Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh...

34
1 Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatin Muhammad Haji Salleh Pengantar Persoalan “genius” sudah menjadi tema kajian untuk beberapa ratus tahun, malah sejak Galton pada tahun 1869. Kini tema ini menarik puluhan sarjana dari beberapa bidang, termasuk sastera, psikologi, dan kajian otak. Sebabnya bukan saja kerana genius ini mengandungi beberapa jalur rahsia yang sampai sekarang mengelak takrif yang jelas, tetapi juga kerana kesan genius terhadap khalayaknya sangat luas dan lama dan mengekor kita beberapa ratus tahun, dengan cara yang sangat intens dan menyerap masuk ke dalam kesedaran dan pemikiran kita. Kita diajar gagasan dan kata-kata serta naratif pemikir-pemikir besar ini di sekolah dan universiti. Seterusnya melelui kajian psikologi terkini ramai pula yang cuba mendekatinya melalui proses pergerakan fikiran dan dasar watak seseorang genius itu. Berdasarkan kajian mereka, dan tidak lupa juga, pengalaman membaca dan mendengar karya-karya genius ini, maka manusia yang dikenali sebagai genius itu, sifat- sifatnya, bagaimana muncul dan terjadinya, serta juga jelmaan terkininya. Kajian-kajian ini termasuklah Dean Simonton, dalam Origins of Genius: Darwinian Perspective on Creativity, Joseph Epstein, ed. Literary Genius: 25 Classic Writers Who Define English and American Literature dan Harold Bloom, Genius: A Mosaic of One Hundred Exemplary Literary Creative Minds. Takrif Operasional Oleh kerana telah termaktub beberapa definisi yang berbagai-bagai sudut pandangan dan latarnya maka kita perlu melihat beberapa yang lebih menyeluruh dan setelah itu mengenal pasti unsur-unsur yang dipersetujui bersama oleh beberapa orang pengkaji penting ini. Baiklah kita mulakan dengan kamus dan ensiklopedia kerana kamus juga diandaikan sebagai pengumpul takrif melalui waktu.

Transcript of Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh...

Page 1: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

1

Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatin

Muhammad Haji Salleh

Pengantar

Persoalan “genius” sudah menjadi tema kajian untuk beberapa ratus tahun, malah sejak

Galton pada tahun 1869. Kini tema ini menarik puluhan sarjana dari beberapa bidang,

termasuk sastera, psikologi, dan kajian otak.

Sebabnya bukan saja kerana genius ini mengandungi beberapa jalur rahsia yang

sampai sekarang mengelak takrif yang jelas, tetapi juga kerana kesan genius terhadap

khalayaknya sangat luas dan lama dan mengekor kita beberapa ratus tahun, dengan cara yang

sangat intens dan menyerap masuk ke dalam kesedaran dan pemikiran kita. Kita diajar

gagasan dan kata-kata serta naratif pemikir-pemikir besar ini di sekolah dan universiti.

Seterusnya melelui kajian psikologi terkini ramai pula yang cuba mendekatinya melalui

proses pergerakan fikiran dan dasar watak seseorang genius itu.

Berdasarkan kajian mereka, dan tidak lupa juga, pengalaman membaca dan

mendengar karya-karya genius ini, maka manusia yang dikenali sebagai genius itu, sifat-

sifatnya, bagaimana muncul dan terjadinya, serta juga jelmaan terkininya. Kajian-kajian ini

termasuklah Dean Simonton, dalam Origins of Genius: Darwinian Perspective on Creativity,

Joseph Epstein, ed. Literary Genius: 25 Classic Writers Who Define English and American

Literature dan Harold Bloom, Genius: A Mosaic of One Hundred Exemplary Literary

Creative Minds.

Takrif Operasional

Oleh kerana telah termaktub beberapa definisi yang berbagai-bagai sudut pandangan dan

latarnya maka kita perlu melihat beberapa yang lebih menyeluruh dan setelah itu mengenal

pasti unsur-unsur yang dipersetujui bersama oleh beberapa orang pengkaji penting ini.

Baiklah kita mulakan dengan kamus dan ensiklopedia kerana kamus juga diandaikan

sebagai pengumpul takrif melalui waktu.

Page 2: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

2

Dalam New Encyclopaedia takrif berikut ditawarkan,

A broader definition, going beyond high scores on IQ tests, has been proposed to

describe genius—a creative individual who is able to arrive at insights that are novel

and yet strike a deeply responsive chord acroSulalat al-Salatin the world's diverse

cultures. Such a definition is a more accurate description of individuals such as

Mozart, Confucius, or Shakespeare who have made advances that reverberate loudly

across cultures and time.

Daripada definisi yang lebih formal ini kita bergerak kepada definisi yang dibina oleh

pengkaji khusus dalam bidang ini. Misalnya, Sir Francis Galton, yang khusus mengkaji

genius melihat bahawa dasarnya haruslah dapat dilihat melalui pencapaian yang nyata lagi

berkekalan. Pada beliau seorang genius itu harus memperlihatkan keaslian, keupayaan berfikir

secara kreatif, meneroka idea dan teknik baru, yang belum diterokai sebelumnya, dan dengan

cara yang demikian menyubang ilmu baru kepada masyarakat manusia.

Sementara itu, Dean Simonton pula, dalam Origins of Genius: Darwinian Perspective

on Creativity, seseorang genius harus berupaya mencipta penerokaan saintifik, karya-karya

seni, inovasi teknikal atau terlibat dalam kepimpinan politik dengan cara yang sangat

terkemukan/eminent. Pada beliau seseorang genius harus mencipta, meneroka, atau

merekacipta sesuatu yang tahan oleh zaman dan dapat digunakan dalam berbagai-bagai

budaya atau tamadun.

Ini suatu takrif yang menebarkan jala maknanya kepada beberapa bidang, yang

menariknya, juga kepimpinan politik, yang tidak selalu dimasukkan.

Apakah istilah Melayu untuknya? Kini perkataan “genius” dipinjam untuk konsep ini.

Kita tidak punya konsep kepintaran luar biasa atau keupayaan mencipta formula dan

mengingat ratusan atau ribuan nombor, atau ahli muzik yang tiada tolok bandingannya.

Mungkin masyarakat Melayu lebih mencari manusia yang menyumbang – membawa

manfaat. Atau hasilnya. Inilah sudut penilaiannya, bukan kepintaran hanya.

Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa

“manfaat” kepada masyarakatnya. Perkataan terdekat dalam bahasa Melayu ialah “bijaksana”

– yang jelas bukan sangat berdasarkan kecerdasan tetapi keupayaan mengambil makna teras

daripada pengalaman manusia dan menyimpulkan untuk khalayaknya. Pengarang yang

menyumbang begini dapat kita katakan sebagai “bijaksana”.

Page 3: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

3

Dalam tradisi sastera Melayu atau Asia jarang pula terdapat keinginan untuk melawan tradisi

atau mencipta yang baru, namun dalam kes Tun Seri Lanang pelanggaran tradisi dan

kebiasaan ini nampaknya datang daripada akal budi, watak dan juga keperluan seni dan

bahasanya. Maka diciptalah karyanya yang melanggar definisi biasa genre.

Sekarang elok kita perluaskan dunia takrif ini supaya ciri halus akal budi pengarang

dapat dikenali.

Carl S. Hale, `Psychological Characteristics of the Literary Genius’, dalam Journal of

Humanistic Psychology, menyimpulkan bahawa,

Literary genius is a multi-layered aptitude that consists of many unique congitive,

affective, perceptual, motivational, interpersonal, and state-dependent attributes,

including the challenging of orthodox thinking, fertility of ideas, compulsive discipline

and hard work, tolerance of ambiguity, innocence of perception, immersion in the

present moment, intellectual diversity, an internal locus of evaluation, and sensitivity

to nuances. The primary role of the creative genius in society is to hasten the

development of authentic human values, which often requires these men and women to

partially or completely withdraw from mainstream society. The extreme individualism

of these people allows them to discover human values that are then used to revivify

eroding or procrustean social structures. Creative writers provide the covert

foundation for social change and spiritual transformation, which requires that they

remain loners who are totally dedicated to their creative work.

Kerumitan dan juga kerencaman akal serta watak manusia menghasilkan genius yang

berbagai-bagai. Pada beliau terdapat beberapa kecerdasaan, “intelligences” dan setiap satunya

dengan geniusnya sendiri pula:

Linguistic intelligence, Logical-mathematical intelligence, Bodily/Kinesthetic, Musical

intelligence, Spatial intelligence, Interpersonal intelligence, Intrapersonal

intelligence, Naturalist intelligence`

dan “Other intelligences”, iaitu rohaniah, wujudiah (existential) dan moral.

Kata Epstein,

Timelessness, grandeur of vision, originality of outlook—”, “all these, in concert and

worked at a high power, comprise genius in the writer. This and the ability to make us

see constitute literary genius.”

Page 4: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

4

Daripada deretan panjang takrif dan pandangan ini kita perlu mensasar “linguistic

genius”, yang anehnya tidak dimasudkan kepada ahli linguistik, tetapi kepada genius

kesusasteraan, iaitu “literary genius”.

Dalam pengenalan bukunya, Literary Genius: 25 Classic Writers Who Define English

and American Literature, dipilih dan diedit oleh Joseph Epstein kita diberikan definisi yang

rumit ini,

Literary genius comes in many varieties. Some literary geniuses seem natural

(Charles Dickens, Mark Twain), others cultivated (George Eliot, Henry James).

Some are prolific (Wordsworth, Whitman), some are more carefully concentrated

(Jane Austen, T. S. Eliot). Some literary geniuses are stimulated by the difficult

(Alexander Pope, John Milton). Some require absolute originality — entailing the

need to invent their own style — to convey their vision (James Joyce, Ernest

Hemingway). Some have perfected a form (Pope, the heroic couplet), some have

tried to kill off a genre (Joyce, the novel). Not some but all literary geniuses can be

read again and again, down through the generations.

Simone de Beauvoir juga mengakui bahawa seorang genius memiliki kecerdasan dan

bakat yang sangat luar biasa. Namun beliau menegaskan, genius itu tidak jadi begitu sejak

kelahirannya, tetapi “menjadi” – “becomes” genius melalui masa, situasi dan peluang.

Mengapa, ditanya, genius sastera? Banyak jenis genius tetapi dipilih penulis kreatif

kerana, seperti kata Albert (1992:316),

First of all, writing is probably the most prevalent and most widely understood form of

communication of creative interpretations of experience. Then too, the social impact

of writers in diSulalat al-Salatineminating information, influencing public opinion,

forming public taste, and advancing culture, is very great. Finally, language itself is

so much an expression of culture that a study of its use in any particular society

provides a unique field for observation of creative forces in the culture itself.

Tulisan ialah bentuk yang paling hadir, dan kesannya terhadap khalayak juga lebih

besar dan dengan itu membentuk citarasa bersama dan mengembangkan tamadun.Akhirnya

bahasa, menurut Albert, ialah ekpresi budaya yang paling lengkap.

Dalam sebuah kajian berasingan oleh F. Barron (dalam Albert, 1992:315-324) telah

digunakan 1000 sampel responden daripada tiga golongan: pertama, pengarang ternama,

kedua, pelajar yang baru menulis, dan akhirnya responden dari golongan masyarakat. Mereka

Page 5: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

5

ditanya tentang : variable gaya penulisan yang penting (important stylistic variables), kedua,

keaslian dan ketiga: pendirian yang bebas dalam membuat penilaian (independence of

judgement). Kesimpulan kajian ini memperlihatkan bahawa pengarang memilih yang

kompleks, tidak yang sama ukur dan lebih suka berhadapan dengan tantangan yang

dimungkinkan oleh keadaan yang tidak teratur (complexity, asymmetry and the challenge of

disorder). Tentang keaslian pula penulis dilihat lebih kreatif daripada semua golongan yang

pernah dikaji, dan akhir sekali keaslian yang berhubungan langsung dengan

keluwesan/flexibility.

