Unit 5 - Pendekatan KGBK Intro

11
UNIT 5 KAEDAH GABUNGAN BUNYI-KATA (KGBK): LATAR BELAKANG DAN PRINSIP Hasil pembelajaran Di akhir bab ini pelajar akan Mengetahui latar belakang dan prinsip Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) Dapat membezakan KGBK dengan pendekatan abjad/fonik dan pendekatan seluruh perkataan. Guru dapat menggunanya dalam bab 6 8. Seperti yang dihuraikan dalam bab 2, 3 dan 4, terdapat dua perpektif dan pendekatan besar dalam pengajaran awal membaca bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia, iaitu pendekatan abjad-fonik dan pendekatan seluruh perkataan /seluruh bahasa (whole word / whole language). Dalam bab ini mari kita lihat bagaimana kedua-dua pendekatan ini boleh digabung secara sistematik untuk memudahkan pengajaran-pembelajaran awal membaca dan menulis bahasa Malaysia. Pendekatan ketiga ini dipanggil Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK), iaitu pendekatan yang menggabungkan pendekatan abjad-fonik (bunyi) dan pendekatan seluruh perkataan. Dalam bab 2, kita melihat pendekatan abjad-fonik Bermula Fasa 1 dengan kanak-kanak diajar mengenal semua huruf abjad a b c .. x y z dan bunyinya. Ini biasanya mengambil masa 1 - 2 bulan. Kemudian Fasa 2, kanak-kanak diajar suku kata. Ini mengambil masa biasanya sebulan. Kemudian dalam Fasa 3, barulah murid diajar membaca perkataan dan ayat mudah. Setiap fasa ini diajar secara berasingan. Pendekatan seluruh bahasa / perkataan (unit 3 dan 4) pula terbalik: Langkah pertama murid diajar melihat, mengecam dan membaca ‘perkataan’ secara keseluruhan (whole word). Langkah kedua, murid diajar mencerakin atau menganalisis perkataan itu supaya murid tahu suku katanya. Langkah ketiga murid diajar mencerakin perkataan dan suku kata menjadi huruf dan bunyinya. Murid diajar mengeja perkataan itu. Kedua-dua pendekatan ini bertentangan; setiap satu ada kekuatan dan kelemahannya. Pendekatan KGBK mengambil kira kekuatan dari pendekatan abjad-fonik dan pendekatan seluruh perkataan, menggabungnya secara sistematik untuk memudahkan pengajaran-pembelajaran 2m bahasa Malaysia.

Transcript of Unit 5 - Pendekatan KGBK Intro

  • UNIT 5

    KAEDAH GABUNGAN BUNYI-KATA (KGBK):

    LATAR BELAKANG DAN PRINSIP

    Hasil pembelajaran

    Di akhir bab ini pelajar akan

    Mengetahui latar belakang dan prinsip Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK)

    Dapat membezakan KGBK dengan pendekatan abjad/fonik dan pendekatan

    seluruh perkataan.

    Guru dapat menggunanya dalam bab 6 8.

    Seperti yang dihuraikan dalam bab 2, 3 dan 4, terdapat dua perpektif dan pendekatan besar dalam

    pengajaran awal membaca bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia, iaitu pendekatan abjad-fonik dan

    pendekatan seluruh perkataan /seluruh bahasa (whole word / whole language).

    Dalam bab ini mari kita lihat bagaimana kedua-dua pendekatan ini boleh digabung secara sistematik

    untuk memudahkan pengajaran-pembelajaran awal membaca dan menulis bahasa Malaysia.

    Pendekatan ketiga ini dipanggil Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK), iaitu pendekatan yang

    menggabungkan pendekatan abjad-fonik (bunyi) dan pendekatan seluruh perkataan.

    Dalam bab 2, kita melihat pendekatan abjad-fonik

    Bermula Fasa 1 dengan kanak-kanak diajar mengenal semua huruf abjad a b c .. x y z

    dan bunyinya. Ini biasanya mengambil masa 1 - 2 bulan.

    Kemudian Fasa 2, kanak-kanak diajar suku kata. Ini mengambil masa biasanya sebulan.

    Kemudian dalam Fasa 3, barulah murid diajar membaca perkataan dan ayat mudah.

    Setiap fasa ini diajar secara berasingan.

    Pendekatan seluruh bahasa / perkataan (unit 3 dan 4) pula terbalik:

    Langkah pertama murid diajar melihat, mengecam dan membaca perkataan secara keseluruhan

    (whole word).

