GAYA PENGAJARAN GRASHA DALAM KALANGAN GURU-GURU
SAINS DAN MATEMATIK DI SEKOLAH MENENGAH DI DAERAH
PENAMPANG SABAH
Clarice Canisius¹ dan PM Aziz B Nordin²
Fakulti Pendidikan,
¹ Fakulti Pendidikan, [email protected]
²Fakulti Pendidikan, [email protected]
Universiti Teknologi Malaysia, 81310 Skudai Johor
ABSTRAK: Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti gaya pengajaran yang diamalkan oleh
guru-guru sains dan matematik di sekolah–sekolah menengah di Daerah Penampang Sabah.
Empat buah sekolah yang telah terlibat dalam kajian ini. Gaya pengajaran yang dikaji adalah
gaya pengajaran pakar, autoriti formal, model personal dan juga gaya pengajaran delegator.
Instrumen kajian yang digunakan adalah soal selidik berdasarkan gaya pengajaran Anthony
F. Grasha. Seramai 55 orang guru-guru sains dan matematik telah terlibat sebagai sampel
kajian. Rekabentuk kajian adalah menggunakan kaedah tinjauan berbentuk deskriptif. Semua
data yang diperolehi dianalisis dengan menggunakan perisian komputer Statistical Package
for Science Social (SPSS) Version 16.0. Hasil kajian menunjukkan kebanyakan guru
menggunakan gaya pengajaran model personal manakala gaya pengajaran yang kurang
digunakan ialah gaya pengajaran delegator. Berdasarkan kepada kajian ini, beberapa
cadangan telah dikemukakan bagi meningkatkan lagi mutu pengajaran para guru.
Kata kunci: Gaya pengajaran guru, gaya pengajaran Grasha
1. Pengenalan
Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Kedua, guru didefinisikan sebagai orang yang
kerjanya mengajar, pengajar atau pendidik. Tugas guru-guru bukan setakat memberi
maklumat dan memenuhkan otak pelajar dengan ilmu pengetahuan malah lebih dari itu.
Guru-guru juga menanam adat yang baik ke dalam jiwa mereka dan mendidik mereka
menjadi warganegara yang baik dan berguna. Selain dapat membantu pelajar mengikuti
proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih mudah, guru juga perlu prihatin terhadap
perkembangan dan keperluan semasa pelajar (Juliawati, 2006). Oleh itu pengajaran adalah
aktiviti-aktiviti yang bermatlamat dan mempunyai tujuan di mana pendidik berkongsi
maklumat dengan pelajar bagi membolehkan mereka menyempurnakan tugasan yang tidak
boleh disempurnakan sendiri sebelum itu (Shahabuddin et al., 2003).
Solon Community School District (2003) mengatakan bahawa pencapaian yang
rendah sering dikaitkan dengan pelajar berisiko di mana secara langsung mereka ini tidak
dapat mencapai matlamat program pendidikan. Oleh sebab itu, sesi pengajaran dan
pembelajaran haruslah diberikan penekanan yang sewajarnya di mana guru
bertanggungjawab untuk menyusun setiap pengajaran agar dapat menarik minat para pelajar
supaya semua maklumat dapat disampaikan semaksimumnya. Selain itu gaya pengajaran
guru juga merupakan salah satu faktor yang boleh menyebabkan naik atau turun prestasi
pelajar itu. Olivia (1988) menerangkan gaya pengajaran sebagai satu set ciri-ciri peribadi
yang menunjukkan dengan jelas seseorang individu sebagai seorang tenaga pengajar yang
unik.
2. Latarbelakang masalah
Seperti yang diketahui umum, tugas guru adalah satu tugas yang penting mencabar
iaitu mengajar pelajar menjadi orang yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan juga
Negara. Di dalam kelas, guru akan bertindak sebagai pendidik, fasilitator atau pemudahcara.
