelajarannya di India dan pengembaraannya ke Palestin dan Turki, Burhanuddin Al-Helmy kembali bertugas sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al-Juned Singapura. [footnoteRef:19]. Ketika di Singapura, Burhanuddin Al-Helmy belajar ilmu perubatan homeopati daripada Dr. Rajah dan beliau telah berjaya mendapat ijazah daripada Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India. Dengan kelayakan ini, Burhanuddin Al-Helmy telah membuka sebuah klinik di Johor Bahru dan sebuah lagi klinik di Jalan Picitan, Singapura. [19: Ismail Said, 2008, Dr. Burhanuddin Al-Helmy: Pejuang Melayu Sejati, Kuala Lumpur : Karisma Publications, Hlm : 3-4.]

5.2 Sumbangan Dalam Gerakan Awal NasionalismeSemasa belajar di Jambu, Sumatera Barat (1924-1926), Burhanuddin Al-Helmy berada di bawah asuhan Haji Nuruddin, anggota Sarekat islam Indonesia. Di samping itu guru-guru yang mengajar dan mendidik beliau di sana terdiri di kalangan aliran Kaum Muda. Semasa di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Kepala Batas, Burhanuddin Al-Helmy juga terdedah dengan pemikiran Kaum Muda. Aliran inilah yang telah menyalakan semangat anti-penjajah dan pro-kemerdekaan dalam diri beliau. Dr Burhanuddin pulang ke tanah air pada tahun 1935 dan terus menjadi guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al Juned, Singapura. Di samping itu, beliau juga aktif di dalam pergerakan Islam di pulau itu misalnya dengan menyertai Jamaatul Islamiah[footnoteRef:20]. Pada tahun 1937, beliau menerbitkan sebuah majalah bernama Taman Bahagiayang secara terang-terangan anti-Bristish. Saliha telah menulis: [20: Kamarudin Jaafar, 2000, Dr. Burhanuddin Al-Helmy: Pemikiran dan Perjuangan, Kuala Lumpur : IKDAS, Hlm : 34-35.]

When he come back to Singapore in 1938, he edited an anti-British newspaper called Taman Bahagia. This effort was shortlived since he was arrested by British authority within one and half hours of its publication.

Umur majalah ini tidak panjang hanya sempat diedar untuk keluaran pertama kerana dianggap berbahaya oleh pemerintah Inggeris. Kerana majalah ini dia ditahan oleh polis cawangan khas Singapura. Pada tahun 1939, beliau diperkenalkan kepadaKesatuan Melayu Muda(KMM) oleh Mustapha Hussin, pemimpin KMM. Dr Burhanuddin dianggap tidak bahaya dalam KMM kerana tidak begitu aktif berbanding pemimpin-pemimpin KMM yang lain seperti Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohammad, Ahmad Boestamam dan Sutan Djenain. Justeru itu, beliau terlepas daripada mangsa tangkapan British pada tahun 1940 iaitu menjelang Perang Dunia ke-2. Semasa pendudukan Jepun, Dr Burhanuddin diberikan jawapan tertinggi bagi orang Melayu iaitu Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu (Advisor on Malay Custom and Culture)[footnoteRef:21] dan berpejabat di Markas Pentadbiran Tentera Jepun di Taiping. Menerusi jawatan ini, beliau menyediakan wadah pembebasan Tanah Melayu dari sebarang bentuk penjajahan. Di samping itu, beliau berkesempatan pula bertemu dan bergaul dengan pemimpin-pemimpin Islam seperti Ustaz Abu Bakar Baqir (Pengetua Maahad II-Ihya AsSyarif). [21: Proffesor Dr. Burhanuddin Al-Helmi, 1988, PAS Tuntutan Kebangkitan Ummah, Kuala Lumpur : G.G. Edar, Hlm : 76-78.]

