adat perkahwinan masyarakat cina
-
Upload
sal-sabila -
Category
Documents
-
view
2.564 -
download
6
description
Transcript of adat perkahwinan masyarakat cina
1.0 PENGENALAN
Masyarakat Cina mempunyai banyak kepercayaan dan amalan yang di amalkan
sejak beberapa generasi dahulu. Adat dan pantang larang yang diamalkan
menunjukkan identiti dan warisan masyarakat Cina. Setiap amalan dan adat
masyarakat Cina ini mempunyai pengertian dan signifikan yang tersendiri bukan
sahaja melambangkan norma- norma yang wujud di dalam masyarakat cina
bahkan mempamerkan terhadap nilai amalan yang menjadi pegangan
masyarakat Cina. Namun begitu sesetengah adat dan pantang larang ini tidak
lagi diteruskan selaras dengan perubahan zaman dan masa.
Perkahwinan bagi masyarakat Cina mempunyai amalan yang unik yang menjadi
adat dalam sesebuah perkahwinan. Upacara minum teh sangat penting dalam
adat perkahwinan cina kerana melalui upacara itu nilai hormat menghormati
kepada orang tua perlu dikekalkan walaupun sudah berumah tangga untuk
menjamin keharmonian rumah tangga yang dibina.
1
2.0 ADAT PERKAHWINAN KAUM CINA
2.1 Sebelum Upacara Perkahwinan
Adat perkahwinan cina sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan
adat perkahwinan melayu. Adat perkahwinan cina mempunyai adat
merisik, adat meminang, bertunang dan menghantar tanda dan mas
kahwin. Adat merisik penting kerana orang cina amat pentingkan nama,
maruah dan keturunan yang baik. Cara merisik adalah terpulang kepada
ibu bapa pihak lelaki sama ada mahu bertanya pada sahabat mereka
sekiranya mengenali keluarga pihak perempuan. Perkara penting yang
perlu diambil tahu adalah peribadi, tingkah laku dan perwatakan calon
wanita. Sekiranya keluarga pihak lelaki dan perempuan saling mengenali,
keluarga pihak lelaki akan bertandang ke rumah pihak perempuan dan
berbincang tanpa kehadiran anak mereka. Perbualan dan perbincangan
biasanya akan dibuat di restoran-restoran dan disertai oleh saudara-mara
terdekat berbincang mengenai latar belakang keluarga dan asal
keturunan. Perbincangan dibuat secara tidak formal untuk mengeratkan
perhubungan dan memberi masa untuk mengenal keluarga besan. Adat
meminang akan dilakukan setelah kedua pihak berpuas hati dengan latar
belakang masing-masing. Wakil pengantin lelaki dipilih daripada kalangan
emak saudaranya akan ke rumah pengantin perempuan berbincang
dengan emak pengantin perempuan. Perkara penting yang akan
dibincangkan adalah jumlah mas kahwin, peruntukan meja untuk jamuan
makan dan memilih hari yang sesuai. Pertemuan ini biasanya tidak
menghasilkan apa-apa persetujuan. Wakil pengantin lelaki akan datang
semula ke rumah pengantin perempuan. Hal ini kerana pihak perempuan
perlu memikirkan dan menimbangkan peminangan pengantin lelaki dan
berkemungkinan juga pengantin lelaki atau perempuan akan mengunbah
keputusan. Oleh itu, tempoh masa akan diberikan. Selepas habis tempoh
masa yang telah diberikan, wakil pengantin lelaki akan datang semula
untuk mendapatkan jawapan daripada pihak pengantin perempuan.
