ISSN 1823-9242 Jurnal Linguistik Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
33
www.plm.org.my
JURNAL LINGUISTIK Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
Lipas Dan Katak Dalam Peribahasa Melayu: Analisis Semantik Inkuisitif
Mohd Syukri Anwar [email protected]
Dewan Bahasa dan Pustaka
Nor Hashimah Jalaluddin [email protected]
Program Linguistik
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia
_____________________________________________________________________________
Abstrak
Bahasa Melayu kaya dengan metafora, iaitu metafora tradisional. Metafora tradisional terdiri daripada
pepatah, simpulan bahasa, peribahasa, pantun dan banyak lagi. Masyarakat Melayu membentuk metafora
daripada pemerhatian dari apa-apa yang ada di sekeliling mereka. Hasilnya, kita boleh dapati objek yang
dipilih dan makna yang diberi tersulam kemas. Namun, interpretasi yang mendalam diperlukan bagi
mencungkil makna sebenar metafora ini. Artikel ini bertujuan menginterpretasi simpulan bahasa „lipas
kudung‟ dan peribahasa „katak di bawah tempurung‟. Kajian lepas banyak meneliti flora tetapi artikel ini akan
memfokuskan kepada serangga dan amphibian. Interpretasi ini melibatkan tiga peringkat, iaitu makna harfiah,
makna kognitif dan makna inkuisitif. Konsep rangka rujuk silang akan menjelaskan makna kognitif.
Peringkat ini cuba memetakan makna abstrak dan makna konkrit peribahasa tersebut berdasarkan objek yang
dipilih. Memandangkan peribahasa ini bersifat implisit, satu lagi peringkat interpretasi adalah munasabah.
Peringkat ini dikenali sebagai lapisan inkuisitif bertujuan mencungkil falsafah di sebalik objek terpilih dan
maknanya. Dapatan kajian menunjukkan yang kedua-dua objek, lipas dan katak memerikan tingkah laku
masyarakat yang dikaji. Lipas menggambarkan pelakuan lincah, cepat dan bijak dalam bertindak. Manakala
katak memperlihatkan tingkah laku sebaliknya. Ia membawa maksud pemikiran yang sempit, pemalas dan
jahil. Kajian ini membuktikan bahawa metafora tradisional Melayu berbaloi untuk dikaji. Selain daripada
pemetaan makna abstrak dan konkrit, falsafah terbenam di sebalik metafora ini telah dibina secara bijaksana
Kata kunci: lipas; katak, peribahasa, semantik inkuisitif, rangka rujuk silang
„Cockroach’ and ‘Frog’ in Malay Proverbs: An Inquisitive Semantics Analysis
Abstract
Malay language is very rich with metaphors that is the traditional metaphors. The traditional metaphors
consists of the Malay sayings, idioms, proverbs, ‘pantun’ and many more. The Malays formed metaphors
from observation of their surroundings. As a result, we can see the objects chosen and the meaning given are
Tarikh terima Received
: 7 September 2021
Terima untuk diterbitkan
Accepted
: 23 September 2021
Tarikh terbit dalam talian
Published online
: 30 November 2021
ISSN 1823-9242 Jurnal Linguistik Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
34
neatly interwoven. Nevertheless, a profound interpretation is needed in order to explicate the intended
meaning of these metaphors. This article aims to interpret the idioms of ‘lipas kudung’ and proverbs ‘katak di
bawah tempurung’. Previously, many studies have been done on flora but this article will focus on insects
and amphibian. The interpretation involves three layers, namely the literal meaning, the cognitive meaning
and the inquisitive meaning. The bridging cross reference concept will elucidate the cognitive meaning. It
tries to map the abstract meaning and the concrete meaning of the proverbs based on the chosen objects.
Since the proverbs are implicit in nature, another layer of interpretation is plausible. This layer is known as
the inquisitive layer that seek to unveil the philosophy behind the objects chosen and its meaning. The
findings show that both objects, cockroach and frog reflect the behavior of the community. Cockroach reflects
the act of nimbleness, fast and clever in action. Meanwhile frog displays the opposite act. It denotes the
character of narrow minded, lazy and ignorant. This study proves that Malay traditional metaphors are
worth researching. Apart from the mapping of the abstract and concrete meaning, the philosophy embedded
in these metaphors are brilliantly constructed.
Keywords: cockroach; frog; proverbs, inquisitive semantics, bridging cross reference
_____________________________________________________________________________
1. Pengenalan
Bahasa seharusnya bukan sekadar berfungsi untuk menyampaikan maklumat, tetapi lebih daripada
itu. Oleh sebab itu, kajian tentang bahasa tidak seharusnya tertumpu pada bentuknya sahaja, tetapi
perlu diperluas kepada aspek falsafah untuk menggambarkan akal budi bangsa yang menuturkan
bahasa tersebut (Hishamudin Isam et. al., 2018). Hal ini terpakai pada semua bahasa, termasuklah
bahasa Melayu yang sarat membawa khazanah bangsa Melayu secara khususnya. Hal ini dikatakan
demikian kerana khazanah akal budi Melayu menerusi metafora tradisional sememangnya terlalu
banyak dan sangat menarik untuk dikaji.
Sebelum itu, perlu diketahui bahawa peribahasa terbentuk daripada minda dan pemikiran
Melayu yang menyerlahkan kepekaan masyarakat Melayu terhadap apa-apa yang berlaku di
sekeliling mereka (Julaina Nopiah, Nor Hashimah Jalaluddin dan Junaini Kasdan, 2017). Menurut
Siti Nur Izzaty Salit dan Norsimah Mat Awal (2017), peribahasa ialah khazanah penting,
terutamanya dalam bahasa Melayu, dan menjadi alat untuk menyampaikan nasihat dan teguran
dalam cara yang paling halus untuk mengelakkan orang yang mendengarnya berkecil hati. Namun
begitu, kajian tentang peribahasa bukanlah suatu perkara yang mudah kerana melibatkan unsur
pemikiran aras tinggi dan falsafah yang sukar difahami. Oleh sebab itu, tidak hairanlah apabila
kajian tentang metafora lebih banyak tertumpu pada metafora linguistik berbanding dengan
metafora tradisional.
Kekurangan kajian terhadap metafora tradisional ini juga berlaku kerana kurangnya
pengetahuan disebabkan oleh kurangnya pendedahan masyarakat atau sesetengah pengkaji terhadap
unsur alam yang melingkungi mereka. Lebih memburukkan keadaan apabila banyak unsur alam
yang hilang daripada pandangan mata pada zaman moden ini dan hanya dapat dilihat di tempat
tertentu seperti zoo, taman haiwan dan taman tumbuhan. Tanpa ilmu tentang ciri dan sifat unsur
yang ada di alam ini, kajian yang melibatkan pemikiran aras tinggi makin sukar dilaksanakan. Jika
dilakukan juga, hasil analisis yang dikemukakan hanyalah pada peringkat superfisial, tanpa
melibatkan akal budi bangsa yang mencipta peribahasa tersebut.
