tatabahasa bm
description
Transcript of tatabahasa bm
FAKULTI PENDIDIKAN DAN BAHASA
SEMESTER MEI 2015
AMBILAN SEPTEMBER 2012
HBML3203
TATABAHASA DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU
NO.MATRIKULASI : 810822105309001
NO. KAD PENGENALAN : 810822-10-5309
NO. TELEFON : 012-7654654
EMAIL : [email protected]
PUSAT PEMBELAJARAN: OPEN UNIVERSITY MALAYSIA, MELAKA.
ISI KANDUNGAN
PERKARA MUKA SURAT
1.0 Pengenalan 2
2.0 Konsep Dan Definisi Wacana Dalam Penulisan 3
3.0 Strategi Pengajaran Yang Berkesan Dalam Pengajaran Kemahiran
Wacana Penulisan Di Peringkat Sekolah Rendah 5
4.0 Cadangan Yang Berkesan Untuk Memperbaiki Kelemahan Murid Dalam
Kemahiran Wacana Penulisan Di Peringkat Sekolah Rendah 11
5.0 Rumusan 12
6.0 Rujukan 14
1
1.0 PENGENALAN
Penulisan karangan adalah komponen penting dalam kemahiran bahasa sehingga ia
dijadikan satu gerak kerja utama dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sama ada pada peringkat
sekolah rendah atau peringkat sekolah menengah. Kamarudin Husin (1996:192) memetik
pendapat Loban menyatakan bahawa kemahiran bahasa terbahagi kepada empat, iaitu kemahiran
mendengar, bertutur, membaca, dan akhir sekali ialah kemahiran menulis. Penguasaan pelajar
dalam pengajaran dan pembelajaran penulisan karangan bagi semua peringkat sekolah adalah
tingkat terpenting kemahiran bahasa.
Kemahiran menulis ialah satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar dengan baik
dalam penguasaan bahasa. Ini jelas kelihatan mencakupi ruang litup dalam dunia persekolahan,
pekerjaan dan sosial. Penguasaan bahasa penulisan akan melicinkan perhubungan formal dalam
bentuk surat-menyurat, laporan, pernyataan perasaan, dan penglibatan dalam lain-lain aktiviti
penulisan sama ada dalam bentuk yang kreatif (kesusasteraan) ataupun yang berbentuk ilmiah.
Hasil penulisan yang baik adalah penulisan yang mengandungi wacana yang mantap selain tidak
ada sebarang kesalahan dalam penulisan tersebut. Dengan itu, pembaca akan lebih senang untuk
menerima maklumat. Wacana yang mantap bermaksud satu kesatuan perenggan-perenggan,
setiap perenggan berfokus kepada satu isi dan setiap ayat bertautan antara satu sama lain.
Pertautan membawa kesinambungan yang logik antara satu ayat dengan ayat yang berikutnya.
Seseorang pelajar mesti menguasai kemahiran menulis dan penguasaan tatabahasa yang baik
untuk menghasilkan penulisan yang mengandungi wacana yang mantap.
Menurut Smith (1969), penulisan merupakan satu proses penghasilan wacana bertulis
dengan ketepatan dan formaliti yang berbeza-beza berdasarkan tujuan dan keperluan penulisan.
Barnow (1989) pula berpendapat bahawa penulisan merupakan satu cara untuk melahirkan
bahasa manusia melalui simbol-simbol yang dapat dilihat. Secara umumnya pula, penulisan
merupakan satu proses yang melibatkan pembentangan idea-idea serta penyusunan yang
dilakukan oleh penulis berkaitan dengan sesuatu isu untuk dipersembahkan kepada pembaca.
Setiap idea yang telah diutarakan oleh penulis hendaklah jelas maksudnya menerusi penggunaan
bahasa yang tepat dan teknik penulisan yang sesuai seterusnya mampu menyalurkan idea kepada
pembaca.
