TEKS UCAPAN PERASMIAN YBHG DATO’ KETUA … Ucapan KPPM … · TEKS UCAPAN PERASMIAN ... merangkap...
Transcript of TEKS UCAPAN PERASMIAN YBHG DATO’ KETUA … Ucapan KPPM … · TEKS UCAPAN PERASMIAN ... merangkap...
1
TEKS UCAPAN PERASMIAN YBHG DATO’ KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
MAJLIS PELANCARAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2011
SEKTOR PENDIDIKAN
17 OKTOBER 2011
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan
salam 1Malaysia.
Yang Berbahagia Dato’ Ibrahim Mohamad
Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, merangkap Pengerusi
Jawatankuasa Pelaksana BBK Sektor Bahasa,
Pengarah-Pengarah Bahagian
Ketua-ketua Jabatan, dif-dif kehormat
dan seterusnya YBhg Dato’/Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati
sekalian.
1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah
s.w.t. kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama
berhimpun dalam majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat
Sektor Pendidikan Tahun 2011 pada hari ini.
2. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi
terima kasih kepada pihak urus setia kerana menjemput saya hadir ke
2
majlis sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini. Terima kasih
juga saya ucapkan kepada pegawai-pegawai Kementerian dan pihak urus
setia yang telah berusaha menjayakan sambutan Bulan Bahasa
Kebangsaan, serta warga sektor pendidikan yang hadir pada pagi ini untuk
turut sama memeriahkan acara penting ini.
3. Sesungguhnya, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan yang
berlangsung sepanjang bulan Oktober ini memberikan kesempatan
kepada kita untuk melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan bahasa dan
persuratan kebangsaan. Pelbagai acara yang dianjurkan sepanjang bulan
ini memberikan kita peluang untuk menghayati dan menghargai khazanah
bahasa dan persuratan kebangsaan kita sebagai bahasa utama di negara
ini. Melalui cara ini, kita bukan sahaja dapat memupuk rasa cinta kepada
Bahasa Kebangsaan, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang betapa
pentingnya kita menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam urusan
seharian.
1Bahasa 1Bangsa 1Negara
4. Tema Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini ialah “1Bahasa
1Bangsa 1Negara”. Tema ini mengajak kita warga Malaysia untuk
menghayati dan menghargai bahasa kebangsaan sebagai tonggak bangsa
kita dan cerminan jati diri kita. Sesungguhnya kekuatan sesuatu bangsa itu
dapat dilihat pada bahasanya. Pada bahasa itulah tergambar etos atau
3
semangat kita sebagai satu bangsa dalam satu lingkungan tanah air yang
dipunyai secara bersama.
5. Ini bermakna, bahasa yang kita martabatkan itulah yang akan
membentuk negara kita sebagai satu bangsa. Sekiranya bahasa yang kita
martabatkan adalah bahasa kebangsaan, maka yang akan terpancar
daripada bangsa kita ialah jiwa kebangsaannya. Jika kita sentiasa
memandang tinggi kepada bahasa kebangsaan kita, bersinarlah jiwa
kebangsaan kita, dan berjayalah pembentukan jati diri kita sebagai bangsa
yang bermaruah.
6. Di negara kita, Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan
terhadap kedudukan istimewa Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan. Kedudukan istimewa ini kemudiannya diterjemahkan pula
melalui penggubalan dan pelaksanaan pelbagai dasar kerajaan yang
memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Dasar Bahasa Kebangsaan
misalnya mengiktiraf Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang
mesti digunakan dalam setiap urusan rasmi kerajaan. Dasar pendidikan
kita juga menetapkan bahawa Bahasa Kebangsaan adalah bahasa
pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Dengan
melaksanakan dasar-dasar ini, kita dapat memastikan bahawa kedudukan
istimewa Bahasa Kebangsaan tidak hanya termaktub dalam
Perlembagaan, tetapi dapat dihayati dan diamalkan secara meluas oleh
rakyat.
4
7. Selain itu, tidak kurang pentingnya juga ialah hakikat bahawa
Bahasa Kebangsaan adalah milik semua rakyat tanpa mengira kaum,
agama, budaya dan bahasa ibunda. Ini menjadikan Bahasa Kebangsaan
sebagai wahana perpaduan yang penting dalam masyarakat majmuk
seperti Malaysia. Dengan menggunakan satu bahasa, kita akan dapat
memupuk dan menyuburkan perasaan kebersamaan antara kita dan
sekaligus melupakan perbezaan. Sekiranya ini dapat kita lakukan secara
bersama dan bersungguh-sungguh, gagasan 1Bangsa 1Negara atau
1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri kita YAB Dato’ Seri
Mohd. Najib Tun Abdul Razak boleh kita jayakan melalui penghayatan dan
penggunaan satu bahasa.
Memartabatkan Bahasa Kebangsaan
8. Dalam usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, kerajaan
telah melaksanakan dasar baru dalam sistem pendidikan kita iaitu Dasar
Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris
(MBMMBI). Dasar ini bertujuan untuk memartabatkan bahasa Malaysia
sebagai bahasa ilmu, dan pada masa yang sama memperkukuh
penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Dasar ini adalah
selari dengan hasrat Penyata Razak 1956 yang bercita-cita untuk
menyatupadukan rakyat Malaysia melalui sistem pelajaran kebangsaan
dengan menggunakan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar
utama.
