Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

29
STANDARD KOMPETENSI KEPENGETUAAN SEKOLAH MALAYSIA (SKKSM) Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM) Kamaruzaman Moidunny, PhD Jabatan Perancangan dan Standard Latihan Institut Aminuddin Baki Genting Highlands Pengenalan Tugas dan peranan yang perlu dilaksanakan oleh guru besar dan pengetua semakin mencabar dari sehari ke sehari kerana perkembangan pesat yang berlaku dalam sistem pendidikan, di dalam dan di luar negara (Abdullah Sani 2004; Ayob 2005; Cheng 2002; Goodlad 2004; Hussein 1997; Omardin 1997). Menurut Cheng (2002), peranan dan cabaran sebagai pemimpin sekolah semakin kompleks. Oleh itu, guru besar atau pengetua bukan hanya perlu kepada pengetahuan profesional sahaja tetapi perlu juga memahami kehendak pelbagai pihak yang berkepentingan terhadap sekolah. Dalam hal yang sama, Goodlad (2004), pula menyatakan bahawa persediaan profesional yang lebih mendalam dan terperinci perlu dilaksanakan dalam usaha menjadikan sekolah lebih berkesan. Hasil dapatan kajian yang dilakukan oleh Rhodes dan Brundrett (2006) yang mendapati terdapat kekurangan guru besar dan pengetua di Kanada, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat, ada kaitan dengan cabaran dan dugaan besar yang

description

Standard kompetensi

Transcript of Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

Page 1: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

STANDARD KOMPETENSI KEPENGETUAAN SEKOLAH MALAYSIA (SKKSM)

Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM)

Kamaruzaman Moidunny, PhD

Jabatan Perancangan dan Standard Latihan

Institut Aminuddin Baki

Genting Highlands

Pengenalan

Tugas dan peranan yang perlu dilaksanakan oleh guru besar dan pengetua semakin mencabar dari sehari ke sehari kerana perkembangan pesat yang berlaku dalam sistem pendidikan, di dalam dan di luar negara (Abdullah Sani 2004; Ayob 2005; Cheng 2002; Goodlad 2004; Hussein 1997; Omardin 1997). Menurut Cheng (2002), peranan dan cabaran sebagai pemimpin sekolah semakin kompleks. Oleh itu, guru besar atau pengetua bukan hanya perlu kepada pengetahuan profesional sahaja tetapi perlu juga memahami kehendak pelbagai pihak yang berkepentingan terhadap sekolah. Dalam hal yang sama, Goodlad (2004), pula menyatakan bahawa persediaan profesional yang lebih mendalam dan terperinci perlu dilaksanakan dalam usaha menjadikan sekolah lebih berkesan.

Hasil dapatan kajian yang dilakukan oleh Rhodes dan Brundrett (2006) yang mendapati terdapat kekurangan guru besar dan pengetua di Kanada, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat, ada kaitan dengan cabaran dan dugaan besar yang dihadapi oleh pentadbir-pentadbir sekolah. Bagi mereka, sebab bagi kekurangan pemimpin sekolah ini adalah kompleks dan penyelesaiannya seringkali selalu dielakkan. Di samping itu pula kecemerlangan murid dan sekolah seringkali disandarkan kepada pengurusan dan kepimpinan yang dimiliki oleh guru besar dan pengetua. Tegasnya, peranan yang perlu dilaksanakan oleh guru besar dan pengetua adalah sangat besar dan mencabar.

Sergiovanni (1984) telah mengklasifikasikan peranan-peranan guru besar dan pengetua kepada lima bidang utama iaitu dalam bentuk petugas, pendidikan, organisasi, pentadbiran dan pasukan. Peranan-peranan ini bertambah dan berubah mengikut masa, menjadikannya

Page 2: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

bertambah kompleks dan rencam. Perkara ini memberikan implikasi yang serius terhadap kebolehan dan kemampuan guru besar dan pengetua untuk menghadapinya. Jika mereka tidak bersedia terhadap cabaran-cabaran yang bakal dihadapi, kecemerlangan murid dan sekolah sukar untuk dibangunkan. Jelas sekali mereka perlukan bantuan dan sokongan dalam menghadapi cabaran-cabaran dan harapan tinggi yang diletakkan di bahu mereka. Oleh itu, pengwujudan satu program latihan yang sesuai bagi pemimpin-pemimpin pendidikan adalah satu keperluan. Program latihan ini seharusnya didasari oleh satu standard kompetensi dalam menentukan latihan yang dibekalkan adalah relevan dengan kehendak kerja mereka. Standard ini boleh dinamakan sebagai standard kompetensi kepengetuaan.

Standard Kompetensi Kepengetuaan

Di Amerika Syarikat, Council of Chief State School Officers (CCSSO) telah mengeluarkan standard untuk pemimpin sekolah pada tahun 1996 yang mengandungi perkara asas berkaitan pengetahuan, kecenderungan bertindak dan pencapaian, yang akan membantu mewujudkan sekolah yang produktif dan mengukuhkan hasil pendidikan (CCSSO 1996). Standard ini dibina daripada kajian dan perbincangan personel daripada 24 buah negeri yang disesuaikan dengan kurikulum kursus pemimpin pendidikan yang dikeluarkan oleh National Council of the Accreditation of Teacher Education (NCATE). Terdapat enam standard yang dikemukakan oleh CCSSO yang menyatakan bahawa:

1. Pentadbir sekolah adalah pentadbir pendidikan yang mempromosi kecemerlangan murid dengan membantu pembangunan, kejelasan, pelaksanaan dan sebagai orang bertanggungjawab terhadap visi pembelajaran agar dikongsi bersama dan disokong oleh komuniti sekolah.

2. Pentadbir sekolah adalah pentadbir pendidikan yang mempromosi kecemerlangan murid dengan mempelopori, mengasuh dan mempertahankan budaya sekolah dan program instruksional yang mempengaruhi pembelajaran murid dan pertumbuhan profesional.

3. Pentadbir sekolah adalah pentadbir pendidikan yang mempromosi kecemerlangan murid dengan memastikan pengurusan organisasi, operasi dan sumber-sumber bagi keselamatan, kecekapan dan keberkesanan persekitaran pembelajaran.

4. Pentadbir sekolah adalah pentadbir pendidikan yang mempromosi kecemerlangan murid dengan membuat kolaborasi dengan fakulti (universiti) dan ahli-ahli komuniti, bertindak balas terhadap minat dan keperluan komuniti yang pelbagai dan menggerakkan sumber-sumber komuniti.

5. Pentadbir sekolah adalah pentadbir pendidikan yang mempromosi kecemerlangan murid yang berfungsi dengan integriti, adil dan beretika.

Page 3: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

6. Pentadbir sekolah adalah pentadbir pendidikan yang mempromosi kecemerlangan murid dengan pemahaman, bertindak balas dan mempengaruhi politik, sosial, ekonomi, perundangan dan budaya.

Di England pula, DfES telah mengeluarkan standard untuk pemimpin sekolah yang terdiri daripada enam bidang utama. Bidang-bidang ini adalah membentuk masa depan, memimpin pengajaran dan pembelajaran, membangunkan kendiri dan bekerja dengan orang lain, mengurus organisasi, menjamin akauntabiliti dan memperkasakan komuniti (DfES 2004b). Bagi setiap bidang, keperluan pengetahuan, kualiti profesional dan tindakan yang diperlukan untuk mencapai tujuan asas telah dikenal pasti. Di Wales pula, standard kompetensi kepengetuaannya adalah sama seperti yang terdapat di England (The National Assembly of Wales 2004). Dan jika dilihat secara lebih dekat, standard kompetensi bagi Wales, Scotland dan Ireland Utara diiktiraf bagi kemasukan ke jawatan guru besar atau pengetua di England. Hal ini dapat menjelaskan kepada kita bahawa telah wujud penyeragaman secara tidak formal dan pengiktirafan daripada segi standard kompetensi kepengetuaan bagi negeri-negeri England, Wales, Scotland dan Ireland Utara.

