Unit 10 Pentaksiran

18
Pentaksiran | 147 UNIT PELAJARAN 10 PENTAKSIRAN UJIAN PRA-PELAJARAN Nota: Anda boleh menguji dan menilai tahap kebolehan atau penguasaan anda mempelajari unit pelajaran ini dengan menjawab persoalan berikut. Sekiranya anda menguasai penilaian pada tahap 5, bermaksud anda sudah menguasai unit pelajaran ini sepenuhnya. Oleh itu bolehlah anda terus mempelajari topik / Unit Pelajaran berikutnya. Sangat Tidak Setuju Tidak Setuju Kurang Setuju Setuju/Agree Sangat Setuju 1 2 3 4 5 Item Penyataan /Statement 1 2 3 4 5 1 Saya dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran pentaksiran dalam pengajaran matematik pendidikan awal kanak-kanak. 2 Saya dapat dapat membincangkan proses pentaksiran yang boleh dilaksanakan dalam pengajaran. 3 Saya dapat membincangkan tentang strategi pentaksiran dalam pengajaran.

description

metamatik

Transcript of Unit 10 Pentaksiran

Page 1: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 147

UNIT PELAJARAN 10

PENTAKSIRAN

UJIAN PRA-PELAJARAN

Nota: Anda boleh menguji dan menilai tahap kebolehan atau penguasaan anda mempelajari

unit pelajaran ini dengan menjawab persoalan berikut. Sekiranya anda menguasai penilaian

pada tahap 5, bermaksud anda sudah menguasai unit pelajaran ini sepenuhnya. Oleh itu

bolehlah anda terus mempelajari topik / Unit Pelajaran berikutnya.

Sangat Tidak

Setuju

Tidak Setuju Kurang Setuju Setuju/Agree Sangat Setuju

1 2 3 4 5

Item Penyataan /Statement 1 2 3 4 5

1 Saya dapat mengaplikasikan pengetahuan dan

kemahiran pentaksiran dalam pengajaran

matematik pendidikan awal kanak-kanak.

2 Saya dapat dapat membincangkan proses

pentaksiran yang boleh dilaksanakan dalam

pengajaran.

3 Saya dapat membincangkan tentang strategi

pentaksiran dalam pengajaran.

Page 2: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 148

UNIT PELAJARAN 10

PENTAKSIRAN

HASIL PEMBELAJARAN

Di akhir pembelajaran pelajar akan dapat:

i. Mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran pentaksiran dalam pengajaran

matematik pendidikan awal kanak-kanak.

ii. Dapat membincangkan proses pentaksiran yang boleh dilaksanakan dalam

pengajaran.

iii. Dapat membincangkan tentang strategi pentaksiran dalam pengajaran.

PENDAHULUAN

entaksiran merupakan suatu istilah yang tidak asing lagi kepada guru-guru di Malaysia.

Ini adalah kerana istilah ini telah digunakan secara khusus dalam sistem pendidikan

yang disebut sebagai Pentaksiran Berasaskan Sekolah. Pentaksiran Berasaskan

Sekolah ini terlaksana pada sekolah rendah dan menengah sahaja. Walaupun Pentaksiran

Berasaskan Sekolah tidak dilaksanakan pada peringkat prasekolah, tetapi secara umum,

konsep pentaksiran adalah menyeluruh, termasuk juga di peringkat pendidikan awal kanak-

kanak.

KONSEP PENTAKSIRAN

ahu kah anda apa itu pentaksiran? Mungkin anda agak tertanya-tanya, apakah pula

perbezaan antara beberapa istilah yang sering digunakan iaitu ujian, pengukuran dan

penilaian. Sebenarnya keempat-empat istilah tersebut mempunyai pertalian dalam

P

T

Page 3: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 149

konteks pengajaran dan pembelajaran. Bagaimanapun Popham (2000) menjelaskan bahawa

istilah-istilah pengukuran, pengujian dan pentaksiran cenderung digunakan sebagai mempunyai

pengertian yang hampir serupa.

