Sejarah Burma Full Assignment

download Sejarah Burma Full Assignment

of 19

description

Membincangkan permasalah burma sebelum kemerdekaan, serta mengenalpasti permasalahan yang wujud dalam pembentukn wilayah burma

Transcript of Sejarah Burma Full Assignment

AJ20603 ( SEJARAH ASIA TENGGARA: ERA KOLONIASLISME / IMPERIALISME

AJ20603 ( SEJARAH ASIA TENGGARA: ERA KOLONIASLISME / IMPERIALISME

1.0 PENDAHULUAN Kecenderungan kedatangan kuasa-kuasa barat ke Asia Tenggara berlaku sekitar akhir abad ke-19 sehinggalah pada pertengahan abad ke-20. Dengan kata lain, kedatangan kuasa Eropah ini dilakukan bagi tujuan penjajahan dan kuasa-kuasa besar pada ketika itu seperti British, Perancis dan negara Eropah lain sedang bersaing menjadi kuasa utama. Oleh itu, negara-negara ini giat berusaha meluaskan tanah jajahan mereka. Hal ini menyebabkan bermulalah penjajahan British di Myanmar, Perancis di Vietnam dan beberapa siri penjajahan kuasa-kuasa lain di sekitar Asia Tenggara.[footnoteRef:1] [1: Abu Talib Ahmad, 1991, Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.]

Umumnya, penjajahan atau imperialisme ini bermaksud satu kecenderungan sesebuah masyarakat atau negara untuk menguasai sesebuah masyarakat atau negara yang lain dengan menggunakan apa juga cara dan untuk apa juga tujuan. Faktor utama penjajahan kuasa-kuasa Eropah atau imperialisme ini dijalankan adalah bagi mendapatkan tanah jajahan bagi membuktikan kekuasaan politik mereka kepada negara lain. Negara atau kuasa yang mempunyai kawasan taklukan yang luas pada ketika itu akan dipandang tinggi oleh kawan dan lawannya. Dasar imperialisme ini juga berlaku adalah kerana negara-negara kuasa besar ingin menguasai ekonomi negara jajahan. Penguasaan ekonomi ini amat diperlukan kerana berlakunya revolusi perindustrian terutamanya di Eropah yang memerlukan sumber bahan mentah yang banyak[footnoteRef:2]. Selain itu, negara-negara Eropah melakukan dasar imperialisme ini juga kerana mereka mengatakan bahawa mereka bertanggungjawab mentamadunkan rakyat di Asia Tenggara yang dianggap tidak bertamadun. Mereka menggunakan slogan beban orang putih sebagai alasan melakukan mentamadunkan negara jajahan melalui penjajahan. [2: David Joel Steinberg(e.t all), 1981, Mengenali Sejarah Asia Tenggara Moden, Dewan Bahasadan Pustaka, Kuala Lumpur.]

Myanmar atau pada asalnya disebut Burma sebelum tahun telah diasaskan oleh keturunan Alaungpaya iaitu pengasas Dinati konbaung pada 1752 dan berakhir pada 1885 selepas dijajah oleh British semasa pemerintahan Raja Thibaw[footnoteRef:3]. Penjajahan British di Myanmar berlaku pada tahun 1886 adalah ekoran daripada beberapa siri perjanjian dan peperangan seperti Perang Inggeris-Myanmar 1, Perang Inggeris-Myanmar 2 dan akhirnya Perang Inggeris-Myanmar 3. Pelbagai perjanjian telah dimeterai oleh kedua-dua pihak seperti Perjanjian Yandabo, namun perlanggaran syarat-syarat perjanjian ini menyebabkan peperangan dan persengketaan berlaku berterusan. Peperangan yang berlaku ini menyebabkan Arakan dan Tenasserim ditakluki selepas Perang Inggeris-Myanmar 1. Pegu pula jatuh ke tangan Inggeris selepas Perang Inggeris-Myanmar 2 dan Ulu Burma ditakluki selepas Perang Inggeris Myanmardan berakhirlah pemerintahan Dinasti konbaung. [3: http://ms.wikipedia.org/wiki/Myanmar ]

2. FAKTOR PEDUDUKAN BRITISH DI BURMAPOLITIK1) Masalah Dalam Pentadbiran BurmaMasalah dalam pentadbiran Burma bermula apabila Burma menakluki Arakan. Penaklukan Arakan dilakukan oleh Raja Bodawpaya pada tahun 1784. Penaklukan ke atasnya itu merupakan peristiwa yang paling penting sekali dalam zaman pemerintahan Bodawpaya; kerana sempadan Burma telah meluas sehingga ke kawasan India . Penaklukan tersebut menyebabkan Burma mempunyai sempadan yang sama dengan British di wilayah Chittagong. Keadaan di sempadan Arakan-Chittagong adalah tidak stabil kerana terdapat sebilangan besar orang pelarian Arakan yang menggunakan wilayah British untuk menentang pemerintahan Burma. Arakan ditadbir oleh seorang gabenor Burma.[footnoteRef:4] [4: John Bastin dan Harry J. Benda, 1977, Sejarah Asia Tenggara Moden, Penjajahan Nasionalisma dan Kebijajahan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur]

Penawanan Arakan oleh Burma menandakan bermulanya pertikaian antara British dan Burma yang akhirnya mengakibatkan perang pada tahun 1824. Orang pelarian Arakan di bawah pimpinan Nga Than De dan Chan Byan telah memberontak menentang pemerintahan Burma pada tahun 1794 dan 1811. Sebagai tindak balas, askar-askar Burma seringkali memasuki wilayah British untuk menawan pemberontak-pemberontak yang melarikan diri ke Chittagong. Tindakan askar Burma ini telah mengancam ketenteraman wilayah British. Orang Burma pula mula mengesyaki bahawa orang pelarian Arakan menerima bantuan daripada British. Malahan terdapat pertempuran-pertempuran kecil di antara askar Burma dengan pihak British di kawasan sempadan Arakan-Chittagong. Hal ini telah memburukkan hubungan British Burma yang akhirnya menyebabkan peperangan.Kekacauan politik juga berlaku semasa pemerintahan Raja Thibaw. Semasa pemerintahan Raja Thibaw (1878-85), Burma Hulu mengalami kekacauan politik yang serius. Raja Thibaw telah membunuh kira-kira 80 ahli keluarga diraja dalam Februari 1879 kerana khuatir satu pemberontakan akan meletus. Pembunuhan secara beramai-ramai juga telah berlaku di Mandalay pada tahun 1884. Dalam pada itu, Burma juga berada dalam keadaan kacau bilau. Orang Kachin telah memberontak dan gerila-gerila Cina telah membakar bandar Bhamo dan kebanyakan dari puak Sawbwa Syan yang tertakluk menderhaka kepada Ava . Kekacauan politik ini telah menambahkan desakan-desakan daripada golongan pedagang Inggeris di Rangoon bagi penaklukan Burma Hulu oleh Britain. Ini adalah kerana keadaan kacau bilau di Burma Hulu telah mengganggu perdagangan.