    Langkah kedua, murid diajar mencerakin atau menganalisis perkataan itu supaya murid tahu

    suku katanya.

    Langkah ketiga murid diajar mencerakin perkataan dan suku kata menjadi huruf dan bunyinya.

    Murid diajar mengeja perkataan itu.

    Kedua-dua pendekatan ini bertentangan; setiap satu ada kekuatan dan kelemahannya.

    Pendekatan KGBK mengambil kira kekuatan dari pendekatan abjad-fonik dan pendekatan seluruh

    perkataan, menggabungnya secara sistematik untuk memudahkan pengajaran-pembelajaran 2m

    bahasa Malaysia.

  • KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 42

    Salah satu sebab pengajaran awal membaca dan menulis bahasa Inggeris tidak mudah ialah kerana

    sistem ejaannya celaru: tidak fonemik seperti sistem ejaan bahasa Melayu. Dalam bahasa Inggeris

    terdapat sekumpulan perkataan yang boleh diajar dalam kaedah fonik (seperti cat, sat, mat, rat

    dsb), dan sekumpulan lagi lebih berkesan diajar secara seluruh perkataan melalui pandang dan

    sebut (sight words) seperti the, catch, though, eye, cough.

    Asas prinsip Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK)

    Kaedah gabungan bunyi-kata (KGBK) bagi pengajaran awal bahasa Melayu berbeza dengan

    pendekatan fonik-abjad atau seluruh perkataan.

    KGBK menyatakan bahawa kekuatan yang terdapat dalam pendekatan abjad-fonik (iaitu sebut dan

    bunyi huruf) dan kekuatan yang terdapat dalam pendekatan seluruh perkataan, iaitu mengguna

    perkataan yang bermakna kepada murid, boleh digabungkan secara sistematik untuk mengajar

    awal 2M bahasa Melayu.

    Ada beberapa ciri istimewa yang terdapat dalam bahasa Melayu, yang tidak terdapat dalam bahasa

    Inggeris, bahasa Perancis atau bahasa Cina, yang memungkinkan kaedah KGBK ini digunakan

    untuk mengajar kanak-kanak membaca dan menulis bahasa Melayu dengan lebih mudah dan

    sistematik:

    1) KGBK mengambil kira sistem ejaan bahasa Melayu adalah sistematik dan fonemik: maksudnya,

    setiap huruf abjad a b c d ... k l m n ... y z mewakili satu bunyi fonem kecuali huruf e.

    Misalnya, huruf a bunyinya aa, huruf b bunyinya bh, c bunyinya ch, d bunyinya

    dhh, m bunyi mm dan sebagainya. Hanya huruf e mempunyai dua bunyi fonem, iaitu e

    taling seperti dalam perkataan emak, enam dan e pepet seperti dalam ekor dan

    elok.

    Untuk mengetahui lebih lanjut sistem ejaan bahasa Melayu (rumi) rujuk buku pedoman umum

    ejaan rumi bahasa Melayu, dewan bahasa dan pustaka, kuala lumpur (1991),

    2) Suku kata bahasa Melayu jelas, misalnya

    ba tu, ka ki, i bu, i tik, ma kan, ka kak,

    se ko lah, jam ba tan, bu nga, ta nya, pe nyu

    su ngai, pan tai, kam pung, per ja la nan, dan sebagainya.

    Ini memudah suku kata dicantum untuk membentuk perkataan.

    3) Tatabahasa bahasa Melayu lebih mudah berbanding dengan tatabahasa bahasa Inggeris,

    bahasa mandarin dan bahasa arab. Misalnya dalam bahasa Melayu tidak ada perbezaan bentuk

    bagi gender (laki-laki atau perempuan), untuk menyatakan banyak (plural), untuk menyatakan

    perbezaan waktu (past tense, present tense, past perfect tense) seperti dalam bahasa Inggeris.

  • KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 43

    Kaedah Gabungan Bunyi-Kata

    Pengajaran membaca dan menulis bahasa Melayu peringkat awal untuk kanak-kanak (atau kepada

    sesiapa saja yang mula belajar bahasa Melayu) boleh dibuat dengan menggabungkan

    - Pengajaran abjad-fonem huruf vokal a i u dan bunyinya; dan bunyi satu huruf konsonan,

    misalnya bunyi b, untuk membentuk bunyi suku kata ba bi bu.

