Refleksi Big Sem 6

download Refleksi Big Sem 6

of 7

description

refleksi big

Transcript of Refleksi Big Sem 6

NAMA: NURUL SYAZWANI BINTI NOR AZMALNO. KAD PENGENALAN: 910502-08-5220NO. ANGKA GILIRAN: 2011141340055

REFLEKSI PROGRAM CERAMAH BINA INSAN GURU (PRO BIG) FASA 6PISMP AMBILAN JANUARI 2011GURU INOVATIF

Program Bina Insan Guru merupakan satu program bermanfaat terutamanya kepada guru pelatih yang bakal bergelar guru kelak. Pengisian aktiviti-aktiviti yang terdapat dalam program ini terkandung seribu pengertian yang perlu dihalusi dengan teliti. Ini bersesuaian dengan matlamat Program Bina Insan Guru ini diadakan iaitu untuk melahirkan guru-guru yang mempunyai kemantapan akhlak, nilai-nilai kerohanian dan keguruan, daya ketahanan diri yang tinggi serta aura keguruan yang selaras dengan prinsip Rukun Negara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru. Selaras dengan matlamat program ini, jelaslah bahawa program ini mampu memacu guru pelatih ke arah matlamat tersebut dengan jayanya.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dan inayah-Nya serta rahmat dan taufik-Nya, dapatlah saya menjalani Program Ceramah Bina Insan Guru (PRO BIG) Fasa 6 PISMP Ambilan Januari 2011 yang bertajuk Guru Inovatif dan menyempurnakan tugasan ini dengan jayanya. Setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kepada Allah yang Maha Menyempurnakan setiap sesuatu kerana saya hanyalah perancang tetapi Dialah yang Maha Menentukan segala apa yang tersurat di muka bumi. Sekalung penghargaan saya ucapkan kepada penyelaras program, Unit Kokurikulum IPG Kampus Perempuan Melayu dan mentor unit kami, Puan Sapiyah binti Md. Rangga. Tanpa bimbingan dan tunjuk ajar kalian semua tidak mungkin kami dapat melaksanakan program ini dengan jayanya. Ribuan terima kasih juga saya tujukan kepada rakan-rakan yang sanggup menghulurkan bantuan dalam apa jua keadaan tidak mengira masa dan tempat. Tidak lupa juga kepada ibu bapa saya yang memberikan sokongan moral dan dorongan. Jutaan terima kasih saya ucapkan.

Pada 4 Oktober 2013, PISMP Ambilan Januari 2011 telah mengikuti Program Ceramah Bina Insan Guru (PRO BIG) di Dewan Tun Fatimah, Institut Pendidikan Guru, Kampus Perempuan Melayu, Melaka. Program ini melibatkan kerjasama di antara 6 unit PISMP Ambilan Januari 2011 (Semester 6) iaitu Unit Pengajian Islam & Al-Quran, Sains, Pendidikan Khas, Prasekolah, Matematik dan Pengajian Melayu. Seramai 112 orang guru pelatih yang telah menyertai program ini. Program Ceramah Bina Insan Guru (PRO BiG) ini telah berlangsung selama 3 jam iaitu pada hari Jumaat dari pukul 2.00 petang hingga pukul 5.30 petang. Tajuk ceramah bagi Program Bina Insan Guru pada semester ini ialah Guru Inovatif. Ceramah ini telah disampaikan oleh Encik Abdul Khalid bin Othman.

Ceramah ini diadakan khusus untuk menilai keupayaan guru pelatih dalam merancang, melaksana, memimpin program, serta bekerjasama dan mengambil peranan secara aktif dalam kumpulan. Hal ini boleh dilihat menerusi penubuhan Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada wakil yang telah dilantik atau dipilih bagi setiap unit yang mana Jawatankuasa Kerja tersebut bertindak untuk merancang. melaksana, memimpin program serta bekerjasama dengan semua unit bagi menjayakan program ini. Untuk menjayakan program ceramah ini, guru pelatih telah dibahagikan tugas mengikut unit masing-masing. Ia bertujuan agar kesemua unit mengambil peranan secara aktif dalam kumpulan bagi menjayakan program ini dan meningkatkan kerjasama di antara ahli kumpulan. Melalui pembahagian kerja ini, saya dapat belajar tentang peri pentingnya kerjasama di antara ahli kumpulan. Tanpa toleransi yang jitu daripada setiap ahli kumpulan, sudah pasti program ceramah ini tidak dapat dilaksanakan secara berkesan.

