Unsur Luar Dalam Adat Perkahwinan Melayu

17
1.2 Unsur luar dalam adat perkahwinan Melayu Menurut Noriati A. Rashid (2014), adat didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup. Adat mencerminkan segala perbuatan yang adakalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Perkataan yang sinonim dengan adat ialah budaya. Walaupun dari aspek bunyinya berbeza, tetapi dari segi pengertiannya, mempunyai konsep yang saling bergantung dan sama. Adat seperti yang didefinisikan tadi ialah cara hidup iaitu tingkah laku, kepercayaan dan sebagainya. Adat bersifat maya, iaitu tidak dapat dilihat. Adat ini timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila adat dizahirkan dan dapat dilihat pelaksanaanya, misalnya kita melihat adat bercukur, adat bersanding dan sebagainya, itu sudah menjadi suatu budaya. Maknanya, budaya ialah suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan adat sesuatu masyarakat itu. Dalam soal pembinaan adat Melayu, kita dapat melihat tiga bentuk pengaruh yang besar, iaitu Hindu, Buddha dan Islam. Adat Melayu yang awal dipengaruhi oleh unsur-unsur Hindu dan Buddha yang diperoleh melalui kitab-kitab lama seperti Rayamana dan Mahabrata. Ketika adat ini diamalkan, Islam masih belum sampai ke Nusantara. Ada di antara adat-adat Hindu dan Buddha ini masih diamalkan sehingga ke hari ini. Pengaruh unsur luar yang ketiga dalam masyarakat Melayu ialah pengaruh Islam iaitu pengaruh yang paling kuat sekali dalam kebudayaan dan adat Melayu. Bagi masyarakat Melayu, adat ialah kepatuhan yang kedua selepas agama mereka iaitu Islam. Kepatuhan kuat orang Melayu kepada agama Islam diakui oleh Prof. Syed Naquib

description

bmm3142

Transcript of Unsur Luar Dalam Adat Perkahwinan Melayu

1.2 Unsur luar dalam adat perkahwinan Melayu

Menurut Noriati A. Rashid (2014), adat didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup. Adat mencerminkan segala perbuatan yang adakalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Perkataan yang sinonim dengan adat ialah budaya. Walaupun dari aspek bunyinya berbeza, tetapi dari segi pengertiannya, mempunyai konsep yang saling bergantung dan sama.

Adat seperti yang didefinisikan tadi ialah cara hidup iaitu tingkah laku, kepercayaan dan sebagainya. Adat bersifat maya, iaitu tidak dapat dilihat. Adat ini timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila adat dizahirkan dan dapat dilihat pelaksanaanya, misalnya kita melihat adat bercukur, adat bersanding dan sebagainya, itu sudah menjadi suatu budaya. Maknanya, budaya ialah suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan adat sesuatu masyarakat itu.

Dalam soal pembinaan adat Melayu, kita dapat melihat tiga bentuk pengaruh yang besar, iaitu Hindu, Buddha dan Islam. Adat Melayu yang awal dipengaruhi oleh unsur-unsur Hindu dan Buddha yang diperoleh melalui kitab-kitab lama seperti Rayamana dan Mahabrata. Ketika adat ini diamalkan, Islam masih belum sampai ke Nusantara. Ada di antara adat-adat Hindu dan Buddha ini masih diamalkan sehingga ke hari ini.

Pengaruh unsur luar yang ketiga dalam masyarakat Melayu ialah pengaruh Islam iaitu pengaruh yang paling kuat sekali dalam kebudayaan dan adat Melayu. Bagi masyarakat Melayu, adat ialah kepatuhan yang kedua selepas agama mereka iaitu Islam. Kepatuhan kuat orang Melayu kepada agama Islam diakui oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas yang mengatakan Islam telah mentamadunkan masyarakat Melayu. Perlembagaan Malaysia sendiri telah mendefinisikan Melayu sebagai mereka yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Ini menunjukkan betapa kuatnya Islam dalam hidup orang Melayu.

