1
Pendakwa Syarie
Lwn
Iskandar
[Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selangor. Kes Jenayah Bil : 10005-143-0073-2015
(Tuan Abdul Fattah Bin Kamarudin, HMRS Hulu Langat)
[13 Jamadilakhir 1437H bersamaan 22 Mac 2016 M]
Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 Pertuduhan Seksyen 29(1)(a) Enakmen
Jenayah Syariah (Negeri Selangor)1995 (EJSS 1995) Penerimaan Pengakuan Bersalah
Tertuduh Ikrar Takat Hukuman Yang Dibenarkan Oleh Undang-Undang Samada Rayuan
Tertuduh Mempunyai Justifikasi Dan Mempengaruhi Hukuman.
Fakta Kes
[1] Tertuduh telah dipertuduhkan di bawah Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah
(Negeri Selangor) 1995 (selepas ini disebut EJSS 1995) dan Tertuduh telah membuat
pengakuan salah atas pertuduhan tersebut setelah Tertuduh memahami pertuduhan,
faham kesan pengakuan salah dan pengakuan dibuat tanpa wujud paksaan daripada
mana-mana pihak.
[2] Mahkamah telah mensabitkan kesalahan Tertuduh di bawah seksyen yang
dipertuduhkan dan dihukum berdasarkan peruntukan seksyen 29(1)(a) EJSS 1995.
Diputuskan
Setelah mensabitkan Tertuduh melakukan kesalahan di bawah seksyen 29(1)(a) EJSS 1995,
dan setelah mendengar rayuan pengurangan / mitigasi Tertuduh serta hujah pemberatan
daripada pihak Pendakwa, maka Mahkamah dengan ini memutuskan dan memerintahkan
sepertimana berikut:
2
[1] Mahkamah menjatuhkan hukuman bagi Tertuduh yang bernama Iskandar h dengan
Penjara selama 15 hari berkuatkuasa mulai tarikh 22 Mac 2016.
Peguam Syarie : tidak diwakili
Surah al-Quran Yang Dirujuk
[1] Surah An-Nisa: ayat 17
Kitab-kitab Yang Dirujuk
[1] Shamsuddin Muhammad Bin Muhammad Al-Khatib As-Syarbini, 2006, Al-Mughni Al-
Muhtaj, Jilid 6, Kaherah : Dar-Al-Hadis
[2] Dr. Abdul Qadir Audah, Al-Tasyri Al-Jinaie Al-Islamie. Juzu 1, Beirut-Lebanon :
Risalah Publisher
[3] Abu Bakr Othman Muhammad Syatta al-Dimyati. Hasyiah Ianat al-Talibin. Jilid 3
dan 4. Maktabah al-Taufiqiyah, Mesir
[4] Ali Ahmad an-Nadwi. al-Qawaid al-Fiqhiyyah. Darul Qalam. Damsyik, Syria. 1994.
[5] Dr. Ahmad Fathi Bahansiy, Al-Uqubah Fi Al-Fiqhi Al-Islami, Beirut : Dar Al-Syorok
Undang-undang Yang Dirujuk
[1] Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 - s .29(1)(b), s.54(2).
[2] Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 s. 62 (1), (2).
[3] Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 s.17(2), s.18.
[4] Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 s.97(2).
Kes-kes Yang Dirujuk
[1] Mohd. Ibrahim bin Mohd. Shariff lwn. Pendakwa Syarie Pulau Pinang, JH 13 / XII (2)
[2] Abdul Kahar Bin Ahmad lawan Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Kes Jenayah
(Rayuan Selangor) No : 10000-136-0006-2010, 10000-108-0007-2010, 10000-109-
0008-2010, 10000-134-0009-2010, 10000-107-0010-2010.
3
[3] Jumadi B. Patomdang lwn Pendakwa Syarie, Kes Jenayah (Rayuan Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur) No: 14000-142-0024-2010
[4] Muhammad Sufi Bin Abdullah lwn. Ketua Pendakwa Syarie, JH 31 (1)
[5] Muhammad Faris Bin Ismail & Shahidah Binti Abd Wahab lwn. Ketua Pendakwa
Syarie Negeri Melaka, JH 32 (1), hlm. 62
[6] Muhammad Ridhwan Bin Tokiri & Seorang Lagi lwn. Ketua Pendakwa Syarie, JH 34
(2)
[7] Zarina Binti Mahamad Budi lwn. Ketua Pendakwa Syarie Pulau Pinang, JH XXII (1)
Penghakiman Tuan Abdul Fattah Bin Kamarudin, Hakim Mahkamah Rendah Syariah
Hulu Langat.
[3] Kes ini adalah kes jenayah syariah berkaitan dengan kesalahan berkhalwat di bawah
seksyen 29(1)(a) EJSS 1995. Tertuduh dalam kes ini telah dituduh melakukan
kesalahan berkhalwat pada 9 Disember 2014 lebih kurang jam 12 tengah malam di
dalam sebuah rumah, yang beralamat di No 30, Jalan Bendahara 6/7, Seksyen 7, Bandar
Mahkota Cheras, 43200 Cheras, Selangor. Tertuduh di dalam kes ini adalah Iskandar
yang beralamat di Cheras, Selangor.
[4] Pertama sekali, bidangkuasa adalah menjadi sandaran penting dalam apa jua tindakan
di Mahkamah. Merujuk keseluruhan kes ini, Mahkamah berpuashati berkenaan dengan
kedudukan bidangkuasa adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 62(1) dan (2)
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (selepas ini disebut EPAIS
2003) yang juga dibaca bersama dengan Seksyen 29(1)(a) EJSS 1995 sebagaimana
berikut:
Seksyen 62(1) EPAIS 2003. Sesuatu Mahkamah Rendah Syariah hendaklah
mempunyai bidangkuasa di seluruh Negeri Selangor dan hendaklah diketuai
oleh seorang Hakim Mahkamah Rendah.
