Ucapan Hari Inovasi Kpt2011

download Ucapan Hari Inovasi Kpt2011

of 11

description

teks ucapan dif kehormat

Transcript of Ucapan Hari Inovasi Kpt2011

  • Page | 1

    UCAPAN

    MENTERI PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA

    YB DATO SERI MOHAMED KHALED BIN NORDIN

    PERASMIAN HARI INOVASI PERINGKAT

    KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI DAN PELANCARAN MyINOVASI

    3 NOVEMBER 2011 (KHAMIS), 10.00 PAGI, PUTRAJAYA

    INOVASI PENERAJU TRANSFORMASI KPT

    Assalamualaikum WBT, selamat Pagi dan Salam 1Malaysia.

    1. Pertamanya, sukalah saya melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke

    hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka

    dapatlah kita bersama-sama hadir di majlis perasmian dan sambutan Hari

    Inovasi Peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada pagi yang

    berbahagia ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi

    penghargaan kepada pihak penganjur iaitu Kementerian Pengajian Tinggi

    yang sudi menjemput saya untuk menyempurnakan sambutan Hari Inovasi

    ini dan seterusnya melancarkan portal MyInovasi yang bertujuan

    meningkatkan lagi daya inovasi dan kreativiti dalam budaya kerja kita,

    bersesuaian dengan tema sambutan Hari Inovasi pada tahun ini iaitu

    Inovasi Peneraju Transformasi KPT.

  • Page | 2

    2. Saya juga ingin mengambil peluang di sini merakamkan penghargaan

    kepada semua yang mengambil daya usaha menjayakan program Hari

    Inovasi ini. Saya percaya dan yakin apa yang kira lakukan ini selaras

    dengan saranan YAB Perdana Menteri, yang mencadangkan supaya Hari

    Inovasi disambut pada setiap tahun. Saya benar-benar optimistik dengan

    kesepaduan semangat dan budaya sambutan Hari Inovasi pada setiap

    tahun mampu mengangkat martabat dan keupayaan Kementerian untuk

    menerapkan budaya inovasi dalam kalangan warga kerjanya tidak kira apa

    peringkat sekalipun. Kehadiran semua warga kementerian sama ada di

    peringkat ibu pejabat, universiti, politeknik dan kolej komuniti pada majlis

    ini mencerminkan satu iltizam yang tinggi dan komitmen yang tidak

    berbelah bagi bagi menjayakan agenda pengajian tinggi negara.

    Tuan-tuan dan Puan-puan,

    (INOVASI DALAM PERKHIDMATAN AWAM)

    3. Seperti yang kita semua sedia maklum, inovasi dan kreativiti adalah fokus

    utama kerajaan dalam usaha menuju ke arah negara maju dan rakyatnya

    berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Pendek kata, inovasi

    merupakan asas kepada pertumbuhan dan kemajuan negara. Justeru itu,

    tarikh 31 Oktober setiap tahun telah dipilih bagi sambutan Hari Inovasi

    Perkhidmatan Awam yang bertujuan membudayakan inovasi serta

  • Page | 3

    menandakan kepentingan budaya inovasi dalam mendokong agenda

    transformasi sektor awam, seperti yang diperlihatkan melalui temanya

    Inovasi Penggerak Transformasi. Pelbagai program telah dirangka dan

    dilaksanakan bagi membudayakan inovasi di peringkat sektor awam.

    Mengambil iktibar daripada pendekatan itu, pelbagai platform juga turut

    disediakan bagi mengiktiraf hasil-hasil inovasi yang diketengahkan oleh

    individu atau kumpulan di peringkat KPT. Antaranya yang utama ialah

    Anugerah Inovasi KPT(AIKPT), Anugerah MyInovasi KPT, Kumpulan

    Inovatif dan Kreatif (KIK) dan Pertandingan Laman Web Peringkat

    KPT.

    4. Saya difahamkan bahawa usaha-usaha memartabatkan inovasi ini

    telah berjaya menaikkan nama KPT di peringkat sektor awam,

    antaranya ialah Penarafan Lima Bintang untuk Laman Web KPT baru-

    baru ini oleh pihak MDeC dan pencapaian kedua tertinggi atau Naib

    Johan oleh Kumpulan GoBeyond di Konvensyen KIK Peringkat

    Wilayah Persekutuan Bagi Sektor Awam Tahun 2011. Syabas

    diucapkan.

    5. Walau bagaimanapun harus diingatkan, pengamalan inovasi

    bukanlah bertujuan untuk mendapatkan pengiktirafan dan anugerah

    semata-mata, tetapi apa yang lebih penting, INOVASI ITU PERLU

  • Page | 4

    DIBUDAYA DAN MEMBUDAYA pada setiap warga kementerian yang

    akhirnya menjadi kekuatan dan tunjang kepada kejayaan organisasi.

