RISIKO_KEWANGAN

15
INTERNATIONAL CONFERENCE ON MANAGEMENT (ICM 2011) PROCEEDING 1 RISIKO-RISIKO DALAM KEWANGAN SEMASA: PENILAIAN DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM Nor Fahimah Mohd Razif* Prof. Madya Dr. Shamsiah Mohamad** Risiko merupakan suatu ketidakpastian yang dapat menimbulkan kerugian. Oleh kerana risiko dikaitkan dengan kemungkinan kejadian atau keadaan yang dapat mengancam pencapaian tujuan dan sasaran individu serta organisasi, maka sebolehnya risiko cuba dihapuskan dan dielakkan melalui beberapa pendekatan. Hakikatnya, kewujudan risiko dianggap penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan kestabilan kewangan. Namun, dalam masa yang sama, pendedahan terhadap risiko secara melampau pula boleh menjejaskan kadar pulangan dan keuntungan di samping sekaligus membantutkan kelangsungan aktiviti ekonomi. Justeru, kajian ini cuba mengenalpasti ciri-ciri risiko yang perlu ditanggung dan yang tidak boleh ditanggung serta risiko yang boleh dielak berdasarkan pandangan para fuqaha agar kefahaman terhadap konsep pengurusan risiko dapat diperkukuhkan. Seterusnya kajian ini akan mengenalpasti risiko-risiko yang wujud dalam pasaran kewangan berdasarkan ciri-ciri tiga jenis risiko yang telah dikenalpasti sebelum ini bagi mendapatkan pandangan Islam berhubung dengannya. Berdasarkan metode analisis yang digunakan, kajian ini mendapati bahawa syarak bukan sahaja mengiktiraf kewujudan risiko malah menggalakkan aktiviti mengawal dan mengurus risiko kerana proses tersebut memenuhi objektif syariah iaitu penjagaan harta (hifz al-mal). Kata kunci : Kewangan Islam, Pengurusan Risiko, Gharar, Objektif Syariah, Risiko dalam Islam. 1. Pengenalan Kehidupan manusia tidak pernah terlepas daripada risiko dan ketidaktentuan. Kebanyakan aktiviti manusia berlaku dalam keadaan yang tidak menentu dan penuh bahaya. Hampir setiap hari kita didedahkan dengan berita tentang kejadian buruk seperti kemalangan jalan raya, gempa bumi, tanah runtuh, kecurian dan bencana-bencana lain. Terdapat sebahagian insan lain pula terpaksa menanggung kos perubatan akibat penyakit kronik yang tidak dijangka malah ada sesetengah individu yang kehilangan aset dan pendapatan akibat kecuaian yang menyebabkan kecederaan terhadap orang lain. Begitu juga dunia perniagaan dan kewangan turut tidak terlepas daripada kemungkinan berlaku kejatuhan pasaran saham, penurunan nilai hartanah dan sebagainya. Pastinya kita berasa lega sekiranya kejadian buruk tersebut tidak berlaku kepada kita. Tetapi adakah kita benar- benar pasti kejadian buruk tersebut tidak akan berlaku kepada kita selama-lamanya atau terdapat kemungkinan ianya boleh menimpa kita pada masa akan datang? Inilah yang disebut sebagai risiko. Hakikatnya di mana ada kehidupan, di situ pasti ada risiko yang menanti. ____________ *Pelajar PhD, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. **Prof Madya, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

description

kewangan

Transcript of RISIKO_KEWANGAN

Page 1: RISIKO_KEWANGAN

INTERNATIONAL CONFERENCE ON MANAGEMENT (ICM 2011) PROCEEDING

1

RISIKO-RISIKO DALAM KEWANGAN SEMASA:

PENILAIAN DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM

Nor Fahimah Mohd Razif*

Prof. Madya Dr. Shamsiah Mohamad**

Risiko merupakan suatu ketidakpastian yang dapat menimbulkan kerugian. Oleh kerana risiko dikaitkan dengan kemungkinan kejadian atau keadaan yang dapat mengancam pencapaian tujuan dan sasaran individu serta organisasi, maka sebolehnya risiko cuba dihapuskan dan dielakkan melalui beberapa pendekatan. Hakikatnya, kewujudan risiko dianggap penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan kestabilan kewangan. Namun, dalam masa yang sama, pendedahan terhadap risiko secara melampau pula boleh menjejaskan kadar pulangan dan keuntungan di samping sekaligus membantutkan kelangsungan aktiviti ekonomi. Justeru, kajian ini cuba mengenalpasti ciri-ciri risiko yang perlu ditanggung dan yang tidak boleh ditanggung serta risiko yang boleh dielak berdasarkan pandangan para fuqaha agar kefahaman terhadap konsep pengurusan risiko dapat diperkukuhkan. Seterusnya kajian ini akan mengenalpasti risiko-risiko yang wujud dalam pasaran kewangan berdasarkan ciri-ciri tiga jenis risiko yang telah dikenalpasti sebelum ini bagi mendapatkan pandangan Islam berhubung dengannya. Berdasarkan metode analisis yang digunakan, kajian ini mendapati bahawa syarak bukan sahaja mengiktiraf kewujudan risiko malah menggalakkan aktiviti mengawal dan mengurus risiko kerana proses tersebut memenuhi objektif syariah iaitu penjagaan harta (hifz al-mal). Kata kunci : Kewangan Islam, Pengurusan Risiko, Gharar, Objektif Syariah, Risiko dalam Islam.

1. Pengenalan

Kehidupan manusia tidak pernah terlepas daripada risiko dan ketidaktentuan. Kebanyakan aktiviti manusia berlaku dalam keadaan yang tidak menentu dan penuh bahaya. Hampir setiap hari kita didedahkan dengan berita tentang kejadian buruk seperti kemalangan jalan raya, gempa bumi, tanah runtuh, kecurian dan bencana-bencana lain. Terdapat sebahagian insan lain pula terpaksa menanggung kos perubatan akibat penyakit kronik yang tidak dijangka malah ada sesetengah individu yang kehilangan aset dan pendapatan akibat kecuaian yang menyebabkan kecederaan terhadap orang lain. Begitu juga dunia perniagaan dan kewangan turut tidak terlepas daripada kemungkinan berlaku kejatuhan pasaran saham, penurunan nilai hartanah dan sebagainya. Pastinya kita berasa lega sekiranya kejadian buruk tersebut tidak berlaku kepada kita. Tetapi adakah kita benar-benar pasti kejadian buruk tersebut tidak akan berlaku kepada kita selama-lamanya atau terdapat kemungkinan ianya boleh menimpa kita pada masa akan datang? Inilah yang disebut sebagai risiko. Hakikatnya di mana ada kehidupan, di situ pasti ada risiko yang menanti.

____________

*Pelajar PhD, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. **Prof Madya, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Page 2: RISIKO_KEWANGAN

INTERNATIONAL CONFERENCE ON MANAGEMENT (ICM 2011) PROCEEDING

374

Dalam industri perbankan dan kewangan, risiko merupakan salah satu elemen terpenting yang harus dihadapi dalam setiap transaksi kewangan. Sekecil manapun sesuatu perniagaan itu, pasti wujud risiko demi memungkinkan keupayaan untuk mendapat untung. Bahkan semakin tinggi tingkat risiko yang dihadapi, semakin tinggi pulangan yang akan diperolehi, begitulah sebaliknya. Memandangkan risiko merupakan perkara akan datang yang tidak pasti, jadi adalah penting bagi individu atau organisasi mengambil langkah mengurus dan mengawalnya dengan cara yang efisen. Persoalan risiko inilah menjadi cabaran yang perlu dihadapi oleh industri kewangan konvensional dan kewangan Islam secara umumnya.