Dalam kajian ini, pengkaji akan menganalisis metafora tradisional yang terdiri daripada satu
simpulan bahasa dan satu perumpamaan, iaitu lipas kudung dan katak di bawah tempurung,
masing-masing dengan menggunakan pendekatan semantik inkuisitif. Kedua-duanya ini tergolong
dalam peribahasa. Perbezaannya ialah simpulan bahasa merujuk kepada peribahasa yang lebih
pendek bentuknya, manakala perumpaman merujuk kepada peribahasa yang lebih panjang yang
biasanya ditandakan dengan kehadiran kata tertentu, seperti ibarat, bagai, umpama, bak dan
laksana.
ISSN 1823-9242 Jurnal Linguistik Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
35
2. Kajian Lepas
Kajian tentang haiwan lebih banyak tertumpu pada kajian dalam bidang sains tulen berbanding
dengan kajian sains sosial, iaitu menjadikan fizikal haiwan, sama ada bahagian luar atau dalam,
sebagai bahan eksperimen di makmal. Namun begitu, kajian tentang imej atau gambaran yang
mewakili haiwan masih kurang ditumpukan. Gambaran haiwan ini banyak ditemukan dalam
peribahasa sesuatu bangsa dan biasanya sukar ditafsirkan maknanya kerana memerlukan kemahiran
berfikir aras tinggi, serta pengetahuan terhadap haiwan dan kaitannya dengan manusia.
Secara umumnya, kajian tentang peribahasa berjaya menarik minat sarjana tempatan untuk
menyelidikinya (Julaina Nopiah, Nor Hashimah Jalaluddin dan Junaini Kasdan, 2017). Namun
begitu, kajian yang mengkhusukan haiwan dalam peribahasa masih tidak banyak ditumpukan
memandangkan imej haiwan yang terdapat dalam peribahasa Melayu terlalu banyak jumlahnya.
Antara pengkaji-pengkaji yang pernah menghuraikan imej atau gambaran haiwan termasuklah
Junaini Kasdan, Nor Hashimah Jalaluddin dan Wan Nurasikin Wan Ismail (2016), Muhammad
Zaid Daud (2018), Maulana al-Fin Che Man dan Nor Hashimah Jalaluddin (2018), Tangaprabu
Murthy dan Mary Fatimah Subet (2020).
Junaini Kasdan, Nor Hashimah Jalaluddin dan Wan Nurasikin Wan Ismail (2016) menganalisis
ikan dalam peribahasa Melayu menggunakan analisis semantik inkuisitif. Ketiga-tiga pengkaji ini
berjaya mengelompokkan pelbagai makna ikan dalam domain berhati-hati, jodoh, kebiasaan,
khianat, rezeki, sia-sia dan sindiran. Pemilihan ikan berbanding dengan haiwan lain dalam
peribahasa Melayu juga dibuktikan menerusi kepelbagaian khasiatnya berdasarkan penyelidikan
sains, seperti mudah dicernakan proteinnya, mempunyai pola asid amino yang sama dengan badan
manusia, berupaya menghilangkan keletihan, selain meningkatkan keupayaan mental dan fizikal.
Muhammad Zaid Daud (2018) menganalisis ayam (Gallus gallus domesticus), burung (Bird),
itik (Anas platyrhynchos) dan angsa (Anserini) yang terdapat dalam peribahasa Melayu dengan
memfokuskan domain rezeki dengan menggunakan semantik inkuisitif. Makna yang diperoleh oleh
Muhammad Zaid Daud (2018) ialah hidup senang dan mewah bagi imej ayam bertelur, makna baru
sahaja dagangan dibuka, telah banyak orang datang membeli bagi imej ayam, makna pendapatan
hari ini, lebih baik daripada pendapatan esok bagi imej anak ayam, makna di mana ada rezeki di
situ orang berkumpul bagi imej burung, makna di tempat orang mudah mendapat rezeki, banyaklah
orang berkumpul bagi imej pipit, makna memperoleh sesuatu yang sangat digemarinya dan orang
yang sudah tahu tak perlu diajar bagi imej itik, makna barang yang tiada berguna kepada orang
kaya (besar), barulah diberikan kepada orang miskin bagi imej angsa.
Maulana al-Fin Che Man dan Nor Hashimah Jalaluddin (2018) pula menganalisis makna
burung dalam pantun Melayu yang terdapat dalam buku Kurik Kundi Merah Saga Kumpulan
Pantun Lisan Melayu. Dengan menggunakan konsep ad hoc dan pendekatan semantik inkuisitif
serta pembuktian secara saintifik, kedua-dua pengkaji ini menemukan makna kasih sayang,
percintaan dan kesetiaan manusia bagi imej burung merpati, makna status, darjat dan kedudukan
antara manusia di dunia ini bagi imej burung pipit, makna kesedihan, kekecewaan dan kedukaan
yang dihadapi oleh manusia bagi imej burung tiong.
Tangaprabu Murthy dan Mary Fatimah Subet (2020) turut menggunakan pendekatan semantik
inkuisitif untuk mengenal pasti makna implisit bagi imej gajah dalam peribahasa Tamil. Kedua-dua
pengkaji ini menjelaskan bahawa penggunaan imej haiwan ini kerana berkait rapat dengan
kehidupan masyarakat India. Antara kaitan yang diberikan untuk merungkaikan kewajaran
penggunaan gajah ini termasuklah penggunaannya sebagai pengangkat barang berat dan pokok
tumbang. Saiznya yang besar pula melambangkan setiap masalah yang besar dapat diselesaikan.
Oleh sebab itu, menerusi kajian yang pernah dilakukan oleh pengkaji-pengkaji ini, masih ada ruang
yang besar untuk mengkaji haiwan lain dari aspek linguistik, terutamanya dari aspek makna yang
ISSN 1823-9242 Jurnal Linguistik Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
36
dibawa dengan menggunakan imej haiwan. Sehubungan dengan kajian di atas, kajian ini akan
meneruskan kajian mengenai „lipas‟ dan „katak‟ bagi menambah kosa ilmu mengenai haiwan dan
secara itdak langsung mempamerkan pemikiran Melayu berkaitan haiwan-haiwan tersebut. Oleh
sebab pendekatan semantik inkuisitif dapat menjelaskan pemetaan minda daripada abstrak kepada
konkrit, maka artikel ini akan terus menggunakan pendekatan semantik inkuisitif yang dipelopori
oleh Nor Hashimah (2014).
3. Metodologi
Dalam kajian ini, pengkaji memilih dua peribahasa berkaitan imej atau gambaran haiwan di bawah
kategori simpulan bahasa dan perumpamaan. Pemilihan haiwan pula dibataskan pada salah satu
daripada tiga ciri, iaitu ciri tempat, ciri mudah dilihat dan ciri diketahui atau dikenali oleh
kebanyakan manusia. Bagi ciri tempat, haiwan tersebut perlulah berada di tempat yang biasa dilalui
oleh manusia, sama ada di dalam rumah, halaman rumah, kenderaan, dan pejabat. Bagi ciri mudah
dilihat pula, haiwan tersebut perlu mudah dilihat oleh manusia. Bagi ciri terakhir, haiwan tersebut
mestilah diketahui atau dikenali namanya oleh kebanyakan manusia, iaitu haiwan yang mudah
dicam oleh sesiapa sahaja yang melihatnya. Menerusi pertimbangan ini, pengkaji memutuskan
untuk memilih imej haiwan lipas dan katak yang terdapat dalam peribahasa lipas kudung dan katak
di bawah tempurung sebagai fokus kajian.