Namun ketiga-tiga unsur ini tidak ekslusif – tetapi sering berhubungan dan bertindihan

setiap satu dengan yang lainnya. Misalnya keaslian juga berhubungan dengan sikap terhadap

bahasa dan sastera yang luwes, fleksibel.

Daripada beberapa tafsiran genius itu kita mengesan bahawa pada “genius” beberapa

unsur sepunya. Oleh yang demikian takrif mereka juga bertindihan. Berikut ialah unsur-unsur

penting yang dapat ditarik daripadanya:

Pertama, genius itu berada di luar daripada kemampuan manusia/pengarang biasa.

Kedua, mereka memperlihatkan ruang ilmu atau seni penting yang belum diterokai

orang lain dan oleh itu menyumbang kepada pengetahuan tentang akal budi manusia.

Ketiga, dapat dibaca dan dinikmati secara rentas-zaman.

Keempat, dan tidak kurang penting pula, keaslian, termasuk mencipta genre baru atau

cara pemerian baru. Di sinilah juga kita akan melihat kehandalan penggunaan bahasa

pengaranngya.

Terakhir, kelima, mereka menyumbang kepada proses memperkembangkan genre

yang diterokai.

Untuk kajian ini saya ingin mengesan dan menilai kelima-lima unsur ini dalam Sulalat

al-Salatin. Pada umumnya, saya tidak akan melihat garis-garis besar kejayaan beliau, walau

pun sesekali akan saya sentuh juga sebagai pelengkap. Yang dicari ialah garis-garis yang

lebih halus, artistik, yang menjadi hasil daripada imaginasi dan keterampilan kesenian

bahasanya.

Page 6: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

6

Versi yang digunakan ialah Raffles 18, editan Muhammad Haji Salleh , 2009 dengan

rujukan kepada versi-versi Abdullah, Shellabear dan Abdul Samad Ahmad.

Kendiri (Self) dan Penciptaan

Setelah dilontarkan berbagai-bagai takrif baik kita mulai masuk ke dalam genius Tun Seri

Lanang, dan karyanya. Genius, menurut, kata Freud, yang dikutip oleh Harold Bloom,

bermula dengan kendiri pengarang itu sendiri - the self. Dan egolah yang mencipta kendiri ini.

Tetapi buktinya tidak dapat kita carikan dalam sejarah hidup Tun Seri Lanang, (kerana waktu

antara yang sudah 401 tahun berlalu dan hakikat bahawa sedikit sekali yang ditulis tentang

hidupnya). Namun begitu kita diberikan bayangan ego ini dalam “Mukadimah” yang sangat

baik itu. Tun Seri Lanang menyebut bahawa beliau didatangi Tun Bambang, yang

membawakan titiah Yang Pertuan di Hilir, “Bahawa hamba minta perbuatkan hikayat pada

bendahara perteturun segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya ….” Pada titik ini, dengan

serta merta, fokus tulisan beralih daripada raja kepada bendahara – Tun Muhammad, yang

menerima titah itu. Inilah bakal pengarang, dan yang mula menanggung beban titah dan

arahan raja.

Berkatalah diri pengarang yang sedar akan dirinya,

Setelah … fakir yang insaf akan lemah keadaan dirinya dan singkat pengetahuannya

ilmunya….. maka terjunjunglah atas batu kepada fakir dan berlelah atas segala anggota fakir.

Maka fakir kencanglah diri fakir pada mengusahakankan …

Pada titik inilah juga ego/diri beliau mula kita kesan dalam teksnya, dan diri penulis

ini dapat juga kita baca sebagai suatu cerminan kepada diri Tun Seri Lanang sendiri, sebagai

seorang manusia sebenar.

Pernyataan kehadiran dan juga ego diberikan teksnya. Dengan salasilahnya sekali.

Salasilah Tun Seri Lanang ialah juga salsilah raja yang memerintah di Melaka dan Johor.

Tapi ini semuanya diturunkan secara yang anggun dan merendah diri, dan dakwaan “lemah

akal dan kurang pengetahuan.” Namun di belakang kata-kata merendah diri ini ialah gugup

seseorang yang diberikan tugas yang sangat besar dan harus diselesaikan.

“Mukadimah” dan gaya merendah diri ini dibuat dalam suatu tradisi Melayu klasik

yang halus – yang dikeluarkan unsur takbur atau menunjuk-nunjuk yang jelas. Namun di

Page 7: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

7

belakanngya beliau menyebutkan titah penting raja, yang tidak ditujukan kepada sesiapa saja,

tetapi khusus kepada dirinya. Di belakang kata-kata ini juga kita baca arahan ini ialah menulis

sejarah salsilah dan peristiwa yang mereka alami, kerana raja ini berkongsi keturunan

dengannya – dari jalur Iskandar Zulkarnain dan Mani Purindam.

Setelah itu dia tidak menyebut dirinya lagi. Tetapi diri inilah yang berfikir, merasa,

berpertimbangan, dan akhinrya mengarang dan mengedit apa yang ditulisnya.

Beliau tinggal di belakang egonya, dengan kecerdasannya, dengan bakat bahasa dan

seni naratifnya. Ditambah pula suatu lapisan tebal imaginasi yang berbuah nanti sebagai citra

dan metafora cemerlang dan pintar.

Tun Seri Lanang berhadapan dengan suatu tugas besar. Dalam bentuk tulisan masih

belum terdapat sebuah karya yang merentangkan sejarah bangsa Melayu dan raja-rajanya.

Yang ada ialah puluhan atau ratusan cerita lisan yang diceritakan oleh keturunan bangsawan

dan orang biasa yang mengungsi dari Melaka.

Beliaulah yang harus menciptakan sebuah teks bertulis, dan duduk di depan mejanya

untuk menurunkan kata-kata pemeri dan makna yang dapat disimpul dari benang sejarah yang

sangat rumit. Tetapi beliau sedar bahawa pada titik penciptaan beliau perlu memilih kata-kata

untuk melukis raut citra dan sketsa, dan akhirnya menentukan bentuk adegan, dan malah

kecenderungan sesebuah vingette, cerita dan maknanya kepada sesuatu arah yang diinginkan

beliau.

Beliau juga sedar akan bakatnya. Bahawa beliau diminta menulis juga menunjukkan

hakikat beliau memiliki pengetahuan dasar yang luas tentang sejarah raja-raja Melayu dan

perisitwa-peristiwa yang dilalui mereka pada berbagai-bagai tahap dan zaman. Kemungkinan

besar Tun Seri Lanang sudah pun memperlihatkan bakat mengarang itu dalam bukti lisan atau

tulisan, di kampunngya dan juga di istana. Sejarah bangsa tidak diminta tuliskan kepada

sesiapa saja. Dan untuk menjaga kepentingan keturunan raja-raja Melaka, penulis yang

terbaiklah yang harus dipilih. Dan yang terbaik ini juga, kebetulannya ialah seorang

Bendahara Johor, yang juga berketurunan raja-raja Melaka.

Semua unsur ini hadir dalam diri Tun Seri Lanang, secara sedar atau separa sedar atau

pun malah secara bawah sedar.

Page 8: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

8

Dalam esei saya sebelum ini, “Sulalatus Salatin: Adikarya Akal Budi Melayu”

(2008:3-35), yang merujuk kepada genius sastera Tun Seri Lanang, saya cuba melakar

pencapaian terbesar beliau, tema-tema besar daripada makna universal dalam espiod-

episodnya, hinggalah kepada titik-titik khusus dan kekhususan (particularity) yang juga

memberi warna dan peribadi kepada watak-wataknya.

Sudah pun diiktiraf bahawa genius sastera itu menempah namanya sewaktu melukis

kenyataan alam, rentang muka bumi, geografi, di samping peta rumit perasaan, akal dan juga

persoalan moral serta etikanya. Semua ini ialah persoalan-persoalan falsafah yang menyentuh

semua pembaca.

Seorang genius sebenarnya ialah peladang gagasan, yang menabur benih tamadun,

dan benih ini akan tumbuh pada zamannya atau zaman setelah beliau meninggal.

Oleh itu, kertas ini ingin mengesan unsur-unsur yang tersimpan dalam genius Tun

Seri Lanang dan sumbangan bahasanya, keasliannya, pemikirannya yang universal, rentang

watak dan tidak lupa, genre naratifnya.

Tun Seri Lanang dan Bahasa

Menurut Teuku Iskandar (1995:240), walau pun bahasa Melayu di Melaka itu sudah

memasuki zaman klasik, namun dengan Johor, yang terpencil, dan kurang antarabangsa

sifatnya, bahasa Melayu yang dinginkan ialah bahasa Melayu pra-klasik, iaitu bahasa Melayu

yang masih belum banyak pengaruhnya.

Dalam sesuatu bahasa pengarang yang baik dapat dikesan gaya kepengarangannya.

Seperti yang dilihat di atas ada semacam kecenderungan untuk melukiskan dunia sebenar

yang lebih kompleks, kacau, mencuba bentuk yang tidak sama ukur dan rapi, dan akhir ada

hasrat menerima tantangan untuk menyusun kembali ketidakaturan ini menjadi sebuah karya

yang dapat memberikan makna kepada keadaan ini dan mencipta sesuatu yang baru.

Setiap pengarang luar biasa memiliki gaya penulisan luar biasanya sendiri, yang

tumbuh daripada peribadinya, daripada perbendaharaan bahasa peribadi dan sepunyanya dan

juga daripada persekitarannya. Gaya inilah juga yang akan menjadi tanda pengenalnya,

semacam pakaian dan rupa bentuk wajahnya. Tun Seri Lanang ialah manusia yang sangat

intens, padat peribadi dan kedua-dua sifat ini terlihat dalam naratifnya. Dalam karyanya,

Page 9: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

9

tiada terdapat hal-hal yang tidak penting kepada makna seluruhnya. Beliau paling setia kepada

perjalanan sejarah dan makna sejarah itu sendiri. Beliau bukan pengarang moden yang

melukis dan membiarkan kita mencari kesimpulannya. Biasanya, secara halus beliau

menyimpul untuk pembacanya, makna di hujung sesebuah cerita atau episod. Beberapa

daripadanya menggarisbawahi di antara lainnya: hakikat bahawa kesabaran itu memenangkan

kita, kerja harus tuntas, jangan menjatuhkan orang lain di belakanngnya, menjaga perasaan

orang lain, dan akhirnya bahawa rasuah, iri hati dalam negara dan istana akan meretakkan

negeri itu, dan dengan cara yang demikian mudahlah diruntuhkan oleh musuh. Dan inilah

yang disimpul daripada sejarah Melayu yang penuh intrik, cemburu, kekacauan dan konflik.

Suara Tun Seri Lanang dalam Teks

Sememanngya kita dapat mendengar suara khusus dan istimewa dalam baris, frasa, ayat,

perkataan lama dan baru, dan puluhan vigenette kecil yang dilukis secara penuh dan padat.

Tetapi buat pengarang yang mengenali khalayaknya ini, naratif yang padat berterus-terusan

tidak akan sampai kepada pembaca/pendengarnya. Jadi ditambah alatan dan tarikan lain

supaya yang serius dan penuh itu juga membawa sedikit unsur yang lebih ringan.