2
2.0 KONSEP DAN DEFINISI WACANA DALAM PENULISAN
Perkataan wacana menurut Kamus Dewan Edisi Baru 1993: 1484 bermaksud ucapan,
pertuturan, percakapan, keseluruhan tutur yang merupakan suatu kesatuan. Semua perkara yang
melibatkan bahasa ialah wacana. Retorik menjadi komponen yang penting bagi wacana. Wacana
adalah sebagai kesinambungan cerita dengan bahasa yang mudah dan kesinambungan ini
ditunjang oleh jalinan maklumat.
Wacana merupakan suatu bahagian atau unit yang paling tinggi yang melampaui sebaris
ayat yang lengkap. Oleh yang demikian, wacana dapat dijelmakan dalam pelbagai bentuk
sehinggalah meliputi peristiwa bahasa. Menurut Kamus Dewan (2007), wacana membawa
maksud keseluruhan tutur kata yang merupakan suatu kesatuan, ucapan, pertuturan serta
percakapan. Manakala menurut pendapat Harimurthi (1982) pula, wacana merupakan unit bahasa
yang melebihi batas ayat.
Menurut Harimuthi (1982) dalam Sharifah (2007), wacana ialah unit bahasa yang
melebihi batas ayat. Wacana merupakan kesatuan bahasa yang lengkap kerana sesuatu wacana
mungkin terdiri daripada dua atau beberapa gabungan ayat, satu perenggan, satu bab, sebuah
buku atau satu siri buku. Selain itu, wacana turut menunjukkan perkembangan fikiran yang
berurutan dan disusun secara sempurna seterusnya menghasilkan satu pemikiran yang utuh.
Wacana terletakkan dalam hieraki tertinggi iaitu selepas tingkat ayat,klausa, frasa dan kata.
Wacana direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti novel, perenggan, kalimat atau
ayat yang membawa amanat yang lengkap.
Stubbs dalam Taringan (1993) turut mengemukakan definisi yang hampir sama iaitu,
wacana merupakan organisasi bahasa yang berada di atas klausa. Dengan perkataan lain, apabila
terdapat unit-unit linguistik lebih besar daripada klausa, maka ianya akan disebut sebagai
wacana. Moeliono (1995) dalam Adenan (2013) pula mendefinisikan wacana sebagai rentetan
kalimat yang berkaitan sehingga terbentuk makna yang serasi antara kalimat tersebut.
Sementara itu, Raminah Haji Sabran (1985) dalam bukunya yang bertajuk Kajian Bahasa
untuk Pelatih Maktab Perguruan, mendefinisikan wacana adalah unit bahasa yang melebihi batas
ayat, kerana itu ia boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, bab, buku, dialog, siri buku
3
dan sebagainya yang di dalamnya memperlihatkan hubungan-hubungan dan perkembangan
fikiran yang berturutan. Menurut beliau lagi, wacana merupakan kesatuan bahasa yang lengkap.
Berdasarkan pernyataan-pernyataan di atas, dapatlah dikatakan bahawa setiap bahasa
mempunyai bilangan ayat yang tidak terhad. Walaupun begitu, sejumlah ayat tertentu hanya
membawa satu tumpuan makna sahaja. Manakala tumpuan makna pula akan membentuk satu
fokus pemikiran yang mana di dalam tatabahasa ianya disebut sebagai wacana. Selain itu,
wacana juga boleh disebut sebagai rentetan, tautan dan hubungan antara sistem bahasa yang
tersusun sehingga menjadi satu bentuk ayat, perenggan, karangan, sebuah novel, sebuah majalah,
buku seminar, bengkel, forum dan sebagainya.
2.1 Ciri-Ciri Wacana
Ciri-ciri bagi wacana ialah berstruktur iaitu merangkumi pendahuluan, isi, dan penutup.
Dalam pendahuluan, penulis membayangkan perkara yang ingin dibincangkan selanjutnya.