Ujian merupakan suatu set atau siri tugasan yang dijalankan ke atas kanak-kanak bagi

tujuan mendapatkan suatu maklumat secara sistematik tentang trait pendidikan atau atribut

yang dikehendaki. Contoh ujian yang dijalankan di sekolah ialah UPSR, PMR, Ujian Semester

dan Kuiz. Pengukuran pula merupakan proses pemberian angka atau nombor terhadap sesuatu

objek atau perkara yang dinilai dengan berdasarkan peraturan yang tertentu yang telah

ditetapkan. Contoh pengukuran adalah pemberian markah bagi sesuatu ujian seperti 60

daripada 100 markah dan sebagainya.

Penilaian pula merupakan proses membuat pertimbangan atau keputusan tentang

sesuatu perkara atau benda, seperti markah. Pertimbangan atau keputusan yang dibuat adalah

berdasarkan suatu standard yang telah ditetapkan. Proses penilaian ini adalah merangkumi

menentukan jenis data, menentukan responden, mengumpul data, menganalisis data,

interpretasi data dan akhirnya membuat keputusan. Pentaksiran pula merupakan prosedur

sistematik pengumpulan maklumat yang digunakan bagi membuat inferens tentang ciri-ciri

seseorang, objek, perkara atau fenomena (AERA et al., 1999; Eftah & Abd Aziz, 2013). NCTM

(1995) mendefinisikan pentaksiran sebagai suatu proses mengumpul maklumat tentang

pengetahuan, kebolehan menggunakan pengetahuan dan kecenderungan matematik kanak-

kanak ke arah mencari kesimpulan dan seterusnya mengambil tindakan karah

mempertingkatkan kualiti pengajaran pembelajaran matematik. NCTM (2000) menjelaskan lagi

dalam konteks yang lebih luas bahawa pentaksiran seharusnya merujuk kepada proses

memperoleh maklumat tentang matematik yang kanak-kanak seharusnya ketahui dan berupaya

melakukan, di samping kemahiran prosedur. Oleh itu para guru seharusnya memiliki kefahaman

yang jelas tentang kanak-kanak dan pentaksiran yang dilakukan itu seharusnya seiringan

dengan matlamat pengajaran dan pembelajaran dan seterusnya memastikan setiap kanak-

kanak berkembang ke arah peningkatan dalam pembelajaran mereka.

Oleh itu secara umum, pentaksiran adalah terangkum di dalamnya ujian, pengukuran

dan penilaian sebagaimana dalam Rajah 10.1.

Page 4: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 150

Rajah 10.1: Perhubungan pengujian, pengukuran, penilaian dan pentaksiran

MATLAMAT PENTAKSIRAN

entaksiran merupakan suatu istilah yang agak baru dalam konteks pendidikan di

Malaysia. Secara umum, matlamat pentaksiran dalam pengajaran pembelajaran

matematik adalah lebih menyeluruh berbanding dengan pengujian, pengukuran atau

penilaian. Sehubungan dengan itu, NCTM telah menggariskan bahawa pentaksiran

bermatlamatkan empat perkara: mengawasi perkembangan pembelajaran kanak-kanak;

membuat keputusan pengajaran; menilai pencapaian kanak-kanak; dan menilai program dan

seterusnya mengubahsuai program.

i. Mengawasi perkembangan pembelajaran kanak-kanak. Guru melaksanakan

penaksiran semasa pengajaran, yang disebut juga sebagai penilaian formatif.

Penaksiran dibuat dengan membuat pemerhatian kepada perkembangan

pembelajaran kanak-kanak sama ada dapat memahami pembelajaran atau

sebaliknya. Sebarang tanda yang menunjukkan kanak-kanak menghadapi

kesukaran dalam pembelajaran mendorong guru mencari jalan mengatasinya.

ii. Membuat keputusan pengajaran. Keputusan pengajaran amat perlu dibuat oleh

guru demi menjadikan pengajaran lebih berkesan. Sebarang masalah yang

dihadapi memberi peluang kepada guru untuk membuat refleksi dan seterusnya

merancang pengajaran agar berupaya mencapai objektif pengajaran yang

diharapkan.

P

Pentaksiran

Penilaian

Pengukuran

Pengujian

Page 5: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 151

iii. Menilai pencapaian kanak-kanak. Di akhir pengajaran guru perlu memastikan

kanak-kanak berupaya mencapai objektif yang dirancangkan. Oleh itu, perlu

melaksanakan ujian-ujian yang sesuai dan seterusnya mengenal pasti kesukaran

yang dihadapi oleh kanak-kanak dalam pengajaran. Antara kaedah penilaian

yang boleh dibuat adalah seperti melalui perhatian, senarai semak atau kuiz.

iv. Menilai program. Segala maklumat tentang pelaksanaan pengajaran amat

berguna kepada pihak berkuasa (pihak Kementerian Pendidikan Malaysia) demi

memastikan sesuatu program yang dilaksanakan mencapai objektif yang telah

digariskan.