    - Daripada suku kata ini kanak-kanak diajar terus membentuk perkataan dan membaca perkataan

    mudah dan bermakna seperti baba, bibi, bubu, ubi, ibu abu, dan frasa seperti bubu

    baba, ibu abu.

    - Murid menulis dan menyalin apa yang diajar: huruf, suku kata, perkataan dan frasa di atas.

    Bila kita gabungkan langkah (a) iaitu bunyi huruf dan suku kata dengan langkah (b) iaitu terus

    membentuk dan membaca perkataan yang bermakna, kita menggabung bahagian membunyikan

    huruf dan suku kata dengan bahagian membentuk dan membaca perkataan. Kita tidak asingkan

    kedua-dua bahagian dalam dua fasa yang berlainan seperti yang berlaku dalam pendekatan abjad-

    fonik yang dihuraikan dalam Bab 2. Kita menggabungkan proses membunyikan huruf dan suku kata

    dengan proses membentuk perkataan dalam satu unit pelajaran 2M. Inilah yang membezakan

    antara pendekatan KGBK dengan pendekatan abjad-fonik dan pendekatan seluruh perkataan.

    Perhatikan dalam KGBK murid tidak perlu mengetahui dahulu semua huruf abjad sebelum ia boleh

    diajar membaca dan menulis. KGBK memulakan dengan mengajar murid tiga huruf vokal penting (a

    i u) dan satu konsonan misalnya b. Dengan mengguna huruf konsonan dan vokal ini, suku kata

    terbuka (kv) dibina, dan perkataan-perkataan terus dibentuk dan dibaca.

    KGBK secara rajah mudah

    bunyi + perkataan

    bunyi + perkataan

    membaca ayat dan cerita

    Langkah-langkah asas KGBK adalah sebagai berikut.

    Langkah-langkah asas dalam Unit 1.

    Unit 1

    1. Perkenalkan bunyi huruf vokal a i u, dan cara menulisnya.

    2. Perkenalkan bunyi konsonan mudah seperti b dan cara menulisnya

    3. Bentuk suku kata terbuka (kv) darinya, supaya menjadi ba bi bu dan cara menulisnya.

    4. Bina perkataan dari suku kata (kv + kv), misalnya ba + ba = baba, bu + bu =

    bubu, i + bu = ibu, bibi bubu babu, abu

  • KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 44

    5. Bina rangkai kata atau ayat, seperti ibu abu, babu baba

    6. Murid menulis menyalin apa yang mereka baca: huruf, suku kata dan perkataan.

    7. Guru memilih satu perkataan, misalnya perkataan ibu untuk dijadikan tema aktiviti

    pengayaan seperti berbincang dengan kanak-kanak apa yang mereka buat bersama ibu,

    bagaimana mereka boleh membantu ibu, dsb.

    Langkah-langkah pengajaran Unit 2 berikutnya

    Unit 2

    1) Ulang pelajaran unit 1 yang lalu.

    2) Perkenalkan huruf konsonan baru c.

    3) Bina suku kata ca ci cu

    4) Bina perkataan misalnya ca + ca = caca, cu + cu = cucu, cuci aci acu.

    5) Guna suku kata pelajaran yang lalu ba bi bu untuk membina lagi perkataan seperti baca

    bucu cuba

    6) Bina frasa atau ayat seperti cucu aci, ibu cuci ubi, dsb.

    7) Murid latih menulis dengan menyalin huruf, suku kata, perkataan dan frasa yang mereka baca.

    8) Guru memilih satu perkataan, misalnya perkataan cuci sebagai tema untuk dijadikan asas

    perbincangan dan aktiviti pengayaan bersama murid.

    Perhatikan dalam unit 1 setelah murid belajar bunyi huruf dan suku kata mereka terus diajar

    menggabung suku kata menjadi perkataan untuk dibaca. Pengetahuan dalam unit 1 menjadi asas

    untuk belajar unit 2 secara bersambung. Ertinya terdapat kesinambungan secara sequential antara

    unit 1 dan 2.

    Ringkasnya, dalam KGBK sesuatu unit mengandungi kemahiran membunyikan huruf dan suku

    kata, dan membina perkataan dan membacanya. Ini bererti unsur membunyikan huruf dan

    membina serta membaca perkataan boleh digabungkan dalam sesuatu unit pengajaran-

    pembelajaran 2M. Pada akhir setiap unit pelajaran murid boleh membaca dan menulis perkataan,

    frasa dan ayat yang bermakna. Ini didapati lebih mudah dan cepat untuk murid belajar membaca

    dan menulis. Murid tidak perlu mengenal dan menghafal semua huruf sebelum belajar membaca.

