4.0 SEPULUH LANGKAH MEWUJUDKAN MATLAMAT HIDUP
Matlamat secara ringkasnya bermaksud sesuatu yang ingin anda capai. Lazimnya,
matlamat akan melibatkan penggunaan masa dan usaha yang bersungguh-sungguh. Langkah
pertama dalam penetapan matlamat ialah memupuk kemahuan yang berkobar-kobar. Semakin
besar kemahuan kita, semakin bersemangat hendak mencapai sesuatu perkara, semakin tinggi
kebarangkalian untuk mencapai matlamat tersebut. Kemahuan yang berkobar-kobar mampu
menyemarakkan lagi kekuatan untuk kita terus mara ke depan, mengatasi sebarang bentuk
masalah, resahan, kegagalan dan penghalang. Kemahuan ini hendaklah berbentuk peribadi.
Setiap kali kita terfikir tentang menetap matlamat hidup, tidak kira apa matlamat sekalipun;
matlamat tersebut perlulah milik kita sepenuhnya. Hal ini boleh memotivasikan diri kita dan
bukan menjadi ikutan daripada permintaan orang lain. Pendek kata, kita perlulah jujur dengan
diri sendiri.
Kedua, membina keyakinan diri. Setiap kejadian dunia di luar adalah suatu bayangan
dunia dalaman kita, dan dunia dalaman kita adalah terbina daripada hal-hal yang kita yakin.
Manakala, kepercayaan pula bermaksud hal yang paling kita yakin dalam jiwa raga. Kita perlu
memastikan diri kita mampu mencapai matlamat hidup yang telah ditetapkan. Kita perlu percaya
secara menyeluruh tentang keupayaan kita untuk memerolehinya. Mulakan dengan matlamat
yang kecil dan capai matlamat tersebut. Seterusnya mengejar matlamat hidup ke tahap yang lebih
besar. Justeru, kita akan lebih yakin dan mempercayai diri sendiri dalam mencapai matlamat
hidup yang telah kita tetapkan.
Langkah ketiga, tuliskan matlamat hidup pada kertas atau bahan lain yang boleh nampak
untuk dibaca. Jika matlamat tersebut ditulis dengan jelas, kita dapat mencorakkan rancangan
secara teliti dan terperinci untuk ke peringkat seterusnya. Apabila matlamat hidup ini menjadi
jelas, matlamat akan menjadi suatu gambaran yang menyeluruh. Minda separa sedar akan mula
terjaga dan berkata, “wow, nampaknya ini suatu yang benar.” Kita tidak akan lari daripada janji
untuk mengejar matlamat hidup tersebut.
Langkah keempat, tanya diri sendiri satu soalan, “Mengapa kita hendak melakukannya?”
Soalan ini membawa dua tujuan, yang pertama, “ia memastikan matlamat hidup ini sebagai
matlamat hidup kita. Tujuan kedua, soalan ini akan menguatkan azam kita untuk mengecapi
matlamat hidup tersebut. Semakin banyak sebab disebalik tindakan kita, azam untuk mencapai
matlamat hidup menjadi semakin kuat, keupayaan kita juga akan meningkat.
Langkah ke lima, fahami dan analisis tahap kedudukan kita sekarang. Bila kita tahu dan
sedar akan cara memulakan tindakan, maka langkah seterusnya menjadi lebih mudah. Untuk
mengetahui kedudukan kita sekarang, kita perlu mengkaji kekuatan dan kelemahan diri,
seterusnya senaraikan bidang yang perlu kita pelajari. Apa yang dapat saya perkatakan daripada
pengajaran lalu, satu daripada kelemahan seseorang individu dalam membina matlamat hidup
ialah terlalu gopoh mengatur strategi tindakan tanpa menilai terlebih dahulu landasan yang
mereka miliki.