Dalam konteks Malaysia, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) telah menggubal Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang mengandungi pernyataan dan instrumen pemastian standard untuk pemimpin-pemimpin sekolah (JNS 2004). Standard ini mengandungi empat dimensi yang dikenali sebagai hala tuju kepemimpinan, pengurusan organisasi, pengurusan program pendidikan dan kemenjadian murid. Hala tuju kepemimpinan mempunyai elemen visi, misi dan kepemimpinan. Dimensi pengurusan organisasi pula mengandungi struktur organisasi, perancangan, iklim, pengurusan dan pembangunan sumber serta pengurusan maklumat. Manakala dimensi pengurusan program pendidikan pula mempunyai elemen pengurusan kurikulum, kokurikulum dan hal-ehwal murid, pengajaran dan pembelajaran, pembangunan sahsiah dan penilaian pencapaian murid. Dimensi kemenjadian murid pula mengandungi elemen akademik, kokurikulum dan sahsiah.

Peranan Khusus Guru Besar dan Pengetua dalam Standard Kompetensi Kepengetuaan

Ubben dan Hughes (1987) menyatakan bahawa guru besar atau pengetua melaksanakan lima peranan khusus iaitu pembangunan staf, perkhidmatan terhadap murid, pembangunan program sekolah, pemerolehan sumber dan pengurusan bangunan serta perhubungan sekolah dengan komuniti luar. Sementara bagi Hussein (1989), kompetensi yang selalu dikaitkan dengan guru besar atau pengetua adalah misi sekolah, kurikulum dan pengajaran, pentadbiran sekolah serta hubungan dan komunikasi manusia. Kompetensi ini dilihat sebagai ramuan penting untuk sekolah yang berkesan dan berjaya. Bagi beliau juga, pentadbiran sekolah dilihat sebagai perkara yang paling kurang penting berkaitan formulasi dan proses pelaksanaan serta pematuhan undang-undang dan peraturan.

Bagi Louis dan Miles (1990) pula, guru besar atau pengetua perlu menjadi pengurus, mereka bentuk dan melaksanakan pelan, memfokuskan kepada pencapaian tugas, berurusan dengan struktur dan sistem, ketua yang berpegang pada visi, menggalakkan perkongsian dan rasa

Page 4: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

kekitaan, melibatkan diri dengan perancangan evolusi, sentiasa peka dengan perbezaan budaya serta perubahan yang mungkin untuk jangka masa panjang. Sementara bagi Gaban (1982) menyatakan bahawa kompetensi guru besar atau pengetua terdiri daripada lapan bidang iaitu mewujudkan matlamat, menguruskan staf, menyusun atur masa dan ruang, menyusun atur bahan dan perkakasan, perkhidmatan luar pengajaran, hubungan dengan komuniti, latihan dan perkhidmatan serta penilaian program.

Bagi Robert Fox (dalam Lippit dan Johnson 1978), guru besar atau pengetua mempunyai peranan kepimpinan iaitu sebagai perancang, penganjur dan penggerak. Peranan perancang melibatkan mereka bentuk program dan projek bagi menambah baik sekolah dan iklimnya, dengan orientasi untuk masa hadapan. Peranan penganjur pula adalah bertanggungjawab untuk melihat bahagian yang berasingan dalam sistem sekolah sebagai sesuatu yang melengkap dan menyokong antara satu sama lain. Peranan penggerak pula berkaitan dengan menggunakan sumber manusia dan fiskal untuk mempastikan kerja dilaksanakan. Sementara bagi Omardin (1999), seseorang guru besar atau pengetua perlu berperanan dalam pengurusan pejabat, perkhidmatan dan perjawatan, hal-ehwal pelajar, pendaftaran pelajar, akademik, kokurikulum, bimbingan dan kaunseling, skim pinjaman buku teks, biasiswa, asrama, pusat sumber, koperasi sekolah, kantin, peperiksaan, kewangan, pembangunan sekolah, persatuan ibu bapa dan guru dan pengurusan sekolah berkesan. Manakala Zaiton (2001), menyatakan bahawa guru besar atau pengetua perlu berperanan dalam bidang pengurusan kurikulum, kokurikulum, perkembangan staf, penyeliaan dan penilaian, disiplin dan kebajikan pelajar, hubungan sekolah dengan ibu bapa dan komuniti serta pengurusan kewangan.

Selanjutnya, Bahagian Sekolah (2004), KPM pula menyatakan bahawa tanggungjawab guru besar atau pengetua meliputi tujuh bidang utama iaitu pengurusan kurikulum, kokurikulum dan hal-ehwal murid, pengurusan sekolah yang merangkumi pentadbiran, kewangan, perkhidmatan dan perjawatan, perhubungan dengan ibu bapa dan masyarakat setempat, kemajuan sekolah, pengajaran serta kepimpinan pengajaran dan penyelidikan pendidikan. Manakala Ayob (2005) pula mengkelaskan senarai tugas guru besar atau pengetua kepada sembilan bidang iaitu kurikulum, penilaian dan pentaksiran, kokurikulum, hal-ehwal murid, fizikal dan kemudahan, kewangan, pejabat, staf dan komuniti.

Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM)

Berdasarkan pernyataan-pernyataan di atas, kesemua standard kepengetuaan yang dikemukakan sama ada di dalam atau di luar negara mempunyai banyak persamaannya. Perbezaan cuma daripada segi istilah yang digunakan, namun banyak persamaan wujud daripada segi kandungan dan tugas yang perlu dilaksanakan oleh guru besar atau pengetua. Standard-standard ini juga adalah sama seperti Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM) yang dikemukakan oleh IAB pada tahun 2006.

Page 5: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

Standard ini telah dibangunkan hasil perbincangan dan konsultasi dengan pelbagai pihak termasuk pengetua kanan, guru besar dan pengetua, pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan bahagian dalam Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Perbincangan peringkat awal bermula pada tahun 2004 dan berakhir pada tahun 2006. Dalam SKKSM ini terdapat sembilan bidang pengurusan yang perlu dikuasai oleh pentadbir-pentadbir sekolah (IAB 2006a). Kesemua sembilan aspek pengurusan kepimpinan pendidikan ini telah dikenal pasti oleh pakar pendidikan, yang perlu dikuasai oleh setiap guru besar atau pengetua yang akan mengurus dan mentadbir sekolah iaitu:

(1) Pengurusan dan Kepimpinan Organisasi

(2) Pengurusan Kurikulum

(3) Pengurusan Kokurikulum

(4) Pengurusan Hal-ehwal Murid

(5) Pengurusan Kewangan

(6) Pengurusan Pentadbiran Pejabat

(7) Pengurusan Persekitaran dan Kemudahan Fizikal

(8) Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia

(9) Pengurusan Perhubungan Luar

Di samping itu, kesembilan-sembilan aspek ini merupakan komponen yang dipelajari oleh peserta di IAB dalam kursus yang mereka ikuti. Sebagai contohnya, dalam Program Latihan National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL), kesembilan aspek ini diajarkan secara teori dalam masa enam bulan pertama mereka mengikuti kursus tersebut. Aspek-aspek ini juga wujud dalam Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan (KKPP) serta kursus-kursus jangka pendek yang lain.

Seterusnya, tulisan di bawah ini akan cuba menghuraikan fokus atau tumpuan peranan guru besar dan pengetua yang mencakupi sembilan aspek yang dinyatakan dalam SKKSM tersebut. Kefahaman yang mendalam tentang aspek yang terdapat dalam SKKSM akan membantu guru besar dan pengetua mengenal pasti dan membezakan tentang fungsi dan peranan yang seharusnya dilaksanakan oleh mereka.