    Di sini saya tertarik untuk memperkatakan tentang enam perkara yang

    boleh dipraktikkan untuk meningkatkan inovasi dalam sesebuah kerajaan

    atau organisasi, pada masa yang sama memperkukuhkan lagi jati diri

    individu selaku pekerja. Analisis ini berdasarkan soalan kaji selidik yang

    dilakukan di sebuah kerajaan persekutuan di luar negara pada bulan Ogos

    2011 iaitu:

    5.1 Pertama, pekerja diberi pengiktirafan kerana menyediakan

    produk dan perkhidmatan yang bermutu tinggi;

    5.2 Kedua, pekerja diberi peluang untuk meningkatkan

    kemahiran mereka;

    5.3 Ketiga, pekerja turut terlibat secara langsung dalam

    membuat sebarang keputusan yang membabitkan bidang

    kerja mereka;

    5.4 Keempat, pekerja diberi kuasa terhadap perkara yang

    berkaitan dengan tugasan mereka;

    5.5 Kelima, pekerja diberi peluang untuk memperlihatkan ciri-

    ciri kepimpinan mereka; dan

  • Page | 5

    5.6 Keenam, pemimpin atau ketua bekerja untuk

    mendapatkan kepercayaan dan keyakinan para

    pekerjanya.

    Saya percaya, melalui penekanan terhadap keenam-enam amalan ini, ia

    mampu berupaya mewujudkan ekosistem dan budaya kerja yang kukuh,

    menanam rasa kekitaan serta kepercayaan yang tinggi sekaligus

    meningkatkan tahap inovasi dalam organisasi.

    Tuan-tuan dan puan-puan,

    (TAHUN 2012 SEBAGAI GERAKAN INOVASI NASIONAL)

    6. Kerajaan dalam misi untuk membudayakan inovasi dan kreativiti telah

    merangka dan menyusun pelbagai inisiatif untuk dilaksanakan secara

    berterusan dan konsisten. Melalui Belanjawan 2012, YAB Perdana

    Menteri, telah mengistiharkan tahun 2012 sebagai Gerakan Inovasi

    Nasional. Antaranya adalah melalui peruntukan sebanyak 100 juta ringgit

    bagi menggerak dan membangunkan program inovasi pada setiap lapisan

    masyarakat, dari bangku sekolah hinggalah ke menara gading,

    terutamanya di semua IPT. Untuk makluman semua, pihak kementerian

    telah pun mula menerima cadangan-cadangan program inovasi daripada

    pihak universiti. Dalam hal ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada

  • Page | 6

    Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kerana telah menjadi

    universiti pertama mengemukakan cadangan program inovasi mereka

    melalui inisiatifnya yang dikenali sebagai UTeM Blue Dot: Centre for

    Creative Innovation.

    7. Saya difahamkan, penubuhan UTeM Blue Dot ini yang berteraskan

    konsep Lautan Biru (Blue Ocean) bermatlamat mewujudkan platform yang

    unik, unggul, lebih dinamik dan strategik untuk menghubungkan industri

    dengan universiti, sekolah, sekolah vokasional dan politeknik ke arah

    memartabatkan inovasi kreatif yang menjadi teras utama pendidikan

    negara. UTeM Blue Dot: Centre for Creative Innovation bukan sekadar

    satu perkongsian bijak antara kedua-dua belah pihak, sebaliknya ia

    membuka minda secara lebih terbuka dan menjana idea yang baharu

    untuk mendekatkan sekolah, sekolah vokasional dan politeknik dengan

    industri dan universiti.

    8. Tidak dinafikan, inisiatif UteM ini adalah satu langkah yang tepat dan bijak.

    Apa yang lebih penting, ia selaras dengan pendekatan baharu

    kementerian untuk menggerakkan program inovasi secara kolaboratif

    dan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain. Ini

    bermakna program-program inovasi kementerian selepas ini, tidak

    boleh lagi dilaksanakan secara bersendirian atau in silo, sebaliknya

  • Page | 7

    bekerjasama dengan agensi atau kementerian-kementerian yang lain

    bagi menghasilkan impak dan pencapaian yang lebih besar.

    Sehubungan dengan itu, Kementerian Pengajian Tinggi sememangnya

    menyokong inisiatif UTeM Blue Dot: Centre for Creative Innovation dan

    moga-moga cadangan ini dapat dilaksanakan, Insya Allah.

    Tuan-tuan dan puan-puan,

    (PERKEMBANGAN PELAN TINDAKAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN

    INOVASI PERINGKAT TERTIARI)

    9. Pada bulan April 2011 yang lalu, kementerian telah melancarkan Pelan

    Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovasi Peringkat Tertiari yang

    bermatlamat mencipta ekosistem inovasi yang kondusif sekaligus

    membantu negara menjayakan ekonomi berasaskan inovasi dalam usaha

    ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi. Bagi menjamin

    kelancaran perkembangan Pelan Tindakan ini, pihak kementerian

    telah menubuhkan Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Kerja bagi

    memperaku hala tuju, melaksana dan memantau kesemua inisiatif

    utama dan pencapaian KPInya.

    10. Sejak hampir enam bulan pelancaran Pelan Tindakan

    Pembangunan Modal Insan Inovasi Peringkat Tertiari, pihak kementerian

  • Page | 8

    telah mengenal pasti beberapa quick wins atau keberhasilan segera.