Demikianlah dalam Sulalat al-Salatin terdapat campuran lagu dan humor, pantun dan sifat

eksentrik watak-watak atau cara berfikir mereka, di samping renungan terhadap kekejaman

dan kasih sayang, peperangan dan keamanan. Beliau adalah seorang pengkisah yang tekun,

berfikiran tinggi, kenal akan bahannya. Beliau menulis dengan alatan kebijaksanaan.Yang

menulis itu manusia yang matang, berpertimbangan dan saksama.

Tun Seri Lanang berada di atas bahan sejarahnya, dan tidak karam di bawahnya, dan

menulis dari perspektif yang lebih lengkap - beliau melihat ke bawah dan ke atas, ke sisi

dan ke dalam. Walau pun yang diadilinya itu raja-raja daripada keturunannya sendiri.

Suara ini mementingkan tugasnya, tetapi nampaknya watak pengarang ini lebih

daripada kompleks. Banyak unsur dan sumber yang tersimpan di dalamnya: episod sejarah,

dongeng, mitos, aksi, humor, dan juga pandangan filosofis serta moral. Semua ini berbaur

dan membentuk diri dan cara berfikir pengarang.

Sementara itu dalam suatu kajian lain tentang genius (Hale,

jhpsagepub.com/contact/35/3/113.s), disimpulkan bahawa diri dan bahasa genius mempunyai

latar yang multi-budaya. Latar ini juga boleh ditunjukkan dalam keturunan awal Tun Seri

Page 10: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

10

Lanang sendiri. Leluhurnya dari Demang Lebar Daun, di Bukit Seguntang, dan Iskandar Raja

Zulkarnain dan Manipurindan, yang mengalirkan darahnya dari Macedonia ke India dan

setelah itu ke Sumatera. Darah ini juga mengalir dalam beberapa serokan dan anak air dari

beberapa buah benua salsilahnya.

Walau pun kita tidak dapat meneliti latar belakang Tun Seri Lanang, kerana sehingga

ini tiada seorang pun pernah mengkaji secara tuntas kehidupannya namun sekiranya kita

lukiskan istana Johor, seperti juga istana Melaka, maka kita dapati sautu kepenuhan dan

kesibukan - dengan pedagang dari berbagai-bagai negara besar dan kecil, yang datang

menjual barangan mereka. Bersama mereka datang juga duta dan wakil raja, pengunjung dan

pelancong (cara lama). Mereka datang menyembah sultan dan berunding dengan

pembesarnya, sebahagiannya juga pedagang yang bermodal besar. Di depan raja, pembesar

dan rakyat berpawailah berbagai-bagai ras, dengan pakaian, cara dan bahasanya. Setiap hari,

dunianya sangat bersifat multi-budaya, dan inilah persekitarannya. Seperti Melaka Johor juga

tidak dapat kekal terus tanpa suasana multi-budaya yang memberikan wujud yang diperlukan

negara besar. Pedagang dan peraih, pelayar dan juga pengungsi memenuhi ruang pasar,

masjid, warung makan dan juga kadang-kadang balai penghadapan serta balai rung. Dari kecil

lagi TUN SERI LANANG terbiasa dengan kelainan dan perbezaan. Melaka dan Johor adalah

di antara kota global di kurun ke-16 dan 17. Pengarang ini melihat, menyerapkan apa yang

berlaku di depannya, dan semua ini dialaminya dalam diri, panca indera dan perasaan.

Akhirnya sebahagian daripadanya diberikan kata-kata pemerian dalam karya ini.

Karya bertulis di zaman Melaka dan Johor yang dikenali antara lain ialah beberapa

buah kitab seperti Durr Manzum dan Hikayat Amir Hamzah. Kepadanya harus ditambah

Hikayat Raja Pasai dan karya datuknya, Tun Isap Misai, dan beberapa yang lainnya seperti

Hikayat Seri Rama, Hikayat Pandawa Lima serta Hikayat Inderaputera. Korpus ilmunya juga

ditambah dengan sudut-sudut agama lainnya, termasuk Quran, hadith dan bahasa Arab - yang

diberikan bukti dalam karyanya. Ada juga bahasa Nusantara lainnya yang muncul dalam

halaman pemerian dan peristilahan Sulalat al-Salatin. Namun begitu lebih banyak

pengetahuan yang kini kita sebut sebagai kearifan tempatan/ kebijaksanaan lokal atau local

knowledge yang tersimpan dalam ratusan cerita dan kisah yang tersebar di seluruh Nusantara

yang juga mungkin dikenali oleh pengarang ini.

Selain itu sebagai Bendahara negeri Johor yang menggantikan Melaka, maka beliau

bertemu dengan pedagang dan utusan dari seluruh Kepulauan Melayu – terutama Aceh,

Page 11: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

11

Palembang, Kampar, Inderapura, dan pulau-pulau di bahwa naungannya, seperti Pulau Tujuh

dan Siantan. Dari luar Kepulauan ini datang pula pedagang China dan India, dan

kemungkinan besar juga Turki/Rom, Parsi, Kemboja dan Siam.

Salsilah Tun Seri Lanang berjuraikan keluarga di raja. Dalam keluarga mereka

berlegar cerita tentang pencapaian terbesar kerajaan Melayu, iaitu Melaka dan daerahnya,

tentang kisah pembesarnya serta pendatang dan pedagang. Saya menjangka bahawa banyak

cerita yang dinukil daripada datuknya, seorang pengarang dan bendahara. Sewaktu beliau

belum masuk ke istana cerita begini sudah pun didengarnya daripada beberapa sumber.

Tetapi apabila beliau menjadi sebahagian daripada istana, kisah yang didengarnya lebih luas

tebarannya, selalu rumit dan rencam. Maklumat tentang Portugis yang ganas dan terus

menerus menyerang Johor, termasuk Pasir Raja, dan beberapa penempatan Melayu lainnya,

serta juga tentang Belanda yang mula masuk ke Maluku dan Jawa, yang mungkin juga boleh

disahabati untuk melawan Portugis, banyak dikabarkan oleh beberbagai-bagai pembawa

cerita.

Di istanalah terdapat pegawai tua yang mengumpul cerita dalam diri mereka, kerana

mereka hidup di puncak sejarah. Dan sebahagiannya mungkin bahagia kerana ditanya Tun

Seri Lanang, mulanya sebagai calon penulis muda yang cerdas lagi baik bahasanya. Dan

setelah itu sebagai Bendahara. Beliau sendiri menyebut bahawa inilah cara beliau mengarang

(2009:4), ‘Maka fakir karanglah hikayat ini … dan fakir himpunkan daripada segala riwayat

orang tuha-tuha dahulu kala…’

Di samping itu beliau juga pasti melihat hakikat kampung dan istana – dan di zaman

nendanya, bahawa pengarang itu orang yang penting, menyimpan kisah bangsa, dan dihormati

oleh istana dan orang keluaran.

Dalam perjalanan sejarah Melayu, hubungan di antara manusia dan negeri-negeri di

jadikan salah satu tema utama karya agung yang sedang kita bincangkan ini. Dan seorang

bendahara harus juga mengenali sedikit sebanyak bahasa dan budaya pedagang dan

pengunjung yang datang ke sana. Maka beliau juga akhirnya mengenali, dan malah sedikit

mahir dalam budaya-budaya ini dan mendapat cebisan bahasa mereka – ini dibuktikan oleh

kutipan bahasa Jawa dan ayat Quran serta hadis dalam halaman-halaman Sulalat al-Salatin.

Istilah-istilah dari struktur pemerintahan Siam seperti Onang Kiau, Phra Cau, juga

digunakan dalam konteksnya. Seterusnya pelakon-pelakon dalam pemeritahan Kemboja,

Page 12: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

12

seperti – Pau Gama, Pau Glang,Pau Bia, Pau Ji Bat Ji dsb. Ratusan tempat disebut, daripada

pulau-pulau di Selat Melaka, dari Pasai hinggalah ke Aceh, dari Haru ke Maluku, Patani,

Ligor, Senggora, dari Tanjung Pura ke Surabaya, Brunei, Jambu Air, Beruas, Ujung Tanah,

Kampar, Bentan dll.

Tun Seri Lanang sudah mengelurkan bahagian-bahagian atau kata-kata yang longgar

atau berulang-ulang (hampir tiada ulangan dalam karya ini), hasil dari editannya (atau

penyalin setelahnya). Jadi bahasanya rapi, tersusun dan kemas. Seterusnya saya tidak kesan

cliché, walau pun ayat-ayat formulaik daripada sastera lama masih terlihat juga. Yang dicari

ialah bahasa segar dan hidup. Beliau menganggap bahawa tugas pengarang ialah memberikan

balutan bahasa yang segar kepada idea dan pemerian, supaya yang diperikan itu akan lebih

hidup, dan tajam pula ertinya, sehingga dapat dibaca beberapa kurun dan zaman setelah

pengarangnya meninggal, “Supaya didengar oleh anak cucu yang kemudian dari kita dan

diketahuinyalah segala perkataan, syahadan fa`edahlah mereka itu daripadanya.”

Dibandingkan dengan Hikayat Raja-raja Pasai, karya ini sangat halus, malah

mungkin yang paling halus dalam khazanah sastera Melayu. Abdullah Munsyi yang tidak

banyak memuji manusia atau budaya Melayu pun pernah memujinya sebagai menggunakan

bahasa yang baik walau pun isinya tidak dianggap berguna! (Mungkin Abdullah juga dapat

belajar bahasa yang baik daripada Tun Seri Lanang.)

Keaslian

Menurut Harold Bloom dalam bukunya, Genius: a Mosaic of One Hundred Exemplary

Creative Minds (2002: 11), “Fierce originality is one crucial of literary genius, but this

originality itself is always canonical, in that it recongizes and comes to terms with

precursors.”

Seorang pengarang ialah sebahagian daripada tradisi sasteranya, dan tradisi ini

panjang usianya. Pengarang ialah hanya seorang manusia yang mencipta dalam tradisi itu.

Walau pun untuk sastera lama keaslian bukanlah suatu ukuran, namun bakat Tun Seri Lanang,

yang banyak melakar hal-hal yang belum dilukiskan lagi sebelumnya, mencari dan sering

pula menemukan istilah dan frasa-frasa yang cukup sesuai. Dengan cara yang demikian beliau

dapat menggambarkan ratusan peristiwa, watak, gagasan dan cerita.

Page 13: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

13

Keasilan bahasa, seperti kita sebutkan di atas boleh berbentuk perkataan baru, atau

perkataan harian yang diberikan konteks pemerian yang baru. Dengan menggunakan kata-kata

ini pengarang dapat pula melukis perincian watak, lakuan atau suasana. Dan ternyata

perincianlah di antara bukti genius pengarang, yang mencipta lukisan yang belum pernah ada

dalam bahasanya sebelumnya.

Dengan bahasa yang hidup, citra dan metafora beliau dapat memperlihatkan

kelangkaan sesuatu wawasan, cubaan menyelami ke dalam jiwa watak atau bangsanya sendiri,

dan juga ke dalam perancangan baik dan jahat manusia.

Setelah melihat beberapa cerita lisan lama dan juga Hikayat Raja Pasai, pada

umumnya saya merasa kurang puas dengan pemerian yang ada, perbendaharaan kata yang

ada. Banyak hanya dilayang di permukaannya sahaja. Kita mendapat kulitnya, tanpa ghairah

isi dan erti. Dalam karya Pasai itu yang diturunkan ialah deretan laporan tentang apa yang

berlaku, dan sedikit sekali maknanya. Walau pun cantik ulangan-ulangan sanjak pemerian

dalam cerita lisan, namun sekali lagi kita temukan terlalu banyak klise dan formula, dan

watak yang baru belum dapat tempatnya dalam cerita. Begitu juga gumpalan gagasan atau

fikirannya.