(2) Mahkamah Rendah Syariah hendaklah:
(a) dalam bidangkuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan
yang dilakukan oleh seseorang orang Islam di bawah Enakmen
Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 atau mana-mana undang-
undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap
rukun-rukun agama Islam yang baginya hukuman maksimum yang
4
diperuntukan oleh Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis
itu tidak melebihi riga ribu ringgit, atau pemenjaraan selama tempoh
2 tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana
hukuman yang diperuntukan bagi kesalahan itu.
Seksyen 29(1) EJSS 1995 mana-mana:
(a) Orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau
lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau
mahramnya;
(b) Orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang
atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau
mahramnya,
Di mana-mana tempat berselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam
keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedangn melakukan
perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan
apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau
dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya
[5] Selanjutnya setelah Pendakwa dan Tertuduh bersedia, pertuduhan terhadap Tertuduh
telah dibacakan pada 22 Mac 2016 jam 10.39 pagi sebagaimana berikut:
Bahawa kamu, pada 9 Disember 2014 lebih kurang jam 12 malam, di dalam
sebuah rumah, yang beralamat di XXXX CHERAS, di dalam Daerah Hulu
Langat di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, didapati berada bersama
dengan seorang perempuan bernama XXX sedangkan dia bukan isteri atau
mahram kamu yang sah, dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak sedang
melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Maka dengan itu, kamu dituduh
melakukan kesalahan berkhalwat di bawah Seksyen 29(1)(a) Enakmen
Jenayah Syariah (Negeri Selangor) No. 9 Tahun 1995 dan apabila
disabitkan boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan
selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali di bawah
seksyen dan enakmen yang sama
[6] Tertuduh telah membuat pengakuan bersalah ke atas pertuduhan tersebut setelah
dibacakan pertuduhan. Bagi memastikan pengakuan salah tersebut diberikan oleh
Tertuduh atas kefahamannya terhadap pertuduhan yang dikenakan, Mahkamah telah
bertanyakan kepada Tertuduh samada memahami atau tidak pertuduhan tersebut.
Tertuduh telah menyatakan pada Mahkamah bahawa memahami pertuduhan tersebut
dan pengakuan salah dibuat setelah memahami kesan pengakuan salah serta tiada
paksaan daripada mana-mana pihak yang mana ia dilakukan atas kehendak diri sendiri.
5
[7] Mahkamah berpuashati atas pengakuan salah tersebut dan Mahkamah telah
mengarahkan pihak Pendakwa Syarie untuk membentangkan fakta kes. Fakta kes yang
telah dibentangkan pada jam 10.44 pagi adalah sepertimana berikut (fakta kes yang
dihurai hanyalah melibatkan Tertuduh yang merayu sahaja iaitu Tertuduh Lelaki):
Tertuduh Lelaki di dalam kes ini bernama XXXX, yang mana adalah seorang
duda dan berasal dari Selangor. Lahir pada 16 Julai 1970 iaitu berumur 45
tahun. Menetap di alamat XXX Cheras, Selangor. Bekerja sebagai Pengurus
dengan pendapatan RM3500 berbangsa Melayu dan beragama Islam. Pada
tarikh 9 Disember 2014 jam lebih kurang 12 malam di dalam sebuah rumah,
yang beralamat di XXX Cheras, Negeri Selangor, Tertuduh Lelaki telah
ditangkap bersama-sama dengan Tertuduh Perempuan bernama XXX.
Tangkapan dilakukan oleh Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) hasil
maklumat orang awam. Lokasi yang merupakan sebuah rumah teres 2 tingkat
yang dihuni oleh Tertuduh Lelaki ini. Ketika di tempat kejadian, didapati pintu
pagar bertutup tetapi tidak berkunci dan Pegawai Penguatkuasa Agama telah
mengetuk pintu sambil memberi salam, dan dibuka oleh Tertuduh Lelaki dalam
keadaan berbaju (T-shirt) serta berseluar pendek. Pemeriksaan lanjut di
dalam bilik ketiga tersebut mendapati terdapat seorang perempuan iaitu
Tertuduh Perempuan berada di dalamnya dengan berpakaian t-shirt dan
berseluar panjang. Ketika ditahan hanya mereka sahaja yang ditemui di dalam
rumah tersebut. Hasil siasatan lanjut didapati kedua-duanya bukan pasangan
suami isteri atau mahram yang sah.
[8] Selepas dibacakan fakta kes ini kepada Tertuduh, Mahkamah bertanyakan tentang fakta
kes tersebut samada dipersetujui atau sebaliknya dan jawapan daripada Tertuduh adalah
bersetuju tanpa sebarang bantahan terhadap fakta kes tersebut serta juga kekal dengan
pengakuan bersalahnya. Sehubungan dengan itu, sehingga peringkat ini Mahkamah
adalah berpuashati dengan perkara-perkara berikut:
i) Bahawa Tertuduh faham akan pertuduhan tersebut;
ii) Tertuduh faham keadaan dan akibat pengakuan salah yang diberikan;
iii) Pertuduhan ke atas Tertuduh, ada diperuntukkan mengenai kesalahannya daripada segi
undang-undang dan;
iv) Fakta-fakta yang dikemukakan oleh Pendakwa Syarie yang mana telah pun dipersetujui
oleh Tertuduh menunjukkan bahawa ada kesalahan dilakukan oleh Tertuduh tersebut
6
[9] Seterusnya beralih kepada isu utama di dalam kes ini, Mahkamah dapati bahawa
terdapat 3 isu yang dapat diasingkan dan diulas secara baik di dalam kes ini iaitu:
i) Keesahan Hukuman Yang Dijatuhkan Pada Tertuduh.
ii) Sama ada Faktor-Faktor Peringanan Dan Pemberatan Hukuman Telah
Diambilkira.
iii) Samada Hukuman Yang Dikenakan Kepada Tertuduh Adalah Wajar Dan
Berpatutan.
