Ucapan Hari Kemerdekaan 2013

9
Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Puan Lee Yoke Yee, Timbalan Pengarah, Institut Pendidikan Guru, Kampus Gaya, Yang Berusaha, Encik Othman Aziz, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Pegawai Eksekutif, Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Unit, Pensyarah-pensyarah Kanan, Pensyarah-pensyarah dan staf-staf sokongan, Seterusnya para pelajar dan hadirin hadirat yang dikasihi sekalian. Assalamualaiakum w.r.t, , Selamat

description

ucapan

Transcript of Ucapan Hari Kemerdekaan 2013

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis,

Yang Berusaha Puan Lee Yoke Yee,Timbalan Pengarah, Institut Pendidikan Guru, Kampus Gaya,

Yang Berusaha, Encik Othman Aziz, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar,Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya,

Pegawai Eksekutif,

Ketua-ketua Jabatan,

Ketua-ketua Unit,

Pensyarah-pensyarah Kanan,

Pensyarah-pensyarah dan staf-staf sokongan,

Seterusnya para pelajar dan hadirin hadirat yang dikasihi sekalian. Assalamualaiakum w.r.t, , Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Pertama-tama saya panjatkan rasa syukur dan terima kasih kepada Tuhan Yang Maha Esa yang telah melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya sehingga dapat kita sekali lagi bersama-sama menjayakan Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya tahun 2013.Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak H.E.P dan ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Sesi 2013/2014 kerana telah berjaya merancang dan melaksanakan Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya 2013.

Hadirin sekalian,

Ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-56 ini menjamin kewujudan negara kita sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat selama 56 tahun. Tema sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-56 ialah Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku. Secara ringkas, apa yang hendak ditonjolkan pada tema ini adalah memupuk semangat kecintaan kepada keamanan dan Malaysia negara berdaulat. Insiden pencerobohan Lahad Datu dan Semporna menjadi iktibar terbaik dalam memperbaiki teras utama dalam bidang ketenteraan. Menjelang 31 Ogos, ada baiknya kita cuba menghayati maksud tema Hari Merdeka 2013 kali ke-56. Maksud dan huraian tema Merdeka harus difahami dan dihayati. Sebagai warganegara Malaysia yang berdaulat, Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya ini diharap dapat memberikan penghayatan yang lebih agar jati diri rakyat Malaysia yang berbilang kaum sentiasa aman dan sentosa. Setelah 56 tahun mengecapi kemerdekaan, Malaysia membangun dengan penuh bergaya. Pembangunan yang dicapai begitu pantas dan dinamik. Kekukuhan ekonomi dan perpaduan kaum menjadi kunci kepada keutuhan kemerdakaan yang telah dilalui. Rakyat menikmati agihan kestabilan politik, kemewahan ekonomi dan keadilan sosial yang sama dan seimbang. Pendidikan terus memacu rakyat untuk menjadi bangsa yang moden, beradab dan dihormati. Malaysia harum di pentas dunia sebagai sebuah negara membangun yang maju dan stabil.

Beberapa mercu tanda seperti projek pengeluaran kereta nasional pertama Proton Saga yang merintis industri permotoran negara, pembinaan Menara Berkembar Kuala Lumpur yang pernah diiktiraf sebagai di Menara Tertinggi Di Dunia, pembinaan Litar Antarabangsa Sepang yang berjaya menaikkan imej negara khususnya dalam penganjuran sukan lumba kereta Formula One selain mengangkat nama Petronas dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang permotoran dan pelbagai lagi mercu tanda dan kejayaan yang dicapai menjadi produk kebanggaan rakyat Malaysia. Segala pencapaian cemerlang negara adalah cetusan pemimpin dan aspirasi rakyat yang digembeling bersama untuk menjadi Malaysia benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang. Kini segala usaha yang digarap oleh seluruh lapisan rakyat menjadi hadiah yang amat berharga untuk sambutan 56 Tahun Kemerdekaan Malaysia. Menghadapi alaf baru yang penuh cabaran, rakyat Malaysia seharusnya lebih berwaspada. Kita juga dikepung oleh ledakan teknologi komunikasi maklumat dan era globalisasi yang menuntut lebih pengorbanan dan tanggungjawab daripada rakyat untuk terus mempertahankan kemerdekaan sedia ada. Dunia tanpa sempadan yang diperkenalkan kepada seluruh rakyat menuntut kita supaya lebih peka dengan persekitaran yang berlaku. Justeru, konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan akan menjadi wadah untuk rakyat membangunkan negara dengan penuh keimanan kepada tuhan, berilmu, kehidupan yang harmoni, agihan kekayaan yang adil, bertamadun dan beretika.Apa yang sewajarnya dilakukan, kita mesti menggembleng dan meningkatkan lagi usaha, tenaga dan fikiran agar dapat memelihara dan mengekalkan kemerdekaan negara yang kita cintai ini. Dalam alaf baru yang kompetitif ini, mari kita melipatgandakan usaha, tenaga dan fikiran bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing dengan kreativiti dan inovasi jitu mencipta kekentalan mental dan spiritual untuk mencapai sebuah negara maju agar matlamat untuk mencapai perpaduan nasional, keamanan, kestabilan dan keharmonian dapat dinikmati bersama.

Hasrat dan impian ini hanya boleh dicapai melalui peranan seorang guru atau pendidik yang signifikan dalam pembangunan masyarakat sejagat. Atas bimbingan pendidik, lahirlah golongan profesional seperti doktor, jurutera, saintis dan lain-lain lagi. Lahirnya seorang Perdana Menteri, doktor, peguam, dan pensyarah adalah bermula daripada seorang pendidik biasa yang mengajarnya baca dan tulis. Ini berhubung kait dengan sajak Guru Oh Guru yang dikarang oleh sasterawan negara kita iaitu Allahyarham Usman Awang pada tahun 1979. Dengan kata lain, pendidik turut menentukan pembangunan negara dengan melahirkan tenaga mahir dan pakar-pakar dalam setiap bidang untuk menjamin kemajuan negara. Iltizam dan komitmen guru telah berjaya mencambah insan yang berketerampilan dan berdaya saing untuk memartabatkan pembangunan Negara. Pendidik bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan Negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang berintelek, berdaya saing, berjati diri dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat. Dalam konteks ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa dengan adanya pendidikan, modal insan dapat dibangunkan di mana mereka akan memimpin Negara ke arah maju di samping dapat mengukuhkan kedaulatan Negara. Guru berupaya melahirkan generasi yang berpendidikan tinggi dan seterusnya menimbulkan kesedaran anak-anak bangsa tentang betapa pentingnya kemerdekaan Negara.Hadirin sekalian,Semoga dalam bulan kemerdekaan kali ini, semua pelajar dapat menanamkan semangat patriotism dalam diri. Sesungguhnya para pelajar sebagai seorang bakal guru adalah kelompok yang bakal melonjakkan transformasi Negara di samping melahirkan generasi datang yang akan memegang tampuk pimpinan Negara. Saya percaya melalui penglibatan diri dalam sambutan Hari Kemerdekaan seumpama ini, para pelajar dapat mempertingkatkan mutu sebagai bakal guru yang cemerlang,gemilang dan terbilang serta melahirkan bakal pemimpin yang cinta akan Negara. Akhir kalam,selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-56, Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku.

Demi Malaysia,bertawakallah semua dan kepada Tuhan kita berserah.Dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan, peringkat Institut Pendidikan Guru, Kampus Gaya.Sekian, Asslamualaikum w.b.t.