KAJIAN MASYARAKAT CINA
AAEA2305
NAMA PELAJAR: NAHUI IMM (TEA070065)
TING YIING YIING (TEA070113)
NAMA PENGAJAR: THOCK KER PONG
TAJUK TUGASAN:SOALAN 2
Soalan 2:Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mulai tahun 1971 telah
mendatangkan impak kepada kegiatan ekonomi orang cina. Setujukah anda
dengan pendapat ini? Bagaimanakah usahawan-usahawan cina dapat
mengadaptasikan diri mereka dengan cabaran-cabaran natijah daripada
pelaksanaan DEB dan semangatnya?
Pengenalan
Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan satu program sosioekonomi di
Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Perdana Menteri Tun
Abdul Razak Dato' Hussein. Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai
perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam konteks
strategi serampang dua mata untuk mengurangkan dan akhirnya membasmi
kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-
peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan
mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk
memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan
seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
Namun dasar ini telah digantikan dengan Dasar Pembangunan
Nasional(DPN) pada tahun 1991.
Latar belakang
Perlaksanaan dasar pecah dan perintah Inggeris telah mengeruhkan
perpaduan masyarakat di Tanah Melayu. Pengelasan kaum merujuk kepada
pekerjaan dan sistem pelajaran yang berbeza. Melalui dasar ini orang Melayu
kebanyakannya menetap di kawasan luar bandar ataupun kampung dan
bekerja sebagai nelayan dan petani, orang Cina menetap di kawasan bandar
dan kawasan perlombongan serta bekerja sebagai peniaga dan pelombong
bijih timah, manakala orang India kebanyakannya tinggal di kawasan ladang-
ladang dan bekerja sebagai buruh. Hal ini secara tidak langsung telah
mewujudkan perasaan prasangka antara satu sama lain yang akhirnya
mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969.
Peristiwa berdarah yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah mendedahkan
manifestasi sebenar perasaan tiga etnik yang terbesar di Malaysia. Semenjak
negara Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, didapati
bahawa bangsa Melayu masih ketinggalan dari segi penguasaan ekonomi
dan pendidikan di Tanah Melayu memandangkan majoriti orang Melayu
tinggal di luar bandar. Manakala orang Cina pula telah menguasai bidang
perniagaan dan bidang ekonomi lain memandangkan mereka tinggal di
kawasan bandar dan menguasai kawasan perlombongan. Lantas timbul
kesedaran di kalangan orang Melayu yang dapat merasakan bahawa mereka
telah tertinggal dan tertindas di bumi sendiri akibat kemiskinan. Bagi
masyarakat Cina dan India pula, mereka bimbang tentang syarat-syarat hak
kerakyatan.
Semenjak pendudukan Jepun pada perang Dunia Kedua, pihak Jepun
mengamalkan dasar yang anti-Cina dan pro-Melayu telah membangkitkan
kemarahan dan prasangka orang Cina terhadap orang Melayu. Apabila Jepun
menyerah kalah dan sebelum ketibaan Inggeris, orang Cina yang
kebanyakannya merupakan anggota Bintang Tiga (Parti Komunis Malaya)
telah mengambil kesempatan untuk membalas dendam. Oleh sebab,
kebanyakan orang Cina menganggotai Parti Komunis Malaya manakala
kebanyakan orang Melayu menganggotai pasukan keselamatan ketika zaman
darurat pada 1948–1960, memburukkan lagi keadaan.
Penyingkiran Singapura dari Malaysia pada tahun 1965 akibat konsep
"Malaysia untuk orang Malaysia" yang secara tidak langsung turut
mempertikai kedudukan dan hak istimewa orang Melayu telah diapi-apikan
oleh Lee Kuan Yew dan akhirnya menyemarakkan lagi perasaan anti-Cina
dan anti-Melayu. Kejadian-kejadian tersebut akhirnya menyebabkan
berlakunya peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969. Ia telah mengorbankan
banyak nyawa dan harta-benda. Ini menyebabkan hubungan antara kaum-
kaum di Tanah Melayu terjejas dan semakin renggang. Peristiwa 13 Mei 1969
berlaku sebaik sahaja keputusan pilihan raya umum 1969 diketahui.