Pengurusan dan Kepimpinan Organisasi

Stoner dan Wankel (1984) menyatakan bahawa pengurusan melibatkan aktiviti-aktiviti perancangan, pengelolaan, pengarahan dan kawalan. Dalam konteks sekolah, aktiviti-aktiviti ini perlu diperkembangkan dan diintegrasikan bagi membentuk dan mewujudkan

Page 6: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

pengurusan sekolah yang lebih berkesan. Menurut Putti (1987), perancangan di sekolah melibatkan guru besar atau pengetua menentukan matlamat jangka pendek dan jangka panjang serta kaedah-kaedah untuk mencapainya. Manakala pengelolaan pula merupakan kaedah yang dilaksanakan oleh pengurus sekolah untuk menyelaraskan sumber-sumber manusia dan bahan. Sementara pengarahan pula bermaksud bagaimana seseorang pengurus sekolah memberikan tugas dan mempengaruhi kakitangan bawahannya dan mendapatkan kerjasama mereka bagi melaksanakan tugas mereka. Dan pengawalan pula ditakrifkan sebagai suatu proses untuk menentukan dan menjamin agar kegiatan staf sekolah terarah kepada pencapaian matlamat yang telah ditetapkan.

Hussein (1997) menyatakan bahawa peranan guru besar atau pengetua yang hanya melaksanakan tugas pengurusan dan pentadbiran adalah tidak berkesan dalam usaha mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan di sekolah. Perkara ini juga disokong oleh Ayob (2005) yang menyatakan bahawa sekolah yang diuruskan oleh seorang pengurus tidak berupaya menjadikan sekolah dalam erti kata yang sebenarnya. Bagi beliau, dalam urusan rasmi sekolah, guru besar atau pengetua membawa tiga watak iaitu sebagai pentadbir, pengurus dan pemimpin. Watak kepimpinan adalah tahap tertinggi dalam pengurusan sekolah. Sementara Abdul Rafie (2001) dan Omar (2001) pula menyatakan bahawa guru besar atau pengetua mempunyai dua peranan penting iaitu sebagai pemimpin dan pengurus. Seseorang guru besar atau pengetua yang cemerlang perlu menyepadukan kedua-dua peranan tersebut. Bagi Sybouts dan Wendel (1994) pula, guru besar atau pengetua perlu berdepan dengan lebih banyak konflik, cabaran dan harapan sosial, berbanding dengan keadaan sebelum memegang jawatan sebagai pengurus sekolah.

Omardin (1999) mendefinisikan kepimpinan sekolah sebagai suatu proses di mana guru besar atau pengetua mendapatkan kerjasama mereka yang bertugas di bawah arahannya dalam menuju ke arah penyempurnaan matlamat. Dengan kata lain, kepimpinan sekolah melibatkan guru besar atau pengetua, guru, kakitangan sokongan, murid, ibu bapa dan juga masyarakat. Beliau berpendapat keberkesanan pengurusan sesebuah sekolah berkait rapat dengan gaya kepimpinan guru besar atau pengetua. Manakala, Ayob (2005) menyatakan bahawa banyak teori telah dikemukakan oleh pakar-pakar pendidikan bagi menunjukkan kepimpinan adalah tahap tertinggi dalam pengurusan sekolah. Namun daripada segi realitinya, kepimpinan dan pengurusan sukar dipisahkan kerana ada masanya guru besar atau pengetua perlu bertindak sebagai pemimpin dan ada masanya bertindak sebagai pengurus. Walau bagaimanapun perlu diakui bahawa seandainya budaya kepimpinan dapat dilaksanakan, ia dengan sendirinya menjangkau melebihi sempadan pengurusan.

Sekolah yang merupakan sebuah organisasi pendidikan juga merupakan suatu sistem sosial tersendiri yang amat sensitif terhadap kehendak dan aspirasi masyarakat. Oleh itu, sekolah akan menentukan jenis sumber manusia yang dihasilkan untuk masyarakat. Dalam pada itu

Page 7: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

juga, sekolah merupakan agen sosialisasi, pembudayaan dan pembangunan masyarakat (Omardin 1996). Antara tugas-tugas guru besar atau pengetua dalam bidang pengurusan dan pembangunan organisasi (Ayob 2005; Hussein 1997) adalah (1) Merancang dan mengadakan aktiviti sekolah seperti Hari Sukan, Hari Ucapan dan Hari Guru; (2) Menyemai dan menyubur iklim sekolah yang kondusif untuk kemajuan pendidikan, pengajaran dan pembelajaran; (3) Memupuk semangat bekerjasama dan hormat-menghormati antara satu sama lain; (4) Meningkatkan azam dan usaha sekolah untuk sentiasa maju dan berjaya; (5) Menyediakan senarai tugas guru dan kakitangan sokongan sekolah; (6) Menguatkuasakan peraturan yang ada; (7) Menyediakan laporan tahunan sekolah; (8) Menyediakan jadual waktu sekolah atau bilik darjah; dan (9) Menjadi urus setia Lembaga Pengurus Sekolah.

Menurut banyak kajian, salah satu ciri penting bagi sekolah yang berkesan ialah kepimpinan sekolah yang mantap dan berketerampilan (Brookover et al. 1979; Mortimore 1995; Purkey dan Smith 1983; Weber 1971). Dapatan kajian oleh Charil (1997) menyatakan bahawa terdapat lima faktor yang menentukan keberkesanan sekolah iaitu kepimpinan dan iklim sekolah, harapan tinggi dalam penguasaan kemahiran, kekerapan penilaian, peranan PIBG dan kemudahan fizikal sekolah. Kepimpinan merupakan faktor paling dominan dan penting. Lipham (1973) pula menyatakan bahawa kepimpinan adalah perlakuan individu yang berupaya membawa kepada struktur baru dalam sistem sosial dengan mengubah matlamat, objektif, prosedur, input atau output dalam sistem tersebut.

Pengwujudan 300 buah sekolah kluster yang terkandung dalam teras keenam PIPP 2006-2010 menuntut guru gesar atau pengetua peka terhadap tanggungjawab dan peranan penting serta mencabar yang perlu mereka mainkan. Program sekolah kluster ini akan memastikan sekolah cemerlang mampu merintis perubahan dalam usaha melonjakkan kecemerlangan bidang pendidikan negara agar bertaraf dunia sekaligus menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan (Wahid 2007b). Begitu juga dengan pembukaan dua buah sekolah seni di Johor dan Sarawak pada tahun 2007. Pembukaan sekolah seni ini dilihat sebagai usaha KPM untuk meneroka bidang kemahiran baru dan melengkapkan murid dengan kemahiran spesifik untuk bersaing di dunia terbuka dan tanpa sempadan (Anon 2007d).

Dapatan kajian oleh JPNP (Laporan Pemantauan Kolaboratif Peningkatan Pengurusan Akademik 2006) menunjukkan bahawa masih terdapat pengetua yang tidak memberikan tumpuan kepada ‘classroom view’ dan ‘the school wide view’ dalam pengurusan mereka di sekolah. Hal ini disebabkan oleh kelemahan pencerapan dan penyeliaan dalam pengajaran dan pembelajaran sedangkan jadual pencerapan disediakan oleh pihak pengurusan. Dapatan ini menunjukkan keadaan bilik darjah adalah kurang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran murid. Dapatan menunjukkan bahawa hiasan dalaman dan luaran kelas walaupun mencukupi tetapi tidak sempurna. Laporan Pemantauan Kolaboratif Peningkatan

Page 8: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

Pengurusan Akademik oleh JPNP pada tahun 2006 juga menasihati agar pengetua menguruskan sekolah secara berkesan berdasarkan visi dan misi yang dijana bersama, membina kumpulan kerja yang mantap dan mesti mempengerusikan setiap mesyuarat jawatankuasa kurikulum. Hal ini dengan jelas menunjukkan bahawa tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh guru besar dan pengetua adalah sangat berat dan mencabar. Oleh itu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengurusan dan kepimpinan organisasi merupakan satu keperluan kepada mereka untuk menguruskan sekolah dengan berkesan.

Pengurusan Kurikulum

Pengurusan kurikulum melibatkan tanggungjawab dan peranan guru besar atau pengetua yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah amat penting bagi membina perkembangan murid yang lengkap daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta menyemai, menanam dan memupuk nilai-nilai akhlak yang diinginkan, di samping menyampaikan ilmu pengetahuan. Mengikut Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), kurikulum mengandungi segala rancangan yang dikendalikan oleh sesebuah sekolah ataupun institusi pendidikan bagi mencapai matlamat pendidikan.