1.2.1 pengaruh india dalam adat perkahwinan

1.2.1.1 ADAT BERINAI

Pada masa dahulu, masyarakat Melayu mengamalkan agama Hindu-Buddha yang dibawa oleh pedagang-pedagang negara India. Kemasukan agama dan pedagang-pedagang India tersebut ke Tanah Melayu telah mempengaruhi kelakuan, adat dan cara kehidupan masyarakat Melayu. Salah satu adat masyarakat India yang kekal sehingga kini dalam kalangan masyarakat Melayu adalah adat berinai. Kamus Dewan Bahasa mendefinisikan berinai sebagai memerahkan kuku dan jari dengan menggunakan inai. Inai merupakan sejenis tumbuhan yang daunnya mampu untuk mewarnakan kuku dan jari kepada warna merah. Walaupun adat ini berasal dari negara India, namun tetap diteruskan walaupun selepas kedatangan agama Islam. Hal ini berlaku kerana adat ini tidak salah mengikut agama Islam. Adat berinai merupakan pelengkap kepada upacara perkahwinan dalam kalangan masyarakat Melayu dan adat ini digelar berinai di pelamin.

Sungguhpun adat berinai di pelamin ini tidak lagi dijalankan oleh masyarakat sekarang, akan tetapi masih juga terdapat keluarga yang tetap mengamalkannya. Ini kerana adat ini memerlukan perbelanjaan yang lebih besar dan agak rumit, maka hal ini menyebabkan upacara ini semakin dilupakan. Adat berinai di pelamin ini dilakukan dalam 3 peringkat. Pada kali pertama dinamakan berinai curi, pada kali kedua dinamakan berinai kecil dan pada kali ketiga dinamakan berinai besar. Dalam kebanyakan negeri, biasanya adat berinai di pelamin ini dijalankan pada malam hari. Berbeza dengan negeri Johor, upacara ini dijalankan di sebelah petang.

Upacara berinai akan dijalankan sebelum upacara akad nikah dan bersanding. Dalam majlis tersebut, anak dara itu akan dipakaikan dengan pakaian yang indah-indah, iaitu pakaian pengantin, lalu dibawa duduk di atas pelamin yang terletak di ruang tamu. Anak dara itu akan duduk di hadapan sekumpulan kaum keluarga dan sahabat handai yang biasanya terdiri daripada kaum perempuan. Bagi upacara berinai curi dan berinai kecil, hanya pengantin perempuan sahaja yang akan duduk di atas pelamin dan berinai. Pengantin lelaki akan datang ke rumah pengantin perempuan untuk berinai pada upacara berinai besar. Dalam upacara tersebut, pengantin perempuan akan diinai terlebih dahulu di atas pelamin. Setelah selesai, pengantin perempuan akan dibawa masuk ke dalam bilik dan pengantin lelaki pula akan diinai di atas pelamin.

1.2.1.2 ADAT PERSANDINGAN

Secara dasarnya perkahwinan orang Melayu kini adalah selari dengan tuntutan Islam walaupun terdapat sebahagian upacara yang diadakan di dalam adat perkahwinan itu yang bercanggah dengan ajaran Islam kerana mempunyai pengaruh asing. Sebagai contoh adat persandingan masyarakat Melayu yang dikatakan mempunyai pengaruh hindu. Adat persandingan dilihat sebagai suatu perkara yang wajib bagi satu pasangan apabila berkahwin dari kaca mata kebanyakan masyarakat Melayu.

Persandingan dalam masyarakat Melayu dapat ditakrifkan sebagai suatu perlakuan yang menempatkan pasangan suami-isteri yang telah diijabkabulkan di atas pelamin yang dihias indah dengan mengenakan pakaian yang kemas dan cantik, berhias wajah serta dikipas oleh dua orang pengipas yang turut dikenali sebagai pengapit. Tujuan diadakan adat persandingan adalah untuk diperlihatkan pasangan pengantin tersebut kepada masyarakat setempat dan sebagai kenangan manis dalam kehidupan pasangan pengantin tersebut selain untuk meneruskan tradisi nenek moyang secara turun-temurun.