Hakikatnya, kewujudan risiko merupakan faktor kepada pembentukan sistem insurans, sistem takaful, produk derivatif dan lain-lain lagi yang mana kesemuanya bertujuan untuk mengurus dan mengurangkan risiko ke tahap minimum. Oleh itu, adalah sangat penting bagi kita memahami konsep risiko agar peserta pasaran memahami peranan risiko dan jenis-jenisnya sebagai persediaan untuk mengatur langkah pengawalan dan pengurusan risiko terbabit.

2. Definisi Risiko

Perkataan risiko sering digunakan masyarakat dalam perbualan harian. Apabila seseorang mengatakan terdapat risiko dalam melaksanakan sesuatu perkara, maka orang yang mendengar akan memahami bahawa wujud ketidakpastian terhadap sesuatu peristiwa, dan wujud kemungkinan peristiwa yang berlaku akan menghasilkan kesan yang tidak baik. Inilah yang dimaksudkan sebagai risiko.

Sebenarnya belum ada definisi yang universal bagi risiko. Pakar insurans, ahli ekonomi, pakar statistik dan lain-lain lagi masing-masing memberikan konsep tersendiri berkaitan risiko. Justeru, kita boleh melihat bahawa terdapat pelbagai definisi risiko yang boleh ditemui dalam penulisan-penulisan antaranya Oxford Dictionary of Economics mentakrifkan risiko sebagai ketidakpastian tentang keputusan bagi sesuatu tindakan di mana lebih dari satu keputusan mungkin terhasil (Black, 1997). Ini bermakna jika sesuatu aktiviti atau kejadian boleh menghasilkan lebih daripada satu keputusan, maka kejadian itu dikatakan berisiko. Semakin banyak kepelbagaian keputusan yang mungkin berlaku, semakin tinggi risiko.

Risiko juga bermaksud terdapat kemungkinan berlaku penyimpangan yang tidak menyenangkan terhadap hasil sesuatu aktiviti daripada apa yang diingini atau diharapkan (Elliott, C. M. dan Vaughan, E. J, 1972). Dalam erti kata lain, kemungkinan sesuatu yang kita harapkan berlaku tidak pula terjadi atau sesuatu yang kita harapkan berlaku gagal berlaku itulah yang dinamakan risiko (Athearn, J. L., 1977). Kebiasaannya penyimpangan yang berlaku membawa kepada kerugian. Dalam konteks ekonomi, kerugian merujuk kepada pengurangan atau penyusutan sesuatu nilai. Sehubungan itu, risiko boleh juga diertikan sebagai kemungkinan berlaku kerugian (Megginson, William L., 1997).

Manakala definisi risiko daripada perspektif kewangan konvensional merujuk kepada ketidakpastian mengenai jangkaan pulangan pelaburan (Obiyatulla, 2004). Ketidakpastian ini terjadi hasil daripada ketidaktentuan pulangan yang diharapkan daripada suatu pelaburan. Justeru, dalam pelaburan, risiko sering

Page 3: RISIKO_KEWANGAN

INTERNATIONAL CONFERENCE ON MANAGEMENT (ICM 2011) PROCEEDING

375

dikaitkan dengan kemungkinan pulangan yang dijangka tidak dapat dicapai. Dengan kata lain, kadar pulangan yang bakal diperoleh kemungkinan lebih rendah daripada kadar pulangan yang dijangka.

Begitulah definisi-definisi yang sering diutarakan bagi menggambarkan makna risiko. Walaupun sehingga kini belum ada satu definisi bagi risiko yang boleh digunakan dalam semua bidang, namun dapat difahami bahawa risiko pasti melibatkan ketidakpastian dan kerugian. Bagi menjelaskan lagi maksud risiko yang komprehensif, adalah penting untuk meneliti kitab-kitab muktabar bagi mendapatkan maksud risiko menurut Islam. Apakah Islam mempunyai perspektif yang berbeza berhubung dengan risiko?

3. Risiko Menurut Islam

Risiko dalam bahasa Arab disebut sebagai mukhatir (مخاطر) atau mukhatarah (مخاطرة) atau khatr .Mukhatir atau mukhatirah merupakan lafaz yang lahir daripada perkataan khatr .(Ibn Manzur, t.t) (خطر)Khatr menurut pandangan ahli bahasa ialah terdedah kepada kerosakan dan kebinasaan atau hampir kepada bahaya kerosakan (Ibn Manzur). Manakala menurut fuqaha pula, khatr digunakan bagi menggambarkan pelbagai maksud seperti perjudian (مقامرة), ketidakpastian (غرر), dan ganti rugi (ضمان) (Al-‘Alawanah, 2009).

Hakikatnya, perkataan mukhatir (مخاطر) atau mukhatarah (مخاطرة) atau khatr (خطر) yang sering digunakan dalam penulisan berkaitan risiko pada masa kini. Pada asalnya, perkataan-perkataan tersebut dari sudut bahasa membawa pelbagai maksud seperti taruhan, mogok, terlintas di fikiran dan lain-lain lagi (Ibn Manzur, t.t). Al-Zamakshari (1364H, h. 332) menyebut bahawa ia bermaksud hadiah yang diperuntukkan kepada pemenang. Walaupun perkataan khatr telah lama digunakan dalam perbualan seharian, namun pengertiannya sebagai risiko menurut konteks semasa merupakan suatu penambahan dalam bahasa Arab moden dan menjadi istilah teknikal yang baru dalam disiplin kewangan. Oleh kerana itu, sukar untuk menemui mana-mana perbincangan para fuqaha terdahulu yang merujuk kepada pengertian risiko sebagaimana yang difahami pada hari ini. Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermakna transaksi kewangan dan perdagangan pada zaman dahulu bebas daripada risiko. Hal ini kerana risiko wujud dalam mana-mana kontrak yang matang pada masa hadapan. Dan sudah tentu peniaga dan pedagang pada zaman dahulu menyedari tentang kewujudan risiko. Namun mereka tetap menggunakan kontrak mudharabah, syirkah dan salam yang mana kontrak-kontrak seperti yang kita ketahui melibatkan perpindahan atau perkongsian risiko. Cuma persekitaran ekonomi dan pendekatan sistem dalam berkontrak ketika itu menyebabkan kewujudan risiko tidak dianggap penting berbanding transaksi kewangan pada hari ini.

Selepas meneliti kitab-kitab klasik fiqh, kajian mendapati hanya Ibn Taimiyah membincangkan berkenaan risiko dengan menggunakan perkataan mukhatarah (مخاطرة) dan khatr (خطر). Namun, apa yang disebut dalam kitab beliau iaitu Tafsir Ayat Asykalat lebih menumpukan kepada pembahagian risiko tanpa menyatakan definisi risiko itu sendiri secara jelas. Sementara itu, para fuqaha lain tidak ada yang membincangkan tentang risiko secara khusus. Isu risiko ini hanya disentuh dalam perbincangan bab gharar, perjudian atau ganti rugi.