Sementara bagi Ubben dan Hughes (1987) serta Provenzo (2002), kurikulum adalah apa yang diajarkan di sekolah. Manakala Ornstein dan Hunkins (1993) mentakrifkan kurikulum sebagai satu pelan atau dokumen bertulis yang mengandungi strategi untuk mencapai matlamat. Menurut Abd. Ghafar (2003) pula, kurikulum membawa maksud segala perancangan yang dibuat melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Sementara Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997, mentakrifkan bahan kurikulum ialah semua bahan yang digunakan dalam pengajaran kepada dan pembelajaran oleh murid (Lembaga Penyelidikan Undang-undang 2003). Berdasarkan takrifan di atas, dapat disimpulkan bahawa pengurusan kurikulum melibatkan usaha guru besar dan pengetua memastikan pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan berdasarkan kandungan khusus agar matlamat yang diinginkan tercapai.

Dalam bidang pengurusan kurikulum, antara tugas guru besar dan pengetua adalah menentukan pengajaran dan pembelajaran yang diberikan kepada murid adalah berkualiti, memotivasikan guru dalam pengajaran, menentukan keadaan yang sesuai bagi pembelajaran, memilih dan memperoleh bahan pelajaran serta menilai pengajaran (Omardin 1996). Dengan kata lain, pengurusan kurikulum merupakan tanggungjawab yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di sekolah. Sehubungan dengan itu, adalah sangat penting bagi guru besar atau pengetua mempastikan bahawa pengurusan

Page 9: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

kurikulum dapat ditadbir dengan baik kerana ianya merupakan salah satu fungsi terpenting bagi kewujudan sesebuah sekolah.

Hussein (1997) menyatakan bahawa dapatan-dapatan kajian tentang keberkesanan sekolah menunjukkan bahawa penentu paling utama bagi kejayaan sesebuah sekolah adalah kepimpinan yang ditunjukkan oleh guru besar atau pengetua dalam bidang kurikulum atau pengajaran. Kepimpinan ini dikenali sebagai kepimpinan pengajaran. Kepimpinan pengajaran ini berkait rapat dengan usaha memajukan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Bagi De Bevoise (1984), kepimpinan pengajaran adalah kepimpinan yang berkait rapat dengan proses pengajaran di mana guru, murid dan kurikulum saling berinteraksi. Bagi beliau, untuk menggunakan kepimpinan dalam proses ini, seseorang guru besar atau pengetua mesti bertindak daripada segi perspektif guru dalam penyeliaan, penilaian, perkembangan staf dan menjalankan latihan dalam perkhidmatan. Manakala Chan (2004) pula menyatakan bahawa matlamat umum kepimpinan pengajaran ialah untuk memperbaiki dan mengekalkan keadaan yang boleh menggalakkan pembelajaran murid. Oleh itu, pengurus sekolah yang berkesan harus boleh memimpin guru ke arah pencapaian kecemerlangan kurikulum melalui program pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Antara tugas guru besar atau pengetua dalam bidang pengurusan kurikulum (Hussein 1997) termasuklah (1) Mengawal dan memimpin jawatankuasa panitia mata pelajaran, (2) Menyediakan peralatan pengajaran dan pembelajaran serta Pusat Sumber Sekolah, (3) Menyelia peralatan pengajaran dan pembelajaran serta Pusat Sumber Sekolah, (4) Menyelia penggunaan dan penyelenggaraan bahan-bahan sumber pendidikan, (5) Merancang dan menyelaras hal-hal berkaitan dengan rancangan pengajaran, ujian dan penilaian, (6) Menyelia dan menilai kecekapan guru mengajar dan membimbing mereka melalui pencerapan dan perbincangan, (7) Menggalakkan perkembangan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, (8) Menyemak dan menandatangani buku rekod mengajar, (9) Menyelaras program kurikulum yang dianjurkan oleh sekolah, PPD, JPN, KPM serta pihak lain yang diiktiraf oleh kerajaan, (10) Menyemak dan memeriksa kerja murid, dan (11) Mengajar.

Dapatan kajian oleh Jemaah Nazir Sekolah pada 12 April 2006 (Jemaah Nazir Sekolah Cawangan Raub 2006) menunjukkan bahawa isu kualiti pengajaran guru masih boleh dipertingkatkan. Dapatan kajian menyatakan bahawa kualiti pengajaran guru memuaskan, berjaya mengawal kelas dengan baik, menyampaikan isi pelajaran dengan jelas dan teratur sesuai dengan rancangan pelajaran yang disediakan. Namun begitu, masih terdapat kekurangan di mana soalan yang dikemukakan oleh guru tidak dipelbagaikan aras kognitifnya dan sebarannya tidak menyeluruh. Kebanyakan soalan dikemukakan oleh guru kepada murid adalah pada aras rendah seperti sebut semula, mengulang fakta atau isi pelajaran yang disampaikan. Ini kurang mencabar pemikiran murid. Sebahagian kecil murid pula tidak mahu menonjolkan kebolehan dalam proses pembelajaran semasa perbincangan dan sesi soal

Page 10: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

jawab. Sebahagian murid pula kurang meminta penerangan lanjut daripada guru. Sementara pameran bahan pada sudut mata pelajaran kurang menunjukkan kesinambungan dengan tajuk-tajuk yang diajar.

Dalam hal yang melibatkan pengurusan panitia mata pelajaran pula, kajian (Jemaah Nazir Sekolah Cawangan Raub 2006) menunjukkan fail panitia telah disediakan mengikut tahun persekolahan, bukan mengikut muatan isi fail. Hal ini kurang memperlihatkan kesinambungan bahan-bahan terkini dengan bahan-bahan yang terdapat dalam fail sebelumnya. Dapatan kajian oleh Jemaah Nazir Sekolah pada 12 April 2006 juga mencadangkan bahawa guru perlu menyemak hasil kerja murid dan menegaskan supaya murid membuat pembetulan sebagai peneguhan kepada ‘ilmu yang benar’. Di samping itu, dicadangkan juga agar semua dokumen yang berkaitan dengan pengurusan perlu disimpan secara sistematik dan kemas kini. Sementara guru biasiswa perlu didedahkan dengan maklumat dan panduan terkini.

Pengurusan Kokurikulum

Berdasarkan Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997, kegiatan kokurikulum ialah apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah (Lembaga Penyelidikan Undang-undang 2003). Kokurikulum merupakan gerak kerja yang bercorak pendidikan dan merupakan pengalaman pembelajaran (Omardin 1996). Bagi beliau, gerak kerja kokurikulum dapat menyediakan pengalaman bagi perkembangan mental, minat, bakat, sosial, jasmani dan rohani murid dengan andaian bahawa pengalaman tertentu tidak dapat mereka peroleh dalam bilik darjah. Manakala Mohd Sofian et al. (2002) menyatakan bahawa kokurikulum merupakan bidang pembelajaran yang berasaskan kepada gerak kerja di luar bilik darjah yang dilaksanakan melalui aktiviti terancang. Bagi Abdullah Sani (2003) pula, kokurikulum adalah merujuk kepada apa-apa aktiviti selain daripada mata pelajaran yang diajar di dalam bilik darjah tetapi dianggapkan sebahagian daripada proses pendidikan murid. Secara amnya, aktiviti kokurikulum merujuk kepada aktiviti yang dilakukan di luar waktu pembelajaran formal walaupun hakikatnya guru boleh menjalankan aktiviti ini dalam waktu formal (Abdullah Sani 2003; Ayob 2005; Omardin 1996).