Beliau turut mengambil peluang daripada jawatannya untuk mendampingi, melindungi dan membantu pusat pendidikan Islam yang termuka dari segi sosial dan politik di Gunung Semanggol, Taiping, waktu itu bernama Maahad II-Ihya AsSyarif. Dalam tahun 1945, Dr Burhanuddin bersama-sama Onan Siradj, Ibrahim Yaacob dan lain-lain pemimpin KMM menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) yang dirancang dengan sokongan Jepun untuk menguruskan kemerdekaan Malaya dalam konsepMelayu Raya. Pada 12 Ogos 1945, Dr burhanuddin dan Ibrahim Yaacob mewakili KRIS mengadakan pertemuan dengan Sukarno dan Dr. Hatta di Taiping bagi membincang untuk mengistiharkan kemerdekaan Tanah Melayu (Malaya) dan Indonesia secara serentak pada 17 Ogos 1945. Rancangan ini gagal kerana tiga hari sebelum tarikh pengistiharan kemerdekaan akan diumumkan iaitu pada 14 Ogos 1945, Jepun secara tiba-tiba terpaksa menyerah kalah kepada kuasa Berikat setelah Nagasaki dan Hirosima dimusnahkan oleh serangan dua butir bom atom Amerika Syarikat pada 6 dan 9 Ogos 1945.Ketika PKMM di bawah pimpinan Dr Burhanuddin, PKMM menyertai pakatan 39 pertubuhan Melayu seluruh tanah air untuk menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PEKEMBAR) atau UMNO pada 11 Mei 1946 bagi menentang gagasan Malayan Union tajaan British. Setelah Malayan Union dibatalkan, PKMM keluar daripada bergabung dengan UMNO. Semasa menjadi Yang DiPertua Agung PKMM, Dr Burhanuddin berjaya menganjurkanPersidangan Ekonomi-Ugama SeMalayapada 22-24 Mac 1947 di Maahad II-Ihya Assyarif, Gunung Semanggol, Perak. Persidangan ini telah mencetuskan penubuhanPusat Perekonomian Melayu seMalaya (PEPERMAS)dan Majlis Agama Terringgi Se Malaya(MATA) . Pada penghujung tahun 1947, Dr Burhanuddin mengetuai perwakilan Malaya keInter-Asian Relations Conferencedi New Delhi (Kamarudin 1980: 7). Persidangan ini membuka peluang baginya berkenalan dan berbincang tentang gerakan-gerakan menentang penjajahan bersama-sama pemimpin kemerdekaan negara-negara Asia.Pada 14 Mac 1948, Dr Burhanuddin terlibat menubuhkan Parti Hizbul Muslimin di Maahad II-Ihya AsSyarif Gunung Semanggol. Peranannya dalam parti baru ini tidak menyerlah kerana pada bulan Jun 1948 undang-undang darurat telah diistiharkan oleh British. Lantaran itu, PKMM telah diharamkan dan beberapa pemimpinnya telah ditangkap temasuk tokoh-tokoh Hizbul Muslimin seperti Abu Bakar Baqir dan Ustaz Abrab Tamimi. Selepas penangkapan besar-besaran itu, Dr Burhanuddin berpindah ke Singapura. Tetapi pada bulan Disember 1950, beliau ditangkap oleh Inggeris kerana disyaki terbabit dalam kes Natrah Hertogh. Beliau dibebaskan setahun kemudian. Pada April 1955, Dr Burhanuddin dijemput menghadiriKongres Pemuda Melayu SeMalayadi Kuala Lumpur. Beliau, kemudian dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemandu dan sekaligus diberi mandat mewakili Malaya ke Persidangan Afro-Asia yang diadakan di Bandung[footnoteRef:22]. Sekembalinya dari Bandung, Dr Bahanuddin berkempen dalam pilihanraya kebangsaan pada bulan Julai 1955 atasplatformBarisan Kebangsaan Melayu yang telah ditubuhkan oleh Kongres Pemuda Melayu seMalaya. Mengenai pilihan raya pertama itu, Dr Burhanuddin dikatakan mengkritik UMNO dan Parti Negara (pemimpin Dato Onn Jaafar) dan menyatakan keraguan terhadap pilihanraya tersebut. [22: 4Kamarudin Jaafar, 2000, Dr. Burhanuddin Al-Helmy: Pemikiran dan Perjuangan, Kuala Lumpur : IKDAS, Hlm : 91-92.]