Hujah, ulasan, dan pendapat tentang isu yang disertakan dengan contoh pula ditulis dalam isi.
Dalam penutup pula, kesimpulan secara menyeluruh dilakukan terhadap penulisan yang dibuat.
Selain itu, setiap wacana yang dihasilkan dalam penulisan juga mempunyai tujuan kerana
dengannya kita dapat menentukan jenis wacana yang ingin digunakan. Wacana digunakan dalam
penulisan berformat dan penulisan tidak berformat. wacana dalam penulisan berformat meliputi
surat kiriman tidak rasmi, surat kiriman rasmi, dialog, syarahan, ucapan, perbahasan, laporan,
berita dan catatan harian. Wacana dalam penulisan tidak berformat pula tidak mempunyai format
yang khusus dan kebiasaannya, penulisan jenis ini menghendaki penulis membincangkan sesuatu
topik yang diberi berdasarkan pengalaman. (Adenan dan Mohd Rain, 2013).
Menurut Beaugrand dan Dressler (1981) yang dipetik dari surat khabar Berita Harian
pada tahun 2008 menyatakan bahawa terdapat tujuh ciri wacana yang perlu dipenuhi untuk
menghasilkan wacana, iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan maklumat, keadaan dan
interteks.
I. Kohesi atau tautan : keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan
unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana bagi menghasilkan wacana yang
lengkap. Keserasian hubungan tersebut dapat dilihat melalui hubungan antara satu
4
perkataan, frasa atau ayat lain dalam wacana yang sama, frasa atau ayat dengan
perkataan.
II. Koheran atau runtutan : kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah
wacana sehingga menjadikan teks tersebut bermakna.
III. Tujuan : ditentukan oleh penghasil wacana tersebut. Tujuan juga membolehkan
penghasil wacana menentukan jenis wacana yang digunakan.
IV. Penerimaan : tahap penerimaan seseorang itu tinggi sekiranya pendengar atau
pembaca memahami sepenuhnya wacana yang dihasilkan sama ada dalam bentuk
lisan atau tulisan.
V. Maklumat : terbahagi kepada dua iaitu maklumat lama dan maklumat baru.
Maklumat lama merupakan maklumat yang telah dinyatakan pada peringkat awal
dan diulang semula dalam konteks yang berikutnya. M Maklumat baru pula ialah
maklumat yang baru sahaja dinyatakan dengan anggapan pendengar atau pembaca
tidak mengetahui maklumat itu sebelum ini.
VI. Keadaan : sesuatu wacana yang dihasilkan perlu sesuai dengan keadaan. Oleh itu,
untuk menghasilkan sesuatu yang sesuai dengan keadaan, pemilihan kata, frasa
atau ayat adalah penting.
VII. Interteks : bermaksud wacana yang bergantung kepada wacana lain. Wacana-
wacana yang lain turut memainkan peranan penting untuk membantu seseorang
memahami dengan mudah. Kefahaman seseorang terhadap sesebuah wacana
bergantung kepada pengetahuannya terhadap perkara yang dibaca atau
didengarnya itu.
3.0 STRATEGI PENGAJARAN YANG BERKESAN DALAM PENGAJARAN
KEMAHIRAN WACANA PENULISAN DI PERINGKAT SEKOLAH RENDAH
Marohaini Yusoff (1989) mendapati bahawa fenomena pengajaran dan pembelajaran di
sekolah lebih tertumpu kepada penghasilan isi atau fakta dalam kegiatan menulis atau
5
mengarang. Aspek penggunaan bahasa yang baik dan teknik-teknik mengarang yang berkesan
kurang dititikberatkan. Murid hanya diberi penekanan terhadap berfikir untuk mendapatkan isi.
Fenomena ini menyebabkan murid kurang berkemahiran dalam berfikir untuk menghasilkan atau
memikirkan cara yang berkesan menyampaikan sesuatu mesej atau idea dengan menggunakan
wacana tatabahasa yang tepat dalam penulisan karangan.