    Susunan bahan pengajaran-pembelajaran KGBK

    Pendekatan KGBK membolehkan pembinaan dan susunan bahan pengajaran-pembelajaran dan

    peningkatan kemahiran 2M dibuat secara berturutan (sequential) dan berkembang (developmental).

    Contohnya adalah seperti dalam buku saya Mari Membaca, Utusan Publications, (1982), Mudah

    Membaca Bahasa Melayu, Fajar Bakti, (1990); buku Bahasa Malaysia, Awal Membaca dan Menulis,

    Siri Genius, beserta Panduan Guru, Fajar Bakti, (2003), dan buku Ceria 2M terbitan Ilmu Bakti

    (2007).

  • KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 45

    Bahagian-bahagian utama dalam susunan bahan pengajaran-pembelajaran KGBK dalam mula

    murid mengenal dan membunyikan beberapa huruf sehingga murid dapat membaca dengan lancar

    sesuatu cerita adalah sebagai berikut:

    Bahagian 1: mengenal dan membunyikan huruf vokal utama a i u, dan satu atau dua huruf

    konsonan seperti b c.

    Bahagian 2: membentuk suku kata terbuka kv dan membina perkataan kv + kv, v + kv.

    Contohnya ba + ba = baba, bu + bu = bubu; ba + ca = baca; i + bu =

    ibu, a + bu = abu.

    Membuat frasa dan ayat mengguna perkataan yang dibina: bubu baba, ibu

    abu. Setiap unit membina memperkenalkan huruf konsonan baru dan bunyinya.

    Langkah-langkah pengajaran akan dibincangkan dengan lebih teliti dalam bab 6.

    Bahagian 3: membentuk suku kata tertutup: kvk. Membina perkataan kv + kvk, Kvk + kv, v + kvk.

    Contohnya kan kin kun, kat kit kut, lam lim lum.

    Membina perkataan ma + kan = makan, i + kan = ikan; sa + kit = sakit.

    Membina frasa dan ayat: Abu makan ikan. Sudin sakit kaki.

    Bahagian 4: memperkenalkan huruf vokal o dan e; membina suku kata dan perkataan

    v + kvk, kv + kvk, kvk + kvk. Contohnya ro + ti = roti, po + kok = pokok.

    Huruf vokal e dikemudiankan kerana ia mempunyai dua bunyi, e pepet (e + mak =

    emak), dan e taling (e + lok = elok). Mengikut kajian kami ini lebih sukar

    dipelajari.

    Bahagian 5: diagraf atau konsonan gandingan dan suku katanya, seperti ng (bang bing

    bung) ny (nya nyi nyu), ng (nga nyi ngu), sy (sya syi syu), kh

    (khabar)

    Bahagian 6: vokal gandingan: au ai ua di tengah perkataan: geluncuran (daun, buat, baik).

    Vokal gandingan di hujung perkataan: diftong (pulau, sungai, amboi).

    Bahagian 7: penggunaan imbuhan mudah ber, me, men, meng. Contohnya berjalan,

    bermain, melihat, mencari, menghantar. Membaca dan menulis ayat dan

    cerita mudah.

    Huraian bagi setiap bahagian dan contoh langkah-langkah pengajaran KGBK secara terperinci

    seterusnya diberi dalam bab 6, 7 dan 8.

    Dari kajian kami, susunan bahan pengajaran-pembelajaran secara berturutan dan developmental,

    kumulatif dan sistematik ini memudahkan guru mengajar 2M dan memudah murid belajar 2M bahasa

    Melayu. Dari pemerhatian dan laporan guru, murid normal boleh membaca dengan lancar cerita

    mudah dalam tempoh kurang dari tiga bulan, jika diajar sejam sehari, lima hari seminggu mengikut

    susunan KGBK dalam buku itu.

    Pendekatan gabungan dan susunan bahan pengajaran-pembelajaran secara kumulatif seperti dalam

    KGBK ini tidak mungkin berlaku dalam pendekatan abjad-fonik dan pendekatan seluruh perkataan,

    atau pendekatan eklektik yang diguna sekarang untuk mengajar bahasa Inggeris.

  • KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 46

    Pengajaran lisan

    Dalam pengajaran 2M KGBK pengajaran lisan juga termasuk di dalamnya. Kemahiran murid

    mendengar dan bertutur dilakukan semasa guru dan murid bersoal-jawab, murid dan murid

    berbincang, mendengar dan bercakap. Dalam pengajarannya guru memberi peluang dan latihan

    untuk murid mendengar arahan, bertanya, menjawab, bercerita dan memberi pendapat. Murid juga

    diajar menyebut fonem, suku kata, perkataan dan ayat yang betul. Dalam KGBK guru mengajar

    keempat-empat kemahiran berbahasa: mendengar, bertutur, membaca dan menulis secara

    berkembang.

    Guru haruslah mengajar murid menyebut sesuatu perkataan itu dengan sebutan standard. Guru

    juga hendaklah selang selikan aktiviti bermain sambil belajar, pengajaran dengan membaca kuat

    (read aloud) buku kepada murid, atau menyanyi lagu kanak-kanak semasa mengajar 2m, supaya

    murid seronok belajar.

    Haruslah diingat bahawa KGBK adalah fasa pertama untuk memudahkan dan meletakkan asas

    murid membaca dan menulis. Setelah asas 2M dikuasai oleh murid, maka fasa seterusnya ialah ia

    memberi peluang dan galakan untuk murid membaca berbagai bahan bacaan: buku cerita, puisi,

    dan buku pilihan mereka, supaya mereka terus membaca sendiri. Ini akan menanam tabiat dan

    minat mereka membaca. Bimbing dan galakkan mereka menulis cerita, puisi mudah dan surat

    kepada kawan, ibu bapa dan guru dalam buku atau dalam komputer. Jika ini berlaku, ia akan

    menjadi bekalan dan asas untuk pendidikan sepanjang hayat.

    i. Terangkan prinsip dan ciri asas kaedah gabungan bunyi-kata (KGBK).

    ii.Terangkan perbezaan KGBK dan pendekatan abjad-fonik dan pendekatan seluruh

    perkataan.

    Ciri-ciri Kaedah Gabungan Bunyi-Kata

    Kemahiran membaca dan menulis yang dibina dalam kaedah KGBK adalah sebagai berikut:

    - Murid dibina kemahiran untuk mengesan (attack) sesuatu perkataan baru, dengan mengguna

    pengetahuan bunyi huruf dan suku kata yang dipelajarinya. Dengan itu mereka boleh membaca

    perkataan itu sendiri. Ini penting untuk membina kecekapan murid membaca sendiri perkataan-

    perkataan baru. Misalnya setelah murid boleh membaca suku kata ba bi bu, ca ci cu

    dan boleh membaca perkataan cucu, baca, aci cuci mereka sendiri akan boleh

    membaca babu cuba baca dan acu.

    - Dalam KGBK murid tidak perlu diajar mengenal dan menghafal semua huruf abjad secara

    berturutan dari a, b, c sampai x, y, z seperti dalam kaedah abjad-fonik. Ini mengambil masa

    panjang (dua, tiga bulan di setengah sekolah). Murid juga tidak perlu diajar semua suku kata

    Aktiviti

  • KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 47

    terbuka seperti ba bi bu be be bo, ca ci cu ce ce co, dsb yang mengambil

    masa sebulan lagi, sebelum murid boleh diajar membaca perkataan dan ayat. Ini menjemukan.

    - Murid membaca perkataan yang bermakna yang dibina dalam suatu pelajaran. Dengan ini

    mereka mendapati proses belajar membaca itu bermakna dan berguna. Murid tidak perlu diajar

    mengecam seluruh perkataan (pandang-dan-sebut perkataan) dan menghafal bentuknya,

    kemudian mencerakin perkataan untuk mengenal huruf dan bunyi huruf, seperti dalam kaedah

    seluruh perkataan.

    - Kajian kami menunjukkan kebanyakan murid bermotivasi untuk mencuba lagi membaca setelah

    mereka mula boleh membaca beberapa patah perkataan, rangkai kata dan ayat.

    - Murid diajar menulis apa yang dibaca dalam setiap unit: huruf, suku kata, perkataan, frasa dan

    ayat, dan membaca apa yang ditulis. Kedua-dua kemahiran ini saling mengukuh satu sama lain.

    Terdapat hubungan yang erat antara membina kemahiran membaca dan menulis.

