MEMPERKASAKAN KURIKULUM PENDIDIKAN NEGARA
Oleh
Pengarah
Pusat Perkembangan Kurikulum
Abstrak
Kurikulum merupakan suatu elemen penting dalam
sistem pendidikan. Ianya merupakan nadi kepada
sistem pendidikan yang boleh mencorakkan generasi
akan datang. Kurikulum perlu relevan dan dinamis
bersesuaian dengan keperluan semasa dan halatuju
pendidikan serta aspirasi negara. Kertas ini
membincangkan tentang asas dan cabaran yang perlu
dipertimbangkan dalam memperkasakan kurikulum
pendidikan negara. Falsafah Pendidikan Kebangsaan,
Dasar Pembangunan Negara dan trend pendidikan dunia
adalah di antara kuasa penggerak yang perlu diberi
penekanan dalam usaha memperkasakan kurikulum
pendidikan negara. Matlamat kurikulum ialah
melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani,
emosi, rohani dan intelek. Namun, pada masa yang
sama kurikulum turut perlu menyumbang dalam
melahirkan pekerja yang berilmu, warganegara yang
bertanggungjawab dan mempunyai ciri-ciri global
player. Pengisian dan pelaksanaan kurikulum mestilah
bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik supaya dapat
menentukan corak masyarakat, profil bangsa dan
warganegara Malaysia yang berkualiti.
1.0 PENDAHULUAN
Perangkaan menunjukkan bahawa hampir 21 peratus
daripada jumlah penduduk Malaysia berada dalam lingkungan umur
persekolahan iaitu di antara 6 hingga 18 tahun. Kumpulan ini
mengikuti sistem persekolahan Malaysia yang menggunakan
kurikulum kebangsaan.
Kurikulum merupakan suatu elemen terpenting dalam sistem
pendidikan. Ia merupakan nadi kepada sistem pendidikan yang
mencorakkan generasi akan datang. Bagi menjana suatu sistem
pendidikan yang berkualiti, kurikulum itu sendiri perlu bersifat
dinamik dan relevan dengan kehendak-kehendak semasa mahupun
keperluan masa akan datang. Kurikulum di Malaysia ditakrifkan
sebagai suatu program pendidikan yang merangkumi semua
pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai kebudayaan serta
kepercayaan untuk membantu perkembangan potensi seseorang
murid secara seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek
(JERI).
Pernyataaan kurikulum ini perlulah diterjemahkan melalui
pelaksanaan aktiviti kurikulum dan kokurikulum di sekolah dan
melalui proses pengajaran dan pembelajaran serta interaksi guru-
murid di bilik darjah. Perlu ditegaskan bahawa kurikulum bukannya
satu entiti yang konstan tetapi bersifat fleksibel dan berubah
mengikut senario dan tuntutan ekonomi, sosial dan politik tanah air.
2.0 ASAS PERTIMBANGAN PEMBANGUNAN KURIKULUM
SISTEM PERSEKOLAHAN MALAYSIA
2.1 Perubahan Ekonomi
Malaysia, seperti negara-negara membangun yang lain,
terpaksa berhadapan dengan arus globalisasi iaitu aktiviti ekonomi
dunia tanpa sempadan. Penghapusan segala perlindungan ekonomi
yang dikenakan oleh negara-negara membangun bagi melindungi
dan meningkatkan ekonomi, syarikat dan institusi kewangan
tempatan telah mengizinkan pergerakan bebas kewangan,
pelaburan dan perdagangan. Kesan dari globalisasi ini, syarikat-
syarikat besar datang ke sesebuah negara membangun untuk
melabur, menjual dan turut mengambil alih syarikat-syarikat kecil.
Barangan import yang lebih berkualiti dibawa masuk dengan harga
yang lebih murah menyebabkan barangan tempatan hilang
pasaran, seterusnya akan mengakibatkan syarikat tempatan
terpaksa ditutup dan rakyat kehilangan pekerjaan.
Arus globalisasi bukan sahaja telah menjejaskan pertumbuhan
ekonomi, malah turut mempengaruhi budaya, politik dan
keselamatan beberapa negara membangun. Malaysia belum lagi
terjejas teruk seperti sebahagian besar negara-negara membangun
yang lain kerana tindakan cepat oleh kerajaan mengatasi kesan
globalisasi ini serta disebabkan kita tidak bergantung semata-mata
kepada komoditi. Walaupun globalisasi memberi kesan buruk,
tetapi jika ianya ditangani dengan betul dan berkesan, ia akan
memberi keuntungan kepada negara.
Semua lapisan masyarakat perlu bersedia untuk memainkan
peranan masing-masing untuk mengharungi arus globalisasi kerana
arus ini akan terus mencorakkan struktur ekonomi dan sosial rakyat
di masa hadapan. Persoalannya ialah sebagai rakyat Malaysia, apa
yang perlu kita lakukan? Lebih tepat lagi, apa yang perlu kita
lakukan untuk menyiapkan diri kita untuk menikmati manfaat
globalisasi tanpa merasai kesan negatifnya? Jawapannya
bergantung kepada bagaimana kita menangani dan mengurus
kesan globalisasi ke atas negara ini.
Dalam hal ini, pembangunan modal insan yang relevan
dengan keperluan semasa dan masa akan datang merupakan
sumber utama menentukan kemampuan negara untuk menghadapi
cabaran globalisasi. Memandangkan golongan murid dan pekerja
merupakan elemen yang penting untuk memajukan negara, usaha-
usaha hendaklah diambil untuk meningkatkan keupayaan dan
kecekapan mereka. Golongan ini perlu ditanam dengan sikap gigih,
dedikasi, berani dan keinginan untuk terus meningkatkan taraf ilmu
pengetahuan. Oleh itu, aspek latihan dan pendidikan samada
secara formal atau tak formal adalah menjadi tonggak yang
menentukan samada masyarakat negara ini bersedia dan mampu
mengharungi arus globalisasi atau sebaliknya.
Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam Rangka Rancangan
Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) untuk sepuluh tahun akan datang
yang mengandungi prinsip asas pembangunan ekonomi dan
pembinaan bangsa serta menjelaskan strategi dasar yang perlu
diambil untuk mengurus dan menangani globalisasi. Hal ini turut
menjadi agenda penting dalam Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan (PIPP) 2006-2010 dengan meletakkan pembangunan
modal insan sebagai Teras Kedua dalam mencapai kecemerlangan
pendidikan Malaysia menjelang 2010. Untuk Malaysia terus berdaya
saing dalam dunia yang semakin global, penekanan yang lebih akan
diberi kepada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan
atau k-ekonomi. Keduanya, sekiranya Malaysia mahu menjadi
pemain yang bermakna dan bukan hanya sebagai pemerhati dan
penerima teknologi dan pelaburan dalam dunia global, kita mesti
membuat perubahan penting dalam cara pengurusan ekonomi dan
pembangunan modal insan.
K-ekonomi bermaksud pengetahuan akan menjadi faktor
pengeluaran yang semakin penting, selain tanah, buruh dan modal.
Cara-cara pengeluaran tradisional akan ditukar menjadi proses yang
lebih bestari, dengan lebih ramai pekerja mahir dan disokong oleh
penyelidikan dan pembangunan yang lebih luas dan banyak. K-
ekonomi memberi tumpuan kepada pengetahuan sebagai
pendorong pertumbuhan ekonomi kerana ilmu ini akan
meningkatkan kapasiti pengeluaran dan seterusnya melahirkan
proses keluaran yang baru. Contohnya:
i. penggunaan pengetahuan terkini dalam pengurusan
pertanian, seperti dalam kawalan serangga, pengolahan
genetik, pengurusan dan penjadualan tanaman dan
tuaian, untuk menambah hasil dan kualiti produk.
ii. dalam sektor pendidikan, pengetahuan dalam aplikasi
ICT boleh memperbaiki kadar dan kaedah pembelajaran.
iii. dalam sektor industri, pengetahuan tentang kaedah-
kaedah terkini pemprosesan, bahan-bahan terbaru,
teknologi tercanggih, dan pembaharuan-pembaharuan
yang telah terdapat di negara-negara lain, akan secara
langsung membantu industri tempatan meningkatkan
daya saing.
iv. dalam sektor awam pula, pengetahuan tentang
bagaimana boleh dipercekapkan lagi prestasi agensi-
agensi kerajaan, tentang meningkatkan prestasi
kakitangan awam, dan menggunakan kaedah-kaedah
baru melayan pelanggan, memperbaiki sistem
penyampaian sektor awam, dan seterusnya dapat
meningkatkan daya saing dan prestasi negara.
Satu ciri penting yang diperlukan oleh sesebuah negara,
organisasi, syarikat dan individu untuk menjayakan proses peralihan
kepada k-ekonomi , serta terus berupaya bersaing dalam arus
globalisasi ialah kemampuan untuk bergerakbalas segera kepada
perubahan dan keperluan. Dalam suasana persekitaran yang
mencabar dan mendesak, "ketangkasan" akan banyak menentukan
"survival" atau daya hidup. Kegagalan mengubahsuai apa yang
patut, akan menyebabkan organisasi tersebut hilang pasaran dan
tidak berupaya mengatasi cabaran-cabaran baru pasaran.
Dalam konteks ini, RRJP3 dan PIPP secara khususnya menjelas
dan memperincikan keperluan untuk memberi tumpuan kepada dua
perkara utama iaitu pembangunan modal insan dan penggunaan
ICT.
Dari segi pembangunan modal insan, telah terbukti bahawa
negara boleh membangun dan maju jika mempunyai tenaga kerja
yang produktif, berdaya saing, inovatif, berpengetahuan dan
berkemahiran tinggi. Negara yang gagal membangunkan modal
insan dan menjana pekerja berasaskan ilmu pengetahuan atau k-
pekerja serta penemuan yang inovatif dan terkedepan sudah tentu
akan terus ketinggalan.
Keperluan tenaga pekerja berilmu dan pembangunan modal
insan adalah berasaskan keperluan berikut dalam suasana k-
ekonomi:
i. Organisasi dan majikan memerlukan sumber tenaga
kerja yang mampu menghadapi dan melakukan
perubahan di tempat kerja mengikut keperluan dengan
cepat.
ii. Aktiviti ekonomi berubah kepada industri canggih yang
lebih berasaskan high added value dan high value
added yang kedua-duanya memerlukan peningkatan
pengetahuan dan kemahiran.
iii. Pengautomasian untuk meningkatkan produksi dan
perkhidmatan memerlukan lebih ramai pekerja yang
berkeupayaan mengendali dan menyelenggarakan
mesin automasi. Pekerja juga harus mampu
merekabentuk mesin dan perisian serta mengubahsuai
aplikasi sistem automasi.
iv. Saingan yang lebih kompetetif di dalam dan luar
negara.
v. Organisasi memberi lebih tumpuan kepada peringkat
yang memberi lebih keuntungan iaitu konsepsi produk,
penyelidikan dan perekaan, menyedia prototaip, serta di
peringkat pembungkusan, jenama, jualan dan
pengiklanan. Semua peringkat ini memerlukan
pengetahuan, kreativiti dan inovasi.
Satu senario yang biasa berlaku dalam k-ekonomi ialah
perubahan aktiviti syarikat serta perubahan pekerjaan. Oleh yang
demikian, generasi muda perlu mempunyai kemahiran yang
pelbagai dan bersikap fleksibel dalam meneroka dunia pekerjaan.
Mobiliti mereka terjejas apabila mereka hanya terikat kepada satu
kebolehan sahaja.