2) Masalah dalam hubungan diplomatik.Kemerosotan hubungan diplomatik telah menyebabkan peletusan perang British Burma yang pertama. British telah menghantar beberapa utusan antara tahun 1795 hingga 1811 (seperti Michael Symes pada tahun 1795 dan 1802, John Canning pada tahun 1809 dan 1811). Mereka dihantar untuk menyelesaikan masalah-masalah sempadan Arakan-Chittagong, masalah perdagangan dan perluasan pengaruh Perancis di Burma. Utusan-utusan tersebut telah gagal menyelesai masalah tersebut dengan sempurna. Kegagalan ini disebabkan oleh keangkuhan ketenteraan Burma dan syak wasangka antara kedua pihak. Malahan kedua-dua Residen British yang dihantar ke Rangoon iaitu Hiram Cox dan Lt. John Canning terpaksa pulang ke India pada tahun 1798 dan 1803 akibat layanan buruk oleh pegawai istana Burma. Burma enggan mengadakan hubungan diplomatik secara langsung dengan Gabenor Jeneral India yang dianggap sebagai tidak setaraf dengan rajanya. Hubungan diplomatik antara British dan Burma telah putus pada tahun 1811. Hal ini telah merintis kepada peletusan perang British Burma yang pertama.Selepas penarikan residensi British di Burma pada tahun 1840, kerajaan British di Calcutta telah menerima banyak aduan mengenai layanan buruk kerajaan Burma terhadap pedagang-pedagang British. Pedagang-pedagang mengadu tentang pengenaan cukai-cukai yang tidak adil. Gabenor Pegu, Maung Ok memang terkenal dengan pemerasan pedagang-padagang British kerana raja Pagan memberi kuasa kepada Maung Ok yang bersifat anti British . Pada bulan Julai dan Ogos tahun 1851, Maung Ok telah mengenakan tuduhan-tuduhan membunuh dan menipu terhadap dua orang kapten British iaitu Sheppard dan Lewis. Beliau telah memaksa mereka membayar denda sebanyak 1000 rupi. Shepard dan Lewis seterusnya mengadu perkara ini kepada kerajaan British di India. Gabenor General British iaitu Lord Dalhausi telah mengambil keputusan untuk bertindak dengan tegas. Peristiwa ini telah memberi kesempatan kepada kerajaan British (terutamanya Lord Dalhausie) untuk memberi satu pengajaran kepada orang Burma dan menguasai Burma.Masalah kasut juga menyebabkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara putus. Masalah kasut timbul semasa pemerintahan Raja Mindon Min (1853-78). Mengikut adat Burma, orang Barat yang ingin menghadap raja harus menanggalkaan kasut mereka dan duduk bersila di lantai. Pihak British pula menganggap peraturan ini sebagai merendahkan maruah mereka . Pada tahun 1875, kerajaan British di India telah mengarahkan Residen Shaw di Mandalay untuk tidak menanggalkan kasut ketika mengadap raja. Hal ini telah menbangkitkan kemarahan Raja Mindon dan seterusnya tidak ingin menemui Residen British sekiranya amalan tradisional tersebut tidak dipatuhi. Akibatnya, selepas tahun 1875 tidak terdapat sebarang hubungan secara langsung antara raja Burma dan Residen British. Malahan pada tahun 1879, Residen British di Mandalay telah ditutup. Burma seterusnya ingin mengadakan hubungan secara langsung dengan kerajaan British. Langkah Burma ini telah ditolak oleh kerajaan British. Pemutusan hubungan diplomatik telah menyebabkan kemerosotan hubungan British Burma. Hal ini telah menjadi salah satu sebab penting peletusan perang British Burma yang ketiga.