Tujuan program kokurikulum yang diwujudkan di sekolah (Abdullah Sani 2003; Mohd Sofian et al. 2002; Omardin 1996; Wee 1996) adalah seperti berikut iaitu (1) Mengukuh dan mengayakan perkara yang dipelajari dalam bilik darjah dan meluaskan pengalaman murid dalam bidang tertentu; (2) Membentuk sahsiah dan membina konsep kendiri dan peningkatan disiplin di kalangan murid; (3) Meningkatkan tahap kesihatan, kesejahteraan

Page 11: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

diri, kecergasan fizikal, menyemai nilai murni dan membentuk insan berakhlak; (4) Menggunakan masa lapang yang berfaedah dan bermakna dan memupuk sikap positif, selaras dengan hasrat Rukun Negara; (5) Memupuk interaksi dan integrasi kaum, minat dan kecenderungan murid; (6) Mengeratkan hubungan dan integrasi sosial yang bermakna dengan peningkatan kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat; (7) Meningkatkan dan mengembangkan kemahiran asas sesuatu permainan, persatuan dan unit beruniform; (8) Mencegah jenayah remaja dengan menyediakan peluang menggunakan masa lapang yang berfaedah dan memanfaatkan; (9) Mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan ke peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa; (10) Melahirkan pemimpin di kalangan murid untuk menjadi bakal pemimpin negara pada masa akan datang; dan (11) Meningkatkan keadaan sekolah yang lebih menarik dan menggembirakan murid.

Bagi Omardin (1999), terdapat empat aktiviti pengurusan kokurikulum utama yang perlu ditekankan oleh guru besar dan pengetua iaitu perancangan, pengelolaan dan penyeliaan program, arahan dan pelaporan dalam pengurusan. Manakala mengikut Ayob (2005) dan Hussein (1997), antara tugas guru besar atau pengetua dalam bidang kokurikulum adalah merancang kegiatan kokurikulum, memajukan kegiatan sukan dan permainan di peringkat sekolah serta mengawal dan meningkatkan mutu persatuan, kelab dan unit beruniform di sekolah.

Pengurusan Hal-ehwal Murid

Ayob (2005) mendefinisikan pengurusan hal-ehwal murid sebagai pengendalian sumber sama ada manusia ataupun fizikal dengan tujuan mencapai matlamat dan objektif pada tahap yang memuaskan. Pengurusan hal-ehwal murid didasarkan pada empat komponen penting iaitu organisasi dan pembangunan infrastruktur sekolah, perancangan program hal-ehwal murid, strategi pelaksanaan program serta latihan dan penyelidikan terhadap program hal-ehwal murid. Bagi Omardin (1999) pula, pengurusan hal-ehwal murid merupakan proses yang berhubung kait dengan perancangan kerja dan program yang diselenggara dan diuruskan untuk murid. Pengurusan hal-ehwal murid juga merupakan proses mengendalikan sumber manusia dan fizikal dengan tujuan mencapai matlamat pada tahap yang memuaskan.

Antara tugas guru besar atau pengetua dalam bidang pengurusan hal-ehwal murid (Ayob 2005; Hussein 1997; Pusat Perkembangan Kurikulum 2001) adalah (1) Mengurus dan mengemas kini rekod kemasukan, pentadbiran, pertukaran dan pemberhentian murid; (2) Menguruskan surat akuan, sijil-sijil, pengesahan dan pengedaran sijil-sijil murid; dan (3) Mengurus dan menyelaras hal-hal yang berkaitan (i) Kantin, (ii) Asrama, (iii) Biasiswa, (iv) Kebajikan, (v) Disiplin murid, (vi) Kepimpinan murid, (vii) Bimbingan dan kaunseling murid, (vii) Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), dan (viii) Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Page 12: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

KPM sangat prihatin dalam hal-ehwal pengurusan murid terutamanya dalam bidang disiplin. Dalam usaha KPM menangani masalah disiplin, sebagai contohnya, KPM mewajibkan semua sekolah menengah di seluruh negara melaksanakan sistem permarkahan disiplin bagi murid. Pengetua sekolah boleh mengenakan hukuman sewajarnya apabila seseorang murid mendapat markah tertentu. Hal ini berkuat kuasa pada Julai 2007 (Saifulizam 2007). Dalam buku PIPP 2006-2010 terdapat laporan yang menyatakan bahawa hasil kerjasama semua pihak, kes disiplin murid di sekolah telah menurun. Penurunan adalah sebanyak 0.04 peratus iaitu daripada 2.11 peratus pada tahun 2003 kepada 2.07 peratus bagi tahun 2004. Penurunan adalah sebanyak 0.33 peratus iaitu daripada 2.07 peratus bagi tahun 2004 kepada 1.74 peratus bagi tahun 2005. Antara langkah untuk memperkukuhkan disiplin murid termasuklah penggubalan peraturan displin baru, menubuhkan Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid dan Sekretariat Tetap menangani gejala salah laku murid, memantau sekolah yang menghadapi masalah disiplin, meningkatkan kerjasama antara KPM dengan agensi keselamatan berkaitan dan memperkukuh usaha menangani gejala disiplin melalui Jawatankuasa Bertindak (KPM 2006).

Berdasarkan kata-kata Datuk Noh Omar, Timbalan Menteri Pelajaran, walaupun murid yang terlibat dalam salah laku disiplin adalah kecil tetapi KPM memandang serius masalah tersebut terutamanya ponteng sekolah. Beliau menyatakan bahawa masalah ponteng berada pada kadar purata 0.26 peratus, salah laku 0.02 peratus dan pembabitan dalam jenayah adalah juga pada kadar 0.02 peratus. Bagi ujian air kencing yang dilaksanakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) terhadap 32,279 murid, 147 orang murid dikesan menggunakan dadah. Beliau turut menambah bahawa seramai tiga orang pengetua sekolah diberikan surat tunjuk sebab kerana didakwa cuba menyorokkan kes disiplin yang melibatkan murid (Anon 2007e).

Menurut Dr. Ibrahim, langkah KPM untuk memberi lebih autonomi kepada sekolah cemerlang seperti yang terkandung dalam PIPP 2006-2010, akan memberi lebih kuasa kepada guru besar atau pengetua (Saudatul Mahiran 2007) untuk merangka strategi bagi melahirkan murid cemerlang (Mohd Fairuz 2007) iaitu berkait dengan pembangunan sumber manusia di kalangan murid. Menurut beliau lagi, perkara ini pernah dilakukan oleh Maktab Tentera Diraja Sungai Besi, Penang Free School, Victoria Institution dan Sekolah Tinggi Melaka. Namun begitu, guru besar atau pengetua perlu memahami apakah autonomi yang diberikan kerana mereka tidak boleh melaksanakannya secara autokrasi.

Pengurusan Kewangan

Page 13: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

Pengurusan kewangan di sekolah melibatkan aktiviti perancangan, pengelolaan, kepimpinan dan pengawalan oleh guru besar atau pengetua terhadap semua perkara kewangan yang melibatkan sekolah (Kamaruzaman 1997). Ini adalah kerana sekolah merupakan sebuah institusi pendidikan di mana pentadbiran harta dan kewangannya tertakluk kepada Education (Accounts and Audit) Rules 1962 yang dikeluarkan di bawah Akta Pendidikan 1996, seperti yang dinyatakan dalam buku Tatacara Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Sekolah (KPM 2000). Guru besar dan pengetua memainkan peranan penting dalam menguruskan kewangan sekolah. Faktor peribadi guru besar dan pengetua seperti kemahiran, kepimpinan dan sikap mempunyai perkaitan rapat bagi menjayakan pengurusan kewangan sesebuah sekolah (Omardin 1996). Bagi Zaidatol Akmaliah (2000), guru besar atau pengetua bertanggungjawab merancang, mengurus, mengawal serta menentukan kewangan sekolah dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. Mereka bertanggungjawab memastikan bahawa tidak ada sebarang penyelewengan berlaku dalam pengurusan kewangan sekolah.