Walaupun adat persandingan ini berasal daripada adat perkahwinan India tetapi agama Islam membenarkan persandingan dengan meletakkan beberapa syarat iaitu hendaklah disandingkan secara tertutup di hadapan muhrim atau keluarga terdekat dan kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat sahaja. Walau bagaimanapun, jika ingin melakukan secara terbuka diharuskan jika bertujuan iklan atau untuk mengisytiharkan dan memperkenalkan mempelai kepada para jemputan dan kaum keluarga dengan syarat kesemua pihak, baik pengantin atau para jemputan mestilah menutup aurat serta tidak berhias dengan keterlaluan kecuali perhiasan yang biasa dilihat.

Terdapat beberapa upacara tertentu yang dianggap tidak wajar diamalkan oleh orang Islam yang diamalkan oleh masyarakat Hindu seperti upacara menabur beras kunyit, membaca jampi mentera, berandam, berhias untuk dipamerkan, mengadakan kenduri perkahwinan secara besar-besaran, menjadikan wang atau hadiah sebagai suatu kemestian, mas kahwin dan hantaran yang mahal dan lain-lain lagi. Upacara-upacara yang sedemikian yang menyebabkan adat persandingan masyarakat Melayu ini dikaitkan dengan isu khurafat, tahyul serta pembaziran. Sebagai contoh, ketika majlis persandingan diadakan pasangan pengantin akan ditabur dengan beras kunyit dan ini adalah sama dengan adat masyarakat Hindu yang sangat percaya pada semangat padi.

Oleh itu, upacara persandingan dalam masyarakat Melayu perlu dijalankan berlandaskan lunas-lunas Islam agar tidak membawa kepada kemurkaan Allah. Walaupun niat kita mengadakan upacara persandingan dengan niat yang baik iaitu untuk meraikan pasangan pengantin, namun sekiranya upacara itu dicemari oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan agama Islam, maka secara tidak langsung upacara tersebut salah di sisi agama.

Selain itu, upacara perkahwinan yang lazimnya dilakukan oleh masyarakat Melayu melibatkan perbelanjaan yang banyak dan besar seperti yang diamalkan oleh masyarakat Hindu mendorong kepada gejala pembaziran dalam masyarakat. Kebanyakan orang Melayu menganggap upacara walimah perlu dianjurkan secara besar-besaran kerana upacara ini hanya dilangsungkan sekali dalam seumur hidup. Oleh itu, perkara ini pada pandangan mereka tidak salah walaupun melibatkan isu pembaziran. Gejala ini dari perspektif Islam sememangnya tidak dianjurkan kerana keadaan ini akan mewujudkan pembaziran dan juga mampu memberikan pelbagai implikasi yang negatif dalam kehidupan masyarakat. Contohnya sifat riak dan takbur mungkin akan berleluasa dalam diri masyarakat.

Masyarakat Melayu turut mengamalkan budaya bersolek untuk kelihatan cantik ketika majlis persandingan diadakan. Jika dilihat dari sudut pengaruh amalan bersolek ini dikatakan mempunyai pengaruh Hindu kerana terdapat pasangan pengantin yang bersolek secara berlebih-lebihan. Amalan bersolek yang diamalkan masyarakat Hindu dan dianggap keterlaluan kerana untuk mengubah kecantikan yang sebenar dilarang sama sekali dalam Islam malah perbuatan ini adalah haram. Selain itu, jelas dilihat dalam persandingan Melayu di mana ketika bersolek para pengantin akan mencukur bulu kening bercukur yang melibatkan pencukuran bulu pada bahagian anak rambut, muka, leher dan tangan dengan tujuan untuk menaikkan seri muka dan mengukir inai di tangan seperti pengantin Hindu.