Isahak Haron (1979) dalam Hasyim Othman (2000) pula mengatakan bahawa karangan
bukanlah sekadar hasil kepandaian atau kemahiran mengubah atau menyusun kata-kata, frasa,
dan ayat, tetapi merupakan kemahiran penyampaian idea, fakta dan sebagainya secara lisan atau
bukan lisan dengan menggunakan alat komunikasi iaitu bahasa.
Hal ini selaras dengan Kurikulum Bahasa Melayu, iaitu menyediakan murid menguasai
kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dengan menggunakan peraturan tatabahasa secara betul
dan tepat. Murid mampu mengungkapkan segala ilmu daripada pelbagai bidang disiplin atau
mata pelajaran lain disamping mengembangkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis
(Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM, 2000).
Oleh itu, dalam usaha untuk mempertingkatkan kemahiran menulis dalam kalangan
pelajar, aspek tatabahasa harus diberi penekanan. Strategi pengajaran penulisan yang berkesan
akan memberikan kesan kepada keupayaan murid dalam menghasilkan penulisan yang baik dan
gramatis. Dalam usaha untuk mempertingkatkan kemahiran penulisan murid, Kamarudin Husin
(1988) telah mengemukakan tiga peringkat strategi penulisan iaitu sebelum, semasa dan selepas
penulisan.
1) Peringkat Sebelum Penulisan
Dalam peringkat sebelum penulisan, murid perlu memahami dengan jelas kehendak
soalan dan format penulisan seperti yang dikehendaki. Setelah memahami kehendak soalan, kata
kunci perlu digariskan untuk memudahkan murid menghasilkan idea. Seterusnya, membuat
rangka penulisan yang merangkumi pendahuluan, isi, dan penutup. Pelbagai cara yang berkesan
boleh diaplikasikan dalam mencatat isi, antaranya ialah menggunakan pernomboran, peta konsep
minda dan lain-lain lagi.
6
2) Peringkat Semasa Penulisan
Pada peringkat ini, penulisan perlu dilakukan berdasarkan isi atau kerangka penulisan
seperti yang telah dirangka. Pendahuluan hanya ditulis secara ringkas tetapi merangkumi ayat
tesis, ayat topik, ayat sokongan dan kesimpulan agar pembaca lebih mudah untuk memahami apa
yang telah ditulis. Setiap isi dalam penulisan perlu dinyatakan dan diikuti dengan penjelasan atau
keterangan lanjut yang disertakan dengan contoh. Penutup dalam penulisan juga dibuat secara
ringkas iaitu membuat rumusan secara keseluruhan penulisan. Penulisan juga perlu diikuti
dengan sistem ejaan, tanda baca, tatabahasa, kosa kata, dan wacana yang digunakan dengan betul
dan sesuai.
3) Peringkat Selepas Penulisan
Setelah menyiapkan karangan, murid perlu membaca semula hasil penulisan untuk
menyemak format, isi atau huraian, imbuhan, struktur ayat, ejaan, tanda baca, dan
perbendaharaan kata. Apabila terdapat kesalahan yang dikenalpasti dalam penulisan tersebut,
pembetulan perlu dilakukan atau membuat penambahan terhadap kekurangan yang terdapat
dalam penulisan yang dihasilkan.
Kaedah dan teknik pengajaran dalam bilik darjah juga amat penting dalam memastikan
pelajar dapat memahami dan mengaplikasi hasil daripada pengajaran yang dilaksanakan. Guru
perlu mahir menguasai pelbagai jenis pendekatan,kaedah dan teknik dalam mengajar penulisan
supaya tidak membosankan para pelajar . Ini bergantung kepada kebijaksanaan guru kerana yang
penting adalah pelajar dapat turut serta dan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di
dalam bilik darjah.Pengajaran dan pembelajaran mestilah berpusatkan pelajar. Guru hanyalah
bertindak selaku pemudah cara.
