INTERAKSI ANTARA TAMADUN
1.0 Pendahuluan
Setiap masyarakat di dunia mempunyai definisi yang tersendiri tentang konsep
tamadun. Bagi masyarakat Barat, tamadun dikaitkan dengan pembangunan lahiriah
terutamanya dalam hal-hal kebudayaan seperti penulisan, undang-undang, kesenian dan
pembandaran. Menurut pandangan beberapa sarjana Barat, misalnya, Gordon Childe,
pencapaian lahiriah merupakan kayu ukur kemajuan tamadun dalam sesebuah
masyarakat.Darcy Riberio dan R.A. Buchanan pula menolak unsur rohaniah sebaliknya
hanya menekankan kepentingan dan pembangunan lahiriah dalam proses perkembangan
tamadun.
Menurut Islam, tamadun mestilah merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah.
Oleh itu, Islam menekankan pembangunan lahiriah dan rohaniah. Kedua-dua unsur ini
penting untuk mengukur tahap ketamadunan sesebuah masyarakat. Mengikut pandangan
Syed Naquib al-Attas, tamadun ialah pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan
kebudayaan yang luhur oleh sesebuah masyarakat.Pandangan sarjana Islam ini turut
disokong oleh sarjana Barat seperti Richard Sullivan yang mengakui bahawa unsur rohaniah
sangat penting dalam konsep tamadun.
Melalui perbezaan dan persamaan ini, negara-negara di Asia telah berjaya
mewujudkan interaksi antara pelbagai tamadun yang berjiran sejak beberapa dekad silam
dan terbukti dapat terjalin secara harmonis. Sebagai contohnya, interaksi antara Tamadun
Cina dan Islam terjalin melalui Laluan Sutera dan Tamadun India dengan Alam Melayu
melalui laluan lautan Hindi. Antara tamadun-tamadun ini tidak wujud satu pertembungan
yang bersifat konflik seperti yang diistilah oleh S. Huntington sebagai Clash of civilization.
Satu ciri sepunya yang dikongsi bersama dan berfungsi membangun tamadun-tamadun
besar Asia ialah kerana dasar pembinaannya berteras kepada nilai keagamaan dan etika.
Sebaliknya, pasti berlaku konflik lantaran perbezaan nilai yang ketara antara dua tamadun
seperti pertembungan tamadun moden yang jelas didominasi oleh Tamadun Barat dengan
Tamadun Timur yang berteras nilai tradisional. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa selepas
kedatangan penjajah Barat ke beberapa negara di Asia sejak abad ke 16 masihi telah
mencetuskan rangkaian konflik hingga masa kini.
Dalam sejarah Malaysia, Perlembagaan Malaysia menjadi sumber rujukan dan bukti utama
wujudnya interaksi antara tamadun. Selain itu, kedudukan Malaysia di tengah-tengah laluan
perdagangan dan kebudayaan Asia telah mendedahkan negara ini kepada pelbagai
pengaruh yang tercerna hasil interaksi dengan tamadun-tamadun berhampiran. Justru itu,
pengaruh Tamadun Islam, China, India dan juga tamadun pribumi jelas ketara dan memberi
kesan besar kepada nilai dan budaya masyarakat Malaysia, tanpa menafikan hak ketuanan
Melayu sebagai bangsa peribumi dan bangsa yang menunjang ke arah pembinaan dan
perkembanagn tamadun negara ini.
1.1 FAKTOR-FAKTOR INTERAKSI ANTARA KAUM
1.1.1 Kepimpinan
Faktor ini merupakan faktor terpenting yang mempengaruhi interaksi antara tamadun di
Malaysia. ini boleh disimpulkan pemimpin atau raja bersikap adil dan toleran, interaksi boleh
berlaku dengan keadaan yang aman dan damai. Fenomena sebaliknya yang akan berlaku
seperti peperangan, perbalahan dan pergaduhan kaum sekiranya pemimpin bertindak
sebagai kuku besi dan kejam. Sejarah telah membuktikan dua sikap berbeza di kalangan
para pemimpin sebagai contoh, Nabi Muhammad SAW tidak menyekat orang Yahudi dan
Kristian dalam pemerintahan Madinah, sebaliknya hak mereka dilindungi undang-undang.
Kedua pula, kerajaan Islam Ghaznawi, Delhi dan Moghul di India bertoleransi kepada
penganut Hindu malah pegawai dilantik dari kalangan mereka.
Terdapat juga contoh pemimpin yang tidak bertoleransi seperti yang dapat dilihat pada
Sultan Shamsuddin Altamish di India yang bertindak keras terhadap penganut Hindu.
Demikian juga dengan Han Wu Ti dalam Dinasti Han telah melaksanakan dasar memihak
kepada cendikiawan Konfusianisme berbanding sami Buddha.
1.1.2 Sikap Golongan Agama
Kesemua golongan agama mampu untuk mewujudkan suasana harmoni dan
memberi penekanan sifat keinsanan. Ini kerana setiap agama bersungguh-sungguh untuk
menerapkan nilai-nilai kemanusian, kemuliaan dan kemakmuran di dalam kehidupan
seharian manusia. Sebagai contohnya, sikap dan akhlak mulia yang dipamerkan ulama
Islam di Alam Melayu memudahkan berlakunya interaksi dan Islamisasi. Mereka telah
berjaya memberi pandangan Islam yang sebenar tentang nilai-nilai kehidupan kepada
penduduk Alam Melayu. Mereka juga telah membentuk pendidikan formal dengan
mendirikan beberapa institusi yang dikenali dengan pelbagai nama seperti pondok,
pesantren, madrasah dan dayah (Acheh). Hasilnya, muncul ramai ulama di rantau Alam
Melayu seperti Hamzah Fansuri, Abdul Rauf al-Singkeli dan lain-lain.
Walaupun ada sikap sesetengah golongan agama yang mencetuskan konflik namun
tragedi ini tidak mengguris sedikit pun martabat agama dalam pemikiran masyarakat Asia.
Agama dan golongan penguasanya tetap berada pada kedudukan yang tinggi. Antara
contoh sikap golongan agama yang mencetuskan konflik seperti tindakan Paus Urban II
sama ada mengadakan perjumpaan besar-besaran dengan penganut Kristian di Perancis
pada tahun 1095 M. Beliau menyeru penganut Kristian supaya memerangi orang Islam yang
dikatakan bertindak zalim pada penganut Kristian. Demikian juga sikap seorang
pemerintahan Dinasti Han yang menangkap dan memenjarakan segolongan sami dan
penganut Buddha. Kedua-dua tindakan pemimpin ini telah mencetuskan konflik dalam
masyarakat.
1.1.3 Kedudukan Geografi
Kedudukan geografi melibatkan bentuk muka bumi dan kemudahan perhubungan
dalam sesebuah masyarakat bertamadun. Sejarah membuktikan kedudukan geografi
memainkan peranan sebagai pembentuk interaksi antara tamadun. Contoh berikut
memperlihatkan peranan geografi:
i. Cina: Interaksi antara tamadun asing pesat berlaku kerana terdapat 2 laluan iaitu laluan
sutera yang menggunakan jalan darat dan jalan laut. Laluan perhubungan ini telah
menyebabkan Cina mampu menjalin interaksi dengan negara Arab sejak tahun 3 Masihi
lagi. Laluan sutera darat ini telah menghubungkan Cina dengan Khurasan, Samarqand,
Xinjiang hingga ke Peking. Laluan laut pula merentasi Laut Arab ke Benua Kecil India,
Kepulauan Melayu hingga ke Canton di tenggara Cina. Laluan ini membolehkan kedua
negara ini berinteraksi dan menjalankan aktiviti perdagangan. Terdapat catatan mengatakan
kapal-kapal Cina telah pun sampai di Teluk Parsi dan berdagang di Pelabuhan Siraf pada 5
Masihi.
ii. Pelabuhan Melaka – Kedudukan geografi yang strategik dan terlindung dari angin monsun
menjadikan pelabuhan ini tempat tumpuan dan persinggahan para pedagang. Semasa
singgah di pelabuhan ini para pedagang telah menjalankan aktiviti perniagaan di pelabuhan
Melaka.