Abdullah Sani (2003) menyatakan bahawa dalam pengurusan kewangan, guru besar atau pengetua perlu memfokuskan akauntabiliti terhadap wang dan harta benda yang berada dalam jagaannya. Selaku pemegang teraju sekolah, beliau perlu bijak mengurus dengan melibatkan jawatankuasa kewangan, PIBG, orang-orang berkepentingan untuk mendapatkan sumber tambahan melalui kumpulan wang Sumber Wang Awam (SUWA). Oleh itu, perancangan yang berkesan, kawalan yang rapi ke atas penerimaan dan perbelanjaan dana-dana sekolah perlu dititikberatkan. Sebarang penyelewengan perlu dibetulkan supaya ia tidak menjejaskan usaha sekolah bagi meningkatkan mutu pendidikan. Dapatan kajian oleh Kamaruzaman (1997), menyatakan bahawa kelemahan-kelemahan amalan pengurusan sekolah termasuklah fungsi badan pengurusan kewangan sekolah tidak jelas, tidak ada penekanan terhadap keberkesanan-kos, pergantungan pada pihak luar untuk mendapatkan pengetahuan terbaru dan kepakaran, kuasa guru besar atau pengetua disalahgunakan, kesilapan mengawal perbelanjaan dan nisbah perbelanjaan per murid yang tinggi.

Mengikut Hussein (1997), antara tugas guru besar atau pengetua dalam bidang pengurusan kewangan adalah (1) Merancang belanjawan dan mengurus perbelanjaan sekolah; (2) Menyelenggara segala jenis akaun penerimaan dan pembayaran; (3) Mengurus penerimaan dan perbelanjaan, biasiswa, tuntutan, pembelian, pesanan, tender dan pembekalan kelengkapan atau peralatan; (4) Menyelenggara dan mengawas pengurusan serta penyimpanan rekod kewangan sekolah supaya kemas kini dan teratur; (5) Mengendalikan hal gaji guru dan staf sokongan sekolah; dan (6) Menyediakan laporan kewangan tahunan sekolah untuk tujuan audit.

Laporan Audit Sekolah Tahun 2005 menyatakan sejumlah RM2.02 bilion telah diperuntukkan untuk bantuan dan pemberian kepada 8,212 buah sekolah bagi pelaksanaan program dan aktiviti yang ditetapkan. Pengurus sekolah bertanggungjawab merancang dan mengurus

Page 14: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

belanjawan serta mempunyai akauntabiliti dalam pengurusan kewangan sekolah. Laporan keseluruhan menunjukkan prestasi kewangan tidak menunjukkan kemajuan berbanding tahun 2004 kerana bilangan kes ketidakpatuhan terhadap peraturan dan penyelenggaraan rekod telah meningkat (Laporan Audit Sekolah Tahun 2005).

Laporan Audit Sekolah Tahun 2005 mencatatkan sebanyak 503 buah sekolah lewat mengemukakan penyata kewangan dan 891 buah sekolah diberikan Sijil Audit Berteguran. Sijil Audit Berteguran dikeluarkan kepada sekolah yang tidak mematuhi tatacara seperti mana yang terdapat dalam Peraturan 12, Peraturan-peraturan Pendidikan (Akaun dan Audit) 2002. Antara kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh 891 buah sekolah itu melibatkan Pungutan Tidak Diakaunkan (RM0.43 juta), Pungutan Lewat Dibankkan (RM0.56 juta), Akaun Belum Terima (RM0.89 juta), Pungutan Tanpa Mengeluarkan Resit (RM9.96 juta), Pungutan Tanpa Kelulusan (RM0.92 juta), Kumpulan Wang Terkumpul Berbaki Defisit (RM0.38 juta), Bayaran Tanpa Dokumen Sokongan (RM6.62 juta), Akaun Belum Bayar (RM0.83 juta), Perbelanjaan tanpa kelulusan (RM3.21 juta), Perbelanjaan tanpa pesanan sekolah (RM1.96 juta) dan Kumpulan Wang Terkumpul berbaki tinggi (RM4.64 juta) (Laporan Audit Sekolah Tahun 2005).

Pengauditan terhadap pengurusan kewangan sekolah bagi 94 buah sekolah bertaraf Pusat Tanggungjawab (PTJ) menunjukkan prestasi sekolah adalah tidak memuaskan (8 buah), kurang memuaskan (37 buah), memuaskan (39 buah) dan baik (10 buah). Tiada sebuah sekolah bertaraf PTJ dilabelkan sebagai sangat baik. Laporan Khas pula telah dikeluarkan kepada sembilan PTJ yang melibatkan 20 buah sekolah dan amaun berjumlah RM1.37 juta (Laporan Audit Sekolah Tahun 2005). Laporan Khas dikeluarkan kepada PTJ yang mempunyai sekolah yang menerima Sijil Audit Berteguran. Laporan Khas ini dikeluarkan jika terdapat kes-kes yang mempunyai unsur penyelewengan atau salah guna kuasa (Laporan Audit Sekolah Yang Disatukan 2004).

Pengauditan terhadap Skim Baucar Tuisyen (SBT) bagi 4078 sekolah rendah mendapati pengurusan dokumen dan borang SBT telah membebankan pihak sekolah sehingga berlakunya kelewatan pembayaran dan masalah penyimpanan dokumen. Sementara pengauditan terhadap 652 buah sekolah yang mengendalikan Kumpulan Wang Asrama menunjukkan baki berjumlah RM81 juta pada akhir 2005. Baki yang tinggi ini disebabkan oleh penyelarasan bantuan makanan tidak dibuat mengikut bilangan penghuni asrama sedia ada dan peruntukan bantuan pada tahun-tahun lepas tidak dibelanjakan sepenuhnya (Laporan Audit Sekolah Tahun 2005).

Dapatan kajian dan pengauditan, jelas menunjukkan selain latihan pengurusan kewangan kepada kerani sekolah, latihan pengurusan kewangan amat perlu dipertingkatkan kepada

Page 15: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

guru besar atau pengetua. Kenyataan ini juga dipersetujui oleh Chan (2004), Charil (1999, 2005), Kamaruzaman (1997) dan Zaidatol Akmaliah (2000). Hal ini adalah selari dengan dapatan kajian oleh Marshal dan Greenfield (1987) yang menyatakan guru besar atau pengetua yang baru dilantik menunjukkan ketidakberkesanan dan ketidaksanggupan menerima risiko. Ini disebabkan oleh kekurangan kemahiran untuk melaksanakan prosedur pentadbiran harian, pengurusan konflik dan membuat keputusan dalam organisasi. Kekurangan kemahiran ini pula disebabkan kekurangan pengalaman sebagai guru penolong kanan, kekurangan latihan formal untuk menjalankan tugas serta kekurangan proses pemasyarakatan sebelum menjadi guru besar atau pengetua.

Pengurusan Pentadbiran Pejabat

Omardin (1999) mendefinisikan pejabat sebagai tempat berurusnya pelbagai aktiviti yang bercorak pengurusan dan pentadbiran. Pengurusan dan pentadbiran pejabat pula mempunyai perkaitan dengan mengatur dan menyusun pejabat serta menyediakan peraturan dan kaedah untuk membuat sesuatu kerja di samping pengurusan kakitangan serta pengendalian alatan dan perabot Sebagai seorang ketua, guru besar atau pengetua perlu merancang, mengurus, membuat keputusan, berkomunikasi, mendorong, bertindak, mengawal, menilai dan memimpin dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti pejabat. Bagi beliau, aktiviti-aktiviti pejabat boleh dikategorikan kepada lima iaitu menerima dan mengeluarkan maklumat, mengelas, menganalisis, menyusun, merekod dan menghantar maklumat.

Antara tugas dan tanggungjawab guru besar atau pengetua dalam pengurusan dan pentadbiran pejabat (Bahagian Sekolah 2004) termasuklah (1) Memastikan rekod guru, staf sokongan dan murid diselenggara secara sistematik, terkini, mudah dikesan dan disimpan di tempat yang selamat untuk urusan penambahbaikan; (2) Menentukan urusan surat menyurat dilaksanakan dengan cekap dan sistematik; (3) Memastikan pengurusan fail pejabat diselenggara secara sistematik, terkini, mudah dikesan dan disimpan di tempat yang selamat untuk urusan penambahbaikan; (4) Memastikan buku maklumat aktiviti persekolahan disediakan dengan lengkap di awal tahun dan sentiasa dikemas kini; (5) Menyelaras tugas guru dan staf sokongan; (6) Memastikan utiliti diurus dengan cekap; (7) Memastikan kemudahan fizikal sekolah digunakan secara optimum; dan (8) Memastikan suasana pejabat ceria, bersih dan selamat.