Pendekatan pengajaran penulisan wacana yang dinyatakan oleh Raimes (dalam Juriah long dan
rakan-rakan,1990:214) ialah:-
i. Pendekatan Terkawal
ii. Pendekatan Bebas
7
iii. Pendekatan Pola-perenggan
iv. Pendekatan Komunikatif.
Disini saya akan menjelaskan dua pendekatan yang disarankan oleh Raimes iaitu:-
1) Pendekatan Terkawal.
Pendekatan ini ialah pendekatan yang di rancang secara berurutan supaya murid-murid
menguasai suatu unsur penulisan dan ketatabahasaan. Murid-murid dikehendaki menyudahkan
tugasan berdasarkan bahan serta mematuhi arahan-arahan yang ditetapkan.Pendekatan ini
menekankan ketepatan daripada kemahiran dan keaslian. Meliputi pengajaran yang bersistem
dan beransur-ansur; daripada kegiatan meniru hingga penulisan bebas. Penggunaan bahan-bahan
pengajaran /pembelajaran yang fleksibel yakni boleh menerapkan pelbagai jenis karangan, boleh
disesuaikan dengan peringkat kelas, boleh merentas kurikulum, dan sebagainya. Membolehkan
pelajar-pelajar mengukur pencapaiannya pada latihan-latihan yang tertentu dan terbatas. Tidak
sukar membuat persediaan.Meringankan kerja guru; pantas dan mudah diperiksa. Guru dapat
merancangkan latihan pemulihan yang berkesan.
Menerusi pendekatan ini juga, guru memandu dan mengawal pelajar daripada melakukan
kesalahan.Pada peringkat permulaan, kawalan yang diberikan guru adalah secara
menyeluruh.Walaubagaimanapun, pelajar masih diberikan kebebasan untuk memilih
perbendaharaan kata atau struktur ayat mereka sendiri. Sebagai contoh, bentuk-bentuk kawalan
yang diberikan guru adalah :-
• menyediakan sebuah penulisan yang menghendaki pelajar mengisi tempat-tempat
kosong dengan perkataan yang sesuai;
• guru memberikan senarai frasa yang berkaitan dengan sesuatu topik dan pelajar perlu
membina ayat untuk melengkapkan frasa;
• guru mengambil satu petikan yang menggambarkan sesuatu kejadian atau peristiwa
kemudian pelajar disuruh menggambarkan semula keseluruhan pengalaman berdasarkan
kejadian itu.
8
Sebagai kesimpulan pendekatan terkawal ini dapat membantu guru memandu dan
mengawal pelajar daripada melakukan kesalahan. Pada peringkat permulaan, kawalan yang
diberikan guru adalah secara menyeluruh.Walaubagaimanapun, pelajar masih diberikan
kebebasan untuk memilih perbendaharaan kata atau struktur ayat mereka sendiri.
2) Pendekatan Komunikatif
Pendekatan ini diasaskan oleh Dell Hymes yang antara lain menyatakan bahawa
kecekapan komunikatif merupakan penguasaan bahasa secara yang dimiliki oleh seseorang
pelajar mengguna dan memahami bahasa secara wajar dalam proses berkomunikasi dan
berinteraksi dengan individu lain dan jalinannya dengan konteks sosial.Pendekatan ini
menekankan tujuan sesebuah karangan dan khalayaknya. Murid-murid digalakkan mengarang
seperti penulis dewasa dengan berpandukan dua soalan ini:
i. Mengapa saya menulis karangan ini?
ii. Siapa yang akan membaca karangan saya?