Oleh itu, para pendidik perlu tahu cara atau gaya pengajaran yang sesuai untuk mereka
sampaikan kepada pelajar untuk menghasilkan pembelajaran yang berkesan. Menurut Khalid
(1993), pembelajaran berkesan bermakna satu usaha yang teratur, bersistem, bertertib serta
optimum yang menyatupadukan dan memanfaatkan kesemua komponen pembelajaran untuk
kejayaan yang paling maksimum. Terdapat pelbagai perbezaan gaya mengajar dalam
kalangan guru-guru. Grasha (1996) menghuraikan gaya pengajaran sebagai orientasi dan
strategi yang digunakan oleh sesuatu institusi. Pada masa kini, ada guru yang lebih cenderung
gaya pengajaran berpusatkan guru dan ada yang lebih kepada gaya pengajaran yang
berpusatkan pelajar
kajian ini untuk mengenalpasti gaya pengajaran oleh guru-guru sains dan matematik
di Sekolah Menengah di Daerah Penampang Sabah.
3. Objektif Kajian
Objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti perkara-perkara berikut:
i) Mengenalpasti gaya pengajaran iaitu gaya pengajaran pakar, autoriti formal, model
personal, pemudahcara dan delegator yang diamalkan dalam kalangan guru-guru
sains dan matematik di sekolah menengah di daerah penampang sabah.
ii) Mengenalpasti gaya pengajaran dalam kalangan guru-guru sains dan matematik di
Sekolah Menengah di Daerah Penampang Sabah mengikut jantina.
iii) Mengenalpasti perbezaan gaya pengajaran di antara guru sains dan guru matematik.
4. Persoalan Kajian
Menurut Abd. Majid (2000), persoalan kajian membolehkan penyelidik mengaitkan teori
dengan cerapan di mana ia adalah saranan sementara yang menjelaskan sesuatu fenomena
yang dikaji sebagai penyelesaian masalah. Berikut adalah persoalan-persoalan kajian yang
cuba dijawab dalam kajian ini:
i) Adakah guru-guru sains dan matematik mengamalkan gaya pengajaran pakar, autoriti
formal, model personal, pemudahcara atau gaya delegator semasa mengajar?
ii) Apakah gaya pengajaran yang paling dominan digunakan oleh guru-guru matematik
mengikut jantina?
iii) Adakah terdapat perbezaan gaya pengajaran di antara guru sains dan guru matematik?
5. Hipotesis Kajian
Hipotesis nol untuk kajian ini ialah:
Hо1: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara gaya pengajaran
dengan jantina.
Hо2: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara gaya
pengajaran guru sains dan guru matematik.
5. Metodologi kajian
Rekabentuk kajian ini adalah rekabentuk kuantitatif dengan kaedah tinjauan deskriptif
melalui borang soal selidik dan kaedah inferensi iaitu melalui ujian t. Menurut Mohd Najib
(1999), kajian berbentuk deskriptif sesuai digunakan dalam penyelidikan bermatlamat untuk
menerangkan sesuatu masalah atau fenomena yang sedang berlaku. Beliau juga menyatakan
bahawa dalam melaksanakan kajian secara deskriptif, yang mana kajian adalah berbentuk
tinjauan, penggunaan soal selidik adalah sangat sesuai kerana boleh mendapat banyak
maklumat dalam masa yang singkat. Selain daripada itu, pengumpulan data melalui cara ini
adalah lebih terkawal dari segi mutu data yang diperolehi serta data tersebut mudah diproses
(Ahmad Mahdzan, 1995). Dalam kajian ini, sampel kajian terdiri daripada 55 orang guru-
guru yang mengajar subjek sains dan matematik di sekolah menengah di Daerah Penampang
Sabah.
Kajian ini menggunakan borang soal selidik sebagai alat untuk mendapatkan
maklumbalas dan pengumpulan data. Instrumen yang digunakan merangkumi dua bahagian
dimana Bahagian A adalah Soalan-soalan berkaitan dengan latar belakang responden dan
Bahagian b ialah item-item kajian berdasarkan objektif kajian.
6. Dapatan Kajian dan Perbincangan
Berdasarkan data-data yang diperolehi daripada analisis data yang telah dibuat,
dapatan menunjukkan objektif pertama, kedua, dan ketiga berjaya ditafsirkan dengan baik.