Usaha permulaan yang harus dibuat di peringkat sekolah ialah
untuk melengkapkan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan
nilai-nilai yang diperlukan bagi menghadapi cabaran globalisasi ini
dengan lebih mudah. Antaranya ialah mereka memerlukan
pengetahuan dan kemahiran baru seperti kemahiran ICT serta
kebolehan berfikir secara kritis dan kreatif. Mereka juga perlu
mampu berkomunikasi, menganalisis dan membuat keputusan
dengan berkesan.
Murid hari ini perlu mempunyai kemahiran kognitif yang tinggi
yang dapat diperolehi melalui pendidikan formal dan didikan ibu
bapa agar dapat berfikir secara kritikal dan mampu berkomunikasi
secara terbuka.
Aspek kedua yang boleh mempercepatkan perkembangan dan
aplikasi pengetahuan dalam aktiviti-aktiviti ekonomi negara ialah
penggunaan ICT. ICT perlu difahami sebagai satu "alat serbaguna"
yang boleh meningkatkan prestasi ke tahap yang lebih tinggi.
Bagaimanapun peralatan dan perkakasan yang canggih tidak akan
menambah nilai kepada mana-mana individu atau organisasi jika
aplikasi ICT itu tidak menyeluruh dan komprehensif. ICT juga tidak
bermakna jika ianya hanya sekadar untuk mengakses informasi.
Aplikasi ICT perlu dimanfaatkan untuk memperkembangkan
potensi individu serta meningkatkan kualiti dan produktiviti. Oleh
yang demikian, penyediaan infostructure perlu seiring dengan
perubahan-perubahan dan peralihan minda dan sikap pekerja, di
samping keupayaan mengaplikasi ICT sebaik mungkin. Dalam
konteks ini, setiap lapisan masyarakat memerlukan kemahiran
bukan sekadar mengguna peralatan atau mengakses maklumat,
tetapi berkeupayaan memproses maklumat dengan cepat serta
mempelbagaikan aplikasi ICT dalam setiap proses kerja.
2.2 Perubahan Sosial
Modenisasi merupakan satu proses transformasi ekonomi dan
sosial dalam masyarakat sebagai kesan daripada bermulanya
perindustrian. Modenisasi juga diterima sebagai keadaan di mana
masyarakat tradisional menggantikan atau memodenkan sikap,
autoriti, hubungan dan nilai-nilai lama kepada yang baru. Gaya
hidup tradisi telah berubah kepada cara hidup moden seiring
dengan pertumbuhan kilang-kilang, pusat membeli-belah, pusat-
pusat hiburan dan taman-taman tema. Justeru itu sistem
pendidikan juga turut mengalami proses modenisasi secara
beransur-ansur.
Perubahan nilai dan norma dalam kehidupan seperti proses
modenisasi, perbandaran dan birokrasi akan menimbulkan masalah
gejala sosial contohnya masalah disiplin di sekolah, ponteng
sekolah, gangsterisme, gejala mat rempit dan penyalahgunaan
dadah. Faktor-faktor ini menuntut keperluan untuk menyediakan
sistem pendidikan yang berkualiti bagi semua lapisan dan peringkat
masyarakat. Sistem pendidikan mestilah mampu memberikan ilmu
pengetahuan, kemahiran dan seterusnya menerapkan nilai-nilai
hidup bermasyarakat bagi melahirkan warganegara yang bukan
sahaja mampu mensejahterakan diri dan keluarganya, bahkan
komuniti dan negaranya.
2.3 Perubahan Struktur Politik
Integrasi kaum merupakan isu yang sering menimbulkan
masalah dan perlu diberi perhatian di kebanyakan negara di dunia.
Integrasi kaum di Malaysia sentiasa diberi keutamaan. Tawil dan
Harley (2004) mendefinisikan kejeleketan sosial (social cohesion)
sebagai sesuatu yang boleh berfungsi sebagai ‘a framing concept’
atau pun rangka konsep untuk berfikir melalui isu-isu dasar yang
kompleks. Kejeleketan sosial merupakan perkara utama yang perlu
diambilkira apabila menilai perubahan dasar kurikulum. Konsep ini
merupakan satu kesedaran sosial yang boleh diaplikasikan sewaktu
penggubalan dasar sebagai satu tindak balas kepada kepelbagaian
isu-isu sosial.
Adalah penting untuk kita mengambilkira faktor budaya, sosial
dan politik dalam perspektif sejarah untuk memahami sifat
pembahagian sosial, konflik, identiti dan keamanan. Sebagai
contoh, isu keterasingan (compartmentalization) dan kelangsungan
etnik (ethnic survival) boleh mencetuskan konflik etnik. Kurikulum
kebangsaan yang dilaksanakan di sekolah sememangnya memberi
penekanan kepada betapa pentingnya nilai dan norma yang
menggalakkan perpaduan dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Pendekatan terarah melalui pengenalan mata pelajaran khusus
seperti Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan serta disokong melalui kaedah penerapan nilai
merentas kurikulum merupakan usaha Kemeneterian Pelajaran
Malaysa menyemai dan menyuburkan semangat patriotisme dan
perpaduan kepada semua rakyat Malaysia yang mengikuti sistem
pendidikan negara. Malah, langkah penambahbaikan kepada sistem
sedia ada dan mengukuhkan lagi integrasi nasional di Malaysia,
maka Program Khidmat Negara dilaksanakan. Sebagai langkah
awal bagi menerapkan semangat integrasi nasional di kalangan
murid-murid, unsur-unsur Program Khidmat Negara harus
diterapkan ke dalam kurikulum persekolahan. Ini menunjukkan
bahawa isu integrasi kaum masih lagi merupakan agenda utama
dalam masyarakat Malaysia kerana kestabilan politik amat penting
bagi negara ini untuk terus membangun.
2.4 Penemuan baru : Bioteknologi dan Nanoteknologi
Perkembangan dalam bidang sains dan teknologi berlaku
dengan amat pesat dalam abad yang lepas dan dijangkakan
momentumnya dijangka akan berterusan dalam abad ini. Penemuan
yang baru, idea yang kreatif dan inovasi yang tidak terfikir pada
abad-abad yang lepas telah menukar cara pembuatan barangan
dan peralatan, serta bagaimana keperluan hidup asas manusia
dipenuhi. Teori, prinsip dan hukum sains yang terdahulu mungkin
perlu dijadikan pengetahuan latar belakang atau pengetahuan asas,
sementara prinsip dan pengetahuan baru dikembangkan mengikut
kemajuan terkini dalam bidang sains dan teknologi. Dua bidang
terbaru dalam bidang sains dan teknologi yang menggegarkan
dunia dalam dekad ini ialah bidang bioteknologi dan bidang
nanoteknologi.
Bioteknologi merupakan teknologi yang memanfaatkan sistem
biologi. Pemanipulasian sistem biologi telah dipermudahkan oleh
kemajuan yang pesat dalam teknik biologi pada tahap molekul dan
genetik. Nanoteknologi pula merupakan teknologi yang melibatkan
bahan atau teknik dalam dimensi kurang daripada 1,000 nanometer
(1nm = 0.000000001 m). Secara langsungnya, nanoteknologi
membawa kesan menakjubkan kepada teknologi pembuatan yang
melibatkan teknik pada aras atom dan molekul di mana kepersisan
dan kejituan amat diperlukan.
Kedua-dua bidang bioteknologi dan nanoteknologi adalah
bersifat ‘interdisciplinary’ atau saling berkaitan. Praktis bioteknologi
seringkali memerlukan pemuafakatan antara ahli sains pelbagai
disiplin, ahli pertanian, dan jurutera. Nanoteknologi pula telah
diterokai oleh bidang fizik atomik, kejuruteraan elektrik, kimia, sains
bahan, fizik numerikal, pengkomputeran. Di samping itu oleh kerana
kedua-dua bidang ini berkaitan dengan penghasilan barangan
secara komersial, ia memerlukan kerjasama ahli ekonomi. Ciri
multi-disiplin ini menguatkan kepentingan konsep bioteknologi dan
nanoteknologi untuk diberi pengenalan dalam kurikulum sekolah.
Adalah dijangkakan kebanyakan jenis pekerjaan pada masa depan
akan berkaitan dengan kedua-dua bidang ini. Murid kita perlu
prihatin tentang perkembangan terkini ini agar mereka tidak
menerima kejutan budaya bila mereka dewasa kelak.
3.0 MEMPERKASAKAN KURIKULUM PENDIDIKAN NEGARA
Pendidikan adalah penting untuk menyediakan seseorang
untuk menghadapai masa depannya. Murid-murid perlu diberi
pendidikan sebagai alat untuk menghadapi pelbagai tanggungjawab
yang akan dihadapi dalam kehidupan mereka. Mereka perlu
dibantu untuk menyediakan diri dalam kehidupan dan berupaya
mengambil bahagian dalam ekonomi, kebudayaan dan politik.
Mereka perlu belajar untuk mendapat pengetahuan dan kemahiran
tertentu yang diperlukan dalam kehidupan untuk menjadi seorang
warganegara yang bertanggungjawab dan bersedia memainkan
peranan dalam aktiviti di peringkat antarabangsa. Namun, di
samping menyediakan warga Malaysia ke arah masyarakat maju
yang celi ICT dan bedaya saing dalam k-ekonomi, terdapat cabaran-
cabaran dalaman/setempat (local) yang perlu ditangani dalam
mencapai aspirasi ini.
3.1 Cabaran dalaman/setempat (local)
Dalam negara mencapai Wawasan 2020, masih terdapat
sebilangan kecil murid dalam sistem pendidikan negara yang masih
bergelut dengan masalah penguasaan literasi asas membaca,
menulis dan mengira. Mereka tergolong dalam kumpulan kecil yang
tercicir dari arus pendidikan negara. Pola komposisi murid ini lebih
cenderung kepada mereka yang mempunyai latar belakang sosio-
ekonomi yang rendah.
Seperkara yang turut diberi perhatian ialah merapatkan
jurang pendidikan antara kaum melalui konsep ekuiti dalam
pendidikan untuk semua. Ke arah itu, KPM memastikan semua
rakyat Malaysia seharusnya mendapat peluang pendidikan yang
setara tanpa mengira kaum, agama, lokaliti dan sosio-ekonomi dan
budaya. Menyedari masih terdapat kelompok masyarakat yang
seakan terpinggir dari arus pendidikan perdana, inisitaif daripada
KPM ialah meneydiakan ruang dan peluang yang secukupnya untuk
memastikan masyarakat Orang Asli dan Penan di pedalaman turut
menerima peluang, kemudahan dan kualiti pendidikan yang sama
taraf dengan mereka yang berada di bandar.
Isu Pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains
dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) semenjak 2003 turut
menyumbang kepada diskusi intelek yang menyokong dan pada
masa yang sama ada yang menolak dan menuntut supaya dasar ini
dilihat semula. Namun, KPM pada dasarnya akan tetap
melaksanakan dasar PPSMI melainkan diarahkan sebaliknya oleh
ketetapan Menetri Pelajaran dan persetujuan Jemaah Menteri. Kajian
keberkesanan pelaksanaan PPSMI bagi pelbagai peringkat
persekolahan telah dan sedang dijalankan bagi mendapatkan
maklumat tepat daripada para guru yang mengoperasikan dasar di
sekolah dan murid yang mengalami sendiri pengalaman
pembelajaran di bawah dasar tersebut.
3.2 Ciri-ciri Pendidikan Berkualiti (UNICEF 2000)
UNICEF mentakrifkan pendidikan berkualiti sebagai
merangkumi aspek-aspek murid, persekitaran, kandungan
kurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran serta sifat murid.
Dari aspek murid, pendidikan berkualiti dapat menghasilkan
murid yang sihat, mendapat makanan yang mencukupi dan berzat
bersedia untuk belajar secara aktif dan mendapat sokongan penuh
dari keluarga dan komuniti.