Kacau-bilau dan pertumpahan darah yang berlaku pada 13 Mei 1969 itu
telah memaksa kerajaan untuk mengisytiharkan perintah darurat.
Pengisytiharan ini telah menyebabkan sistem kerajaan berparlimen
digantung. Atas perakuan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong telah
melantik Tun Razak bin Dato Hussein, Timbalan Perdana Menteri pada waktu
itu sebagai pengarah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang
bertanggungjawab menjalankan kuasa pemerintahan bagi Persekutuan
berdasarkan kuasa yang diwakilkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Majlis Perundingan Negara telah ditubuhkan bagi memastikan
keberkesanan MAGERAN, Majlis Perundingan Negara yang
bertanggungjawab untuk membincang dan meneliti isu-isu perpaduan negara
serta mencari jalan menyelesaikan masalah masyarakat berbilang kaum.
Majlis ini mendapati satu masalah yang paling ketara yang dikenal pasti ialah
struktur masyarakat majmuk di Malaysia. Adalah didapati bahawa masyarakat
Malaysia masih terbahagi atas dasar keturunan, agama dan pekerjaan.
Perpaduan yang hendak dicapai bukan sahaja melibatkan penyatuan kaum
sahaja tetapi adalah penyatuan ekonomi dan sosial juga perlu dilakukan.
Sehubungan dengan itu, Majlis Perundingan Negara telah bersetuju
membentuk satu ideologi negara yang kemudiannya dikenali sebagai Rukun
Negara yang mempunyai lima prinsip utama iaitu:
Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-Undang
Kesopanan dan Kesusilaan
Dasar Ekonomi Baru juga dibentuk menerusi Majlis Perundingan Negara
sebagai jentera penggerak untuk membasmi kemiskinan dan menyusun
semula masyarakat.
Dasar Ekonomi Baru
Dasar Ekonomi Baru merupakan satu bentuk perancangan yang
dilancarkan oleh kerajaan dalam tahun 1970 melalui Rancangan Malaysia
Kedua. Matlamat utamanya ialah perpaduan negara. Ia juga bertujuan untuk
menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di negara
ini. Menyedari hakikat bahawa pengagihan ekonomi yang seimbang penting
demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, serta mengambil kira
kemiskinan dan ketidakupayaan sesetengah kaum untuk bersaing dengan
kaum yang lain, maka Dasar Ekonomi Baru telah diwujudkan untuk
memperbaiki keadaan tersebut.
Ketegangan antara golongan yang berharta dan yang tidak berharta
adalah berpunca daripada isu kemiskinan. Didapati bahawa orang Melayu
lebih banyak menghadapi kemiskinan berbanding kaum-kaum yang lain.
Orang Melayu masih jauh ketinggalan dan kurang mampu bersaing dengan
kaum-kaum lain walaupun Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang
baik. Dasar Ekonomi Baru dirancang sebagai satu program jangka panjang
yang akan berjalan selama 20 tahun, iaitu bermula dari tahun 1970 hingga
tahun 1990. Rancangan-rancangan pembangunan di bawah Dasar Ekonomi
Baru dijalankan menerusi :
penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya
menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.
pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum;
Bagi memastikan matlamat untuk menghapuskan kemiskinan tercapai,
strategi ditumpukan untuk menghapuskan kemiskinan di kawasan bandar dan
kawasan luar bandar. Berdasarkan banci penduduk 1970, didapati bahawa
kira-kira 49.3% daripada semua keluarga miskin di Malaysia berpendapatan
di bawah garis kemiskinan dan kira-kira 86% daripada jumlah itu berada di
kawasan luar bandar. Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan telah
melaksanakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan awam melalui
kemudahan pendidikan, kesihatan, bekalan air dan elektrik. Di samping itu,
keutamaan juga diberikan kepada golongan miskin untuk mendapatkan
bantuan seperti program bantuan subsidi baja, biasiswa pelajaran dan buku
teks, makanan tambahan kepada kanak-kanak serta program rumah murah.
Menjelang tarikh akhir pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, matlamat untuk
membasmi kemiskinan telah tercapai. Laporan Rancangan Malaysia Keenam
telah menunjukkan bahawa kadar kemiskinan negara pada tahun 1990 ialah
17.1% berbanding 49.3% pada tahun 1970.