Hasil analisis keseluruhan menunjukkan gaya pengajaran yang paling dominan diamalkan
oleh guru-guru sains dan matematik adalah gaya pengajaran model personal iaitu dengan
catatan min 4.00. Guru yang mengamalkan gaya pengajaran ini percaya bahawa
pembelajaran akan berlaku sekiranya pelajar mencontohi gaya guru. Pelajar diberi tunjuk
ajar, bimbingan serta cara sekiranya mereka mempunyai masalah semasa belajar. Selain itu
juga guru-guru yang mempunyai gaya pengajaran model personal yang tinggi didapati amat
mementingkan penguasaan isi pelajaran bagi pelajar-pelajarnya. Mereka sering menunjukkan
kepada pelajar bagaimana untuk menguasai isi pelajaran, konsep, prinsip dan sering
mengaitkannya dengan memberikan contoh-contoh berdasarkan pengalaman sendiri. Gaya
pengajaran yang paling kurang tetapi masih berada pada tahap yang tinggi diamalkan oleh
guru-guru sains dan matematik adalah gaya pengajaran delegator dengan min sebanyak 3.70.
Pendekatan pengajaran delegator ialah penyampaian pengajaran secara dua hala iaitu antara
guru dan pelajar. Kelemahan gaya pengajaran ini pula pelajar tidak berupaya menjalankan
kerja dengan betul dan sekiranya tidak diselia oleh guru, pelajar akan cemas dalam membuat
keputusan dan tidak dapat meneruskan proses pembelajaran.
Jadual 1.0: Ringkasan Dapatan Persoalan Kajian 1
Pembolehubah Min keseluruhan Tahap
Gaya Pakar
Gaya Autoriti Formal
Gaya Model Personal
Gaya Pemudahcara
Gaya Delegator
4.00
3.77
4.10
4.02
3.70
Tinggi
Tinggi
Tinggi
Tinggi
Tinggi
Ujian-t digunakan untuk melihat perbezaan di antara guru lelaki dan guru perempuan
mengikut gaya pengajaran. Secara keseluruhan, hipotesis nol bagi gaya pengajaran pakar,
autoriti formal, model personal dan delegator adalah diterima kecuali gaya pengajaran
pemudahcara hipotesis nol ditolak kerana p < 0.05 . Ini bermakna tidak terdapat perbezaan
gaya pengajaran pakar, autoriti formal, model personal dan delegator mengikut jantina. Guru
lelaki dan perempuan mempunyai gaya pengajaran yang sama iaitu pada aras sederhana.
Hasil kajian ini tidak menyokong kajian yang dilakukan oleh Mazni (1996) yang mendapati
guru lelaki lebih meminati gaya pengajaran pemudahcara berbanding perempuan.
Jadual 1.1: Ringkasan Dapatan Persoalan Kajian 2
Gaya Pengajaran Jantina Min Aras Signifikan (p)
Gaya Pakar Lelaki 3.93 0.42 Perempuan 4.03
Gaya Autoriti Formal Lelaki 3.57 0.07
Perempuan 3.76
Gaya Model Personal Lelaki 3.97 0.08
Perempuan 4.16
Gaya Pemudahcara Lelaki 3.90 0.03
Perempuan 4.09
Gaya Delegator Lelaki 3.80 0.13
Perempuan 3.93
Total 55
Hipotesis nol yang kedua dalam kajian ini ialah untuk melihat perbezaan gaya pengajaran di
antara guru sains dan guru matematik. Daripada dapatan kajian menunjukkan hipotesis nol
diterima untuk kesemua gaya pengajaran kerana p > 0.05. Ini bermakna tiada perbezaan gaya
pengajaran di antara guru-guru sains dan matematik. Guru-guru sains dan matematik
mengamalkan kesemua gaya-gaya pengajaran mengikut gaya pengajaran Anthony F.Grasha.
Ini mungkin disebabkan, guru tersebut mengajar sains dan juga mengajar matematik. Secara
tidak langsung penerapan gaya pengajaran yang sama itu ada ketika mengajar subjek yang
berlainan tetapi dari sudut yang berbeza mengikut topik dalam mata pelajaran itu. Selain itu
juga kebolehan guru mempelbagaikan gaya pengajaran dalam pengajaran dan pembelajaran
boleh menarik minat pelajar.