Sebagai contoh, pihak pengantin perempuan mahu mengadakan upacara
perkahwinan secara besar-besaran, mas kahwin tinggi dan bilangan meja
2
yang akan digunakan. Wakil pihak lelaki tidak akan tawar-menawar
kerana akan menjatuhkan maruah pengantin lelaki. Apa jua keputusan
yang dibuat oleh pengantin perempuan akan diterima oleh pengantin
lelaki tanpa bantahan. Wakil pengantin lelaki cuma akan meminta nama
dan tarikh lahir pengantin perempuan untuk ditilik bagi memilih tarikh dan
hari yang sesuai dalam kalendar Cina. Adat bertunang dibuat apabila
mendapat persetujuan daripada ibu bapa pengantin perempuan. Hari
pertunangan dibuat secara sederhana dengan pengantin lelaki dan
perempuan bertukar-tukar cincin. Kenduri dan jamuan makan diadakan di
kalangan saudara-mara terdekat kedua-dua pihak. Cincin akan
disarungkan ke jari manis tangan kiri menandakan pasangan lelaki dan
perempuan telah diikat secara rasmi. Mereka yang sudah bertunang
dibenarkan tinggal dan tidur bersama bergantung kepada kesediaan ibu
bapa. Walau bagaimanapun, pertunangan tidak begitu diamalkan oleh
orang-orang Cina kerana mereka menganggap lebih baik berkahwin
daripada bertunang kerana bertunang tidak menjanjikan kekal hingga ke
jinjang perkahwinan. Adat menghantar tanda dan mas kahwin pada
zaman dahulu diberikan dalam bentuk dua helai kulit rusa dan kain sutera
di Negeri China kerana barang tersebut dianggap mahal dan sukar
diperolehi. Di Malaysia, barangan yang dihantar adalah seperti sebentuk
cincin emas, hadiah pakaian persalinan, kain dan wang tunai kepada
pengantin perempuan. Sekiranya pihak lelaki tidak menyediakan barang
hantaran yang cukup, sejumlah wang tunai akan diberikan menggantikan
barang hantaran yang tidak cukup seperti membeli emas, barang-barang
perhiasan, alat solek dan kelengkapan seorang isteri. Keluarga pengantin
perempuan juga akan diberitahu tarikh perkahwinan dan rundingan dibuat
jika terdapat halangan atau bantahan. Mas kahwin dianggap sebagai
tebusan dan bayaran ganti rugi kepada keluarga pengantin perempuan
yang telah bersusah payah membesarkannya. Kebiasaan mas kahwin
akan diserahkan kepada pengantin perempuan untuk digunakan dalam
majlis jamuan makan. Semakin besar nilai mas kahwin, semakin tinggi
martabat dan kedudukan pengantin lelaki. Mas kahwin yang tidak
mencukupi akan menjejaskan air muka pengantin perempuan. Oleh itu,
3
mas kahwin harulah setimpal dengan taraf dan kekayaan keluarga
pengantin perempuan. Kekayaan dan wang penting dalam hidup
berkelamin agar menjadi lebih bahagia. Begitulah pendapat dan nilai
orang Cina terhadap nilai mas kahwin.
2.2 Upacara Perkahwinan Kaum Cina
Perkahwinan penting untuk mengekalkan institusi keluarga. melalui
perkahwinan, keturunan nenek moyang dapat dapat diteruskan daripada
satu generasi kepada satu generasi yang lain. Bagi orang Cina,
pasangan yang kahwin tanpa melalui aturan yang digariskan oleh adat
adalah tidak sah. Terdapat dua bentuk perkahwinan dikalangan orang
Cina, iaitu pasangan dicari oleh ibubapa atau saudara-mara, atau
pasangan hidup dipilh sendiri. Cara pertama tidak begitu diamalkan
kerana dianggap kolot pada masa sekarang. Cara kedua adalah lebih
praktikal kerana seseorang diberikan kebebasan untuk memilih jodoh
mereka. Ibubapa biasanya akan menurut kehendak anak mereka. Unsur
paksaan tidak digalakkan dalam pemilihan kerana hal ini menafikan
kematangan dan kemampuan anak mereka membuat keputusan.