3) Penukaran Kerajaan di BritainSebenarnya terdapat sesuatu yang unik tentang Britain ini iaitu, hanya terdapat dua parti politik sahaja yang terlibat dalam perjalanan politik di Britain iaitu Parti Liberal dan Parti Konservetif. Terdapat beberapa fakta yang menarik tentang kedua-dua parti ini iaitu pada 1868, Parti Konservatif di bawah Perdana Menteri Benjamin Disraeli telah dikalahkan dan diganti dengan Parti Liberal di bawah pimpinan William Gladstone yang bersifat anti-imperialis.Tetapi pada 1874 Parti Liberal telah dikalahkan dan diganti semula dengan Parti Konservatif yang memang menjalankan dasar imperialisme, dan perubahan pimpinan ini berlaku beberapa kali sehingga pada bulan Jun 1885, Parti Konservatif sekali lagi mengambil alih pimpinan daripada Parti Liberal . Parti Konservatif sebenarnya telah mengamalkan dasar yang lebih tegas terhadap Burma. Kemunculan Parti konservatif telah memungkinkan tindakan yang lebih berkesan di Hulu Burma, terutamanya yang melibatkan persaingannya dengan kuasa Perancis .4) Mengekang kuasa PerancisSebenarnya agak menarik membincangkan tentang Burma atau Myanmar ini, iaitu apabila menyentuh tentang peranan Perancis menyebabkan British campur tangan dalam perjalanan politik Burma. Tetapi yang sebenarnya British telah campur tangan awal lagi dalam politik Burma, namun tindakan pemerintah Burma yang menjalinkan hubungan dengan Perancis menyebabkan British rasa curiga dengan tindakan ini. Perancis sebenarnya juga telah lama berdagang di kawasan Timur ini dan kehadiran Perancis telah menimbulkan pergeseran terutamanya dengan British . Perkara yang sebenarnya ialah pergeseran yang berlaku di Burma adalah kerana tindakan kedua-dua kuasa ini yang telah lama bergeseran merebutkan kawasan di Timur ini seperti wilayah-wilayah di India termasuklah Burma.Perkara ini diburukkan lagi semasa Perang Kemerdekaan Amerika, apabila pihak Perancis mengambil kesempatan menyerang kemudahan PERDAGANGAN dan perkapalan British sehingga menyebabkan kerosakan yang teruk kepada British . Perkara yang berlaku pada peringkat awal ini menyebabkan British dapat bertolak ansur lagi, tetapi apabila fasa ketegangan British-Perancis memasuki peringkat pertengahan dan akhir abad ke-19 menyebabkan pihak British tidak dapat bertolak ansur lagi.Raja Mindon Min (1852-1878) yang telah mula merintis jalan dengan menjalinkan hubungan akrab dengan Perancis sehingga menyebabkan British merasa tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh pemerintah British ini. Pada tahun 1872 Mindon Min telah menghantar Perdana Menterinya Kinwun Mingyi ke Britain tetapi dalam perjalanan beliau dan rombongannya telah melakukan perundingan perjanjian dengan Perancis untuk meminta jasa baik Perancis bagi membantu Burma untuk membangunkan istana, mengawasi percetakan wang Mindon yang baru . Perhubungan dengan Perancis inilah yang menyebabkan British berasa terkilan dengan Burma. Sebenarnya terdapat beberapa isi perjanjian yang telah dilakukan, seperti Burma berkehendakkan import senjata dari Perancis, Perancis mahukan hak monopoli diraja yang paling kukuh iaitu lombong batu delima di Mogok, Perancis akan membekalkan pegawai tentera untuk melatih tentera Burma, dan yang terakhirnya orang Perancis yang berada di Burma akan tertakluk kepada undang-undang mahkamah Burma .Perkara ini tidak menjadi kerana melebihi kesanggupan dan telah ditolak oleh Menteri Luar Negeri Perancis. Situasi ini juga kerana dalam usaha mengesahkan perjanjian itu dengan Burma, wakil Perancis telah bertemu dengan wazir India dan menjamin bahawa Perancis tidak mempunyai apa-apa niat terhadap Burma. Jika dipandang dari satu sudut yang lain jelaslah bahawa Perancis pada peringkat ini masih mahu mengelakkan pergeseran dengan British di India dan cubaaan masuk ke dalam Burma adalah dilakukan secara halus, lemah-lembut dan penuh dengan tolak ansur terhadap Burma dan British khususnya.Apabila pemerintahan Burma diganti oleh Raja Thibaw dari tahun 1878 hingga 1885 , telah berlaku pelbagai perubahan yang berkaitan dengan Perancis dan Burma ini. Raja Thibaw sebenarnya merupakan seorang yang sangat tegas dalam masa pemerintahannya. Beliau telah menarik diri daripada perundingan Manipur kerana kegagalannya menggunakan Perancis untuk melawan Britain. Beliau juga tahu Britain tidak senang hati dengan Perancis di Annam serta Tongking, dan dengan jahilnya telah mengambil langkah menyambung semula rundingan yang dibatalkan semasa ayah beliau dahulu . Beliau telah bertindak membuat perjanjian perdagangan dengan Perancis dan telah menghantar wakilnya Atwinwun ke Paris untuk membuat perjanjian yang ditandatangani pada 1 Januari 1885. Tetapi sebelum itu, British telah mendapat tahu bahawa soal lama yang pernah dikemukakan oleh Mindon Min telah ditimbulkan lagi oleh Raja Thibaw, mengenai penjualan senjata ada dimasukkan dalam perjanjian. British minta wakil Perancis Jules Ferry agar tidak memasukkan perjanjian mengenai pembelian senjata dan beliau telah memberikan jaminan yang penuh bahawa peluang membeli senjata tidak akan dimasukkan sebagai syarat perjanjian .Keadaan ini sedikit sebanyak telah meredakan keadaan tegang yang timbul ekoran perjanjian ini . Walaupun begitu, tindakan yang ditunjukkan oleh wakil Burma ini dan pihak Perancis sendiri tetap mencurigakan pihak British kerana mereka juga sedar akan tindakan Perancis yang datang ke Burma adalah atas dasar ingin mengambil peluang yang tersedia sama seperti mereka. Hal ini juga kerana, mereka sedar bahawa pihak Burma juga telah lama tidak berpuas hati kepada mereka ekoran pengambilan kawasan Burma dalam Perang British-Burma I dan II dahulu.Duta British telah menemui wakil Perancis iaitu Jules Ferry dan menyatakan mereka akan menggunakan kekerasan kepada Burma sekiranya pihak Perancis masih lagi terlibat dalam perkara ini, namun untuk mengurangkan keraguan itu pihak Perancis melalui Jules Ferry telah menyatakan kepada British bahawa perjanjian yang ditandatangani hanyalah perjanjian perdagangan biasa yang tidak mengandungi apa-apa perjanjian politik atau tentera kecuali wakil Perancis akan ditempatkan di Mandalay . Sebenarnya pihak Perancis melalui Freederic Haas ada menyatakan nasihat kepada Raja Thibaw supaya memperbaiki hubunganya dengan British tetapi tidak dipedulikannya, sebaliknya beliau tidak mahu menerima semula Residen British.Malahan Raja Thibaw telah membenarkan Perancis menubuhkan BANK di Mandalay, pembiayaan pembinaan jalan keretapi dari Mandalay ke Toungoo oleh Perancis sehingga menimbulkan khabar angin bahawa orang Perancis akan mengambil alih pengurusan hak monopoli diraja, mengawasi perkhidmatan pos, menjalankan kapal-kapal api di sungai Irrawadi, dan dapat menyewa lombong-lombong batu delima. Tetapi tanpa disangka telah berlaku perkara yang buruk iaitu surat perjanjian yang ditandatangani oleh Jules Ferry dengan wakil Burma telah bocor, iaitu yang menyatakan bahawa sebaik sahaja keamanan di Tongking dapat dipulihkan alat-alat senjata akan dihantar ke Burma melalui negeri terbabit[footnoteRef:5] . [5: Sufian Bin Taimon, 1972, Intisari Sejarah Asia Tenggara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur.]