Maklumat yang berkaitan dengan leksikal yang membina peribahasa ini didapatkan, sama ada
dari segi makna atau sifatnya. Ayat yang mengandungi kedua-dua peribahasa ini pula dicari
menerusi korpus DBP dan dimasukkan ke dalam jadual.
Analisis data akan dilakukan menggunakan tiga tahap. Tahap pertama akan membincangkan
makna harfiah leksikal yang terkandung dalam peribahasa dan makna yang diberikan menerusi
kamus peribahasa. Tahap kedua akan membincangkan makna berdasarkan konteks berdasarkan
Rangka Rujuk Silang terhadap ayat yang diperoleh daripada korpus DBP. Tahap ketiga akan
membincangkan makna peribahasa dengan menggunakan semantik inkuisitif, iaitu membincangkan
akal budi dalam pemilihan setiap leksikal yang membina metafora tradisional ini. Menurut
Muhammad Zaid Daud (2018), kajian yang menggunakan semantik inkuisitif semakin banyak
dilakukan dalam kalangan penyelidik tempatan untuk merungkaikan makna peribahasa Melayu.
Di samping itu, dalam analisis tahap ketiga ini juga, pengkaji turut membincangkan faktor
penolakan haiwan lain daripada digunakan sebagai simbol haiwan dalam peribahasa ini. Akhir
sekali, pengkaji akan memetakan makna abstrak kepada makna konkrit daripada imej haiwan
dengan menghasilkan metafora konsepsi untuk mendapatkan falsafah di sebalik peribahasa ini.
4. Analisis Dan Perbincangan
4.1 Simpulan Bahasa Lipas Kudung
4.1.1 Tahap 1
Pada tahap 1, makna harfiah bagi simpulan bahasa lipas kudung akan dibincangkan. Simpulan
bahasa ini terdiri daripada gabungan leksikal lipas dan kudung. Secara harfiahnya, leksikal lipas
bermaksud sejenis serangga yang biasa terdapat di rumah (KDE4), manakala maksud leksikal
kudung pula ialah terkerat atau terpenggal (KDE4). Walau bagaimanapun, disebabkan oleh
gabungan kedua-dua leksikal ini bukannya membentuk frasa nama, sebaliknya ialah kata majmuk
yang merujuk satu metafora, maka maksud yang diberikan hendahlah berlandaskan makna yang
telah ditetapkan dalam kamus simpulan bahasa atau kamus peribahasa. Dalam erti kata lain, makna
ini sudah tidak boleh diubah lagi. Berdasarkan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu Edisi Kedua,
lipas kudung bermaksud selalu bergerak dengan cepat; selalu sibuk bekerja.
ISSN 1823-9242 Jurnal Linguistik Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
37
Contoh ayat yang menggunakan simpulan Bahasa lipas kudung ialah “Nenek suruh aku
bekerja macam lipas kudung.” Apabila makna daripada kamus peribahasa ini diterapkan dalam
contoh ayat di atas, maka terhasillah makna “Nenek suruh aku bekerja dengan cepat dan
kerap.”Walau bagaimanapun, makna yang terhasil daripada tahap 1 ini hanyalah satu penerimaan
daripada makna yang diberikan oleh kamus peribahasa tanpa melibatkan konteks dan kognitif
penutur.
4.1.2 Tahap 2
Pada tahap 2, makna yang berdasarkan konteks akan dianalisis berdasarkan Rangka Rujuk Silang.
Bagi memahami makna simpulan bahasa lipas kudung pada tahap 2 ini, ayat yang menggunakan
simpulan bahasa lipas kudung didapatkan daripada Korpus DBP. Ayat yang menunjukkan ciri lipas
kudung ini ditunjukkan dalam Jadual 1.Setelah itu, premis tambahan dicari daripada ayat ini untuk
mendapatkan maksud simpulan bahasa lipas kudung yang berada dalam konteks penggunaannya.
Jadual 1 Ayat yang mengandungi simpulan bahasa lipas kudung (korpus DBP).
Bil. Ayat
1. Lincahnya ibu macam lipas kudung. (Shahnon Ahmad. Ibu Adalah Pentafsir & Sungai
(Dua Buah Novella). Sastera, 1995)
2. Dengan laju dipandu macam lipas kudung, Volkswagen itu menyelinap antara bas-bas
awam yang berjalan atau berhenti. (Mohd Fadzil Yusof. Terbang Layang-layang. Sastera,
2016)
3. Seperti lipas kudung, awak berlari kencang, menyusup di celah-celah orang ramai.
(Antologi Cerpen Peraduan Penulisan Sastera Kreatif 2013 Anjuran DBP Cawangan
Sarawak. Seru. Umum, 2018)
4. … itu, Hang Berkat merupakan orang yang paling sibuk dalam kawasan istana, seperti lipas
kudung lakunya berjalan ke sana kemari; sekejap pergi ke balai gading, di … (A. Samad
Ahmad. Zaman Gerhana. Sastera, 1976)
5. … terus kembali ke Sabah," katanya yang juga dikenali di kalangan peminat sebagai lipas
kudung gara-gara pantas berlari. (Amirullah Andi Nur. `Lipas kudung' Sabah. Sukan, 2005)
6. Kakak memasak seorang diri seperti lipas kudung untuk menyediakan makan malam
kami. (Asiah Abdul Rahman. Peribahasa Sekolah Rendah. Pendidikan, 2015)
7. Tentera Belanda lintang-pukang lari bagai lipas kudung mencari tempat perlindungan yang
selamat. (Murad Arsad. Puteri Putih. Sejarah, 2019)
8. Cik Siti memakai tudung, Tudungnya ringkas gaya terkini; Geraknya seperti lipas kudung,
Cepat dan tangkas ke sana sini. (Nazel Hashim Mohamad. Pantun Pak Nazel 2. Sastera,
2013)
9. … Selangor pasti menghadapi kesukaran untuk mengawalnya kerana dia adalah pemain
lincah bak lipas kudung di gelanggang. (Bashah Zainol Abidin. Nidzam pikul tugas
pemusnah Kedah. Sukan, 1994)
10. … duduk di bangku yang disediakan oleh anak-anak buah Mama yang bekerja bagaikan
lipas kudung sejak tengah malam semalam. (RUHAINI MATDARIN. Hari-Hari Terakhir di
Jesselton. 2018)
11. Dekat rumah macam lipas kudung buat kerja … tangkas. (Rozninah Abd. Azib. Sehelai
Daun Dari Pohon Sidrah. Sastera, 2017)
Berdasarkan Jadual 1, lipas kudung menghasilkan makna yang mempunyai beberapa ciri, iaitu
manusia dan bukan manusia, kemampuannya untuk memasuki ruang sempit, sifat, perbuatan,
tempat dan kehebatan. Setiap ciri ini diperoleh daripada premis tambahan yang terdapat dalam
setiap ayat dalam Jadual 1.