2.3 Pakaian pengantin
Pada hari perkahwinan, pengantin lelaki dan pengantin perempuan dihias
indah. Masyarakat cina pada zaman dahulu memakai pakaian pengantin
yang diperbuat daripada kain sutera dan disulami dengan sulam
emas.Kebiasaannya warna merah dipilih bagi menggambarkan nasib
yang baik. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, warna yang terang
boleh menghalau roh-roh jahat daripada mendekati mereka. Pada masa
dahulu, tudung bewarna merah akan dipakai oleh pengantin perempuan
untuk menutupi mukanya sepanjang majlis perkahwinan berlangsung.
Pengantin baru ini hanya akan melihat satu sama lain untuk kali pertama
pada malam perkahwinan tersebut. Pada masa sekarang, hanya terdapat
segelintri masyarakat cina yang masih mengamalkan amalan ini.
4
Pasangan Pengantin Lelaki dan Perempuan dengan busana tradisional
Pakaian tradisional pengantin perempuan
5
2.4 Tandatangan Kain
Tandatangan Kain ialah kain akan dibentangkan di atas meja di pintu
masuk, di mana tetamu akan menandatangan nama mereka dan menulis
restu mereka. Kain yang disulam ini akan disimpan oleh pasangan
pengantin sebagai kenangan seperti juga bunga dan baju pengantin.
Pada masa sekarang, masyarakat Cina kebanyakkannya
menggunakan buku atau album yang disebut ‘guest book’.
Kain merah untuk ditandatangani tetamu
6
Kain merah yang sedang ditandatangani tetamu
Guest Book Moden
2.5 Tanda Kebahagiaan dan Sampul Merah
Tanda Kebahagian merupakan hiasan paling penting dalam majlis
perkahwinan masyarakat Cina. Kebanyakannya diukir pada serpihan
logam atau kertas dan kemudiannya akan ditampal pada pintu masuk
rumah kedua-dua keluarga dan juga dibahagian meja jemputan.
Potongan kecil tanda kebahagian ini turut dilekatkan pada kenderaan
pengantin. Sampul merah akan digunakan pada setiap perayaan
masyarakat Cina seperti majlis perkahwinan, Tahun Baru Cina dan
sebagainya.
7
Tanda kebahagiaan yang dicetak pada kertas
8
Tanda kebahgiaan pada kepingan logam
Sampul merah yang sering digunakan masyarakat Cina
9
2.6 Upacara Menghias Rambut Pengantin Perempuan
Pada pagi hari perkahwinan, upacara menghias rambut akan dijalankan
ke atas pengantin perempuan. Wanita yang dianggap mempunyai nasib
yang baik akan datang untuk menolong menghias rambut pengantin
perempuan bersama-sama wanita yang masih mempunyai ibubapa,
suami isteri dan anak-anak mereka. Wanita-wanita ini akan
mengucapkan kata-kata yang baik ketika mengikat sanggul pengantin
perempuan dalam cara wanita yang sudah berumah tangga.
Anggota keluarga yang bertungkus-lumus menyiapkan pengantin
perempuan
10
Rambut pengantin perempuan yang telah siap disanggul dan dihias
2.7 Upacara Pengantin Lelaki menjemput Pengantin Perempuan
Menurut buku Adat dan Pantang Larang Orang Cina oleh Ann Wan Seng
pada hari perkahwinan berlangsung, pengantin lelaki akan pergi ke
rumah pengantin perempuan untuk mengambilnya balik ke rumah
pengantin lelaki. Pengantin lelaki akan hadir pada majlis tersebut
bersama beberapa sanak saudara yang terdekat. Tujuan diadakan
jamuan makan ini ialah untuk mengenalkan pengantin lelaki kepada
pengantin perempuan. Jamuan makan pengantin perempuan bukanlah
sesuatu yang wajib tetapi terpulang kepada keluarga pihak pengantin dan
bergantung kepada kemampuan dan warisan turun temurun. Apabila
sampai di rumah pengantin perempuan, anak buah pengantin perempuan
akan membuka pintu kereta untuk pengantin lelaki keluar dari kereta.