Hal ini sangat berlainan dalam Sulalat al-Salatin. Ada kebaruan dan kesegaran dalam

bahasanya. Tun Seri Lanang bersungguh-sungguh mencari bahasa yang sesuai, frasa yang

dapa menangkap makna yang difikirkan dan tidak lupa juga ialah istilah yang paling tepat.

Berdasarkan glosari Sulalat al-Salatin (2009) kita dapat lihat betapa banyak perkataan yang

belum digunakan dalam karya tulisan sebelum itu, mungkin kerana bahasa Melayu di Pasai

itu bukanlah bahasa ibunda anak negeri, tetapi bahasa resmi sastera istana, dan jarang

digunakan dalam tulisan, maka perbendaharaan katanya juga terbatas.

Sementara itu walau pun bahasa Melayu ialah bahasa istana dan sastera, pengarang

yang serius kita harapkan bersungguh-sungguh memburu atau mencari perkataan paling tepat

– mencari apa yang sebut dalam bahasa Perancis sebagai mot juste, perkataan yang tepat, atau

dalam bahasa Inggerisnya, the best words (in their best order). Inilah salah satu ciri diri

pengarang yang berbakat genius. Dengan usaha pengarang ini bahasa sudah dimajukan bukan

saja perbendaharaannya, pemeriannya, tetapi juga jangkauan luas pemikiran dan

renungannya.

Page 14: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

14

Beberapa Istilah tepat Pemerian

Jadi saya ingin terus mengutip daripada karyanya, kata-kata yang saya anggap tepat untuk

sesuatu pemerian benda, perbuatan atau sifat. Tanpa kata tepat yang juga membawa ambience

dan makna sampingannya sesebuah pemerian itu tidak akan berkesan sepenuhnya. Istilah

yang tepat membezakan seorang genius bahasa dengan seorang yang hanya berbakat menulis.

Bahasa inilah juga yang akan menebar jala metafora, kias dan ibarat. Melaluinya ditangkap

makna teras dan arus bawah, bunyi unik lagi puitis lagu bahasa itu sendiri. Bahasa begini

biasanya rumit, penuh unsur kebaruan dan adalah hasil pencarian yang lama.

Saya mengutip hanya beberapa perkataan atau frasa untuk menunjukkan bukti alat

naratif Tun Seri Lanang. Berikut ialah di antara perkataannya (dengan takrif ringkas),

pengidah – sumpah kasih sayang

gantal dan lelat – sirih buat pengantin

kerincangan – berbadan kecil berbanding usia

beladau – golok

ngeran – marah

junun – amat marah atau gila

sebicara – sama bersetuju

sarsar /sasar-sasar bahasa - eksentrik,

lancing – tepak sirih berbentuk kapal,

kemendelam – sejenis buyung

berpada – berbanding lawan

menggerenek – membunyikan

jangkang – kangkang

karangan – ahli, pandai, tukang

rentih - rehat

bidar kekayuhan – sejenis perahu kayuh

sendal – curi

Page 15: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

15

berbuang-buangkan – membuang-buang

ura – perbincangan

sepala – kalau benar-benar

negarah – puncak

pemujangan – sejenis kapal kerajaan

rembatan – ukiran palang pintu

melambang – kapal Melayu yang berperut leper

perang pupuh – berkelahi

lebang – terlalu tua.

Perbendaharaan ini juga dikutip daripada kebun asli bahasa Melayu, yang juga tidak

kurang kata-kata dasar dan deskriptifnya. Pengarang yang baik dapat mengutip dan

mengarangnya kembali dalam sebuah jambangan yang sesuai.

Saya sendiri teruja dengan beberapa frasa Tun Seri Lanang, termasuk yang berikut,

“kencanglah diri fakir pada mengusahakan” untuk melakar situasi tegangan kerana serta

merta dibebankan dengan suatu kerja yang besar lagi susah, tetapi harus diselesaikannya.

Atau pun pemerian Tun Biazid,

Akan anak Bendahara Lubuk Batu yang tuhu sekali Tun Biazid namanya, akan Tun

Biazid itu sasar.

Dalam maksud sasar bahasa, atau gila-gila bahasa. Seterusnya dalam pemerin berikut

seorang hamba Aslian,

Maka Ludang dibawa baginda berkayuhkan kenaikan,

Dalam maksud membawa dengan perahu, dan lari dari orang yang memangsakannya.

Sebuah lagi contoh,

“Adapun akan gelar Tun Telani itu sungguhpun gelar nenek moyang tetapi gelar

kehutan-hutanan.”

Mungkin dalam maksud primitif atau sangat kuno. Atau frasa yang berikut yang

memerikan orang yang dimurka raja dan pakaian yang harus dikenakan. Frasa-frasa

Page 16: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

16

“termurkalah ia” “berbaju hijaulah” memberikan suatu lenggok bunyi yang agak lembut,

tetapi masih membayangkan keadaan termurkalah ia ini.

…karena Laksamana pada waktu itu termurkalah ia, tiada bekerja lagi, berbaju

hijaulah, kainnya di bawah hitam, destarnya pun hitam.

Dalam pemerian berikut perang Melayu dan Feringgi dilukiskan.

Maka bedil Feringgi pun sentiasa datang seperti hujan yang lebat. Orang kena pun

sebagai tiada terderita.

Ini pemerian penderitaan orang yang kena bedil Feringgi yang besar lagi

memusnahkan itu. Dan berpuluh-puluh frasa yang lain diciptakan pengarang besar ini untuk

menangkap kenyataan yang terselindung, halus dan belum pernah dilukiskan pengarang lain.

Adat Istiadat

Sulalat al-Saltin mendahului Adat Raja-raja Melayu sebagai rujukan adat istiadat di raja.

Berbagai-bagai hal yang diperikan, daripada jenis pakaian, tempat dalam majelis untuk

bangsawan dan pegawai, penggunaan keris, dan sebagainya. Dalam kutipan berikut kita lihat

betapa tepat bahasa Tun Seri Lanang memerikannya. Kutipan ini agak terkenal kepada

pengkaji adat istiadat, namun baik juga diulang turun di sini:

Syahadan bagindalah yang pertama meletakkan kekuningan gerangan tiada dapat

dipakai orang (keluaran) dan diambil akan sap(u) tangan, dan tiada dapat dibuat akan

bibir tabir dan ulas bantal besar dan akan bungkus akan tilam dan jangan diambil akan

karang-karang benda kamu, dan jangan diambil perhiasan ruma(h) kamu dan lain

daripada itu pun tiada juga dapat, melainkan akan kain baju dan destar, tiga perkara itu

juga yang dapat. Dan larangan berbuat ruma(h) peranjungan dan bertiang gantung,

tiada terletak ke bawah, ya`ni ke tanah, dan bertiang terus dari hatap dan

berperanginan. Jikalau pada perahu bertingkap dan berpengadapan - itulah yang

larangan.Adapun pada payung, lebih putih daripada kuning, kerana payung putih

pakaian kerajaan, payung kuning payung anak raja-raja.

Dan berikutnya ialah pemerian tempat-tempat duduk dan berdiri pegawai-pegawai di

balai penghadapan:

Bermula jikalau baginda diadap orang maka segala menteri yang besar-besar dan

hulubalang yang besar-besar dan sida-sida duduk di seri balai. Maka segala anak raja-

raja di kelek-kelekan kiri, segala anak ceteria di kelek-kelekan / kanan, segala abintara

dan hulubalang muda{h}-muda{h} berdiri di tapakan memikul pedang. Abintara

Page 17: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

17

yang di kiri itu daripada anak cucu menteri yang patut akan jadi bendahar{i}(a) dan

penghulu bendahari dan temenggung. Kepala abintara yang dari kanan itu anak cucu

hulubalang yang akan dapat jadi laksamana atau Seri Bija al-Diraja, barang siapa

bergelar Sang Guna bakal Laksamana, barang siapa bergelar Sang Setia bakal Seri

Bija al-Diraja, dan barang siapa bergelar Tun Pikrama bakal bendahara. Dan jikalau

pada menjunjung duli, dahulu kepala abintara yang empat lima orang itu daripada

segala sida-sida yang duduk di seri balai itu, melainkan segala menteri yang besar-

besar. Adapun segala nakhoda jemu’ yang pilihan dan anak tuan-tuan yang duduk di

selasyar balai itu. Adapun segala alat raja-raja seperti ketur dan kendi dan kipas dan

perisyai dan panah diselang duduknya, melainkan puan jua yang di kelek-kelekan.

Bermula pedang kerajaan, Laksamana, anak Seri Bija al-Diraja memikul dia,

duduknya di kelek-kelekan kiri.

Dan pemerian berikut ialah adat istiadat diplomasi, khususnya menyambut surat

daripada utusan luar,

Bermula jikalau ada utusan datang, yang menyambut surat di balai kepala abintara

yang di kanan; yang menyampaikan titah raja pada utusan kepala abintara dari kiri.

Adapun perintah utusan datang atau pergi kerikal dan ceper, dibawa hamba raja dari

dalam. Maka kerikal disambut abintara yang di kanan, diletakkan had bendahara.

Maka tetapan dan ceper diberikan pada orang yang membawa surat. Jikalau seperti

surat dari Pasyai dijemput dengan selengkap alat kerajaan - nafiri, nagara, payung

putih dua berapit. Gajah dikepilkan di ujung balai, karena raja dua buah negeri itu

syama, jikalau tuha muda{h} sekalipun berkirim salam juga. Tetapi jikalau surat

daripada yang lain dikurangkan hormatnya daripada itu, sekadar gendang dan serunai

dan payung kuning juga. Jikalau patut bergajah, jikalau patut berkuda - diturunkan di

luar pintu yang di luar. Jikalau raja yang besar sedikit, diberi bernafiri dan payung,

satu putih satu kuning; gajah diderumkan di luar pintu dari dalam. Bermula utusan

orang, jika pulang dipersalini. Bermula jikalau utusan dari Rokan dipersalini juga.

Jikalau utusan kita akan pergi sekalipun dipersalini juga. Bermula baginda jikalau

menggelar orang maka raja diadap orang serta `adat utusan datang.Maka disuruh

jemput orang bergelar itu. Jika ia datuh besar (dua) orang juga menjemput dia.

Jikalau ada orang kecil orang / syedang menjemput dia. Jikalau orang patut bergajah

dibawakan gajah, maka jika ia patut berkuda dibawakan kuda, jikalau tiada patut

berkuda berjalan saja dengan payung dan gendang dan serunai, tetapi payunngya itu

ada yang patut berpayung hijau, ada yang patut berpayung biru, ada yang patut

berpayung merah. Sebesyar-besyarnya berpayung kuning, karena payung kuning

payung anak raja-raja dan orang besar-besar, dan payung merah dan ungu itu akan

payung {ma}sida-sida abintara hulubalang sekalian. Adapun payung biru itu barang-

barang orang bergelar.Setelah orang begelar itu datang maka dihentikannya.Maka ciri

dibaca orang {di dalam} di hadapan raja. Setelah sudah dibaca di hadapan raja maka

dibawa orang keluar. Adapun yang menyambut ciri itu daripada kaum keluarga orang

Page 18: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

18

yang bergelar jua, disampaikan tetapan. Maka yang membaca ciri itu juga yang

mengatakan kepada orang bergelar itu. Maka dibawalah masuk, maka dibentangkan

tikar barang di mana dikehendaki raja, supaya kemudian pun di sanalah ia duduk.