[10] Sebelum Mahkamah terus kepada perbahasan tentang isu, sedikit huraian
ringkas berkenaan dengan prinsip utama dalam menilai dan menjatuhkan hukuman.
Prinsip utama sebelum sesuatu hukuman dinilai, adalah di mana Mahkamah
dikehendaki meneliti dan mempertimbangkan kepada keseluruhan fakta kes ini
sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan ke atas Tertuduh. Asas yang digariskan oleh
Hukum Syarak di dalam menjatuhkan hukuman takzir adalah jelas sebagai dinyatakan
oleh Dr. Abdul Qadir Audah dalam kitabnya Al-Tasyri Al-Jinaie Al-Islamie, juzu 1,
pada halaman 615 yang menyatakan bahawa (terjemahan):
Adapun bagi kesalahan-kesalahan takzir, syariat memberi kebebasan kepada
hakim di dalam memilih hukuman yang sesuai di antara sekumpulan hukuman.
Sebagaimana juga diberikan kebebasan kepada hakim di dalam menetapkan
kadar hukuman dan kebebasan menentukan pemilihan hal keadaan jenayah
dan hal keadaan penjenayah (dalam persoalan meringan atau memberatkan
hukuman). Sekiranya Hakim berpendapat bahawa hal keadaan jenayah dan
hal keadaan penjenayah tidak menghendaki peringanan, maka hakim
hendaklah menghukum penjenayah mengikut hukuman yang selayaknya
dengan jenayah yang dilakukannya. Sekiranya Hakim berpendapat hal
keadaan penjenayah menghendaki peringanan hukuman, maka Hakim
hendaklah menghukum dengan hukuman yang sesuai dengan
keperibadiannya, hal keadaannya dan hal keadaan kehidupannya serta
akhlaknya. Sekiranya pula bahawa hal keadaan jenayah menghendaki
pemberatan hukuman, sedangkan hal keadaan penjenayah menghendaki ia
diringankan, maka Hakim hendaklah menghukum dengan hukuman
pertengahan, dia tidak boleh memberatkan hukuman dan tidak juga boleh
meringankannya.
[11] Mahkamah merekodkan pengakuan (ikrar) Tertuduh dan mensabitkan kesalahan
Tertuduh di bawah Seksyen 29(1)(a) EJSS 1995 iaitu kesalahan berkhalwat. Pensabitan
7
ini dilakukan yang mana adalah berdasarkan ikrar dan pengakuan salah tersebut yang
selaras dan memenuhi kehendak undang-undang di bawah peruntukan seksyen 17(2)
Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 (selepas ini disebut
EKMSS 2003) sebagaimana berikut:
Seksyen 17(2) : Apa-apa ikrar hendaklah dibuat-
(a) di dalam Mahkamah, di hadapan Hakim; atau
(b) di luar Mahkamah, di hadapan dua orang saksi lelaki yang aqil, baligh
dan adil
[12] Pengakuan salah tersebut adalah mengikat diri tertuduh sendiri selari dengan
kaedah yang menyebut (al-Qawaid al-Fiqhiyyah. Darul Qalam. Damsyik, Syria.
1994) :-
Maksudnya : Seseorang itu dipegang berdasarkan pengakuannya
[13] Bahkan juga peruntukan seksyen 17 dan keadah fiqh tersebut adalah memenuhi
kehendak seksyen 96 (a) dan (b) ETJMS 2003 yang mana dalam kes ini rukun iqrar
telah dipenuhi sepenuhnya. Peruntukan tersebut menjelaskan mengenai tatacara
perbicaraan yang perlu diikuti oleh Hakim Bicara iaitu ;
Tatacara yang berikut hendaklah diikuti oleh Hakim dalam perbicaraan:
(a) apabila orang yang dituduh menghadirkan diri atau dibawa ke
hadapan Mahkamah, maka pertuduhan yang mengandungi butir-butir
kesalahan yang dia dituduh itu hendaklah dibentuk, dibaca dan
dijelaskan kepadanya, dan dia hendaklah ditanya sama ada dia
bersalah atas kesalahan yang dipertuduh itu atau meminta
dibicarakan;
(b) jika tertuduh mengaku bersalah atas sesuatu pertuduhan sama ada
pertuduhan asal atau yang dipinda, akuan itu hendaklah direkodkan
dan dia boleh disabitkan atas kesalahan itu;
Dengan syarat bahawa sebelum sesuatu akuan bersalah direkodkan,
Mahkamah hendaklah menentukan bahawa tertuduh memahami sifat dan
akibat daripada akuannya itu dan dia berniat untuk mengakui, tanpa
bersyarat, kesalahan yang dikatakan terhadapnya itu
8
[14] Oleh yang demikian, jelas ikrar yang dibuat oleh Tertuduh ini adalah satu ikrar
yang hendaklah diterima, kerana tidak ada alasan yang membolehkan ikrar itu tidak
boleh diterima. Ikrar yang tidak boleh diterima mengikut Hukum Syarak telah pun
ditaqnin di dalam Undang-undang. Sepertimana yang telah diperuntukan di bawah
seksyen 18 EKMSS 2003 iaitu:
(1) Ikrar yang berikut tidak boleh diterima:
(a) Ikrar seseorang yang tidak aqil baligh;
(b) Tertakluk kepada subseksyen (2) , ikrar orang belum dewasa;
(c) Ikrar orang gila atau orang terencar akal (matuh);
(d) Ikrar wali atau penjaga yang dibuat bagi pihak seseorang yang
dibawah jagaan atau tanggungjawabnya;
(e) Ikrar yang tidak dibuat secara sukarela; atau
(f) Ikrar seseorang yang dihalang dibawah mana-mana undang-undang
bertulis untuk mentadbirkan hartanya (mahjur alaih)
[15] Selain itu, Mahkamah juga berpuashati bahawa ikrar Tertuduh ini telah
memenuhi setiap rukun-rukun ikrar di sisi hukum syarak. Sebagaimana penjelasan oleh
Imam Khatib Syarbini di dalam Mughni Muhtaj menyebut antara lain:
: Yang bermaksud,
Rukun iqrar itu ada empat iaitu 1) muqirrun (orang yang beriqrar) 2)
muqarrun lahu (orang yang memberi iqrar untuknya oleh orang yang beriqrar,
3) sighah (ucapan atau kata-kata iqrar) dan 4) muqirrun bihi (hak atau
kepentingan yang diiktiraf oleh pihak yang beriqrar).