JENIS PENTAKSIRAN

enis-jenis pentaksiran adalah berbagai-bagai. Secara umum, terdapat dua jenis

pentaksiran yang asas iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif.

Pentaksiran formatif adalah pentaksiran yang dibuat bagi tujuan mendapat maklumat

balas bagi membantu murid memperbaiki kualiti pembelajaran semasa atau akan datang.

Pelaksanaan pentaksiran formatif ini adalah lebih segera semasa pengajaran atau sebaik

sahaja selesai sesuatu topik pengajaran. Kebiasaannya pentaksiran formatif ini dijalankan

secara tidak formal. Oleh itu melalui pentaksiran formatif ini guru dengan mudah dapat

mengenal pasti kelemahan sama ada kelemahan pelajar dalam belajar atau kelemahan guru

dalam pengajaran. Murid juga akan dengan mudah dapat menilai penguasaan sendiri dalam

pembelajaran sesuatu tajuk. Mengesan kelemahan atau masalah dengan kadar segera ini akan

memudahkan perancangan dan tindakan bagi mengatasinya, sama ada oleh guru mahupun

kanak-kanak.

Pentaksiran sumatif pula merujuk kepada pentaksiran yang dibuat secara menyeluruh

terhadap pelajar bagi tujuan memberi gred keseluruhan atau gred di peringkat akhir unit kepada

murid. Pemberian gred pula adalah berdasarkan sejauh mana murid menepati kriteria dan

pencapaian standard. Oleh itu dengan membuat pentaksiran sumatif, suatu keputusan yang

menyeluruh diperoleh, bukan sahaja setakat mengetahui tahap penguasaan seseorang murid

berbanding dengan murid yang lain, tetapi juga mengetahui sejauh mana keberkesanan

J

Page 6: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 152

pengajaran seorang guru dengan guru yang lain, sejauh mana keberkesanan amalan

pengajaran pembelajaran sesebuah sekolah dengan sekolah yang lain dan sebagainya. Contoh

ujian sumatif ialah seperti UPSR, PMR dan SPM.

Bincangkan bagaimana pentaksiran formatif dan sumatif dapat dilaksanakan dalam

pengajaran pendidikan awal kanak atau pra sekolah.

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH

alam konteks pendidikan di Malaysia, pentaksiran telah dikhususkan lagi sebagai

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) (KPM, 2013). PBS merupakan satu bentuk

pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi

dan rohani), psikomotor (jasmani) dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Oleh itu, PBS ini mentaksir bukan sahaja produk tetapi juga proses yang dijalankan secara

formatif dan sumatif iaitu mengamalkan konsep “assessment for learning” dan “assessment of

learning”. PBS mentaksir bidang akademik dan bidang bukan akademik. Dari segi pelaksanaan

pula, pihak sekolah diberi mandat untuk melaksanakan PBS yang dilakukan secara terancang

tetapi mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Secara umum, komponen PBS terdiri daripada dua kategori iaitu akademik dan bukan

akademik. Kategori akademik adalah terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan

Pentaksiran Pusat (PP), manakala kategori bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran

Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) (KPM,

2013).

Pentaksiran Sekolah (PS) dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh

guru sekolah sendiri. Pelaksanaan pentaksiran pula adalah secara berterusan semasa proses

pengajaran dan pembelajaran. Pentaksiran Sekolah dilaksanakan sama ada pentaksiran

formatif dan pentaksiran sumatif. Pentaksiran formatif merupakan pentaksiran yang dibuat

semasa proses pengajaran pembelajaran, manakala pentaksiran sumatif pula dijalankan pada

akhir unit pembelajaran, penggal, bulan atau tahun.

D

Page 7: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 153

Pentaksiran Pusat (PP) merupakan pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah dengan

peraturan pentaksiran, instrumen pentaksiran, tugasan, garis panduan, peraturan penskoran,

penggredan dan pelaporan dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) (KPM, 2013).

