Prof. Madya Dr. Habib bin Mat Som
-
Upload
shahrir-ahmad -
Category
Documents
-
view
337 -
download
5
Transcript of Prof. Madya Dr. Habib bin Mat Som
1
KONVENSYEN KEBANGSAAN PENDIDIKAN ISLAM 2011
(KO-PIM ’11)
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA :
SATU SOROTAN
PROF. MADYA DR. HABIB BIN MAT SOM
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
RASIONAL
Kurikulum Pendidikan Islam di Malaysia adalah untuk menghasilkan muslim yang berilmu,
beriman, berketerampilan, beramal soleh, beradab dan berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan
al-Sunnah di samping bermatlamat untuk melahirkan hamba dan khalifah Allah yang bertaqwa dan
berupaya untuk menyumbang kepada tamadun bangsa dan negara Malaysia (Kementerian
pelajaran; 2002). Tiga bidang pembelajaran diperkenalkan bagi mencapai matlamat tersebut iaitu
a) Bidang pembelajaran Tilawah al-Quran dan Hadis, b) Bidang pembelajaran ’Ulum Syar’iyah dan
c) Bidang pembelajaran adab berteraskan akhlak Islamiah.
Matlamat kurikulum Pendidikan Islam yang didokumentasikan mencerminkan hasrat dan visi yang
murni pihak berwajib untuk menjadikan Pendidikan Islam diajar secara berkesan dan bermakna
kepada murid di sekolah. Justeru pihak Kementerian Pelajaran telah menyediakan pra sarana
kurikulum yang bersesuaian bagi memastikan objektif kurikulum Pendidikan Islam itu sendiri dapat
dicapai. Ini termasuklah penyediaan guru terlatih, buku teks, bahan-bahan pengajaran seperti
komputer, surau di sekolah dan sebagainya.
Namun begitu matlamat kurikulum Pendidikan Islam yang murni tersebut apakah dapat dicapai
sekalipun disediakan pra sarana yang canggih dan bertaraf dunia. Bagaiamanakah sebenarnya
proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di bilik darjah. Adakah murid berminat
mengikutinya. Adakah guru mempunyai kompetensi yang meyakinkan dalam menyampaikan
pengajarannya. Bagaimana pula dengan cabaran dan tribulasi yang terpaksa diharungi bagi
mewujudkan iklim pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam yang kondusif?
2
Selain itu persoalan lain yang perlu disorot dan ”diteropong” adalah sejauhmanakah hasrat untuk
menjadikan Islam sebagai satu cara hidup dapat dicapai melalui kurikulum Pendidikan Islam di
sekolah-sekolah ?. Sejauhmanakah pelajar-pelajar dapat menghayati ajaran Islam yang telah
dipelajari dalam kehidupan mereka sebenar di luar bilik darjah?. Aspek penilaian yang menjadi
komponen dalam Pendidikan Islam itu sendiri (contoh: PAFA) hanya untuk mengukur kemampuan
memahami konsep (ilmu) dan kemampuan amalan perkara-perkara Asas Fardu Ain sahaja. Justeru
apakah pelajar yang lulus penilaian PAFA mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka?.
Sedangkan ilmu fardu ain adalah ilmu-ilmu yang diwajibkan ke atas setiap mukmin yang aqil baligh
untuk mempelajari dan mengamalkannya (Abdul Halim El Muhammady, 1991). Malah jauh dari itu
Pendidikan Islam seharusnya mampu melahirkan pelajar yang mempunyai aqidah yang mantap
dan berupaya memberi impak berkesan terhadap pandangan hidup, tingkah laku dan dapat
menumbulkan semangat untuk berkorban ( Yusof Al-Qardawi, 2001).
Dari perspektif yang lain, Al-Abrasyi ( 1975) menukilkan daripada pendapat Ibn Khaldun bahawa
Pendidikan Islam perlu mempunyai matlamat untuk;
a) Tujuan keagamaan: iaitu beramal untuk akhirat. Pendidikan hendaklah diarahkan untuk
membina peribadi yang taat beragama dengan melaksanakan perintah Allah dan
meninggalkan segala larangannya.
b) Tujuan ilmiah: iaitu bersifat keduniaan sebagai persiapan untuk kemanfaatan atau
persiapan hidup di dunia.