Lukisan yang sangat rumit untuk istadat yang sama rumitnya pula. Perinciannya

menakjubkan, dan bahasa pengarangnya dapat menjangkau yang besar dan yang halus, dan

menyampaikannya sehingga peraturannya menjadi terang.

Rentak dan Alun

Akhir sekali, seperti sebuah novel moden, Sulalat al-Salatin juga mempunyai rentak dan alun

pengkisahannya sendiri, dalam setiap bab atau malah dalam setiap episod. Misalnya dalam

bahagian salasilah bahasanya lebih lurus dan kurang lenggok sasteranya, sementara unsur ini

lebih jelas pada episod Uwan Empuk dan Uwan Malini di lereng Bukit Seguntang. Pada cerita

Singa Pura pula tegangan politik mewarnai pergerakan kisah. Demikian juga beberapa bab

lainnya sewaktu pemerintahan dan kekejaman Sultan Mahmud. Kita girang sewaktu Alauddin

membawa penyelesaian kepada masalah pencuri, dan Raden Surabaya akhirnya berkasih-

kasih dengan Tun Minda. Tetapi dalam bab terakhir suasana yang tumpat, padat, penuh intrik

mendahului kekalahan Melaka.

Seni Bina Dan Peringkat-Peringkat Prosesnya

Perincian proses meramu kayu hutan dan membuat bahagian-bahagian istana ialah di antara

perincian pemerian yang paling baik dalam Sulalat al-Salatin, sehingga berdasarkan lukisan

ini dapat dibina Muzium Negara Malaysia, pada tahun 1963.

Dalam perenggan ini dilukiskan proses membuat istana baru, dari meramu kayu,

mencari pengarah pembinaan, mengumpul tukang serta pekerja yang mahir. Bentuk dan ciri

khususnya, hiasan serta ruangnya diperikan untuk kita dalam suatu lukisan yang tiada tolok

bandingannya. Pada saya inilah salah satu puncak pencapaian Tun Seri Lanang. Bukan saja

lukisannya tepat dan berperincian, tetapi ada cerita yang dijalin ke dalammnya, cerita asal

usul dan juga episod rasuk yang tidak sesuai. Selain keindahan kemegahan raja, Tun Seri

Lanang menambah juga kes di mana kerja yang tidak rapi dihujungnya dapat dikesan oleh

Sultan dan akhirnya diperbaiki.Dan raja berterima kasih serta memberi anugerah kepada

semua yang membina istana itu.

Page 19: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

19

Ini juga titik keaslian bahasa dan lukisan, yang juga baru dan unik.

Maka Sultan Mansur Syah pun memberi titah pada Bendahara Paduka Raja menyuruh

berbuat istana dan balairung. Maka bendahara/pun mengarahkan orang berbuat

istana dan balairung. Maka orang Ungar{an} dan orang Tugal berbuat istana, sertanya

orang Bentan Karangan beramu akan dia, orang Pancar Serapung berbuat balairung,

orang Buru balai mendapa, orang S(y)oyar berbuat dia balai itu, (balai) apit pintu

yang dari kanan, orang Sudar berbuat dia, balai apit pintu yang di kiri itu, orang

Sayung berbuat dia kandang, orang Apung berbuat dia (danu) gajah, orang Merbau

berbuat dia penanggahan, orang Sawang berbuat dia danu pemandian, orang Tungkal

berbuat dia danu masjid, orang Tentai berbuat dia pintu pagar istana, orang

Mu{da}(ar) berbuat dia danu kota awing. Adapun istana itu baik pula daripada dahulu.

..

Adapun akan Sultan Mansur Syah tiadalah mau lagi diam pada istana yang tempat

Hang Kasturi mati itu. Baginda memberi titah pada Bendahara Paduka Raja menyuruh

berbuat istana.Maka bendahara sendiri mengadap dia karena `adat bendahara

pegangannya Bentan.Besar istana itu tujuh belas ruang, ruangnya tiga-tiga depa, besar

tianngya sepemeluk, tujuh pangkat, kemuncaknya pun tujuh. Pada antara itu diberinya

berko'. Maka pada segala ko' itu diberinya gajah menyusu (dan pada gajah menyusu)

itu diberinya bubungan melintang; sekaliannya bersayap layang-layang dan sayap-

sayap layang-layanngya itu semuanya berukir. Pada antara tingkap itu diperbuatnya

bilalang bersegi-segi, sekaliannya bercurai dan bergegunungan. Adapun segala

tingkap istana itu sekaliannya dicapnya dengan air emas, kemuncaknya kaca merah.

Apabila kena sinar matahari bernyalalah rupanya seperti api. Maka dinding istana itu

pun sekalian berumbai-rumbai, maka ditampalinya cermin Cina yang besyar-besyar.

Apabila kena panas matahari bernyala-nyala rupanya, kilau-kilauan, tiada (da)pat

behena dipandang orang.

Perhatikan perincian besarnya – iaitu tujuh belas ruang, tianngnya sebesar

sepemeluk, mungkin daripada pohon yang tidak ditarah, dibiarkan bulat. Ada tujuh

tingkat pada tiang ini, dan ada pula tujuh puncak.Ini dilengakpakan dengan kok dan

gajah menyusu, di atasnya bumbung melintang.Bumbung ini diberikan `sayap layang-

layang’ yang berukir.

Dindingnya diberikan umbai-umbai yang digantung dari atas, dan berogoyang

sekwatu bayu berhembus. Tingkapnya dari kaca potong berwarna merah, yang

memerahkan warna di dalam istana apabila matahari meneranginya. Cukup menarik

juga ialah hakikat bahawa di dinding istana diletakkan cermin yang besar dari negeri

China.Indah dan tiada tandinngya di Semenanajung pada zaman itu.

Seterusnya,

Adapun rasuk istana itu kulim, sehasta lebarnya, sejengkal tiga jari tebalnya. Akan

birai itu du(a) hasta tebalnya, sehasta tebalnya, diukirnya rembatan pintunya itu,

Page 20: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

20

(empat) puluh banyaknya; sekaliannya dicap dengan air emas, terlalu indah-indah

perbuatan istana itu. Sebuah pun istana raja di dalam dunia ini tiada sepertinya pada

zaman itu.Istana itulah yang dinamai orang maligai.Hatapnya tembaga dan timah

disirap.

Sebaris Panjang Watak Di Lereng Sejarah

Dunia Tun Seri Lanang serumit dunia istana dan Melaka sebenar, dan beliau cuba menangkap

peristiwa-peristiwa dan manusia di dalamnya . Peristiwa ini juga berlaku di Samalanga, Pasai,

Aceh, Majapahit, Brunei, Campa, Maluku, Haru, dan Patani, Jugra, Perak, Pahang, Beruas;

semuanya mengerumuni kisahnya. Akan tetapi peristiwa digerakkan oleh berbagai-bagai

manusia dan watak-watak, dan pada pemerian wataklah Tun Seri Lanang paling terserlah.

Sekitar 80 orang raja, yang bertakhta dan juga yang tidak, 8 bendahara, 200 Tun,

lelaki dan perempuan dan 15 orang puteri berpawai di halamannya. Inilah suatu julat yang

panjang. Ratusan lagi hanya disebut namanya tanpa sebarang maklumat tambahan atau aksi.

Sebahagiannya hanyalah nama dalam senarai salasilah. Tetapi cukup banyak yang berwatak

sendiri, menarik minat kita kerana keistimewaan ciri dan sifat mereka (sering pula gila-gila

bahasa dan membuat kita tersenyum). Semua ini ditambah dengan raut halus lukisan Tun

Seri Lanang sendiri yang langka dalam sastera Melayu.

Walau pun disebut ratusan watak raja, beberapa orang bendahara, temenggung,

laksamana, dan mereka yang bergelar Tun, puteri, Daeng, Raden, Demang dan Batin, dan

walau pun tugas Tun Seri Lanang mengarang hikayatnya berjalan lancar, tetapi lebih dari

itu, kelihatan bahawa beliau cukup bahagia dengan kerja seninya. Beliau berkerja keras untuk

melukis potret manusia yang belum dilukis sebelum ini dalam sastera, dan untuk beberapa

orang daripadanya dengan raut yang lebih terperinci. Setiap watak yang dianggap penting

dicari jalur atau warna khusus/istimewanya sehinggalah dia menjadi unik dalam pembacaan

kita dan membuat kita tersenyum atau rasa hairan dengan wawasan pengarang yang pintar

bercerita.

Walau pun saya sangat teruja oleh imaginasi Tun Seri Lanang tentang padi Bukit

Seguntang yang menjadi emas, daunnya menjadi perak serta batangnya yang menjadi suasa,

saya mungkin tidak perlu mengutipnya sekali lagi, kerana pemandangan magis terlalu sering

dirujuk.

Page 21: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

21

Misalnya dalam pemerian berikut yang cukup asli dan unik – dan akhirnya dikutip

dan dikembangkan oleh Hikayat Hang Tuah. Di peringkat ini sejarah berubah jadi

pengkisahan (yang diberikan seni pemerian dan persembahan), lengkap dengan dialog, janji

rahsia serta upahan.

Tun Teja, puteri Bendahara Pahang, pula, terkenal kerana kecantikannya, dan Sultan

Mahmud pula kerana berahinya, yang pertama ini mangsa, dan yang kedua pemangsa.

Maka Seriwa Raja berdatang sembah pada Sultan Mahmud Syah akan peri baik paras

Tun Teja namanya, anak Datuk Bendahara Pahang, tiadalah samanya seorang jua pun

pada zaman itu, tetapi sudah bertunangan dengan Raja Pahang, hampirlah akan duduk.

Setelah Sultan Mahmud Syah menengar khabar Seriwa Raja itu maka baginda pun

inginlah rasanya akan anak Bendahara Pahang itu.

Perantaranya ialah seorang pelulut, “hamba Orang Kaya Datuk Bendahara,”

maksudnya, Bedahara Pahang, yang mempertemukan Hang Nadim, (bukan Hang Tuah,

seperti dalam Hikayat) dengan puteri itu. Cerita mencabang kerana ada orang ketiga di sini,

tunang kepada puteri itu, (2009:182),

Maka kata si pelulut itu, "Sahaja tiada samanya dalam negeri Pahang ini, sudah

ditunangi oleh Yang Dipertuan. Musim datang inilah akan kahwin."

Maka kata Hang Nadim pada si pelulut itu, "Dapatkah ma' menanggung rahsiaku?"

Maka oleh Hang Nadim si pelulut itu diberinya emas dan kain dan baju terlalu banyak.

Setelah ia memandang arta terlalu banyak itu maka tertawanlah hatinya akan arta

dunia. Maka si pelulut mengakulah menanggung rahsianya.

Maka kata Hang Nadim, "Jikalau dapat hendaklah barang daya ma' Tun Teja itu mak

bawa kepadaku supaya kupersembahkan kepada Raja Melaka. Maka diberinya oleh

Hang Nadim si pelulut itu suatu lagi pula lulut katanya, "Ini sapukan padanya."

Akhirnya Tun Teja dipujuk dan dibawa naik ke kapal untuk belayar ke Melaka,

Maka kata Hang Nadim, "Jika tuan hamba kasih akan hamba naiklah tuan hamba ke

jong tuan hamba, nanti hamba di Kuala Pahang, dinihari kelak hamba hilir

mendapatkan tuan hamba, lalulah kita ke Melaka supaya tuan hamba dibesarkan Yang

Dipertuan."

Mereka harus melalui halangan di sungai dan mata yang melihat, tetapi akhirnya

berjaya melepasinya hingga ke Pulau Tinggi (sekarang ini dikenali sebagai Pulau Teja).