Walaupun definisi risiko tidak dibincangkan dalam kitab-kitab fiqh klasik, namun para pengkaji masa kini mendapati Islam ada meletakkan garis panduan berhubung dengan risiko. Ini diakui dengan penghasilan prinsip ‘al-Ghunm bi al-Ghurm’ yang dibuat berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w iaitu ‘al-kharaj bi al-dhaman’ (Elgari, 2003). Pada dasarnya, hadis dan prinsip di atas menjelaskan hubungkait antara pulangan dan

Page 4: RISIKO_KEWANGAN

INTERNATIONAL CONFERENCE ON MANAGEMENT (ICM 2011) PROCEEDING

376

risiko. Atau lebih tepat lagi ialah larangan Rasulullah s.a.w terhadap usaha memperoleh keuntungan tanpa menanggung risiko. Ini bermakna kewujudan risiko dianggap penting demi menjamin keharusan sesuatu transaksi yang bermatlamatkan untung. Atas dasar inilah, beberapa kontrak diharuskan seperti kontrak musyarakah kerana wujudnya elemen perkongsian risiko.

Daripada penerangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa Islam mengiktiraf kewujudan risiko. Walaupun tiada definisi khusus tentang risiko yang dapat ditemui dalam kitab-kitab fiqh klasik, namun garis panduan berkenaan risiko ada dijelaskan dalam bab-bab muamalat. Secara umumnya, risiko merupakan sesuatu kesusahan yang tidak diingini. Kesusahan ini hanya diingini sekiranya ia mendatangkan faedah setimpal dengan kesusahan yang dihadapi. Begitu juga dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam, kewujudan risiko diperlukan untuk merangsang produktiviti dan aktiviti ekonomi. Oleh yang demikian kita kerap mendengar daripada pakar kewangan dan perbankan Islam bahawa kewujudan risiko menjadi asas kepada keharusan sesuatu transaksi. Sementara transaksi kewangan yang bebas daripada risiko adalah menyerupai riba dan ia tidak dibenarkan menurut Islam (Elgari).

4. Perbezaan Antara Risiko dan Gharar

Adakah gharar (ketidakpastian) dan risiko merupakan istilah yang membawa maksud yang sama? Atau sebenarnya kedua-dua perkataan tersebut mempunyai makna tersendiri? Seperti yang diterangkan sebelum ini, para fuqaha terdahulu lebih cenderung membincangkan perihal gharar berbanding risiko dalam penulisan-penulisan mereka. Justeru, adalah penting bagi kita mengetahui kaitan antara kedua-dua perkataan ini agar analisis berkenaan risiko-risiko semasa berdasarkan jenis-jenis risiko menurut Islam dapat diketahui dengan tepat.

Secara umumnya, tiada perbezaan yang jelas antara kedua-dua perkataan iaitu gharar dan risiko. Walaupun terdapat beberapa penulis yang mentakrifkan gharar sebagai risiko, tetapi dalam terma Arab, perkataan yang paling sesuai digunakan untuk melambangkan maksud risiko adalah khatr (خطر) (Ba’albaki & Ba’albaki, 2008). Secara amnya, cara awal yang boleh dilakukan bagi mengenalpasti perbezaan antara risiko dan gharar ialah dengan melihat definisi kedua-duanya. Sebahagian fuqaha Islam mengenalpasti gharar sebagai salah satu jenis ketidakpastian (al-Saati, 2003). Gharar dari sudut bahasa bermaksud bahaya, penipuan, dan salah tanggapan. Perkataan gharar merupakan kata terbitan daripada kata kerja gharra (َغر) yang bererti menipu, dan memperdaya (Madina, 2001).

Mengikut istilah fiqh, gharar mengandungi pelbagai maksud sehingga boleh dirumuskan kepada tiga makna yang utama iaitu: (al-Dharir, 1997).

Pertama: ia bermakna keraguan atau ketidakpastian tentang sama ada sesuatu akan berlaku atau sebaliknya. Maksud ini dirumuskan berdasarkan pendapat Ibn ‘Abidin yang mendefinisikan gharar sebagai ketidakpastian tentang kewujudan subjek kontrak jual beli (Ibn ‘Abidin, 1252H). Definisi ini yang digunakan oleh mazhab Hanafi dan Shafi’i.

Kedua: ia bermaksud kejahilan terhadap sesuatu yang menjadi subjek akad. Pandangan ini dipetik daripada mazhab Zahiri. Menurut Ibn Hazm (1351H, h. 343), gharar dalam jual beli berlaku apabila pembeli tidak mengetahui barang yang dibeli dan penjual tidak mengetahui barang yang dijual.

Page 5: RISIKO_KEWANGAN

INTERNATIONAL CONFERENCE ON MANAGEMENT (ICM 2011) PROCEEDING

377

Ketiga: Gharar yang merujuk kepada sesuatu yang tidak diketahui akibatnya. Ini merupakan aliran sebahagian besar fuqaha. Rasulullah s.a.w melarang transaksi yang melibatkan gharar kerana ia mengandungi unsur spekulatif yang boleh membawa kepada perbalahan dan ketidakadilan kepada salah satu pihak yang berkontrak. Selain itu, gharar juga boleh menyebabkan seseorang mendapatkan harta orang lain secara batil. Sehubungan itu, para fuqaha berpendapat bahawa gharar merupakan salah satu kekangan yang boleh menyebabkan sesuatu transaksi menjadi tidak sah. Walau bagaimanapun, jika dilihat kepada landskap kewangan pada hari, kita dapati bahawa unsur gharar adalah sukar untuk dihapuskan sepenuhnya. Justeru, para fuqaha dengan berasaskan kepada prinsip-prinsip Syariah telah membezakan antara gharar yang membatalkan akad dan gharar yang dimaafkan berdasarkan kaedah perundangan Islam seperti raf’ al-haraj dan al-darar wa la dirar (Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti, 2006). Kesimpulannya, gharar merujuk kepada jual beli sesuatu barang di mana kewujudan barang tersebut serta ciri-cirinya tidak diketahui. Oleh yang demikian, perniagaan seperti ini sama seperti berjudi. Berdasarkan perbincangan tentang maksud gharar tadi, kita dapati bahawa wujud sedikit perbezaan di antara risiko dan gharar. Hal ini kerana risiko seperti yang difahami oleh pakar ekonomi pada hari ini tidak termasuk dalam larangan yang mana akan menyebabkan sesuatu transaksi terbatal. Begitu juga Islam menekankan bahawa risiko tidak menjadi faktor kepada pengharaman sesuatu kontrak kecuali risiko itu dikaitkan dengan mendapatkan keuntungan secara batil sehingga membawa kepada gharar. Ibn Taimiyah telah menjelaskan perkara ini dalam al-Fatawa al-Misriyyah. Menurut beliau Allah dan RasulNya tidak melarang semua jenis risiko. Bukan semua jenis transaksi yang melibatkan kemungkinan rugi atau untung atau neutral adalah tidak dibenarkan. Apa yang dilarang ialah risiko yang membawa kepada memakan sesuatu harta secara batil. Malah sekiranya perbuatan tersebut tidak disertai dengan risiko, ia tetap dilarang (Ibn Taimiyah, 1987). Ini bermakna risiko dan gharar adalah berbeza dari sudut kesan ke atas kontrak. Justeru, kita perlu mengetahui perbezaan antara risiko dan gharar kerana salah tanggapan bahawa kedua-duanya adalah perkara yang sama akan membawa kepada kesilapan dalam menentukan status Syariah bagi transaksi ekonomi seharian.

Sebagaimana yang diketahui, risiko wujud dalam mana-mana transaksi atas sebab-sebab tertentu. Antara sebab yang boleh menimbulkan risiko ialah sebab semulajadi seperti keadaan cuaca, hasil peruntukan masa, keadaan pasaran dan sebagainya. Kesemua sebab di atas akan mewujudkan jenis risiko yang pelbagai dan ia tidak dapat dielakkan dalam dunia perniagaan. Tetapi kewujudan risiko itu sendiri tidak semestinya menyebabkan sesuatu kontrak tidak sah. Ini berbeza dengan kewujudan elemen gharar. Ini kerana kewujudan gharar fahish menjadi faktor sesuatu kontrak tidak sah seperti yang disebutkan oleh para fuqaha klasik (Asyraf Wajdi Dusuki, 2009).