1.1.4 Perkahwinan
Perkahwinan juga memainkan peranan penting dalam pembentukan interaksi antara
tamadun Asia. Contoh yang jelas dapat dilihat pada lembaran sejarah dan salasilah
masyarakat di rantau Alam Melayu. Penduduk tempatan telah menjalinkan interaksi dengan
pedagang Arab sahingga terdapat sebilangan pedagang yang telah berkahwin dengan gadis
tempatan kerana telah bermukim di pelabuhan Alam Melayu dalam beberapa waktu
sementara menunggu angin monsun. Secara tidak langsung perkembangan ini telah
menjurus ke arah proses Islamisasi kerana bagi membolehkan wanita tempatan berkahwin
dengan pedagang Arab yang beragama Islam, wanita tersebut mesti diislamkan terlebih
dahulu. Sejarah turut mencatatkan, perkahwinan ini tidak sahaja mengislamkan gadis
tempatan yang dikahwini pedagang Arab, tetapi kaum keluarga gadis turut menerima Islam.
Selain itu, perkahwinan bukan sahaja berlaku di kalangan rakyat jelata, malah juga berlaku
di kalangan golongan bangsawan dan pemerintah. Sebagai contohnya, perkahwinan Megat
Iskandar Shah dengan Puteri Pasai.
1.1.5 Perdagangan
Sebelum kedatangan penjajah di Tanah Melayu, interaksi antara etnik sebenarnya
sudah pun wujud. Seperti yang kita tahu, Tanah Melayu khususnya empayar Melayu Melaka
menjadi tumpuan pedagang dari seluruh negara terutamanya pedagang dari China, India,
dan Arab. Bilangan masyarakat pendatang pada masa itu adalah dalam kuantiti yang sedikit
dan ditambah pula dengan sikap mereka yang mudah menerima dan mengikuti budaya
orang Melayu. Misalnya, masyarakat Baba dan Nyonya serta India Muslim. Dari sinilah
wujudnya masyarakat majmuk dan hubungan etnik yang unik di Tanah Melayu. Bahasa
Melayu sebagai bahasa Lingua Franca sebenarnya menjadi penghubung kepada interaksi
antara kaum pada masa itu. Melalui satu bahasa yang dituturkan dilihat ia berperanan
sebagai agen perubahan pada masa itu. Alasan yang kuat ialah Bahasa Melayu mempunyai
nilai tambahan yang cukup banyak yang mana tidak terdapat dalam bahasa-bahasa lain
yang digunakan di negara ini. Di samping itu, hubungan antara etnik dan antara bangsa-
bangsa menjadi lebih rancak apabila pedagang-pedagang yang beragama Islam turut
menyebarkan agama Islam semasa berdagang. Melalui penggunaan Bahasa Melayu serta
penyebaran agama Islam dalam aktiviti seharian masyarakat membawa kepada interaksi
yang lebih berkesan dan berperanan sebagai agen perubahan yang positif di samping sikap
mereka saling menghormati dan mengiktiraf kewibawaan kerajaan dan budaya masing-
masing. Melalui dasar ekonomi yang dijalankan pada masa itu lah sebenarnya memberi
peluang kepada kewujudan interaksi antara kepelbagaian etnik ini.
1.1.6 Penjajahan dan Misi Politik
Faktor misi politik turut menggalakkan berlakunya interaksi dalam suasana harmoni
sebagaimana yang dapat dilihat pada hubungan diplomatik antara Alam Melayu dengan
Cina. Berdasarkan catatan sejarah Melaka hubungan diplomatik dengan Cina telah terjalin
sejak tahun 1404 M. Pada tahun-tahun berikutnya, Melaka telah menerima beberapa utusan
dari Cina yang kemudiannya Melaka telah membalas utusan tersebut. Tujuan Melaka
mengadakan hubungan baik dengan Cina adalah untuk mendapat perlindungan dari
ancaman Siam. Persetujuan Cina terbukti dengan penghantaran Laksamana Cheng Ho
yang beragama Islam ke Melaka. Dasar perlindungan Cina terhadap negeri-negeri di rantau
Alam Melayu yang bertujuan politik secara tidak langsung menggalakkan Islamisasi di
rantau Alam Melayu. Perlindungan ini juga memberikan impak yang sama kepada negeri-
negeri di Kepulauan Melayu yang lain seperti Kedah, Johor, Kampar dan sebagainya.
Pada zaman pemerintahan British, penjajah telah mewujudkan kelompok-kelompok
etnik berdasarkan kegiatan ekonomi. Hal ini bertujuan untuk menjaga kepentingan mereka
agar tidak terjejas dengan kewujudan perpaduan kaum kerana mereka mahu
mengeksploitasi semaksimum yang mungkin kekayaan semula jadi yang terdapat di Tanah
Melayu pada masa itu. Oleh itu, mereka telah menetapkan status dan peranan yang
berbeza bagi setiap kaum. Misalnya, kaum Melayu yang bertani digalakkan tinggal di
kawasan luar bandar, buruh dari India yang kebanyakannya penoreh getah tinggal di estet,
dan imigran dan buruh dari China yang berniaga dan bekerja di lombong tinggal di kawasan
bandar. Dasar pecah dan perintah yang dijalankan oleh British berjaya direalisasikan dan
kesannya interaksi antara kaum menjadi terbatas hanya di pejabat dan pasar sahaja.
Pendudukan Jepun walaupun singkat namun ia juga memberi kesan kepada
pembentukan masyarakat Malaysia yang sedia wujud pada hari ini. Penjajahan Jepun
mewujudkan kesan sosial berkaitan dengan hubungan antara kaum dan juga keadaan
masyarakat dari segi pendidikan serta pentadbiran. Semasa Perang Dunia ke dua, terdapat
dua bentuk hubungan kaum iaitu hubungan kerjasama antara kaum menentang penjajah
Jepun (MPAJA) dan juga hubungan tegang antara etnik Melayu dan Cina ekoran dasar pilih
kasih terhadap etnik Cina.
1.2 JENIS-JENIS INTERAKSI
1.2.1 FIZIKAL
Berlaku apabila bangsa dari tamadun lain menetap di sesebuah tamadun. Berlaku
sepanjang zaman. Interaksi fizikal berlaku apabila pedagang luar atau agamawan dari
tamadun lain menetap dan berkahwin dengan penduduk tempatan.
1.2.2 BUDAYA
Meliputi aspek kehidupn seperti makanan, pakaian, senibina dan ukir, muzik & sebagainya.
Antara cara adalah melalui perkahwinan campur. Contohnya seperti pelbagai makanan dari
pelbagai kaum boleh dinikmati dalam Negara Malaysia, hasil interaksi antara budaya.