Pentaksiran Pusat (PP) ini mempunyai dua jenis tugasan iaitu tugasan jangka panjang dan

tugasan jangka pendek. Tugasan jangka panjang dilaksanakan dalam tempoh 3 hingga 4

minggu manakala tugasan jangka pendek dilaksanakan dalam tempoh 2 minggu.

Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dilaksanakan di sekolah bagi tujuan mengukur

kebolehan semula jadi dan kebolehan yang diperoleh, kemahiran berfikir, kemahiran

menyelesaikan masalah, minat kerjaya, kecenderungan, sikap dan personaliti murid (KPM,

2013). Oleh itu, PPsi ini dijalankan dalam keadaan yang agak bebas iaitui tidak berasaskan

kurikulum dan proses pengajaran dan pembelajaran.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) pula merupakan

pentaksiran yang ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan

pencapaian murid dalam aktiviti sukan, kokurikulum dan ekstra kurikulum (KPM, 2013).

Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) dan Body Mass Index (BMI) dilaksanakan

untuk menilai dan melaporkan aktiviti fizikal murid.

Bagaimanakah pentaksiran berasaskan sekolah boleh dilaksanakan dalam

pendidikan awal kanak-kanak?

PROSES PENTAKSIRAN

CTM (1995) mencadangkan proses pentaksiran kepada 4 tahap iaitu: merancang

pentaksiran; mengumpul eviden; mentaksir eviden; dan menggunakan keputusan.

N

Page 8: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 154

Rajah 10.2: Proses pentaksiran (NCTM, 1995)

Merancang pentaksiran

Dalam merancang pentaksiran, berikut adalah beberapa soalan yang perlu diperhalusi:

Apakah matlamat sesuatu pentaksiran yang akan dijalankan.

Apakah kerangka yang perlu dipatuhi dalam merancang pelaksanaan sesuatu strategi.

Apakah kaedah yang sesuai digunakan bagi mengumpul dan menginterpretasikan

maklumat.

Apakah kriteria yang harus digunakan bagi membuat penilaian tentang pencapaian

dalam melaksanakan sesuatu strategi.

Apakah format yang harus digunakan bagi membuat rumusan dan laporan tentang

dapatan pentaksiran.

Mengumpul eviden

Rancang

pentaksiran

Mentaksir

eviden

Mengumpul

eviden

Mengguna

keputusan

Page 9: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 155

Mengumpul eviden merupakan langkah yang dilalui selepas merancang penaksiran. Bagi

memastikan proses mengumpul eviden dapat dilaksanakan dengan lancar, beberapa persoalan

boleh menjadi panduan:

Bagaimana sesuatu aktiviti dan tugasan dibina dan dipilih.

Bagaimana memilih prosedur bagi melaksanakan sesuatu aktiviti bagi

mengumpul eviden.

Bagaimana cara mendapat dan menyimpan eviden bagi tujuan membuat

keputusan seterusnya.

Mentaksir eviden

Mentaksir eviden seharusnya dibuat secara berhati-hati agar menepati sasaran yang

diharapkan. Dalam mentaksir eviden, beberapa perkara yang perlu diberi perhatian adalah:

Bagaimana kualiti sesuatu eviden dapat ditentukan.

Bagaimana kefahaman tentang pencapaian kanak-kanak dirumuskan berdasarkan

maklumat yang diperoleh.

Apakah kriteria specific yang diambil kira sebagai penentu pencapaian.

Bagaimana sesuatu keputusan boleh diterima pakai untuk peningkatan kualiti

pengajaran pembelajaran.

Mengguna keputusan

Hasil sesuatu pentaksiran bukan sahaja untuk kegunaan seseorang guru tetapi juga sesiapa

sahaja yang berkepentingan seperti pentadbir sekolah dan ibu bapa. Oleh itu beberapa perkara

perlu dipertimbangkan:

Bagaimana sesuatu dapatan boleh dilaporkan.

Bagaimana rumusan patut disediakan.

Apakah tindakan yang patut diambil berdasarkan rumusan yang diperoleh.

Bagaimana menentukan dapatan daripada sesuatu pentaksiran berguna kepada

pengajaran dan pentaksiran seterusnya.

Page 10: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 156

STRATEGI PENTAKSIRAN

ima strategi yang biasa dilaksanakan dalam pentaksiran iaitu: pemerhatian; temu bual;

pelaksanaan tugasan; penulisan dan portfolio.