ISSN 1823-9242 Jurnal Linguistik Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
38
Ciri manusia ditunjukkan daripada premis tambahan ibu (1), awak (3), orang (4), kakak (6),
tentera (7), cik siti (8), dan pemain (9), manakala ciri bukan manusia ditunjukkan daripada premis
tambahan dipandu (2) dan Volkswagen (2). Ciri kemampuannya untuk memasuki ruang sempit
diketahui berdasarkan premis tambahan menyelinap (2) dan menyusup (3).
Kemudian, ciri yang menunjukkan sifat pula disumbangkan oleh premis tambahan lincah (1)
dan (9), laju (2), kencang (3), paling sibuk (4), sekejap pergi ke (4), pantas (5), cepat dan tangkas
(8). Ciri dari segi perbuatannya ditunjukkan melalui premis tambahan lari (3), (5) dan (7), memasak
(6), menyediakan (6), lintang-pukang (7), memakai (8), ke sana sini (8) dan bekerja (10).
Seterusnya, ciri tempat ditunjukkan daripada premis tambahan antara bas-bas (2), di celah-
celah (3), kawasan istana (4), tempat perlindungan (7) dan dekat rumah (11). Ciri kehebatan
dibuktikan menerusi premis tambahan seorang diri (6), kesukaran untuk mengawalnya (9), dan
sejak tengah malam semalam (10).
Berdasarkan bukti ini, maksud simpulan bahasa lipas kudung berdasarkan konteks ini ialah
manusia atau bukan manusia yang mempunyai kemampuan dan kehebatan dari segi sifat dan
perbuatan di pelbagai tempat.
4.1.3 Tahap 3
Pada tahap 3 ini, analisis dilakukan dengan menggunakan semantik inkuisitif, iaitu membincangkan
akal budi dalam pemilihan setiap leksikal yang membina metafora simpulan bahasa lipas kudung.
4.1.3.1 Pemilihan Lipas
Lipas ialah haiwan atau lebih tepatnya serangga yang mudah ditemukan di rumah, terutamanya
yang tidak dijaga kebersihannya sehingga menyebabkan rumah menjadi kotor (MY NEW PEST
CONTROL, https://mynewpestcontrol.wordpress.com/2018/09/28/4-tanda-mudah-kehadiran-
lipas/). Oleh sebab itu, lipas ialah suatu yang bermanifestasi kepada pendengar. Dari segi
fizikalnya, lipas ini bersaiz kecil. Saiz yang kecil ini ialah suatu kelebihan dari segi tindakan untuk
bergerak dan berhenti.
Persekitaran kognitif pendengar membekalkan maklumat bahawa manusia yang bersaiz kecil
biasanya bersifat lincah, pantas dan hebat. Sebab itulah adanya simpulan bahasa kecil-kecil si cali
padi yang menunjukkan kehebatan walaupun bersaiz kecil. Dari segi fizik, ada istilah inersia dan
momentum untuk menggambarkan pegun (diam) dan geraknya objek. Inersia merujuk daya
(tenaga) yang diperlukan untuk menggerakkan suatu objek. Makin kecil objek itu, makin sedikit
daya (tenaga) yang diperlukan, seterusnya menyebabkan objek ini lagi cepat untuk digerakkan
daripada keadaan pegun (Physics Stack Exchange,
https://physics.stackexchange.com/questions/178837/inertia-vs-momentum). Maka, lipas yang
bersaiz kecil mempunyai daya inersia yang tinggi, iaitu cepat untuk memulakan tindakan geraknya.
Apabila telah bergerak, satu-satu objek itu akan mempunyai tenaga kinetik yang dipanggil
momentum. Semakin besar saiz objek, semakin tinggi momentumnya. Semakin tinggi momentum
pula, semakin sukar untuk objek tersebut dihentikan daripada pergerakannya, dan begitulah
sebaliknya (Physics Stack Exchange, https://physics.stackexchange.com/questions/178837/inertia-
vs-momentum). Oleh sebab itu, keadaan ini memberikan kelebihan kepada lipas yang bersaiz kecil.
Dengan saiz yang kecil, selaju mana pun lipas bergerak, momentumnya rendah, seterusnya lipas
mudah untuk memberhentikan pergerakannya secara tiba-tiba.
Selain itu, persekitaran kognitif pembaca juga memberitahu bahawa lipas ini boleh bergerak di
tempat sempit dan lapang. Bagi tempat sempit, lipas tidak mempunyai masalah untuk bergerak
kerana lipas mempunyai keupayaan untuk mencelah dan menyusup di celah-celah atau antara
ISSN 1823-9242 Jurnal Linguistik Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
39
ruangan sempit untuk melepasi ke bahagian yang satu lagi. Sama ada celah sempit itu berbentuk
vertikal, seperti celah antara almari dengan dinding atau berbentuk horizontal, seperti celah antara
peti ais dengan lantai, hal itu tidak menjadi masalah kerana lipas mempunyai saiz badan yang leper.
Untuk menyusup di celah vertikal, lipas akan berjalan di dinding atau tepi almari, dan untuk
menyusup di celah horizontal, lipas akan berjalan di bawah peti ais atau atas lantai. Hal ini
menyebabkan badan lipas yang leper itu muat-muat untuk melepasi ruang tersebut.
Yang lebih mengagumkan adalah apabila lipas juga mampu menyelit di celah-celah sempit
yang saiznya lebih kecil daripada saiz badan lipas. Hal ini dikatakan demikian kerana lipas boleh
mengecilkan badan sebanyak 40-60% daripada ukuran asalnya dan menahan tekanan berat 900 kali
ganda daripada badannya (THEMAGAZINE, https://ms.icreb.org/5116-10-most-incredible-insect-
facts.html).
Selain itu, sesungut lipas dapat menyukat sama ada ruang yang akan dilaluinya itu dapat
dilepasinya atau tidak. Hal ini dikatakan demikian kerana saiz sesungut lipas menyamai saiz
panjang badannya. Sebagai contohnya, saiz antena lipas dewasa spesies P. americana menyamai
saiz panjang badannya, iaitu lebih kurang 40 mm (SCHOLARPEDIA,
http://www.scholarpedia.org/article/Cockroach_antennae#:~:text=Cockroach%20antenna).
Walau bagaimanapun, situasi yang berbeza berlaku di tempat yang lapang yang mendedahkan
lipas kepada ancaman dalam sudut 360 darjah kerana dirinya mudah dilihat, seterusnya diserang
oleh musuh. Oleh sebab itu, Allah membekalkan lipas rerambut halus yang dapat mengesan
kehadiran objek lain di sekitarnya tanpa lipas perlu melihatnya (MY NEW PEST CONTROL,
https://mynewpestcontrol.wordpress.com/2018/09/28/4-tanda-mudah-kehadiran-lipas/). Apabila
rerambut halus ini memberikan isyarat tentang kehadiran objek lain, lipas akan segera mencari
tempat perlindungan. Walau bagaimanapun, usaha mencari tempat perlindungan di tempat lapang
dan terdedah bukanlah suatu tugas yang mudah.