WANG HANTARAN

Wang hantaran juga merupakan salah satu adat dalam perkahwinan Melayu yang telah diadaptasi dalam budaya perkahwinan India. Wang hantaran merupakan satu aspek budaya masyarakat Melayu yang telah diamalkan dalam majlis perkahwinan dan merupakan pemberian ikhlas pihak lelaki kepada wanita yang ingin dikahwini. Pihak lelaki akan diwakili oleh ahli keluarga dan saudara mara terdekatnya untuk upacara bertunang. Pada hari tersebut, majlis kenduri akan diadakan bersempena pertunangan tersebut di rumah pihak perempuan. Hantaran yang terdiri daripada tepak sirih atau sirih junjung sebagai bingkisan utama, sebentuk cincin berserta hantaran lain seperti bunga rampai, buah-buahan, kuih-muih, pakaian dan lain-lain yang telah digubah akan diberi kepada pihak perempuan.

Mengikut adatnya juga, sekiranya pihak perempuan mempunyai kakak yang masih belum berkahwin, hantaran untuknya juga turut diberikan. Adat ini dipanggil langkah bendul. Bilangan hantaran agak unik kerana jumlahnya ganjil iaitu sama ada lima, tujuh, sembilan, sebelas atau tiga belas kerana jumlah genap dikatakan memberi implikasi yang tidak baik. Jumlah hantaran yang diberi oleh pihak perempuan pula akan melebihi jumlah hantaran pihak lelaki. Adat ini dilakukan semasa adat bertunang ini dijalankan.

Wang hantaran ini dijadikan sebagai lambang atau nilai harga diri seorang wanita itu. Hal ini kerana masyarakat kini beranggapan bahawa nilai mas kahwin sedia ada seperti yang ditetapkan oleh agama Islam mengikut negeri kelahiran wanita tersebut tidak mencukupi. Oleh itu, mereka telah menetapkan wang hantaran yang perlu diberi kepada pengantin perempuan dan nilanya adalah berbeza mengikut kemampuan pasangan masing-masing. Walau bagaimanapun, budaya ini telah disalahgunakan sehingga menyusahkan pihak lelaki. Wang hantaran yang tinggi telah menjadi trend pasangan pengantin masa kini untuk menunjuk-nunjuk bahawa pengantin lelaki mampu dan berasal dari keluarga berada serta mempunyai kerjaya atau berjawatan tinggi.

Kini, menjadi satu kewajipan kepada wakil pihak perempuan meminta wang hantaran seperti yang telah dibincangkan ketika majlis merisik dilakukan dan pihak lelaki wajar menunaikannya. Sekiranya pihak lelaki tidak dapat memberikan sejumlah wang yang diminta ini akan mendatangkan aib dan malu kepada mereka. Lantaran itu, tidak semua pihak lelaki yang mempunyai wang seperti yang diminta oleh pihak perempuan dan ini akan menyebabkan wujudnya budaya pinjam meminjam dan bergolok gadai. Hal yang demikian, akan membawa masalah kepada kedua-dua pihak selepas selesai majlis perkahwinan dilangsungkan.

PENGGUNAAN TEPAK SIREH

Penggunaan tepak sireh dikatakan berasal daripada pengaruh budaya India yang telah meresap masuk ke dalam adat perkahwinan Melayu. Masyarakat India menyatakan bahawa sireh bukan hanya untuk dimakan tetapi juga sebagai bahan persembahan sewaktu sembahyang di kuil-kuil. Hal ini kerana beberapa daun sireh akan dihidangkan bersama-sama buah kelapa yang telah dibelah dua, berserta dua biji pisang sebagai persembahan untuk dewa mereka. Namun, sireh menjadi popular dalam kalangan masyarakat Melayu untuk dimakan dan menjadi simbol adat resam dan adat istiadat Melayu dalam urusan perkahwinan dan perubatan tradisional. Dalam sesebuah majlis perkahwinan, sireh pinang memainkan peranan penting bermula dari waktu merisik, peminangan, pertunangan dan persandingan sebagai hantaran.