MENELUSURI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM
Pengajaran dan pembelajaran adalah dua dimensi yang tidak terpisah dalam pelaksanaan
kurikulum. Pengajaran merujuk bagaimana guru menyampaikan ilmu, menyemai serta memupuk
nilai dan memberikan latihan dan kemahiran di bilik darjah. Pembelajaran pula merupakan proses
pemerolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan pembentukan sikap dalam
kelas semasa guru mengendalikan pengajarannya. Pembelajaran itu sendiri boleh berlangsung
secara terus dalam kelas atau di luar kelas seperti di perpustakaan, di surau, di padang, lawatan
atau pun membuat kerja-kerja rumah yang diminta pelajar menyiapkannya.
Dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran guru perlu menguasai pengetahuan
berkaitan pedagogi supaya kurikulum dapat disampaikan dengan berkesan. Murid bukan sekadar
3
”menadah telinga” apa yang dinyatakan guru tetapi perlu terdapat elemen lain yang
menggerakkan murid untuk terlibat secara aktif dalam pembelajaran.
Peranan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran perlu berjejak pada realiti di bilik
darjahnya. Mengabaikan realiti iklim pembelajaran di bilik darjah sama ada latar belakang murid,
kemampuan kognitif, minat dan kesediaan mereka akan memungkinkan pengajaran guru gagal
mencapai matlamatnya. Menelusuri kajian Yusuf Ahmad (1997) mengenai pembelajaran al-Quran
telah menemukan dapatan yang agak membimbangkan di mana tidak seorang pun pelajar
daripada sampel kajiannya tentang penguasaan Tilawah Al-Quran yang dapat membaca Al-Quran
dengan lancar tanpa sebarang kesalahan bacaan. Begitu juga dengan dapatan kajian Maimunah
(1995) dalam kajiannya terhadap kemahiran membaca Al-Quran pelajar tingkatan satu
melaporkan keseluruhan tahap penguasaan pelajar adalah kurang memuaskan. Ini tidak termasuk
pemahaman pelajar terhadap maksud dan pengajaran atau iktibar dari ayat Quran itu sendiri.
Persoalannya ialah apakah iktibar yang boleh kita pelajari dari dua dapatan kajian tersebut?.
Apakah guru menggunakan kaedah pengajaran yang kurang sesuai dengan situasi di bilik darjah.
Apakah guru itu sendiri kurang menguasai kaedah pengajaran al-Quran atau apakah pendekatan
yang digunakan tidak sesuai terhadap ”remaja” yang kini rata-rata ”buta quran” dan ”buta jawi”.
Sebagai renungan, kita perlu ”menyemak” bagaimana kaedah yang dilakukan oleh Rasulullah
dalam menyampaikan ilmu dan cuba mengadaptasikan dalam strategi pengajaran guru . Menurut
Abdullah (1995), secara tradisinya Rasulullah menghafal setiap wahyu yang diterima sehingga
benar-benar mengingatinya. Rasulullah menerima wahyu dalam pelbagai situasi sama ada
menerusi ilham atau mendengar suara Jibril sama ada tanpa kehadirannya secara maujud
mahupun dengan penjelamaan Jibril itu sendiri sebagai manusia, secara tidak langsung. Selepas
daripada proses tersebut, Rasululah memberi huraian, keterangan, syarahan kepada para
sahabat. Dalam ertikata lain, pendekatan Rasulullah tersebut boleh diaplikasikan dalam proses
guru mengajar dalam kelas mereka dengan pengubahsuaian kepada realiti yang wujud di bilik
darjah.
Isu yang juga boleh diteliti adakah guru Pendidikan Islam mempunyai kompetensi dari segi
pelaksanaan kepelbagaian kaedah pengajararan. Kajian Ab. Halim (2000) terhadap pengajaran dan
pembelajaran guru dalam pendidikan akhlak dalam kalangan pelajar Tingkatan Empat di Selangor
dan Negeri Sembilan menemukan dapatan yang memerlukan kita membuat refleksi dan
4
muhasabah di mana hasil kajian beliau menunjukkan rata-rata pelajar; a) tidak dapat memahami
apa yang dipelajari kerana penjelasan yang kurang atau kabur daripada guru, b) pelajar tidak dapat
mengaitkan apa yang dipelajari untuk diamalkan dalam kehidupan seharian , c) mereka berasa
mengantuk dan tidak dapat memberi tumpuan serta bosan terhadap pengajarahn yang diberikan.