Bagi Omardin (1999), pelbagai aktiviti pejabat boleh diperincikan lagi dengan mengaitkannya dengan (1) Sistem pejabat yang merupakan suatu operasi berulang yang ditetapkan bagi sesuatu aktiviti tertentu seperti pembayaran gaji dan kaedah catatan kehadiran murid; (2) Organisasi pejabat yang melibatkan pembahagian dan penurunan kuasa, tugas dan tanggungjawab oleh guru besar atau pengetua kepada staf bawahannya seperti guru dan

Page 16: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

kakitangan sokongan; (3) Penyimpanan rekod; (4) Sistem fail dan pengelasannya; (5) Surat-menyurat; (6) Pengurusan guru dan kakitangan sokongan; (7) Sistem perhubungan; (8) Alatan tulis; (9) Pengawalan stok; dan (10) Pengendalian mesyuarat.

Berdasarkan pendapat dan kenyataan pakar di atas, pengurusan pentadbiran pejabat merupakan perkara penting dan perlu dikuasai kemahirannya oleh guru besar atau pengetua. Pengurusan pentadbiran pejabat ini boleh dianggap sebagai tulang belakang dalam usaha mereka mengemudi sekolah agar sistem persekolahan keseluruhannya dapat berjalan dengan baik dan berkesan. Tidak dapat dinafikan bahawa pengurusan pentadbiran pejabat merupakan kemahiran yang diperlukan dalam latihan kepengetuaan di IAB.

Pengurusan Persekitaran dan Kemudahan Fizikal

Abdullah Sani (2003) menyatakan bahawa iklim dan persekitaran sekolah akan membawa pengaruh yang penting terhadap pembentukan tingkah laku, imej mental, aspirasi dan interaksi sosial anggota-anggotanya. Bahagian Sekolah, KPM pula menyenaraikan kemudahan fizikal meliputi semua bangunan sekolah termasuk bilik-bilik darjah, bilik-bilik khas, tandas, asrama, gelanggang permainan, sistem perparitan, alatan dan sistem pendawaian elektrik (Bahagian Sekolah 2002). Omardin (1999) pula berpendapat bahawa pejabat sekolah merupakan tempat tumpuan perhubungan antara sekolah dan pihak luar dan antara staf sekolah dengan murid. Oleh itu pejabat hendaklah disusun agar dapat memberikan keselesaan kepada kakitangan sekolah, sebaik-baiknya terletak di tengah-tengah kawasan bangunan dan berhampiran dengan bilik guru. Saiznya yang besar dan lapang, sistem lampu dan pengudaraan yang baik patut disediakan dan ini akan memberi lebih semangat dan peransang kepada semua kakitangan sekolah.

Antara tugas guru besar atau pengetua dalam bidang pengurusan persekitaran dan kemudahan fizikal (Hussein 1997) termasuklah (1) Menyimpan stok dan mengurus hapus kira serta pelupusan, (2) Merancang penambahan kemudahan fizikal dan pembangunan sekolah, (3) Menyenggara bangunan dan kemudahan fizikal sekolah yang lain, (4) Menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran, (5) Mengadakan langkah-langkah keselamatan harta-benda sekolah, dan (6) Memelihara tahap kebersihan dan keceriaan yang tinggi dan sihat.

Laporan Pemeriksaan Sekolah Awal Tahun yang dilaksanakan oleh Jemaah Nazir Sekolah pada 17 dan 21 Januari 2004 di beberapa sekolah daerah Bentong, Pahang Darul Makmur (Laporan Pemeriksaan Sekolah Awal Tahun 2004) mendapati bahawa perkara-perkara berikut iaitu (1) Target pencapaian akademik dan gerko tidak dicatatkan dalam panduan pengurusan yang diedarkan; (2) Takwim hal ehwal murid dan kokurikulum telah disediakan

Page 17: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

dengan memuaskan, tetapi takwim kurikulum adalah kurang lengkap; (3) Kekurangan ruang-ruang khas seperti makmal komputer, stor sukan, bilik Ketua Bidang dan dewan; (4) Kekurangan guru opsyen bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Kemahiran Hidup; (5) Kawasan dan persekitaran sekolah kurang ceria dan belum terurus, (6) Pengurusan bilik darjah dan bilik khas belum diurus dengan sempurna. Maklumat penting seperti jadual waktu kelas, peraturan sekolah, pelan keselamatan dan jadual tugas kebersihan belum dipamerkan; (7) Penambahbaikan Perancangan kurikulum, kokurikulm dan hal-ehwal murid bagi tahun lepas iaitu tahun 2003 masih belum dilaksanakan; dan (8) Pusat Sumber Sekolah masih belum berfungsi.

Salah satu aspek kemudahan fizikal iaitu isu kebersihan tandas sekolah yang tidak memuaskan yang dibangkitkan oleh ibu bapa merupakan satu isu yang sangat perlu ditangani oleh guru besar atau pengetua. Pengwujudan Jawatankuasa Induk Kesihatan, Kebersihan dan Keselamatan (3K) yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran menunjukkan bahawa KPM amat prihatin terhadap isu sebegini (Hon 2007). Sehubungan dengan itu Datuk Hon Choon Kim, Timbalan Menteri Pelajaran, menyatakan bahawa pada tahun 2004, KPM telah membelanjakan sejumlah RM60,159,264.74 bagi menyelenggara tandas di 2,243 buah sekolah rendah dan 1,034 buah sekolah menengah.

Daripada keterangan di atas, adalah amat perlu bagi guru besar atau pengetua untuk mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengurusan persekitaran dan kemudahan fizikal. Dan adalah langkah tepat bagi IAB yang memasukkan komponen pengurusan persekitaran dan kemudahan fizikal dalam program latihan IAB..

Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia

Amstrong (1987) mendefinisikan pengurusan dan pembangunan sumber manusia sebagai satu pendekatan strategik dan koheren bagi pengurusan aset sesebuah organisasi yang sangat bernilai iaitu orang-orang yang bekerja di dalamnya, yang secara individu dan kolektif menyumbang kepada penyampaian objektif organisasi bagi memastikan kelebihan persaingan yang mampu bertahan lama. Bagi Omar (2001), pengurusan sumber manusia mencakupi perancangan, pengurusan keselamatan, kesihatan dan kebajikan, hubungan pekerja dan kesatuan, pengurusan ganjaran, faedah dan prestasi serta pembangunan sumber manusia. Bagi Poon (1994), pengurusan sumber manusia ialah penggunaan aset-aset manusia organisasi untuk mencapai objektif organisasi. Manakala Beer et al. (1984) menegaskan bahawa pengurusan sumber manusia melibatkan semua keputusan dan tindakan pengurusan yang mempengaruhi perhubungan antara organisasi dan kakitangan iaitu sumber manusianya. Dan bagi Omardin (1999) pula, pembangunan membawa maksud perubahan yang berkait rapat dengan pertumbuhan, penyesuaian dan kemajuan. Daripada

Page 18: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

segi individu pula, pembangunan membawa maksud perubahan pada nilai, sikap, hasrat dan jangkaan yang membawa kepada kebolehan hidup berdikari dan kesedaran kendiri yang mempengaruhi sikap terhadap peningkatan mutu kerja. Sementara bagi Poon (1994), pembangunan sumber manusia meliputi aspek orientasi, sosialisasi, latihan dan pembangunan.