[16] Perbahasan mengenai isu pengakuan salah ini pernah diulas dengan panjang
lebar oleh oleh Y.A. Dato Ismail bin Yahya dalam kes Mohd. Ibrahim bin Mohd.
Shariff lwn. Pendakwa Syarie Pulau Pinang, (JH 13 (2), hlm. 185). Bagi isu ini, antara
lain yang menjadi rujukan adalah daripada kitab Hasyiah Ianat Talibin, pada juzu
3, halaman 187 menyatakan seperti berikut:
. Maksudnya:Iqrar dari segi bahasa bererti mensabitkan manakala menurut
syarak diertikan sebagai memberitahu hak seseorang ke atas dirinya. Iqrar
juga disebut sebagai iktiraf.
9
[17] Sehubungan dengan itu, Mahkamah berpuashati dengan kedudukan ikrar ini
adalah mematuhi peruntukan Hukum Syarak dan Undang-undang yang berkenaan
Isu Pertama : Keesahan Hukuman Yang Dijatuhkan Pada Tertuduh
[18] Takat hukuman yang dibenarkan oleh Undang-Undang sebagaimana
diperuntukkan di bawah seksyen 29 (1) EJSS 1995 tersebut:
Seksyen 29(1) mana-mana:
(a) Orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau
lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau
mahramnya;
(b) Orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang
atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau
mahramnya,
Di mana-mana tempat berselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam
keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedangn melakukan
perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan
apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau
dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
[19] Jelas sepertimana dinyatakan secara explied pada zahir maksud peruntukan
tersebut adalah di bawah budi bicara Mahkamah secara terpilih melihat kepada situasi
kes dengan syarat denda tidak melebihi RM3000 atau dipenjarakan tidak melebihi 2
tahun atau juga kedua-duanya sekali bersama-sama.
[20] Dalam hal ini, Mahkamah memilih menjatuhkan hukuman dengan penjara
selama tempoh 15 hari adalah masih berada di dalam ruang lingkup yang dibenarkan
oleh Undang-undang. Tiada hukuman denda dikenakan pada Tertuduh, justeru huraian
di bawah seksyen 122 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003
(selepas ini disebut ETJSS 2003) adalah tidak perlu.
[21] Oleh itu, kesimpulan awal di bawah isu ini, hukuman yang diberikan adalah
tidak bercanggah dengan kuasa undang-undang sebagaimana diberikan. Perkara ini
selari sepertimana dinyatakan oleh YAA Mahkamah Rayuan di dalam kes Mohd.
Ibrahim Bin Mohd Shariff lwn. Pendakwa Syarie Pulau Pinang, di mana Tertuduh
10
telah disabitkan melakukan kesalahan khalwat dan dikenakan hukuman denda RM
2,000.00 dan 3 bulan penjara, iaitu ;
Bagi saya hukuman ini tidak ada apa-apa kesilapan atau kecacatan kerana
penjara memang boleh dikenakan kepada pesalah
Isu Kedua : Samada Faktor-Faktor Peringanan Dan Pemberatan Hukuman Telah
Diambilkira.
[22] Isu ini berkait rapat dengan proses mitigasi atau rayuan peringanan hukuman
dalam amalan perbicaraan di Mahkamah Syariah mahupun Mahkamah Awam. Merujuk
kepada kes ini, ruang telah diberikan kepada Tertuduh bilamana kes ini bermula seawal
jam 10.23 pagi (rujuk pada catatan rekod Mahkamah), setelah pensabitan dilakukan
selaras dengan seksyen 96 (b) ETJSS 2003.
[23] Ruang ini telah gagal digunakan dan dimanfaatkan oleh Tertuduh selepas
menjawab soalan Mahkamah pada jam 10.48 pagi, jadi, apakah rayuan kamu sebelum
dijatuhkan hukuman? dengan jawapan yang sangat mengecewakan iaitu tiada
rayuan tanpa menyatakan apa-apa justifikasi atau menzahirkan keinsafan bahkan juga
sekurang-kurangnya menyatakan keinginan terhadap peringanan hukuman. Tertuduh
pada pandangan Mahkamah telah gagal memanfaatkan sebaik-baik peluang yang
diberikan selepas 3 kali ruang Mahkamah bertanyakan soalan yang sama, namun
Tertuduh tetap dengan jawapan nya tiada rayuan dan tanpa apa-apa langsung justifikasi.