Aspek persekitaran menekankan persekitaran yang sihat,
selamat , sensitif terhadap perbezaan jantina dan dilengkapi dengan
fasiliti dan resos yang mencukupi.
Pendidikan berkualiti juga perlu mempunyai kandungan
kurikulum dan bahan pengajaran yang mengandungi kemahiran
asas (seperti literasi dan numerasi), kemahiran pengurusan hidup,
kemahiran dalam bidang-bidang seperti gender, kesihatan dan
pemakanan, pencegahan HIV/ AIDS dan keamanan.
Proses-proses pengajaran dan pembelajaran yang meliputi
guru terlatih, pendekatan pengajaran, pentaksiran ke arah
membolehkan pembelajaran berlaku serta mengurangkan jurang
perbezaan turut menyumbang kepada pendidikan berkualiti.
Akhirnya aspek-aspek ini akan dapat menghasilkan murid yang
berpengetahuan, berkemahiran dan mempunyai sikap yang positif.
3.3 Kuasa Penggerak Ke Arah Pencapaian Pendidikan
Berkualiti
Di antara perkara yang menjadi kuasa penggerak ke arah
pencapaian pendidikan berkualiti adalah:
i. Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha
berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab
dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran masyarakat dan negara.
ii. Wawasan 2020
Menjelang tahun 2020, Malaysia boleh menjadi
sebuah negara yang bersatu padu, dengan masyarakat
Malaysia mempunyai rasa keyakinan diri, ditunjangi oleh
nilai-nilai moral dan etika yang utuh, menikmati
kehidupan dalam sebuah masyarakat yang demokratis,
liberal lagi bertolak ansur, berbudi, adil dan saksama
ekonominya, progresif dan makmur, dan sepenuhnya
menguasai ekonomi yang mampu bersaing, dinamis,
tangkas serta mempunyai daya ketahanan.
iii. Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3)
a. Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah alat
penting bagi membantu memperoleh pengetahuan
baru.
b. Sekolah akan dilengkapi dengan kemudahan
membolehkan lebih banyak mata pelajaran diajar
menggunakan teknologi interaktif, multimedia dan
pengajaran menerusi laman web.
c. Sebahagian besar sekolah (termasuk luar bandar dan
terpencil) akan dihubungkan menerusi intranet dan
internet menjelang tahun 2010. Menangani
kekurangan pelajar aliran sains masuk ke universiti
dengan mempergiatkan penggunaan kaedah
pembelajaran kontekstual dan menaik taraf
kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta
meningkatkan kualiti guru.
iv. Pembangunan Pendidikan 2001-2010
a. Input pendidikan yang berkualiti sama ada berbentuk
fizikal dan bukan fizikal
i. sistem penyampaian
ii. tenaga kerja yang berkelayakan
iii. kurikulum yang relevan dengan keperluan masa
hadapan
b. Orientasi dan Kandungan Kurikulum
i. menghasilkan sumber tenaga manusia yang
kreatif, berdaya saing, ketahanan diri tinggi
menguasai bahasa
ii. berkemahiran berkomunikasi, cekap dan
berwibawa
iii. mampu meningkatkan penguasaan dalam 3M,
sains dan teknologi dan ICT (Sejajar dengan
persediaan negara ke arah mencapai K-ekonomi,
menghadapi cabaran dalaman dan globalisasi
serta persaingan ekonomi antarabangsa)
c. Aktiviti Kokurikulum
i. Menyokong usaha melahirkan insan yang
seimbang dan tenaga kerja yang berkualiti
d. Penilaian
i. Memantau pencapaian kemajuan pembelajaran
murid secara berterusan
ii. pengukuran perkembangan murid dari aspek
intelek, kerohanian, emosi dan jasmani
iii. ujian rujukan kriteria disediakan untuk rujukan
pentadbir, guru dan ibu bapa
e. Tenaga Pengajar Berkualiti
i. Kumpulan profesional terlatih
ii. Skim perkhidmatan lebih menarik seperti
kenaikan pangkat, elaun dan insentif
iii. Kebajikan guru dipertingkat
iv. Meningkatkan kemahiran dalam ICT dan
R&DProses Pengajaran Dan Pembelajaran
Berkualiti
v. Program penyediaan bahan Pengajaran Dan
Pembelajaran
vi. Menilai kandungan buku teks supaya sesuai
dengan perkembangan semasa
vii. Guru diberi pendedahan penggunaan buku teks
dan teknologi pendidikan dalam penyediaan BBM
iv. Melengkapkan Pusat Kegiatan Guru (PKG),
Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) dan
Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP)v.
Pendidikan Taraf DuniaWawasan ke arah
melahirkan generasi mengamalkan budaya fikir,
kritis, kreatif dan inovatif. Hanya manusia yang
berbudaya fikir dapat bersaing di medan
antarabangsa serta menjanakan idea ke arah
pembangunan tamadun ilmu, masyarakat,
budaya, bangsa dan negara.Guru bersifat
responsif, proaktif serta dapat membuat
penyesuaian terhadap apa perubahan yang
berlaku dalam sistem pendidikan akibat daripada
perkembangan teknologi dan perledakan
maklumat.Aliran dunia sekarang sedang menuju
ke arah penggabungan pasaran dunia menjadi
satu. Kuasa oligopoli akan mewujudkan satu
monopoli tunggal di dunia dan ini sudah pasti
akan memberi impak yang besar kepada ekonomi
negara.Pendidikan perlu berasaskan kurukulum
yang menepati keperluan pasaran dunia bagi
menyediakan negara berhadapan dengan dunia
yang serba mencabar ini. vi. K-
ekonomiMembangunkan sumber manusia bagi
mencipta tenaga kerja yang produktif, berdaya
saing dan inovatif berasaskan pengetahuan
sebagai pendorong kepada pertumbuhan ekonomi
negara. 4 Faktor sebagai asa pertimbangan
adalah: Modal intelektual (idea dan pemikiran
sebagai modal, bukan lagi tanah, modal dan
buruh)
i. Teknologi maklumat dan komunikasi
ii. Globalisasi
iii. Ekonomi maklumat 3.4 Langkah-
Langkah Ke arah Memperkasakan
Kurikulum Pendidikan NegaraKurikulum
merupakan unsur utama dalam pengajaran
dan pembelajaran yang perlu disemak dan
dikemaskini dan diperkasakan selari dengan
keperluan dan perkembangan semasa.
Kualiti murid yang akan dihasilkan
memerlukan kurikulum yang relevan dan
untuk itu, semakan kurikulum (curriculum
review) dari segi kandungan (content) dan
pendekatan (pedagogy) mesti peka kepada
keperluan persekitaran (sensitive to
environment). Tuntutan kepada melahirkan
masyarakat dalam era k-ekonomi dan bijak
menggunakan ICT perlu menjadi unsur yang
penting dalam semakan kurikulum ini.
Keperluan sumber manusia dan tenaga
kerja adalah antara faktor penting yang
diambil kira dalam semakan ini.
Seterusnya, pelaksanaan kurikulum adalah
penting di peringkat sekolah dan bilik
darjah. Keberkesanan dan kejayaan
sesebuah institusi pendidikan sangat
bergantung kepada kemampuan guru
melaksanakan proses pengajaran dan
pembelajaran yang berkualiti. Kepimpinan
guru yang berkualiti di bilik darjah menjadi
faktor kritikal dan penentu kepada
keberkesanan pendidikan. Untuk itu, kualiti
latihan praperkhidmatan guru bagi
peringkat prasekolah, rendah dan
menengah perlu diberi tumpuan
khusus.Untuk memastikan pengajaran dan
pembelajaran dapat menarik minat murid
dan berkesan, bahan dan sumber
pengajaran yang berkualiti juga memainkan
peranan penting dalam menghasilkan
pendidikan yang berkualiti. Peningkatan
penggunaan bahan-bahan pengajaran
berasaskan ICT dalam proses pengajaran
dan pembelajaran akan meningkatkan
kualiti dan keberkesanan sistem
persekolahan. Aspek inovasi dan kreatif
dalam penyediaan sumber pengajaran perlu
terus dikekalkan malah dipertingkatkan.Bilik
darjah dan aktiviti pembelajaran dan
pengajaran yang dijalankan di dalamnya
harus mempunyai unsur-unsur yang
menjurus kepada pemupukan semangat
perpaduan. Keharmonian di bilik darjah hasil
interaksi guru dan murid yang berbeza latar
belakang dan kaum akan menjadi cermin
yang menggambarkan perpaduan erat di
kalangan pelbagai kaum di luar bilik darjah.
Bilik darjah perlu menjadi pentas mendidik
murid-murid supaya menghayati semangat
perpaduan yang seterusnya akan dapat
diamalkan di dalam kehidupan
bermasyarakat di luar sekolah.Tunjang
kepada proses pendidikan adalah untuk
melahirkan insan syumul, seimbang dan
bersepadu berpaksikan kepada kepatuhan
dan keyakinan kepada Tuhan yang
kemudiannya dapat memberi sumbangan
kepada kesejahteraan dan kemakmuran
masyarakat negara. Selaras dengan itu,
perancangan kurikulum yang relevan ialah
perancangan kurikulum yang mengambilkira
senario abad ke-21 dan langkah-langkah
yang sejajar dengan perkembangan yang
berlaku. Di kebanyakan negara maju,
perencanaan dan perancangan kurikulum
adalah ke arah penyediaan individu yang
menghadapi cabaran abad ke-21. Dalam
konteks negara Malaysia, kurikulum yang
relevan ialah kurikulum yang dapat
memenuhi hasrat dan aspirasi Falsafah
Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020
serta agenda pembangunan negara.Agenda
pembangunan negara yang sering dikaitkan
dengan Wawasan 2020 menggariskan
usaha-usaha bermatlamat menjadikan
Malaysia sebuah negara moden dan maju,
sebuah negara industri yang adil dan
bermoral, berdaya saing dan berdaya maju,
dan mempunyai keperibadian sendiri.
Dalam pembangunan sebuah negara yang
maju, masyarakat Malaysia memerlukan
kesediaan diri yang kukuh dari segi intelek,
rohani dan emosi, dan jasmani. Sebagai
sebuah negara maju, pembangunan pesat
berlaku dalam pelbagai bidang khususnya
sains dan teknologi, teknologi maklumat,
pasaran dan industri.Malaysia sebagai
sebuah negara yang turut mempunyai
teknologi tinggi pasti mengalami gelombang
teknologi maklumat. Kemahiran-kemahiran
penggunaan teknologi komputer untuk
mengumpul, menyimpan, memproses,
menyalurkan dan menyampaikan maklumat
secara efisien dan bijak perlu diberi
penekanan dalam kurikulum supaya murid
bukan sahaja menjadi warganegara
Malaysia yang bertanggungjawab dan
produktif, tetapi juga warga global yang
boleh “think globally and act rationally and
locally”. Antara langkah-langkah yang
diambil bagi memperkasakan kurikulum
pendidikan negara adalah seperti
berikut:Perubahan Dari Segi Perundangan
i. Penyemakan Kurikulum
ii. Pembekalan Resos
iii. Pembangunan Profesionalisme Perguruan
iv. Pengenalan Mata Pelajaran Vokasional (MPV)
v. Pemantapan Program Bahasa Inggeris
vi. Pelaksanaan Program Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (TMK)
vii. Penerapan Sains dan Teknologi
viii. Penekanan Aktiviti Kokurikulum
ix. Pendidikan Nilai
4.0 HALATUJU KURIKULUM
Kurikulum bagi abad ke-21 perlu dibentuk supaya relevan dan
koheran dengan keadaan pada masa depan dan boleh memenuhi
matlamat-matlamat yang ditentukan. Dalam pembangunan
kurikulum, aspek-aspek yang perlu dipertimbangkan adalah:
Empat Persoalan Utama
i. Apakah objektif pembelajaran yang hendak dicapai?
ii. Apakah pengalaman pembelajaran yang hendak
dicapai?
iii. Bagaimanakah pengalaman pembelajaran boleh
dirancang secara berkesan?
iv. Bagaimanakah cara menentukan hasrat
pembelajaran sudah tercapai?