Selain itu, risiko merupakan sesuatu yang di luar kawalan manusia manakala gharar adalah sebaliknya. Dalam erti kata lain, gharar merupakan hasil daripada kejahilan atau kesilapan manusia. Di samping itu, gharar merupakan sebahagian daripada kontrak di mana ia dapat dikesan pada peringkat awal kontrak, sedangkan risiko merupakan sesuatu yang di luar kontrak (al-Saati, 2003). Rajah 1 menerangkan perbezaan antara risiko dan gharar.

Page 6: RISIKO_KEWANGAN

INTERNATIONAL CONFERENCE ON MANAGEMENT (ICM 2011) PROCEEDING

378

Rajah 1: Perbezaan risiko dan gharar

Bil Aspek Perbezaan Risiko Gharar

1. Definisi - Ketidakpastian tentang keputusan bagi sesuatu tindakan di mana lebih dari satu keputusan mungkin terhasil

- Kemungkinan berlaku penyimpangan yang tidak menyenangkan terhadap hasil sesuatu aktiviti daripada apa yang diingini

Ketidakpastian, bahaya, penipuan, salah tanggapan, sesuatu yang tidak diketahui akibatnya

2. Kesan ke atas kontrak

Kewujudan risiko tidak semestinya menyebabkan sesuatu kontrak tidak sah

Kewujudan gharar fahish menjadi faktor sesuatu kontrak tidak sah

3. Kawalan Di luar kawalan manusia Boleh dikawal

4. Hubungkait dengan kontrak

Sesuatu yang di luar kontrak Gharar merupakan sebahagian daripada kontrak

5. Jenis-jenis Risiko Menurut Perspektif Syariah

Ibn Taimiyah telah mengkategorikan risiko kepada dua kelompok utama iaitu risiko komersial di mana seseorang membeli komoditi dengan tujuan untuk menjualnya bagi meraih keuntungan dengan meletakkan pengharapan kepada Allah. Risiko seperti ini merupakan lumrah kepada sektor perdagangan. Manakala kategori kedua ialah risiko perjudian yang melibatkan soal memperoleh kekayaan tanpa sebarang usaha (Ibn Taimiyyah,1996).

Huraian daripada Ibn Taimiyah menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf kewujudan risiko. Walaupun risiko merupakan perkara yang tidak diingini namun tidak semua risiko boleh dihapuskan. Ada juga risiko yang perlu ditanggung sebagai sebahagian daripada tuntutan dan tabii kontrak Islam yang digunapakai. Berikut dirumuskan beberapa pembahagian atau kategori risiko, sebagaimana yang telah digariskan oleh Asyraf Wajdi Dusuki (2009, h. 20):

1. Risiko yang mesti ditanggung

Risiko ini merupakan risiko yang wajib ditanggung dan tidak boleh dielakkan dalam usaha mendapatkan keuntungan. Sebagai contoh seperti yang disebut oleh Saiful Azhar Rosly (2005, h.82), peniaga yang menjalankan perniagaannya harus menanggung risiko sekiranya terdapat kerosakan, kecacatan atau susut nilai terhadap barangan jualannya sebelum barang tersebut diserahkan kepada pembeli. Oleh yang demikian, adalah menjadi pra-syarat dalam aktiviti kewangan Islam, peniaga menanggung risiko. Asas kepada kenyataan ini ialah berpandukan kepada kaedah "الغنم بالغرم" yang

Page 7: RISIKO_KEWANGAN

INTERNATIONAL CONFERENCE ON MANAGEMENT (ICM 2011) PROCEEDING

379

bermaksud keuntungan yang layak diterima oleh seseorang adalah berdasarkan kepada kadar kerugian atau risiko yang perlu ditanggung. Kaedah ini dibentuk bersandarkan kepada hadis Nabi s.a.w:

الخراج بالضمان

Maksudnya: Sesungguhnya keuntungan berdasarkan kepada kadar kerugian atau risiko yang juga perlu ditanggung (al-Nasa`i 2001; Ibn Majah).

Pada dasarnya hadis di atas menunjukkan kepentingan mengambil risiko untuk mendapatkan keuntungan hasil penjualan sesuatu barang. Perkataan daman itu sendiri menurut istilah fiqh merujuk kepada pelbagai makna yang saling berkaitan. Mazhab Maliki, Syafi’i dan Hanbali menggunakan perkataan dhaman bagi merujuk kepada jaminan (kafalah) dalam erti memenuhi kewajipan seseorang (dhimmah) oleh orang lain. Manakala mazhab Hanafi memahami dhaman sebagai kewajipan membayar pampasan terhadap kerosakan yang dibuat (Elgari, 2003). Walau bagaimanapun, majoriti fuqaha sependapat terhadap penggunakan istilah ini dalam konteks menanggung beban kerosakan barang yang dijual. Ini bermakna, penjual tidak berhak terhadap harga bayaran kecuali beliau menjamin bahawa barang yang dijual berada dalam keadaan baik sehingga barang tersebut selamat diserahkan kepada pembeli. Pembeli pula tidak boleh membayar harga barangan dan dalam masa yang sama menanggung risiko kerosakan barang. Ini jelas menunjukkan bahawa Islam meletakkan peraturan yang adil demi menjamin kestabilan ekonomi dan perdagangan.

Ini bermakna hak untuk memiliki sesuatu yang terhasil daripada perniagaan dan pelaburan adalah bergantung kepada tanggungan perbelanjaan dan tanggungjawab ke atas kerugian dan juga kerosakan yang berlaku. Hadis dan kaedah di atas juga menjadi landasan kepada prinsip pelaburan menurut Islam di mana keuntungan yang ingin diperolehi perlu disertai dengan kesanggupan untuk berkongsi risiko (Muhammad Ayub, 2007). Sehubungan itu, tidak harus dalam mana-mana aktiviti pelaburan mengandungi pemisahan antara الغنم (keuntungan) dan الغرم (kerugian); di mana pelabur layak menerima keuntungan tanpa menanggung الضمان (kerugian atau risiko).

2. Risiko yang diharamkan

Risiko yang diharamkan adalah yang berkaitan dengan aktiviti memperolehi kekayaan tanpa asas syarak di mana tiada pertumbuhan kekayaan sebenar diwujudkan. Antara risiko yang diharamkan ialah risiko yang mengandungi elemen ketidakpastian secara melampau (gharar fahish). Termasuk juga dalam kategori ini ialah gharar yang lahir hasil daripada perjudian (maysir) dan zero-sum game yang diharamkan oleh syarak (al-Suwailem, 2000).

Fuqaha sepakat mengatakan bahawa gharar fahish boleh membatalkan akad terutamanya uqud mu`awadat (Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti, 2006). Antara contoh yang dibawa oleh para fuqaha terdahulu berhubung dengan gharar fahish ialah:

i. Menjual susu binatang yang masih berada di kantung susu.

ii. Menjual bulu yang masih di badan haiwan

iii. Menjual anak yang masih di dalam perut ibunya (habal al-habalah)

iv. Menjual ikan di air

Page 8: RISIKO_KEWANGAN

INTERNATIONAL CONFERENCE ON MANAGEMENT (ICM 2011) PROCEEDING

380

v. Menjual burung yang berterbangan di udara

vi. Menjual buah sebelum matang

vii. Menjual sesuatu bahan galian yang belum di ambil dari dasar laut (darbat al-gha’is)

viii. Penangguhan harga bayaran ke satu masa hadapan yang tidak ditentukan

Kesemua contoh di atas merupakan amalan masyarakat terdahulu yang dibentangkan dalam penulisan fiqh klasik sebagai contoh bagi menggambarkan transaksi yang mengandungi gharar fahish. Sementara contoh gharar fahish yang paling jelas berlaku pada masa kini ialah perjudian di mana harga tertentu dibayar untuk hasil yang tidak diketahui. Unsur-unsur ketidakpastian inilah yang boleh mendedahkan seseorang kepada risiko.