Dalam masa yang sama juga dapatan kajian beliau memaparkan; a) terdapat guru yang terlalu
garang semasa pengajaran, b) guru yang memarahi pelajar tanpa usul periksa, c) guru yang suka
menghina dan mengutuk murid, d) guru tidak memberi jawapan bila ditanya pelajar dan e) guru
yang ego dengan diri sendiri.
Subahan ( 2003) telah membuat tinjauan tentang isu perkaedahan pengajaran Pendidikan Islam
dalam kalangan guru di beberapa buah sekolah. Beliau mendapati secara umumnya guru-guru
berusaha mempelbagaikan kaedah mengajar dengan mengadakan perbincangan, kaedah soal-
jawab, kerja kumpulan, penggunaan internet untuk mencari maklumat, simulasi dan kaedah
bacaan. Tinjauan beliau juga menemukan dapatan berikut:
• Topik mengenai sirah nabi merupakan topik yang mudah diorientasikan dengan
penggunaan komputer.
• Rata-rata guru percaya hafazan adalah penting untuk menyesuaikan dengan bentuk
soalan peperiksaan dan keperluan kandungan kurikulum yang mengandungai banyak
maklumat yang perlu diingat.
• Pengajaran al-Quran dan hadis diorientasikan perpusatkan guru.
• Penekanan kepada kaedah hafazan adalah penting sebab pelajar perlu mengingati ilmu
agama secara tertib.
• Penggunaan ICT agak terbatas kepada pencarian maklumat.
• Guru mempunyai persepsi bahawa mereka mempunyai banyak pengetahuan dan pelajar
diibaratkan sangat kekurangan ilmunya justeru ilmu perlu diisi dan ”disumbat” sebanyak-
banyaknya.
Selain itu, Sharil Marzuki ( 2004) telah membuat kajian mengenai amalan pengajaran berkesan
dalam kalangan guru di beberapa buah sekolah menengah di Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Beliau telah melihat bagaimana persepsi pelajar (280 responden) terhadap guru dalam proses
5
pengajaran dan pembelajaran. Dapatan kajian beliau menemukan beberapa perkara penting yang
antara lain adalah:
• Dari segi kualiti pengajaran: a) Lebih kurang sepauh sahaja daripada responden (52.4%)
menyatakan guru selalu merancang terlebih dahulu pengajarannya. b) Sekitar 41.8%
pelajar menyatakan guru menggunakan kepelbagaian kemahiran berfikir semasa
mengajar. c) hanya sekitar 25% sahaja guru selalu menggunakan ABM.
• Dari segi kesesuaian tahap pengajaran: a) 44.7% guru mengajar mengikut tahap
kesesuaian pelajar. b) hanya 28.4% guru selalu memberikan insentif semasa pengajaran
dan pembelajaran.
Berkaitan dengan pengajaran guru , dapatan kajian Airi (2003) melaporkan 54% murid yang dikaji
tidak berminat dengan subjek Pendidikan Islam disebabkan pengajaran guru yang bersifat sehala
(berpusatkan guru), justeru pelajar berasa bosan dalam kelas dan seterusnya kehilangan minat
untuk belajar. Kajian Halim dan rakan-rakan (2004) mendapati 42.7% pelajar memilih penggunaan
komputer sebagai aktiviti paling menarik di samping 26.5% memilih penggunaan internet dan
laman web dalam pembelajaran Pendidikan Islam.
Aspek yang harus difikirkan adalah berasaskan beberapa dapatan kajian didapati rata-rata guru
kurang arif dalam mengaplikasikan kaedah pembelajaran ikuiri dalam pendidikan Islam. Kaedah ini
jarang digunakan oleh guru Pendidikan Islam sedangkan banyak ayat-ayat al-Quran menggalakkan
kita berfikir, merenung, membuat inovasi terutama dala memberi reaksi tehadap fenomena alam
di sekeliling kita. Firman Allah ” Katakanlah: Perhatikanlah apa-apa di langit dan di bumi...” (Yunus:
101).