Angpau akan diberikan kepada anak buah tersebut sebagai hadiah atau
ganjaran.
11
Ketibaan pengantin lelaki
Pengantin perempuan menyambut pengantin lelaki
2.8 Upacara Pemujaan Nenek Moyang
Seterusnya upacara pemujaan nenek moyang akan dijalankan. Orang
tengah yang ‘Sam Poh’ perlu ada untuk memastikan kelancaran upacara
tersebut. Tugas ‘Sam Poh’ adalah memimpin dan menunjukkan cara-cara
yang betul untuk melakukan upacara pemujaan kepada pasangan
pengantin. Upacara pemujaan nenek moyang dikenali sebagai Kow Tau
iaitu tunduk tiga kali kepada papan nenek moyang. Kow tau dilakukan
oleh mereka yang lebih muda penting sebagai pernyataan hormat
12
terhadap anggota keluarga yang lebih tua dan penerimaan kehadiran
‘orang baru’ dalam keluarga mereka.
Sam Poh yang memimpin pengantin mematuhi adat perkahwinan
mereka
Upacara pemujaan nenek moyang
13
2.9 Upacara Mempersembahkan Teh.
Kemudian, pasangan pengantin perlu mempersembahkan teh kepada ibu
bapa pengantin perempuan. Ibu bapa pengantin perempuan akan
memberikan hadiah kahwin atau angpau kepada mereka. Menurut Encik
Tan Been Hong, upacara minum teh sangat penting kerana ingin
mewujudkan perasaan kekal menghormati orang tua walaupun sudah
berumah tangga. Menyembah orang yang lebih tua juga sebagai tanda
berterima kasih diatas penjagaan dan perlindungan yang diberikan
kepada pengantin perempuan. Encik Tan Been Hong juga berkata,
hadiah kahwin yang diberikan adalah sebagai bekalan untuk pasangan
pengantin menempuh alam baru iaitu alam berumah tangga bersama.
‘Sam Poh’ turut mendapat angpau sebagai upah menjadi orang penting
dalam upacara Kow Tau. Upacara menjamu teh turut diadakan untuk
abang, kakak dan saudara tua yang terdekat.
Pengantin mengambil teh untuk diberikan kepada ibu bapa
14
Upacara menjamu teh kepada ibu bapa
Teh dihulurkan dengan penuh hormat
15
Pengantin menerima ang pau dari ibu bapa
2.10 Perjalanan Pergi dan Upacara di Rumah Pengantin Lelaki
Manakala di rumah pengantin lelaki pula, jamuan kecil diadakan kepada
saudara-mara, sahabat dan jiran tetangga pengantin serta keluarganya.
Rumah pengantin lelaki turut dihias dengan cantik seperti langsir, cadar,
kusyen dan perabot di dalam rumah dihiasi dengan warna merah. Baju
pengantin adalah seeloknya berwarna putih, merah dan kuning. Warna
yang gelap adalah dilarang kerana melambangkan kematian dan
kesedihan seperti warna hitam, biru dan kelabu. Perjalanan ke rumah
pengantin perlu dibuat dalam kedudukan arah yang tidak bertentangan.
Jika terdapat kematian berhampiran tempat kediaman pengantin,
pengantin perlu mengggunakan jalan alternatif supaya tidak bertembung
dengan keranda, kereta mayat dan orang mati. Hal ini kerana
malapetaka, bencana, nasib sial dan rumah tangga tidak berpanjangan
dikhuatiri akan menimpa pasangan pengantin tersebut. Pasangan
pengantin juga tidak digalakkan melihat atau turut serta dalam upacara
kematian.
