Teks Pidato Myrukun

3
Bismillahirrahmannirrahim, Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, Terima kasih peneraju acara, panel juri teguh saksama dan seluruh warga dewan berbahagia. Salam 1Malaysia. Sungguh hairan, melihat setiap hari orang menyisir rambutnya tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya tetapi tidak pernah menyucikan hatinya, menggilap kasutnya tetapi tidak akalnya. Walhal, kejayaan sesuatu perkara itu bukanlah bergantung kepada penampilan zahir semata-mata tetapi juga ketinggian pemikirannya. Atas pedoman yang sama, percayalah bahawa MALAYSIA MAMPU MENCAPAI SEBUAH NEGARA MAJU Sesungguhnya, tajuk pidato pagi ini bolehlah ditakrifkan sebagai anjakan usaha dan paradigma pemikiran rakyat yang tinggi akal budinya, cemerlang gaya hidupnya dan teguh nilai moralnya sehingga mampu menghijrahkan negara tercinta daripada gelita kemunduran kepada cahaya kemajuan. Maka, prakarsa utama mencapai sebuah negara maju diyakini mampu mengangkat martabat negara demi memastikan Malaysia tercinta terus gah di persada dunia yang diharmonikan dengan perpaduan rakyatnya serta disulami penghayatan terhadap prinsip penerimaan, kenegaraan dan keadilan demi menjayakan apa jua citra polisi dan dasar pemimpin negara demi keunggulan dan kejayaan Malaysia tercinta. Persoalannya, bagaimanakah Malaysia Mampu Mencapai Sebuah Negara Maju Maka, hayatilah cetusan minda kurniaan Allah, pragmatik pertama; Budaya Ilmu Disemai, Insan Berkualiti Dicanai. Hadirin sekalian, Kita sedar bahawa kalimah iqra , kalam Pencipta mentamsilkan ilmu sebagai cahaya, pelita hidup manusia. Dengan menguasai ilmu berguna, mentaliti kita tidak akan terkongkong bagai katak di bawah tempurung sebaliknya mampu melihat dunia dengan pandangan mata burung.

description

free

Transcript of Teks Pidato Myrukun

Page 1: Teks Pidato Myrukun

Bismillahirrahmannirrahim,Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,Terima kasih peneraju acara, panel juri teguh saksama dan seluruh warga dewan berbahagia. Salam 1Malaysia.

Sungguh hairan, melihat setiap hari orang menyisir rambutnya tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya tetapi tidak pernah menyucikan hatinya, menggilap kasutnya tetapi tidak akalnya. Walhal, kejayaan sesuatu perkara itu bukanlah bergantung kepada penampilan zahir semata-mata tetapi juga ketinggian pemikirannya. Atas pedoman yang sama, percayalah bahawa MALAYSIA MAMPU MENCAPAI SEBUAH NEGARA MAJU

Sesungguhnya, tajuk pidato pagi ini bolehlah ditakrifkan sebagai anjakan usaha dan paradigma pemikiran rakyat yang tinggi akal budinya, cemerlang gaya hidupnya dan teguh nilai moralnya sehingga mampu menghijrahkan negara tercinta daripada gelita kemunduran kepada cahaya kemajuan. 

Maka, prakarsa utama mencapai sebuah negara maju diyakini mampu mengangkat martabat negara demi memastikan Malaysia tercinta terus gah di persada dunia yang diharmonikan dengan perpaduan rakyatnya serta disulami penghayatan terhadap prinsip penerimaan, kenegaraan dan keadilan demi menjayakan apa jua citra polisi dan dasar pemimpin negara demi keunggulan dan kejayaan Malaysia tercinta.

Persoalannya, bagaimanakah Malaysia Mampu Mencapai Sebuah Negara Maju

Maka, hayatilah cetusan minda kurniaan Allah, pragmatik pertama;Budaya Ilmu Disemai, Insan Berkualiti Dicanai.

Hadirin sekalian,Kita sedar bahawa kalimah iqra’, kalam Pencipta mentamsilkan ilmu sebagai cahaya, pelita hidup manusia. Dengan menguasai ilmu berguna, mentaliti kita tidak akan terkongkong bagai katak di bawah tempurung sebaliknya mampu melihat dunia dengan pandangan mata burung.  