Jadual 1.2: Ringkasan Dapatan Persoalan Kajian 3
Gaya Pengajaran Jantina Min Aras Signifikan (p)
Gaya Pakar Lelaki 3.93 0.42 Perempuan 4.03
Gaya Autoriti Formal Lelaki 3.57 0.07
Perempuan 3.76
Gaya Model Personal Lelaki 3.97 0.08
Perempuan 4.16
Gaya Pemudahcara Lelaki 3.90 0.03
Perempuan 4.09
Gaya Delegator Lelaki 3.80 0.13
Perempuan 3.93
Total 55
7. Cadangan
Berdasarkan perbincangan dan rumusan yang telah dibuat daripada kajian ini, maka
beberapa cadangan yang boleh membantu untuk memantapkan lagi pengajaran guru
diberikan. Berikut adalah beberapa strategi bagi memastikan proses pengajaran dan
pembelajaran bersesuaian dengan pelajar-pelajar yang berbeza tahap kognitifnya.
i. Guru perlu mewujudkan hubungan dua hala yang baik di antara guru dan
pelajar. Menurut Grasha (1996), guru-guru yang berkeyakinan mengajar akan
lebih berminat untuk mewujudkan hubungan guru-pelajar yang selamat.
ii. Guru-guru juga sepatutnya memberi penekanan dan tumpuan dengan
penggunaan multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran untuk
meningkatkan penguasaan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
iii. Guru hendaklah lebih mempelajari gaya pengajaran berpusatkan pelajar (gaya
pengajaran fasilitator dan delegator) agar proses pembelajaran berlangsung
dengan lebih berkesan dan bersifat interaksi dua hala.
iv. Guru hendaklah mengambil inisiatif sendiri untuk meningkatkan tahap
profesionalisme mereka dengan menghadiri seminar atau pembentangan kertas
kerja berkaitan gaya pengajaran yang digunakan supaya lebih berkesan dan
boleh menarik minat pelajar.
8. Kesimpulan
Dapatan dari kajian ini diharap dapat memberikan gambaran tentang gaya pengajaran guru-
guru sains dan matematik di sekolah menengah di daerah Penampang Sabah. Hasil kajian
telah menunjukkan bahawa guru-guru yang mengajar di sekolah tersebut mengamalkan
kesemua gaya pengajaran seperti dalam inventori gaya pengajaran Anthony F.Grasha semasa
sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Walau bagaimanapun, gaya pengajaran yang
paling banyak digunakan ialah gaya pengajaran model personal. Dengan mengetahui gaya
pengajaran yang paling banyak digunakan di empat buah sekolah menengah ini, diharap satu
kesimpulan yang jelas dapat dibentuk dan hasil kajian ini diharap dapat memberikan
sumbangan kepada pelajar, guru-guru, sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia dan
seluruh warga institusi pendidikan. Harapan penyelidik kepada para guru agar dapat
memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran supaya dapat membimbing anak
bangsa ke mercu kejayaan dalam bidang pendidikan dan membentuk sebuah masyarakat
berintelek tinggi bagi menjamin kemajuan Negara di masa hadapan. Sesungguhnya, pelajar
yang cemerlang ialah hasil didikan guru yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Rujukan
Ahmad Mahdzan Ayob (1995). Kaedah Penyelidikan Sosioekonomi. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Grasha, Anthony F. (1996). Teaching with Styles, a Practical Guide to Enhancing
Learning by Understanding Teaching and Learning Styles. Pittsburgh:
Alliance Publishers.
Juliawati Ibrahim (2006). Gaya pengajaran guru bahasa daerah Hulu Langat: Satu
kajian tinjauan.. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia,
Bangi: Kertas Projek Sarjana Pendidikan
Khalid Mohd. Nor ( 1993 ). Kaedah Pembelajaran Berkesan . Kuala Lumpur :
Cahaya Pantai ( M ) Sdn. Bhd.
Mazni Sulaiman (1996). Hubungan Ciri Personaliti dan Gaya Pengajaran guru
pelatih 5 kursus diploma pendidikan Malaysia di maktab perguruan raja
melewar, seremban mengikut jantina, umur, kelulusan asas dan etnik.
Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi.Tesis Sarjana.
Mohamad Najib Abdul Ghafar (1999). Penyelidikan Pendidikan. Johor Bahru:
Universiti Teknologi Malaysia.
Olivia, F. P. (1987). Developing the Curriculum. USA: Scott, Foresman and
Company.
Shahabudin Hashim, Mahani Razali dan Ramlah Jantan (2003). Psikologi
Pendidikan. Kuala Lumpur: PTS Publications & Distribution Sdn.Bhd.
Solon Community School District. DRAFT. 2003. At risk plan of services
Top Related