16
Hiasan di rumah pengantin lelaki yang
menggunakan warna merah
Apabila pengantin perempuan sampai ke rumah pengantin lelaki
bermaksud pengantin perempuan telah menjadi sebahagian daripada
keluarga pengantin lelaki. Setelah pengantin perempuan tiba di rumah
pengantin lelaki, bunga api dan muzik dengan bunyi gong dan drum akan
dimainkan untuk menyambut ketibaannya. Pengantin perempuan akan
melangkah di atas besen besi yang mempunyai colok yang menyala. Ia
merupakan upacara untuk membawa kebahagiaan dan menjauhkan roh-
roh jahat. Menurut Encik Tan Been Hong, upacara melangkah diatas
besen besi sudah tidak dibuat lagi kerana masyarakat cina sudah banyak
meninggalkan adat dan terlalu moden pada masa sekarang. Ketika di
rumah pihak lelaki, pasangan pengantin tersebut akan melutut sebanyak
tiga kali kepada syurga dan bumi, nenek moyang dan ibubapa mereka.
Pasangan terbabit akan tunduk antara satu sama lain dan selepas itu,
pengantin perempuan akan memberikan minuman teh kepada keluarga
dan saudara-mara mengikut pangkat. Kebiasaanya, mereka yang
17
menerima minuman teh akan memberikan hadiah berbentuk barang
kemas atau Li Shi kepada pengantin perempuan. Oleh itu, pasangan
pengantin perlu menyembah dan menjamu roh kepada nenek moyang
untuk mendapatkan restu dan rahmat. Selesai upacara menjamu teh,
sahlah mereka menjadi suami isteri.
Pasangan Pengantin Tunduk antara 1 sama lain
Pengantin perempuan akan dibawa masuk ke dalam bilik pengantin
dengan ditemani beberapa orang untuk beristirehat. Terdapat beberapa
peralatan pelik seperti tempat membuang najis, kolah air dan sebagainya
di dalam bilik pengantin supaya cepat memperoleh cahaya mata.
2.11 Makanan yang Dihidangkan Semasa Majlis
Beberapa jenis makanan akan dihidangkan di majlis perkahwinan
masyarakat Cina yang membawa maksud yang tertentu seperti ikan yang
melambangkan kekayaan, anak babi panggang yang melambangkan
kesucian, ayam yang dimasak dengan minyak merah melambangkan
kebahagiaan, udang galah bererti keserasian dan juga pau. Manakala
"kek kebahagiaan" yang juga dikenali sebagai kek naga dan burung
phoenix akan diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan untuk
18
dipersembahkan beberapa bahagian daripada kek tersebut untuk tujuan
memuja nenek moyang dan diagihkan kepada saudara dan rakan-rakan.
Beberapa jenis makanan yang biasa dihidangkan dalam majlis
perkahwinan cina
19
Kek yang dikenali sebagai kek kebahagian
Motif burung Phoenix dan naga yang terdapat pada kek
kebahagian
20
2.12 Upacara Kemuncak
Kemuncak hari pekahwinan bagi kaum cina adalah jamuan makan yang
diadakan pada waktu malam. Para jemputan yang datang akan
membawa angpau dan menandatangani buku daftar kedatangan. Waktu
jamuan makan ada malam tersebut, ahli keluarga pengantin lelaki dan
perempuan akan diperkenalkan kepada para tetamu. Untuk jamuan
makan malam tersebut ada sehingga seratus meja diperuntukkan untuk
para tetamu, keluarga dan sehabat pengantin dan ahli keluarga
pengantin. Persembahan kugiran mahupun karaoke diadakan untuk
menghiburkan tetamu. Pada masa kini, orang cina akan mengadakan
jamuan di restoran dan hotel-hotel kerana lebih mudah diuruskan
walaupun menelan belanja yang agak besar. Juadah yang sering
dihidangkan kepada tetamu adalah seperti Oh Put,ikan, udang, ayam,
daging khinzir, air buah-buahan, nasi goreng dan pau kecil. Hidangan
arak merupakan hidangan yang diwajibkan. Pada zaman
dahulu,pasangan pengantin berkenaan akan meminum arak daripada
dua cawan yang diikat bersama oleh tali bewarna merah dan
menyilangkan tangan sesama mereka. Mengikut kebudayaan masyarakat
Cina, perbuatan ini merupakan ikatan janji perkahwinan yang biasa
dilakukan ketika perkahwinan. Kemudian, pengantin perempuan akan
diberikan ladu separuh masak dan akan ditanya sama ada ia ladu
tersebut mentah. Pengantin perempuan haruslah menjawab "mentah"
melambangkan dia akan melahirkan anak dan menunjukkan keluarga
yang bahagia. Menurut Encik Tan Been Hong adat mengikat tali merah
pada dua cawan dan ladu tidak lagi dilakukan pada masa kini. Pada
masa kini banyak adat yang telah dimansuhkan untuk memudahkan
perjalanan majlis.