Penggunaan tepak sireh ini mempunyai maksud simbolik dalam kehidupan masyarakat Melayu. Hal ini kerana sireh diertikan bersifat merendah dan sentiasa memuliakan orang lain. Manakala kapur yang digunakan melambangkan hati seseorang bersih serta tulus. Gambir memberi erti kecekalan hati kerana sifatnya yang kelat dan kepahitan. Pinang pula digambarkan sebagai lambang yang baik budi pekerti, mempunyai darjat yang tinggi serta jujur, manakala tembakau pula melambangkan seseorang yang berhati tabah dan sedia berkorban dalam segala hal.

Pengaruh islam dalam adat perkahwinan Melayu

MAHAR ATAU MAS KAHWIN

Mahar berasal daripada perkataan Arab. Di dalam al-Quran istilah mahar disebut dengan al-sadaq, al-saduqah, al-nihlah, al-ajr, al-faridah dan al-aqd. Mahar atau mas kahwin turut merupakan salah satu pengaruh dari pengaruh luar. Islam telah membawa pelbagai perubahan dalam hidup masyarakat Melayu termasuklah perkahwinan. Menurut adat perkahwinan mengikut Islam adanya akad nikah dan pemberian mas kahwin. Menurut istilah syara pula mahar ialah suatu pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab pernikahan.

Pemberian mahar oleh suami sebagai lambang kesungguhan suami terhadap isteri. Selain itu, mahar turut mencerminkan perasaan kasih sayang dan kesediaan suami untuk hidup bersama isterinya serta sanggup berkorban demi kesejahteraan dan keharmonian rumah tangga dan keluarga. Pemberian mahar juga merupakan satu penghormatan seorang suami terhadap isteri. Walau bagaimanapun mahar tidaklah termasuk di antara rukun-rukun nikah atau syarat sahnya sesuatu pernikahan.

Sekiranya pasangan bersetuju bernikah tanpa menentukan jumlah mahar, pernikahan tersebut tetap sah tetapi suami diwajibkan membayar mahar misil ( yang sepadan ). Pemberian mahar misil ini adalah berdasarkan satu kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. di mana seorang wanita telah berkahwin tanpa disebutkan maharnya. Tidak lama kemudian suaminya meninggal dunia sebelum sempat bersama dengannya iaitu melakukan persetubuhan. Setelah berlakunya kejadian tersebut lalu Rasulullah s.a.w mengeluarkan hukum supaya wanita tersebut diberikan mahar misil untuknya.

Pemberian mahar atau mas kahwin kepada isteri terbahagi kepada dua bentuk, iaitu mahar musamma dan mahar misil. Pemberian mahar mengikut bentuk dan jenis ini adalah mengikut keadaan tertentu. Mahar musamma ialah mahar yang disebut dengan jelas jumlah dan jenisnya dalam suatu akad nikah seperti yang diamalkan dalam perkahwinan masyarakat kita pada hari ini. Para ulama telah bersepakat bahawa mahar musamma wajib dibayar oleh suami apabila berlaku persetubuhan antara suami dan isteri dan kematian sama ada si suami atau isteri.

Manakala, mahar misil pula ialah mahar yang tidak disebut jumlah dan jenisnya dalam suatu akad nikah. Sekiranya berlaku keadaan ini, mahar tersebut hendaklah diqiaskan ( disamakan ) dengan mahar wanita yang setaraf dengannya dalam kalangan keluarganya sendiri seperti adik-beradik perempuan seibu sebapa atau sebapa atau ibu saudaranya. Sekiranya tiada, maka diqiaskan pula dengan mahar wanita-wanita lain yang setaraf dengannya dari segi kedudukan dalam masyarakat dan sekiranya tiada juga, terpulang kepada suami berdasarkan adat dan tradisi setempat.