Sekolah mempunyai sumber-sumber manusia seperti guru, kakitangan sokongan dan murid. Sumber-sumber manusia ini perlu diuruskan dan dibangunkan dengan baik agar dapat mewujudkan sekolah yang berkesan dan cemerlang (Omardin 1996). Berdasarkan pendapat Ayob (2005), mengurus sumber manusia terutama guru dan staf menjadi ringan kerana KPM telah menubuhkan bahagian perjawatan di bawah bahagian pengurusan sumber manusia. Sekolah hanya menerima guru terlatih yang diktiraf, di samping urusan pengesahan perjawatan dan kenaikan pangkat juga diuruskan oleh KPM. Namun begitu, tugas-tugas yang lain di sekolah, masih perlu dilaksanakan oleh guru besar atau pengetua. Guru bukan sahaja diperlukan untuk menyampaikan pengajaran yang berkesan, kreatif dan inovatif, malah dapat menguruskan kelas dengan baik, mengendalikan mesyuarat dengan berkesan dan menjalankan kerja-kerja rutin lain mengikut standard yang ditetapkan. Kemahiran ini perlu dicari dan ditingkatkan dari semasa ke semasa (Ayob 2005; Azlin Norhaini 2006; Hussein 1997; Omar 2001).

Antara tugas-tugas yang perlu dilaksanakan oleh guru besar atau pengetua dalam aspek pengurusan dan pembangunan sumber manusia (Pusat Perkembangan Kurikulum 2001) adalah (1) Merancang dan melaksanakan program pembangunan staf; (2) Memberi motivasi, bimbingan dan kaunseling kepada staf; (3) Meningkatkan kecekapan dalam mengurus sumber manusia; (4) Membuat penilaian program latihan; (5) Menjalankan tindakan susulan; (6) Menyediakan maklumat dokumentasi; dan (7) Memberi latihan dan pendedahan kepada guru yang baru dilantik, bertukar ke sekolah, bertukar opsyen dan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).

Dalam PIPP pula, sebanyak 300 buah sekolah yang menyerlah dan cemerlang akan diberikan kuasa autonomi, sebagai langkah mewujudkan kluster institusi pendidikan di negara ini (Anon 2007c). Sekolah kluster bertujuan menjadikan sistem pendidikan Malaysia bertaraf dunia sekaligus melahirkan generasi yang holistik dan memenuhi keperluan pasaran kerja (Mohd Fairuz 2007). Pengurusan sekolah kluster mempunyai kuasa (Anon 2007c) seperti berikut (1) Memilih guru besar atau pengetua dan pihak pengurusan berdasarkan permohonan atau pemilihan, PIBG atau kepimpinan atasan; (2) Memilih tenaga pengajar; (3) Pelantikan staf sekolah tidak perlu mengikut norma perjawatan; (4) Pemilihan 10 peratus murid daripada jumlah kemasukan murid; (5) Pengwujudan kelas khas bersesuaian dengan bidang khusus masing-masing seperti O-Level, A-Level dan General Certificate of Secondary Education (GCSE); (6) Penawaran kurikulum, kaedah serta tempoh pengajaran dan

Page 19: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

pembelajaran; (7) Perolehan bahan pengajaran dan pembelajaran; (8) Penjanaan dan pengurusan kewangan serta mendapatkan dana tambahan; (9) Pembayaran gaji, insentif dan elaun khas guru lebih tinggi; dan (10) Pelaksanaan program pembangunan profesional untuk tenaga pengajar.

Dapatan kajian oleh Hasbee (1990) menunjukkan bahawa kebanyakan guru besar di Sarawak berasa kekurangan dari segi keterampilan kepimpinan, membuat keputusan, berkomunikasi, menguruskan diri, aspek pengajaran dan pembelajaran, memimpin dan menguruskan staf, menguruskan sumber manusia dan juga sumber-sumber lain. Kekurangan ini dikaitkan dengan kekurangan latihan secara formal. Hal ini adalah selari dengan kajian yang dilaksanakan oleh Beckshi (2000). Beliau menyatakan bahawa latihan yang berkesan dapat meningkatkan prestasi manusia dan meningkatkan daya pengeluaran mereka dalam organisasi. Di samping itu juga, dapatan kajian oleh Johnson (1991) mendapati bahawa penilaian prestasi dan pembangunan staf merupakan dua komponen penting yang seharusnya terdapat dalam program latihan kepimpinan dan pengurusan pendidikan.

Sebagai contoh yang lain, dapatan kajian oleh JPNP mendapati bahawa program-program seperti perkembangan staf dan seminar diadakan secara rutin di sekolah, namun bukan keperluan yang benar-benar dikehendaki. Hal ini bermaksud, program-program pembangunan manusia yang dilaksanakan bukanlah program untuk mengurangkan atau menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi oleh pihak sekolah (Laporan Pemantauan Kolaboratif Peningkatan Pengurusan Akademik 2006). Dengan kata lain, keperluan kepada latihan seperti Program Latihan NPQEL adalah sangat mendesak dalam menyediakan guru besar atau pengetua dengan pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan dan pembangunan sumber manusia.

Pengurusan Perhubungan Luar

Kita tidak dapat menyangkal dan menafikan bahawa pengurusan perhubungan luar iaitu perhubungan sekolah dengan pihak luar memainkan peranan penting dalam menjana kecemerlangan sekolah. Pihak sekolah yang menjalin hubungan yang rapat dengan komuniti di sekeliling sekolah akan dapat menaikkan imej sekolah. Seterusnya pihak sekolah akan merasa mudah untuk mendapatkan kerjasama dan penglibatan komuniti dalam apa-apa program yang diadakan oleh pihak sekolah (Ayob 2005; Omardin 1996).

Antara tugas guru besar atau pengetua dalam bidang pengurusan perhubungan luar (Hussein 1997) termasuklah (1) Mewujudkan dan memajukan keberkesanan perhubungan di sekolah dan antara sekolah, dengan ibu bapa dan masyarakat setempat; (2) Menyelaraskan

Page 20: Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia

dan mengawal semua jenis penerbitan yang dikeluarkan oleh pihak sekolah; (3) Bekerjasama dengan pihak lain dalam aktiviti yang memberi manfaat kepada sekolah; dan (4) Menjadi ex-officio Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Dapatan kajian oleh JPNP terhadap 84 buah sekolah di negeri Pahang (Laporan Pemantauan Kolaboratif Peningkatan Pengurusan Akademik 2006) menunjukkan bahawa kerjasama pihak PIBG dengan agensi luar sangat akrab dan hampir tidak mewujudkan sebarang konflik. PIBG sentiasa memberi sumbangan dan sokongan padu bagi memastikan setiap program sekolah dapat dijayakan dengan baik. Sumbangan berterusan mengikut keperluan semasa terus diterima oleh pihak sekolah antaranya sumbangan daripada Yayasan Pahang, Yayasan Al-Bukhari, Felda, Felcra, kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan yang lain. Justeru adalah sangat penting bagi program latihan di IAB menjadikan pengurusan perhubungan luar sebagai kandungan yang perlu disampaikan kepada bakal pengurus dan pemimpin pendidikan di Malaysia.

Kesimpulan

Pengwujudan SKKSM pada tahun 2006 merupakan satu usaha KPM untuk menjelaskan tentang fungsi dan peranan yang seharusnya dimainkan oleh guru besar dan pengetua sekolah di Malaysia. Kepentingan pengetahuan dan kemahiran dalam: (1) Pengurusan dan Kepimpinan Organisasi, (2) Pengurusan Kurikulum, (3) Pengurusan Kokurikulum, (4) Pengurusan Hal-ehwal Murid,(5) Pengurusan Kewangan, (6) Pengurusan Pentadbiran Pejabat, (7) Pengurusan Persekitaran dan Kemudahan Fizikal, (8) Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia serta (9) Pengurusan Perhubungan Luar; seharusnya ditekankan oleh guru besar dan pengetua semasa mentadbir sekolah mereka. Tanpa pengetahuan dan kemahiran yang tepat dan pasti, amat sukar bagi mereka melonjakkan kecemerlangan sekolah ke tahap yang lebih tinggi daripada apa yang ada sekarang. Walaupun SKKSM ini tidak menjelaskan bagaimana cara untuk mengukur pencapaian bagi setiap bidang berkaitan, namun usaha mewujudkan garis panduan ini merupakan usaha yang sangat baik dan perlu diteruskan pada masa-masa akan datang.