Langkah keenam ialah mendirikan tarikh pencapaian yang dihasratkan. Matlamat hidup
yang tidak mempunyai tarikh akhir tidak dikenali sebagai suatu matlamat. Selain itu, kita perlu
menetapkan satu tarikh pencapaian mini. Hal ini bermaksud jika kita membentuk matlamat
tahunan, kita juga perlu mendirikan matlamat bulanan, dua matlamat setengah tahun dan empat
matlamat suku tahun. Kita juga perlu mendirikan sistem penghargaan diri untuk menguatkan
kemahuan dan mencetuskan kesungguhan yang berkobar-kobar.
Langkah ketujuh ialah mengenalpasti semua penghalang yang membantutkan
perkembangan matlamat kita. Makna kejayaan juga berlandaskan penghalang. Tidak ada
kejayaan yang tidak terbina oleh penghalang. Sepanjang masa kita berjuang menuju matlamat,
setiap penghalang yang kita temui adalah untuk membantu diri kita mencapai matlamat. Maka,
amatlah penting untuk mengenal dan menyenaraikan semua penghalang dan kemudian
aturkannya mengikut keutamaan. Penghalang yang terpenting hendaklah diselesaikan dahulu
dengan bersungguh-sungguh. Hal ini disebabkan penghalang yang terbesar merupakan batu
besar yang bakal menghalang perjalanan kita.
Langkah kelapan ialah mengenalpasti ilmu dan kepakaran yang perlu kita miliki. Kita
hidup dalam dunia yang berlandaskan ilmu pengetahuan. Tidak kira apa matlamat hidup yang
dihajatkan, kita pasti memerlukan banyak ilmu pengetahuan untuk mendokong perlaksanaannya.
Hal yang perlu diingat ialah kita haruslah terus memajukan diri dengan membaca buku,
mengikut seminar dan menerapkan lebih banyak ilmu pengetahun untuk mencapai matlamat kita.
Terlebih dahulu, kita perlu tahu dan peka akan bidang ilmu yang kita mahukan. Seterusnya,
aturkan bidang ilmu yang perlu dicari mengikut keutamaan. Tambahan lagi, kita perlu
mengunakan teknik bertanya untuk mencapai kejayaan anda. Sentiasa bertanya pada orang lain
merupakan pendekatan penting dalam kejayaan kita.
Langkah kesembilan ialah menjadikan matlamat hidup sebagai suatu gambaran minda.
Teknik gambaran ini jauh lebih penting dari semua langkah sebelum ini. Teknik ini meminta kita
menjadikan matlamat hidup sebagai suatu turutan bersiri dalam minda dan bayangkan akibat
yang bakal dikecapi. Lihat diri kita pada tahap bahawa kita telah berjaya. Terus bayangkan siri
gambaran ini dalam layar minda dan terus lakukan bayangan ini sehingga minda kita menerima
kenyataan tersebut. Terus lakukan dengan bersungguh-sungguh bagi mendirikan imej minda
yang nyata. Kita juga perlu mengulangi proses yang sama pada setiap ketika untuk mengingatkan
pencapaian matlamat tersebut. Imej ini pasti akan melekat dengan kuat dalam Minda Separa
Sedar.
Langkah kesepuluh, gunakan kecekalan yang kukuh menyusuri matlamat kita sehingga
berjaya. Kejayaan kita berlandaskan keupayaan untuk meneruskan perjuangan lebih lama
daripada orang lain. Aabila setiap perkara di sekitar kita telah kecundang, satu pilihan yang
perlu ditegakkan ialah meneruskan usaha dan tidak mengalah. Hal ini bermaksud kecekalan
membuahkan hasil yang dihasratkan. President Britain, Winston Churchil diminta
menyampaikan suatu ceramah yang pendek dalam suatu persidangan universti. Beliau diminta
menjelaskan sebab dan cara beliau berjaya. Dalam ucapannya, beliau hanya menggunakan enam
perkataan untuk menggambarkan sebab kejayaan dirinya, iaitu, “ jangan sekali anda melepaskan
tangan”.
(862 patah perkataan)
Top Related