Page 22: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

22

Dalam episod ini muncul dua orang watak, seorang puteri Bendahara yang jujur dan

naïf, dan kedua, Hang Nadim yang ingin mendapatkan “kasih” raja. Seorang menjadi mangsa

yang cantik dan seorang lagi pemangsa yang ambisius. Mereka dikontraskan dan melalui

guna-guna, si mangsa tiada lagi dapat membuat pertimbangan yang sihat. Akhirnya dia

menjadi tawanan Nadim.

Ini juga lukisan yang unik, terperinci dan belum kita temui sebelum ini, dalam cerita

lisan atau tulisan. Pemerian pujukan pelulut terhadap Tun Teja dan proses melarikannya di

sungai Pahang itu pun baru serta segar. Hikayat Hang Tuah yang lebih panjang lebar itu

sebenarnya memperkembangkan cerita dari Sulalat al-Salatin ini dan kemungkinan besar

cerita-cerita lisan yang beredar di istana dan kampung, di Melaka dan Lingga, di Pahang dan

Penyengat.

Banyak lagi pemerian yang unik, yang kita baca dalam sejarah ini, termasuk:

Maulana Yusuf (2009:123), yang dilihat seperti ada lingkaran cahaya di kepalanya, yang

dibandingkan dengan sumbu. Seterusnya Kadi Yusuf pula merasa dirinya kekurangan ilmu,

maka beliau “memecat dirinya daripada kadi” dan belajar kepada Maulana Abu Bakar.

Bendahara yang paling dipuji ialah Tun Perak. Sebab-sebabnya disediakan: beliau

bijaksana, prihatin, rendah diri, profesional dan meletakkan kepentingan negeri di atas segala-

galanya, termasuk juga keluarga dan anak buahnya.

Sementara itu, sebagai kontras, ada seorang orang Pasai yang baru mendapat jawatan,

Seri Amarat, namanya. Beliau pintar, dan menempatkan dirinya di bawah sultan dan

memeriksa semua yang datang, termasuk Bendahara. Terutama kerana ingin memperlihatkan

kuasanya. Kedua dia juga masih mentakrif jawatannya. Inilah sebabnya maka dia ditempelak

Tun Perak, dan disuruh menjaga tombak sebilahnya supaya jangan berkarat. Hal-hal yang

rumit diselesaikan oleh orang lain. Dia diminta tahu diri.

Episod Puteri Gunung Ledang ialah semacam petak di mana imaginasi pengarang

dibenarkan terbang, dalam suatu gaya yang kini disebut realisme magis, tetapi yang

digunakan untuk memberi pengajaran kepada raja dan semua pembaca. Puteri yang bongkok

itu boleh berupa-rupa, dan juga ghaib dari pemandangan (2009: 123-125) apabila dia ingin

berbuat demikian.

Page 23: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

23

Sementara itu dalam episod pembinaan istana, Sultan telah mendapati bahawa salah

sebatang rasuk penyanggah bangungan (ibul) itu hitam lagi kecil. Maka Laksamana pun

bergegas untuk menggantikannya dengan kayu yang lebih kuat. (2009: 197),

Adapun Laksamana pada ketika itu tangan bekerja, kaki bekerja, mata bekerja,

berkata-kata menyuruhkan segala orang bekejra. Akan kerja mata memandang baik

dan jahat pekerjaan orang itu, kerja kaki berjalan ke sana ke mari, kerja tangan meraut

rotan.

Dalam episod Raja Kasim (2009:68-70) kita bertemu dengan anak raja yang

diasingkan dan menjadi pengail yang rendah diri dan sederhana. Tetapi perubahan takdir

mengangkat dia menjadi raja di akhirnya. Cerita romansa Tun Minda dan Raden Surabaya

sangat indah pula, di mana Raden Surabaya mengepung rumah Tun Minda, untuk menagih

janji ayah Minda mengahwinkan anaknya itu dengannya apabila sudah besar (2009: 168-170).

Juga dalam suatu cerita yang lain di mana Tun Kudu, isteri raja diceraikan, untuk

menyelesaikan perbalahan di antara dua orang besar negeri. Puteri itu dikahwinkan dengan

Seri Nara al-Diraja. Dia diejek kerana sudah tua, tetapi mau berkahwin dengan puteri yang

masih muda (2009: 76-77), “Bagaimana datuk hendak beristeri karena datuk sudah tuha dan

bulu kening datuk pun sudah putih?”

Dia menjawab mereka, “Di mana engkau semua tahu, jikalau demikian sia-sialah yang

dibeli oleh bapaku sekati (dinar) di Benua Keling itu.”

Nampaknya ubat itu mujarab – dan mereka laki isteri “menjadi berkasih-kasihan

seperti saudara sejalan.!”

Berikutnya ialah episod Seri Rama dengan Makhdum Sadar Jahan (2009: 192). Beliau

mendatangi ulama itu sewaktu masih mabuk. Setelah dikhutbahkan dan dilontar sebuah hadith

maka Seri Rama pun membalas dengan hadis yang lain yang mengatakan bahawa `Yang

ahmak itu ibu segala najis.” Jawapan Ini membuat Makhdum berkeputusan tidak mau

mengajarnya lagi.

Dalam suatu lagi ejekan antara-budaya Tun Mai Ulat Bulu (yang berbulu badannya,

cucu Bendahara Paduka Raja) diherdik Makhdum Sadar Jahan kerana tidak dapat menyebut

beberapa bunyi dalam bahasa Arab. Dia memulangkan paku buah keras dengan meminta

Makhdum menyebut dua patah perkataan Melayu – “kunyit” dan “nyiru”, yang ternyata tidak

Page 24: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

24

dapat disebutnya. Mungkin selain kita Tun Seri Lanang juga tersenyum, terhadap kenyataan

bahawa kita semua tidak sempurna.

Kita tidak jelas apakah Tun Mai ini manusia yang sebenarnya wujud dalam sejarah.

Tetapi saya lebih berat menerimanya sebagai manusia yang nyata kerana pengarangnya malah

menambah panggilan timang-timangannya. Pengarang mengenali cara dan ciri Arab, dan

mengambil peluang untuk mengingatkan pembacanya.

Dua orang anak bermasalah, Semerluki dan Raja Muhammad mendapat tempatnya

yang terkenal.

Semerluki (2009:118) ialah anak raja Mengkasar dari keturunan yang ternama,

daripada kerjaan Raja Mejoko’ yang besar. Anak muda ini telah jatuh hati dengan isteri muda

ayahnya! Untuk mengelak masalah dia disuruh ayah ke Hujung Tanah (Johor dan pulau-

pulaunya) untuk memcari wanita secantik ibu tirinya itu.

Maka Karaeng Mejokok pun berkata kepada anakanda baginda, Karaeng Semerluki,

"Hai anakku, jikalau hendak beristeri baik parasnya seperti ma(') bongsu itu pergilah

engkau merompak ke Hujung/Tanah, mencari perempuan serupa dengan dia."

Cerita disambung:

Maka Karaeng Mejokok pun tahu akan kelakuan anaknya itu. Maka tiada diberinya

oleh ayahanda baginda Karaeng Mejokok.

Maka Karaeng Semerluki pun berlengkap dua ratus kelengkapan, pelbagai rupa

perahunya. Setelah sudah lengkap maka Karaeng Semerluki pun pergilah, kasadnya

hendak mengalahkan segala negeri di bawah angin ini…. Maka Karaeng Semerluki

lalu ke laut Hujung Tanah. Maka dirosakkan segala teluk rantau Melaka. Maka

dipersembahkan orang pada Sultan Mansur Syah, "Bahawa teluk rantau kita habis

diperbinasa oleh Mengkasar, raja yang bernama Semerluki itu."

Dalam episod Raja Muhammad membunuh Tun Mat, anak Bendahara, diceritakan

sekali lagi kekejaman raja dan dan kekecewaan ayah yang sangat menyayangi anaknya.

Dibayangkan juga bahawa yang dimanjakan dapat melukan hati ayah dan melakuan

kekejaman.

Episod Seri Nara al-Diraja mengatur helah menangkap dan mengalahkan Raja Ligor

(2009:196) juga sangat unik, dengan tegangan pada dua belah pihak dan juga di antara Seri

Nara dengan anak buahnya. Beliau disuruh raja untuk menangkap Raja Ligor, tapi cara

Page 25: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

25

berbuat demikian tidak begitu biasa dan tidak difahami oleh yang mengikutnya. Beliau

merancang dalam kepalanya tetapi tidak memaklumkan kepada mereka langkah-langkahnya.

Apabila Sang Sura dilukis sebagai bukan saja dia dihormati oleh Seri Nara al-Diraja

yang menangkapnya, tetapi walau pun dipenjarakan dia masih diberikan kemudahan dan

alatan untuk keselesaannya.

Adegan yang lebih manusiawi dan menyayat ialah apabila dia ditemukan kembali

dengan gajahnya dan mendapati bahawa salah satu kukunya telah tanggal. Maka pada titik ini

timbul kesedaran dalam dirinya oleh kerana dia tidak menjaganya dengan maka dia telah

kalah dan ditawan. Dan menarik juga apabila dia dilepaskan dia diminta mengajar anak-anak

pembesar Melaka tentang penjagaan dan pemeliharaan gajah, suatu ilmu yang cukup langka

pada masa itu.

Saya juga terhibur oleh sekawan teman-teman Sultan Mahmud. Dalam bahasa terkini

inilah “kumpulan lepak” sultan, ‘bermain-main’ dan ‘berkayuh-kayuh’, (dan seperti dalam

adegan Biajit bertemu dengan Sultan baru pulang dari rumhnya), lebih daripada hanya

berkumpul dan berjenaka. (2009: 155).

… pada zaman itu empat orang yang dikasihi baginda: pertama Seriwa Raja; kedua

Tun `Umar; ketiga, Hang `Isya; keempat, Hang Hasan Cengang.

Seorang daripada mereka, Seriwa Raja pelaram dan unik peribadinya. Apabila

dipanggil “berpenanak” Sultan menunggunya di pengkalan. Sebabnya ialah “apabila datang

hamba raja memanggilnya maka ia naik ke rumah tidur. Serta dibangunkan oleh hamba raja

itu, maka Seriwa Raja pun bangun, lalu buang air, dan mandi. Sudah mandi makan, sudah

makan berkain, dua tiga belas kali dirombaknya juga…”

Untuk mempecepatkan proses ini Sultan menyuruh Hang Isak, yang mengenali

karenah Seriwa Raja. Dia datang meminta sirih, nasi dan tikar untuk beradu. Reaksi Seriwa

Raja ialah “Lamun Si Isak juga datang, banyaklah kehendak hatinya… maka Seriwa Raja pun

segera berkain, berbaju, berdestar, berkeris dan bersebai, lalu turun berjalan mengadap Sultan

Mahmud.”

Kerana disayangi mereka tidak dimurkai dan dititah untuk meminta apa sahaja yang

mereka inginkan.

Page 26: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

26

Hang Hasan Cegang memohon “kerbau barang dua tiga belas ibu dan dusun dua tiga

belas bidang.” Ini dianugerahkan kepadanya.

Yang agak lucu ialah sewaktu dia berkawin dengan anak Hang Usuh. Setelah tiga

suap dalam upacara suap-menyuap di antara pengantin, seharusnya Hasan berhenti makan.

Akan tetapi Hasan terus makan, kerana katanya, “… hamba lagi hendak makan karena belanja

hamba banyak sudah habis!”

Sekiranya kita balik kepada bahagian awal Sulalat kita akan bertemu pula beberapa

peristiwa penting, dari sejak zaman Bukit Seguntang, waad, penubuhan kerjaaan pertama,

perpindahan ke Temasik dan setelah itu ke Melaka, Muar, Pahang, Bentan dan Kampar. Ada

pertemuan, ada damai dan perang, kasih sayang dan pencerian, persahabatan dan perseteruan.