1.2.3 TEOLOGI ATAU AGAMA
Agama Buddha dari China, diasimilasikan ke dalam agama Shinto, iaitu agama asal orang
Jepun. Nilai moral dan etika dalam agama Buddha di serapkan dalam agama Shinto.
Terdapat kuil-kuil Buddha didirikan di Jepun. Agama Buddha juga terdapat persamaan
dengan agama Hindu (India) seperti karma, kehidupan selepas mati. Ini kerana, agama
Buddha lahir daripada agama Hindu.
1.2.4 TEKNOLOGI
Perkongsian ilmu dalam bidang sains dan teknologi. Contohnya teknologi China dibawa dan
diperkenalkn ke dunia Arab. Seterusnya tersebar ke dunia Eropah.Tiga ciptaan agung
China iaitu kompas, bahan letupan dan percetakan (pembuatan kertas).
1.3 PENGHALANG INTERAKSI ANTARA TAMADUN
1.3.1 KEDUDUKAN GEORAFI
Kedudukan geografi atau daerah yang membataskan perhubungan antara satu tamadun
dengan tamadun lain. Geografi yang pedalaman begitu menyukarkan berlakunya interaksi
antara tamadun kerana keadaan suasana kemudahan dan tahap kesukaran yang tinggi
untuk berinteraksi dengan tamadun lain.
1.3.2 SEMANGAT NASIONALISMA
Semangat nasionalisme (kebangsaan) yang menebal sehingga melahirkan sikap perasaan
kebencian dan permusuhan terhadap bangsa atau warga negara lain. Penghalang ini juga
boleh menimbulkan masalah kepada sesuatu tamadun, kerana sikap penduduk mereka
sendiri yang enggan menerima sesuatu tamadun yang lain. Ini merungkapkan peatah
Melayu iaitu ‘seperti katak di bawah tempurung”. Terdapat juga segelitir masyarakat yang
mengamalkan ajaran nenk moyang mereka, kerana mereka menanggap perbuatan tersebut
berunsurkan dewa dan alam ghaib. Ini membantutkan perkembangan sesuatu tamadun.
1.3.3 KAUM MIGRAN DAN BUKAN MIGRAN
Tiada sikap toleransi atau tolak ansur di kalangan kaum migran dan bukan migran. Perkara
ini menyebabkan masing-masing membawa haluan sendiri dan tiada semangat perpaduan
dan bekerjasama.
1.3.4 BAHASA
Penggunaan bahasa yang berbeza menyebabkan kurang persefahaman antara kaum.
1.3.5 BUDAYA
Mereka saling memandang serong terhadap budaya yang berlainan,
cth: makanan yang ramuan, bau dan rasa tidak diminati.
cth: begitu juga dengan cara berpakaian mereka yang jauh sekali berbeza.
1.3.6 TRADISIONAL DAN MODEN
Golongan yang mengamalkan cara hidup tradisional dengan golongan moden terutama
yang terpengaruh dengan pemikiran Barat.
1.6 PERSAMAAN DAN PERBEZAAN
Di antara persamaan dan perbezaan antara tamadun adalah merangkumi aspek-aspek
berikut:
1.6.1 Teologi/ketuhanan dan kerohanian
Semua tamadun menekankan konsep ketuhanan dan mempunyai dokrin serta amalan-
amalan tertentu sama ada berbentuk spiritual mahupun ritual. Begitu juga dari sudut
kepercayaan lain seperti kehidupan selepas mati, kepercayaan terhadap pembalasan
perbuatan manusia di dunia dan lain-lain yang bersangkutan dengan perbuatan manusia.
Perbezaan yang ketara berpunca daripada manifestasi ketuhanan yang ada pada setiap
agama.
Konsep ketuhanan dalam tamadun Islam adalah tauhid. Konsep tauhid dalam Islam berbeza
dengan manoteisme dalam agama Kristian dan Hindu. Tauhid menekankan kepercayaan
kepada Tuhan yang Maha Esa. Syirik adalah lawan kepada kepercayaan Tauhid dan ditolak
oleh Islam. Dalam tamadun Islam, hak kebebasan beragama adalah terpelihara seperti
tercatat dalam Perlembagaan Madinah. Perkhabaran ini disampaikan terus dari Allah SWT
melalui firman-Nya yang bermaksud:
“Katakanlah: Dialah Allah Yang Esa. Allah tempat bergantung kepada-Nya segala sesuatu.
Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada satupun yang setanding
dengan-Nya.”
(al-Ikhlas: 1-3)
Pada peringkat awal, agama Kristian merupakan agama samawi yang mempercayai Tuhan
yang Esa (tauhid). Namun ia telah dipengaruhi oleh unsur-unsur khurafat dan pemujaan
kepada Isa al-Masih apabila Paul menganut Kristian pada tahun 38 M. Sebelum menerima
agama Kristian, beliau merupakan penentang kuat agama dan penganut Kristian (An-
Nadawy, 1984:32). Ini merupakan titik peralihan dalam pengajaran agama Kristian (Ahmad
Shalaby, 1978: 67) Hal ini dirakamkan dalam Bible atau al-Kitab1, bab kisah para rasul 9:
19b-20:
”Ketika itu juga ia memberitakan Jesus di rumah-rumah ibadat, dan mengatakan bahawa
Jesus adalah anak Allah.”
Sehubungan itu, muncul fahaman baru dalam ajaran Kristian. Kepercayaan monoteisme
dalam agama Kristian telah diubahsuai berasaskan kepada Trinity atau Tri-Tunggal yang
terdiri daripada tiga oknum iaitu Tuhan anak, Tuhan bapa dan Roh al-Kudus (Ahmad
Shalaby, 1978: 82-83) yang bersatu menjadi satu. Inilah yang dikatakan ”Tiga dalam satu
dan satu dalam tiga.”
Demikian juga teologi agama Hindu. Moniteisme dalam agama Hindu berasaskan kepada
Trimurti iaitu menempatkan tiga dewa yang menjadi sembahan mereka, (A. Rahman
Abdullah, 1989:25) iaitu:
1. Brahma - Dewa pencipta sebagai sumber kepada semua kewujudan.
2. Vishnu - Dewa pemelihara.
3. Siva - Dewa pemusnah
Pada asasnya, penganut Hindu mempercayai kewujudan satu Tuhan yang agung iaitu
Brahma (M. Arif Kasmo, 1999). Namun penyembahan terhadap Tuhan Yang Satu tidak
dapat dipertahankan kerana agama Hindu membolehkan Tuhan digambarkan dalam
pelbagai bentuk dan penjelmaan dewa sehingga melahirkan pelbagai bentuk patung
sembahan. Malah ada yang berpendapat konsep ketuhanan dalam agama Hindu adalah
bersifat Politeisme.
Konsep hidup selepas mati dalam Islam merupakan sebahagian daripada kepercayaan
terhadap hari akhirat. Manusia akan diadili dan diperlihatkan segala amal semasa di dunia.
Allah berfirman yang bermaksud:
”Barang siapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarrah pun nescaya dia akan melihat
(balasan)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun nescaya
dia akan melihat (balasan)nya pula.”
(al-Zalzalah: 7-8)
Pada masa ini segala perbuatan manusia yang baik akan dibalas baik seperti menikmati
kehidupan syurga. Manakala yang durhaka kepada Allah SWT akan dibalas dengan
keburukan seperti kesengsaraan hidup di neraka. Allah berfirman yang bermaksud:
”Sesungguhnya orang-orang kafir iaitu ahli kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk) ke
neraka Jahannam. Mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, mereka itu adalah
sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga Adn yang mengalir
di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda
terhadap mereka dan mereka pun reda kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan)
bagi orang yang takut kepad Tuhannya.”