Bagi memastikan matlamat yang kedua dalam DEB turut tercapai,
kerajaan telah cuba memperbaiki keadaan ekonomi dan menghapuskan
pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi. Berasaskan pada
ketidakseimbangan antara kaum, kerajaan telah melancarkan beberapa
program seperti perindustrian dan perdagangan, pertanian, perlombongan,
pembinaan, pengangkutan dan pertanian. Bagi menjayakan matlamat yang
kedua, beberapa strategi telah dirancangkan seperti:
Struktur guna tenaga supaya penyertaan pelbagai kaum dalam sektor
utama menjelang tahun 1990.
Mempastikan pembentukan sebuah masyarakat perdagangan dan
perindustrian di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera supaya
mereka dapat menguruskan dan memiliki sekurang-kurangnya 30%
daripada semua jenis peringkat kegiatan ekonomi.
Menambah dengan cepat bahagian rakyat Malaysia dalam pemilikan
sektor produktif. Perhatian khusus akan ditumpukan kepada kaum
Bumiputera yang agak ketinggalan.
Meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin
di luar bandar.
Setelah tempoh Dasar Ekonomi Baru tamat, kerajaan telah menubuhkan
Dasar Pembangunan Nasional pada tahun 1991 yang merupakan
kesinambungan kepada perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru.
IMPAK DASAR EKONOMI BARU DALAM KEGIATAN EKONOMI CINA
Di Malaysia, masyarakat Cina membentuk lebih kurang 25 peratus
daripada jumlah penduduk seluruh Malaysia. Masyarakat cina bukan sahaja
menguasai bidang ekonomi tetapi juga memainkan peranan yang penting di
dalam politik dan pemerintahan negara. Kebanyakan daripada orang Cina
tinggal di kawasan bandar dan membentuk komunitinya yang tersendiri
sehingga terbentuk penempatan yang dikenali sebagai kampung baru.
Kedudukan ini membolehkan mereka hidup berdikari dan mampu membentuk
jaringan perniagaannya sendiri.
Keupayaan yang dicapai oleh masyarakat cina telah membawa
mereka kepada tonggak ekonomi di Malaysia. Namun hal ini juga memberi
kesedaran kepada kerajaan untuk memerhatikan kestabilan ekonomi di
kalangan pelbagai kaum di Malaysia. Maka Dasar Ekonomi Baru telah
dirancang supaya kaum-kaum yang lain mempunyai peluang dalam
menceburi bidang ekonomi supaya pasaran ekonomi tidak dimonopoli
sepenuhnya oleh masyarakat cina.
Walaupun Dasar Ekonomi Baru ini dikatakan satu dasar yang ingin
mencapai perpaduan negara dan memperbetulkan ketidakseimbangan
ekonomi dalam negara, namun pelbagai aspek bantuan ekonomi lebih
mengutamakan kaum melayu dan kaum bumiputera yang berkelompok kecil
supaya mereka mempunyai peluang pekerjaan dan juga meningkatkan
pendapatan ekonomi mereka. Hal ini secara tidak langsung akan
mempengaruhi kedudukan ekonomi masyarakat cina di Malaysia.
“oleh kerana terdapat bantuan kerajaan dalam perkembangan
perniagaan dan pembangunan luar bandar bagi orang-orang melayu,
maka terdapat tindakan tentangan yang dibuat oleh kaum-kaum yang
lain .”
(Khadijah Muhamed&Halimah Awang 1991:75)
Hal ini telah membuktikan terdapat tentangan dari pelbagai kaum
termasuk kaum cina di Malaysia semasa Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan
dengan jelasnya pelbagai bantuan telah diberikan kepada kaum melayu dan
Bumiputera.
Masyarakat cina memainkan peranan yang penting dalam
membangunkan ekonomi negara Malaysia. Tetapi masalah kecurigaan atau
prasangka di kalangan kaum-kaum di Malaysia masih wujud dan ia
merupakan salah satu tekanan yang perlu dihadapi oleh kaum cina apabila
kedudukan ekonomi mereka di Malaysia semakin hari semakin kukuh.