Selain itu, terdapat perkara-perkara lain yang perlu diambil kira dalam menentukan mahar misil iaitu dari sudut rupa paras, kekayaan, keadaan setempat, keagamaan, ketakwaan, keilmuan, kecerdasan fikiran, keluhuran budi serta status wanita tersebut sama ada gadis atau janda dan perkara-perkara yang boleh dijadikan penilaian. Ini kerana kadar mahar berbeza dengan sifat-sifat seseorang wanita yang dinyatakan tadi.

AKAD NIKAH

Pada zaman silam, upacara akad nikah dilakukan oleh pihak pengantin lelaki dalam pakaian haji atau pakaian bangsa Melayu. Upacara akad nikah merupakan satu-satunya istiadat yang diperlukan oleh agama Islam dan undang-undang untuk menghalalkan sesebuah perkahwinan. Namun begitu, terdapat juga upacara-upacara amal yang lain mengikut adat resam masing-masing.

Upacara akad nikah dimulakan dengan perarakan pihak lelaki ke rumah pihak perempuan. Mereka seterusnya dipersilakan masuk. Pengantin lelaki duduk di atas tikar sila di bahagian ibu rumah, berdekatan dengan Imam. Barang-barang hantaran yang dibawa dibariskan di tengah ibu rumah. Kemudian Imam memilih dua orang antara tetamu yang hadir untuk menyemak barang hantaran dan menjadi saksi untuk upacara akad nikah. Selepas semua barangan disemak, barangan tersebut dihantar kepada kaum perempuan. Setelah itu, Imam mendaftarkan nama pengantin lelaki di dalam sebuah buku dan ditandatangani oleh pengantin lelaki dan dua orang saksi tersebut. Kemudian, Imam akan membacakan upacara perkahwinan dalam Bahasa Arab yang kini biasanya dibacakan dalam Bahasa Melayu.

Pada akhir upacara akad nikah, Imam akan memegang tangan kanan pengantin lelaki sambil mengisytiharkan kenyataan akad. Contoh kenyataan akad yang dilafazkan ialah Muhammad Bin Ahmad, aku nikahkan dikau dengan Fatimah Binti Abdullah yang telah memperwakili ia akan daku dengan mas kahwinnya sebanyak RM1000 tunai dan belanja RM80. Selepas itu, pengantin lelaki pula akan menjawab akad nikah tersebut dengan menyatakan, Aku terima nikahnya Fatimah Binti Abdullah dengan mas kahwin RM1000 tunai dan belanja RM80.

PENGARUH cina dalam adat perkahwinan Melayu

ADAT MEMBERI WANG SEMASA MAJLIS PERKAHWINAN

Pemberian wang atau hadiah merupakan satu pemberian atau pertolongan daripada kaum keluarga dan jiran tetangga bagi meringankan beban kaum keluarga pihak pengantin. Adat ini merupakan pengaruh daripada tamadun China yang diamalkan oleh masyarakat Cina di negara ini dan kemudiannya mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu. Hal ini demikian kerana, sifat masyarakat Melayu yang mudah menerima pengaruh asing dalam kehidupan seharian.

Dalam adat perkahwinan masyarakat Cina, para tetamu yang menghadiri majlis jamuan wajib memberi hadiah atau angpau kepada pasangan pengantin. Budaya ini telah meresap dalam majlis perkahwinan Melayu, iaitu para tetamu akan memberi wang atau hadiah ketika menghadiri majlis perkahwinan. Kebiasaannya para tetamu akan bersalaman dengan wakil pihak pengantin dan memberikan sejumlah wang yang diletakkan di dalam sampul. Nilai wang tersebut pula bergantung kepada kemampuan para jemputan yang hadir. Walau bagaimanapun, sekiranya para tetamu tidak berkemampuan untuk memberikan hadiah ataupun wang memadailah sekadar ucapan tahniah dan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin.