Peristiwa terakhir yang melibatkan Perancis ialah, tentang tindakan Raja Thibaw terhadap Syarikat Bombay Burma TRADING Corporation yang menjalankan perusahaan balak Jati di kawasan Burma. Raja Thibaw yang tidak begitu menyukai British telah mengambil tindakan terhadap syarikat ini dengan menyatakan bahawa syarikat ini telah mengeluarkan hasil balak melebihi dua kali ganda daripada yang dibenarkan oleh Burma, menyuap pegawai kerajaan, dan gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak Burma. Perkara ini diburukkan lagi dengan khabar angin yang bahawa perkongsian akan ditubuhkan dengan Perancis sekiranya syarikat itu diusir. Dalam pada itu syarikat ini telah didenda sebanyak dua kali ganda daripada jumlah yang dituduh tipu itu . Ini menyebabkan pihak British berasa tidak berpuas hati.SOSIAL1) Menyebarkan agama kristianAgama kristian mula menampakkan pengaruhnya yang besar dalam sejarah di rantau Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur sejajar dengan kedatangan orang Eropah ke rantau tersebut. Kehadiran kuasa Eropah telah bermula sekurang-kurangnya abad ke-16 dengan dimulakan dengan kuasa Portugis yang berjaya muncul sebagai kuasa maritim yang kuat ketika itu. Halangan-halangan untuk memperoleh barangan dari Timur yang mempunyai harga yang tinggi di pasaran Eropah mendesak mereka mencari laluan alternatif daripada laluan sedia ada yang telah dikuasai oleh pedagang Islam. Dalam masa yang sama misi mereka bukan sahaja sekadar barangan dari Timur malah mereka juga mempunyai cita-cita untuk menyebarkan agama Kristian disamping memperoleh penghormatan peribadi. Oleh yang demikian tugas penjelajahan mereka lebih terikat memenuhi Tiga G, iaituGoldatau Emas, Glory atau keagungan dan God atau menyebarkan agama kristian.Bermula dengan Portugis, kuasa-kuasa lain kemudiannya sepanjang abad ke-17 hingga abad ke-19 turut mengembangkan agama ini. Walaupun kuasa-kuasa besar seperti Belanda dan British lebih berminat dengan ekonomi berbanding dengan penyebaran agama, namun tidak dapat disangkal, mereka juga mempunyai misi yang sama dengan Portugis dan Sepanyol walaupun dalam skala yang lebih minimum. Kejayaan kuasa Eropah terutamanya pada abad ke-19 dan 20 dalam menguasai dan mendominasi Asia Tenggara, telah menjadi instrumen penting dalam usaha mereka menyebarkan agama Kristian.Manakala kemasukan pentadbiran British di Myanmar telah mengancam kedudukan pengaruh agama Buddha di negara itu. Ancaman itu nampak semakin ketara pada sistem pendidikan agama Buddha yang semakin merosot. Manakala golongan Mubaligh Kristian pula cuba menyebar agama Kristian dikalangan penduduk pedalaman seperti puak Chin dan Kare. Selain itu orang British tidak menghormati agama Buddha apabila mereka menggunakan kasut di kuil-kuil Buddha. Kes ini seolah-olah mencemari agama Buddha. Oleh itu golongan sami Buddha merupakan golongan yang pertama yang menyemarakkan semangat perpaduan di kalangan rakyat Myanmar. Pertubuhan Belia Agama Buddha merupakan contoh terbaik untuk memperlihatkan peranan agama Buddha di Myanmar. Mereka mempunyai peranan penting dalam merangsang semangat nasionalisme.

EKONOMI1) PerdaganganPotensi perdagangan Burma Hulu telah menarik minat golongan pedagang British. Mereka juga bercita-cita menjalankan perniagaan dengan bahagian barat negara China melalui Burma Hulu. British ingin memperluas perdagangan mereka di Burma, tetapi mengalami kesulitan kerana menghadapi pegawai-pegawai Burma yang korup. Pedagang British terpaksa mambayar harga yang lebih tinggi untuk mendapatkan barang dagangan dari Burma. Golongan pedagang ini melalui Dewan Pernigaan Rangoon dan dewan-dewan perniagaan di Britain telah mendesak kerajaan Britain untuk menawan Burma Hulu. Peraturan-peraturan perdagangan yang terhad di Burma Hulu telah mengakibatkan ketidakpuasan hati golongan pedagang. Keengganan Kerajaan Burma untuk mematuhi perjanjian-perjanjian perdagangan tahun 1862 dan 1867 telah menambah ketidakpuasan mereka.Mengikut perjanjian-perjanjian perdagangan tersebut, Raja Burma hanya mempunyai monopoli ke atas minyak batu permata dan kayu jati. Tetapi dari segi amalan, monopoli Raja Burma telah diperluas ke atas kapas, gandum, gula, gading dan cutch. Akibat tekanan daripada golongan pedagang British di Rangoon dan Britain merupakan satu faktor penting bagi peletusan Perang British-Burma.