Pemerhatian

Pemerhatian merupakan strategi pentaksiran yang biasa dilakukan oleh guru. Melalui

pemerhatian, guru akan dapat mengenal pasti kanak-kanak yang bermasalah dan seterusnya

mencari jalan untuk mencuba mengatasinya dengan kadar segera. Seorang guru yang bijak

seharusnya juga mengambil kira dapatan daripada pemerhatian yang dibuat oleh ibu bapa

sendiri. Eviden yang dikumpul daripada pemerhatian ini boleh diperoleh secara lebih sistematik

melalui penggunaan senarai semak. Melalui senarai semak, eviden akan menjadi lebih mudah

untuk diberi fokus di samping mengurangkan keciciran maklumat.

Pemerhatian dibuat secara sistematik dan berterusan bagi melihat aksi kanak-kanak

dalam berbagai-bagai situasi dan masa berbeza. Contohnya ialah semasa bermain permainan

pasir secara sendirian atau berkumpulan, atau semasa melaksanakan aktiviti pembelajaran

matematik secara berkumpulan. Pemerhatian yang dibuat perlulah objektif, dalam keadaan

sebenar dan tidak mengganggu kanak-kanak untuk belajar. Catatan dibuat semasa

pemerhatian, tetapi tanpa melibatkan unsur-unsur penilaian secara spontan terhadap kanak-

kanak. Dua cara catatan yang biasa dilakukan semasa pemerhatian iaitu rekod anekdot dan

senarai semak.

Rekod anekdot dibuat secara kumulatif dan berterusan bagi menggambarkan

perkembangan dan kemajuan kanak-kanak. Segala maklumat yang dikumpul akan menjadi

eviden bagi membuat keputusan dan tindakan yang seterusnya. Berikut adalah contoh rekod

anekdot (Rajah 10.3).

L

Page 11: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 157

Rajah 10.3: Contoh rekod anekdot

Rajah 10.3: Contoh rekod aneldot

Senarai semak atau inventori merupakan satu lagi cara merekodkan kemajuan kanak-

kanak. Senarai semak ini dibina berdasarkan objektif dan perkembangan pembelajaran kanak-

kanak dalam penguasaan kemahiran. Contoh senarai semak adalah seperti Jadual 10.1 yang

ditandakan sepanjang sesuatu pemerhatian.

Nama: Ahmad bin Ali

Kelas: Bestari

Tarikh dan Masa: 4 Ogos 2013, 11.00 – 11.30 pagi

Rekod anekdot : Aktiviti tenggelam dan timbul

Ahmad mendapati sukar memasukkan bongkah kubus ke dalam lubang yang

berbentuk segi tiga sama. Dia cuba menggantikan dengan bentuk yang lain

tetapi, tidak ada. Sejurus kemudian dia mendapati bentuk yang dikendakinya,

iaitu sebuah piramid, dimiliki oleh rakannya Tan. Dia telah cuba meminjam

daripada Tan. Selepas mendapatkan bentuk piramid, dia mencuba semula

memasukkannya ke dalam lubang berkenaan dan akhirnya berjaya. Dia

kelihatan amat gembira.

Page 12: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 158

Jadual 10.1: Contoh senarai semak kemahiran belajar

Kemahiran belajar Nama kanak-kanak

Aini Fatimah Huda Haris Man

Merekodkan pemerhatian

Berbincang dalam kumpulan

Berkomunikasi dengan guru

Merumus pemerhatian

Membuat ramalan

Menguji ramalan

Melaksana penyelesaian

Menyemak penyelesaian

Temu bual

Temu bual dijalankan bagi menjelajahi dan mendalami lagi sesuatu fenomena dalam proses

pengajaran. Temu bual melibatkan guru bertanya soalan kepada kanak-kanak manakala kanak-

kanak menjawab soalan yang dikemukakan tersebut. Untuk memastikan soalan yang berkesan

dapat dikemukakan, guru mestilah memastikan bahawa objektif sesuatu temu bual jelas.

Seterusnya guru mestilah merangka protokol temu bual atau soalan-soalan yang akan

ditanyakan atau berguna sebagai panduan untuk menanyakan soalan.

Bagaimanapun untuk melaksanakan temu bual terhadap kanak-kanak peringkat awal

persekolahan ini mungkin agak sukar kerana tidak semua kanak-kanak berupaya menjawab

soalan yang dikemukakan oleh guru. Bagaimanakah caranya guru mengatasi masalah ini?