Berlainan dengan situasi yang berlaku pada Tertuduh Perempuan yang bersungguh-
sungguh menyatakan justifikasi dan sebab atas permohonan rayuannya.
[24] Justeru dalam hal ini, ketiadaan rayuan ini telah menggambarkan sikap sebenar
Tertuduh. Mahkamah berpendirian dengan sikap sebegitu seolah-olah memandang
ringan terhadap kesalahan yang dilakukan dan bermain-main dengan institusi
Kehakiman Syariah yang didasari oleh Hukum Syarak. Mahkamah pasti, tahap
kefahaman dan kejahilan bukanlah suatu ukuran atas sebab kes ini bukan kes yang
pertama disebut dan dibicarakan pada hari tersebut, sedangkan terdahulunya sudah
disebut kes-kes yang lain. Sepatutnya telah mengajar Tertuduh supaya bersedia dan
mengambil baik peluang yang diberikan oleh Mahkamah.
11
[25] Mahkamah menerima bantahan daripada Pendakwa Syarie atas rayuan tersebut
dan hujah pemberatan telah dibentangkan oleh Pendakwa Syarie menyatakan tentang
kesan berat daripada pengakuan bersalah oleh Tertuduh terhadap kesalahan ini.
Hukuman yang berat dan maksimum adalah lebih tepat pada Tertuduh memandangkan
rayuan sangat ringkas dibuat pada Mahkamah tanpa menyatakan kekesalan dan taubat.
Ditambah lagi dengan hujah bahawa kesalahan ini adalah merupakan kesalahan yang
melibatkan maslahah awam sesuai dengan Firman-Nya di dalam surah al-Isra tersebut
yang melarang hambanya daripada mendekati zina. Merujuk kepada fakta kes, kejadian
berlaku pada jam 12.00 tengah malam dengan keadaan fizikal yang tidak menutup aurat
tanpa ada apa-apa hubungan mahram antara mereka di masa yang kebiasaanya peluang
bermadu kasih diterbitkan pada waktu ini, telah menimbulkan syak yang berat pada
pandangan Penguatkuasa dan Pendakwa. Disamping rayuan tiada dibuat dihadapan
Mahkamah walaupun sekurang-kurangnya menyatakan bibit-bibit keinsafan. Pendakwa
dalam kesimpulan hujah pemberatannya telah memohon pada Mahkamah agar
hukuman dikenakan kepada Tertuduh sesuai sepertimana yang diperuntukan mahupun
juga di bawah peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan supaya menjadi pengajaran
kepada Tertuduh bahkan juga masyarakat luar.
[26] Sehubungan dengan itu, Mahkamah ini tidak nampak bagaimana Mahkamah
perlu mengambilkira rayuan / mitigasi Tertuduh tersebut kerana rayuan sememangnya
langsung tidak membantu Mahkamah dalam menentukan hukuman ke atas kedua-dua
Tertuduh. Mahkamah bersetuju dengan ulasan Pendakwa Syarie terhadap isu keinsafan,
penyesalan, serta isu taubat. Selain juga bersetuju dengan ulasan Pendakwa Syarie
supaya hukuman yang hendak dijatuhkan dapat memberi pengajaran dan pencegahan
kepada Tertuduh khususnya dan umat Islam amnya.
[27] Isu keinsafan atau penyataan taubat seseorang itu, pada hemat Mahkamah adalah
perlu ditujukan kepada Allah s.w.t kerana Allah sahaja yang mengetahui tentang taubat
seseorang. Sebagaimana dirujuk kepada Surah An-Nisa, ayat 17 yang bermaksud:
Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi
orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian
mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka
12
diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana
[28] Mahkamah berpandangan bahawa insaf dan taubat adalah suatu yang subjektif
dan hanya Allah s.w.t sahaja yang dapat menilai sejauh mana keinsafan dan taubat
hambaNya. Selain juga dinyatakan tanda-tanda taubat mengikut Imam Al-Ghazali ialah
selalu sedih dan susah, bercucuran air mata, selalu menangis dan mengelamun. Justeru,
merujuk kepada kes Jumadi B. Patomdang lwn. Pendakwa Syarie, Y.A Hakim
Mahkamah Rayuan Syariah menyatakan bahawa:
Ulasan berkenaan faktor ini akan berpandukan kepada dapatan Hakim
Bicara ketika prosiding kes jenayah berjalan terhadap tingkahlaku dan
reaksi Perayu ketika itu. Saya tidak mahu campurtangan dalam penelitian
Hakim Bicara semasa prosiding kes jenayah tersebut. Hakim Bicaralah yang
melihat dan membuat pemerhatian zahir ke atas reaksi Perayu ketika itu. Saya
juga tidak melihat sebarang rekod yang menunjukkan reaksi Perayu dalam
prosiding perbicaraan ini.
[29] Selain itu, dalam kes rayuan Abdul Kahar B. Ahmad lwn. Ketua Pendakwa
Syarie Selangor, Y.A.A Pengerusi Mahkamah Rayuan ada menyatakan berkaitan
prinsip pemakaian bagi penerimaan taubat iaitu ;
Berhubung dengan hujah pihak Perayu bahawa Mahkamah Bicara telah
menolak pernyataan taubat pihak Perayu di hadapan YA Hakim Perayu. Kami
berpandangan bahawa ia sesuatu yang berisiko untuk diterima pernyataan
taubat Perayu begitu sahaja. Ini adalah kerana berdasarkan kaedah:
Maksudnya: Asal pada perkara yang mendatang tidak ada
[30] Taubat hanya wujud apabila dibuktikan. Ia perkara yang baharu (atau yang
mendatang). Hakim diperintahkan menghukum berdasarkan zahir sesuatu. Perkara
taubat adalah perkara dalam hati. Manusia hanya dapat mengetahui seseorang itu
bertaubat melalui tanda-tanda zahir. Sebagaimana yang disebut oleh Dr. Abdul Kadir
Audah dalam Tasyrik Jinaie pada halaman 352. Beliau menyebutkan bahawa taubat
13
penjenayah menurut sebahagian daripada Mazhab Shafie dan Hanbali hendaklah
dibuktikan melalui amal soleh.