2) BerasBurma terkenal dengan aktiviti pertanian terutama sekali beras. Eksport beras menjadi punca ekonomi Burma yang banyak memberi keuntungan kepada British. Beras terbaik dihasilkan di pinggir Sungai Kaladan dan Lemyo dengan Akyab menjadi pusat komersialnya khususnya pada tahun 1852 . Adas pula telah membahagikan perkembangan ekonomi kepada tiga peringkat iaitu peringkat pertama, di antara tahun 1852-1900, peringkat kedua, di antara tahun 1900-1930 dan peringkat ketiga di antara tahun 1930-1941 . Pada peringkat pertama inilah, penglibatan aktif penduduk tempatan dalam aktiviti pertanian terutama pertanian padi sawah. Perkembangan penanaman padi berlaku kerana kawasan delta merupakan kawasan petempatan tradisi orang-orang Mon (salah satu kaum di Burma). Apabila berlaku peperangan kurun ke-18, telah menyebabkan kawasan itu diabaikan malah hampir ditinggalkan dan mempunyai penduduk yang sedikit. Perkara ini memudahkan kerajaan British membuka tanah untuk pertanian. Pihak British ingin menggalakkan perdagangan eksport secara persendirian dan juga mahukan semua tanah pertanian yang baru itu diberikan kepada petani-petani kecil yang merdeka. Di samping itu, kerajaan British juga telah membuat pelaburan untuk memajukan kawasan itu, ia telah membina sistem pengairan dan pengangkutan yang lebih baik. Sebagai balasannya petani dikehendaki membayar cukai. Kawasan delta mempunyai penduduk yang sedikit menyebabkan petani-petani pendatang diperlukan untuk mengusahakan tanah-tanah baru itu. Oleh itu, migrasi pekerja telah berlaku di antara Burma Hulu ke Burma Hilir serta pendatang India. Modal untuk memulakan tanaman juga agak mudah diperolehi. Pada masa itu para petani boleh meminjam dengan mencagarkan tanah baru yang menjadi hak milik mereka itu. Pada mulanya mereka meminjam daripada peminjam-peminjam bangsa Burma, tetapi kemudian selepas 1880 peminjam-peminjam profesional India (Ceti) membekalkan sebahagian besar daripada pinjaman itu.Perkembangan pertanian pada 1852-1900 menyebabkan berlaku penghijrahan secara besar-besaran dari Burma Hulu, Tenasserim dan Arakan sehingga menyebabkan kebudayaan Mon di delta Irrawadi telah digantikan dengan kebudayaan orang Burma. Penghijrahan bukanlah merupakan satu perkara baru bagi orang Burma kerana ada pepatah Burma yang berbunyi tanpa berpindah seseorang itu tidak akan menjadi terkenal atau masyhur . Pada awalnya perkembangan pertanian padi sawah sangat baik. Misalnya berlaku pertambahan dalam keluasan tanah dari 700 000 ekar kepada 6 juta ekar di antara tahun 1855-1906, yang seterusnya membawa kepada peningkatan jumlah eksport padi daripada 162 000 tan kepada 2 juta tan . Hingga awal tahun 1900, Burma, Thailand dan Vietnam telah dapat membekalkan 70% daripada jumlah eksport beras dunia. Di antara ketiga-tiganya itu, Burmalah pengeluar yang terbanyak.Dengan berlakunya perkembangan dalam pertanian padi sawah ini, British telah membawa masuk orang India untuk atasi masalah kekurangan tenaga buruh dalam pertanian padi dan menyebabkan berlakunya pertambahan dalam kemasukkan orang India ke Burma. Misalnya pada 1870, terdapat 15 000 buruh dari India membanjiri Burma dan pada 1872, meningkat kepada 37 500 orang atau dua peratus daripada jumlah penduduk Burma di Hilir dan angka ini telah meningkat kepada 297 000 pada 1901 atau tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di Burma Hilir . Kemasukan tenaga buruh dari India ini telah menyebabkan berlakunya persaingan dalam pekerjaan dengan penduduk tempatan.Akibat perkembangan pertanian yang pesat, berlaku kekurangan tanah pertanian yang telah menyebabkan timbulnya masalah. Petani tempatan mula menanggung hutang kerana hasil yang diperolehi sedikit sedangkan cukai perlu dibayar. Petani tempatan tidak berupaya untuk menyaingi petani dari India dan mereka hanya memperolehi hasil yang sedikit bagi setiap ekar tanah kerana beberapa sebab iaitu kurangnya penggunaan baja moden, benih yang kurang baik, cara pertanian tradisi yang tidak sesuai, tiada pertanian secara besar-besaran dan tidak mempunyai modal yang besar.Akibatnya orang India banyak menguasai tanah dan pada penghujung 1900, enam peratus tanah pertanian di delta dan 19 peratus bagi tanah yang dikuasai oleh bukan petani . Keadaan menjadi lebih teruk pada tahun 1930-an apabila harga beras di pasaran jatuh, menyebabkan golongan petani tempatan tidak dapat membayar hutang dan akhirnya banyak tanah lesap ke tangan peminjam-peminjam modal yang rata-ratanya terdiri daripada golongan ceti India.3) MinyakMinyak telah dilombong semenjak zaman pemerintahan raja-raja Burma lagi. Telaga-telaga minyak kebanyakannya berpusat di Yenangyaung dan selama beberapa abad telah membekalkan kepada rumah-rumah orang Burma dengan bahan api untuk menyalakan pelita-pelita dan juga membolehkan kayu-kayu, tikar dan manuskrip yang dibuat daripada daun palma yang diawet . Pada masa itu, telaga-telaga minyak digali secara primitif atau tradisional iaitu dengan menggali telaga-telaga minyak dengan tangan. Cara ini memerlukan masa yang panjang sedangkan hasil yang diperolehi sedikit dan tidak mencukupi sehinggakan minyak tanah terpaksa diimport dari Amerika untuk memenuhi keperluan penduduk Burma.British yang melihat potensi Yenangyaung yang mempunyai banyak hasil minyak telah bertindak membuka sebuah firma iaitu Burma Oil Compony pada 1886 di Rangoon. Pada awalnya firma British ini hanya menjalankan kegiatan dalam perusahaan minyak tempatan, tetapi kemudiannya firma ini bertindak membeli pajakan-pajakan kerajaan dan juga telaga-telaga minyak persendirian. Dalam masa lima tahun, firma ini berjaya mengeluarkan minyak tanah yang mencukupi sehinggakan kerajaan tidak perlu lagi mengimport minyak dari Amerika. Malahan, syarikat ini telah mengeksport minyak yang pertama ke India dan pada tahun 1896 ke Pulau Pinang. Saluran paip minyak juga telah dibina oleh syarikat ini 10 tahun kemudian yang menghubungkan kawasan-kawasan minyak ke kilang penapisannya di Syriam.Pada waktu ini orang yang memonopoli sektor perlombongan adalah orang British. Hal ini kerana, orang British yang menubuhkan syarikat perlombongan dan orang India juga ada yang bekerja dalam syarikat ini serta ada yang bekerja di lombong-lombong sebagai kuli. Antara syarikat perlombongan British yang ditubuhkan selepas 1900 ialah Indo-Burma Petroleum Compony, British Burma Petroleum Company dan Nath Singh Oil Company .Perkembangan dalam perlombongan minyak tanah semakin baik selepas abad ke-19. Perkembangan ini dikaitkan dengan kedatangan orang Cina khususnya selepas 1900-an. Secara kesimpulannya kebanyakan aktiviti perlombongan ini juga dimonopoli oleh syarikat British. Kebanyakan penduduk tempatan hanya terlibat dengan menjadi buruh-buruh sahaja. Kedatangan orang India untuk bekerja dalam perlombongan minyak di Burma telah menyebabkan persaingan untuk mendapatkan pekerjaan berlaku. Keadaan ini diburukkan lagi apabila harga beras jatuh dan para petani yang pada awalnya ramai yang tertumpu di Burma Hilir beramai-ramai berhijrah ke Burma Hulu.