21
Suasana majlis di pihak pengantin lelaki
Pada masa sekarang pasangan pengantin digalakkan bergaul dengan
para tetamu dengan berjalan dari meja ke meja dan meneguk arak
bersama mereka. Perbuatan meneguk arak atau menjemput orang untuk
meneguk arak sebagai Yam Sing.
22
Meneguk arak bersama tetamu yang dikenali sebagai Yam sing
Terdapat satu permainan yang popular sewaktu jamuan makan malam
iaitu memakan epal. Sebiji epal akan diikat pada seutas benang,
pengantin lelaki dan perempuan diminta memakan epal tersebut secara
serentak. Apabila mulut pengantin mencecah epal, benang ditarik lalu
menyebabkan mulut pengantin perempuan dan lelaki akan bertemu
seolah-olah bercium. Tetamu akan bersorak dan menjerit kerana berjaya
mengenakan pengantin. Permainan ini adalah untuk menghilangkan
perasaan malu pengantin.
2.13 Upacara Menandatangani Buku Daftar Perkahwinan
Upacara perkahwinan bagi orang cina akan berakhir apabila pasangan
pengantin menandatangani buku daftar perkahwinan sebagai tanda
termeterai sebuah ikatan kasih sayang yang sejati dan selama-lamanya.
Wajah pengantin perempuan akan berseri – seri dengan pakaian moden
atau tradisi manakala pengantin lelaki akan senyum menandakan
berkahirnya keresahan dan kegelisahan hidup membujang. Perkahwinan
orang cina bukan sekadar menghalalkan hubungan kelamin tetapi untuk
melanjutkan keturunan keluarga.
23
Wajah Ceria Pasangan Pengantin
2.14 Selepas upacara perkahwinan.
Sehari selepas hari perkahwinan, pengantin perempuan seharusnya
bangun lebih awal dan menyediakan makanan untuk keluarga pengantin
lelaki. Ini akan menggambarkan pengantin berkenaan diasuh dengan
baik dan layak untuk menjadi isteri kepada pengantin lelaki
2.15 Penangguhan Majlis Perkahwinan
Jika terdapat kematian di kalangan keluarga terdekat seperti ibu,
bapa,datuk atau nenek keluarga pengantin meninggal dunia,
perkahwinan yang dirancang perlu ditangguhkan dahulu. Bakal pasangan
pengantin tersebut perlu menangguhkan perkahwinan setahun sebelum
perkahwinan tersebut disambung. Ini adalah kerana tidak manis
mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung
kesedihan. Adat lama perlu menunggu selama setahun telah
dilonggarkan menjadi 100 hari oleh orang cina pada zaman kini yang
lebih moden. Hasil temu bual bersama Encik Tan Been Hong
24
mengatakan bahawa orang cina pada zaman kini sudah moden dan tidak
lagi mengamalkan adat-adat perkahwinan untuk menjimatkan masa. Jika
ada kematian di dalam keluarga yang terdekat, orang cina hanya
menangguhkan perkahwinan selama tiga bulan kemudian
melangsungkan perkahwinan mereka.