(al-Bayyinah: 6 - 8).
Doktrin karma yang merupakan doktrin asas dalam agama Hindu mempunyai persamaan
dengan doktrin karma dalam agama Buddha yang berkaitan rapat dengan konsep re-
inkarnasi (kelahiran semula atau penjelmaan semula). Karma merupakan konsep
pembalasan setimpal terhadap usaha dan perlakuan manusia ”yang baik dibalas baik, yang
jahat akan menerima balasan buruk” (Azhar Mat Aros dll, 2000:63). Inilah yang disebut
sebagai hukum karma dalam masyarakat Melayu.
Terdapat perbezaan dalam konsep re-inkarnasi dalam agama Hindu dan Buddha. Konsep
re-inkarnasi dalam agama Hindu membawa maksud seseorang itu akan menjelma semula
selepas kematiannya dalam bentuk manusia. Konsep ini berasal dari penjelmaan semula
dewa-dewa Hindu. Dalam ajaran agama Hindu, kehidupan merupakan kesengsaraan dan
kelahiran semula yang berulang-ulang mengundang kesengsaraan selagi mereka tidak
mencapai mokhsya. Kelahiran semula yang berulang-ulang dan terus menerima
kesengsaraan dikenali sebagi Samsara. Penganut Hindu mengharap terlepas dari rantaian
reinkarnasi dengan mencapai tahap mokhsa (M. Arif Kasmo, 1999).
Peringkat pertama ajaran Buddha berpusat kepada ajaran untuk melenyapkan karma,
memutuskan lingkaran Samsara dan seterusnya mencapai Nirwana. Cara untuk mencapai
pembebasan mutlak dari lingkaran Samsara terdapat pada doktrin Aryasatyani yang disebut
sebagai Empat Kebenaran Utama (A. Rahman Abdullah: 23), iaitu:
* Hidup adalah penderitaan.
* Penderitaan disebabkan keinginan memenuhi keperluan dunia.
* Penderitaan dapat dihapuskan dengan menindas hasrat atau kehendak.
* Cara menyingkirkan hasrat adalah melalui Astamarga atau Jalan Lapan Lapis.
Dalam aspek perbuatan manusia yang mengaitkan dosa dan pahala, Islam meletakkan
konsep taubat kepada Allah SWT sebagai jalan pengampunan terhadap dosa-dosa yang
telah dilakukan dengan syarat-syarat tertentu. Manakala dalam agama Kristian
pengampunan boleh didapati dengan jalan membuat pengakuan dihadapan seorang padri di
gereja.
Dalam konteks Malaysia, hak-hak kebebasan beragama telah dijamin oleh Perlembagaan
Persekutuan Malaysia, Perkara 11 (1) yang menyebutkan seperti berikut:
”Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk
kepada Fasal (4) untuk mengembangkan agamanya.”
Sehubungan itu, untuk mewujudkan suasana bersatu padu walaupun rakyatnya terdiri dari
pelbagai kaum dan kepercayaan, Malaysia wajar menetapkan Rukun Negara 1
(Kepercayaan kepada Tuhan) kerana kewujudan Tuhan diakui oleh semua agama.
1.6.2 Undang-undang atau peraturan hidup bermasyarakat
Undang-undang merujuk kepada peraturan-peraturan hidup yang wujud dalam masyarakat,
sama ada secara lisan mahupun secara bertulis. Undang-undang ini dihormati dan dipatuhi
oleh setiap ahli dalam masyarakat. Semua tamadun mempunyai undang-undang dan
peraturan dan perbezaannya hanyalah dari segi sumber, penguatkuasaan dan beberapa
persoalan pokok lain.
Tamadun Islam mempunyai sumber asas yang hakiki iaitu bersumberkan wahyu dalam
bentuk al Quran dan al Sunnah. Sifatnya yang kekal, memiliki kekuatan dan ketahanan
dalam menempuh tentangan zaman. Di samping sumber ijtihad para cendikiawan muslim,
terdapat sumber lain yang diperakui daripada tamadun terdahulu yang menepati sifat
keterbukaan tamadun Islam.
Dalam konteks hidup bermasyarakat, Islam menggalakkan hidup saling kenal mengenal
antara satu sama lain seperti yang termaktub dalam pengertian surah al-Hujurat: 13 yang
bermaksud :
” Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya
kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya
semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan
Yang lebih keturunan atau bangsanya).”
Malah diskriminasi adalah merupakan satu jenayah. Di bawah konsep hidup bersama dan
saling mengenali ini lahir dasar-dasar lain seperti kebebasan beragama, hak keselamatan,
keadilan dan perundangan yang semuanya dijamin oleh pemerintah. Inilah yang diamalkan
oleh negara Islam Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW dan prinsip ini kekal
hingga ke hari kiamat (Idris Zakari, 2003: 29-46).
Manakala sumber undang-undang dan peraturan hidup dalam tamadun lain terletak pada
pemikiran para pujangga dan cerdik pandai di kalangan mereka. Contohnya, Tamadun Cina
berasaskan kepada falsafah Kung Fu Ze dan Taoisme serta ajaran Gautama Buddha.
Pemikiran mereka mengandungi beberapa peraturan, tata cara atau perilaku seseorang
dalam kehidupan dan persekitaran. Dalam hal ini, Kung Fu Ze menekankan konsep
kesederhanaan atau jalan tengah sebagai dasar panduan bagi perhubungan dan
kesusilaan. Dalam masyarakat, kasih sayang ditujukan kepada sekelian manusia.
Dalam Tamadun Melayu, orang Melayu telah mengenal Hukum Kanun Melaka dan Undang-
Undang Laut Melaka lebih sepuluh abad yang lalu (Undang-Undang Melaka, 2003)
seterusnya diikuti oleh undang-undang negeri yang lain. Orang Melayu juga memiliki
peraturan hidup bermasyarakat yang disebut sebagai hukum adat atau sistem nilai Melayu
(Ali Taib & Hashim Musa, 1978: 84). Hukum adat orang Melayu tidak menyimpang daripada
kehendak syara’. Seperti kata perbilangan Melayu:
“Adat bersendi hukum’
Hukum bersendi kitabullah”
Dalam konteks hidup bermasyarakat, orang Melayu masih kental dengan semangat
perpaduan dan saling tolong menolong antara satu sama lain. Perasaan persaudaraan dan
sikap saling bantu membantu ini tergambar dalam melakukan kerja-kerja berat secara
bersama. Inilah gambaran kehidupan bermasyarakat di kalangan orang Melayu yang amat
sesuai dengan cara hidup Islam seperti yang terakam dalam beberapa surah al Quran
seperti berikut :(al Hujurat : 10)
” Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah
kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-
musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga
kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu
orang-orang Islam yang bersaudara”
(ali Imran : 103)
” dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan
janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan
bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi
sesiapa Yang melanggar perintahNya)”.