Ada yang melibatkan perasaan, prinsip dan etika. Dan selalu ditayangkan adegan kekejaman

raja yang berulang-ulang. Seperti dalam episod Tun Jana Khatib ini.

Maka ada seorang hamba Allah di Pasyai, Tun Jana Khatib namanya. Maka ia pergi

ke Singa Pura. Setelah datang ke Singa Pura maka Tun Jana Khatib pun berjalan di

pekan Singa Pura. Ketika itu ia bersahabat dengan tuan di Bunguran dan tuan di

Selangor. Maka sekali persetua Tun Jana Khatib berjalan hampir istana Raja Singa

Pura. Maka tuan puteri pun ada menengok, maka terpandang oleh Tun Jana Khatib.

Maka ada sebatang pinang hampir istana, maka ditiliknya oleh Tun Jana Khatib,

menjadilah dua batang pinang itu. Setelah Paduka Seri Maharaja melihat peri hal itu

maka baginda pun terlalu amat murka. Maka titah baginda, " (Lihatlah) budinya Tun

Jana Khatib, lagi diketahuinya isterinya kita menengok maka ia menunjukkan

pengetahuannya."

Maka disuruh baginda bunuh. Maka dibawa oranglah Tun Jana Khatib ke

pembunuhan. Hampir tempat itu ada orang berbuat bikang, serta ditikam orang Tun

Jana Khatib. Darahnya pun titik ke bumi, badannya lenyap terhantar di Langkawi.

Maka oleh orang yang berbuat bikang itu sekepal darah Tun Jana Khatib itu

diserkapnya dengan tutup pembikangan, lalu menjadi batu. Itulah datang sekarang.

Ada perincian perbuatan yang sangat manusiawi, yang ingin menunjuk-nunjuk kepada

wanita. Dan lagi beliau orang dari Pasai, mungkin tidak mengerti cara di Singa Pura.

Balasannya sangat kejam – dia terus dibunuh, tanpa usul periksa dan pertimbangan. Selain

kekejaman yang tidak setara dengan perbuatan itu, diceritakan juga bahawa kebetulan di dekat

tempat pembunuhan itu terdapat seorang penjual bingkang. Dialah yang menutup darah Tun

Jana Katib, dan akhirnya darah itu jadi batu, sebagai peringatan kepada yang zalim, dan

merasa dirinya teraniaya.

Page 27: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

27

Kekejaman ini bukanlah kebetulan atau hanya suatu titik dalam sejarah. Dari sudut

pandangan Tun Seri Lanang, yang kejam ini akan mendapat balasan juga. Kali ini balasannya

datang melalui serangan ikan todak – sebagai alegori balasan alam/Tuhan, yang bermaksud,

raja telah melawan cara-cara yang alamiah, maka alam sebagai kuasa Tuhan menyerangnya

kembali.

Setelah berapa lamanya maka datanglah todak menyerang Singa Pura. Maka segala

orang yang di pantai itu dilompatinya oleh todak. .. Maka banyaklah orang

dibunuhnya oleh todak itu….Paduka Seri Maharaja pun naik ke atas gajah lalu keluar

diiringkan oleh segala perdana menteri dan hulubalang, sida-sida bentara sekalian,

datang ke pantai...Makin banyak pula orang mati ditikam oleh todak itu. Maka

baginda menitahkan segala rakyat berkotakan betis. Maka oleh todak itu dilompatinya,

barang yang kena tikam todak itu lalu mati.Adapun todak itu seperti ujan rupa

datanngya.

Cara penyelesaiannya, seperti kita sedia maklum, disarankan oleh seorang budak.

Tetapi raja yang tidak pintar atau mengenali timbang rasa lebih mendengar kata-kata

pembesarnya.

Maka Paduka Seri Maharaja pun kembalilah ke istana baginda. Maka sembah segala

orang besar-besar, "Tuanku, budak ini jikalau suda(h) besar nescaya besarlah

`akalnya. Baiklah ia kita bunuh."

Maka titah Paduka Seri Maharaja, "Sungguh seperti kata tuan hamba sekalian

itu."Maka budak itu pun disuruh baginda {budak itu} dibunuh. Tatkala ia akan

dibunuh itu maka ia menanggungkan haknya atas negeri itu.

Balasan pertama terhadapnya tidak diendah oleh Raja Singa Pura; sekarang dia akan

membunuh anak kecil yang jujur dan tanpa tujuan apa-apa. Yang dibunuhnya ialah kemurnian

hati dan kejujuran seorang anak yang bukan saja tidak bersalah, tetapi telah menyelamatkan

nyawa ramai rakyat Singa Pura. Ayat terakhir menyimpulkan makna moral kekejaman itu.

Maksudnya, dosa raja akan ditanggung oleh negerinya.

Dan ternyata setelah itu Maja Pahit telah menawan Singa Pura, dengan bantaun Sang

Rajuna Tapa, bendaharnya, yang difitnah gundik lain mengatakan anaknya `berbuat jahat.’

Agak ngeri kita membaca perincian peristiwa ini dan bagaimana puteri itu

dikangkangkan dan didisula, di hujung pasar untuk semua orang melihatnya. Yang malu itu

seharusnya raja, kerana telah menyula isterinya sendiri, tanpa usul periksa.

Page 28: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

28

Kita dapat memahaminya sekiranya Jana Khatib berkata, "Jikalau sungguh sekali pun

anak hamba ada berbuat jahat, bunuh ia syaja-syaja. Mengapatah maka diberi malu demikian

itu?"

Maka Sang Rajuna Tapa pun berkirim surat ke Jawa, demikian bunyinya: Jikalau

Betara Maja Pahit hendak menyerang Singa Pura hendaklah segera datang.

Ini suatu bundaran cerita yang penuh, di mana permulaan bertemu dengan hujunngya,

walau pun terdiri daripada beberapa episod kecil. Tetapi semuanya dihitung sebagai suatu

jumlah besar kekejaman dan kebodohan raja. Tindakannya berdasarkan kata-kata orang lain,

fitnah tidak dikenalinya dan diselidiki, perasaan dan cara pentadbirannya sangat zalim dan

primitif.

Raja itu, Sultan Iskandar, ialah leluhur Tun Seri Lanang, tapi perbuatan kejam raja

masih kekal sebagai suatu kesalahan besar yang dicatat oleh sejarah dengan darah, walaupun

yang membunuh itu raja, dan sekali pun berpetalian keluarga dengan pengarang. Dalam hal

ini Tun Seri Lanang juga bebas dalam penilaian dan pemeriannya. Dia menyebelah yang

benar, yang teraniya, dan akhirnya menunjukkan kesudahan kekejaman ini.

Peristiwa sepak raga (2009:116) juga seperti mengulangkan kisah kebebalan raja

Singa Pura ini. Dalam episod ini Tun Mat dibunuh oleh Raja Muhammad, anak Sultan

Mansur Syah, kerana bola sepak raga telah terjatuh ke atas destarnya. Di akhrinya kita

dibahagi dua – satu kekejaman anak raja yang merasakan dia boleh membunuh sesuka

hatinya, kerana dia anak raja, kedua, dia oleh sebab dia anak raja rakyat tidak akan durhaka

melawan keluarga istana, (“durhaka ke busut”) Tetapi Bendahara berjanji “…akan kita

bertuan anak raja seorang ini, janganlah.” (2009:116).

Jarang kita membaca cerita yang terbuka hujungnya. Tun Seri Lanang merasakan

bahawa beliau harus menutupnya dengan makna yang ditawarkan perisitwa.

Setersunya setelah negerinya dialahkan Majapahit, Sultan Iskandar mengungsi ke arah

ke Muar, lewat Biawak Buruk dan Setang Ujung (perhatikan detailnya). Dari sana mereka

sampai ke sebatang sungai. Di sana anjing raja diterajang oleh pelanduk putih, hingga terjatuh

ke dalam air. Ini juga lambang kekuatan yang seharusnya tidak dimiliki oleh seekor pelanduk.

Tetapi kita diingatkan dalam pemerian ini, seperti lembu di Bukit Seguntang, kancil ini juga

utusan berwarna putih (balar) utusan Tuhan, dengan lambangnya yang agak cukup jelas.

Page 29: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

29

“Baik kita perbuatkan negeri."

Maka sembah orang besar-besar, "Benarlah tuanku seperti titah Duli Yang Dipertuan

itu."Maka disuruh baginda perbuatlah negeri pada tempat itu.

Maka titah Sultan Iskandar Syah, "Apa nama kayu tempat kita berdiri ini?"

Maka sembah orang sekalian, "Melaka namanya kayu ini."

Saya tidak dapat menerka makna pohon melaka di sini. Kemungkinan wujudnya

sewaktu Melaka mula ditemui. Tetapi untuk kita sekarang nama ini tidak mendaftarkan erti

yang khusus. Pohonnya cantik, berdaun kecil dan banyak dahannya. Buahnya sama cantik

pula, hijau lutsinar, sebesar guli mainan anak-anak. Tapi mungkin juga hanya kebetulan, dan

yang lebih penting ialah citra kekuatan kancil putih. Kancil yang sedia pintar walau pun

badannya agak kecil, namun dia mempunyai kekuatan khusus, istimewa dengan caranya

menendang anjing itu.

Ada beberapa pemerian peristiwa yang sama menarik dan sama sarat dengan moral

ceritanya. Di antaranya dapat kita lihat dalam lukisan episod serangan dan kuasa negeri Siak

itu sendiri (2009: 115). Diturunkan di sini pemerian serangan Melaka terhadap Siak, yang

tidak begitu terkenal atau sering dikutip.

Alkisah maka tersebutlah perkataan Sultan Mansur Syah hendak menyuruh

menyerang Siak, karena Siak itu dahulu negeri besar, rajanya daripada anak cucu Raja

Pagar Ruyung, asal daripada Sang Seperba, yang turun daripada Bukit Seguntang

Mahameru. Tiada ia menyembah ke Melaka; sebab itulah maka baginda pun

menyuruh menyerang…

Orang Melaka pun mudiklah.

Adapun kota Siak itu di tepi air. Maka oleh orang Melaka kelengkapannya dikepilkan

berkembar2 dengan kota sekali-kali. Maka ditimpahinya oleh segala orang Melaka

dengan senjata, seperti air turun dari atas bukit rupanya. Maka ra`yat Siak pun banyak

matinya.

Bermula Maharaja Peri Sura berdiri di kepala kota mengerahkan segala ra`yat

berparang. Setelah dilihat oleh Khoja Baba maka segera dipanahnya, kena dada

Maharaja Peri Sura, terus.Maka Maharaja Peri Sura pun matilah. Setelah ra`yat Siak

melihat rajanya sudah mati maka segala ra`yat Siak pun pecahlah, lalu lari cerai.

Maka kota pun dibelah oleh / orang Melaka, dimasukinya sekali. Maka orang Melaka

pun merampaslah, terlalu banyak beroleh rampasan.

Page 30: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

30

Peperangan yang diceritakan itu rumit, mengambil waktu yang panjang, dan peringkat

menang dan kalah yang berselang seli. Lagi pun ini sebuah negara lain, masih Melayu, tetapi

bermusuhan dengan Melaka. Pengarang memberikan detail yang agak penuh, sehingga kita

dapat mengusut nama-nama raja-raja ini dalam sejarah terkemudiannya.