Enam Teras Utama
Kurikulum yang hendak dibangunkan hendaklah berteraskan
perkara-perkara berikut:
i. Falsafah Pendidikan Kebangsaan
ii. Dasar Pendidikan Kebangsaan
iii. Wawasan 2020
iv. Rangka Rancangan Jangka Panjang ke 3
v. Perkembangan Dunia Semasa
vi. 4 Pillars of Education ( learning to know, learning to do,
learning to live together and learning to be )
a. Belajar untuk mengetahui (learning to know):
Prinsip ini merujuk kepada pengetahuan dan konsep
yang perlu dikuasai oleh murid. Ini direalisasikan dengan
penggabungan pendidikan umum dengan beberapa mata
pelajaran terpilih yang dapat memberi ruang untuk
pendidikan seumur hidup.
b. Belajar untuk membuat (learning to do):
Prinsip ini merujuk kepada kebolehan atau kemahiran
untuk menghadapi pelbagai situasi alam pekerjaan serta
mampu bekerja dalam pasukan.
c. Belajar untuk hidup bersama (learning to live together):
Prinsip ini merujuk kepada sikap dan nilai yang
menekankan toleransi, keamanan dan keharmonian dan
hormat pada orang lain. Belajar untuk hidup bersama
merupakan satu daripada isu utama dalam pendidikan
masa kini memandangkan dunia hari ini sering dilanda
keganasan. Oleh sebab itu, kita perlu membina satu
kurikulum yang boleh mengelak atau menyelesaikan
konflik secara aman dengan menganjurkan prinsip learning
to live together dengan orang lain.
d. Belajar untuk menjadi insan sempurna(learning to be)
Prinsip ini merujuk kepada keupayaan berdikari dan
mengamalkan pertimbangan dengan rasa tanggungjawab
dalam usaha mencapai matlamat bersama. Untuk
mencapai matlamat tersebut murid perlu dilengkapkan
dengan daya ingatan, daya penaakulan, kemahiran
berkomunikasi dengan orang lain serta perkembangan
menyeluruh seperti yang dinyatakan dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.
4.1 Halatuju Pendidikan
Hasrat pendidikan kita adalah untuk menghasilkan murid
berikut :
a. Murid yang seimbang dari segi intelek,rohani,jasmani
dan emosi
i. Berilmu pengetahuan
ii. Berketerampilan
iii. Percaya pada tuhan
iv. Berakhlak mulia
v. Berkeyakinan
b. Warga negara yang bertanggungjawab
i. Berbudi
ii. Bersatu padu
iii. Patriotik
iv. Adil
v. Penyayang
vi. Berbakti
c. Global Player
i. Daya saing
ii. Daya tahan
iii. Jati diri
iv. Mampu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris atau
Bahasa antarabangsa
d. Pekerja berilmu
i. Inovatif
ii. Kreatif
iii. Dahagakan ilmu
iv. Menguasai ICT
v. Creators of techonology
vi. Belajar sepanjang hayat
Halatuju pendidikan pada masa depan bermatlamat untuk
menghasilkan murid yang berkeyakinan, produktif, inovatif dan
kreatif. Ini bertujuan untuk melahirkan warganegara yang boleh
memenuhi keperluan pasaran kerja, mampu berdaya saing,
mempunyai jati diri, dahagakan ilmu, bersifat antarabangsa dan
menjadi pendorong pertumbuhan ekonomi negara. Warganegara
Malaysia pada abad ke-21 mestilah dapat menangani cabaran yang
akan dibawa oleh arus globalisasi, ledakan ilmu dan maklumat.
Mereka perlu merancang masa depan serta membuat pilihan yang
bijak dan tepat, sesuai dengan budaya dan nilai-nilai semasa.
5.0 KOMPETENSI YANG DIPERLUKAN
Keprihatinan untuk menyediakan lepasan sekolah
menghadapi dunia pekerjaan menuntut fokus diberi kepada
menghasilkan generasi muda warga Malaysia yang mampu
berdikari, boleh berfungsi dalam pasukan, dan mempunyai nilai-nilai
yang sewajarnya untuk membolehkan mereka terus produktif dan
berdaya saing di pasaran ekonomi tempatan, serantau, dan global.
Mengambil kira ciri-ciri di atas, penekanan kurikulum bukan
setakat melibatkan mata pelajaran sebagai sumber utama ilmu,
tetapi melengkapkan diri murid dengan kemahiran kognitif,
interpersonal, dan kompetensi yang tinggi. Secara umumnya,
kompetensi yang diperlukan itu mempunyai unsur-unsur seperti
kemahiran hidup tertentu dan diperlukan untuk kejayaan kerjaya
dan peribadi; kemahiran utama dan penting untuk penglibatan diri
di dalam dunia pekerjaan dan organisasi kerja. Ia berfokuskan
kepada keupayaan menyepadukan kemahiran dan pengetahuan di
dalam pekerjaan; kemahiran yang boleh digunakan atau
dipindahkan secara am di tempat kerja dan bukannya kemahiran
teknikal dan khusus.
Aspek-aspek ini perlu ada pada murid dalam melaksanakan
tugas dengan sempurna dan membolehkan murid memudahkan dan
melaksanakannya dalam pelbagai situasi dalam alam pekerjaan dan
kehidupan seharian. Ia merupakan persediaan bagi membolehkan
murid menyesuaikan diri dan berjaya melaksanakan tugas di dunia
pekerjaan yang diceburi kelak. Dalam konteks persekolahan di
Malaysia, kompetensi yang dikenalpasti perlu diberikan penekanan
adalah seperti berikut:
i. Kemahiran Generik
Kemahiran generik boleh dianggap sebagai kemahiran
asas yang diperlukan seseorang individu untuk menjadi
pekerja yang mahir, cekap, dan berketrampilan di tempat
kerja dan alam pekerjaan. Pekerja yang berketrampilan
menjadi aset kepada majikan, dapat memajukan diri dan
menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Pekerja
yang mempunyai kepakaran akan begitu mobile dan
mempunyai peluang kepelbagaian jenis pekerjaan dalam
bidang yang berlainan. Secara umumnya, kemahiran generik
ini terdiri daripada yang berikut:
a. Kemahiran Asas: membaca, menulis,
menggunakan idea dan teknik matematik,
bertutur dan mendengar;
b. Kemahiran Berfikir: membuat pilihan dan
keputusan berlandaskan sebab-sebab yang
rasional, mengenal pasti andaian, idea, dan
perspektif yang membawa kepada perubahan
yang positif;
c. Kualiti Peribadi: atribut-atribut yang membantu
murid berdikari dan mampu berinteraksi
dengan individu lain atau bekerja dalam
kumpulan. Antara atribut itu ialah motivasi dan
inisiatif kendiri, kejujuran dan integriti,
sociability, pengurusan kendiri, serta etika
kerja cemerlang.
ii. Kemahiran Berkomunikasi
Kemahiran yang melibatkan seseorang individu itu
menunjukkan kebolehan untuk mendengar dan mampu
berkomunikasi secara verbal dan bertulis dalam semua situasi
manusia sama ada di tempat kerja atau dalam kehidupan.
Seseorang individu juga harus mampu menyatakan
pemikirannya secara tersusun dan logikal supaya mudah
difahami orang lain. Kemahiran berkomunikasi ini termasuk
juga bahasa bukan verbal yang disampaikan semasa kita
bercakap dan menulis kepada orang lain.
iii. Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(ICT)
Kemahiran yang melibatkan penggunaan peralatan
teknologi komunikasi atau sistem rangkaian elektronik yang
boleh digunakan untuk mencari, mengumpul, menyimpan,
memproses, menyalur, dan menyampaikan maklumat secara
pantas dan cekap, seperti internet atau multimedia.
iv. Kemahiran Menyelesaikan Masalah
Kemahiran ini melibatkan penggunaan kemahiran
penyelesaian masalah dalam pelbagai cara dan situasi,
termasuk situasi yang memerlukan pemikiran kritis dan kreatif
dalam mencapai sesuatu keputusan. Pemikiran kritis dan
membuat kesimpulan berasaskan maklumat yang diberikan
adalah kritikal dalam alam pekerjaan dan kehidupan.
Pemikiran kreatif pula ialah kebolehan berfikir dalam cara
yang asli atau unik. Kreativiti membolehkan kita berfikir
secara lateral dan melihat situasi tertentu dari perspektif yang
berbeza atau melakukan sesuatu dengan lebih baik.
v. Kemahiran Sosio-Emosi
Kemahiran sosio-emosi ialah keupayaan mengenali
perasaan diri sendiri dan perasaan orang lain, untuk
memotivasi diri dan mengurus emosi kendiri dan emosi hasil
interaksi dengan orang lain. Secara umumnya, kemahiran ini
merangkumi aspek-aspek mengurus diri sendiri dan hubungan
diri dengan orang lain. Antara perkara yang termasuk dalam
pengurusan diri sendiri ialah kesedaran kendiri, harga diri,
mengendalikan perasaan kendiri, dan motivasi kendiri. Aspek
hubungan diri dengan orang lain pula melibatkan kemahiran
mengendalikan hubungan manusia dan melahirkan perasaan
empati.
vi. Kemahiran Kerjaya
Kemahiran Kerjaya membolehkan murid kita celik
kerjaya dan berupaya menangani cabaran dunia pekerjaan
masa depan. Dalam konteks dunia yang pesat berubah,
kebolehan untuk merancang dan mengelola aktiviti diri sendiri
termasuk penggunaan masa dan sumber, berupaya untuk
menentukan keutamaan dan mengawasi pencapaian diri
adalah penting. Kemahiran kerjaya juga melibatkan
keberkesanan individu berinteraksi dan bekerja dengan orang
lain dan dalam kumpulan dalam usaha mencapai matlamat
tugasan atau organisasi.
vii. Kemahiran Kesedaran Global
Kemahiran ini menjadi suatu aset yang penting
untuk membolehkan pekerja kita mengambil tempat
sewajarnya di arena antarabangsa sebagai global players
seiringan dengan arus globalisasi dunia tanpa sempadan.
Antara kemahiran yang berguna ialah:
a. Kefleksibelan: kebolehan membuat penyesuaian
kepada idea baru, teknologi baru, dan perubahan
budaya. Individu yang fleksibel lebih senang
menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku di
tempat kerja, perubahan kerja, dan menguasai
kemahiran bolehguna;
b. Pelbagai Bahasa: kebolehan pelbagai bahasa
antarabangsa utama dunia;
c. Padan Budaya: kebolehan menyesuaikan diri dalam
sesuatu persekitaran kerja seperti syarikat
multinasional.
viii. Kemahiran Kepimpinan
Kemahiran Kepimpinan boleh mengambil bentuk yang
berlainan. Secara umumnya, pemimpin ialah individu mahir
yang bervisi dan berorientasikan matlamat. Mereka
menampakkan ciri-ciri berpencapaian tinggi, mengambil
risiko, dan boleh memotivasi orang lain.
6.0 PENGISIAN PROGRAM
Untuk memastikan sistem pendidikan kita tidak ketinggalan
dalam persaingan menghadapi cabaran globalisasi abad ke-21,
pelbagai program dirancang dan dilaksanakan sebagai pengisian
bagi mencapai halatuju pendidikan berkualiti.