(al Maidah : 2)
Dalam konteks Malaysia, penggunaan undang-undang syara’ terletak dalam bidang kuasa
negeri-negeri yang meletakkan raja sebagai ketua agama seperti yang termaktub dalam
Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan. Bagi negeri-negeri yang tidak beraja dan wilayah-
wilayah persekutuan kuasa agama terletak di bawah bidang kuasa Yang Di Pertuan Agong
sebagai ketua agama. Ia selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3
(3) dan Undang-Undang Anak Negeri yang masih diamalkan dikalangan masyarakat
bumiputera Sabah dan Sarawak. Dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia,
walaupun berbilang kaum dan keturunan serta kepercayaan, sikap berbaik-baik dan saling
menghormati antara satu sama lain menjadi kunci perpaduan bagi meneruskan tamadun
bangsa. Amalan berbudi bahasa dan saling menghormati kini dijadikan slogan Negara,
“Berbudi bahasa amalan hidup kita”. Anjuran amalan hidup begini tiada tentangan daripada
pelbagai kaum di Malaysia
1.6.3. Etika
Etika merupakan perilaku atau tingkah laku yang baik, disanjung dan diambil berat oleh
setiap tamadun Asia. Perbezaan dari sudut sumber dan pandangan sarwa jagat setiap
tamadun boleh dilihat pada aspek-aspek berikut:
i. Aspek politik dan Pemerintahan
Konsep dewaraja telah diamalkan dalam tamadun awal masyarakat Melayu. Raja
merupakan manusia suci yang mesti dihormati dan dipatuhi (A. Rahman Abdullah:26-27).
Lanjutan itu, konsep daulat dan kesetiaan kepada raja mengambil tempat selepas
kedatangan Islam. Raja dianggap sebagai wakil Tuhan atau dikenal sebagai khalifah dalam
Tamadun Islam (lihat al-Baqarah, 2:30) Konsep kesetiaan kepada raja melahirkan kata-kata
“Pantang Melayu derhaka”. Penderhakaan merupakan jenayah paling berat dalam budaya
Melayu seperti hukuman yang diterima oleh Hang Jebat.
Selepas melalui era penjajahan lebih empat abad lamanya (1511-1957M), Tanah Melayu
telah wujud sebagai sebuah negara merdeka pada 31 Ogos 1957. Negara ini mengamalkan
sistem politik dan pemerintahan Raja Berperlembagaan, iaitu Raja sebagai payung negara
dan rakyat berlindung di bawahnya. Yang Dipertuan Agong merupakan pelindung kepada
hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang tercatat pada Perkara 153, Perlembagaan
Persekutuan. Ia kemudiannya diikat kukuh dengan kontrak sosial yang dipersetujui oleh
semua kaum yang ada di Malaysia.
Dalam Tamadun Cina, ajaran Konfusius telah memberi garis panduan hubungan antara
pemerintah dengan rakyat. Pemerintah mesti berperanan sebagai bapa kepada rakyatnya.
Maknanya, seorang raja mesti memiliki moral yang tinggi kerana berfungsi sebagai
pelindung kepada rakyat. Jika sebaliknya yang berlaku, mandat ini akan ditarik balik oleh
Tien (Tuhan), namun rakyat tidak dianjurkan supaya menentang raja.
Tamadun Barat mengamalkan sistem demokrasi dalam pemerintahan selepas berada dalam
pemerintahan bersifat otokrasi atau sistem beraja yang bersifat monarki yang berlanjutan. Ia
diambil dari sistem demokrasi Yunani yang berkonsepkan pemimpin dilantik oleh orang
ramai, dikalangan orang ramai dan untuk orang ramai (Ahmad Rashidi Hasan, 2005: 44). Ini
adalah kesan dari gerakan Renaissance (1350-1600M) yang wujud dalam tamadun Barat.
ii. Aspek pendidikan
Dalam Tamadun Islam, pendidikan Islam berteraskan tauhid. Proses pendidikan bermula
pada peringkat seawalnya, iaitu sejak kelahiran seseorang hinggalah ke saat kematian. Ia
bukan saja melibatkan proses pemindahan dan pembudayaan ilmu seperti yang terkandung
dalam surah al-‘Alaq: 1-5, tetapi turut menjurus kepada proses mendidik roh, akal dan jasad
yang mampu melahirkan seorang insan berakhlak mulia, intelektual dan profesional. Elemen
ini amat penting dan merupakan pra-syarat bagi seorang manusia yang akan berfungsi
sebagai penggerak tamadun.
Dalam Tamadun Melayu, isu pendidikan begitu ketara apabila orang Melayu menerima
Islam. Wujud dua institusi pendidikan Islam terawal di kalangan orang Melayu, iaitu rumah
alim ulama’, tuan guru dan juga istana. Institusi ini menainkan peranan penting dalam
pembentukan budaya ilmu masyarakat Melayu. Pada zaman seterusnya, institusi pendidikan
lebih beroperasi ditempat yang disediakan khusus untuk melaksanakan pendidikan
masyarakat Melayu, iaitu di madrash, surau, pondok, pesantren, dayah dan lain-lain.
Pada masa pemerintahan British, anak-anak bangsawan Melayu mendapat pendidikan di
institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh British seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar pada
tahun 1905. Pendidikan di sekolah ini tidak berteraskan pendidikan Islam. Dengan kata lain,
sekolah ini menggunakan kurikulum yang berbeza dari pendidikan yang rata-rata diterima
oleh sebahagian besar masyarakat Melayu.
Pendidikan Barat di Alam Melayu bermula dengan tertubuhnya sekolah-sekolah bercorak
keagamaan ala-barat. Sekolah pertama adalah Sekolah St. Paul di Melaka yang didirikan
oleh Francis Xavier pada tahun 1550-1553 M (Khoo Kay Kim, 1992:62). Selain itu, terdapat
banyak lagi sekolah-sekolah missionari yang didirikan seperti Sekolah Methodist, Convent,
St. John, St Teresa, St. Gabriel dan lain-lain.
Ajaran agama Buddha dan Hindu turut menekankan aspek pendidikan yang berlaku melalui
proses ”mencari diri sendiri” (self-discovery). Ilmu dan amalan kerohanian juga merupakan
elemen penting dalam melahirkan seorang yang baik.
iii. Aspek ekonomi
Kegiatan ekonomi dalam Islam turut berfungsi untuk mempertingkatkan akhlak individu dan
masyarakat. Konsep halal dan haram serta untung rugi banyak dibicarakan di dalam al-
Qur’an. Ini bertujuan untuk menjelaskan pentingnya konsep ini diambil kira dalam kehidupan
seharian. Penipuan, riba dan bentuk-bentuk penyelewengan lain adalah ditegah dalam
Islam. Walaupun terdapat banyak batasan mengenai kegiatan ekonomi dalam Islam,
Rasulullah SAW tetap menekankan kepentingan aktiviti ekonomi melalui sabdanya yang
bermaksud “Sembilan persepuluh rezeki adalah daripada sumber peniagaan dan
perdagangan”.
Zakat pula merupakan unsur ekonomi Islam yang berfungsi memberi jaminan sosial kepada
masyarakat Islam. Zakat tidak hanya tertumpu kepada zakat fitrah atau zakat badan yang
berfungsi untuk membersih diri, tetapi juga zakat perniagaan dan lain-lain. Ia merupakan
satu bentuk kebajikan dalam masyarakat Islam terutama kepada golongan yang berhak
menerimanya yang terdiri daripada 8 asnaf. Malah zakat mampu mempertingkat kualiti
kehidupan golongan fakir dan miskin dan menjana ekonomi mereka di samping umat Islam
seluruhnya. (Norsiah Sulaiman, 2004:84-85). Pelbagai sektor ekonomi digalakkan oleh Islam
termasuk pertanian, penternakan, pembuatan, perlombongan, perindustrian dan aktiviti
import dan eksport yang hasilnya menjadi sumber pendapatan negara Islam yang terkumpul
di dalam institusi kewangan umat Islam yang dikenali sebagai Baitulmal.