Schwartz and Brown (1995) mencadangkan tiga strategi bagi menggalakkan berlakunya

komunikasi tanpa memaksa kanak-kanak iaitu: mengesahkan; meneliti semula; dan mencabar.

Page 13: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 159

i. Mengesahkan: Mengesahkan adalah merujuk kepada tindakan guru dengan mencuba

mengesahkan jawapan daripada kanak-kanak. Sekiranya perlu, guru juga boleh

memberi hujah tambahan bagi menyokong jawapan yang dikemukakan oleh kanak-

kanak. Tindakan sebegini akan memberi keyakinan untuk kanak-kanak bertutur dan

memberi pendapat.

ii. Meneliti semula: strategi meneliti semula adalah merujuk kepada mengulang-ulang

perbincangan tentang sesuatu kejadian atau peristiwa. Ini memberi peluang kepada

kanak-kanak membuat renungan dan mengalami semula sesuatu peristiwa yang sudah

berlaku. Bagi kanak-kanak, mengulang semula sesuatu yang berlaku amat

menyeronokkan di samping memberi lebih keyakinan.

iii. Mencabar: Mencabar merupakan strategi untuk memperkembangkan lagi daya

pemikiran kanak-kanak. Satu cara yang baik adalah secara “scaffolding” terhadap

jawapan atau saranan yang dikemukakan oleh kanak-kanak. Antara ungkapan yang

baik digunakan ialah “apa berlaku selepas nya ... ” dan “Bagaimana jika …” .

Sebagai contoh, berikut adalah soalan-soalan temu bual tentang memahami masalah dalam

proses penyelesaian masalah:

Ada perkataan yang awak tidak faham?

Apa maklumat yang diberi?

Apa bentuk objek yang digunakan?

Berapa panjangnya?

Apa maklumat yang nak dicari?

Tugasan

Tugasan merupakan tugas atau tanggung jawab yang diberikan kepada kanak-kanak untuk

diselesaikannya bagi mencapai sesuatu objektif dalam suatu tempoh masa yang tertentu.

Pelaksanaan tugasan adalah seperti kerja rumah, kuiz, peperiksaan, persembahan dan

penghasilan produk. Melalui tugasan, kanak-kanak akan menjadi lebih berdikari di samping

bekerja secara berkumpulan. Oleh itu penerapan nilai-nilai murni boleh terlaksana dengan

berkesan melalui aktiviti tugasan ini. Antara nilai murni yang boleh dipupuk melalui aktiviti

tugasan ini adalah seperti keyakinan diri, menghormati orang lain, menepati masa dan

sebagainya.

Page 14: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 160

Melalui tugasan, guru dapat menilai kanak-kanak dengan lebih mudah dan berkesan.

Tiga tahap kanak-kanak boleh dikenal pasti ialah: memahami dan mengaplikasi; sedang maju;

dan tidak memahami (Smith, 2001).

i. Tahap memahami dan mengaplikasikan sesuatu pelajaran adalah merujuk kepada

kanak-kanak yang berupaya memahami pengajaran dengan baik. Ini ditunjukkan

melalui kebolehan menyiapkan tugasan dengan sempurna dan memuaskan.

ii. Tahap sedang maju adalah merujuk kepada keadaan kanak-kanak yang kurang

berupaya melaksanakan tugasan dengan memuaskan. Bimbingan guru seterusnya

boleh membantu kanak-kanak berkenaan menyiapkan tugasan.

iii. Tahap tidak memahami bermaksud kanak-kanak langsung tidak memahami

pengajaran. Kanak-kanak ini tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa dia mampu

memahami pengajaran guru. Oleh itu tindakan seperti pembelajaran pemulihan perlu

dilakukan ke atas kanak-kanak pada tahap ini.

Berikut adalah beberapa jenis tugasan yang boleh diberikan kepada kanak-kanak dalam

proses pengajaran:

i. Kerja rumah: Kerja rumah merupakan tugasan atau soalan yang diberikan kepada

kanak-kanak untuk disiapkan di rumah. Kerja rumah ini perlu disiapkan oleh kanak-

kanak sama ada secara individu atau berkumpulan. Ini akan melatih kanak-kanak

menjadi lebih berdikari dan bertanggungjawab.

ii. Kuiz: Kuiz merupakan aktiviti penilaian yang dilaksanakan semasa pengajaran.