Sesetengah lapisan masyarakat beranggapan bahawa orang cina
merupakan pendatang asing yang dibawa masuk oleh pihak pemerintah
British sejak zaman dahulu lagi, namun pada masa kini masyarakat cina
mempunyai kedudukan ekonomi cina yang begitu kukuh jika dibandingkan
dengan kaum melayu dan bumiputera yang merupakan warga asal di Tanah
Melayu. Maka hal ini telah mengakibatkan wujudnya jurang perbezaan
ekonomi di antara berbilang kaum di Malaysia.
Dasar Ekonomi Baru telah berjaya menyelesaikan masalah yang
timbul atas suara bantahan tentang masalah perbezaan jurang ekonomi
pelbagai kaum tetapi ia juga mendatangkan masalah yang besar ke atas
ekonomi masyarakat cina kerana kebanyakkan peluang ekonomi kaum cina
telah diberikan kemudahan atau bantuan yang lebih kepada kaum-kaum yang
lain. Oleh sebab peningkatan sebanyak satu per tiga peluang pekerjaan
dalam sektor awam kepada orang melayu pada tahun 1970, ia telah
menyebabkan kedudukan ekonomi cina tergugat dan peluang pekerjaan
kaum cina dalam sektor awam semakin menurun.
Pada tahun 1985, peratusan orang cina yang bekerja dalam sektor
kerajaan adalah 27.1% berbanding dengan orang melayu yang bilangannya
mencecah 61.7%. Bilangan kaum cina yang terlibat dalam pengurusan
pentadbiran dan perhubungan awam adalah 6.3% pada masa kini yang telah
menurun sebanyak 20.8%.
Mengikut kata-kata Puan Chong Eng(2008), ahli parlimen Bukit
Mertajam di Pulau Pinang:
“Kita tidak boleh membiarkan Melayu merupakan penduduk
majoriti mendapat subsidi dari kerajaan. Hal ini telah jelas
menunjukkan bahawa masyarakat cina tidak puas hati dengan
tindakan kerajaan yang sentiasa memberi bantuan ekonomi kepada
kaum melayu dan tidak memberi prihatin dalam ekonomi kaum-kaum
yang lain pelbagai masalah ekonomi yang telah timbul impak
daripada Dasar Ekonomi Baru.”
(http://wengsan.blogspot.com/2008/02/orang-cina-mahukan-islam-yang-
adil.html)
Oleh demikian, Dasar Ekonomi Baru telah mendapat tentangan yang
hebat daripada kaum cina kerana dasar ini telah mendatangkan impak dan
merupakan bebanan kepada orang cina Malaysia. Objektif yang dikemukakan
dalam Dasar Ekonomi Baru dikatakan bersifat diskriminasi dan tidak adil
terutamanya terhadap orang cina .
Kewujudan ketidakadilan sosial yang melampau dan pengagihan
kekayaan dan pendapatan tidak sama rata yang serius di Malaysia
menyebabkan kegiatan ekonomi cina terjejas dan menurun di mana banyak
peluang pekerjaan diberi kepada orang melayu dan bumiputera serta hak
istimewa orang melayu dalam beberapa sektor ekonomi tertentu seperti
pengendalian perkhidmatan awam, angkatan tentera, polis, dan lain-lain.
Pemonopolian oleh kaum melayu dalam beberapa sektor ekonomi
seperti perkhimatan awam, angkatan tentera dan dalam penerokaan tanah
baru (FELDA) telah menyebabkan kekuatan ekonomi cina terhakis dan
mengancam kehidupan dan masa depan komuniti cina . Kewujudan Dasar
Ekonomi Baru bertindak sebagai penghalang kepada pelaburan swasta orang
cina dan seterusnya kepada pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh dalam
jangka panjang kerana ia menyekat inisiatif dan daya maju orang cina dalam
kegiatan ekonomi dengan mengenakan peraturan-peraturan yang ketat.
Disamping itu,masyarakat cina juga menganggap bahawa Dasar Ekonomi
Baru telah banyak mendatangkan kerugian dalam bidang ekonomi cina.