    - Perkembangan unit-unit pengajaran-pembelajaran 2M dibuat secara sistematik berturutan

    perkembangannya, di mana pelajaran yang lalu diguna untuk belajar 2m dalam pelajaran yang

    baru. Setiap unit baru berkembang berasaskan unit sebelumnya. Kanak-kanak membina dan

    membaca perkataan berdasarkan suku kata yang mereka belajar dalam sesuatu pelajaran yang

    baru dan dalam unit yang lalu.

    - Murid terus membaca ayat dan cerita mudah dalam beberapa pelajaran saja.

    Sedikit tentang latar belakang dan sejarah KGBK. Bila dan bagaimanakah KGBK Digubal?

    Untuk mengelak daripada kekeliruan tentang sejarah dan asal usul Kaedah Gabungan Bunyi-Kata

    ini, dan dakwaan orang lain yang mereka mencipta atau menggubah kaedah KGBK ini, saya

    perturunkan sedikit sejarah bagaimana kaedah ini digubah dan penerbitan buku-buku saya tentang

    kaedah ini.

    Dalam tahun 1979 saya telah membaca laporan dalam akhbar bahawa terdapat 30% - 40% murid

    di sekolah rendah, terutama di sekolah kebangsaan yang tidak boleh membaca. Ini menggerakkan

    saya berfikir bagaimanakah ini boleh terjadi, kerana pada pendapat saya bahasa Melayu mudah

    untuk diajar membaca dan menulisnya, terutama huruf tulisan rumi. Dari tinjauan saya mendapati

    kebanyakan guru mengguna kaedah abjad. Sebahagian kecil lagi mengguna kaedah pandang

    dan sebut (look and say), iaitu kaedah seluruh perkataan yang popular di kalangan guru yang

    mengajar bahasa Inggeris.

    Walaupun mungkin terdapat kelemahan oleh sebab latarbelakang murid itu sendiri, saya

    berpendapat salah satu sebab yang lebih spesifik ialah kaedah pengajaran 2M guru itu yang

    kurang berkesan. Maka dengan mengguna pengetahuan teori dan amalan pengajaran bahasa

    Melayu, saya pun menggubal satu kaedah yang boleh menggabung pendekatan fonik

    (berasaskan bunyi) dan pendekatan seluruh perkataan, yang saya namakan Kaedah Gabungan

    Bunyi-Kata (KGBK), dan menulisnya.

    Pada 8 10 disember 1979 dalam konpen iv anjuran persatuan suluh budiman di kuantan, saya

    pun membentang kertas bertajuk Beberapa Kaedah Mengajar Murid-Murid Membaca Bahasa

  • KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 48

    Malaysia di Peringkat Awal,. Dalam kertas ini saya meninjau beberapa kaedah mengajar

    membaca BM yang kerap diguna di sekolah, dan memperkenalkan kaedah baru iaitu Kaedah

    Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) sebagai alternatif untuk mengatasi masalah ramai murid di sekolah

    rendah yang tidak boleh membaca dan menulis.

    Kemudian kertas kerja saya itu diterbitkan dalam Jurnal Dewan Bahasa Jilid 24 bil. 7, Julai 1980.

    Dalam 1990, artikel saya Mengajar Membaca Peringkat Awal yang menghurai kaedah KGBK

    diterbit dalam buku yang disunting oleh Safiah Osman (ed). Membaca: Satu Pengenalan, Berita

    Publishing, Kuala Lumpur

    Pada Februari 1980 satu bengkel diadakan bersama guru-guru sekolah kebangsaan di Kuala

    terengganu, untuk membina bahan pengajaran - pembelajaran mengguna kaedah KGBK untuk

    dicuba di sekolah kebangsaan. Guru mendapati kaedah ini mudah, berkesan dan murid juga cepat

    belajar 2M.

    Bulan April 1980 kaedah ini dibentang di pusat perkembangan kurikulum (ppk), di Jalan duta, kuala

    lumpur. Kaedah ini dianggap berguna dan dijadikan salah satu kaedah Pilihan (ke-4) dalam Buku

    Panduan Am, Kurikulum Baru Sekolah Rendah, (KBSR). Terbitan Kementerian Pelajaran Malaysia,

    1981, ms. 63 69.