4) Pembalakan (kayu jati)Kayu jati merupakan salah satu daya penggerak penjajahan British di Burma dari segi ekonomi. Tambahan pula, ekonomi Burma juga bergantung kepada aktiviti pembalakan khususnya pembalakan kayu jati yang diperlukan untuk pembinaan kapal. Bahkan kayu jati merupakan sumber hasil bumi yang paling dihargai oleh masyarakat Burma kerana nilai komersialnya yang lebih tinggi berbanding padi (beras) yang tidak boleh dieksport berdasarkan polisi kerajaan Burma. Buktinya, pada tahun 1752, Maharaja Alaupaya telah mengisytiharkan kayu jati sebagai `pokok diraja`, manakala lebih kurang seratus tahun kemudiannya, Lord Dalhousie telah menjadikan kayu jati sebagai `Harta Milik Kemahkotaan British`. Sebenarnya kayu jati di Burma mempunyai sejarah yang paling lama dibandingkan dengan bahan eksport yang lain. Ia telah digunakan oleh pedagang-pedagang Arab pada abad ke-6 masihi. Kayu jati merupakan asas kepada perusahaan membina kapal di Burma dalam abad ke-17 dan telah menjadi objek utama dalam persaingan antara British-Perancis pada abad ke-18 . Kayu jati Burma mendapat permintaan yang tinggi di luar negara kerana mutunya yang tinggi, harganya pula murah dan sesuai digunakan untuk industri kapal dan binaan . Perusahaan kayu jati Burma kemudiannya telah berkembang apabila perusahaan tersebut diambil alih oleh firma-firma British. Antara tahun 1830 dan 1852, lebih daripada 100 buah kapal dengan jumlah 30 000 tan kayu jati diambil di Burma khususnya di Moulmein . Walaupun Moulmein berkembang maju tetapi akibat eksploitasi yang berlebihan, kayu jati di Moulmein berkurangan dan British beralih kepada Ranggoon (Yangon) yang berkembang dalam perdagangan. Menurut D.G.E. Hall :But indiscriminate felling without proper superision ruined many of forest, and rapid development of Rangoon after 1852 caused Moulmein`s star waneKepentingan eksport kayu jati kepada pihak British dan kerajaan Burma terbukti apabila berlaku peperangan pada bulan Ogos 1885 kerana Raja Thibaw mendakwa Syarikat perdagangan Bombay-Burma telah mengambil lebih banyak kayu jati melebihi perjanjian yang telah dibuat sebelum itu. Kayu jati banyak terdapat di kawasan Tenasserim dan menjelang 1830-an, perusahaan kayu jati berkembang sehingga menjadi sumber kekayaan yang paling utama di daerah ini. Pada tahun 1941, Burma telah megeluarkan kira-kira eksport kayu jati dunia iaitu sebanyak 400 000 tan. Hakikatnya hasil pendapatan daripada jualan kayu jati Burma ini merupakan hak milik British setelah dieksploitasi sepenuhnya oleh mereka. Namun, keadaan ini telah membawa kepada perkembangan perusahaan mengilang papan dan membina kapal yang telah dipergiatkan lagi selepas 1847 apabila Jabatan Laksamana British ditubuhkan dan mengawal aktiviti pembalakkan kayu jati. Namun menjelang tahun 1850-an, banyak hutan telah musnah dan British telah menubuhkan Jabatan Perhutanan pada 1856 untuk merangka satu kaedah bagi pengawalan aktiviti pembalakan.5) Sumber hasil bumi yang lainSelain beras (padi), MINYAK dan kayu jati, Burma juga turut bergantung kepada pengeluaran timah hitam (plumbum), wolfram (bijih tungsten), dan bijih timah. Namun, pada peringkat awal sebelum kedatangan British, eksport bahan mentah ini adalah dalam kuantiti yang kecil sahaja. Oleh itu, pihak British telah mengambil kesempatan atas dasar penjajahan bagi memonopoli sumber-sumber bahan mentah tersebut. Plumbum didapati dari lombong-lombong di Badwin (40 batu ke timur laut Lashio) dan lombong di Namtu. Seperti yang berlaku dalam perusahaan minyak, perusahaan plumbum juga dimonopoli oleh syarikat British yang diwakili oleh Syarikat Perdagangan Bombay-Burma. Perkembangan perusahaan ini hanya berlaku selepas abad ke-19 apabila Burma dimasuki oleh kaum Cina. Selama beberapa tahun sahaja, kawasan perlombongan ini menjadi tempat kegiatan perlombongan orang-orang Cina dan lombong-lombong ini adalah di antara lombong-lombong pengeluar timah hitam dan perak yang terkaya di dunia dan lombong ini menjadi pusat pengeluaran tembaga, nikel, spis dan kobaltum.Burma juga kaya dengan hasil bijih timah yang termasuk dalam lingkaran bijih timah Asia. Namun perusahaan bijih timah juga seperti perusahaan plumbum yang berkembang selepas abad ke-19. Walaupun Burma terletak dalam lingkaran bijih timah tetapi British lebih tertarik dengan penemuan wolfram di Mawehi. Buktinya, Burma hanya mengeluarkan 100 tan bijih timah setahun sebelum 1910 bijih timah. Perlombongan wolfram juga berkembang selepas tahun 1900 . Sedikit batu delima dan batu nilam yag menjadi bahan termasyhur di Burma sejak dahulu lagi turut di lombong. Lombong batu delima dan nilam ini terdapat di sekitar daerah Mogok (utara Mandalay). Terdapat juga sedikit pengeluaran arang batu, garam dan jed yang dilombong.Pada awalnya getah turut ditanam di Burma, namun tanaman ini didapati tidak sesuai diusahakan di Burma kerana faktor iklim. Namun apa yang pasti dalam perusahaan getah ini kebanyakan tenaga buruh yang mengusahakan ladang getah adalah terdiri daripada orang-orang India. Ladang-ladang getah tidak dimiliki oleh orang tempatan sebaliknya berada dalam tangan British (contohnya Steel Brothers) dan orang-orang tempatan hanyalah memiliki kebun-kebun kecil sahaja. Oleh itu, telah terbukti bahawa faktor ekonomi juga menjadi daya penggerak penjajahan Barat di Burma. Namun begitu, perkembangan ekonomi Burma di bawah penguasaan British yang berteraskan pertanian padi, eksploitasi kayu jati dan logam menjadikan Burma terlalu bergantung pada pasaran antarabangsa dari segi eksport dan import .Selain daripada kekayaan sumber bahan mentah dan pertanian di Burma, faktor yang menyebabkan gerakan penjajahan British disebabkan kepentingan perdagangan British di negara itu. Hal ini kerana pada peringkat awal pegawai-pegawai kerajaan Burma telah memberi layanan yang buruk terhadap pedagang-pedagang British termasuklah penetapan harga yang tinggi untuk memperolehi barang dagangan Burma. Kerajaan Burma juga mengenakan cukai yang tinggi ke atas barang dagangan asing. Sebenarnya kesemua sebab yang dikemukakan di atas hanyalah satu helah politik British bagi mendapatkan hak monopoli ke atas hal ehwal perdagangan di Burma. Tambahan pula British bimbang Perancis akan memperluaskan pengaruhnya terutama di Burma Hulu.