6.1 PENDIDIKAN BAHASA
i. Bahasa Kebangsaan
Bahasa Malaysia adalah Bahasa Kebangsaan di
semua sekolah. Ia berfungsi sebagai bahasa pengantar
utama di semua Sekolah Kebangsaan(SK) dan Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK). Ia juga menjadi mata
pelajaran yang wajib diajar di semua Sekolah Jenis
Kebangsaan iaitu di SJK(C) dan SJK(T).
ii. Bahasa Kedua
Bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua di
semua SK, SJK(C), SJK(T) dan SMK. Mata pelajaran Sains
dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris di Tahun
1 , Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah mulai tahun
2003 dan diikuti oleh Tahun 2, Tingkatan 2, Tingkatan 6
Atas dan Matrikulasi pada tahun-tahun berikutnya.
iii. Bahasa Ibunda
Bahasa Cina (BC) dan Bahasa Tamil (BT) diajar
sebagai Bahasa Ibunda di SK dan SMK apabila terdapat
permintaan daripada sekurang-kurangnya 15 orang ibu
bapa untuk mengajar bahasa berkenaan. BC digunakan
sebagai bahasa pengantar di SJK(C) dan BT digunakan
sebagai bahasa pengantar di SJK(T).
iv. Bahasa Tambahan
Bahasa Cina (BC), Bahasa Tamil (BT) dan Bahasa
Arab (BA) diajar sebagai Bahasa Tambahan di SK.
Permintaan daripada ibu bapa tidak diperlukan untuk
membuka kelas-kelas tersebut. Ia dilaksanakan mulai
tahun 2007 sebagai sebahagian daripada inisiatif
memeprkasakan sekolah kebangsaan dan
menggalakkan lebih ramai ibu bapa memilih sekolah
kebangsaan sebagai sekolah pilihan untuk pengajaran
dan pembelajaran anak-anak mereka dalam sistem
pendidikan Malaysia.
v. Bahasa Antarabangsa
Bahasa Jepun, Bahasa Perancis dan Bahasa
Jerman kini diajar sebagai Bahasa Antarabangsa di
sekolah berasrama penuh. Bahasa-bahasa berkenaan
akan diperkenalkan di sekolah harian secara
berperingkat-peringkat mulai tahun 2005. PPK
bercadang memperkenalkan Bahasa Korea dan Bahasa
Rusia pada masa akan datang.
vi. Bahasa Etnik
Bahasa Semai, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa
Iban diajar sebagai Bahasa Etnik di SK dan SMK bagi
murid kaum asli di Semenanjung dan kaum bumiputra di
Sabah dan Sarawak.
6.2 PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN
MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI)
Kerajaan telah membuat keputusan tentang Pelaksanaan
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI) di semua sekolah rendah dan menengah bermula
dengan Tahun 1, Tingkatan 1 dan Tingkatan Enam Rendah pada
tahun 2003. Dasar ini dilaksanakan atas kesedaran bahawa ilmu
dalam bidang sains dan teknologi memainkan peranan dan menjadi
asas penting dalam kemajuan dan pembangunan negara. Sains dan
matematik merupakan dua bidang ilmu yang sangat dinamik dan
pelbagai inovasi penemuan baru berlaku hampir setiap hari melalui
penyelidikan dan pembangunan. Bidang ini juga berkembang pesat
melalui pelbagai media terutamanya dalam bahasa Inggeris.
Pendedahan awal kepada pelajar memberi peluang kepada pelajar
untuk mengakses maklumat dan mengikuti perkembangan terkini
terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.
Sepanjang tahun 2003 dan 2004, persediaan menyeluruh
telah dibuat yang melibatkan tenaga dan kos yang besar bagi
memastikan guru dan murid dapat melaksanakan perubahan.
Keupayaan KPM khususnya guru-guru melaksanakan program ini
dengan licin serta dapat mengatasi beberapa masalah terpencil
adalah merupakan satu kejayaan. Di sebalik itu, masih terdapat
pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dan ruang yang perlu dibaiki.
Dalam keadaan ini semua lapisan masyarakat perlu terus memberi
sokongan yang tak berbelah bagi kepada guru dan Kementerian
Pelajaran Malaysia agar pelaksanaan PPSMI ini benar-benar
mencapai matlamatnya. Pihak kerajaan akan terus komited untuk
memastikan dasar ini mencapai matlamat dan objektifnya.
6.3 MATA PELAJARAN VOKASIONAL DI SEKOLAH
HARIAN
Program mata pelajaran vokasional (MPV) di sekolah harian
mula dilaksanakan pada tahun 2002 secara berperingkat dan
berstatus mata pelajaran elektif di Tingkatan 4 dan 5 . Program ini
menawarkan 22 subjek MPV yang dilaksanakan melalui empat fasa.
Semua mata pelajaran ini berfokus kepada kemahiran vokasional
yang bernilai komersil dan direka bentuk berdasarkan lima bidang
usaha iaitu pembuatan, pembinaan, agro teknologi, ekonomi rumah
tangga dan aplikasi komputer.
6.4 PENDIDIKAN SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) bertujuan
memberi kesedaran kepada murid tentang peranan, hak dan
tanggungjawab mereka dalam masyarakat dan negara untuk
melahirkan anggota masyarakat dan warganegara yang bersatu
padu, patriotik dan boleh menyumbang ke arah kesejahteraan
masyarakat, negara dan dunia.
6.5 PENDIDIKAN AGAMA ISLAM DAN MORAL
Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral adalah wadah kepada
pembangunan insan. Pengukuhan kepada pegangan ajaran agama
beserta dengan penerapan nilai-nilai murni di peringkat awal dapat
membendung penularan fahaman dan amalan yang bercanggah
dengan syariat kehidupan mulia.
6.6 PENDIDIKAN KESIHATAN REPRODUKTIF DAN SOSIAL
Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial bertujuan untuk
membolehkan murid memperolehi pengetahuan tentang perubahan
fizikal, emosi, dan sosial serta memupuk sikap dan nilai positif murid
terhadap perkembangan seksualiti. Kurikulum ini membina
kemahiran diri murid untuk memelihara perhubungan peribadi,
kehidupan keluarga, sahabat dan keahlian dalam masyarakat.
6.7 PROGRAM TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN
KOMUNIKASI (ICT) DALAM PENDIDIKAN
Mata pelajaran dan program yang berasaskan komputer telah
mula ditawarkan di peringkat SPM. Di antaranya ialah mata
pelajaran:-
i. Mata Pelajaran Teknologi Maklumat (1999)
ii. Mata Pelajaran Produksi Multimedia
iii. Mata pelajaran Grafik Berkomputer
iv. Program Literasi Komputer
v. Penggunaan Komputer dalam Pengajaran dan
Pembelajaran merentasi kurikulum.
vi. Projek Malaysian SchoolNet
vii. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
dalam Bahasa Inggeris
viii. Grid Pembelajaran Kebangsaan (Malaysia Grid For
Learning – MyGfL)
6.8 PEMBELAJARAN LUAR BILIK DARJAH
Strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan
memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan minat
murid terhadap pembelajaran dan mengukuhkan mutu pendidikan
negara. Pengajaran dan pembelajaran yang kurang menarik akan
membosankan murid dan seterusnya mempengaruhi pencapaian
murid. Satu strategi pengajaran dan pembelajaran dalam KBSR dan
KBSM yang mempunyai potensi tetapi tidak diamalkan sepenuhnya
ialah pembelajaran di luar bilik darjah.
Pembelajaran luar bilik darjah (PLBD) merupakan salah satu
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang amat menarik dan
berkesan jika dilaksanakan secara elektif dan bijaksana. PLBD
adalah satu aktiviti terancang dengan objektif yang jelas.
Pembelajaran dan pengajaran secara ini lebih berbentuk
penerokaan yang berpusatkan murid.
7.0 PENUTUP
Bagi menjana satu sistem pendidikan yang berkualiti, maka
kurikulum yang dihasilkan perlu relevan dan dinamik dengan
kehendak semasa disamping turut mengambil kira keperluan-
keperluan masa akan datang. Ini adalah perlu kerana budaya
pendidikan semasa mempunyai kaitan lansung dengan segala
bentuk perubahan yang melibatkan struktur sosial, ekonomi, dan
politik di dalam negara mahupun di seluruh dunia.
Sebagai sebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang
kaum, kurikulum perlu memberi penekanan kepada aspek
perpaduan untuk mengekalkan social cohesion (kejeleketan sosial).
Di samping itu, kurikulum juga perlu menyemai semangat
patriotisme dan semangat cintakan negara dikalangan semua
lapisan masyarakat. Ini secara lansung menjamin pembangunan
sistem pendidikan berkualiti dan seterusnya melengkapkan agenda
pembangunan negara.
Rujukan:
Delors, Jacques. Learning: The Treasure Within . Report to UNESCO
of International Commission on Education for the Twenty-first
Century
Fatimah Daud (1992). Pengenalan Teori-Teori Sosiologi. Kuala
Lumpur: Fajar Bakti.
Goleman, D. (1998). Working with Emotional Intelligence. New York:
Bantam Books.
Mohamad Hassan Zakaria and Wan Fara Adlina Wan Mansor (2002).
Towards A Culturally Sensitive Curriculum: An Indispensable
Reform. In Proceedings of ICEFA 2002 Volume II International
Conference on Education For All. Faculty of Education,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Noor Azmi Ibrahim (1998). Kurikulum Abad Ke-21: Pengembangan
dan Penekanan. Jurnal Kurikulum . Jil. 1 Bil. 1, 32 – 53.
Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia.
(1995). Kertas Konsep Kemahiran Generik. Kuala Lumpur:
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Tawil S. and Harley A. (Eds) (2004). Education, Conflict and Social
Cohesion. International Bureau of Education, Geneva.
Lampiran 1
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN
MATEMATIK
DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI)
Dasar ini dibuat atas kesedaran bahawa ilmu dalam bidang
sains dan teknologi berkembang pesat melalui pelbagai media,
termasuklah media elektronik yang menggunakan Bahasa inggeris
(BI). Sains dan matematik merupakan dua bidang ilmu yang sangat
dinamik dan pelbagai inovasi dan penemuan baru berlaku hampir
setiap hari melalui penyelidikan dan pembangunan. Bidang ini juga
memainkan peranan dan menjadi asas penting dalam kemajuan dan
pembangunan negara. Jika dilihat negara-negara maju, penerokaan
dalam bidang sains dan teknologi telah membawa negara
berkenaan ke tahap kemajuan yang tinggi.
Kita semua maklum bahawa Bahasa Inggeris (BI) adalah bahasa
ilmu dan bahasa perhubungan antarabangsa. Penguasaan yang baik
dalam bahasa Inggeris akan membolehkan seseorang itu mendapat
akses kepada maklumat dan mengikuti perkembangan terkini
terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. Pada masa kini,
sebahagian besar daripada maklumat terkini mengenai
perkembangan dalam bidang ini sama ada dalam elektronik atau
bukan elektronik terdapat dalam Bahasa Inggeris. Sudah tentunya
seseorang yang cekap berbahasa Inggeris akan mempunyai
`advantage’ dalam hal ini dibandingkan dengan seseorang yang
lemah dalam bahasa berkenaan. Oleh itu, pendedahan yang awal
kepada sains dan matematik dalam BI akan membolehkan murid
mengakses maklumat dan menerokainya. Bagaimanapun, perlu
ditegaskan bahawa objektif utama PPSMI bukanlah untuk
meningkatkan penguasaan BI walaupun pada akhirnya ini
merupakan salah satu daripada hasil pelaksanaan dasar ini.