Antara objektif bagi program ini ialah mendedahkan kepada bakal guru pelatih tentang guru inovatif, memberi input tentang guru inovatif, membina kemahiran berfikir aras tinggi dalam menganalisis masalah dan situasi kompleks untuk membuat keputusan yang jitu dan menyelesaikan masalah serta berupaya berfikir secara reklektif untuk melaksanakan penambahbaikan secara berterusan, menghayati dan memartabatkan profesion perguruan dari semasa ke semasa, melahirkan insan guru yang berinovatif demi menjayakan matlamat pendidikan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan menjadi agen perubahan dan kemajuan yang progresif dan dinamik ke arah membina generasi yang berilmu dalam hala tuju negara menuju Wawasan 2020 serta pendidikan bertaraf dunia.Sepanjang mengikuti ceramah ini, pelbagai input dan ilmu baru yang telah saya perolehi sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Saya amat tertarik dengan video yang ditunjukkan oleh penceramah pada permulaan ceramah tentang video seekor ketam yang akan disambar oleh helang. Walau bagaimanapun, ketam tersebut telah memanggil kawan-kawannya yang lain untuk membantunya daripada disambar oleh helang tersebut. Apa yang dapat saya garapkan melalui video tersebut ialah guru hendaklah bijak dan kreatif dalam menghadapi karenah murid yang pelbagai terutamanya apabila di sekolah nanti. Hal ini kerana, kanak-kanak zaman kini jika dilihat mempunyai pemikiran yang kreatif dan inovatif berbanding kanak-kanak zaman 90-an dahulu. Kepimpinan guru yang kreatif dan inovatif dapat menghasilkan kerjasama yang baik dengan murid-murid dan dapat menyelesaikan sesuatu masalah. Oleh itu, untuk mewujudkan kerjasama yang baik dengan murid, seorang guru perlu menggunakan kemahiran yang kreatif dan inovatif bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik. Secara tidak langsung, murid-murid akan berasa seronok untuk belajar dan pemikiran murid-murid lebih terbuka dan bercapah.

Selain itu, penceramah juga ada menunjukkan kepada kami tentang video seorang kanak-kanak dengan seekor ulang senduk. Kanak-kanak tersebut menghampiri ular senduk tersebut dan ingin memegang ular senduk tersebut. Setiap kali kanak-kanak tersebut memegang ular senduk tersebut, ular senduk tersebut akan mematuk kanak-kanak tersebut. Walau bagaimanapun, kanak-kanak tersebut tidak mengalah dan tetap terus ingin memegang ular senduk tersebut. Apa yang dapat saya interpretasikan melalui video tersebut ialah sifat dan naluri kanak-kanak yang ingin tahu tentang sesuatu. Mereka akan terus merasa dan mencuba sesuatu meskipun perkara tersebut tidak baik untuk mereka. Di situ, kita dapat lihat kanak-kanak mempunyai sifat inkuiri yang tinggi. Sebagai seorang guru, kita harus memberi sokongan dan dokongan kepada murid-murid dalam mengetahui sesuatu perkara agar pemikiran murid-murid tersebut lebih terbuka dan mencapah. Guru perlu bijak dan kreatif dalam mencungkil pemikiran murid-murid supaya pemikiran mereka lebih terbuka. Oleh itu, guru perlu perbanyakkan kemahiran yang lebih kepada kaedah inkuiri di dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar murid-murid sendiri dapat merasai pengalaman sebenar dan menggalakkan mereka berfikir di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Saya amat tertarik dengan kata-kata Berfikir sedetik akan ketahui seluruh isinya. Kata-kata tersebut dengan jelas menggalakkan kita berfikir kerana dengan berfikir kita akan menjadi orang yang kreatif dan inovatif.

Selain itu, ceramah ini juga turut menyedarkan saya tentang pentingnya kita menghargai kerjaya kita iaitu profesion perguruan dan menjaga amanah kerjaya ini dengan sebaiknya. Hal ini kerana, profesion guru merupakan profesion yang mulia. Meskipun, profesion perguruan ini tidaklah sehebat dan sekaya seperti profesion yang lain, namun profesion perguruan ini dianggap mulia kerana kita menyampaikan ilmu kepada orang lain dan memberikan manfaat kepada orang lain. Kita juga perlu menjaga amanah kerjaya ini dengan ikhlas menyampaikan ilmu dan mendidik anak bangsa tanpa mengharapkan balasan. Oleh itu, sebagai seorang bakal guru, kita perlu menghargai dan bersyukur kerana kita tergolong dalam golongan ini dan dipilih untuk menjadi seorang guru. Hal ini kerana, jika kita lihat di luar sana, masih ramai lagi orang lain yang berkeinginan untuk menjadi guru dan tidak mendapat peluang tersebut. Kita yang berpeluang untuk mengikuti profesion perguruan ini perlulah menjaga profesion ini dengan baik dan sayang akan profesion ini.