Dalam ertikata lain, kaedah inkuiri yang jarang di manfaatkan perlu diberi nafas yang segar dalam
pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam. Misalnya, kaedah ini boleh dilaksanakan sebagai
menghurai fenomena kejadian alam dan kejadian manusia di bumi ini. Mengikut Joyce dan Well (
1985) melalui kaedah inkuiri pelajar diajar mengenai proses untuk menyelidik dan menghuraikan
sesuatu fenomena. Pada hakikatnya terlalu banyak fenomena alam yang boleh diajar guru
menggunakan pendekatan inkuiri ini. Antara lain kejadian yang Allah ciptakan untuk kehidupan
manusia dan keperluannya sebagai khalifah misalnya tentang;
6
• Proses kejadian siang dan malam: Ini terakam melalui Firman Allah;
”Engkau panjangkan (waktu) malam dan siang dan Engkau panjangkan (waktu) siang dan
malam. Engkau keluarkan (ciptakan) yang hidup dari yang mati dan Engkau ciptakan yang
mati dari yang hidup. Engkau beri rezeki siapa yang Engkau kehendaki tanpa hisab” ( 3:
27).
• Penciptaan haiwan sebagai keperluan ekonomi: Firman Allah;
”Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu. Padanya ada bulu yang
menghangatkan dan berbagai-bagai manfaat. Sebahagiannya kamu makan...dan ia
memikul beban-bebananmu ke satu negeri yang kamu tidak sanggup sampai kepadanya
melainkan dengan kesukaran...( 16:5,6).
Berkenaan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran, kajian-kajian yang
dijalankan menunjukkan penggunaan komputer dalam kalangan guru Pendidikan Islam masih
berada pada tahap rendah dan kurang memuaskan ( Azizan, 2001; Rohaya, 2003). Antara faktor
yang dikenalpasti adalah dari segi kekurangan latihan dan kemahiran, kekurangan perisian,
kekurangan kelengkapan makmal serta beban tugas guru. Hasil beberapa kajian menunjukkan
beban tugas guru yang banyak merupakan kekangan dalam penggunaan masa guru untuk
membuat persediaan membangunkan bahan-bahan yang berkaitan dengan pengajarannya. Selain
itu, para pengkaji berkaitan amalan guru menggunakan komputer dalam pengajaran (seperti
Wetze, zambo& Padget, 2002; Rohaya, 2003; Azizan, 2001) berpendapat kelemahan guru
menggunakan komputer disebabkan guru-guru kurang kemahiran justeru mereka menghadapi
kesukaran untuk melaksanakannya. Kekurangan tersebut memungkinkan guru akan berasa malu
di hadapan pelajar mereka sendiri dan mungkin juga bimbang kelemahan guru itu sendiri
diketahui oleh rakan guru yang lain (Akinyemi, 1986).
ISU KRITIKAL DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Secara tradisi, peranan guru dalam pelaksanaan kurikulum adalah menyampaikan pengetahuan
secara sehala. Guru sebagai ”broker” ilmu dan ”taukeh”. Murid hanya menadah dan menerima
sahaja apa yang disampaikan guru. Secara tradisinya juga tujuan pendidikan yang utama adalah
pemindahan nilai-nilai dari satu generasi ke generasi yang lain supaya identiti sesuatu bangsa atau
masyarakat terpelihara kerana masyarakat tanpa identiti akan menyumbang kepada kehancuran
(Hasssan Langgulung, 1991).
7
Isu yang perlu difikirkan adalah bagaimana guru masa kini dapat merubah paradigma tersebut
sehingga pendidikan itu dapat dilihat sebagai wahana yang dapat menjadikan manusia insan yang
seimbang dari segi memiliki identiti dan jatidiri dan dalam masa sama dapat memberi sumbangan
kepada masyarakat melalui ilmu dan kemahiran yang dipelajari. Ornstein ( 2009) berpendapat
adalah satu cabaran besar bagi guru bagaimana untuk mengharmonikan antara teori dan praktis
kerana dunia bilik darjah sebenar adalah bebeza dengan penyataan pelbagai teori pembelajaran.
Jackson (1999) berpandangan bahawa kebijakan guru adalah terletak pada sejauhmana dirinya
dapat membuat keputusan yang bijaksana dan bertindakbalas secara sepontan untuk
menyesuaiakan strategi pengajaran dalam situasi kelasnya sendiri, malah dalam situasi tertentu
kadang-kadang sukar kita ingin membuat jangkaan apakah kaedah yang paling serasi untuk
diaplikasikan.