Secara dasarnya, judi atau dalam bahasa Arab disebut sebagai qimar atau maisir, bermaksud apa jua aktiviti yang melibatkan pertaruhan, iaitu pihak yang menang akan mengambil semua pertaruhan dan pihak yang kalah akan kehilangan pertaruhannya (Ibn Qudamah, 1989). Definisi di atas menggambarkan bahawa perjudian merupakan suatu bentuk gharar fahish yang jelas kerana hasilnya tidak diketahui. Ibn Taimiyah juga menjelaskan bahawa gharar merupakan suatu perkara yang tidak diketahui akibatnya. Justeru, urusniaga yang mempunyai unsur sebegitu termasuk dalam kategori perjudian maka ia dilarang sama sekali. Hukum ini juga terpakai ke atas zero sum game. Hal ini kerana risiko yang ditanggung dalam permainan ini merupakan salah satu cara memakan harta orang lain secara batil kerana pemenang akan mengambil keuntungan di atas kekalahan pihak lain (al-Suwailem, 2000).

3. Risiko yang boleh dielakkan

Terdapat satu lagi kategori risiko yang mana tidak merangkumi mana-mana jenis risiko yang haram atau mesti ditanggung. Risiko jenis inilah yang menjadi fokus utama penulisan ini kerana risiko ini boleh dikawal dan dielakkan agar tidak berlaku sebarang kerugian. Malah, jika berlaku kerugian sekalipun, ia boleh dikurangkan ke tahap paling minimum. Justeru, pendekatan tertentu boleh diambil bagi mengelak atau berlindung daripada risiko ini. Allah juga telah menyatakan di dalam al-Quran bahawasanya Dia tidak mahu hambaNya berada di dalam kesusahan, sebaliknya menginginkan kesenangan ( Al-Baqarah (2): 185). Walau bagaimanapun, instrumen ataupun mekanisme yang hendak digunapakai untuk mengelak, mengurangkan mahupun melindungi nilai pelaburan atau aset terhadap risiko ini mestilah menggunakan pendekatan syarak.

Pada dasarnya para fuqaha telah menetapkan bahawa risiko yang boleh dipertimbangkan dalam kategori ini mestilah memenuhi syarat-syarat berikut iaitu kewujudannya tidak dapat dielak (inevitable), risiko tersebut terlalu kecil (insignificant) dan risiko tersebut bukan sengaja diadakan (unintentional) (al-Dharir,1990).

Page 9: RISIKO_KEWANGAN

INTERNATIONAL CONFERENCE ON MANAGEMENT (ICM 2011) PROCEEDING

381

Syarat pertama menjelaskan secara tidak langsung bahawa aktiviti ekonomi yang sebenar memang tidak boleh dicapai jika tidak mengambilkira risiko untuk memperoleh keuntungan atau menanggung kerugian. Syarat kedua pula berkaitan dengan darjah risiko. Kemungkinan untuk menanggung kerugian mestilah berada di tahap yang sedikit. Hal ini kerana cendiakawan telah menetapkan bahawa darjah kemungkinan rugi mesti kurang daripada darjah kemungkinan untung agar sesuatu risiko yang terlibat itu boleh diterima (al-Dharir, 1990). Manakala syarat yang ketiga pula merupakan kesinambungan daripada kedua-dua syarat sebelum ini. Secara umumnya objektif bagi aktiviti ekonomi yang normal adalah untuk mencipta nilai bukannya risiko.

6. Pembahagian Risiko Menurut Perspektif Ekonomi

Sementara itu, pembahagian risiko dari perspektif ilmu ekonomi pula boleh dilihat daripada pelbagai dimensi. Ini kerana terdapat pelbagai cara untuk mengklasifikasikan risiko. Ada yang mengklasifikasikan risiko bergantung kepada keputusannya (result), atau sumber kerugian, atau bergantung kepada tabiat (nature) risiko tersebut dan juga bergantung kepada kemudahan dan kesusahan yang dihadapi oleh seseorang (Elsefy, 2007).

Ada pula yang membahagikannya kepada risiko sistematik dan bukan sistematik. Risiko sistematik berhubung kait dengan pergerakan seluruh ekonomi, tahap pertumbuhan industri dan segala yang dianggap menyeluruh dan dapat menjejaskan tahap harga contohnya perubahan kadar faedah, kemelesetan dan peperangan (Kaufman & Scott, 2003). Faktor-faktor yang disebutkan tadi boleh menyebabkan risiko sistematik kerana semuanya mempengaruhi keadaan pasaran. Hakikatnya, risiko sistematik merupakan suatu risiko yang tidak dapat dihilangkan atau dikawal dengan melakukan diversifikasi kerana ketidakstabilan risiko ini dipengaruhi oleh faktor makro. Sedangkan risiko tidak sistematik pula dapat dikawal atau dielakkan melalui proses diversifikasi atau kepelbagaian. Ini kerana risiko ini hanya wujud dalam satu perusahaan atau industri tertentu. Faktor yang menyebabkan terjadinya risiko tidak sistematik ialah pengurusan yang lemah, kedudukan kewangan dan perolehan. Ini bermakna, risiko ini dapat dikesan melalui pembacaan dan membuat analisis terhadap data dan maklumat syarikat. Rujukan kepada penyata kewangan tahunan syarikat misalnya dapat memberi gambaran kemungkinan kewujudan risiko jenis ini (Salihin Ramli, 2000). Justeru, pelabur yang ingin mengurus risiko ini, boleh melakukan diversifikasi dalam portfolio pelaburannya.

Selain itu, risiko juga boleh dikategorikan kepada risiko perniagaan (business risk) dan risiko kewangan (financial risk) (Tariqullah Khan & Habib Ahmed, 2001). Risiko perniagaan muncul daripada tabiat sesuatu perniagaan seperti risiko pasar, risiko kredit, risiko kecairan dan sebagainya. Manakala risiko kewangan pula muncul daripada keberangkalian kerugian dalam pasaran kewangan yang disebabkan oleh pergerakan pembolehubah kewangan (financial variables) seperti risiko kadar tukaran wang asing, risiko ekuiti, risiko kadar faedah dan risiko harga komoditi (Jorion, Phillippe & Sarkis J. Khoury, 1996).

Risiko juga boleh dibahagikan kepada risiko primer dan risiko sekunder. Risiko primer merujuk kepada risiko yang tidak boleh dielakkan dan saling berkaitan antara setiap perniagaan. Manakala risiko sekunder boleh dihapuskan atau dilindung nilai dengan menggunakan beberapa instrumen derivatif kewangan (Al-Saati, 2002). Walaupun risiko primer tidak boleh dihapuskan secara keseluruhannya namun sebahagian tahap risiko tersebut dapat dikurangkan. Sebagai contoh, seorang peladang tidak boleh menghapuskan risiko harga (price risk) tetapi beliau boleh mengurangkan sebahagiaan daripada risiko tersebut dengan cara

Page 10: RISIKO_KEWANGAN

INTERNATIONAL CONFERENCE ON MANAGEMENT (ICM 2011) PROCEEDING

382

memasuki pasaran kontrak hadapan (forward contract) iaitu menjual sebahagian atau kesemua hasil tuaiannya yang akan diperolehi nanti pada masa sekarang.