Secara tradisional, guru merupakan khalayak kepada karangan murid-
murid.Walaubagaimanapun, penulis berasa lebih selesa apabila karangannya memenuhi jaluran
komunikatif. Dengan demikian, guru yang menggunakan pendekatan ini meluaskan khalayaknya
dengan menyertakan murid-murid lain di dalam kelasnya yang bukan hanya membaca karangan
tersebut tetapi melakukan tindak balas seperti memberikan idea tambahan, membuat ikhtisar,
menulis semula dengan pelbagai bentuk, memberikan komen tetapi bukan bertujuan untuk
membuat pembetulan. Atau, guru boleh membangunkan khalayak `di luar sekolah’ dengan
menggalakkan murid-murid menulis kepada seseorang seperti:-
• “Anda dikehendaki menulis kepada seorang sahabat pena anda dengan memberitahunya
akan keadaan bilik anda. Katakan kepadanya anda menggemari bilik anda itu kerana
perabotnya tersusun dengan kemas, kawasannya luas, berhawa dingin dan
sebagainya.Anda menulis surat kepada ibu saudara anda dengan memberitahu beliau
akan keadaan bilik anda. Katakan kepadannya anda tidak menggemari keadaan bilik”
9
• Anda menulis surat kepada ibu saudara anda dengan memberitahu beliau akan keadaan
bilik anda. Katakan kepadannya anda tidak menggemari keadaan bilik anda itu dan ingin
membuat perubahan supaya lebihs elesa. Katakan kepada beliau bahawa anda
memerlukan bantuannya kerana beliau seorang penghias rumah.
• Katakan anda akan menerima seorang tetamu buta. Tulis surat kepada tetamu anda itu
kan keadaan bilik anda dengan lengkap supaya tetamu anda itu dapat membuat gambaran
tentang bilik tersebut semasa dia menginap nanti. Tulisan anda itu akan dirakamkan ke
dalam pita kaset supaya mudah rakan anda mendengarnya.
Ketiga-tiga bentuk di atas lebih baik daripada menyuruh murid-murid menulis tentang
‘bilik saya’. Pembentukan khalayak boleh berlaku andainya guru memberikan tugasan yang
wajar seperti main peranan, bertukar surat, menjawab surat, membuat pertanyaan, memberikan
komen dan sebagainya. Pendekatan ini menegaskan tentang seseorang yang sudah mempunyai
pengetahuan tentang struktur bahasa dan kebolehan membina ayat-ayat yang gramatis. Ini tidak
bermakna dia sudah dapat berkomunikasi dengan baik dan berkesan memandangkan kecekapan
berbahasa dan berkomunikasi itu juga menitikberatkan unsur-unsur lain yang boleh
mempengaruhinya, seperti aspek-aspek sosiolinguistik dan psikolinguistik sebagai contoh,
penulisan tentang kemajuan teknologi perubatan mestilah memasukkan kata atau frasa yang ada
hubung kait dengan teknologi tersebut, iaitu laras bahasa perubatan. Oleh itu, pendekatan ini
membolehkan pelajar menggunakan bahasa yang sesuai untuk tujuan berkomunikasi termasuk
penulisan.
Kesimpulannya dengan menggunakan pendekatan ini, dapat dikatakan bahawa pelajar
menulis adalah untuk dibaca oleh orang lain atau masyarakat. Justeru, guru perlu memastikan
dan menggalakkan pelajar menulis, sama seperti menyatakan kepada pelajar bahawa penulisan
yang dihasilkan adalah untuk dinikmati oleh pembaca termasuk penulisan pelajar lain di dalam
bilik darjah.
10
4.0 CADANGAN YANG BERKESAN UNTUK MEMPERBAIKI KELEMAHAN
MURID DALAM KEMAHIRAN WACANA PENULISAN DI PERINGKAT
SEKOLAH RENDAH
Pelajar-pelajar sekolah rendah terutamanya, perlu didedahkan dengan lebih banyak lagi
cara-cara meningkatkan kemahiran penggunaan wacana terutamanya di dalam aktiviti penulisan.