Sekali lagi, rupa-rupanya, lipas dibekalkan dengan sistem otak pintar (Douglas Fox, 2007,
https://www.discovermagazine.com/mind/consciousness-in-a-cockroach) yang dapat membantunya
berfikir dengan pantas untuk menyelamatkan dirinya. Proses ini perlu berlaku dalam tempoh yang
sangat singkat kerana musuhnya, seperti manusia, juga akan bertindak pantas untuk membunuh
lipas tersebut. Maka, lipas ini perlu lebih pantas berfikir dan bergerak melebihi kepantasan
musuhnya supaya menang dalam situasi berkenaan.
Pada situasi itu, ensiklopedia pembaca sudah dapat memberikan maklumat bahawa
pemenangnya ialah lipas kerana manusia akan terkejut dahulu setelah melihat lipas, kemudian
barulah berfikir untuk membunuhnya. Untuk membunuh lipas pula, manusia perlu mencari objek
pemukul atau penyembur racun untuk membunuhnya. Sebaik-baik sahaja manusia sudah bersedia
untuk membunuh lipas ini, sama ada dengan pemukul atau penyembur racun, lipas ini sudah pun
hilang daripada pandangan mata manusia.
Lesapnya lipas dengan begitu cepat ini pasti menimbulkan kehairanan kepada manusia. Seperti
yang dinyatakan di atas, kepantasan otak untuk berfikir perlu seiring dengan kepantasan fizikalnya.
Jadi, sebenarnya, lipas mempunyai kepelbagaian kelajuan larian, bermula daripada kelajuan
perlahan sehinggalah kelajuan tertinggi. Hal ini dapat diibaratkan sebagai sebuah kereta yang turut
mempunyai kepelbagaian kelajuan pemanduan. Untuk memahaminya, eloklah diketahui tentang
sistem kelajuan kereta terlebih dahulu.
Persekitaran kognitif pembaca pada masa ini menyatakan bahawa untuk menggerakkan kereta
manual daripada keadaan pegun (diam), pemandu perlu menggunakan gear satu. Jika gear lain
digunakan apabila kereta statik, maka kereta akan tersentak ke depan dan menyebabkan enjinnya
mati. Apabila kereta telah bergerak pula, pemandu akan menukar gear daripada gear 1 kepada gear
2, gear 3, gear 4, dan sehinggalah kepada gear tertinggi, iaitu gear 5 bagi kereta yang mempunyai
ISSN 1823-9242 Jurnal Linguistik Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
40
sistem lima kelajuan. Jika pemandu terus menukar kepada gear paling tinggi apabila kereta berada
dalam gear 1, pedal minyak yang ditekan tidak mampu menggerakkan kereta dan biasanya kereta
akan terenjut-enjut dan mati enjinnya.
Kemudian, apabila kereta telah mencapai kelajuan tinggi menggunakan gear 5, dan tiba-tiba
kereta perlu diperlahankan, pemandu tidak boleh terus menukar gear 5 ini kepada gear 1. Jika
dilakukan juga, gigi gear akan rosak disebabkan dipaksa untuk menampung pusingan gear yang
lebih laju. Sebab itulah, kereta akan kedengaran “mengaum” jika hal ini dilakukan. Biasanya,
pemandu perlu menekan brek dan dalam masa yang sama menurunkan gear secara satu demi satu
daripada gear 5 kepada gear yang lebih rendah supaya nisbah antara kelajuan gear dengan kelajuan
kereta adalah sepadan.
Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, hal yang sebaliknya diperlukan. Apabila
pemandu menuruni bukit, kereta akan bergerak dengan lebih laju walaupun pedal minyak tidak
ditekan. Oleh sebab itu, di kawasan menuruni berbukit, biasanya ada papan tanda yang meminta
pemandu menggunakan gear rendah. Hal ini untuk memastikan kelajuan kereta disekat pada gear
rendah.
Setelah kepelbagaian kelajuan kereta ini difahami, barulah pembaca dapat mengaitkannya
dengan kepelbagaian kelajuan larian yang dimiliki oleh lipas. Jika kereta mempunyai sistem gear
untuk menentukan kelajuannya, lipas pula mempunyai gaya larian untuk menentukan kelajuan
lariannya. Sebelum itu, perlu diketahui bahawa lipas mempunyai enam kaki. Sepasang di hadapan,
sepasang di tengah dan sepasang di belakang.
Menurut Tom Weihmann, Pierre-Guillaume Brun dan Emily Pycroft (2017) yang mengkaji
lipas spesies Nauphoeta Cinerea, lipas ini berlari dengan gaya tripodal bergantian, iaitu kaki tengah
di salah satu sisi badan serta kaki depan dan belakang di sisi badan satu lagi, menyentuh tanah pada
masa yang sama. Walau bagaimanapun, gaya larian ini mempunyai kekurangan kerana tidak laju
dan menggunakan banyak tenaga serta menghilangkan kestabilan badan lipas. Bagi mengatasinya,
lipas akan menukar gaya larian tadi ini kepada gaya berlari metakronal. Menerusi gaya larian baru
ini, semua kaki di satu sisi diangkat dari tanah, dari kaki depan ke tengah dan kaki belakang.
Seterusnya, tindakan ini membolehkan kaki-kaki ini menyentuh tanah dalam urutan yang sama.
Berdasarkan maklumat daripada laman sesawang HORNE‟S PEST CONTROL,
https://www.hornespestcontrol.com/cockroaches/, lipas boleh menukar arah sebanyak 25 kali dalam
masa satu saat. Jika kakinya patah, kaki tersebut boleh tumbuh semula. Walaupun kakinya hanya
enam, tetapi lututnya ada 18. Dari segi kepantasan, kelajuannya boleh mencapai 3 batu sejam.
Menerusi carian di PestCtrl.BIZ, https://ms.pestctrl.biz/tarakany/vse-o-tarakanah/skolko-nog-u-
tarakanov/#i-3, lipas mempunyai kaki protorasik yang lebih pendek daripada kaki yang lain yang
akan berfungsi sebagai brek untuk memberhentikan dirinya yang sedang bergerak laju. Lipas juga
mempunyai sepasang kaki pertengahan sternal yang boleh bergerak dalam arah yang berbeza,
seterusnya memberikan daya bergerak yang tinggi. Kaki pada bahagian belakang pula merupakan
kaki untuk berjalan yang paling utama dan berupaya menggerakkan badan lipas ke hadapan. Oleh
sebab itu, dengan bantuan kaki belakang ini, lipas tidak hanya berjalan, tetapi berjalan sambil
menolak dirinya dengan kaki belakang yang panjang,
Menurut Talal Al-Khatib (2013), kaki lipas ini sememangnya dicipta secara khusus untuk
berlari. Jika manusia berlari secepat beberapa spesies lipas yang mencapai kelajuan maksimumnya,
manusia memerlukan 200 batu sejam untuk meliputi jarak yang sama dari segi nisbah saiz
badannya.