Ajaran Buddha menganjurkan Jalan Lapan Lapis (eight fold path). Ia bertujuan supaya
manusia dapat menjalani hidup dalam keadaan suci dan bersih daripada sebarang runtunan
hawa nafsu yang disebut sebagai Astamarga.
Tamadun Cina yang dipengaruhi kuat oleh falsafah Konfusius memandang rendah kepada
golongan pedagang kerana menganggap golongan ini sentiasa terlibat dengan penipuan
dan keuntungan yang dilihat sebagai elemen-elemen buruk. Justeru itu, fahaman ini lebih
memberi perhatian kepada golongan petani.
Tamadun Barat yang berasaskan pemikiran sekular dan ideologi manusia memperkenal
sistem ekonomi kapitalis yang lebih mengutamakan keuntungan material dan kebangkitan
individu atau kumpulan tertentu sebagai kuasa pasar. Sistem ini berdasarkan teori Adam
Smith (1723-1790M). Bagi Smith, sistem pengeluaran sesebuah negara terdiri daripada tiga
unsur iaitu sumber alam, sumber manusia dan stok barang (kapital) yang ada. Hal ini jelas
dibicarakan dalam bukunya Wealth of Nation (1776) yang menghuraikan secara terperinci
pertumbuhan ekonomi kapitalis (Boediono, 1982:14). Pengamalan sistem ekonomi kapitalis
telah mendorong ke arah penubuhan institusi kewangan atau bank di Barat seawal tahun
1587M.
iv. Aspek kekeluargaan
Aspek kekeluargaan dan masyarakat diterima oleh hampir semua tamadun di dunia.
Tamadun Islam meletakkan institusi keluarga sebagai asas pembentukan sebuah
masyarakat. Apabila masyarakat baik, maka wujudlah ummah dan negara yang baik.
Sumber masyarakat baik adalah al-Qur’an, Sunnah Rasul-Nya dan ijtihad para ulama’.
Tamadun Islam menetapkan darjat manusia semua adalah sama di sisi Allah SWT.
Kelebihan seseorang ádalah ketaqwaannya kepada Allah SWT dan juga pemilikan ilmu
pengetahuan yang bermanfaat. Oleh kerana itu, tidak ada kelebihan orang Arab dari orang
ajam (bukan Arab)
Ajaran Konfusius yang menjadi asas Tamadun Cina menekankan pentingnya hubungan
kasih sayang dan hiraki kuasa dalam hubungan sesama manusia. Kasih sayang
mewujudkan hubungan harmoni dalam masyarakat. Konfusius memperkenalkan konsep Li
yang menekan lima jalinan hubungan sesama manusia seperti berikut:
* Hubungan maharaja dengan rakyat
* Hubungan bapa dengan anak
* Hubungan abang dengan adik
* Hubungan suami dengan isteri
* Hubungan kawan dengan kawan
Tamadun India yang diasaskan kepada agama Hindu membahagikan manusia kepada
empat golongan atau tingkat tertentu iaitu golongan Brahmin, Kesatriya, Vaisya dan Sudra.
Kekeluargaan dalam Tamadun Melayu pula berasaskan kepada fahaman ajaran Islam.
Hubungan yang terjalin antara ahli keluarga begitu erat. Ibu, bapa, anak-anak dan sanak
saudara menjalankan tugas dan memahami tanggungjawab masing-masing. Fahaman
mengenai setiap tanggungjawab amat berkait rapat dengan ajaran agama Islam. Sebagai
contohnya, tanggungjawab bapa mencari rezeki dan memberi perlindungan kepada
keluarga terlaksana dengan jayanya. Demikian juga tanggungjawab ibu mendidik anak
ditunaikan dengan sempurna
vii. Aspek institusi agama
Setiap agama memiliki institusi tersendiri sebagai pusat kegiatan keagamaan mereka.
Institusi-insitutusi ini adalah seperti berikut:
a. Masjid
Ia merupakan institusi agama dalam Islam. Masjid bermaksud tempat sujud atau tempat
beribadah kepada Allah SWT. Sebagaimana ibadah dalam Islam amat luas maksudnya,
begitu jugalah fungsi masjid. Masjid tidak terbatas sebagai tempat sembahyang semata-
mata. Hal ini telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW semasa hayatnya dengan
menjadikan masjid tempat segala aktiviti umat Islam. Antaranya, masjid berperanan sebagai
tempat bermesyuarat, tempat mengadili masalah masyarakat Islam, tempat menerima dan
merawat pejuang Islam yang cedera dan pelbagai fungsi lain. (S. A. H. Mokhtar,1997:116).
Kepentingan masjid dalam masyarakat Islam menyebabkan pembinaan masjid merupakan
langkah awal semasa Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Justeru itu terbinalah masjid
pertama dalam Islam iaitu masjid Quba’. Ini diikuti dengan pembinaan Masjid Nabawi di
Madinah, Masjid al-Haram di Mekah, Masjid al-Aqsa di Palestin dan Masjid al-Azhar di
Mesir.
b. Kuil dan Candi
Kuil merupakan rumah ibadat bagi penganut agama Hindu dan Buddha. Fungsi kuil lebih
luas pada peringkat awal perkembangan dua agama ini. Ia menjadi pusat pendidikan yang
diperlukan oleh sami-sami Hindu dan Buddha. Golongan Brahmin dalam agama Hindu
merupakan sami-sami Hindu yang terpelajar. Mereka adalah golongan yang layak
memahami kitab-kitab suci Hindu seperti kitab Veda, Mahabrata dan Ramayana yang ditulis
dalam bahasa Sanskrit. Begitu juga dalam agama Buddha, sami-sami Buddha menjadikan
kuil sebagai pusat pendidikan dalam memahami ajaran-ajaran Buddha. Sami-Sami Buddha
menyampaikan pengajaran mereka dalam bahasa Pali dan Sanskrit.
Candi merupakan bangunan yang dikaitkan dengan aspek keagamaan. Candi yang terkenal
di rantau Alam Melayu antaranya ialah Candi Borobudur. Candi ini terletak di kaki Gunung
Merapi di kota Jogyakarta, Indonesia yang dibina ketika Dinasti Sailendara sekitar tahun
778-825M2. Candi ini dipenuhi dengan sangkar-sangkar batu berisi patung Buddha.
c. Gereja
Dalam tamadun Barat gereja masih memainkan peranan sebagai tempat ibadat, pusat
pemahaman agama Kristian dan juga aktiviti masyarakat setempat. Perkembangan ini
akhirnya melahirkan sekolah-sekolah missionary. Dalam bentuk yang formal sekolah
missionari mendapat pembiayaan pihak gereja.
1.7 KESAN INTERAKSI ANTARA TAMADUN DI MALAYSIA
Interaksi antara tamadun di Malaysia wujud kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada
tiga bangsa dominan yang berasal dari kelompok Tamadun Asia. Peribumi Melayu mewakili
pembina Tamadun Melayu, etnik Cina mewarisi Tamadun Cina dari Tanah Besar Cina dan
etnik India mewakili Tamadun India dari Benua Kecil India. Kepelbagaian bangsa yang
mendiami Malaysia pasti memberi pelbagai kesan dalam hidup bermasyarakat. Kesan ini
dikategorikan kepada kesan positif mahupun negatif.