Menurut kata-kata Dr.Lim Keng Yaik bagi pihak Gerakan:
“Bukan Bumiputera secara keseluruhan menganggap mereka telah
kerugian akibat DEB yang dilihat sebagai memberi manfaat kepada
ramai sekali Bumiputera, terutamanya lapisan pertengahan dan atas
komuniti mereka. Lebih buruk lagi, bukan Bumiputera melihat
keuntungan-keuntungan yang didapati oleh Bumiputera sebagai telah
dicapai dengan menjejaskan kehidupan mereka.”
(Jack Parkison & Rais Saniman, 2005:179)
Selain itu, Bank Negara Malaysia telah membuka permohonan kredit
kepada kaum bukan bumiputera pada akhir tahun 1986 sedangkan sebelum
ini permohonan tersebut hanya dibuka kepada kaum Bumiputera kerana
peratusan pemohon bumiputera tidak mencukupi. Hal ini jelas menunjukkan
bahawa kerajaan Malaysia lebih mementingkan kaum Bumiputera jika
dibandingkan dengan kaum bukan Bumiputera.
Tidak syak lagi bahawa kata-kata beliau telah membuktikan bahawa
masyarakat Cina memang mempunyai anggapan bahawa Dasar Ekonomi
Baru ini secara langsung telah mendatangkan kesan buruk ke atas ekonomi
mereka.
Cara-cara Usahawan Cina Mengatasi Cabaran-cabaran Pelaksanaan
Dasar Ekonomi Baru
Oleh kerana kaum Melayu memiliki kekuasaan politik dan kaum Cina
mempunyai kelebihan dalam bidang ekonomi maka hubungan kedua-dua
kaum ini bersifat persaingan sejak dahulu lagi. Pelaksanaan Dasar Ekonomi
Baru telah mencetuskan ketidakpuasan perkauman. Masyarakat cina banyak
memprotes dan menentang dasar-dasar Negara yang pro-melayu
termasuklah Dasar Ekonomi Baru.
Apabila kita memerhatikan orang Cina, kita dapat mengetahui bahawa
bangsa cina merupakan kaum yang agak berhemah dalam isu-isu mengenai
hak kepentingan kaum mereka. Walaupun kaum cina mengfokus dalam
bidang pendidikan dan ekonomi, namun semasa pengenalan Dasar Ekonomi
Baru, kaum cina juga menghadapi tekanan ekonomi yang amat serius.
Usahawan-usahawan cina telah menggunakan pelbagai cara untuk
mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi semasa pelaksanaan dasar
tersebut.
1. Persatuan dan Parti-parti politik Cina
Dalam mengatasi masalah tekanan dari segi ekonomi cina, orang cina
telah menggunakan cara yang rasional. Contohnya orang cina mempunyai
banyak saluran untuk menyuarakan pandangan mereka sendiri melalui
organisasi-organisasi atau parti-parti politik cina. Bagi golongan cina yang
terdiri daripada peniaga-peniaga, mereka boleh menyuarakan masalah
mengenai ekonomi mereka dalam persatuan peniaga cina.
Pola tentangan bermula daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang
bertindak sebagai kumpulan pertama yang memimpin serangan di mana
selepasnya diikuti oleh Persatuan Cina Malaysia (MCA), Gabungan Dewan
Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
DAP menyokong kesamaan ras dan konsep ‘Malaysia untuk rakyat
Malaysia’sambil bersedia membuat konsesi dengan menerima bahasa
Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Encik Lim Kit Sing(2005), Setiausaha Agung DAP menyatakan bahawa
DAP menerima objektif-objektif DEB mengenai pencapaian perpaduan
negara melalui penghapusan kemiskinan tidak kira ras, dan penstrukturan
semula masyarakat Malaysia untuk menghapuskan pengenalpastian ras
dengan pekerjaan, kerjaya dan tempat tetapi mengemukakan syarat bahawa
DEB perlu memberi jaminan bahawa dalam perlaksanaannya tiada kumpulan
tertentu akan mengalami sebarang kerugian atau merasai sebarang perasaan
dirampas hak-haknya atau keistimewaannya, pendapatan dan peluang
perkerjaan mereka.
Selain itu, beliau juga mencadangkan agar Akta Penyelarasan
Perindustrian (APP) dimansuhkan yang khususnya pelaksanaan DEB dari
segi penghapusan perlindungan bagi pelabur tempatan dari segi undang-
undang, terutamanya pelabur bukan melayu. Hal ini dianggap tidak adil bagi
setiap pelabur bukan melayu.