5
9. Selain daripada itu, komitmen kita untuk memartabatkan Bahasa
Malaysia, baik dalam bidang pendidikan atau dalam bidang-bidang yang
lain, adalah berdasarkan kepada keyakinan kita terhadap keupayaan
bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Keyakinan
ini berasaskan kepada bukti bahawa keluaran sistem pendidikan kita yang
berteraskan pendidikan bahasa kebangsaan telah berjaya menjadi
pemangkin kepada kemajuan negara selama ini. Persepsi bahawa bahasa
kebangsaan tidak berupaya untuk menjadi bahasa ilmu dan bahasa
kemajuan merupakan tanggapan yang meleset. Pemartabatan sesuatu
bahasa sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, bukanlah semata-
mata bergantung kepada sistem bahasa itu, tetapi turut berkait dengan
faktor peradaban dalam kalangan pengguna bahasa itu sendiri.
10. Jika kita mengimbas sejarah peradaban berbahasa Melayu, tradisi
keilmuan dan persuratan bangsa kita cukup gemilang. Kalau di Barat ada
Chaucer, di Alam Melayu ada Hamzah Fansuri dan kalau di Barat pada
kurun ke 14 ada Canterbury Tales, di Alam Melayu ada Hikayat Raja-Raja
Pasai. Ini menunjukkan bahasa kita pada ketika itu bukan sekadar
digunakan sebagai alat pertuturan sahaja, tetapi telah berjaya
mengungkapkan falsafah dan budaya tinggi yang menggambarkan tahap
intelektual bangsa kita sejak zaman-berzaman. Hukum Kanun Melaka dan
Hikayat Hang Tuah adalah antara contoh karya agung bangsa kita yang
diungkapkan dalam bahasa Kebangsaan. Ini sekali gus membuktikan
bahawa bahasa Kebangsaan kita telah mencapai tahap bahasa ilmu tinggi.
6
Bahasa Kebangsaan Sebagai Bahasa Ilmu
11. Maka, tanggungjawab kita sekarang ini ialah untuk
mempertingkatkan fungsi bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan
bahasa kemajuan. Kita tidak perlu terus bernostalgia tentang kegemilangan
masa lampau, tanpa melakukan usaha yang bersungguh-sungguh untuk
mencapai matlamat ini. Kita perlu sedar bahawa jika bahasa kebangsaan
kita tidak lagi menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, lama kelamaan
bahasa kita akan hilang kepentingannya, tidak lagi relevan dengan
keperluan semasa, dan akhirnya akan pupus. Tidak guna lagi kita
bernostalgia dengan keagungan dan kehebatan lampau bahasa kita, jika
ianya sudah tidak sesuai lagi dengan kemajuan zaman.
12. Justeru, usaha-usaha yang lebih agresif dan tersusun perlu
dilakukan untuk meningkatkan fungsi bahasa kebangsaan sebagai bahasa
ilmu dan bahasa kemajuan. Ini termasuklah dengan menghasilkan lebih
banyak karya-karya ilmiah dalam bahasa kebangsaan, terutama sekali
dalam bidang sains dan teknologi. Institusi-institusi pengajian tinggi,
agensi-agensi pelaksana dasar bahasa seperti Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), serta
para ilmuwan perlu mewujudkan sinergi bagi menghasilkan karya-karya
ilmiah bermutu tinggi dalam bahasa kebangsaan. Bagi saya inilah cabaran
paling besar dalam usaha kita untuk memartabatkan bahasa kebangsaan
sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan.
7
Kesedaran
13. Sempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Sektor
Pendidikan pada hari ini, suka saya mengingatkan bahawa segala usaha
kita untuk memartabat dan memperkasakan bahasa kebangsaan tidak
akan berhasil sekiranya kita khususnya pegawai kerajaan tidak mempunyai
kesedaran yang tinggi untuk menghormati dan menggunakan bahasa
kebangsaan dalam urusan seharian. Segala usaha kita akan menjadi sia-
sia jika kita tidak menanamkan keyakinan yang tinggi tentang kepentingan
dan keupayaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi dan
bahasa ilmu yang utama.
14. Justeru, dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat
tentang kepentingan bahasa kebangsaan, kerajaan telah membuat
keputusan untuk mengisytiharkan bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa
Kebangsaan. Sehubungan itu, semua kementerian, kerajaan negeri dan
agensi kerajaan akan melaksanakan program Bulan Bahasa Kebangsaan
pada peringkat masing-masing sepanjang bulan Oktober. Kegiatan-
kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan akan dipertingkatkan
sepanjang bulan ini untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa
kebangsaan di kalangan masyarakat kita.
15. Akhirnya, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga
kepada semua pihak yang telah menjayakan sambutan Bulan Bahasa
Kebangsaan 2011 ini, khususnya kepada Jawatankuasa Pengelola di
8
peringkat urus setia KPM, kementerian-kementerian dan agensi lain yang
terlibat. Sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada
semua pihak yang telah berpadu tenaga dan daya usaha untuk
menganjurkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 Peringkat
Sektor Pendidikan ini. Mudah-mudahan dengan adanya usaha-usaha
seperti ini, kita akan lebih menghargai keindahan dan ketinggian nilai
bahasa kita.
Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang elok itu budi,
Yang indah itu bahasa.
16. Dengan lafaz Bismillahhirahmanirahim, saya dengan sukacitanya
melancarkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Sektor
Pendidikan Tahun 2011
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa
barakatuh.