Pengaruh jawa dalam adat perkahwinan Melayu

ADAT MANDI BUNGA

Amalan mandi bunga atau bersiram juga turut diamalkan oleh masyarakat Melayu kini. Amalan ini dikatakan merupakan salah satu amalan dalam perkahwinan masyarakat jawa dan telah diadaptasi dalam majlis perkahwinan Melayu. Di Malaysia, bukan semua negeri atau tempat mengamalkan adat ini kecuali negeri Selangor dan Johor. Hal ini kerana dua buah negeri ini wujud sekumpulan masyarakat yang dipanggil masyarakat Jawa. Masyarakat tersebut mengamalkan adat bersiram untuk membuang sial atau malapetaka agar tidak mempengaruhi kehidupan mereka kelak.

Upacara ini diadakan di suatu tempat yang terasing dari lalu lalang orang ramai seperti di dalam bilik yang menjadi kawasan larangan selain pasangan pengantin. Upacara ini dimulakan apabila Mak Andam meletakkan kain putih di bahu pengantin dan menyelubungkannya ke seluruh badan. Sirih yang telah dijampi akan diberikan kepada pengantin untuk dikunyah. Pengantin juga akan diperasap dengan kemenyan sambil dijampi. Tujuh jenis bunga yang berbau harum dipusingkan di sekeliling pengantin dan disapukan ke muka dan badan. Penggunaan tumbuhan ini berserta dengan jampi yang dibaca dipercayai dapat menaikkan seri pengantin. Perkara tersebut jelas menunjukkan pengaruh Hindu kerana terdapat penggunaan kemenyan dan sireh.

Terdapat sesetengah tempat yang Mak Andam akan melumurkan badan pengantin dengan kunyit yang dicampur dengan kulit pokok mempelam dan kulit pokok kekabu. Bahan-bahan tadi ditumbuk halus. Bahan-bahan tersebut digunakan adalah bertujuan untuk menambahkan keserian dan keyakinan di wajah pengantin. Mak Andam juga akan mencukur bulu-bulu roma di sekeliling muka dan mencukur kening supaya wajah pengantin nampak lebih kemas. Pengantin akan dimandikan dengan air berlimau setelah tugas tersebut selesai. Tujuannya adalah untuk membuang segala kekotoran dan badi di badan serta menjauhkan bala yang menimpa di sepanjang berlangsungnya majlis tersebut

Pengaruh barat dalam adat perkahwinan Melayu

Pemotongan kek

Kek merupakan simbol bagi masyarakat sekarang. Acara memotong kek kebiasannya akan dilakukan semasa upacara perkahwinan Melayu. Memotong kek ini dilihat sebagai satu acara kemuncak yang dilakukan dalam satu upacara perkahwinan. Upacara ini dilihat seperti telah sinonim di dalam adat perkahwinan Melayu. Kek yang pelbagai jenis dan bertingkat-tingkat telah digunakan ketika upacara ini. Kedua-dua mempelai akan bersama-sama memotong kek tersebut.

Acara memotong kek ini sebenarnya bukanlah dari tradisi yang terdapat dalam adat perkahwinan orang Melayu. Acara sebegini telah dilakukan mengikut cara perkahwinan barat. Pada mulanya adat perkahwinan Melayu hanyalah mengamalkan acara memotong pulut kuning. Namun demikian ia telah diubahsuai dan pulut kuning tersebut telah ditukar kepada memotong kek pula. Kek yang telah dipotong akan dihidangkan kepada hadirin yang datang ke majlis perkahwinan tersebut.

Jelas kelihatan bahawa acara memotong kek ini telah mengikut tradisi barat apabila terdapat pula upacara suap-menyuap daripada kedua-dua pengantin tersebut. Acara sebegini tidak langsung diamalkan dalam adat perkahwinan Melayu. Namun demikian, acara memotong kek ketika majlis perkahwinan telah diamalkan ketika majlis perkahwinan Melayu dilangsungkan. Dengan ini jelaslah menunjukkan bahawa majlis perkahwinan Melayu telah dipengaruhi oleh budaya barat yang semakin menular dalam majlis perkahwinan orang Melayu.