1.7.1 Kesan Positif
Kesan positif telah wujud sejak dari awal interaksi bangsa di Malaysia yang berlaku sebelum
merdeka hinggalah pada zaman kemerdekaan, selepas merdeka dan hingga kini. Kesan ini
telah menghasilkan hubungan harmoni antara kaum di Malaysia. Berdasarkan pengalaman
ini kerajaan Malaysia telah terdorong menggubal beberapa dasar untuk mengukuhkan lagi
jalinan ini. Kesan tersebut adalah seperti berikut:
* Pertambahan bahasa dan kosa kata Melayu dalam pelbagai aspek.
Kosa kata dalam Bahasa Melayu telah bertambah sehari ke sehari sejak berlakunya
interaksi antara bangsa. Di bawah merupakan sebahagian contoh kosa kata bahasa Melayu
yang wujud hasil interaksi.
Makanan dan buahan :
Bakmi, me, mesua, cincau, kueh, bepang, taugeh, kanar, kuaci, kucai, angki (pisang kaki),
tauhu, kincam (sayur kering), lai, laici, teh, behon, to’yu, samsu, tamar.
Pakaian dan barang dagangan :
Cukin, tocang, lo’ cuan, kekwa (bunga) koyok, cat, gimpai,
gincu, tahil, koyan, d ( 1/10 tahil ), hun ( 1/100 tahil) , 1 inci),
tohar, tokok, angklong, candu, kaci.
Rumah dan peralatan :
Loting, pangkin, angloh, loceng, langkan, kangka, bangsal, tongkang, jong, sampan, beca,
langca, pongkis, sempua, sia, tanglong, tangsi, takpi, cawan, tekoh, uncoi, dacing, kok
(belenggu tengkok haiwan ), cacing, kincir.
Manusia dan ehwalnya :
Apek, loki, nyonya, cempiang, taukeh, kongsi, kicak, cinggeh, cincau, ampau, taijin, kuntau,
gua, lu, sengse, samsing, lancau, suwe, toa pekong, tokong, tekong, banci, cuak, culai,
lancong.
Permainan :
Ceki, pakau, capjeki, congkak, cukai, mahjong.
* Kebudayaan
Hasil interaksi antara bangsa turut melahirkan budaya campuran yang diamalkan oleh satu
komuniti masyarakat di Malaysia. Antara komuniti tersebut adalah seperti berikut:
i. Budaya Baba-Nyonya
Pada awal kurun ke 17 sekitar tahun 1613 M, komuniti China telah menetap di Melaka. Oleh
kerana tiada pendatang Cina dari kalangan wanita mereka berkahwin dengan wanita
tempatan. Justeru itu bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam urusan
perniagaan tetapi dalam institusi keluarga.Lahirlah satu budaya kacukan yang dipanggil
Baba dan Nyonya. Masyarakat Baba dan Nyonya dikenali kerana mereka memperkenalkan
diri mereka sebagai Baba atau Peranakan. Selain itu, mereka bertutur dalam bahasa Melayu
gaya mereka yang kemudiannya dikenali sebagai bahasa Melayu Baba. Bahasa yang
digunakan mereka adalah bahasa dialek Melayu Baba yang diasaskan atas ragam bahasa
Melayu pasar. Setiap kawasan mempunyai ragam yang dipengaruhi dialek Melayu tempatan
yang berbeza-beza. Bahasa ini berbeza dengan Bahasa Melayu baku. Komuniti ini telah
menyerapkan Bahasa Cina dalam perbualan seharian mereka terutama kata pinjaman dari
dialek Hokkein yang berkaitan adat, kekeluargaan dan agama. Kata-kata serapan ini terus
mengalami penyesuaian dari segi sebutan dan makna. Sebagainya contohnya, lau-teng =
loteng, Put-Go = Datuk Uco (nama satu dewa Buddha ). Selain itu, perkataan Melayu juga
mengalami perubahan bunyi dan makna. Sebagai, contoh, malaikat = malaikat ( roh nenek
moyang ), kawan = kawan (suami ). Komuniti ini tidak banyak menggunakan imbuhan dalam
perbualan, sebaliknya hanya menggunakan kata dasar sahaja seperti “Dia tulis surat.”
Perkataan “punya” menggantikan partikel milik “nya” seperti ”bukunya” disebut ”dia punya
buku”. Ringkasnya, komuniti ini berusaha meniru pelbagai aspek budaya Melayu hingga
kepada aspek makanan dan masakan. Justeru itu, masakan Baba dipengaruhi oleh
masakan Melayu. Mereka turut meniru gaya makan orang Melayu menggunakan tangan.
Generasi yang lebih tua pula berminat menggunakan kain sarung dan kebaya sebagai
pakaian seharian.
ii. Budaya China Peranakan
Terdapat dua komuniti Cina Peranakan di Malaysia. Pertama, Cina Peranakan Kelantan
yang dikatakan bermula hasil wujudnya hubungan diplomatik negara Cina dengan negeri di
Pantai Timur yang berlaku sejak sebelum zaman Srivijaya lagi. Komuniti ini terdapat di
tebing sungai Kelantan dan Kuala Kerai di hulu sehingga ke muara Tumpat. Antara kesan
interaksi yang berlaku antara mereka dengan penduduk tempatan ialah penyerapan ciri-ciri
budaya Melayu di kalangan mereka. Paling ketara ialah penggunaan dialek Kelantan yang
fasih dan fesyen pakaian. Wujud juga sifat saling menghormati dan lahir cita rasa yang
sama antara mereka dengan penduduk tempatan seperti kegemaran kepada wayang kulit,
permainan mahjong, wayang gedek dan menora. Namun ciri budaya Cina asal masih kekal
pada mereka khususnya pada aspek agama. Mereka kekal berpegang pada agama asal
warisan mereka terutamanya agama Buddha.
Komuniti kedua ialah Cina Peranakan Melaka dan Pulang Pinang. Masyarakat Cina
Peranakan dua tempat ini menggunakan bahasa Melayu dan cara hidup Melayu, namun
mereka tidak beragama Islam. Kehidupan mereka begitu dekat dengan orang Melayu.
Mereka juga mengamalkan adat resam yang mirip adat resam orang Melayu, walaupun
masih terdapat ciri budaya Cina lama. Mereka turut percaya kepada makhluk halus atau
ghaib dan roh seperti masyarakat Melayu.
* Kesenian
Hasil interaksi antara Tamadun Melayu dan Tamadun Cina di Tanah Melayu pada zaman
awal amat ketara pada aspek seni bina. Unsur seni bina Cina diserap dalam pembinaan
masjid. Antara ciri khusus serapan ialah pada reka bentuk bumbung masjid yang
menyerupai seni bina Pagoda. Contoh yang jelas dapat dilihat pada Masjid Tanjung Kling
dan Masjid Tengkera, di Melaka. Demikian juga masjid Kampong Laut di Kelantan, masjid
Demak di Jawa Timur dan beberapa tempat lain di rantau Alam Melayu. Malah, identiti reka
bentuk masjid pada zaman sebelum Malaysia merdeka adalah bumbung bertingkat yang
diilhamkan dari bangunan Pagoda. Reka bentuk bumbung masjid-masjid ini dihasilkan
secara bertingkat-tingkat. Sekurang-kurangnya terdapat 3 tingkat bumbung masjid.