Sementara itu dari segi keperluan untuk melahirkan individu yang seimbang dan holistik para
pakar pedagogi rata-rata ”bersepakat” fokus pengajaran guru perlu memberi penekanan terhadap
aspek emosi, sikap, kreativiti, penyertaan dan bukan semata-mata penyampaian ilmu
pengetahuan sahaja. Dalam ertikata lain pelajar perlu dijana kekuatan naluri semula jadinya dari
segi bakat dan potensi supaya kurikulum Pendidikan Islam itu dapat ”melahirkan khalifah Allah”
yang dapat memakmurkan muka bumi ini sebagai insan yang berilmu dan berakhkak mulia.
Bagi merealisasikan hasrat untuk melahirkan insan yang harminis dan holistik, Ornstein (2009)
berpendapat pendekatan kemanusiaan perlu mengambil tempat yang sewajarnya dalam
menentukan mode pengajaran guru. Pendekatan kemanusiaan memerlukan guru menguruskan
pembelajaran ”tanpa paksaan” terhadap pelajarnya dan sekaligus berupaya mengajar ”dengan
hatinya”, bersikap prihatin dan memahami keperluan pelajarnya (Glasser, 1990).
Dalam konteks perbincangan ini, guru Pendidikan Islam perlu meletakkan dirinya pada landasan
yang betul dari segi cara gaya pengajaran. Pendekatan pengajaran perlu melihat kepada aspek
aplikasi dan amali dan dapat menumbulkan keseronokan dan kegembiraan kepada pelajar . Fokus
terhadap hafalan fakta sahaja tidak memadai. Guru perlu mengaitkan ilmu yang diajarnya dengan
realiti kehidupan di luar bilik darjah. Ini merangkumi komponen akhlak, pendidikan al-Quran dan
hadis. Bagi mempraktiskan gagasan ini guru boleh mengadakan mode perbincangan semasa
mengajar, mengetengahkan isu –isu semasa, membuat ramalan dan andaian dari sesuatu fakta
8
dan berupaya, menyongsong pemikiran masa depan sebagai persediaan menghadapi alam dewasa
dan juga persediaan kehidupan alam yang kekal abadi yakni alam akhirat.
Mengambil iktibar pandangan Hassan Langgulung (1991) yang menyarankan kepada para pendidik
supaya ”menyelak pintu” dan ”tingkap kesedaran” agar pelajar dapat melihat ilmu pada kacamata
kehidupan sebenar di luar bilik darjah, seharusnya direnungi bersama oleh para pendidik. Cara
gaya pengajaran dan pembelajaran perlu ke arah pendekatan penerokaan, lebih terbuka dan tidak
terlalu terkongkong dengan struktur sukatan kurikulum dan buku teks. Kurikulum perlu bersifat
fungsional yang berupaya melahir dan membentuk manusia muslim yang kenal agama dan
Tuhannya, berakhlak dengan akhlak al-quran dan bertindak sesuai dengan dasar-dasar serta
prinsip al-quran. Natijah daripada itu, pelaksanaan kurikulum pendidikan Islam di bilik darjah perlu
memaparkan topologi berikut:
• Daripada berlegar pada ruang lingkup tempatan dan setempat kepada kehidupan ummah
sejagat.
• Daripada pengkhususan topik, dilebarkan kepada jaringan yang lebih luas dan bersifat
global.
• Daripada berfokuskan kepada guru selaku penyampai ilmu, bertukar mode kepada
pendekatan ”mesra murid”.
• Daripada berfokus kepada tradisi memberi ilmu , kemahiran dan nilai kepada cakupan
yang lebih komprehensif dan realistik iaitu bagaimana ilmu, kemahiran dan nilai dapat
diamalkan dalam kehidupan.