Dalam bidang insurans pula, risiko boleh dibahagikan kepada dua iaitu risiko spekulatif dan risiko tulen (pure risk). Risiko yang pertama menggambarkan keadaan yang terdapat kemungkinan berlakunya kerugian dan juga keuntungan. Contohnya seorang pelabur yang membeli 100 unit saham menghadapi risiko spekulatif kerana pelaburannya mungkin mendatangkan untung jika nilai saham meningkat atau rugi jika nilai sahamnya merosot. Berbeza dengan risiko spekulatif, risiko tulen merupakan keadaan yang mana kerugian sahaja yang mungkin berlaku, dan tiada keuntungan yang mungkin diperolehi. Seorang pemilik rumah misalnya menghadapi kemungkinan rumahnya dimasuki pencuri atau terbakar. Jika tiada kecurian atau kebakaran, pemilik rumah tidak menghadapi kerugian. Di bawah risiko tulen, keputusan yang mungkin berlaku daripada sesuatu peristiwa adalah sama ada kerugian berlaku, atau neutral iaitu tiada kerugian. Risiko tulen ini adalah penting dalam bidang insurans kerana risiko ini merupakan asas kepada pembentukan insurans (Hendon Redzuan et al, 2006).

Kesemua kategori risiko di atas merupakan sebahagian daripada jenis-jenis risiko yang dapat dibentangkan dalam penulisan ini. Sebenarnya terdapat banyak lagi kategori risiko yang telah dibuat berdasarkan pemahaman seseorang individu atau sesebuah organisasi. Apa yang ingin ditekankan di sini ialah kesemua bentuk risiko mendatangkan kesusahan maka sebolehnya risiko-risiko tersebut ingin dihapuskan atau paling kurang dikurangkan ke tahap minimum. Sehubungan itu, pelbagai pendekatan diambil untuk mengurus risiko seperti membeli polisi insurans, mempelbagaikan portfolio pelaburan atau membeli kontrak derivatif. Oleh yang demikian, perlu diketahui bahawa Islam juga mempunyai perspektif tersendiri berhubung dengan konsep pengurusan risiko ini yang mana akan dibentangkan dalam topik seterusnya.

7. Pengurusan Risiko Menurut Islam

Pengurusan risiko bermaksud suatu prosedur dan proses untuk mengenalpasti, menganalisis, menilai serta mengendali risiko yang tidak diingini ke tahap yang paling minimum. Dalam mengurus risiko yang bakal dihadapi, sesebuah firma boleh menggunakan teknik meramal/ menjangka risiko, mengelakkan risiko atau memindahkan risiko atau sebarang kombinasi teknik tersebut (www.businessdictionary.com, 1 Mei 2011). Sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini, kewujudan risiko dalam aktiviti ekonomi tidak boleh dinafikan malahan ia dianggap penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan kestabilan kewangan secara menyeluruh. Namun dalam masa yang sama, usaha memaksimumkan keuntungan tetap menjadi agenda utama bagi mana-mana individu atau entiti yang terlibat dalam persekitaran kewangan yang penuh risiko ini. Justeru, Islam sebagai agama yang menekankan keadilan turut berperanan dalam meletakkan garis panduan berkenaan pengurusan risiko yang membentuk keseimbangan antara keperluan risiko dan keinginan mendapatkan untung agar keuntungan yang diraih setimpal risiko yang ditanggung.

Secara umumnya, risiko merupakan kejadian ataupun perkara yang mungkin berlaku dan berpotensi mengakibatkan kesan negatif seperti pengurangan nilai pendapatan dan aset serta kerugian yang tidak diingini. Berlandaskan kepada kefahaman di atas, jelaslah bahawa pengurusan risiko bukan sesuatu yang bercanggah dengan kehendak Syariah kerana Islam itu sendiri melarang umatnya terdedah daripada sebarang bencana atau musibah terhadap diri atau harta. Sedangkan bencana atau musibah itu merupakan perkara akan datang yang

Page 11: RISIKO_KEWANGAN

INTERNATIONAL CONFERENCE ON MANAGEMENT (ICM 2011) PROCEEDING

383

tidak pasti. Ini bermakna, Islam bukan sahaja mengiktiraf kewujudan risiko itu, bahkan menyarankan agar umat Islam mengambil langkah persediaan bagi mengelak atau mengurangkan kerugian ditimpa risiko-risiko tertentu. Hal ini dapat dibuktikan melalui dalil-dalil daripada al-Quran, al-Sunnah, dan penulisan fiqh yang menyentuh aktiviti lindung nilai secara langsung atau tidak langsung.

Terdapat banyak ayat di dalam al-Quran yang menunjukkan kepentingan melindungi sesuatu harta daripada risiko yang tidak diingini. Antaranya ialah Surah al-Baqarah ayat 282-283 yang menyarankan agar umat Islam merekod sebarang aktiviti muamalat yang dilakukan secara tangguh (hutang) serta mendatangkan saksi yang adil. Malah, sekiranya urusan tersebut berlaku semasa dalam perjalanan (safar), maka Allah membenarkan cagaran diambil untuk hutang yang telah diberi sebagai jaminan kepada pemberi hutang. Berdasarkan ayat di atas, konsep pengurusan risiko dapat dilihat melalui penetapan langkah berjaga-jaga dalam menguruskan urusan hutang-piutang daripada risiko yang tidak diingini. Maka, dapat kita fahami daripadanya bahawa tawakkal dan kepercayaan terhadap pihak lain sahaja tidak memadai, tetapi langkah-langkah untuk mengelakkan penipuan atau kerugian yang tidak munasabah harus diambil.

Pengurusan risiko juga mempunyai asas yang kukuh dalam al-Sunnah. Buktinya terdapat banyak

hadis yang menggambarkan kepentingan mengurus risiko antaranya ialah mengenai seorang Arab Badwi yang bertanyakan Rasulullah s.a.w. tentang mana yang lebih baik; meninggalkan untanya tanpa diikat dan memohon agar Allah s.w.t. melindungi untanya ataupun mengikat untanya. Rasulullah s.a.w. menyuruhnya mengikat untanya dan kemudian barulah bertawakkal kepada Allah s.w.t (al-Baihaqi, 2003; al-Tarmidhi). Hadis di atas menjelaskan tentang tawakal yang didahului dengan ikhtiar adalah dituntut. Hal ini kerana Islam mengajar kita supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya kejadian yang tidak terduga. Tanpa persediaan awal, kita mungkin berhadapan dengan risiko yang lebih berat lagi. Sehubungan dengan itu, risiko-risiko ini perlu diurus dengan bijaksana supaya kesan buruknya dapat dikurangkan.

Apa yang dapat disimpulkan daripada penerangan di atas ialah pengurusan risiko secara

umumnya adalah diharuskan dan dituntut oleh syarak. Ini bertepatan dengan konsep maslahah dan maqasid al-shari’ah yang antaranya memberi penekanan kepada penjagaan harta. Sebagaimana maklum, Syariat Islam diutuskan kepada manusia untuk menghasilkan kebaikan (جلب المصالح) kepada manusia dan menolak keburukan (درء المفاسد) daripada mereka.