* Dasar Pendidikan Negara
Dasar pendidikan di Malaysia digubal setelah mengambilkira aspek masyarakat majmuk
yang telah berinteraksi sekian lama secara harmoni. Antara dasar pelajaran tersebut ialah
Penyata Barnes, Penyata Fenn-Wu, Undang-undang Pelajaran 1952, Pernyata Razak dan
Penyata Rahman Talib. Semua dasar-dasar ini berperanan memupuk perpaduan dan bagi
memastikan pengasingan yang wujud dalam sistem pendidikan sebelum ini dimansuhkan
dan digantikan dengan sistem yang lebih seragam dan menyeluruh. Keseragaman ini lebih
menjamin perpaduan rakyat. Selain itu, dasar ini juga mengambilkira perkembangan
pendidikan di Sabah dan Sarawak.
* Dasar Integrasi Nasional
Malaysia telah berusaha membentuk perpaduan antara masyarakat majmuk dan integrasi
yang lebih mantap antara penduduk Semenanjung dengan Sarawak dan Sabah.
Sehubungan ini, Dasar Integrasi Nasional digubal untuk melaksanakan proses kewujudan
identiti nasional di kalangan kaum yang berbeza kebudayaan, kepercayaan dan
penempatan. Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan
Masyarakat ditubuhkan pada 27 Oktober 1990 dengan objektif berikut:
1. Menggalakkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan integrasi nasional.
2. Memberi bantuan khidmat masyarakat.
3. Membangun masyarakat Orang Asli.
4. Memajukan kepentingan dan penglibatan wanita dalam pembangunan negara.
5. Menyelaras program kependudukan dan pembangunan negara.
Untuk menjayakan kementerian baru ini beberapa jabatan ditubuhkan seperti Jabatan
Kebajikan Masyarakat Malaysia, Jabatan Perpaduan Negara, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli,
Jabatan Hal Ehwal Wanita dan Yayasan Kebajikan Negara.
* Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan
Interaksi antara bangsa di Malaysia dipadukan melalui penggunaan Bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi seperti yang tercatat pada Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Namun,
bahasa-bahasa lain boleh digunakan. Untuk mengukuhkan lagi peranan bahasa Melayu
dalam masyarakat majmuk kerajaan telah membentuk Akta Bahasa Kebangsaan pada
tahun 1963.
1.7.2 Kesan Negatif
Di samping kesan positif yang tersemat dalam lembaran sejarah masyarakat majmuk di
Malaysia, interaksi kaum turut terdedah dengan beberapa kesan negatif. Kesan negatif yang
paling penting hingga ke hari ini adalah seperti berikut:
* Jurang ekonomi
Jurang perbezaan ekonomi yang besar antara kaum di Malaysia. Jurang ini berlaku kerana
sikap penjajah yang berat sebelah dan tidak mengambil berat aspek kebajikan dan masalah
rakyat tempatan. Para petani yang sebahagian besar terdiri dari masyarakat Melayu
sentiasa dilindungi oleh kerajaan British melalui dasar utamanya yang bertujuan
menempatkan orang Melayu di kawasan luar bandar dan terus menjadikan mereka
pembekal makanan kepada masyarakat bandar. Dalam hal ini, orang Melayu digalakkan
mengusahakan tanaman sara diri sahaja, sedangkan masyarakat imigran di kawasan
bandar terutamanya Cina terus sibuk dan maju dengan kegiatan ekonomi eksport dan
import. Ini bermakna, penjajah hanya membenarkan masyarakat Melayu menjadi pekebun
kecil sahaja. Jika terdapat perkampungan baru, orang Melayu dikenakan syarat tertentu
seperti hanya menanam padi, kelapa dan buah-buahan.
Sehubungan itu, pembangunan kawasan banyak ditumpukan di kawasan yang bersedia
menerima perubahan. Ini menyebabkan kawasan Pantai Barat Semenanjung lebih cepat
mendapat kemajuan dari kawasan Pantai Timur. Perbandaran yang dicirikan penjajah
memberi penumpuan kepada penduduk kaum imigran terutama kaum Cina. Ringkasnya,
akibat dasar ‘pecah dan perintah” Inggeris berlaku perbezaan tumpuan sektor ekonomi.
Melayu sebagai petani sara diri dan nelayan, Cina di sektor perdagangan dan
perlombongan, sementara India di ladang. Ini memberi kesan kepada ketidakseimbangan
antara kawasan antara desa dan bandar. Kesan ini berlanjutan hingga zaman pasca-
penjajah.
* Jurang Sosial
Jurang ekonomi memberi kesan kepada jurang sosial. Lantaran itu wujud kelompok
masyarakat kaya yang banyak terbina dari kalangan masyarakat bandar dan masyarakat
miskin yang wujud di kalangan masyarakat luar bandar. Secara tidak langsung, keadaan ini
telah mengubah struktur masyarakat Melayu dan peribumi kepada masyarakat yang
kompleks dan berkelas. Kelas atasan terdiri sari golongan bangsawan Melayu, saudagar,
pengurus dan pengusaha yang terdiri daripada orang asing dan Cina. Kelas pertengahan
adalah masyarakat etnik Cina dan sedikit dari golongan India, sebilangan kecil individu
Melayu dan lain-lain kaum bumiputera. Kelas bawahan merupakan majoriti masyarakat
Melayu dan peribumi. Ini memberi kesan seolah-olah wujud susun lapis dan kelas
masyarakat berdasarkan lunas perkauman.
* Pencapaian Tidak Seimbang
Pencapaian yang tidak seimbang juga berlaku dalam aspek penting khususnya pendidikan.
Sistem pendidikan penjajah mewujudkan sekolah mengikut kaum dan logistik etnik di
Malaysia. Pengasingan sistem pendidikan mula berlaku antara etnik. Masyarakat Melayu
dengan pendidikan Melayu, etnik India dengan pendidikan berteras bahasa Tamil dan etnik
Cina dengan teras bahasa Mandarin. Sementara komuniti peribumi yang terdiri dari Orang
Asli, etnik Sabah dan Sarawak tidak diberikan pendidikan.
RUJUKAN
Azhar Hj. Mad Aros,Tamadun Islam Dan Tamadun Asia, Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.Shah Alam.
Ab. Alim Abdul Rahim dan Syed Mohamad. (1995). Tamadun Islam. Kuala
Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Abd. Rahman Nawas dan Nawawe Mohamad. (1995). Tamadun Islam. Kuala
Lumpur:Pustaka Haji Abdul Majid.
M. A. J. Beg. (1980) The Image of Islamic Civilization. Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Mustafa Haji Daud. (2002) Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications.
Mustafa Haji Daud. (1985). Pengantar Tamadun Islam. Petaling Jaya: Media
Intelek sdn. Bhd.
Penerbit Universiti Malaya.(2002) Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Kuala
Lumpur.
Sazelin Arif.(2007) Tamadun Islam dan Tamadun Asia. McGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd. Shah Alam.
http://bmm222.blogspot.com/2008/10/bab-2-interaksi-antara-pelbagai.html
http://bmm222.blogspot.com/2008/10/bab-3-islam-dalam-Tamadun-melayu.html
http://titas-haba.blogspot.com/2008/12/topik-3-interaksi-pelbagai-Tamadun.html
http://www.enotapelajar.com/2010/07/interaksi-antara-Tamadun-bab-3.html
http://www.pdfcari.com/BAB-2-:-INTERAKSI-ANTARA-PELBAGAI-TAMADUN-28-MELAYU,-CINA,-INDIA-....html
Top Related