Secara khusus, tujuan dasar PPSMI ini ialah untuk
membolehkan murid :
i. mengakses ilmu yang berasaskan sains, matematik dan
teknologi dalam BI;
ii. berkomunikasi mengenai sains, matematik dan teknologi
dalam BI;
iii. berfikir dan melahirkan idea sains, matematik dan
teknologi dalam BI;
iv. menghasilkan bahan inovasi/reka cipta
Ekoran beberapa pembentangan kepada Jemaah Menteri, dan
beberapa siri pertemuan dengan pelbagai pihak seperti ahli
akademik, kesatuan-kesatuan guru, pendidik, jurulatih sains dan
matematik serta guru-guru sekolah rendah dan menengah yang
telah dibuat untuk meneliti cadangan ini serta mendapat
pandangan mereka, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan Strategi
Pelaksanaan PPSMI dengan bermula untuk Tahun 1, Tingkatan 1 dan
Tingkatan Enam Rendah pada tahun 2003. Keputusan ini dibuat
dengan mengambil kira pelbagai keadaan infrastruktur, kesediaan
guru, kesediaan murid dan persekitaran yang berbeza di kalangan
sekolah, masa untuk persediaan pelaksanaan serta implikasi
kewangan.
Bagi memastikan pelaksanaan berjalan mengikut jadual, licin dan
berkesan, KPM telah membuat persediaan yang menyeluruh sebaik
sahaja keputusan dibuat oleh Jemaah Menteri. Antaranya ialah
aspek keperluan guru dan murid seperti berikut:
i. Penyediaan Kurikulum Sains & Matematik yang
dialihbahasa sesuai diajar dalam bahasa Inggeris
ii. Program latihan bagi guru;
iii. Pembekalan buku skrip, teaching courseware untuk guru
iv. Pembekalan bahan pembelajaran murid
v. Pemberian insentif kepada guru-guru sains, matematik dan
BI;
vi. Pembekalan peralatan ICT
vii. Penyediaan kemudahan infrstruktur asas seperti elektrik
dan talian telefon di sekolah pedalaman
viii. Penyediaan soalan-soalan peperiksaan dalam
dwibahasa;
ix. Sesi penyebaran maklumat kepada semua pihak
berkepentingan
x. Memantau dan memberi bimbingan kepada sekolah.
Satu komponen penting dalam menjayakan perubahan ini
ialah penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.
Hasratnya adalah kemudahan ICT akan membawa perubahan dalam
cara guru mengajar dalam bilik darjah, menjadikan proses
pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan berkesan, di
samping mewujudkan suasana BI.
Pada tahun 2004, pelaksanaan PPSMI diperluaskan ke kelas-
kelas Tahun 2, Tingkatan 2, Tingkatan Enam Atas dan Matrikulasi.
Program ini seterusnya akan dilaksanakan di peringkat yang lebih
tinggi hingga meliputi semua peringkat pada tahun 2008. Oleh
yang demikian, aspek-aspek persediaan terus dilaksanakan bagi
memenuhi keperluan kelas-kelas yang berkenaan di samping
meningkatkan keberkesanan pelaksanaan di kelas-kelas yang
sedang melaksanakan program ini.
Sepanjang tahun 2003 dan 2004, pemantauan dan kajian telah
dijalankan bagi mengumpul maklumat kearah meningkatkan
keberkesanan PPSMI. Dapatan dari pemantauan menunjukkan:
i. semua sekolah telah bersedia dari segi perancangan, guru
dan bahan
ii. pelaksanaan juga berjalan licin
iii. terdapat sokongan dan penglibatan pelbagai pihak
iv. tahap pencapaian yang pelbagai mengikut sekolah
Dapatan pemantauan juga menunjukkan terdapat beberapa
masalah terpencil yang dihadapi guru dan murid. Antaranya ialah
tentang keupayaan sebahagian guru dan murid menggunakan BI
sepenuhnya di bilik darjah, perubahan budaya pengajaran serta
penggunaan ICT. Terdapat juga murid terutamanya di luar bandar
yang tidak mampu berinteraksi atau bertanya soalan disebabkan
masalah bahasa. Masalah ini memang telah dijangkakan terutama
di peringkat awal pelaksanaan kerana guru dan murid perlu
mengambil masa untuk membiasakan dengan perubahan. Dalam
keadaan ini guru dan murid perlu terus diberi sokongan dan
bimbingan.
Lampiran 2
PELAKSANAAN MATA PELAJARAN VOKASIONAL
DI SEKOLAH MENENGAH AKADEMIK
Senarai MPV dan fasa pelaksanaannya adalah seperti berikut:
Tahun
Pelaksanaan
Mata Pelajaran Vokasional Bidang Usaha
2002
FASA I
1. Pembinaan Domestik Pembinaan
2. Membuat Perabot Pembuatan
3. Seni Reka Tanda Pembuatan
4. Menservis Peralatan Elektrik
Domestik
Pembuatan
5. Rekaan dan Jahitan Pakaian ERT
6. Katering dan Penyajian ERT
7. Landskap dan Nurseri Agro Teknologi
8. Tanaman Makanan Agro Teknologi
2003
FASA II
9. Produksi Multimedia Aplikasi
Komputer
10
.
Grafik Berkomputer Aplikasi
Komputer
2004
FASA III
11
.
Pendawaian Domestik Pembinaan
12
.
Menservis Automobil Pembuatan
13
.
Menservis Peralatan Penyejukan
dan Penyamanan Udara Pembuatan
14
.
Penjagaan Muka dan Dandanan
Rambut
ERT
15
.
Hiasan Dalaman Asas Pembinaan &
ERT
16
.
Asuhan dan Pendidikan Awal
Kanak-kanak
ERT
17
.
Pemprosesan Makanan ERT
18
.
Akuakultur dan Haiwan Rekreasi Agro Teknologi
2005
19
.
Kerja Paip Domestik Pembinaan
FASA IV 20
.
Kimpalan Arka dan Gas Pembinaan
21
.
Menservis Motosikal Pembuatan
22
.
Gerontologi Asas &
Perkhidmatan Geriatrik
ERT
MPV berhasrat untuk membekalkan murid dengan kemahiran
yang relevan dan bermakna agar mereka boleh mendapat
pekerjaan, membuka perniagaan sendiri atau melanjutkan latihan
ke peringkat lebih tinggi. Program baru ini merupakan inisiatif
Kementerian Pelajaran bagi mencapai sasaran 30 peratus murid
Tingkatan 4 dan 5 mendapat akses dalam pendidikan teknikal dan
vokasional menjelang tahun 2010. Sehingga Fasa IV iaitu pada
tahun 2005, kesemua 22 MPV dapat dilaksanakan di 440 sekolah
(630 bengkel ubahsuai).
Perancangan program MPV disusun dengan melibatkan
beberapa strategi pelaksanaan iaitu penggubalan kurikulum,
pembangunan prasarana dan pembiayaan, penyelarasan aktiviti
program MPV, penyediaan personel dan latihan, serta perancangan
pentaksiran modular yang holistik, fleksibel dan berpusatkan murid.
Penilaian keberkesanan program MPV pula dijalankan secara
berterusan melalui pemantauan dan kajian oleh Jemaah Nazir
Sekolah dan Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK).
Pelaksanaan MPV menyaksikan bagaimana sumber yang ada
khususnya sumber manusia, digemblengkan secara cekap sebagai
usaha awal bagi merealisasikan kehendak negara dalam
menyediakan tenaga kerja mahir dan terlatih untuk pembangunan
negara. Dalam usaha penambahbaikan kurikulum dan bahan
kurikulum MPV yang direka bentuk berasaskan penguasaan
kemahiran vokasional yang bernilai komersil, sektor industri telah
dilibatkan sama. Hal ini adalah bagi memastikan kemahiran dan
kompetensi yang mesti dicapai dalam semua 22 MPV serta
teknologi terkini yang digunakan menepati keperluan semasa. Pihak
industri juga dilibatkan dalam memberi latihan teknikal kepada
seramai 714 guru MPV melalui sejumlah 27 jenis kursus
peningkatan kemahiran yang diadakan sepanjang tahun 2002
hingga 2004. Pendedahan kepada kemahiran yang khusus,
teknologi terkini dan persekitaran industri sebenar semasa
menjalani kursus peningkatan menghasilkan guru yang lebih
kompeten dan berkeyakinan untuk mengajar MPV. Selain itu, pihak
industri juga terlibat dalam memberi ceramah atau demonstrasi
bagi membantu guru mengajar kemahiran-kemahiran yang kritikal.
Hasil pelaksanaan program MPV sejak tahun 2002 adalah
amat berjaya. Kejayaan ini dapat dilihat melalui hasil produk murid
dalam modul pembelajaran MPV yang diikuti; hasil kerja murid
dalam lima pameran MPV peringkat kebangsaan yang telah
dianjurkan oleh PPK; sumbangan murid kepada sekolah seperti
mengindahkan landskap dan mengendalikan majlis jamuan sekolah;
pengurangan kes ponteng sekolah dan peningkatan permintaan
daripada sekolah dan masyarakat untuk menawarkan MPV.
Kemahiran yang diperoleh murid juga dapat dibuktikan oleh
pencapaian cemerlang murid MPV kohort pertama dalam
peperiksaan SPM tahun 2003 bagi MPV. Dalam peperiksaan tersebut
tujuh daripada lapan MPV mencapai kelulusan lebih 99% dengan
tiga daripadanya mencapai kelulusan 100%. Murid lepasan MPV
juga berpeluang menduduki peperiksaan kendalian pusat latihan
industri selepas mengikuti kursus jangka pendek yang disediakan.
Secara keseluruhan dapat dikatakan bahawa pelaksanaan MPV telah
memberi nafas baru kepada golongan murid di sekolah harian yang
cenderung kepada aliran teknikal dan vokasional dalam meluaskan
peluang kerjaya mereka. Kesan faedah ini akhirnya dinikmati
semula oleh sektor industri apabila lebih ramai lepasan sekolah
dalam bidang teknikal dan vokasional bersedia untuk bekerja atau
diberi latihan lanjutan.
Lampiran 3
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
Mata pelajaran ini digubal secara tematik seperti berikut:
Sekolah Rendah Sekolah Menengah
Tema Tema
Sayangi Diri
Sayangi Keluarga
Pencapaian Kendiri
Hubungan Kekeluargaan
Hidup Bersama di Sekolah dan
Masyarakat
Kenali Budaya Malaysia
Malaysia Negaraku
Sedia Hadapi Cabaran
Hidup Bermasyarakat
Warisan Kepelbagaian Budaya
Malaysia
Malaysia Negara Berdaulat
Cabaran Masa Depan
Penggubalan tema ini mengambil kira dimensi peribadi dan
sosial murid yang berkembang dari diri individu, hubungan dengan
keluarga, komuniti sekolah, masyarakat luar sekolah, negara dan
cabaran masa depan.
Komponen Amali PSK
Murid juga diwajibkan menjalani kerja amali secara
berkumpulan di peringkat sekolah rendah dan menengah sekurang-
kurangnya 10 jam setahun. Kerja amali ini dilakukan di luar jadual
waktu persekolahan.