Di samping itu, lipas berupaya untuk hidup selama 10 hari tanpa kepala. Menurut Charles Choi
(2007), keupayaan lipas untuk hidup tanpa kepala selama beberapa minggu ini disebabkan oleh
sistem peredaran darahnya yang terbuka, tidak seperti manusia yang mempunyai sistem peredaran
ISSN 1823-9242 Jurnal Linguistik Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
41
darah tertutup. Apabila manusia dipenggal kepalanya, berlaku perdarahan yang sangat banyak dan
manusia itu mati disebabkan oleh perdarahan yang terlalu banyak di samping tekanan darah yang
akan menurun dengan cepatnya. Bagi lipas, apabila kepalanya dipenggal, darah pada bahagian yang
dipenggal akan membeku, seterusnya darah di dalam badan masih boleh beredar seperti biasa.
Malah, lipas juga mempunyai ketahanan hidup yang tinggi kerana mampu hidup tanpa makan
selama beberapa hari. Makanan yang dimakan oleh lipas untuk satu hari mampu membekalkannya
tenaga untuk bertahan dalam tempoh satu minggu.
Ciri lipas yang dinyatakan ini dihubungkan semula dengan premis tambahan yang diperoleh
daripada korpus DBP untuk memahami makna abstrak simpulan bahasa ini. Ciri kemampuan lipas
untuk memasuki ruang sempit dapat dihubungkan dengan premis tambahan menyelinap (2) dan
menyusup (3).
Dalam masa yang sama, sistem otak lipas yang pintar menunjukkan manusia mampu
melaksanakan pelbagai perkara dengan menggunakan otaknya. Otak manusia mampu membantu
untuk membuat keputusan tentang kerja yang perlu disiapkan dahulu dan cara untuk
menyiapkannya dengan lebih pantas.
Sifat lipas yang laju dan bergerak pada pelbagai arah pula dapat dihubungkan dengan premis
tambahan lincah (1) dan (9), laju (2), kencang (3), paling sibuk (4), sekejap pergi ke (4), pantas (5),
cepat dan tangkas (8). Kemampuan untuk bergerak pelbagai arah ini menunjukkan seseorang itu
bukan sekadar boleh melakukan kerja dengan cepat tetapi banyak kerja dengan cepat dalam masa
yang sama.
Rerambut halus yang boleh mengesan pergerakan yang menghampirinya juga mampu
menerangkan mengapa polis tidak dapat menangkap pencuri atau pemain lain tidak dapat mengejar
pemain yang berlari seperti lipas kudung. Hal ini seolah-olah pencuri dan pemain tersebut
mempunyai pengesan pada dirinya yang dapat membantu mengelakkannya daripada ditangkap oleh
polis atau dikejar oleh pemain lain. Kesensitifan rerambut ini juga dapat dikaitkan dengan
kesensitifan manusia untuk memulakan kerja dengan cepat. Apabila kerja cepat dimulakan, maka
cepatlah kerja tersebut dapat disiapkan.
Malah, lipas yang aktif bergerak ini dapat dihubungkan dengan premis tambahan lari (3), (5)
dan (7), memasak (6), menyediakan (6), lintang-pukang (7), memakai (8), ke sana sini (8) dan
bekerja (10).
Seterusnya, lipas yang boleh pergi ke merata-rata tempat ditunjukkan daripada premis
tambahan antara bas-bas (2), di celah-celah (3), kawasan istana (4), tempat perlindungan (7) dan
dekat rumah (11). Kehebatan lipas yang mampu hidup tanpa kepala pula dihubungkan dengan
premis tambahan seorang diri (6), kesukaran untuk mengawalnya (9), dan sejak tengah malam
semalam (10).
Daripada pemetaan ini, terjawablah pemilihan lipas dalam simpulan bahasa lipas kudung.
Selain itu, dari segi falsafahnya, orang Melayu ingin mengangkat atau menunjukkan bahawa sifat
kekurangan itu bukanlah satu penghalang kepada kejayaan. Walaupun leksikal kudung itu
menunjukkan kelemahan dan ketidakupayaan, kelemahan itu sebenarnya boleh menjadi asas kepada
satu kekuatan baharu untuk mencapai kejayaan.
4.1.3.2 Penolakan Haiwan Lain
Jika aspek kepantasan semata-mata yang dilihat dalam simpulan bahasa lipas kudung ini, maka ada
pilihan haiwan lain yang lebih popular, seperti cheetah. Menerusi laman sesawang Awesci.com,
http://awesci.com/is-cheetah-no-longer-the-fastest-land-animal/, walaupun Cheetah ialah haiwan
darat terpantas kerana kelajuan mutlaknya di darat adalah tertinggi, iaitu antara 112 hingga 120 km
ISSN 1823-9242 Jurnal Linguistik Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
42
sejam, tetapi apabila menggunakan kelajuan relatif, iaitu pengukuran kelajuan yang dilakukan
berdasarkan jumlah panjang badan yang boleh menempati satu tempat dalam satu saat, Cheetah
bukanlah haiwan terpantas. Yang lebih mengejutkan berdasarkan laman sesawang ini, dengan
menggunakan kelajuan relatif, lipas (50 kali panjang badan sesaat) merupakan haiwan ketiga
terpantas di dunia selepas kumbang harimau Australia (171 kali panjang badan sesaat) dan ketam
hantu (100 kali panjang badan sesaat).
Berbanding cheetah, babi hutan lebih bermanifestasi untuk digunakan sebagai haiwan yang
melambangkan kepantasan kerana sering ditemukan oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu.
Malah, dalam persekitaran kognitif pembaca, babi hutan ini berlari dengan sangat pantas, dan
sering meluru ke hadapan (myMetro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2015/04/43633/babi-
hutan-masuk-bandar). Namun begitu, jika kedua-dua haiwan ini dipilih untuk menggantikan lipas,
ciri mampu menyelit, bergerak dengan lincah ke sana ke mari sudah tidak dapat digunakan kerana
kedua-dua haiwan ini bersaiz agak besar dan sukar untuk menyelit. Malah, jika ia kudung, haiwan
ini langsung tidak mampu berjalan, apatah lagi untuk berlari.
4.2 Perumpamaan Katak Di Bawah Tempurung
4.2.1 Tahap 1
Perumpamaan ini terdiri daripada gabungan leksikal katak, di, bawah dan tempurung. Secara
harfiahnya, leksikal katak bermaksud sejenis binatang yang melompat, berkaki renang, berkulit
licin, dan tidak berekor (KDE4). Leksikal bawah menunjukkan arah atau bahagian yang lebih
rendah (KDE4). Leksikal tempurung pula bermaksud kulit yang keras pada beberapa jenis buah,
terutamanya kulit buah kelapa (KDE4). Gabungan keempat-empat leksikal ini membentuk metafora
tradisional yang mempunyai makna tetap yang tidak boleh diubah. Berdasarkan Kamus Istimewa
Peribahasa Melayu Edisi Kedua, katak di bawah tempurung bermaksud sangat picik (sedikit)
pengetahuannya.