3. PERUBAHAN STRUKTUR EKONOMI, POLITIK DAN SOSIAL YANG DIBAWA OLEH BRITISHDalam membicarakan mengenai penjajahan British antara 1880 hingga 1941, penjajahan ini meninggalkan pelbagai kesan kepada tanah jajahan. Penjajahan British ini meninggalkan banyak kesan kepada negara jajahan samaada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dalam hal ini, aspek perbincangan kesan sosial meliputi pembaharuan dasar pemerintahan, bahasa dan pendidikan, taraf hidup, undang-undang, aspek pembentukan masyarakat dan semangat kebangsaan yang terdapat di sesebuah negara jajahan itu. Kedatangan Penjajah telah membawa bersama impak perubahan dari segi sosial. Di Myanmar, British telah membawa buruh daripada India masuk ke Myanmar terutamanya bagi menjalankan kegiatan ekonomi seperti pertanian padi. Semua sektor ekonomi Burma dipertanggungjawabkan kepada syarikat-syarikat Inggeris yang diuruskan oleh pentadbir-pentadbir India dan China dan migrasi orang India dan China digalakkan oleh orang British. Upah buruh yang murah dari India ini menyebabkan British mengambil mereka untuk berkhidmat juga dengan kerajaan seperti di jabatan kesihatan, pos dan telegraf. Kemasukan buruh-buruh ini membawa bersama budaya-budaya mereka yang menyebabkan berlakunya asimilasi dan sosialisasi terhadap budaya dan penduduk tempatan. Selain itu, perkahwinan antara buruh-buruh luar dengan penduduk Myanmar turut membawa perubahan kepada budaya temaptan Myanmar yang mengakibatkan wujudnya masyarakat majmuk di Myanmar. Kemasukan warga asing secara beramai-ramai ini menjurus kepada berlakunya masalah perkauman kerana masyarakat peribumi berasa terhimpit dan dipinggirkan. Perkembangan ini memperlihatkan golongan Chetti mula menguasai tanah-tanah pertanian dan hak masyarakat tempatan mula diabaikan. Kesannya berlakulah pemberontakan dan rusuhan seperti pemberontakan Hsaya San[footnoteRef:6]. [6: Philippe Devillers, 1988, Sejarah Indo-China Moden Perkembangan Sosiopolitik Hingga Abad ke-20, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur]

Selain itu, kesan penjajahan turut memberi kesan kepada sistem pendidikan seperti pengenalan sisitem pendidikan Inggeris. Penaklukan Burma oleh Inggeris telah membuka peluang kepada rakyat untuk menerima pelajaran dan dengan cara memperlengkapkan kepentingan umum keadaan masyarakat seluruhnya menjadi bertambah baik.Pengenalan sistem pendidikan ini bertujuan untuk mendidik anak-anak tempatan menjadi pensubahat dengan penerapan idealisme dan dakyah penjajah. Di Myanmar, pendidikan Inggeris telah diperkenalkan selepas tahun 1852 oleh British dengan tujuan untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat Myanmar bagi mendidik dan meningkatkan tamadun Burma. Dari segi pelajaran Inggeris memberi pelajaran-pelajaran yang mendorong kepada kebaikan negeri. Ia juga dilaksanakan untuk menyediakan pegawai-pegawai perkhidmatan awam dan pengusaha ekonomi moden dengan kerani yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di samping kakitangan lain yang menyediakan negara dengan kemahiran yang diperlukan oleh sesebuah negara moden. Sebelum abad ke-20, pendidikan telah dijalankan oleh rahib-rahib di biara yang terletak di bandar-bandar dan kedatangan British telah memperkenalkan sistem pendidikan Inggeris dan mewujudkan satu bahasa untuk seluruh negara bagi memudahkan perkembangan ekonomi dan memudahkan kawalan. Antara ilmu yang mula diperkenalkan seperti ilmu kira-kira, ukur tanah, geografi, sejarah eropah, astronomi dan geometri awalan diperkenalkan. Pendidikan yang bersifat fizikal seperti latihan boxing telah mula dipinggirkan[footnoteRef:7]. [7: Philippe Devillers, 1988, Sejarah Indo-China Moden Perkembangan Sosiopolitik Hingga Abad ke-20, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur]

Dalam tahun 1871, sebanyak 70 buah sekolah menengah telah ditubuhkandan maktab perguruan juga diadakan. Pendidikan juga sangat pesat dibangunkan di Burma Hilir sekitar tahun 1886 dengan banyak didirikan sekolah Inggeris dan juga sekolah campuran. Kesannya, sekolah Kyaung (sekolah kampong) semakin dipinggirkan terutama dalam kalangan penduduk bandar. Akhirnya wujud tiga sistem pendidikan iaitu sistem pendidikan yang keinggerisan, sistem biara yang tradisional dan sistem pendidikan campuran keinggerisan dan tradisonal. Kemuncak perkembangan pendidikan di Burma ialah penubuhan Universiti Rangoon pada 1920.Di samping itu, penjajahan tidak semestinya mendatangkan kesan sosial yang positif terhadap negara yang dijajah. Terdapat juga pelbagai kesan negatif yang berlaku di negara-negara jajahan. Di Myanmar, walaupun kemajuan pesat berlaku namun taraf hidup dilihat semakin merosot. Hal ini berlaku kerana terdapat juga kegiatan merompak dan peningkatan kegiatan jenayah yang mendadak walaupun selepas pengenalan sistem perundangan yang mantap dan kekuatan polis betambah. Pertambahan penduduk yang semakin meningkat begitu juga perkembangan bandar Rangoon pada 1860 terlalu pesat dengan penduduk melebihi 60000 orang menyebabkan kekurangan peluang pekerjaan. Masalah ini menyebabkan berlakunya masalah perumahan dan taraf kesihatan penduduk turut merosot.Selain itu, kesan penjajahan juga dapat dilihat dari aspek perundanganyang mana negara penjajah telah memperkenalkan sistem perundangan Barat. Pengenalan undang-undang barat ini telah meminggirkan undang-undang asal yang ada. Di Myanmar, British memperkenalkansistem undang-undang jenayah dan juga sivil. Pengenalan undang-undang ini juga membawa kesan negatifkerana pendakwaan semakin banyak dilakukan.[footnoteRef:8] [8: D.J.M. Tate. 1980. Sejarah Pembentukan Asia Tenggara: Perubahan Ekonomi & Sosial Jilid Kedua. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.]