Aktiviti ini dijalankan dengan memberikan beberapa soalan kepada kanak-kanak dan

menyuruh kanak-kanak menyelesaikannya dalam tempoh masa yang telah

ditetapkan dalam waktu pengajaran.

iii. Peperiksaan: Peperiksaan merupakan aktiviti menilai tahap kebolehan kanak-kanak

dalam keseluruhan proses pembelajaran. Biasanya peperiksaan ini dilaksanakan

pada penghujung semester atau sesi pengajian.

iv. Persembahan: Persembahan merupakan aktiviti yang melibatkan kemahiran kanak-

kanak dalam sesuatu perkara. Satu contoh aktiviti yang boleh dilakukan oleh kanak-

kanak ialah seperti: kemahiran menghafal sifir; kemahiran menggunakan mesin kira;

dan kemahiran melukis bentuk geometry. Aktiviti dijalankan sama ada dengan

menyuruh kanak-kanak menceritakan apa yang sudah dilakukannya atau

menunjukkan secara langsung kemahiran berkenaan.

Page 15: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 161

v. Penghasilan produk: Penghasilan produk merupakan tugasan yang perlu disiapkan

oleh kanak-kanak sama ada secara individu atau berkumpulan. Antara produk yang

boleh ditugaskan kepada kanak-kanak ialah seperti: membina corak berdasarkan

bentuk geometri dan membina bentuk berdasarkan gabungan bongkah-bongkah

berbagai-bagai bentuk.

Bahan Penulisan

Bahan-bahan penulisan kanak-kanak sendiri boleh digunakan oleh guru sebagai maklumat

wang boleh dikaji. Melalui bahan-bahan penulisan ini seseorang kanak-kanak akan dapat dinilai

tahap penguasaannya dalam matematik. Bentuk bahan penulisan ini adalah berbagai-bagai

seperti tulisan esei, gambar rajah, jadual dan graf. Beberapa bahan penulisan kanak-kanak

adalah seperti berikut:

Journal: Catatan harian tentang sesuatu perkara yang menjadi fokus atau diminati.

Catatan hendaklah dibuat secara berterusan dalam suatu tempoh tertentu agar rumusan dapat

dibuat. Contohnya ialah journal tentang bilangan kacang yang tumbuh dan hidup daripada

semaian biji kacang dalam tempoh 2 minggu.

Laporan penyiasatan: Laporan tentang sesuatu isu atau tajuk yang ditulis sendiri oleh

kanak-kanak. Contohnya menyuruh kanak-kanak menceritakan tentang ikan dan bilangannya

mengikut jenis yang terdapat dalam sebuah akuarium sebenar.

Menulis masalah matematik: Galakkan kanak-kanak menulis sendiri masalah atau

soalan matematik berdasarkan kefahaman sesuatu konsep matematik. Boleh dilakukan dalam

bentuk permainan, iaitu suatu kumpulan kanak-kanak membuat dan mengemukakan soalan

kepada suatu kumpulan yang satu lagi.

Menyelesaikan masalah dan menjelaskan penyelesaiannya: Kanak-kanak bukan

sahaja diminta menyelesaikan sesuatu masalah atau soalan matematik, tetapi juga

menjelaskan bagaimana penyelesaian dilaksanakan.

Page 16: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 162

Esei: Esei boleh dibuat oleh kanak-kanak tentang sesuatu isu atau perkara. Berilah

suatu topik kepada kanak-kanak dan meminta kanak membuat esei berdasarkan topik

berkenaan. Contohnya esei tentang tajuk “permainan musang ayam”. Melalui esei ini kanak-

kanak akan bercerita tentang pengalaman bermain termasuk juga peraturannya.

Penilaian kendiri: Penilaian kendiri ialah penilaian yang dilakukan terhadap diri sendiri

tentang sesuatu aspek. Ia melibatkan kanak-kanak menilai penglibatan, proses, dan hasil kerja

yang mereka sendiri lakukan. Penilaian kendiri ini berguna untuk membina kefahaman realistik

tentang jangkaan dan objektif pembelajaran, tetapi bukan untuk memberi gred. Biasanya

penilaian kendiri dilaksanakan dengan guru memberi soalan penilaian kepada murid-murid.