2.16 Perkahwinan hantu
Orang cina percaya selepas kematian ada kehidupan di dunia lain. Di
dunia orang mati, roh – roh menjalani kehidupan yang sama mereka
masih hidup. Mereka yang mati dalam usia muda dan masih bujang juga
mempunyai keinginan untuk berumah tangga. Tujuan mengahwinkan
orang yang meninggal dunia ialah supaya zuriat dan keturunan sesebuah
keluarga dapat dilanjutkan. Contohnya, terdapat sebuah keluarga cina
yang hanya mempunyai seorang anak lelaki yang telah meninggal dunia.
Ini bermakna bahawa zuriat keturunan keluarga tersebut akan terputus.
Jadi, untuk memastikan tradisi pemujaan nenek moyang dapat
diteruskan, orang cina mempunyai satu adat untuk mengahwinkan orang
yang telah mati dengan wanita yang masih hidup. Perkahwinan hantu ini
juga boleh dibuat sesama orang yang telah meninggal dunia.
Orang cina mencari calon isteri untuk anak lelakinya yang telah mati
dengan memberi sejumlah wang kepada keluarga perempuan yang
hendak dikahwini. Calon isteri boleh terdiri daripada kekasih, kenalan
atau orang asing. Upacara perkahwinan ini dijalankan seperti biasa, iaitu
calon isteri itu akan meletakkan papan si mati di atas ribanya dan
melakukan upacara Kow Tau kepada ibubapa dan nenek moyang suami.
Selepas upacara ini, gadis tersebut sah menjadi ahli keluarga si mati
kemudian boleh mengambil seorang anak angkat untuk meneruskan
zuriat keturunan.
25
Salah seorang wanita yang dikahwinkan dengan si mati
Perkahwinan sesama orang yang telah meninggal dunia boleh dilakukan
dengan persetujuan keluarga kedua-dua belah pihak. Wakil daripada
keluarga pihak lelaki dan keluarga wanita akan membawa papan kedua-
dua si mati untuk melakukan upacara perkahwinan. Penyatuan papan ini
bermakna penyatuan secara lahiriah di antara roh lelaki dengan roh
perempuan. Kadang – kadang upacara perkahwinan hantu tidak perlu
dilakukan kerana si mati sudah mempunyai jodoh atau tidak, seorang
pawing akan menyeru roh itu datang kedunia nyata. Roh orang mati dan
mereka yang masih hidup boelh berintereksi antara pawing itu. Apbila
upacara perkahwinan hantu dilaksanakan dengan sempurna, maka salah
seorang anak saudara yang terdekat akan dijadikan anak kepada
pasangan si mati itu. Dengan itu, secara tidak langsung keluarga si mati
telah mempunyai waris. Menurut encik tan been hong, upacara
perkahwinan dengan orang mati tidak lagi dijalankan oleh masyarakat
sekarang. Hanya segelintir saja masyarakat cina yang mengamalkan
upacara ini tetapi sangat sedikit bilangannya.
26
3.0 PENUTUP
Setiap kaum mengamalkan berkahwin sebagai jalan untuk menghalalkan
hubungan intim dan menambahkan zuriat dalam setiap keluarga. Begitu juga
masyarakat Cina yang mementingkan perkahwinan sebagai cara untuk memastikan
kelangsungan keturunan mereka. Mereka mempunyai pelbagai upacara dan
kepercayaan yang menarik sepanjang melangsungkan sesebuah majlis perkahwinan itu.
Kepelbagaian budaya dan adat resam setiap bangsa yang terdapat dinegara ini perlulah
diteruskan sebagai khazanah Negara ini yang unik kerana mempunyai pelbagai bangsa.
Namun begitu kepelbagaian budaya ini menuntut supaya setiap rakyat Malaysia
menghormati dan tidak memandang rendah kepada budaya kaum yang berlainan.
27