8. Penilaian Terhadap Risiko-risiko Semasa Berdasarkan Kategori Risiko Menurut Islam

Dewasa ini, pertumbuhan dan perkembangan positif sistem kewangan dilihat semakin rancak ditambah pula dengan liberalisasi kewangan dan kemajuan teknologi yang meningkatkan persaingan dan meluaskan inovasi dalam pembangunan produk dan perkhidmatan, proses operasi dan saluran penyampaian. Walaupun perkembangan ini dapat merangsang ekonomi negara, namun sedikit sebanyak ia menyumbang kepada peningkatan profil risiko sesebuah institusi mahupun peniaga. Secara amnya, risiko-risiko yang baru muncul hasil daripada landskap kewangan ini lebih rumit dan memberikan implikasi sistemik yang mendalam kepada sistem kewangan. Ini meningkatkan keperluan kepada keupayaan pengurusan risiko yang lebih kukuh oleh industri dan lebih perhatian terhadap aspek ini oleh pengawal selia dalam memastikan kestabilan dan integriti sistem kewangan. Justeru, adalah penting bagi kita memastikan pemahaman dan kesedaran tentang risiko yang wujud dalam dunia pelaburan dan perniagaan dari perspektif syariah agar aktiviti pengurusan risiko yang dilaksanakan adalah selaras dengan kehendak syarak.

Page 12: RISIKO_KEWANGAN

INTERNATIONAL CONFERENCE ON MANAGEMENT (ICM 2011) PROCEEDING

384

Memandangkan terdapat banyak jenis risiko yang wujud dalam dunia hari ini, kajian ini hanya akan menumpukan kepada risiko-risiko yang berkaitan dengan bidang kewangan dan perbankan. Berikut dijelaskan sebahagian risiko-risiko yang harus dihadapi oleh mana-mana peniaga, pelabur atau institusi iaitu:

1. Risiko pasaran ditakrif sebagai kerugian yang mungkin timbul akibat perubahan faktor-faktor pasaran dan polisi dalam ekonomi. Perubahan ini boleh menjejaskan nilai instrumen kewangan dan hasil berkaitan aliran pelanggan serta perdagangan (Ismail Ibrahim, 1994). Pergerakan harga dalam pasaran yang berbeza telah menimbulkan pelbagai jenis risiko pasaran. Justeru, risiko pasaran boleh dikelaskan kepada risiko harga ekuiti, risiko harga komoditi, dan risiko matawang (Tariqullah Khan & Habib Ahmed, 2001).

2. Risiko kredit merupakan risiko yang melibatkan ketidakmampuan atau kegagalan sebelah pihak (counter party) memenuhi tanggungjawabnya sepertimana yang telah dipersetujui sewaktu menandatangani kontrak (al-Saati, 2003).

3. Risiko kecairan ialah kemungkinan kerugian yang timbul daripada situasi di mana kekurangan wang untuk memenuhi tuntutan penyimpan (depositor) dan peminjam atau harga penjualan aset tidak cair (illiquid asset) adalah kurang daripada harga semasa. Selain itu, ketiadaan pembeli untuk membeli aset tidak cair ketika ia perlu dijual turut menyebabkan risiko kecairan berlaku (Tariqullah Khan & Habib Ahmed 2001).

4. Risiko operasi meliputi kemungkinan terjadinya kepincangan dalam kawalan dalaman dan tadbir urus sesebuah syarikat sehingga menyebabkan kerugian kewangan. Aspek lain yang termasuk dalam risiko ini ialah kegagalan sistem teknologi maklumat dan sistem teknologi yang lain yang berkaitan dengan pengurusan sesebuah syarikat (Dadang Muljawan, 2008).

Setelah dibuat perbandingan di antara jenis-jenis risiko di atas dengan jenis-jenis risiko menurut Islam, maka boleh dikatakan risiko-risiko tersebut termasuk dalam kategori risiko yang boleh dielakkan. Hal ini kerana risiko-risiko tersebut lahir daripada persekitaran yang bukan di bawah kawalan manusia. Sedangkan risiko yang mesti ditanggung merupakan risiko yang lahir daripada kontrak dan boleh dikesan sewaktu melaksanakan kontrak. Risiko yang dimaksudkan ialah risiko yang berkaitan dengan fizikal barangan. Walaupun terdapat hadis ‘al-kharaj bi al-daman’ yang menjadi dasar kepada kewajipan menanggung risiko, namun hadis ini merujuk kepada beberapa risiko spesifik sahaja iaitu risiko berkaitan keselamatan barangan atau komoditi dan bukan risiko kerugian dalam perniagaan (Elgari, 2003). Dalam erti kata lain, perkataan daman yang disebut dalam hadis di atas mengandungi maksud yang berbeza daripada yang risiko-risiko di atas. Maksud dhaman tersebut terbatas kepada risiko yang melibatkan fizikal komoditi yang menjadi subjek kontrak seperti kerosakan dan ia tiada kaitan dengan persekitaran komoditi tersebut seperti perubahan harga pasaran atau nilai mata wang, sedangkan perubahan tersebut dianggap juga sebagai risiko. Ini bermakna risiko-risiko yang disebutkan di atas tidak termasuk di bawah prinsip ‘al-kharaj bi al-dhaman’ dan sekaligus menjelaskan bahawa risiko-risiko tersebut tidak semestinya ditanggung.

Sementara itu, mengaitkan risiko-risiko tersebut dengan risiko yang diharamkan adalah tidak tepat. Ini kerana risiko-risiko tersebut bukan dipilih oleh mereka yang terlibat dalam perniagaan berdasarkan nasib. Berbeza dengan mereka yang melibatkan diri dalam perjudian atau zero sum game yang bergantung semata-mata kepada nasib. Keadaan ini sudah tentu mendedahkan mereka kepada risiko yang amat tinggi sedangkan mereka mempunyai pilihan untuk tidak terjebak dengan aktiviti sebegitu. Manakala risiko-risiko seperti risiko pasaran, risiko kredit, risiko operasi dan risiko kecairan merupakan risiko yang lahir hasil daripada ketidaktentuan pasaran, sikap manusia, kecanggihan teknologi, yang mana kesemuanya di luar kawalan manusia. Malah, risiko-risiko tersebut mungkin berlaku walaupun terdapat pengawalselian daripada pihak berautoriti.

Page 13: RISIKO_KEWANGAN

INTERNATIONAL CONFERENCE ON MANAGEMENT (ICM 2011) PROCEEDING

385

Berdasarkan penerangan di atas, risiko-risiko yang harus dihadapi oleh mana-mana peniaga, pelabur atau institusi sebagaimana yang disebutkan di atas termasuk di dalam kategori risiko yang boleh dielakkan. Justeru, pendekatan tertentu boleh diambil untuk mengurus risiko tersebut selagimana pendekatan tersebut mematuhi kehendak syarak.

9. Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas dapatlah disimpulkan bahawa agama Islam mahupun ilmu ekonomi mengakui kewujudan risiko sebagai komponen yang terlibat dalam membina asas ekonomi global yang lebih kukuh dan lebih inklusif. Walau bagaimanapun, dengan transformasi dan pertumbuhan yang memberangsangkan, di samping kemunculan pelbagai produk dan perkhidmatan dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu menyebabkan timbulnya bermacam-macam risiko yang mana jika tidak diurus, boleh menyebabkan kemerosotan sistem kewangan Islam.

Sehubungan itu, Islam menganjurkan konsep pengurusan risiko kerana ia mendatangkan maslahah dan memenuhi prinsip maqasid al-shari’ah. Lebih-lebih lagi kebanyakan risiko-risiko yang muncul dalam dunia kewangan merupakan risiko yang boleh dielakkan. Ini bermakna, risiko-risiko yang berkaitan dengan aktiviti ekonomi sebenar wajar diurus, diminimakan dan dinuetralkan dengan kaedah tertentu.