Persatuan Cina Malaysia (MCA)
Pelbagai alasan untuk menggantikan Dasar Ekonomi Baru selepas tahun
1990 yang telah diajukan oleh Persatuan Cina Malaysia kecuali objektif
pembasmian kemiskinan dalam dasar tersebut. Persatuan Cina Malaysia
(MCA) telah mengkritik bahawa Dasar Ekonomi Baru ini merupakan dasar
yang antipertumbuhan kerana ia mengenakan terlalu banyak bebanan
termasuk peraturan-peraturan yang berat terutamanya tidak menggalakkan
pelaburan swasta Cina.
Mengikut kata-kata Dato Kok Wee Kiat:
“objektif Dasar Ekonomi Baru iaitu penstrukturan semula tidak
boleh diterima kerana ia memerlukan pengorbanan orang bukan
melayu termasuklah penghakisan identiti budaya mereka. ”
(Jack Parkison & Rais Saniman, 2005:176)
Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM)
Semasa pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, usahawan-usahawan cina
di Malaysia tidak mempunyai kebebasan persaingan yang sihat kerana
kebanyakkan peraturan-peraturan dalam ekonomi ataupun perniagaan telah
di tetapkan oleh Kerajaan. Untuk mengatasi masalah-masalah ekonomi cina
yang terpaksa dihadapi ini, maka gabungan Dewan Perniagaan dan
Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) telah ditubuhkan.
Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian cina Malaysia
(ACCCIM) telah banyak membantu dalam mengatasi cabaran-cabaran perlu
dihadapi oleh usahawan-usahawan cina diMalaysia semasa pelaksanaan
Dasar Ekonomi Baru. Penubuhan ini adalah untuk meningkatkan daya tahan
dan kemampanan perniagaan masyarakat cina. Majoriti ahli perniagaan Cina
di Malaysia memainkan peranan penting dalam ekonomi negara,
Untuk membangkitkan kesedaran tentang kepentingan ekonomi cina di
Malaysia, suara-suara ketidakpuasan telah disuarakan melalui Gabungan
Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia. Mereka ingin menuntut
hak-hak peniaga cina semasa pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang
dianggap tidak adil terhadap ekonomi masyarakat cina.
Usahawan-usahawan cina telah mengemukakan suara – suara
ketidakpuasan mereka dalam Dasar Ekonomi Baru terutamanya yang
mengenai hak – hak keistimewaan orang Melayu dan kaum bumiputera.
Mereka menceritakan keperluan membentuk Malaysia untuk orang Malaysia
(Malaysian Malaysia) dan ada pula di kalangan masyarakat cina yang
berpendapat bahawa hak – hak keistimewaan Melayu tersebut adalah punca
yang membawa kepada kaum Melayu menjadi malas. Dasar tersebut
dikatakan telah keterlaluan memihak kepada kaum-kaum melayu dan kaum
Bumiputera.
Salah Satu kejayaan yang dicapai oleh Gabungan Dewan Perniagaan
dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) ialah perasmian Kongres
Ekonomi Cina Malaysia. Terdapat Kongres Ekonomi Cina Malaysia Pertama
dan Kongres Ekonomi Cina Malaysia Kedua yang telah dilaksanakan untuk
membantu usahawan-usahawan Cina di Malaysia.
Pelaksanaan Kongres Ekonomi Cina Malaysia adalah untuk
membincangkan cara-cara meningkatkan usaha bersama di antara kaum
Bumiputera dan kaum bukan Bumiputera. Langkah-langkah seperti ini
dilaksanakan supaya tercapainya integrasi ekonomi dan menghapuskan
pengenalan kaum dengan fungsi ekonomi tersebut. Di samping itu, bantuan
usahawan-usahawan cina terhadap usahawan Bumiputera dalam memasuki
bidang perniagaan dengan berkesan juga akan menghapuskan syak
wasangka di antara kedua-dua pihak dan akan mengurangkan perasaan
perkauman yang tebal.