Contohnya meminta kanak-kanak membuat penilaian terhadap diri sendiri dalam memahami

konsep kira darab. Bolehlah ditanyakan beberapa soalan kepada kanak-kanak bagi membantu

membuat penilaian kendiri:

Apakah yang paling sukar dalam menyempurnakan aktiviti ini?

Apakah tindakan yang akan anda lakukan seterusnya?

Jika anda berpeluang melakukan tugasan ini semula, apakah anda akan lakukannya

dengan cara yang berbeza?

Apakah yang anda pelajari daripada aktiviti ini?

Portfolio: Portfolio merupakan suatu rekod penyimpanan maklumat dalam bentuk

folder, fail dan sebagainya. Ia mengandungi bahan-bahan yang dikumpulkan oleh kanak-kanak

sendiri dalam sesuatu tempoh yang tertentu. Portfolio ini boleh menggambarkan atau

menjelaskan atau menerangkan perkembangan kanak-kanak dalam menyiapkan sesuatu

tugasan yang diberi (Bhasah, 2003).

Berikut adalah contoh kandungan portfolio yang boleh disediakan oleh kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, guru mestilah memantau agar portfolio ini dapat disediakan dengan baik:

Maklumat diri kanak-kanak.

Isi kandungan portfolio.

Penulisan jurnal

Penulisan reflektif tentang sesuatu isu atau perkara.

Ulasan rakan sebaya dalam sesuatu isu.

Hasil kerja seni yang dibuat atau dikumpul.

Page 17: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 163

Gambar rajah bagi membantu memberi gambaran secara ringkas tentang sesuatu

perkara atau topik.

Nota pelajar sepanjang melaksanakan sesuatu aktiviti.

Draf dan penulisan yang siap

Menyediakan portfolio yang baik perlu dilakukan secara teratur mengikut prosedur atau

langkah-langkah tertentu. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu dipatuhi oleh kanak-kanak

dalam menyediakan sebuah portfolio:

i. Menentukan sama ada portfolio disediakan secara individu atau berkumpulan.

ii. Tentukan tajuk dan tujuan portfolio.

iii. Nyatakan kandungan dan kemahiran yang akan ditaksirkan dan diberi perhatian.

iv. Nyatakan bahan atau maklumat yang perlu dikutip.

v. Tentukan kaedah pengumpulan bahan atau maklumat.

vi. Tetapkan kaedah pengumpulan bahan atau maklumat, serta tempoh bagi sesuatu

proses pengumpulan maklumat atau aktiviti itu dijalankan.

vii. Pastikan kanak-kanak terlibat dalam proses pengumpulan bahan atau maklumat.

viii. Perjelaskan kaedah penggredan yang akan digunakan untuk menaksir portfolio.

ix. Sediakan suatu ruang mencukupi untuk menyimpan portfolio.

RUMUSAN

entaksiran merupakan aktiviti yang perlu dilakukan oleh guru dalam proses

pengajaran. Pentaksiran di sini bukan sahaja bertujuan menguji dan menilai murid-

murid, tetapi jauh lebih penting ialah untuk mengesan sebarang kelemahan murid-

murid dalam pembelajaran mereka pada peringkat awal lagi. Dengan ini, semua murid dapat

diberi perhatian dan seterunya langkah pemulihan sama ada secara individu atau berkumpulan

dapat dilakukan dengan berkesan. Inilah satu tindakan yang boleh memartabatkan sistem

pendidikan secara keseluruhannya.

P

Page 18: Unit 10 Pentaksiran

P e n t a k s i r a n | 164

UJIAN PASCA-PELAJARAN

Nota: Anda boleh menguji dan menilai tahap kebolehan atau penguasaan anda mempelajari unit

pelajaran ini dengan menjawab persoalan berikut:

Sangat Tidak

Setuju

Tidak Setuju Kurang Setuju Setuju/Agree Sangat Setuju

1 2 3 4 5

Item Penyataan /Statement 1 2 3 4 5

1 Saya dapat mengaplikasikan pengetahuan dan

kemahiran pentaksiran dalam pengajaran

matematik pendidikan awal kanak-kanak.

2 Saya dapat dapat membincangkan proses

pentaksiran yang boleh dilaksanakan dalam

pengajaran.

3 Saya dapat membincangkan tentang strategi

pentaksiran dalam pengajaran.