Contoh ayat yang menggunakan perumpamaan katak di bawah tempurung ialah “Saya tidak
mahu menjadi katak di bawah tempurung”. Apabila makna daripada kamus peribahasa ini
diterapkan dalam contoh ayat di atas, maka terhasillah makna “Saya tidak mahu menjadi orang
yang sangat picik (sedikit) pengetahuannya”. Oleh sebab makna ini sudah tetap, maka sukar untuk
memahaminya tanpa mengetahui konteks yang bersesuaian dengannya, apatah lagi untuk
mengaitkannya dengan kognitif penutur.
4.2.2 Tahap 2
Pada tahap 2, makna yang berdasarkan konteks akan dianalisis berdasarkan Rangka Rujuk Silang.
Bagi memahami makna perumpamaan katak di bawah tempurung pada tahap 2 ini, ayat yang
menggunakan perumpamaan ini didapatkan daripada Korpus DBP. Ayat yang menunjukkan ciri
katak di bawah tempurung ini ditunjukkan dalam Jadual 2. Setelah itu, Rangka Rujuk Silang
digunakan untuk mencari premis tambahan daripada ayat ini untuk mendapatkan maksud
perumpamaan ciri katak di bawah tempurung yang berada dalam konteks penggunaannya.
ISSN 1823-9242 Jurnal Linguistik Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
43
Jadual 3 Ayat yang mengandungi perumpamaan katak di bawah tempurung (Korpus DBP).
Bil. Ayat
1. … lagi sudah ada pemikiran dalam UMNO bahawa orang Melayu dengan perniagaan ibarat
katak di bawah tempurung, dunianya sempit dan gelap dan perlu pertolongan. (Aishah
Ghani. Aishah Ghani Memoir Seorang Pejuang. 1992)
2. Saya tidak mahu menjadi katak di bawah tempurung. (Einstein Inspirasi Amalina.
Pendidikan, 2005)
3. ''Remaja harus merebut peluang meluaskan minda dan pengetahuan supaya tidak menjadi
katak di bawah tempurung,'' ujarnya. (Rosniza Mohamad. Alaf baru sambung cita-cita yang
tertangguh. Rencana, 1999)
4. Kita tidak boleh berlagak seperti katak di bawah tempurung tanpa mengambil kisah dan
tahu terhadap perkara yang menimpa … (Sanusi Abdul Hamid. Dunia Islam tidak lagi
mampu untuk bertelagah. Surat Pembaca, 2002)
5. … yang pasti, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah sikap lelaki yang
seperti katak di bawah tempurung walaupun kita telahpun maju ke era yang lebih
sofistikated. (Norzilawati Abdul Halim. Wanita perlu tuntut hak. Wanita, 2000)
6. Mereka tidak mahu hidup seperti katak di bawah tempurung dengan hanya terperuk di
dalam kawasan kampus. (Minda November 2001. Pendidikan, 2001)
7. “Jangan berfikir macam katak di bawah tempurung Bella. (Aminah Mokhtar. Ruyung
Emas. Keluarga, 2018)
Berdasarkan Jadual 3, perumpamaan katak di bawah tempurung menunjukkan beberapa premis
tambahan yang membentuk beberapa ciri. Ciri ini ialah manusia, bentuk pemikiran, bentuk
kehidupan dan bentuk sikap, tidak diingini, boleh diatasi, hal tertentu, kekurangan pengetahuan, dan
memerlukan bantuan.
Ciri manusia bagi perumpamaan ini disumbangkan oleh premis tambahan orang Melayu (1),
saya (2), remaja (3), kita (4) dan (5), lelaki (5) dan mereka (6). Ciri perumpamaan ini dari segi
bentuk ialah bentuk pemikiran, bentuk kehidupan dan bentuk sikap. Bentuk pemikiran ditunjukkan
oleh premis tambahan pemikiran (1) dan berfikir (7), bentuk kehidupan ditunjukkan oleh premis
tambahan hidup (6) dan bentuk sikap ditunjukkan oleh premis tambahan sikap (5).
Seterusnya, ciri tidak diingini dibuktikan daripada premis tambahan tidak mahu (2) dan (6),
tidak menjadi (3), tidak boleh (4), mengubah (5) dan jangan (7). Ciri yang menunjukkan boleh
diatasi pula disumbangkan oleh premis tambahan merebut peluang (3), meluaskan minda dan
pengetahuan (3) dan berusaha bersungguh-sungguh (5).
Kemudian, ciri hal tertentu dapat difahami berdasarkan premis tambahan perniagaan (1). Ciri
kekurangan pengetahuan pula diketahui berdasarkan premis tambahan dunianya sempit dan gelap
(1), tanpa mengambil kisah dan tahu (4) dan terperuk di dalam (6). Ciri terakhir, iaitu memerlukan
pertolongan dapat difahami daripada premis tambahan perlu pertolongan (1).
Menerusi premis tambahan dalam Rangka Rujuk Silang ini, perumpamaan katak di bawah
tempurung dapat difahami sebagai manusia yang kehidupan, pemikiran dan sikapnya yang kurang
berpengetahuan, tetapi sebenarnya boleh dibantu kerana tidak menginginkan keadaan sedemikian.
4.2.3 Tahap 3
Pada tahap 3 ini, analisis dilakukan dengan menggunakan semantik inkuisitif, iaitu membincangkan
akal budi dalam pemilihan setiap leksikal yang membina metafora perumpamaan katak di bawah
tempurung.
ISSN 1823-9242 Jurnal Linguistik Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
44
4.2.3.1 Pemilihan Katak
Secara umumnya, katak sejenis haiwan amfibia yang memiliki mata yang menonjol, tidak ada ekor,
dan kaki belakang yang kuat dan berselubung yang disesuaikan untuk melompat dan berenang.
Haiwan ini juga mempunyai kulit yang lembut dan lembap. Sebilangan besarnya hidup di air, dan
sebilangan kecil hidup di darat, di liang, atau di pokok.
Berdasarkan laman sesawang IDNTIMES, https://www.idntimes.com/life/inspiration/ramdan-
7/7-sifat-teladan-yang-patut-kita-ditiru-dari-seekor-katak-c1c2/5 pula, katak mempunyai tujuh sifat
yang dapat diambil pengajaran oleh manusia. Sifat ini ialah mudah beradaptasi, selalu menatap ke
depan, sabar dan berproses, berani mengambil tindakan, memiliki jiwa petualang, gesit dan lincah,
dan periang.
Selain itu, katak mempunyai mata yang mampu melihat di dalam gelap (ScienceDaily,
https://www.sciencedaily.com/releases/2017/02/170228131001.htm). Hal ini disebabkan oleh katak
mempunyai sejenis rod di dalam mata yang mempunyai dua kepekaan yang berbeza yang tidak
ditemukan pada vertebrata lain, termasuklah manusia.