ISU KESEDIAAN GURU
Pendidikan pada era globalisasi ini menuntut perubahan kepada guru Pendidikan Islam untuk
melakukan anjakan dan inovasi bagi memastikan mereka berada pada tahap yang benar-benar
kompeten sesuai dengan keperluan masa. Guru Pendidikan Islam perlu mempunyai iltizam yang
tinggi kerana guru-guru bukan sahaja berhadapan dengan karenah pelajar tetapi dalam masa yang
sama perlu mempertingkatkan tahap profesionalisme dari semasa ke semasa. Dalam ertikata lain,
Pengajaran dan pembelajaran guru Pendidikan Islam seperti juga subjek yang lain, mempunyai
pelbagai cabaran untuk dilaksanakan dengan berkesan. Dalam situasi di mana sekolah sering
mengalami tekanan untuk melakukan perubahan sama ada dari segi pendekatan pengajaran,
9
kandungan dan hasrat kurikulum itu sendiri, aspek kesediaan guru perlu diberi perhatian sama ada
mereka bersedia atau tidak untuk melaksanakan tugas mengajar dan mendidik. Juga sejauhmana
guru dapat berperanan sebagai mu’allim, yang merujuk kepada peranan guru untuk
menyampaikan, memberitahu, mengajar, memindah, dan menyalurkan pelbagai jenis maklumat
dan ilmu pengetahuan (Ab Halim et. ell.(2004). Peranan guru sebagai mua’allim menuntut
keprihatinan guru yang benar-benar komited supaya pelajar beroleh keyakinan terhadap
pengetahuan yang disampaikan dan seterusnya dapat mempraktikkannya (Janzarli, 1991). Ini
disebabkan gurulah yang mempengaruhi corak, rentak dan penentu kejayaan atau kegagalan
susuatu matlamat kurkukum. Dalam hal ini Guskey (1985) berpendapat sekiranya guru
mempunyai kesediaan mereka tiada halangan untuk melaksanakan apa jua idea baru berkaitan
pengajaran dan pembelajaran dalam kelas mereka. Pun begitu, Doll (1989) menyatakan terdapat
tiga faktor yang memberi implikasi yang signifikan terhadap kesediaan guru iaitu; a) kekangan
masa, b) penekanan berlebihan terhadap penyampaian kandungan kurikulum; c) peraturan
birokrasi yang terlalu banyak . Kertas ini akan memberi fokus kepada kesediaan guru dalam
pelaksanaan kurikulum di bilik darjah dari segi : a) kesediaan motivasi b) kesediaan sikap c)
kesediaan pengetahuan dan kemahiran.
Kesediaan Motivasi: Faktor ini sangat signifikan dalam menentukan kesediaan guru untuk
melaksanakan tugas pengajaran dengan cekap kerana motivasi merupakan pusat kawalan kepada
emosi dan dorongan guru untuk melaksanakan tugas dan amanah dengan bersungguh-sungguh.
Para pengkaji (seperti Hargreaves, 1994; Hoy dan rakan-rakan, 2001) mencadangkan jika guru
mempunyai tahap motivasi tinggi, hasil kerja akan meningkat, pelaksanaan tugas-tugas pengajaran
menjadi semakin efisyen dan guru dapat bertindak secara berkesan.
Sebaliknyanya pula menurut Leithwood (2002), sekiranya guru mempunyai tahap motivasi yang
rendah, guru bersikap pesimistik terhadap sebarang harapan, visi dan jangkaan yang diharapkan
ke atas mereka. Motivasi, menurutnya akan menjadi penyuntik semangat dan pendorong kuat
bagi guru dalam melaksanakan tugas –tugas pengajarannya.
Sementara itu Habib Mat Som (2006) merumuskan dari penelitian kajiannya bahawa guru yang
mepunyai kesediaan dari segi motivasi ; a) berminat melaksanakan tugas-tugas pengajaran
walaupun menghadapi pelbagai masalah, b) sering mengadakan perbincangan dengan rakan
sejawat apabila menghadapi masalah berkaitan tugas.
10
Herzberg (1959) telah memperkenalkan Teori Dua Faktor bagi mendorong motivasi iaitu faktor
intrinsik dan faktor ekstrinsik. Faktor ekstrinsik berkaitan dengan dasar dan pentadbiran
organisasi, status, gaji, hubungan antara personal dan keadaan kerja. Sementara faktor intrinsik
berkaitan dengan unsur dalaman seseorang seperti pencapaian diri, pengiktirafan, kerja-kerja yang
mencabar dan kemajuan diri.
Persoalannya, adakah guru-guru Pendidikan Islam di sekolah-sekolah mempunyai tahap motivasi
yang memberangsangkan? Apakah mereka berpuashati dan dapat dipenuhi kreteria keperluan
pekerja bermotivasi dari segi intrinsik dan ekstrinsik?. Sedangkan bidang keguruan itu sendiri
menuntut para guru perlu sentiasa berada pada barisan depan dan siap siaga melaksanakan
amanah yang dipikulkan di atas bahu mereka. Apakah harapan sedemikian sekadar retorik ”untuk
pendidik zaman lampau” atau ia merupakan ” standard guru sepanjang zaman”.