[31] Namun begitu, paling penting dalam membicarakan akan hal ini adalah
matlamat asal hukuman ini diwujudkan. Sepertimana maklum, kedudukan undang-
undang ini adalah bersifat hukuman takzir sebagaimana definisi diberikan buku
Falsafah Perundangan Islam, halaman 251 yang menyatakan:
Perkatan tazir menurut bahasa adalah memberi pertolongan yang kuat,
menegah dan mencegah, memukul dengan pukulan yang berkesan dan benteng
yang kuat...... Berdasarkan pengertian tazir dari sudut bahasa dan
penggunaan perkataan tersebut dalam Al-Quran jelas kepada kita bahawa
undang-undang Islam termasuk tazir adalah sebaik-baik pertolongan kepada
Pemerintah dan masyarakat untuk mencegah perlakuan jenayah
[32] Tambahan juga kitab Al-Uqubah Fi Al-Fiqhi Al-Islami, halaman 135,
karangan Dr. Ahmad Fathi Bahansiy, ada menyatakan akan konsep takzir:
Sesungguhnya kadar tazir yang dijatuhkan hukum kepada pesalah tazir
adalah mengikut kemaslahatan dan juga tahap jenayah yang telah dilakukan
[33] Oleh yang demikian, menjadi penelitian oleh Mahkamah dalam menentukan
sesuatu hukuman sesuai dengan roh dan semangat sifat hukuman takzir itu sendiri
adalah supaya setiap hukuman menjadi iktibar, peringatan yang keras (inzar), dan
pengajaran kepada Tertuduh khususnya bahkan juga amnya pada masyarakat Islam
seluruhnya. Antara lain hukuman sebegini tidak hanya terhad pada pengajaran
sebagaimana dinyatakan terdahulu bahkan juga boleh memberikan pemulihan dan
pendidikan di samping mencegah orang lain daripada melakukan kesilapan yang sama.
Dalam hal ini, Mahkamah berpendapat hukuman tazir ini adalah sangat luas yang
menggambarkan kuasa budibicara Hakim Bicara di dalam membuat pilihan hukuman.
14
[34] Terdapat beberapa kes pernah direkodkan yang juga menghuraikan tentang
kedudukan kuasa budibicara Mahkamah dalam menentukan hukuman iaitu:
i) Muhammad Sufi Bin Abdullah lwn. Ketua Pendakwa Syarie, (JH 31 (1)
hlmn. 127), Y.A Hakim menyatakan bahawa ;
Mahkamah berpendapat seksyen ini wajar ditafsirkan mengikut
pendekatan Harafiah (The Literal Approach) dan Kaedah Keemasan
(The Golden Rule) yang membawa maksud Mahkamah boleh
menjatuhkan hukuman denda atau penjara ke atas pihak yang
berpoligami tanpa kebenaran. Ini bermakna kuasa untuk
menentukan sama ada hukuman penjara atau denda yang akan
dikenakan terletak ke atas budi bicara Mahkamah
ii) Kes Muhammad Faris Bin Ismail & Shahidah Binti Abd Wahab lwn.
Ketua Pendakwa Syarie Negeri Melaka, JH 32 (1), hlm. 62, YAA Hakim
Mahkamah Rayuan bersetuju dengan hujahan Responden seperti berikut ;
Responden pula berhujah dengan menyatakan bahawa Y.A Hakim
Bicara tidak terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam
menjatuhkan hukuman ke atas Perayu 1 dengan hukuman denda
RM3,000.00 kalau tak bayar dipenjarakan 24 bulan, DAN Dipenjarakan
selama 3 hari, manakala Perayu 2 didenda RM2,000.00 kalau tak bayar
dipenjarakan 24 bulan, DAN dipenjarakan selama 3 hari. Ini adalah
kerana perkataan boleh di dalam peruntukan seksyen 53 (1) dan (2)
Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 telah membuka
ruang dan peluang ijtihad kepada Hakim dalam membuat pilihan
samada menghukum dengan denda maksimum tidak melebihi
RM3,000.00 sahaja atau membuat pilihan kedua iaitu penjara tidak
melebihi 24 bulan atau membuat pilihan ketiga iaitu menghukum
dengan kedua-duanya sekali.
Dalam memutuskan isu ini, saya bersetuju dengan hujah Responden
bahawa Mahkamah Bicara boleh menjatuhkan hukuman ke atas Perayu 1
dan 2 berdasarkan peruntukan seksyen 53 (1) & (2) Enakmen Kesalahan
Syariah (Negeri Melaka) 1991 samada menghukum dengan denda
maksimum tidak melebihi RM3,000.00 sahaja atau membuat pilihan kedua
iaitu penjara tidak melebihi 24 bulan atau membuat pilihan ketiga iaitu
menghukum dengan kedua-duanya sekali. Walaubagaimanapun apa yang
15
menjadi persoalan ialah apakah pertimbangan-pertimbangan yang telah
digunakan oleh Y.A Hakim Bicara di dalam menentukan kadar hukuman
samada berat atau ringan ke atas seseorang Pesalah?