Penggunaan wacana yang lemah akan menjejaskan hasil kualiti sesebuah karya. Pelajar yang
pintar akan membuat persediaan awal sebelum menulis sesebuah karya atau karangan. Mereka
sepatutnya melakukan banyak latihan tatabahasa terlebih dahulu dan membaca lebih bahan-
bahan tambahan seperti akhbar, majalah, buku-buku ilmiah dan sebagainya bagi mendapatkan
idea serta menambah perbendaharaan kata dan mengetahui penanda wacana yang sesuai dan
menarik untuk dimasukkan ke dalam hasil tulisan mereka nanti. Pelajar juga patut didedahkan
dengan latihan-latihan menyalin semula petikan atau perenggan yang mengandungi penanda
wacana yang baik agar mereka dapat memahami serta tahu fungsi penanda wacana yang sesuai
di dalam hasil penulisan mereka nanti.
Bagi mendapatkan hasil yang baik dalam penggunaan wacana dalam kalangan pelajar ini,
guru juga sepatutnya meminta murid melengkapkan ayat atau membina ayat-ayat berdasarkan
penanda wacana yang betul. Seterusnya, murid juga perlu diberi latihan menyusun ayat
berdasarkan urutan serta meletakkan penanda wacana dan kata hubung yang sesuai.
Seterusnya murid diminta untuk melengkapkan perenggan berdasarkan urutan cerita
dengan memasukkan penanda wacana yang sesuai dan betul di antara ayat atau perenggan
supaya terdapat kohesi dan koherennya.Selain itu, pelajar juga harus tahu serta mengetahui
fungsi-fungsi wacana yang hendak digunakan. Wacana yang menarik akan menjamin
kesinambungan cerita yang menarik atau kelancaran perjalanan cerita atau idea dari satu
perenggan ke satu perenggan.
Bagi menghasilkan sesebuah karya yang baik dan menarik, pelajar mestilah menjadikan
kamus sebagai ‘kawan rapat’. Sentiasa merujuk kamus untuk mengetahui erti atau makna
perkataan sukar atau perkataan baru yang akan digunakan di dalam penulisan. Gunakan wacana
yang betul dan tepat apabila menulis dan dilarang sama sekali menggunakan wacana yang
dianggap ‘sedap’ bunyinya tetapi tidak diketahui makna dan salah penggunaannya.
11
Setelah pelajar pasti karya yang ditulis telah selesai, pelajar diminta membaca dan
menyemak semula hasil penulisan mereka. Ini merupakan penilaian kendiri terhadap hasil
penulisan tersebut. Penekanan perlu diberikan kepada format, isi atau huraian, imbuhan yang
bersesuaian, struktur ayat, tanda baca serta perbendaharaan kata yang betul. Penanda wacana
yang digunakan perlulah diteliti dengan betul agar penggunaannya tepat pada tempat yang betul.
Jangan sesekali menggunakan tanda soal di dalam wacana. Baiki segera kelasahan atau membuat
penambaikan jika terdapat kekurangan dalam hasil penulisan tersebut.
Jika pelajar dapat memenuhi kesemua cadangan yang dikemukan seperti di atas, pelajar
tidak perlu rasa bimbang kerana kemungkinan hasil sesebuah karya yang dibuat telah menepati
apa yang diminta. Cadangan di atas telah dinyatakan oleh beberapa orang pemeriksa kertas yang
berpengalaman. Tetapi, jika cadangan ini tidak diambil pusing oleh pelajar, besar kemungkinan
hasil penulisan akan menjadi lemah dan menyebabkan pelajar tidak memperolehi markah yang
tinggi seperti yang diharapkan.