Di samping itu, ceramah ini juga turut memberi gambaran kepada saya tentang betapa besarnya cabaran dan rintangan yang akan saya hadapi pada masa akan datang. Hal ini kerana, dengan kepesatan dan kemajuan teknologi serta di dalam era globalisasi ini, pemikiran murid lebih terbuka dan mencapah. Mereka didedahkan dengan internet, video, facebook, twitter dan laman-laman sosial yang lain. Hal ini secara tidak langsung menjadikan masalah sosial di tahap paras yang kritikal. Setiap hari kita dapat melihat di dada-dada akhbar dan di kaca televisyen tentang kes-kes keruntuhan moral yang membabitkan murid serta pelbagai masalah sosial yang lain. Selaku bakal guru dalam masa 1 tahun dari sekarang, saya dapat merasakan betapa besarnya cabaran yang bakal di hadapi oleh kami semua sebagai bakal guru muda dalam menjadi agen perubahan dan kemajuan yang progresif dan dinamik dalam membimbing, mendidik dan membentuk anak - anak murid kita. Pada pandangan saya, tidak mustahil pada suatu hari nanti, terdapat kes-kes keruntuhan moral yang melibatkan keruntuhan moral seperti yang dinyatakan di atas berlaku di dalam komuniti sekolah kita sama ada secara langsung ataupun tidak. Oleh itu, peranan kita sendiri sebagai seorang guru di sini sangat penting dalam membentuk, mendidik, dan membimbing diri mereka ke arah jalan yang diredhai Allah. Tambahan pula, saya merupakan guru Pendidikan Islam. Sudah semestinya terlalu besar tanggungjawab saya di samping perlu menjadi contoh dan role model kepada anak-anak murid di sekolah. Justeru, sebagai bakal guru kelak, kita perlu mempersiapkan diri kita dengan daya ketahanan dan kekuatan fizikal, mental, dan emosi yang tinggi bagi menghadapi cabaran dan rintangan tersebut serta menunjukkan tingkah laku yang baik kepada anak murid kita. Selain itu, kita juga perlu kreatif dan inovatif dalam menangani murid-murid yang hidup di dalam kecanggihan teknologi ini. Kita perlu bijak menyesuaikan diri dan menggunakan teknik dan kaedah yang mengikut peredaran zaman kini. Kita tidak bolehlah menggunakan kaedah seperti pada tahun 80-an dahulu. Kita perlu bergaul dan memahami kehendak mereka dan melayan mereka seperti kawan. Dengan ini, kita dapat menangani masalah sosial tersebut.

Apa yang menarik bagi ceramah ini ialah kaedah yang digunakan oleh penceramah serta aktiviti yang dijalankan oleh beliau sangat menarik dan membuatkan saya teruja dan seronok untuk mengikuti ceramah tersebut. Ceramah yang disampaikan oleh beliau pada petang itu sangat santai dan tidak terlalu berat untuk difahami meskipun tajuk yang tertera adalah Guru Inovatif. Semangat beliau yang tinggi dalam memikul amanah untuk menyampaikan ceramah ini sangat saya kagumi meskipun beliau sedar bahawa majoriti ahli dewan dalam keletihan. Dalam gelak tawa terselit pengajaran dan nilai-nilai murni yang boleh digarap dalam diri kami masing-masing sebagai bakal guru di masa akan datang. Kaedah soal jawab yang digunakan oleh penceramah juga turut membuatkan saya sentiasa bersedia dan ingin menjawab soalan yang cuba diutarakan. Saya amat kagum dengan penceramah yang menggunakan kata-kata pepatah arab, inggeris, melayu, ayat al-quran, kata-kata motivasi di dalam ceramah yang disampaikan. Hal ini menyebabkan saya tidak berasa bosan untuk mendengar ceramah yang disampaikan.

Secara tuntasnya, keseluruhan aktiviti dalam program ini sangat bermanfaat dan menyedarkan saya bahawa perlunya seorang bakal guru itu lengkap dari semua sudut bukan sahaja dari sudut intelektual dan rohani, malah aspek-aspek lain seperti jasmani, emosi dan sosial juga perlu diterapkan dalam diri sebagai seorang bakal guru. Sesuai dengan tugas sebagai seorang guru itu iaitu untuk melahirkan individu yang boleh menyumbang kepada masyarakat dan negara, seorang guru itu perlulah melengkapkan diri dahulu dengan ilmu dan kemahiran sebagai persediaan untuk berkhidmat di sekolah kelak.