    Kaedah gabungan bunyi-kata dijadikan asas untuk Panduan Guru bahasa Malaysia KBSR Tahun I

    (Jun 1981) untuk SRJK Cina dan SRJK Tamil. Tetapi Panduan Guru bahasa Malaysia (KBSR)

    Tahun 1 (1981) bagi sekolah kebangsaan tidak mengguna KGBK. Kaedah yang menjadi pegangan

    ialah kaedah cerakin (yang dianggap sebagai kaedah PPK). Huraian cara mengguna kaedah

    cerakin dibuat dengan teliti untuk panduan guru sekolah kebangsaan.

    Berikut ialah penerbitan buku-buku saya yang mengguna KGBK untuk kegunaan murid.

    Isahak Haron (1982). Buku Mari Membaca. Utusan Publications & Distibution Sdn. Bhd. Kuala

    Lumpur. Buku ini digunakan di setengah sekolah SRJK cina dan tamil.

    Isahak Haron (1986). Buku Kegiatan Tadika 2: Mari Membaca. Fajar Bakti, Kuala Lumpur. Buku

    ini diguna di tadika swasta di bandar-bandar.

    Isahak Haron (1990). Buku Mudah Membaca bahasa Malaysia. Fajar Bakti, Kuala Pumpur

    sebagai lanjutan kepada buku Kegiatan Tadika 2 bahasa Malaysia, untuk murid Tahun 1.

    Isahak Haron (2001). Buku-buku di atas telah diedit semula dan diterbit oleh Fajar Bakti dalam Siri

    Tadika Fajar Bakti, dengan judul Mudah Membaca dan Menulis 1 & 2.

    Isahak Haron (2001). Buku Ujian Membaca dan Menulis 1 & 2 yang diedit dari buku asal pada

    1990, juga diterbitkan oleh Fajar Bakti, Kuala Lumpur.

    Isahak Haron (2003). Buku bahasa Malaysia 1 6 siri genius (beserta panduan guru) diterbitkan

    oleh Fajar Bakti untuk prasekolah

    Isahak Haron (1996). Buku bahasa Malaysia Tahun 1, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

    Isahak Haron (2006). Ujian Diagnostik Membaca dan Menulis berasaskan KGBK (berserta

    panduan guru). Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim.

  • KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 49

    Isahak Haron (2006). Buku Ceria 2M Membaca dan Menulis Buku 1 dan 2 untuk prasekolah,

    berserta panduan guru, carta dan vcd. Penerbit Ilmu Bakti, USJ Selangor.

    Isahak Haron (2006). Buku KIA2M Membaca dan Menulis Buku 1 dan 2 untuk murid pemulihan di

    sekolah rendah, berserta panduan guru, carta dan vcd. Penerbit Ilmu Bakti, USJ Selangor.

    Isahak Haron (2009). Buku Ceria 2M Tadika 1 dan 2, (berserta vcd dan panduan guru ) yang diedit

    semula, di terbit oleh Penerbit Ilmu Bakti, USJ Selangor.

    Pelajar boleh merujuk artikel dan buku-buku di atas untuk melihat contoh-contoh bahan pengajaran

    dan pembelajaran dan alat ujian KGBK.

    Dalam tahun 1990an dan 2000 2009 banyak sekali saya memberi ceramah dan bengkel tentang

    KGBK di seluruh negara kepada guru pra sekolah dan guru pemulihan. Ada guru mengguna

    kaedah dan buku awal membaca KGBK dalam pengajaran mereka, dan menokok tambah aktiviti

    untuk memperkayakan pembelajaran murid. Ini amat digalakkan. Ada juga pengarang yang

    mengarang dan menerbitkan buku berdasarkan pendekatan ini dengan memberi berbagai nama

    untuknya.

    Bilakah KGBK digubal?

    Huraikan cici-ciri dan langkah-langkah asas KGBK untuk mengajar awal 2M bahasa

    Malaysia?

    RUJUKAN DAN BAHAN BACAAN TAMBAHAN

    Untuk mengetahui sistem ejaan bahasa Melayu (rumi) sila rujuk

    Dewan bahasa dan pustaka (1991), Pedoman Umum Ejaan Rumi bahasa Melayu, Dewan Bahasa

    Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

    Beberapa kajian dibuat tentang keberkesanan kaedah KGBK (untuk huruf rumi dan jawi) dalam

    pengajaran 2M di pra sekolah dan untuk pemulihan di sekolah rendah, oleh pensyarah dan pelajar

    sarjana pendidikan UPSI, antaranya:

    Azila Alias, Kajian Perbandingan Tiga Kaedah Mengajar Membaca bahasa Melayu di Tadika Kemas,

    disertasi sarjana pendidikan UPSI, 2007.