[35] Selanjutnya, dalam isu rayuan peringanan dan pemberatan hukuman ini juga
Mahkamah tertarik sepertimana pernah diulas oleh YAA Tan Sri Ibrahim Lembut pada
kes Muhammad Ridhwan Bin Tokiri & Seorang Lagi lwn. Ketua Pendakwa
Syarie, (JH 34 (2)) yang memberikan beberapa asas panduan hukuman dan faktor-
faktor yang berhak untuk diambilkira dalam menentukan hukuman iaitu:
i) Faktor Pengakuan Bersalah Tertuduh
Pada pandangan Mahkamah, faktor ini bukanlah secara qatie atau muktamad
mengikat Mahkamah untuk membenarkan dan meringankan hukuman bahkan
perkara ini perlu selari dengan faktor-faktor yang lain yang akan dihuraikan
selanjutnya. Perkara ini pernah diulas secara baik di dalam kes Muhammad
Sufi Bin Abdullah lwn. Ketua Pendakwa Syarie, (JH 31 (1)) iaitu:
Mahkamah berpendapat kesalahan kali pertama bukannya
alasan untuk tidak didenda dan dipenjarakan memandangkan
peruntukkan yang ada jelas tidak membezakan antara kesalahan
kali pertama dilakukan mahupun yang kedua atau seterusnya
selama mana ianya masih di bawah peruntukkan yang
diberikan...
ii) Faktor Pesalah Muda dan Faktor Kesihatan Tertuduh
Kedua-dua faktor ini adalah tiada kaitan dalam kes ini secara khusus
memandangkan Tertuduh tidak lagi tertakluk pada seksyen 2 ETJSS 2003
(tafsiran Pesalah Muda) dan berkenaan dengan faktor kesihatan, tiada
dibangkitkan perkara ini dalam keseluruhan kes di mana-mana peringkat
sekalipun.
iii) Faktor Perayu telah insaf dan bertaubat
Faktor ini jelas sepertimana yang telah diulas terdahulu oleh Mahkamah bahawa
tiada langsung penzahiran rasa keinsafan dan kekesalan diterbitkan daripada
16
diri Tertuduh sendiri ketikamana rayuan dibuat, yang ada hanyalah sikap sambil
lewa dan tiada rayuan langsung serta tanpa apa-apa justifikasi.
iv) Faktor Kejahilan Tertuduh berkaitan Hukum Islam
Perkara ini tidak dibangkitkan sepanjang prosiding berlangsung samada
daripada pihak Tertuduh mahupun pihak Pendakwa. Maka jelas konsep asas
hukum fiqh adalah sepertimana kaedah:
Iaitu kejahilan tidak akan mengubah Hukum
[36] Selain merujuk kepada keharusan yang diiktiraf oleh hukum syarak dalam
membuat rayuan sepertimana yang ditunjukkan daripada ibrah kisah-kisah para anbiya
dan para sahabat. Antara lain Rasulullah juga merayu kepada Allah ketikamana
memohon untuk dikurangkan waktu solat pada umat Islam, serta juga kisah yang tidak
asing lagi, bagaimana Saidina Ali dalam kes Zubyah al-Asad mendengar akan rayuan
daripada pihak-pihak yang terlibat dalam kes jenayah ketika itu. Apatah lagi, Tertuduh
lelaki di dalam kes ini yang merupakan manusia biasa, sepatutnya menggunakan ruang
mitigasi dan rayuan ini sebaik-baiknya dan bukanlah bersikap sombong dan sinis
terhadap peluang yang diberikan tersebut.
[37] Justeru itu, kesimpulan yang dapat dibuat di bawah isu ini adalah jelas bahawa
Mahkamah memberikan hukuman selepas mengambilkira pelbagai faktor peringatan
dan pemberatan kepada Tertuduh khususnya. Sebagaimana tujuan hukuman dipilih
setelah diberikan beberapa justifikasi melalui Tertuduh dan Pendakwa sendiri. Sikap
yang dizahirkan oleh Tertuduh sepanjang prosiding ini berjalan jelas sangat
mengecewakan dan dalam hal ini, Mahkamah berpendapat hukuman penjara adalah
suatu yang bersifat deteren paling tepat untuk Tertuduh.
Isu Ketiga : Sama ada Hukuman Yang Dikenakan Kepada Tertuduh Adalah Wajar Dan
Berpatutan
[38] Fakta Kes dan latar belakang Tertuduh antara yang menjadi sandaran
Mahkamah supaya sesuatu hukuman itu wajar dan berpatutan kepada Tertuduh.
Hukuman pemenjaraan adalah amat sesuai berbanding hukuman denda kerana bersifat
deteren iaitu pencegahan terhadap pengulangan kepada kesalahan yang sama. Selain
17
juga memberi keinsafan kepada tertuduh agar tidak mengulanginya di masa-masa akan
datang. Merujuk kepada fakta kes tertuduh dengan pendapatan RM3500.00 sebulan
sebagai Pengurus. Hukuman denda dilihat tidak praktikal disebabkan ada kemungkinan
sumber yang diperoleh tertuduh untuk membayar denda adalah daripada meminjam dari
orang lain atau menggunakan wang sendiri. Ini secara langsung belum dan tidak
memberi pengajaran kepada DIRI TERTUDUH SENDIRI. Roh hukuman untuk
memberi kesedaran tidak tercapai dengan hukuman material seperti denda dalam kes ini
kerana kesudahannya siapa yang mampu membayar, maka mudahlah untuk menjalani
hukuman, dan kesalahan dapat dilakukankan lagi tanpa terbit penyesalan dalam diri.