Senario yang berlaku di sekolah memaparkan rata-rata jumlah pelajar di bilik darjah adalah sekitar
40 orang. Jumlah pelajar seramai itu pastinya menampilkan aneka ragam dan kerencaman dari
segi minat, bakat, kecenderungan, tumpuan belajar dan sebagainya. Guru terpaksa membuat
penyesuaaian bagi menghadapi kelainan latar pelajar mereka bagi memastikan proses pengajaran
dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Namun ianya tidak semudah yang difikirkan. Kelainan
latar belakang pelajar menjadikan situasi kurang kondusif dan boleh menyumbang kepada
keadaan stress kepada guru.
Sementera itu trend pendidikan masa kini mengehendaki guru memberi penumpuan terhadap
pencapaian akademik yang diukur dengan prestasi peperiksaan. Ini tidak termasuk masalah
disiplin pelajar yang perlu ditangani guru yang mana ”gelombang” permasalahan disiplin pelajar
tidak kelihatan ”tanda-tanda surut”. Fenomena sedemikian sama ada secara langsung atau tidak
langsung boleh menyebabkan guru kehilangan motivasi justeru pengajaran dan pembelajaran
tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh kerana kekangan dan cabaran yang dihadapi
tersebut.
Kesediaan Dari Segi Sikap: Kajian-kajian yang dilakukan oleh Pajares (1992), Gaith & Yaghi (1997)
dan Morirarty et al (2001) menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan sikap guru dengan
amalan mereka dalam pengajaran dan pembelajaran. Dapatan kajian oleh Tobin dan Mac Robbie
11
(1996) juga memperoleh penemuan yang sama yang melaporkan bahawa sikap guru secara
lazimnya menjadi faktor penentu sama ada guru dapat menerima atau menolak sesuatu inovasi
dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Malahan pengalaman-pengalaman
masa lalu yang pernah dilalui guru dalam ”mencuba” sesuatu pendekatan baru dalam dalam
proses pengajaran dan pembelajaran telah memberi impak terhadap emosi guru sehingga
membentuk suatu tanggapan negatif dan menjadi suatu metos yang ”kurang sihat” bila
memperkatakan persoalan tentang idea berkaitan gaya pengajaran dan pembelajaran itu sendiri.
Selain itu, Lump et. al. (2000) menyatakan kayu ukur kesediaan guru melaksanakan pengajaran
dan pembelajaran secara berkesan adalah berkait rapat dengan sikap guru itu sendiri terhadap
tugas yang diamanahkan kepada mereka. Sekiranya guru bersikap positif beban yang diberikan
terhadap mereka akan digalas sedaya upaya tanpa perasaan keluh kesah. Dapatan kajian Habib
(2006) melaporkan guru yang mempunyai sikap positif akan; a) mempunyai keyakinan tinggi untuk
melaksanakan pengajaran dalam kelas, b) bersedia untuk dilatih dan mempelajari kaedah-kaedah
baru dalam pengajaran dan c) mempunyai komitmen yang tinggi.
Kesediaan Dari Segi Pengetahuan dan Kemahiran: Habib (2006) mendapati amalan guru dalam
pengajaran memaparkan profil berikut: a) kaedah pengajaran yang popular dalam kalangan guru
adalah kaedah perbincangan dan yang paling tidak popular adalah kaedah lakunan, b) sebahagian
besar guru dapat memupuk hubungan mesra dan akrab di bilk darjah, c) kemahiran guru dalam
penggunaan komputer untuk proses p&p adalah rendah terutama dalam penggunaan laman web
tetapi agak memberangsangkan dalam penggunaan power point, d) guru kurang berkemahiran
mengurus masalah disiplin semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Isu kompetensi guru dalam melaksanakan tugas sebagai pelaksana kurikulum perlu juga dilihat
dari sudut pandangan yang lain, khasnya dalam perpektif peranan guru sebagai ”penyampai
kurikulum”. Peranan guru Pendidikan Islam perlu berubah dari tradisi ”penyampai” kepada
pendekatam yang lebih praktis dan realistik. Sekurang-kurangnya kompetensi mereka
mengaplikasikan Teksonomi Bloom dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu
beralih dari tradisi sekadar menyampai dan memahamkan pengetahuan dan kemudian ,
mengingatinya untuk menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan. Kompetensi guru dalam
pelaksanaan kurikulum hendaklah bergerak pada aras Teksonomi Bloom yang lebih tinggi iaitu
peringkit analisis, sintesis dan penilaian. Guru dalam merealisasikan konsepsi teksonomi tersebut
12
perlu memperkaya dan menambah baik cara gaya pengajaran dan pembelajaran sehingga pelajar
mampu untuk berfikir secara kritis, menganalisis, meramal, merumus, membuat justifikasi,
mentafsir dan sebagainya.