Di peringkat sekolah rendah, aktiviti ini dikenali sebagai Projek
Kewarganegaraan dan murid dikehendaki menghasilkan laporan dalam bentuk
portfolio. Projek yang dilaksanakan adalah mengikut tahun dan tema seperti berikut:
Tahun Tema
4 Sayangi Diri
Sayangi Keluarga
5Hidup Bersama di Sekolah dan Masyarakat
Kenali Budaya Malaysia
6Malaysia Negaraku
Sedia Hadapi Cabaran
Di peringkat sekolah menengah aktiviti ini dikenali sebagai Khidmat
Masyarakat dan murid dikehendaki menghasilkan laporan bertulis. Projek
yang dilaksanakan adalah mengikut tingkatan dan tema seperti berikut:
Tingkata
n
Tema
1Pencapaian Kendiri
Hubungan Kekeluargaan
2 Hidup Bermasyarakat
3 Warisan Kepelbagaian Budaya Malaysia
4 Malaysia Negara Berdaulat
5 Cabaran Masa Depan
Pelaksanaan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
Mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan akan
diperkenalkan secara berperingkat mulai tahun 2005 untuk murid Tahun 4
dan Tingkatan 1. Mata pelajaran ini merupakan mata pelajaran teras untuk
semua murid tahap dua di sekolah rendah dan semua murid sekolah
menengah. Jadual pelaksanaan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
adalah seperti berikut:
Tahun Peringkat
2005 Tahun 4 dan Tingkatan 1
2006 Tahun 5 dan Tingkatan 2
2007 Tahun 6 dan Tingkatan 3
2008 Tingkatan 4
2009 Tingkatan 5
Peruntukan waktu bagi Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan ialah 2 waktu untuk sekolah rendah dan
menengah. Di peringkat sekolah rendah, 2 waktu diambil daripada
mata pelajaran Kajian Tempatan, manakala bagi sekolah menengah
peruntukan waktu akan dilihat dari penstrukturan semula jadual
waktu persekolahan.
Pusat Perkembangan Kurikulum telah mengadakan kursus
Jurulatih Utama (JU) mata pelajaran ini untuk seluruh negara.
Jabatan Pelajaran Negeri dengan kerjasama JU bertanggungjawab
memberi kursus kepada guru-guru PSK di peringkat negeri.
Murid sekolah rendah dibekalkan buku teks, manakala murid
sekolah menengah dibekalkan modul PSK. Penilaian bagi mata
pelajaran ini adalah berasaskan sekolah.
Lampiran 4
PENDIDIKAN KEKELUARGAAN DAN SEKSUALOGI
Antara elemen pendidikan kesihatan keluarga/seksualiti dalam pendidikan
kesihatan adalah seperti berikut:
BIDANG / UNIT PEMBELAJARAN HURAIAN
Tahun 2
Pengurusan kesihatan diri Cara penjagaan pakaian
BIDANG / UNIT PEMBELAJARAN HURAIAN
menjaga pakaian dan alat keperluan
diri.
Memahami perasaan
Perasaan kasih sayang kepada ibu
bapa, guru dan rakan
Perbezaan organ seksual antara bayi
lelaki dan perempuan
dan alat keperluan diri
Cara menunjukkan kasih
sayang kepada ibu bapa,
guru dan rakan.
Cara bersalaman dengan
ibu bapa.
Tanggungjawab anak
terhadap ibu bapa.
Cara menunjukkan kasih
sayang kepada ibu bapa.
Perbezaan fizikal antara
bayi lelaki dan perempuan.
Tahun 4
Pengenalan sistem pembiakan
Lelaki
Perempuan
Seksualiti
Akil baligh
Perubahan fizikal
Pengurusan kesihatan diri
Amalan asas kesihatan
Penjagaan kebersihan diri khasnya
organ seksual
Pemeriksaan kesihatan
Alatan kebersihan diri
- Tuala wanita
- Pakaian dalam
- Sabun dan bedak
- Shampoo
Organ-organ dalam sistem
pembiakan manusia
Tanda-tanda fizikal akil
baligh.
Perubahan fizikal lelaki dan
perempuan pada peringkat
akil baligh.
Amalan asas kesihatan
harian dari segi aktiviti
penjagaan kebersihan diri,
pakaina, alat keperluan
diri.
BIDANG / UNIT PEMBELAJARAN HURAIAN
Tahun 6
Seksualiti
perubahan fiikal yang dialami oleh
remaja
saiz otot
pertumbuhan bulu
pertumbuhan payu dara
paras rupa
Menjaga kebersihan diri dan kedihatan
tubuh badan
Perubahan bahagian tubuh
badan semasa awal remaja
Pertumbuhan fizikal dari
kanak-kanak ke peringkat
remaja.
Penjagaan diri dan
kesihatan tubuh badan.
Kepentingan penjagaan
kebersihan fizikal semasa
remaja.
Tingkatan 4
Akibat seks sebelum kahwin
Sosial dan moral
melanggar hukum agama
Fizikal
mengandung
mengulangi perbuatan
Mental
Masa depan gelap
Tekanan emosi
1. Akibat seks sebelum
kahwin
Tingkatan 5
Akibat seks tidak normal
Definisi
Hubungan sejenis
Heteroseksual
HIV / AIDS
Penyakit STD (kelamin)
Seksualiti
Akibat seks tidak normal
terhadap kesejahteraan
masyarakat.
Risiko seks tidak normal.
BIDANG / UNIT PEMBELAJARAN HURAIAN
Akibat seks sebelum kahwin
mengandung
keruntuhan moral
mencemarkan nama baik keluarga
masa depan gelap
mengulangi perbuatan terkutuk
pembuangan anak
Kesan seks sebelum
kahwin
Lampiran 5
Matapelajaran Teknologi Maklumat (1999)
Matlamat kurikulum Teknologi Maklumat peringkat
sekolah ialah untuk membentuk murid yang berpengetahuan
secara menyeluruh tentang tekonologi maklumat dan
berkemahiran menangani maklumat dengan menggunakan
teknik dan perkakasan teknologi maklumat bagi
menyelesaikan masalah. Di samping pengetahuan dan
kemahiran, kurikulum Teknologil Maklumat juga membentuk
murid yang bersikap positif terhadap impak dan sumbangan
teknologi maklumat kepada masyarakat dan kehidupan
harian, supaya dapat menyumbang secara berkesan dan
sepenuhnya dalam masyarakat dan ekonomi berteknologi di
tempat mereka hidup dan bekerja.
250 buah sekolah telah menawarkan mata pelajaran ini
sejak tahun 1999. Setiap sekolah yang ingin menawarkan
mata pelajaran ini perlu memenuhi syarat yang telah
ditetapkan menerusi surat makluman KP(PPK)016/62/Jld.1(51)
bertarikh 15/2/2000. Kementerian membekalkan peralatan
dan perisian tambahan untuk pelaksanaan mata pelajaran ini.
Mata Pelajaran Produksi Multimedia
Mata pelajaran ini mula ditawarkan kepada murid
peringkat SPM pada tahun 2003. Ia digubal dengan tujuan
untuk menghasilkan murid yang berpengetahuan tentang
kaedah dan proses penghasilan produk multimedia serta
kebolehan untuk menggunakan peralatan khusus bagi
menghasilkan produk multimedia yang menarik dan berkualiti.
Pengalaman yang diperoleh melalui mata pelajaran ini
membolehkan murid untuk terus menceburi bidang pekerjaan
yang berkaitan dengan pengiklanan, rakaman studio dan
penyiaran.
8 buah sekolah telah menawarkan mata pelajaran ini.
Sekolah-sekolah berkenaan dilengkapkan dengan sebuah
makmal komputer yang diubah suai dan peralatan yang
diperlukan. Pada tahun 2004, pelaksanaan mata pelajaran ini
dipeluaskan ke 19 buah sekolah lagi.
Mata pelajaran Grafik Berkomputer
Mata pelajaran Grafik Berkomputer digubal dengan
tujuan untuk menghasilkan murid yang berpengetahuan
tentang kaedah dan proses penghasilan produk grafik serta
berkebolehan untuk menghasilkan produk grafik yangl
menarik dan berkualiti menggunakan peralatan teknologi
maklumat dan komunikasi. Pengalaman yang diperoleh
melalui mata pelajaran ini membolehkan murid untuk terus
menceburi bidang pekerjaan yang berkaitan dengan
penerbitan dan pengiklanan.
8 buah sekolah telah menawarkan mata pelajaran ini.
Sekolah-sekolah berkenaan dilengkapkan dengan sebuah
makmal komputer yang diubah suai dan peralatan yang
diperlukan. Pada tahun 2004, pelaksanaan mata pelajaran ini
dipeluaskan ke 28 buah sekolah lagi.
Program Literasi Komputer
Pada tahun 2005 Kementerian Pendidikan akan
melaksanakan satu lagi mata pelajaran baru iaitu mata
pelajaran Literasi ICT untuk murid-murid sekolah rendah.
Mata Pelajaran ini bertujuan untuk memberi kemahiran asas
tentang penggunaan perkakasan dan perisian komputer bagi
membantu murid-murid meningkatkan prestasi pembelajaran
menggunakan ICT. 75 buah sekolah telah dipilih untuk
melaksanakan mata pelajaran ini.
Penggunaan Komputer dalam Pengajaran dan
Pembelajaran
Penggunaan ICT telah diperluaskan dalam aktiviti
pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti pengajaran dan
pembelajaran berikut dipertingkatkan dengan bantuan
penggunaan keomputer sebagai alat Bantu mengajar.
Perisian-persian pendidikan yang sesuai telah dikenal pasti
dan dibekalkan untuk tujuan ini.
i. Mata pelajaran Reka Cipta
Di antara objektif mata pelajaran ini adalah untuk
membolehkan murid menggunakan Reka Bentuk
Berbantu Komputer (CAD) dalam perekaan produk.
Sekolah-sekolah yang terpilih adalah sekolah-sekolah
yang telah memiliki perkakasan komputer. Manakala
perisian Reka Bentuk Berbantu Komputer (CAD) dan
SCAD) dibekalkan.
ii. Mata pelajaran Seni Visual
Sekolah-sekolah yang terpilih dibekalkan dengan
2 komputer dan 1 perisian Adobe Photoshop. Murid
menggunakan komputer dan perisian yang dibekalkan
untuk menghasilkan lukisan berbantu komputer.
iii. Mata pelajaran Bahasa Melayu
Semua sekolah menengah dan 80% sekolah
rendah telah dibekalkan dengan perisian Dewan Eja.
Murid menggunakan perisian ini untuk membantu
mereka mengarang. Perisian ini boleh membantu murid
menyemak ejaan, erti perkataan dan struktur ayat.
iv. Mata pelajaran Bahasa Inggeris
Dalam tahun 2002, Pusat Perkembangan
Kurikulum (PPK) telah membekalkan perisian
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris ke
sekolah-sekolah yang terlibat dalam Projek Komputer
Dalam Pendidikan. Di antara perisian yang dibekalkan
ialah :-
a. Having Fun With Lipo
b. Picto
c. Elementary English
d. Enov 8
e. Net Language
f. ‘A’ Star
g. Author Plus
v. Mata pelajaran Bahasa Tamil
500 buah Jenis Kebangsaan Tamil telah dibekalkan
dengan perisian pemprosesan perkataan Murasu. Murid
menggunakan perisian dini dalam aktiviti pengajaran
dan pembelajaran Bahasa Tamil.
vi. Mata pelajaran Bahasa Cina
Perisian Chinese Star dibekalkan kepada 879
Sekolah Menengah Kebangsaan yang menawarkan
Bahasa Cina dan 1,284 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
Murid menggunakan perisian ini untuk mengarang
dalam Bahasa Cina dan mencari maklumat di Internet
yang memaparkan dalam Bahasa Cina.
vii. Pendidikan Pra sekolah
Tahun 2003 adalah tahun permulaan untuk murid-
murid kelas Pra-Sekolah mendapat pendedahan tentang
ICT. Penggunaan ICT diintegrasikan ke dalam aktiviti
pengajaran dan pembelajaran bertujuan untuk
membantu murid-murid Pra-Sekolah belajar dengan
lebih berkesan di samping mendapat pendedahan
kepada penggunaan perkakasan dan perisian ICT.