5.0 RUMUSAN
Bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang indah dan unik kerana ayat-ayat yang
digunakan mempunyai tautan antara satu ayat dengan ayat yang lain (kohesi) dan mempunyai
perkaitan antara satu perenggan dengan perenggan yang lain (koheren). Daripada pernyataan
inilah yang membuatkan sesebuah karya bahasa Melayu menjadi hebat. Bagi melahirkan karya
Bahasa Melayu, ianya bukanlah sesuatu yang sukar tetapi sekiranya seseorang penulis itu tahu
menggunakan wacana yang baik dan tepat, sudah pasti hasilnya juga akan hebat. Semasa
berbahasa, sama ada tulisan ataupun lisan mestilah mempunyai kesinambungan antara satu idea
dengan satu idea yang lain atau memperlihatkan wacana yang berkesan agar pendengar atau
pembaca memahami isi atau hujah yang ingin dan akan disampaikan.
Wacana yang baik mestilah mempunyai beberapa perkara seperti kohesi dan koheren
yang dinyatakan di atas dan termasuklah tahu akan fungsi wacana itu sendiri. Penanda wacana
tidak boleh digunakan pada tempat-tempat sembarangan, kerana kesalahan penggunaan penanda
wacana akan menjejaskan atau merosakkan maksud sesuatu hujah yang ingin disampaikan.
Pendengar atau pembaca akan keliru atau tidak memahami idea yang ingin disampaikan itu.
12
Setelah diteliti dengan mendalam, bolehlah dikatakan bahawa penanda wacana di dalam
bahasa Melayu ini mempunyai banyak kepentingannya dalam menghasilkan sesebuah karya
ataupun penulisan. Seseorang penulis haruslah tahu menggunakan dan faham akan kepentingan
wacana itu sendiri kerana aspek penanda wacana akan mempengaruhi cara pengolahan serta
penyusunan struktur ayat, pembahagian perenggan, penggunaan kosa kata dan penggunaan
bahasa secara keseluruhan. Pelajar seharusnya didedahkan dengan penggunaan penanda wacana
yang betul sejak awal lagi agar mereka tidak kekok dan dapat menggunakannya dengan berkesan
di masa hadapan. Hal ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak jika kita ingin
melahirkan seorang penulis atau karyawan yang berkaliber suatu hari nanti kerana semuanya
bermula dengan wacana yang berkesan.
[3053 patah perkataan]
13
6.0 RUJUKAN
Adenan Ayob.,Mohd Rain Shaari. (2013). Tatabahasa Dalam Pengajaran Bahasa Melayu :
Edisi Kedua. Open University Malaysia. Meteor Doc.
Awang Sariyan. (2004). Teras Pendidikan Bahasa Melayu: Asas Pegangan Guru.
Kuala Lumpur: PTS Publications and Distributors.
Hashim Othman. (2000). Penaksiran Kemahiran Menulis karangan Bahasa Melayu daripada
Perspektif Komunikatif: Penetapan Piawai Perlakuan Minimum dan Analisis Kecekapan.Kuala
Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Juriah Long, Raminah Hj. Sabran & Sofiah Hamid. (1990). Pendekatan mengajar bahasa
Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Kamarudin Husin. (1988). Pedagogi Bahasa. Petaling Jaya. Longman Malaysia.
Marohaini Yusoff, Mahzan Arshad & Abdul Jalil Othman (2002). Bahasa Melayu Tingkatan
Empat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa daan Pustaka.
Pusat Perkembangan Kurikulum (2000). Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah: Bahasa Melayu. Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pusat Perkembangan Kurikulum (2001). Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah: Bahasa Melayu. Kementerian Pendidikan Malaysia.
Raminah Hj. Sabran. (1993). Kecekapan berkomunikasi dalam bahasa Malaysia. Kuala Lumpur:
Fajar Bakti.
Sharifah Nor Syed Abd Rahman.,Nornajmah Najmuddin., Rosdah Omar. (2007). Bahasa Melayu
Kertas 1&2. Arah pendidikan sdn.bhd. Selangor Darul Ehsan.
Taringan, Henry Guntur (1993). Pengajaran Kosakata. Bandung.Angkasa.
Yayat Surdayat. (2009). Makna Dalam Wacana : Prinsip-prinsip Semantik dan Pragmatik.
Bandung, Indonesia.Yrama Widaya.
14