Rujukan

Abu Ghuddah, ‘Abd al-Sattar (2006), al-Masrafiyah al-Islamiyah Khosoisuha wa Aliyatuha wa Tatwiruha. Kertas kerja di bentangkan di Muktamar al-Awwal li al-Masarif wa al-Muassasat al-Maliyah al-Islamiyah di Suriya, Damsyik pada 13-14 Mac 2006.

Al-‘Alawanah, Raniyah Zaidan Syahadah (2009). Idarah al-Mukhatirah fi al-Masarif al-Islamiyah, Amman: Dar ‘Imad al-Din li al-Nasyr.

Al-Baihaqi, Abi Bakar Ahmad bin Husain, (2003). al-Jami’ li Shu’bi al-Iman, Riyad: Maktabah al-Rushd, hadis 1161, jil. 2.

Al-Dharir, al-Sadiq Muhammad al-Amin, al-Gharar wa Atharuhu fi al-‘Uqud, Beirut: Dar al-Jil.

Al-Darir, Siddiq M.A. (1997). Al-Gharar in Contracts and Its Effects on Contemporary Transaction, IRTI, IDB, Eminent Scholars Lecture Series No. 16.

Al-Nasaei, Abi ‘Abd al-Rahman Ahmad bin Shua’ib (2001). Kitab al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Buyu’, hadis no. 6037, jil. 6, Beirut: Muassasah al-Risalah

Al-Saati, Abdul Rahim (2003). The Permissible Gharar (Risk) in Classical Islamic Jurisprudence. J.KAU: Islamic Econ., 16( 2), 5-9.

Page 14: RISIKO_KEWANGAN

INTERNATIONAL CONFERENCE ON MANAGEMENT (ICM 2011) PROCEEDING

386

Al-Saati, Abdul Rahim (2002). Sharia Compatible Futures. Journal of KAU: Islamic Econ, 15, 3-25.

Al-Suwailem, Sami (Oktober 1999, April 2000 ). Towards an Objective Measure of Gharar in Exchange. Islamic Economics Studies, 7(1 &2), 64-66.

Al-Tirmidhi, Muhammad bin ‘Isa bin Saurah, (t.t). Sunan al-Tirmidhi, Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Raqaiq wa al-War’, hadis 2517, Riyad : Maktabah al-Ma’arif li al-Nashr wa al-Tauzi’.

Al-Zamakshari, (1364H). al-Fa’iq fi Gharib al-Hadis, Kaherah, vol. 1.

Asyraf Wajdi Dusuki (2009). Islamic Hedging : Rationale, Necessity and Challenges. Dlm. Proceeding International Seminar on Muamalat, Islamic Economics and Finance 2009 (h.546). Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

Asyraf Wajdi Dusuki (2009). Konsep dan Operasi Swap Sebagai Mekanisme Lindung Nilai Dalam Institusi Kewangan Islam. Kertas Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-3 yang berlangsung di Jakarta pada 25-26 Mei 2009.

Athearn, James L. (1977). Risk and Insurance, New York: West Publishing Co.

Baalbaki, M & Baalbaki R.M (Eds). (2008). Al-Maurid, Lebanon: Dar al-‘Ilm Lilmalayin.

Bacha, Obiyatulla I. (2004). Value Preservation Through Risk Management. A shariah Complaint Proposal for Equity Risk Management. MRPA Paper 12632. Germany: University Library & Munich.

Black, John (1997). Oxford Dictionary of Economics, New York: Oxford University Press.

Dadang Muljawan (2008). Risk Management in Islamic Finance Issues, Challenges and Strategies to Mitigate the Risk. Dlm. D. Bakar & E. R. A. Engku Ali (Eds.), Essential Readings in Islamic Finance (h.381). Kuala Lumpur : Cert Publications.

Elgari, Mohamed Ali. (2003). Credit Risk in Islamic Banking and Finance. Islamic Economics Studies, Vol. 10, No. 2.

Elgari, Muhammad Ali. (t.t). Hedging Mechanism in Islamic Financial Institutions. Kertas kerja dibentangkan di persidangan ke 7 bagi Shariah Boards of the Islamic Financial Institutions- Auditing Unit for the Islamic Financial Institutions.

Elliot, Curtis M, dan Vaughan Emmett J. (1972). Fundamentals of Risk and Insurance, New York : John Wiley & Sons, Inc.

Elsefy, Hossam (2007). Islamic Finance: a Comparative Jurisprudential Study, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya.

George G. Kaufman & Kenneth E. Scott, (2003) The Independent Review, v. VII, n. 3, Winter 2003, hlm. 371. http://www.independent.org/pdf/tir/tir_07_3_scott.pdf, 14 Februari 2011. Hendon Redzuan, Rubayah Yakob & Mohamad Abdul Hamid (2006). Prinsip Pengurusan Risiko dan Insurans, Petaling Jaya: Prentice Hall.

Ibn Abidin, Muhammad Amin Bin Umar Abdin (1252 A.H.). Radd Al-Mukhtar ‘Ala Al-Durr Al-Mukhtar, The Bulaq Edition.

Ibn Hazm Ali (t.t). Al-Muhalla, Jil. 8, Beirut, Dar Al-Aafak Al-Hadiyra.

Ibn Majah, Abi ‘Abdullah Muhammad bin Yazid al-Qazwini, (t.t). Sunan Ibn Majah, Kitab al-Tijarat, hadis no. 2243, al-Riyad: Maktabah al-Ma’arif li al-Nasyr wa al-Tawzi’.

Page 15: RISIKO_KEWANGAN

INTERNATIONAL CONFERENCE ON MANAGEMENT (ICM 2011) PROCEEDING

387

Ibn Manzur, (t.t). Lisan al-‘Arab, Jil. 14, Kaherah: Dar al-Ma’arif.

Ibn Taimiyyah, Ahmad bin ‘Abd al-Halim bin ‘Abd al-Salam (1996). Tafsir Ayat Asykalat, jil. 2, cet. 1, al-Riyad: Maktabah al-Rusyd.

Ibn Taimiyyah, Ahmad bin ‘Abd al-Halim bin ‘Abd al-Salam (1987). Al-Fatawa al-Misriyah, Beirut: Dar al-Jil.

Ibn Qudamah, ‘Abdullah bin Ahmad bin Muhammd (1989). Al-Mughni, Kaherah: Hajr li al-Toba’ah wa al-Nasyr.

Ismail Ibrahim (1994). Pelaburan dalam Pasaran Sekuriti, Hadapan dan Opsyen, Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jorion, Phillippe & Sarkis J. Khoury (1996). Financial Risk Management domestic and International Dimensions, Cambridge: Blackwell Publishers.

Khan, Tariqullah & Ahmed, Habib (2001). Risk Management ; an Analysis of Issues in Islamic Financial Industry, Occasional Paper no. 5, Jeddah : Islamic Development Bank.

Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (2008). Kuala Lumpur: Suruhanjaya Sekuriti.

Madina, M. Z. (Ed.) (2001). Arabic-English Dictionary of the Modern Literary Language (1st ed.).

Megginson, William L. (1997). Corporate Finance Theory: Reading, Mass.: Addison-Wesley. Muhammad Ayub (2007). Understanding Islamic Finance, England: John Wiley & Sons

Saiful Azhar Rosly (2005). Critical Issues on Islamic Banking and Financial Markets, Kuala Lumpur: Dinamas Publication

Salihin Ramli (2000). Pasaran Niaga Hadapan: Melindung Nilai dan Spekulasi, Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.