Kebebasan Berfikir (Independence Of Mind)

Tun Muhammad telah dititahkan untuk mengarang hikayat bangsanya. Ini suatu beban yang

besar, dan menghadapkannya kepada persoalan rupa dan bentuk kebenaran yang harus

dituliskannya. Pada waktu itu, dalam istana, berterbangan kisah dan cerita, berbagai-bagai

intrik dan fitnah, tuduhan dan rintihan. Beliau harus memilih dari antaranya, dan selalu

membetulkan arah ketulusan sejarahnya. Mungkin beliau berpihak kepada raja dan

keuturunannya, ini sangat lumrah. Tetapi ada batasan kepada kesetiaan keluarga dan

keturunan. Batasannya ialah kebenaran. Dan beliau harus mengakurinya.

Walau pun beliau bermula dengan titah raja, beliau juga melukiskan situasinya sebagai

`terjunjunglah atas batu kepala fakir dan berlelah atas segala anggota fakir.’ Titah itu datang

tanpa dijangka, maka reaksi jasmaniahnya ialah seperti menanggung beban yang sangat besar.

Beban yang diterima ini membuat dirinya lelah, susah dan merasa tegang. Inilah dilemanya –

bagaimana menerima perintah raja, di suatu pihak, dan di pihak yang lain, untuk berlaku adil

kepada semua watak dan peristiwa. Bukan suatu hal yang sama sekali mudah.

Yang memerintahkannya itu ialah keturunan raja-raja yang mendirikan, membesarkan

dan meruntuhkan Melaka, dan lebih bermasalah lagi ialah juga, bahawa salasilah mereka ialah

salasilahnya sendiri.

Oleh kerana kita tidak memiliki dokumen lain tentang ratusan peristiwa dan watak

yang diungkapkan Tun Seri Lanang, maka kita tidak dapat pertikaikan kesahihan apa yang

ditulis beliau. Tetapi kita mendapat bukti pada beberapa kisah dan episod bahawa pada

pendapatnya raja tidak semua adil, tidak semua mengelak larangan agama atau masyarakat -

ramai yang mudah menyerah diri kepada nafsu. Sementara itu yang baik dipuji dan diberikan

ruang secukupnya.

Dalam hal ini Tun Seri Lanang juga bebas dalam penilaian dan pemeriannya. Beliau

sering menyebelah yang benar, yang teraniaya, dan akhirnya menunjukkan kesudahan kepada

sesuatu perbuatan raja yang kejam.

Page 31: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

31

Yang baik diberi pujian – Alauddin misalnya – tetapi yang jahat pun ada pujiannya

(seperti dalam istana Melayu, dengan kata-kata manis istana). Hanya apabila watak-watak

yang berjalur gelap ini dilukiskan maka kata pujian itu didekonstruksikan oleh perbuatan,

kesalahan dan dosa mereka sendiri. Sultan Mahmud, raja terkahir di Melaka, terlama dalam

pemerintahan sejarah Melayu. Beliau mendapat ruang Sulalat al-Salatin yang paling besar.

Banyak yang baik yang disebutkan, tetapi banyak pula yang tidak, termasuk suka beristeri

(malah membunuh suami wanita yang diingini), suka keluar malam menemui perempuan

(termasuk isteri pegawainya), mudah membunuh tanpa periksa, dan lain-lain kesalahan yang

tidak dapat dimaafkan sejarah atau oleh akal sihat. Di sini Tun Seri Lanang cukup berani,

mempertahankan nilai-nilai dasar pemerintahan dan keadilan negara.

Pengarang memperlihatkan bagaimana dia sebagai raja yang tidak matang, masih

diheret ke pojok gelap oleh nafsunya, bermain muda dan tidak bijak dalam pentadbirannya.

Dan mungkin juga sebagai balasan, negerinya diserang dan dikalahkan Portugis dan dia

terlantar di Bentan dan Kampar.

Oleh yang demikian beliau menulis dengan pendirian yang agak jujur, walaupun

melalui penggunaan beberapa kaedah Melayu – yang bersulam pantun, dan sindir, alegori dan

kias untuk melembutkan dan mensamarkan kritikan.

Saya beranggapan beliau sedar bahawa bukan saja bebannya besar tetapi sebagai

pengarang beliau manusia penting, harus bijaksana, dan pandai menulis - maka oleh sebab itu

diminta mengarang. Kemungkinan besar beliau sudah pun memperlihatkan pengetahuannya

dan juga memperdengarkan ceritanya tentang sejarah yang diketahuinya di istana atau di Pasir

Raja. Pendek kata beliau sudah pun terkenal di istana sebagai orang yang “pandai” sejarah

dan baik pula bahasa serta cara berkisahnya.

Beliau mengumpul maklumat dan kisah daripada berbagai-bagai sumber, namun pada

tahap terakhir hanyalah beliau yang menjadi penilai dan penghukumnya. Batang resam atau

buluh ialah senjata yang dapat mengarang kenyataan dan menikam pesalahnya.

Dalam kedua-dua bahagain sebelum ini saya telah cuba perlihatkan betapa Tun Seri

Lanang ialah pengarang yang paling unik, bukan sahaja dalam bahasanya tetapi juga dalam

pemeriannya, dalam menilai dan menghukum watak-wataknya. Pasti ada kalanya beliau

menyebelahi watak-watak yang beliau sukai, yang dekat talian darahnya, dan juga membawa

Page 32: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

32

kaitan sentimen, namun begitu dalam kes-kes besar pendirian beliau dapat dikatakan cukup

konsisten dan mempunyai dasar moral yang boleh diandalkan.

Sebuah kes yang sangat menarik ialah, walaupun beliau memuji Hang Tuah kerana

wajahnya yang tampan dan sikapnya yang halus, namun ditambahkan juga sosok gelapnya,

sewaktu dia “menjahatkan” Bendahara Tun Perak di depan raja, apabila Bendahara tiada

hadir di sana. Pada kita hari ini cara begini boleh dianggap sebagai perbuatan mengumpat dan

tidak adil kepada orang yang tidak dapat mempertahankan dirinya. Pengarang menarik

perhatian kita kepada cara yang tidak “gentleman” dan tidak beretika ini.

Dalam kes ini sahaja kita sudah pun dapat melihat cubaan pengarang untuk memberi

imbangan di antara yang baik dan buruk, yang besar dan yang kerdil moralnya.

Seterusnya, mungkin beliaulah pengarang yang pertama yang memberi ruang kepada

lukisan pemangsaan wanita di Melaka, dalam kes Tun Fatimah dan Tun Teja. Beliau juga

memberi kata-kata kepada Puteri Gunung Ledang untuk menjawab keangkuhan dan nafsu

raja, dan oleh itu membawakan unsur feminis yang jelas.

Akhir sekali beliau menilai seluruh sejarah bangsa Melayu dan menyimpulkan bahawa

kepentingan diri, kerakusan, rasuah dan perpecahan adalah sebab-sebab nyata keruntuhannya,

“Supaya didengar oleh anak cucu kita yang kemudian dari kita dan diketahuinyalah segala

perkataan, syahdan beroleh fa`edahlah mereka itu daripadanya.”

Penutup

Pada pengkaji ini semua tuntutan daripada takrif “genius” telah dipenuhi Tun Seri Lanang.

Beliau mencipta kembali bahasa Melayu dengan anggun dan indahnya, dan meraut kata-kata

serta frasanya sehinggalah kepada persoalan terkecil, termasuk yang wujud samar di bawah

sedar. Ini semua dijangkau dan diberikan pemerian yang wajar. Pemerian tempat, alam,

peristiwa dan watak juga cukup gemilang. Terutama watak-watak dan situasi yang

menimbulkan persoalan moral, keadilan dan pendirian. Belum ada dalam sastera Melayu

ratusan watak yang diperkenalkan, sebahagiannya diwarnakan oleh kelainan yang unik,

keaslian dan sifat-sifat yang begitu istimewa, dan tidak sedikit oleh gaya dan pandangan

hidup mereka.

Page 33: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

33

Sulalat al-Salatin juga asli dalam banyak hal – bahasa, pemerian, watak-watak dan

ritme bab dan episodnya. Kita dibawa kepada pemerian pemerintahan seorang raja dalam

suatu bab, tetapi dalam bab yang lain pula digusarkan oleh ketidakperihatinan raja itu dan

keserakahannya. Banyak negeri yang kita seberangi bersama pengarang ini – dan ini dunia

multi-budaya serta multi-bahasa. Kita seperti diminta menerima dunia yang luas ini, kerana

seluruhnya ialah dunia kita juga.

Akhir sekali Tun Seri Lanang telah mengambil tradisi pemerian sejarah, tradisi

penglipur lara dan pengkisahan lisan. Dalam kuali besar bakatnya telah dibaurkan semuanya

untuk menghasilkan sebuah hidangan akaliah dan perasaan yang luar biasa. Di tangannya

sejarah menjadi kisah mansuia yang berperasaan, mempunyai marah dan dendam, kasih

sayang dan benci. Dalam kitabnya sejarah berkata-kata seperti seorang pencerita yang

bijaksana.

Page 34: Raut Halus Genius Sulalat Al-Salatinpemacudbp.dbp.gov.my/fm/fmDload.aspx?ti=5FD00AE2B... · Oleh itu genius sastera atau bahasa dituntut untuk menjadi bijaksana supaya membawa “manfaat”

34

Rujukan

Albert, Robert S.ed. , 1992. Genius and Eminence.Oxford: Pergamon. 2nd ed.

Asmah Haji Omar. Ed. 2003. The Genius of Malay Civilisation. Tanjong Malim: Institute of

Malay Civilisation, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Barron, F. 1992. `Creative Writers.’Dalam Robert S Albert, ed. Genius and Eminence.

Oxford: Pergamon. 1992. 2nd ed. 315 -328.

Bloom, Harold, 2002. Genius: A Mosaic of One Hundred Exemplary Creative Minds. New

York: Warner

Epstein, Joseph. ed. Literary Genius: 25 Classic Writers Who Define English and American

Literature. London: Haus.

Hale, Carl S. `Psychological Characteristics of the Literary Genius’, dalam Journal of

Humanistic Psychology (jhpsagepub.com/contact/35/3/113.s)

Hikayat Raja Pasai.1999. Kuala Lumpur: Karya Agung. Diedit oleh Russell Jones.

Muhammad Haji Salleh, `Sualatus Salatin: Adikarya Akal Budi Melayu. Dalam Muahmmad

Haji Salleh, Permata di Rumput Gilang: Sastera Sebagai Ruang Bangsa. Kuala Lumpur:

DBP. hlm 3-35.

Muhammad Haji Salleh. 1991. The Mind of the Malay Author. Kuala Lumpur: DBP.

Noriah Taslim,et al. Naratif Baru Sastera Melayu Tradisional. 2010. KL: DBP.

Noriah Taslim, 2012 `Protagonis dalam Era Pascakolonial: Perubahan Ideologi dan Naratif

Baru, dalam Norian Taslim, et al. Naratif Baru Sastera Melayu Tradisional. 2010. KL:

DBP.

Padover, Saul K. 1960. The Genius of America. 1960. New York: Mc|Graw Hill.

Rajatheran, M. 1999. Kesan Hubungan Kebudayaan Melayu dan India. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sacks, Sheldon ed. On Metaphor. Chicago: Chicago University Press.

Sedjarah Melayu (menurut Terbitan Abdullah). Diselenggarakan dan diberi anotasi oleh T.D.

Simatupang dan A. Teeuw. Jakarta: Jambatan.

T. Iskandar. 1995. Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad. Bandar Seri Begawan:

terbitan pesendirian.

Tun Seri Lanang, Sulalat al-Salatin. (diedit oleh Muhammad Haji Salleh). Kuala Kumpur:

DBP.