[39] Selain mengambil kira maklumat latarbelakang Tertuduh yang pernah
berkahwin sebelum ini dan berumur sekitar 45 tahun sudah tentu boleh memikirkan baik
dan buruk sesuatu perbuatan, pekerjaannya sebagai Pengurus yang boleh dikatakan
bergaji besar mampu untuk membayar denda beribu-ribu sebagaimana dinyatakan
terdahulu, tarafnya dalam masyarakat sebagai antara rakyat berpendapatan datang dari
kawasan bandar, tiada tanggungan nafkah tetap serta peluangnya pada masa hadapan
sekiranya hukuman pemenjaraan dilakasanakan, jelas pada pandangan Mahkamah tidak
membawa kepada kesan negatif secara keseluruhannya. Persepsi Mahkamah dalam
menentukan samada besar atau kecil kesalahan yang dilakukan adalah sesuatu bersifat
subjektif. Tiada yang bersifat tetap selama-lamanya adalah tetap sebegitu.
[40] Kesalahan khalwat adalah kesalahan yang serius. Penggubal undang-undang
sudah pasti memikirkan kerelevanan penjara 2 tahun tersebut dan pasti angka 2 tahun
tersebut bukan sia-sia. Dengan hukuman yang ringan dan lemah, masyarakat semakin
berani melakukan kesalahan dan seolah-olah bukan sahaja mencabar pihak kerajaan
yang menggubal undang-undang tetapi yang lebih dahsyat lagi adalah mencabar Allah
S.W.T dengan sengaja melanggar larangan dan tegahan Allah walaupun dalam keadaan
sedar bahawa itu adalah satu kesalahan. Sesungguhnya apabila Agama Islam melarang
sesuatu perbuatan, maka apa jua usaha yang menyumbang ke arah perkara tersebut
adalah turut dilarang.
[41] Jelas juga daripada sudut fakta kes yang diakui oleh Tertuduh, keadaan aib dan
memalukan dimana kesalahan ini berlaku pada jam 12.00 tengah malam dengan
keadaan tertuduh dan pasangannya yang sangat mengundang syak. Pada waktu-waktu
18
sebegini bagi seorang lelaki Melayu yang beragama Islam bahkan juga perempuan
sekalipun adalah waktu untuk melepaskan lelah bekerja sepanjang hari dengan berehat
di rumah, bukanlah berada dengan pasangan yang tiada apa-apa hubungan mahram
dengannya di dalam satu rumah yang berkunci. Tambahan juga dilakukan pada waktu
malam yang menjadi amalan masyarakat jahil agama ini dengan kesempatan-
kesempatan dimanfaatkan dengan perkara yang tidak munasabah. Keadaan ini jelas
menunjukkan bahawa tertuduh ini mengambil mudah dan telah tidak menghiraukan
pandangan syarak serta sengaja mencabar undang-undang walaupun mahkamah yakin
tertuduh mengetahui bahawa kesalahan ini adalah salah dari sudut undang-undang dan
hukum syarak.
[42] Kewujudan niat jahat (means reas) dizahirkan bilamana ditangkap berdua-duaan
di dalam sebuah rumah, yang mana dalam waktu dan masa yang sangat tidak munasabah
menimbulkan syak pada masyarakat. Bahkan satu fitnah pada Agama Islam serta
ditambah dengan perbuatan jahat (actus reas) iaitu melakukan perbuatan khalwat
dengan bukan mahram yang ditegah dan dilarang oleh hukum syarak. Sepertimana
Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Jabir ra
maksudnya, Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka jangan ia
berkhalwat dengan perempuan asing tanpa ada mahramnya kerana yang ketiga adalah
syaitan.
[43] Seterusnya hukuman sebegini jelas sebagai satu pengajaran kepada tertuduh
yang tidak menunjukkan rasa keinsafan semasa proses mitigasi, tidak serius, tidak
bersungguh-sungguh, tiada penzahiran rasa kesal, mahupun kenyataan telah bertaubat
ketika mengemukakan rayuan untuk meringankan hukuman. Sehubungan dengan itu,
Mahkamah berpendapat hukuman pemenjaraan adalah sebagai satu bentuk hukuman
bersifat deteren terbaik untuk Tertuduh bahkan tidaklah begitu melampau dan
berlebihan dikenakan pada Tertuduh setelah mengambil kira kedudukan latar belakang
Tertuduh ketikamana ditangkap.
[44] Mahkamah sekali lagi menjelaskan tujuan hukuman terhadap Tertuduh adalah
bagi memastikan hukuman yang dikenakan merupakan hukuman yang dapat
menyedarkan, memberi pengajaran dan menginsafkan Tertuduh seterusnya juga
memberi pengajaran kepada masyarakat awam amnya. Pendirian Mahkamah melihat
19
keadaan zahir Tertuduh tiada langsung diterbitkan rasa keinsafan dan kekesalan
sepanjang prosiding berjalan telah memberi laluan kepada Mahkamah untuk
menghasilkan bentuk hukuman sebegini.
KEPUTUSAN
Setelah mensabitkan Tertuduh melakukan kesalahan di bawah seksyen 29(1)(a) EJSS 1995, dan
setelah menilai rayuan pengurangan / mitigasi Tertuduh serta hujah pemberatan daripada pihak
Pendakwa, maka Mahkamah dengan ini memutuskan dan memerintahkan sepertimana berikut:
i) Mahkamah menjatuhkan hukuman bagi Tertuduh yang bernama Iskandar
dengan Penjara selama 15 hari berkuatkuasa mulai tarikh 22 Mac 2016.
Top Related