Selain itu, Dasar Ekonomi Baru telah menyebabkan kaum melayu
terlalu mengharap kepada bantuan kerajaan dan menjadikan mereka tidak
mempunyai daya kemajuan dalam bidang ekonomi. Maka melalui usaha
bersama diantara kaum cina, kaum melayu dan Bumiputera, orang-orang
Melayu dan Bumiputera boleh menjadikan usahasama seperti ini sebagai
satu cara untuk mempelajari selok-belok perniagaan dan bukan hanya untuk
memperolehi keuntungan semata-mata.
Ahli perniagaan Cina telah memberi kerjasama yang baik
kepada kerajaan kerana berkongsi perniagaan mereka dengan
Bumiputera.
“"Ia telah membantu kejayaan DEB……”
(Dr Mahathir, Berita Malaysia)
Kerjasama di antara kerajaan dengan usahawan-usahawan dikalangan
masyarakat cina sudah pasti dapat mencapai integrasi ekonomi pelbagai
kaum di Malaysia dan menyelesaikan masalah ketidakadilan dalam
pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru.
2. Budaya perniagaan dan usahawan cina
Kaum-kaum cina yang terdiri daripada peniaga-peniaga telah
berusaha untuk mengatasi pelbagai masalah yang perlu dihadapi sepanjang
pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru.Kebanyakkan perancang ekonomi cina
telah menetapkan pelbagai matlamat yang perlu mereka melayani dan nilai
yang mesti mereka patuhi, mereka mengutamakan kepentingan kesemua
individu tanpa mengira kaum.
Masyarakat cina telah lama terdedah dengan sistem kapitalis dalam
sektor swasta dan mempunyai daya saing yang kuat dalam bidang ekonomi.
Daya bersaing dan keberanian mengambil risiko merupakan sebahagian dari
budaya ataupun kemampuan dikalangan masyarakat cina. Untuk mengatasi
masalah tekanan ekonomi yang dihadapi semasa pelaksanaan Dasar
Ekonomi Baru, masyarakat cina mempunyai semangat bersaing yang
mencukupi untuk mencapai kejayaan ekonomi bagi pihak mereka sendiri.
Selain itu, kaum cina mempunyai kebijaksanaan dalam menguruskan
kewangan perniagaan yang sistematik. Sejak zaman dulu lagi, masyarakat
mempunyai kedudukan yang tinggi dalam bidang perniagaan. Walaupun
Dasar Ekonomi Baru mendatangkan pergelogaaan ekonomi yang hebat
kepada ekonomi kaum cina, namun pengalaman dan nilai sanggup
mananggung risiko telah mengurangkan masalah yang mungkin perlu
dihadapi oleh masyarakat cina semasa pelaksanaan dasar tersebut.
Selain itu, usahawan-usahawan cina terkenal dengan sikap pegang
kepada janji semasa menjalankan perniagaan. Mereka mempercayai bahawa
dengan mengamalkan sikap pegang kepada janji, maka akan mewujudkan
kepercayaan diantara pelanggan dengan peniaga serta dapat menarik
perhatian pelanggan tetap untuk terus berniaga dengan mereka. Hal ini
menyebabkan mereka sentiasa berada di kedudukan yang tinggi dalam
bidang perniagaan ataupun bidang ekonomi.
Usahawan-usahawan cina mempunyai pandangan yang jauh atau tajam
semasa menjalankan sesuatu perniagaan. Mereka berusaha untuk
menjayakan sesebuah perniagaan dengan mengenalpasti setiap peluang
perniagaan yang wujud di persekitaran mereka.
3. Media masa
Terdapat banyak aliran hujahan yang diajukan oleh komuniti Cina
terhadap DEB, sepertilah yang dikatakan pelbagai hujahan yang
dikemukakan oleh parti-parti politik mereka hinggalah kepada penulisan-
penulisan para intelek dan wartawan mereka, dan terhadap rungutan-
rungutan daripada penjaja dan pemandu teksi, penduduk di Kampung-
Kampung Baru, dan lain-lain. Ketidakadilan yang nyata di kalangan
masyarakat cina dari segi permohonan lesen teksi, kredit fasiliti, lesen
perniagaan, import permit dan utiliti.