    Antara pencapaian itu ialah penubuhan Inkubator Inovasi Universiti di

    Universiti Malaya (UM) dengan peruntukan sebanyak 22 juta ringgit dan

    Universiti Sains Malaysia (USM) sebanyak 51 juta ringgit yang

    bertujuan menjana industri harta intelek, paten dan perniagaan baharu

    hasil-hasil penyelidikan di IPT.

    11. Pada masa yang sama, program-program yang berkaitan dengan

    pembangunan modal insan inovatif terus diberi perhatian oleh KPT seperti

    program pasca-doktoral dan program MyBrainSc yang telah diluluskan

    belanjawannya berjumlah 5 juta ringgit dan 9.5 juta ringgit masing-masing

    untuk tahun 2012. Di samping itu, program yang berkaitan dengan

    pendidikan dan pembangunan keusahawanan seperti Post Graduate

    Diploma in Entrepreneurship dengan kerjasama University of Cambridge

    juga mendapat peruntukan sebanyak 2 juta ringgit di bawah Belanjawan

    2012. Program galakan inovasi dan pembangunan modal insan seperti

    program inovasi, program pusat kecemerlangan IPT, Anugerah Akademik

    Negara juga mendapat dana sebanyak 22 juta ringgit.

    12. Menyedari hakikat bahawa kesinambungan usaha pembangunan

    modal insan inovasi dalam sistem pendidikan negara adalah komponen

    yang amat penting bagi memastikan model pembangunan modal insan

  • Page | 9

    inovasi dapat dilaksanakan secara sempurna di semua peringkat umur,

    maka KPT telah menjalinkan hubungan kerja sama dengan

    Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk menyediakan Pelan

    Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif Peringkat KPM bagi

    memastikan kesinambungan proses inovatif di antara peringkat

    persekolahan ke peringkat tertiari berjalan dengan lancar. Saya

    difahamkan, beberapa siri bengkel telah diadakan dan berharap ia

    dapat menemukan idea-idea bernas bagi menjayakannya.

    Tuan-tuan dan puan-puan,

    (PENUTUP)

    13. Tidak dinafikan, kualiti perkhidmatan KPT perlu dipertingkatkan

    secara berterusan bagi memastikan ia berupaya menawarkan

    perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Budaya inovatif perlu diterapkan

    sama ada dalam cara berfikir atau bertindak sesebuah organisasi.

    Organisasi yang cemerlang ialah organisasi yang mempunyai minda dan

    sikap yang mengejar kecemerlangan, etika yang luhur, modal insan yang

    berpengetahuan dan mahir, budaya kerja yang berasaskan prestasi dan

    daya kepimpinan yang kukuh. Organisasi yang cemerlang adalah penting

  • Page | 10

    bagi memastikan setiap perancangan tercapai dan seterusnya dapat

    menyumbang kepada pencapaian matlamat dasar-dasar negara.

    14. Dalam masa yang sama, selaras dengan visi kementerian

    menjadikan IPT sebagai pusat kecemerlangan ilmu bertaraf dunia bagi

    menyokong pembangunan ekonomi negara yang berasaskan

    pengetahuan dan inovasi menjelang 2020, saya ingin menyarankan agar

    IPT khususnya IPTA untuk menyediakan Hala Tuju atau Roadmap

    Inovasi di peringkat institusi masing-masing. Saya berharap Hala

    Tuju Inovasi ini dapat dibentangkan semasa mesyuarat Naib-naib

    Canselor dengan saya pada awal tahun hadapan.

    15. Selain itu, selari dengan konsep inovasi sebagai satu komitmen

    kerajaan untuk mengangkat idea-idea baharu dalam melaksana dan

    menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, maka sudah tentu

    dalam menentukan hala tuju itu, program-program inovasi universiti

    mesti mengambil kira bagaimana ia boleh memberi manfaat kepada

    persekitaran dan masyarakat di sekelilingnya. Dalam erti kata yang

    lain, ia tidak boleh lagi bersifat dalaman atau memenuhi kepentingan

    universiti semata-mata, sebaliknya membantu masyarakat menjadi

    inovatif dalam berhadapan dengan cabaran kehidupan yang

    kompleks. Pelajar sebagai entiti terbesar dalam sesebuah universiti

  • Page | 11

    misalnya boleh memainkan peranan melalui jaringan atau network

    mereka sebagai agen kreativiti dan inovasi dalam masyarakat.

    16. Akhir kata, sekali lagi saya ingin merakamkan penghargaan kepada

    semua pihak yang menjayakan majlis sambutan Hari Inovasi peringkat

    Kementerian Pengajian Tinggi bagi tahun 2011. Sambutan Inovasi ini tidak

    seharusnya terhenti di sini sahaja sebagai satu upacara atau ritual

    semata-mata, tetapi satu lonjakan besar menjadikan inovasi itu satu

    budaya oleh kita semua. Untuk itu, dengan lafaz

    Bismillahhirrahmannirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan

    Sambutan Hari Inovasi Kementerian Pengajian Tinggi Tahun 2011 dan

    melancarkan portal MyInovasi untuk warga kerja kementerian. Sekian,

    terima kasih.