Selain itu, pengenalan sistem perundangan barat ini juga telah menyebabkan lebih ramai penuntut tempatan memberi perhatian kepada undang-undang sedangkan Burma sebenarnya memerlukan lebih ramai doktor dan jurutera. Pelaksanaan undang-undang barat ini sering kali mewujudkan masalah kepada Myanmar dan hanya menguntungkan pihak British. Berlaku salah faham mengenai pelaksanaan undang-undang ini antara pihak inggeris dengan penduduk Burma dan berlaku juga ketidakadilan dalam pelaksanaan undang-undang ini kerana mementingkan warna kulit[footnoteRef:9]. Selain itu, terdapat juga campur tangan pihak luar dalam perbicaraan di mahkamah yang menyebabkan sistem kehakiman menjadi kucar-kacir. [9: Sufian Bin Taimon, 1972, Intisari Sejarah Asia Tenggara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur.]

4. KEBANGKITAN SEMANGAT KEBANGSAANPenjajahan kuasa barat di Asia Tenggara juga telah menaikkan semangat kebangsaan dalam kalangan masyarakat tempatan yang sayangkan negara mereka. Masyarakat temapatan mula berasa tidak senang dengan pembaharuan yang dijalankan oleh pihak luar di tanah air mereka. Umumnya pembaharuan dan perubahan yang diperkenalkan pada mulanya bersifat memihak kepada pembangunan masyarakat tempatan tetapi lama-kelamaan mereka mula sedar bahawa pembaharuan yang dijalankan hanyalah bertujuan menguasai negara jajahan. Di Myanmar, Pergerakan menentang penjajah belum ketara sebelum atau sesudah Perang Inggeris Myanmar 1. Perjuangan menentang kemaraan British berasaskan patriotisme dan kebencian terhadap pihak yang berlainan bangsa, agama, budaya, agama, kepentingan ekonomi dan politiknya.Pada hakikatnya, semangat kebangsaan Myanmar ini bermula sejak 1930an lagi. Penghapusan sistem feudal, perubahan susunan masyarakat, penguasaan ekonomi dan campurtangan inggeris dalam hal-hal kebudayaan merupakan antara faktor penentangan gerakan kebangsaan Myanmar. Boleh dikatakan bahawa badan yang ulung kali mengutarakan pergerakan itu ialah sebuah badan kebudayaan yang dikenal sebagaiYoung Mens Buddisht Associationyang tertuboh dalam tahun 1908. Mereka mula menuntut hak atau taraf yang mereka perolehi sebelum penjajahan British dan menuntut hak berkerajaan sendiri. Peristiwa di Burma yang lebih terkenal ialah Pemberontakan Hsaya San yang diketuai oleh seorang bekas rahib Buddha (pongyi)[footnoteRef:10]. [10: W.Williams dan Joginder Singh Jessy, 1969, Sejarah Rengkas Asia Tenggara, M.P.H Publications Sdn. Bhd, Singapura]

Secara analisisnya, penjajahan atau imperialisme merupakan satu cara atau alternatif kuasa-kuasa besar bagi meluaskan pengaruh dan wilayah taklukannya. Keadaan ini berlaku kerana persaingan sesama kuasa-kuasa besar di samping kepentingan ekonomi yang menjadi salah satu faktor utama mereka menjalankan imperialisme. Kecenderungan kuasa-kuasa besar seperti kuasa barat ini menyebabkan negara-negara yang ingin ditakluki mereka dihuru-harakan terlebih dahulu seperti mengadakan perjanjian-perjanjian sebelum penjajahan dilakukan. Dengan itu, negara yang mengikut telunjuk kuasa-kuasa penjajah ini akan menyebabkan negara mereka ditakluki dan pentadbiran mula dikuasai oleh orang asing manakala rakyat tempatan hanya menjadi orang suruhan di tanah air sendiri. Keadaan ini mengakibatkan kesusahan dan keperitan hidup rakyat tempatan yang terpaksa mengikut telunjuk penjajah yang rakus mengejar kepentingan kuasa dan ekonomi. Hal ini juga memberi kesan kepada negara yang dijajah setelah pelbagai pembaharuan diperkenalkan yang kebanyakannya bertentangan dengan norma masyarakat tempatan. Namun, pergerakan-pergerakan kebangsaan yang mula dijalankan kesan daripada ketidakpuasan hati masyarakat tempatan terhadap penjajah sedikit sebanyak telah menjadi penghalang kepada penjajahan kuasa-kuasa barat diteruskan sehinggalah negeri-negeri jajahan dibebaskan.

5. PENUTUPKesimpulannya, penjajahan atau imperialisme merupakan satu kaedah kuasa-kuasa besar seperti British dan Perancis meluaskan wilayah taklukannya. Penjajahan yang bermotifkan kekuasaan politik dan penguasaan ekonomi ini menyaksikan kejatuhan kerajaan Myanmar atau Burma dan kerajaan Vietnam yang pada asalnya merupakan sebuah kerajaan yang berdaulat dan mempunyai institusi beraja yang memerintah negara. Namun setelah kedatangan kuasa barat ini telah menjadikan raja sebagai boneka yang terus menerus mengikut telunjuk mereka dan mengiyakan setiap tindakan yang mereka lakukan. Melalui penjajahan ini, pelbagai pembaharuan dan perubahan yang dilakukan memberi kesan kepada masyakat di kedua-dua buah negara samaada kesan tersebut bersifat positif dan negatif yang meliputi kesan politik, ekonomi dan sosial.

6. RUJUKAN1. Abu Talib Ahmad, 1991, Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.2. David Joel Steinberg(e.t all), 1981, Mengenali Sejarah Asia Tenggara Moden, Dewan Bahasadan Pustaka, Kuala Lumpur.3. John Bastin dan Harry J. Benda, 1977, Sejarah Asia Tenggara Moden, Penjajahan Nasionalisma dan Kebijajahan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur.4. Philippe Devillers, 1988, Sejarah Indo-China Moden Perkembangan Sosiopolitik Hingga Abad ke-20, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.5. Sufian Bin Taimon, 1972, Intisari Sejarah Asia Tenggara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur.6. W.Williams dan Joginder Singh Jessy, 1969, Sejarah Rengkas Asia Tenggara, M.P.H Publications Sdn. Bhd, Singapura.7. Wan Abdul Rahman Latif et.al. , 2001, Sejarah Perkembangan Tamadun Dunia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.8. D.J.M. Tate. 1980. Sejarah Pembentukan Asia Tenggara: Perubahan Ekonomi & Sosial Jilid Kedua. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.9. http://ms.wikipedia.org/wiki/Myanmar (Tuesday ,May,5, 2015 @ 21:00 PM)

Page 1