Selain itu, masyarakat cina yang tinggal di kawasan bandar telah di
diskriminasikan dari segi peruntukan, pembahagian alat bantuan penjaja,
warung dan penikmatan kos perumahan yang rendah.
Kesimpulan
Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan satu program sosioekonomi di
Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 1971 dan dilaksanakan sepanjang
20 tahun di Malaysia. Akhirnya dasar ini telah digantikan dengan Dasar
Pembangunan Nasional (DPN) pada tahun 1991.
Dato’ Kok Wee Kiat, Naib Presiden MCA(Persatuan Cina Malaysia) dan
Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri, iaitu rakan kongsi UMNO dalam
Kerajaan Barisan Nasional yang memerintah, barangkali memandatkan
pandangan mereka :
DEB menjadi kenyataan pada 1970 dengan persetujuan tanpa tulisan
daripada semua ras. Persetujuan tersebut jelas dibuat untuk dua
puluh tahun. Tempoh 20 tahun itu akan luput pada 1990. Apabila ia
luput pada 1990, biarlah ia luput dengan aman buat selama-lamanya.
Apabila ia dalam keadaan aman, bayang-bayang polarisasi ras yang
dahsyat itu pun hilang. Bersama-samanya akan terkuburlah
perdekatan ‘mereka’ dan ‘kami’ dalam cara kehidupan rakyat
Malaysia kita. Biarlah rakyat Malaysia mula balik ke pangkal jalan
atas asas perpaduan, keharmonian dan persahabatan yang
memberikan kepada kita Kemerdekaan pada 1957.
(Jack Parkison & Rais Saniman, 2005:176)
Kata-kata beliau penuh dengan semangat perpaduan yang amat
diperlukan oleh setiap warganegara Malaysia. Dasar Ekonomi Baru dapat
dilaksanakan dengan sempurna tanpa berlakunya sebarang pergaduhan
ataupun perselisihan faham di antara berbilang bangsa di Malaysia sepanjang
20 tahun adalah perkara yang amat diharapkan oleh setiap pihak kerana
matlamat tersurat dasar tersebut adalah untuk mencapai perpaduan negara
dan integrasi nasional.
Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru memberi pelbagai bantuan kepada
kaum Bumiputera dan juga orang-orang melayu yang selama ini dianggap
kurang maju dari segi kedudukan ekonomi,maka kaum cina di Malaysia
menghadapi tekanan ekonomi yang hebat di mana selama ini masyarakat
cina mempunyai kedudukan yang agak penting dalam aspek ekonomi di
negara Malaysia.
Bibliografi
Dasar Ekonomi Baru. Retrieved August 14, 2008, from
http://ms.wikipedia.org/wiki/Dasar_Ekonomi_Baru
Norzah Kepol. (2008). Orang Cina Mahukan Islam Yang Adil Kepada Semua.
Retrived August 15, 2008, from http://wengsan.blogspot.com/2008/02/orang-
cina-mahukan-islam-yang-adil.html
Tuntutan atau Rayuan Kaum Cina. Retrieved September 6, 2008, from http://www.umno-reform2.com/front/index.php?option=com_content&task=view&id=58&Itemid=58
Kongres Ekonomi Cina Malaysia. Retrieved September 6, 2008, from
http://www.pmo.gov.my/WebNotesApp/PastPM.nsf/a310590c7cafaaae48256d
b4001773ea/a44bd1c10cc7d0214825674a0018bf50?OpenDocument
Ketuanan Politik Melayu dan Ketuanan Ekonomi Cina. (June 09, 2006).
Retrieved September 6 September, 2008, from
http://smzakir.blogspot.com/2006/06/ketuanan-politik-melayu-
da_114985365105465502.html
Jack Parkison, dan Rais Saniman.(e.d)(2005). Dasar Ekonomi
Baru:Pertumbuhan Negara Dan Pencapaian Ekonomi Orang Melayu. Kuala
Lumpur:Sanon Printing Corporation Sdn Bhd.
Lim lin Lean. The Future Of Malaysian Chinese. Kuala Lumpur:Malaysian
Chinese Association. (p.p 37-55)
Chan Kwok Bun (e.d). 2000. Chinese Business Networks:State Economy and
Culture. Singapore:Prentice Hall.
Top Related