    Kajian oleh pasukan pensyarah di UPSI yang saya ketuai, bertajuk Awal Membaca Bahasa Melayu:

    Keberkesanan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata Untuk Prasekolah dan Untuk Pemulihan (UPSI

    laporan, 2004). Abstraknya seperti dilampirkan.

    Aktiviti

  • KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 50

    Abstrak

    Kajian ini mengemukakan pendekatan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) untuk pengajaran-

    pembelajaran membaca dan menulis bahasa Melayu peringkat awal (early reading and writing),

    sebagai alternatif kepada model atau pendekatan abjad/fonik dan pendekatan seluruh perkataan

    (whole word), yang banyak diperkatakan dalam pengajaran membaca bahasa Inggeris sejak lebih

    lima puluh tahun lalu. Pendekatan KGBK menyatakan bahawa pengajaran membaca BM boleh

    dibuat dengan mengajar kanak-kanak bunyi beberapa huruf vokal dan konsonan, menjadikannya

    suku kata dan terus membina dan membaca perkataan atau frasa atau ayat, dalam satu dua

    pelajaran saja. KGBK ini diasaskan kepada ciri-ciri istimewa yang terdapat dalam bahasa Melayu,

    iaitu sistem ejaannya fonemik (terdapat hubungan yang jelas antara bunyi dan simbol (huruf)

    (sound-simbol relationship), suku kata perkataan bahasa Melayu yang jelas, dan tatabahasa Melayu

    agak mudah berbanding dengan sistem ejaan dan tatabahasa bahasa Inggeris. Kanak-kanak

    prasekolah dan murid pemulihan dengan mudah boleh diajar membaca bahasa Melayu dalam

    jangka masa yang pendek.

    Kajian empirikal, untuk menguji keberkesanan model atau pendekatan KGBK, dibuat dalam dua

    konteks: pertama, konteks pengajaran kanak-kanak prasekolah di 12 tadika kemas di Hulu Selangor.

    Setelah tiga bulan guru tadika kemas mengajar kanak-kanak membaca dan menulis mengguna

    KGBK, kemajuan kebolehan membaca 326 orang murid di tadika ini agak ketara.

    Konteks kedua ialah di mana KGBK digunakan oleh guru-guru pendidikan khas untuk memulihkan

    murid sekolah rendah di Perak dan Pulau Pinang yang tidak boleh membaca atau lemah membaca.

    Soalselidik survey digunakan untuk mendapat repons dan penilaian tentang keberkesanan KGBK

    daripada sampel 75 orang guru pendidikan khas sekolah rendah di tiga daerah pendidikan: PPD

    Hilir Perak, PPD Kerian dan PPD Timur Laut Pulau Pinang. Dapatan menunjukkan kumpulan guru

    yang mengguna sepenuhnya atau sebahagian besar KGBK mendapati kaedah ini mudah dan

    berkesan untuk memulih murid membaca dan menimbulkan minat mereka membaca, berbanding

    dengan golongan guru yang mengguna separuh saja kaedah ini.

    Dapatan dari kajian penggunaan KGBK di kedua-dua konteks menunjukkan yang KGBK berkesan

    sebagai kaedah alternatif kepada kaedah yang guru amalkan sekarang untuk mengajar murid

    prasekolah membaca, atau untuk mengajar memulih murid yang tidak boleh atau lemah membaca

    BM di sekolah rendah.

    Dari segi sumbangan kepada teori atau model pengajaran awal membaca, dapatan kajian

    keberkesanan KGBK ini menolak anggapan bahawa terdapat konflik antara kaedah fonik dan

    kaedah seluruh perkataan seperti yang terdapat dalam pengajaran awal membaca bahasa Inggeris.

    KGBK merupakan model ketiga dan pendekatan alternatif yang berasas dan viable untuk

    pengajaran awal membaca bahasa Melayu atau bahasa-bahasa yang seumpama bahasa Melayu.

  • KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 51

    Aplikasi praktikal dapatan kajian ini ialah KGBK boleh diguna untuk mengajar kanak-kanak

    prasekolah dan Tahun 1 membaca dan menulis bahasa Malaysia dengan lebih mudah dan cepat,

    dan untuk memulihkan masalah tidak boleh membaca pelajar sekolah rendah dengan berkesan.