Kompetensi guru sedemikian rupa adalah untuk memenuhi tuntutan dan keperluan ummah di
mana impak kepada Pendidikan Islam berupaya untuk melahirkan generasi ulul albab iaini
generasi yang berupaya berfikir, merenung, mengkaji, bersikap futuristik sebagaimana firman
Allah:
”Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang ada tanda-
tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang beraqal.
(Iaitu) orang-orang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa
mereka berbaring dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata):
”Wahai Tuhan kami, Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha Suci
Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka” ( al-Imran; 190-191).
KESIMPULAN
Pengajaran dan pembelajaran adalah entiti penting dalam menentukan keberkesanan sesuatu
kurikulum. Walaupun sesuatu kurikulum digubal dengan meletakkan matlamat yang komprehensif
dan unggul namun sekiranya guru gagal merealisasikannya dalam bilik darjah, kurikulum tersebut
hanya akan menjadi sebuah ”impian” yang tidak kesampaian. Memandangkan ummah ini sedang
menghadapi persoalan yang getir dalam kemelut era globalisasi dan budaya saling bersaing yang
semakin sengit, maka menjadi kewajiban semua pihak dalam Pendidikan Islam untuk
mengembeleng idea dan pemikiran bagi memastikan kurikulumnya dapat disampaikan secara
berkesan. Semua pihak perlu saling sokong menyokong sebagai membuktikan kita memampu
membina solidariti ummah yang mantap dan disegani. Guru-guru pula secara khususnya perlu
meningkatkan tahap profesionalisme dengan penguasaan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai
bidang secara berterusan agar mereka akan menjadi guru yang sesuai dengan keperluan semasa
dan berupaya menerjah perubahan ke arah masa depan ummah yang lebih gemilang.
13
Rujukan
Ab. Halim Tamuri & Khadijah Razak (2003). Pengajaran akhlak di sekolah menengah: Persepsi
pelajar. Proseding Wacana Pendidikan Islam (Siri 3). Antara tradisi dan inovasi. Bangi: Fakulti
Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Akinyemi, K. (1986). A study of technophopbia among primary school teachers in Nigeria.
Programmed Learning and Educational Teaching Technology. 5(1), 263-269.
Doll, R.C. (1989). Curriculum improvement. Decision making and process. Boston: Allyn & Bacon.
Gaith, G., & Yaghi, H. (1997). Relationship among experience teacher efficacy and attitude towards
the implementation of instructional innovation. Teacher and Teacher Education. 13(4), 451-
58.
Glasser, W. (1990). The quality school. New York: Harper Collins.
Hassan Langgulung. (1991). Asas-asas pendidikan Islam. Kuala Limpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Jackson, P. (1990). Life in classroom. New York: Teachers College Press.
Lumpe., A.T., & Czerniak, C. (2000). Assesing teachers’ belief about their science teaching context.
Journal of Research in Science Teaching. 37, 275-292.
Maimunah Ismail. (1995). Kemahiran membaca al-quran di kalangan pelajar Tingkatan satu: Satu
kajian kes. Tesis sarjana (tidak diterbitkan). Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Ornstein, A.C., Pajak, E., Ornstein, B. (2009). Contemporaray issues in curriculum. Boston: Pearson.
Pajares, M.F. (1992). Teachers’ belief and educational research: Cleaning up a messy conctruct.
Review of Educational Research. 62, 307-332.
Shahril Marzuki. (2004). Amalan pengajaran yang berkesan: Kajian di beberapa sekolah menengah
di Wilayah Persekutuan dan Selangor. Jurnal Pendidikan. Jld. 24, 29-40.
T. Subahan Mohd. Merah (2003). Isu-isu perkaedahan Pengajaran Pendidikan Islam. Prosiding
Wacana Pendidikan (siri 3). Bangi: Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tobin., K., & Mc Robbie, C. J. (1996). Cultural myts as constrain to the enacted science curriculm.
Science Education. 80, 223-241.
Yusuf Ahmad. (1997). Laporan kajian penguasaan jawi di sekolah rendah. Projek IRPA. Intervensi
Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.