Lantaran itulah, transformasi ke arah pendidikan global yang kita laksanakan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 banyak mengubah persepsi dan mentaliti rakyat kita dalam membudayakan ilmu. Akses kepada pembelajaran sepanjang hayat kita sediakan, gerakan membaca kita perkasakan, program i-Think dan Permata

Page 2: Teks Pidato Myrukun

Negara kita arusperdanakan, kemahiran dwibahasa kita tekankan, penguasaan ICT kita utamakan, semuanya atas nama pendemokrasian pendidikan demi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang kita impikan. 

Hakikatnya, Laporan Daya Saing Global 2012, Forum Ekonomi Dunia meletakkan kualiti pendidikan kita di tangga ke-14 daripada 142 buah negara dengan kadar literasi 95.7% dan indeks kebolehpasaran graduan 88.4%. Angka-angka kejayaan ini membuktikan bahawa dengan keterbukaan minda rakyat menguasai ilmu berguna, terbentuklah mentaliti kelas pertama menunjangi arus perdana dalam mengangkat Malaysia untuk mencapai negara maju.

Hadirin sekalian, pragmatik kedua; Budaya Inovasi Dijulang, Mentaliti Rakyat Cemerlang,

Dalam melakar kejayaan Malaysia, warga Jepun dan Korea Selatan menjadi idola berteraskan inovasi dalam aspek pengurusan masa, disiplin diri dan etika kerja, lambang keunggulan rakyat negara maju. 

Lantaran itulah, pelbagai inovasi telah kita perkenalkan. Menerusi Program Transformasi Ekonomi misalnya, inovasi keusahawanan mampu menganjakkan pemikiran rakyat – daripada mentaliti pengguna kepada budaya pencipta dan daripada mentaliti subsidi kepada semangat berdikari, sekaligus memungkinkan rezeki secupak boleh menjadi segantang asalkan kita bijak merebut peluang. Dalam Program Transformasi Kerajaan pula, kualiti perkhidmatan awam sentiasa ditingkatkan selaras dengan indeks pencapaian utama dan bidang keberhasilan utama negara. 

Hasilnya kini, permit pembantu rumah dapat diuruskan dalam tempoh hanya 3 hari, pendaftaran perniagaan baru pula kurang 6 jam, bahkan MyKad boleh siap diproses dalam tempoh 1 jam. Bukankah inovasi budaya kerja cemerlang sebegini mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan kualiti pencapaian? Hakikatnya jelas, mentaliti rakyat yang inovatif inilah yang mampu menunjangi Malaysia sebagai negara maju.

Hadirin sekalian, pragmatik ketiga; Nilai-Nilai Murni Dihayati, Kesejahteraan Negara Dinikmati.

Pujangga Melayu selalu berpesan;Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa,Tegak bangsa kerana budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.

Dalam kita mengejar negara maju, nilai-nilai murni adalah pelengkapnya ibarat isi dengan kuku, irama dengan lagu, cinta dengan rindu. 

Page 3: Teks Pidato Myrukun

Maka, demi mengubah mentaliti masyarakat Malaysia agar menjiwai nilai-nilai murni, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita mantapkan, kempen budi bahasa kita jayakan, budaya integriti kita amalkan bahkan pembinaan sahsiah kita pergiatkan, semuanya atas kesedaran bahawa apalah gunanya ketinggian akal fikir manusia tanpa keluhuran budi bahasa. 

Tatkala indeks jenayah seluruh negara dilaporkan menurun 11.1% dan indeks keamanan global meletakkan Malaysia di tangga ke-20 paling aman daripada 158 buah negara, apakah yang memungkinkan semua ini berlaku? Pastinya nilai kesefahaman dan prinsip penerimaan menyuburkan mentaliti rakyat yang memacu perpaduan bangsa dan kemakmuran negara ke arah kejayaan Malaysia tercinta.

Ya, hadirin sekalian. Secara tuntasnya, prakarsa untuk menjadikan Malaysia negara maju menuntut kepada pembudayaan ilmu yang berguna, aplikasi inovasi yang bermakna dan penghayatan nilai-nilai murni sepanjang masa. Apabila kesemua ramuan ini mampu kita adun bersama-sama, maka transformasi minda rakyat dapat kita jana sekaligus menjayakan hasrat pembinaan citra gagasan pemimpin negara. Maka, benarlah bahawa “Malaysia Mampu Mencapai Sebuah Negara Maju”.

Sekian, terima kasih.