Sebanyak 2,731 sekolah rendah yang melaksanakan
kelasj Pra-Sekolah delengkapkan dengan 2 buah
komputer bagi setiap kelas Pra-Sekolah dan perisian
untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Projek Malaysian SchoolNet
Malaysian SchoolNet atau nama singkatan mySchoolNet
merupakan satu projek Kementerian Pendidikan menggunakan
teknologi internet sebagai medium dalam aktiviti pendidikan di
sekolah. MySchoolNet berfokus kepada pembangunan aktiviti
pendidikan berasaskan internet yang berfungsi sebagai satu Web
Portal dengan memberi perkhidmatan kepada 3 sasaran pengguna
utama iaitu:
i. Murid
ii. Guru
iii. Pentadbir Sekolah
Tujuan laman MySchoolNet adalah untuk merealisasikan
kativiti pendidikan melalui Internet sebagai platfom penyebaran
maklumat dan sumber P&P. Laman MySchoolNet bertujuan untuk
meningkatkan kemahiran menggunakan Internet dan
memperluaskan capaian kepada maklumat am dan sumber
pendidikan di kalangan murid, guru dan pentadbirl sekolah.
Laman web MySchoolNet dibahagikan kepada 3 bahagian utama
iaitu:
i. Laman Murid disediakan untuk murid mengakses
maklumat berkaitan dengan aktiviti kurikulum,
kepimpinan dan kokurikulum, pengetahuan am serta
aktiviti interaktif. Laman ini dibahagikan kepada
beberapa segmen seperti berikut:
a. Tutorial
b. Belajar IT
c. Tahukah Anda?
d. Persatuan/Kelab
e. Kaunseling
f. Pakatan Pintar
Memaparkan berita terkini dan memberi akses kepada pautan
luaran berkaitan dunia pendidikan.
i. Laman Guru
Laman Guru dibangunkan dengan tujuan seperti berikut:
a. Membantu guru melaksanakan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran berasaskan Internet selaras dengan
perkembangan ICT dalam pendidikan;
b. Meningkatkan pengetahuan sedia ada guru dalam
aspek-aspek penting pendidikan seperti kaedah
pengajaran dan pembelajaran serta sukatan dan
huraian sukatan pelajaran terkini; dan
c. Meluaskan pengalaman dan pengetahuan guru melalui
perkongsian idea secara online.
ii. Laman Guru menyediakan beberapa segmen iaitu:
a. Model Pengajaran dan Pembelajaran
b. Pentaksiran
c. Belajar IT
d. Pakatan Pintar dan
e. Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran.
I
iiv. Laman Pentadbir
Laman Pentadbir mengandungi maklumat terkini dan
menyediakan pelbagai bahan rujukan untuk keperluan
pentadbir sebagai pemimpin organisasi pendidikan di sekolah
dengan lebih efisien.
Laman Pentadbir mengandungi bahan-bahan yang
berfokus kepada:
a. Pengurusan Sekolah
b. Profesion
c. Pakatan Pintar
d. Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran.
Projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris
Projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris mula dilaksanakan pada
tahun 2003 untuk murid-murid Tahun 1, tingkatan 1 dan
Tingkatan 6 Rendah. Kerajaan telah membekalkan Notebook
dan peralatan lain kepada sekolah-sekolah bagi membantu
melancarkan pelaksanaan projek tersebut. Peralatan yang
telah dibekalkan kepada sekolah-sekolah bagi pelaksanaan
projek ini terdiri daripada:
a. Notebook
b. Projek LCD dan layar putih
c. Troli
d. Speaker dan sub-woofer
e. Uninterruptable Power Supply (UPS)
f. Televisyen (untuk sekolah kurang daripada 150
orang murid) untuk mengantikan projector LCD.
Hasil Kajian Pusat Perkembangan Kurikulum, KPM
mendapati pencapaian Murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 di
kawasan Bandar dan luar Bandar dalam mata pelajaran Sains
dan Matematik menunjukkan prestasi yang
memberangsangkan setelah enam bulan projek menunjukkan
pencapaian purata skor yang menggalakkan bagi setiap mata
pelajaran berkenaan.
Pemantauan keseluruhan oleh Jemaan Nazir Sekolah,
Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan
pihak sekolah turut menunjukkan peningkatan besar,
khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Grid Pembelajaran Kebangsaan (Malaysia Grid For
Learning – MyGfL)
MyGfL adalah portal e-Pembelajaran menggunakan
Sistem Pengurusan Pembelajaran yang menyediakan
kandungan digital setempat (indigenous) untuk tujuan
pembelajaran secara on-line. Projek ini dibiayai melalui
peruntukan Demonstrator Application Grant Scheme (DAGS).
MyGfL mengandungi komponen-komponen berikut:
i. Teacher’s Resource Exchange (TRE) & Virtual
Teacher Centre (VTC)
ii. MyGuru
iii. MyTest
iv. Objektif
Selain membina sumber berkualiti untuk seluruh komuniti
pendidikan melalui internet berasaskan konsep e-learning, MyGfL
turut meningkatkan kompetensi ICT (pembelajaran) Sekolah Luar
Bandar serta menyumbang kepada komuniti sekolah dan setempat.
Lampiran 6
PEMBELAJARAN LUAR BILIK DARJAH
Strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan
memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan minat
murid terhadap pembelajaran dan mengukuhkan mutu pendidikan
negara. Pengajaran dan pembelajaran yang kurang menarik akan
membosankan murid dan seterusnya mempengaruhi pencapaian
murid. Satu strategi pengajaran dan pembelajaran dalam KBSR dan
KBSM yang mempunyai potensi tetapi tidak diamalkan sepenuhnya
ialah pembelajaran di luar bilik darjah.
Pembelajaran luar bilik darjah (PLBD) merupakan salah satu
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang amat menarik dan
berkesan jika dilaksanakan secara elektif dan bijaksana. PLBD
adalah satu aktiviti terancang dengan objektif yang jelas.
Pembelajaran dan pengajaran secara ini lebih berbentuk
penerokaan yang berpusatkan murid.
Beberapa jenis aktiviti sesuai dijalankan supaya
merealisasikan pembelajaran luar bilik darjah. Ini termasuk lawatan
bertujuan, kerja lapangan dan aktiviti penerokaan. Kesemua jenis
aktiviti perlu dirancang terlebih dahulu oleh pihak sekolah yang
mengelolakan aktiviti tersebut supaya menghasilkan manfaat
kepada pembelajaran murid. Aktiviti PLBD yang dijalankan
seharusnya merangkumi ciri-ciri berikut:
i.ada kaitan dengan kurikulum mata pelajaran
ii.mempunyai aturcara aktiviti dan pelaporan
iii.menggalakkan murid bekerja dalam kumpulan
iv.melibatkan pembelajaran oleh murid secara aktif
v.memberi peluang untuk murid menambah pengetahuan
i) Lawatan Bertujuan
Pusat yang dilawati hendaklah sesuai dengan objektif
pembelajaran yang hendak dicapai. Pada masa ini terdapat banyak
pusat yang boleh dilawati bagi tujuan ini; agensi kerajaan pusat,
agensi kerajaan negeri, badan berkanun atau swasta. Kebanyakan
pusat ini menyediakan pelbagai program khas untuk pelawat seperti
murid sekolah. Buku aktiviti, lembaran maklumat atau lembaran
aktiviti juga disediakan. Dengan sedikit usaha tambahan, bahan itu
boleh digunakan oleh guru menjadikan aktiviti PLBD dijalankan
dengan bermakna, seronok dan menghidupkan pembelajaran
sesuatu tajuk dalam kurikulum sekolah.
Antara pusat-pusat yang boleh dipertimbangkan adalah:
i. Muzium Negara/Muzium Negeri
ii. Zoo Negara/zoo negeri
iii. Pusat Sains Negara
iv. Petrosains
v. PORIM
vi. MARDI
vii. FRIM
Di samping itu lawatan ke pusat yang tidak menyediakan
program khas untuk murid boleh juga dilakukan. Pusat-pusat
seperti kilang-kilang, ladang tanaman, dan ladang ternakan. Walau
bagaimanapun guru perlu menyediakan tugasan yang sesuai dan
berkaitan dengan lawatan untuk murid supaya mereka belajar dari
lawatan itu dan berbincang pendapat mereka dengan rakan sebaya.
ii) Kerja Lapangan
Aktiviti lapangan sesuai dijalankan oleh murid dalam
kumpulan. Aktiviti sedemikian boleh dijalankan di persekitaran
sekolah, kawasan berhampiran dengan sekolah atau di suatu lokasi
yang tertentu. Dengan perancangan yang rapi aktiviti lapangan
boleh merangkumi pelbagai tugasan yang sesuai untuk semua
murid yang masing-masingnya mempunyai pelbagai kecerdasan.
Kemahiran seperti memerhati, merekod, melapor dapat
diperkembangkan. Aktiviti kerja lapangan juga boleh mencetuskan
minat dan sifat ingin tahu murid supaya melanjutkan pengetahuan
mereka melalui bacaan dan rujukan tambahan serta perbincangan
dengan rakan dan guru. Bagi murid yang berminat tinggi, kerja
lapangan boleh menggalakkan mereka menjalankan kajian terhadap
perkara yang merangsangkan minda mereka.
Berikut adalah satu sampel tentang berbagai kerja lapangan yang
sesuai:
i. mengenal pasti spesis burung/pokok/bunga di persekitaran
sesuatu lokasi
ii. mengkaji jenis perniagaan di sepanjang satu jalan/dalam
satu pekan kecil
iii. mengkaji ‘trend’ hujan yang turun di sesuatu kawasan
iv. mengkaji kesan hakisan tanah
v. mengkaji pencemaran alam di suatu kawasan
iii) Aktiviti Penerokaan
Satu lagi kategori aktiviti PLBD yang boleh dilaksanakan oleh
sekolah merupakan aktiviti penerokaan di lokasi yang memberi
cabaran kepada murid. Cabaran yang dihadapi oleh murid dalam
aktiviti penerokaan termasuk cabaran fizikal dan mental. Justeru
itu, aktiviti penerokaan memberi peluang kepada murid untuk
bekerja dalam kumpulan, membina semangat berpasukan serta
membina kemahiran menyelesaikan masalah.
Contoh aktiviti penerokaan yang boleh dipertimbangkan
adalah seperti perkhemahan, mendaki bukit dan orienteering.
Aktiviti penerokaan sebaiknya diuruskan oleh guru yang
mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam jenis aktiviti yang
ditetapkan terlebih dahulu. Walau bagaimanapun guru-guru pelapis
perlu dilatih mengelolakan aktiviti penerokaan tersebut supaya
aktiviti sedemikian dapat dilaksanakan secara berlanjutan oleh
sekolah dan melibatkan warga sekolah dengan lebih meluas.
Kaedah pembelajaran luar bilik darjah mempunyai potensi
menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih menarik, berkesan
dan menyeronokkan. Selanjutnya pelaksanaan PLBD ini diharapkan
dapat melahirkan individu yang boleh bertindak dengan lebih
berautonomi, bertanggungjawab, berpengetahuan di samping
mempunyai nilai-nilai estetik dan dapat berkomunikasi dengan baik.
Walau bagaimanapun kerjasama yang lebih erat antara sekolah
dengan institusi dan agensi yang berkenaan perlu dipertingkatkan
dalam menyediakan program yang lebih menarik dan bermutu.
Pada masa yang sama, guru perlu mengambil inisiatif merancang
dan mengendalikan penggunaan sumber luar bilik darjah dalam
pengajaran dan pembelajaran semua mata pelajaran. Sokongan
moral dan kewangan perlu diberi oleh pihak sekolah, ibu bapa,
Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk
menjayakan program ini.
Top Related