Selepas pilihanraya itu, Dr Burhanuddin turut bersama merancang menubuhkan Parti Rakyat Malaya (PRM). Namun setelah PRM dilancarkan pada 11 November 1955 atas persetujuannya, Ahmad Boestamam dilantik menjadi Ketua Umum parti itu , sebaliknya beliau menjadi ahli Parti Islam Se Tanah Melayu iaitu pada bulan Disember 1956 . Kemudian pada 25 Disember 1956 dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS yang ke-5, beliau terpilih sebagai Yang Di Pertua Agung parti itu. Semasa pilihanraya tahun 1959, Dr Burhanuddin memenangi kerusi Parlimen Besut, Terengganu atas tiket PAS tetapi pada Pilihanraya 1964 beliau didapati tidak layak bertanding kerana sebuah mahkamah mendendanya sebanyak $25,360 bersabit satu kesalahan teknikal dalam sebuah syarikat perniagaan. Pada Januari 1965, Dr Burhanuddin ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa terbabit menyokong Indonesia dalam konfrontasi Malaysia-Indonesia. Dr Burhanuddin jatuh sakit semasa di dalam tahanan dan penyakitnya tidak baik setelah dibebaskan pada bulan Mac 1966. Pembebasan beliau bersyarat tidak boleh melibatkan diri dalam politik tetapi pada 22 September 1969 syarat tersebut ditarik balik. Namun pada 25 Oktober 1969 Dr Burhanuddin meninggal dunia kerana keuzuran ketika masih lagi menjadi Yang Dipertua PAS.

6.0 KesimpulanOleh itu, jelaslah di sini bahawa golongan agama memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan kesedaran kebangsaan dan politik di Tanah Melayu. Sebelum Perang Dunia kedua, para ulama yang mendapat pendidikan di Timur Tengah dan terdedah dengan perkembangan yang berlaku di sana telah memainkan peranan penting dalam menyemai kesedaran politik dalam kalangan orang Melayu. Selain itu, peranan mereka dalam membangkitkan kesedaran di kalangan masyarakat Melayu Tanah Melayu memang tidak dapat dinafikan. Penulis-penulis yang terdiri daripada golongan agama ini aktif mengkritik tentang kemunduran orang Melayu terutamanya dalam bidang ekonomi telah dipandang serius. Rata-rata isu utama yang menjadi persoalan berkaitan dengan seruan untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, masalah kemunduran orang Melayu, hak-hak istemewa orang Melayu, kepentingan ekonomi dan pendidikan yang bernilai komersil tidak ketinggalan perjuangan emansipasi wanita. Tulisan-tulisan mereka menjadi penggalak kepada orang Melayu untuk menjaga hak dan bangkit menentang penjajah.Walaupun peranan yang dimainkan tidaklah sampai membawa kepada perubahan politik dan sosial yang drastik dalam masyarakat Melayu namun usaha yang telah dimainkan oleh golongan agama ini tidak harus diketepikan.

BIBLIOGRAFIAwang Sariyan (2004). Sumbangan Pemikiran Zaba Dalam Pelanjutan Tradisi Linguistik Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Abdullah Hussain, Khalid M. Hussain (2000). Pendeta Zaba dalam kenangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Asmah Haji Omar (2002). Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Dr. Burhanuddin Al-Helmi (1988). PAS Tuntutan Kebangkitan Ummah. Kuala Lumpur : G.G. Edar.Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah (1997). Pemikir Islam di Malysia : Sejarah dan Aliran. Kuala Lumpur : Gema Insan Sdn. Bhd.Ismail Said (2008). Dr. Burhanuddin Al-Helmy: Pejuang Melayu Sejati. Kuala Lumpur : Karisma Publications.Ismail Salleh (2001). Sejarah Bahasa: Tatabahasa Zaba Dalam Perspektif Sejarah Penulisan Tatabahasa Bahasa Melayu. Seremban: Lembaga Muzium Negeri Sembilan.Kamarudin Jaafar (2000). Dr. Burhanuddin Al-Helmy: Pemikiran dan Perjuangan. Kuala Lumpur : IKDAS.Mohd Rosdi Nik Ahmad. (2011). Ilmuwan Nusantara. Selangor : PTS Islamika Sdn. Bhd. Talib Samat (2010). Kenali Tokoh Berjaya Jilid 1. Selangor : Pekan Ilmu Publication Sdn. Bhd.Zawiyah Mohammad Yusof (1983/84). Tesis. Semangat Perjuangan Melayu : Satu Analisis Sosiologi Mengenai PKMM. Kuala Lumpur : Arkib Negara.