Katak juga dikatakan sebagai haiwan yang paling malas di dalam dunia (Wartakotalive.com,
https://wartakota.tribunnews.com/2015/07/16/binatang-termalas-di-dunia-ternyata-katak-bukan-
keong). Hal ini dikatakan demikian apabila ditemukan seekor katak yang menumpang seekor siput
babi untuk bergerak ke sana dan ke mari. Walaupun persekitaran kognitif pembaca membekalkan
maklumat bahawa siput babi ialah haiwan yang paling perlahan, tetapi katak tersebut masih
sanggup bersabar untuk tidak berjalan sendiri, sebaliknya menumpang siput babi tersebut untuk
bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Menurut Siti Zainon Ismail (2014) daripada pesan neneknya, katak mempunyai banyak
tempurung kerana tidak tinggal lama di dalam satu-satu tempurung, sebaliknya hanya bersembunyi
daripada musuh atau berlindung daripada hujan. Apabila waktu siang, katak ini akan melompat
semula. Setelah itu, katak ini akan berteduh lagi dengan mencari tempurung lain untuk berlindung.
Tambah Siti Zainon Ismail (2014) lagi, katak hanya lambang supaya anak-anak menjadi bijak, suka
belajar, menulis dan membaca. Katak juga melalui kehidupan, iaitu berkebun, memancing, dan
bercita-cita ingin terbang.
Berdasarkan Koboi Ternak Trading, di dalam air mendidih, katak ini tidak akan lari.
https://web.facebook.com/KoboiTernakTrading/posts/sifat-manusia-dengan-katakletakkan-katak-
hidup-di-dalam-air-mendidih-adakah-ia-a/878693472258108/?_rdc=1&_rdr, jika katak diletakkan
Bagi membolehkan katak ini terus berada di dalam air mendidih tersebut, katak ini akan
menyesuaikan dirinya dengan suhu air. Namun begitu, apabila suhu air semakin tinggi dan air
menjadi terlalu panas sehingga katak tidak mampu menyesuaikan dirinya lagi, katak akan mati.
Oleh sebab itu, walaupun secara literalnya, air mendidih itu yang menyebabkan katak itu mati,
tetapi hakikatnya, sikap dan mentalitinya sendiri yang tidak mahu keluar dan mengubah nasibnya
dari keadaan tersebut yang menyebabkan dirinya mati. Keadaan ini dipanggil dalam psikologi
sebagai Boiling Frog syndrome. Sindrom ini suatu yang berbahaya kerana merugikan diri sendiri
jika tiadanya keinginan untuk berubah.
Menurut onerichtechnology, https://onerichtech.wordpress.com/2016/07/27/apakah-
maksudnya-ibarat-katak-di-bawah-tempurung/, katak ialah haiwan yang menggelikan untuk
dipegang, apatah lagi untuk diajak berkawan. Katak bawah tanah (Cyclorana alboguttata) pula
mampu hidup di dalam tanah bertahun-tahun tanpa makanan dan air. Katak ini boleh tidur dalam
tempoh yang sangat lama kerana mempunyai sel mitokondria. Menerusi proses gandingan
mitokondria, katak dapat memaksimumkan tenaga supaya dapat bertahan hidup dengan cara
ISSN 1823-9242 Jurnal Linguistik Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
45
meningkatkan jumlah tenaga yang diperoleh per satu unit tenaga yang digunakan. Dengan cara ini,
katak ini tidak akan kehabisan tenaga.
Katak bernafas dengan paru-paru ketika berada di darat, dan menggunakan kulit ketika berada
di dalam air (Tarahap, 2019). Oleh sebab katak bernafas menggunakan kulit, katak perlu hidup di
kawasan yang lembab. Dengan beradanya di kawasan lembab pula, kulit katak sentiasa basah dan
lembab. Seterusnya, keadaan ini membolehkan proses pernafasan berlaku melalui kulit. Secara
terperincinya, pertukaran oksigen dan karbon dioksida berlaku melalui kulit melalui penyebaran,
kemudian disalurkan ke kapilari di bawah kulit. Maka, kulit katak yang basah dan lembab ini
berfungsi untuk mengikat oksigen dan sebagai tempat pertukaran oksigen dan karbon dioksida.
Menurut laman sesawang zulsadon.com, https://zulsadon.com/katak-oh-katak/, katak duduk di
bawah tempurung kerana lahiriah katak itu yang berkehendak kepada kelembapan dan persekitaran
yang sejuk dan berlindung daripada ancaman pemangsa yang memburunya. Setelah katak berasa
selamat atau cukup rehat, katak akan keluar mencari makan bagi meneruskan kelangsungan
hidupnya. Setelah itu, katak ini akan pulang untuk berhibernasi semula.
Setelah diterangkan perihal tentang katak ini, maka persoalan pemilihan katak akan dijawab.
Dari segi falsafahnya, katak mempunyai beberapa ciri yang menyamai manusia. Haiwan ini mampu
beradaptasi dengan sekitarannya dengan cara mengubah suai warna kulitnya untuk menyamar. Hal
ini sama seperti manusia yang berupaya untuk beradaptasi dan berpura-pura apabila keadaan
memerlukan.
Katak juga akan makan serangga perosak tanaman, seperti lalat. Jika tidak ditangkap, serangga
ini membawa keburukan kepada manusia. Hal ini dapat diibaratkan sebagai manusia yang suka
membantu orang lain. Walaupun suka membantu orang lain, ada katak yang akan makan katak lain.
Hal ini pula disamakan dengan manusia yang suka mengambil kesempatan terhadap orang lain.
Katak juga berupaya hidup dua alam. Walaupun manusia tidak mampu hidup di dua alam, setidak-
tidaknya, manusia boleh tinggal di hampir semua tempat tanpa mengira cuaca terlampau sejuk
seperti di eskimo atau terlalu panas seperti di padang pasir.
Selain itu, katak suka melompat tinggi dengan menggunakan kakinya. Manusia juga boleh
pergi sehingga ke bulan menjadi angkasawan. Haiwan ini turut mementingkan privasi, begitu juga
dengan manusia yang tidak suka jika hal peribadinya diketahui oleh orang lain. Katak juga
merupakan haiwan penjelajah yang dapat diibaratkan sebagai manusia yang suka melancong dan
merantau.
Kemudian, katak suka menyanyi ketika gembira. Manusia juga melakukan hal yang sama. Dari
segi ketahanan, katak mampu bertahan dan menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling yang
susah. Ciri ini juga dimiliki oleh manusia yang sanggup hidup dalam keadaan susah dan tidak mahu
berubah. Mata katak sentiasa memandang ke depan untuk memberikan tumpuan pada benda yang
berada di hadapannya, begitu juga dengan manusia yang mampu fokus ke depan.
4.2.3.2 Pemilihan Tempurung
Menurut onerichtechnology, https://onerichtech.wordpress.com/2016/07/27/apakah-maksudnya-
ibarat-katak-di-bawah-tempurung/, tempurung kelapa di halaman rumah merupakan suatu perkara
yang lazim dalam masyarakat dahulu. Hal ini dikatakan demikian kerana boleh dikatakan bahawa
pokok kelapa boleh ditemukan di setiap kawasan rumah. Makin banyak pokok kelapa di kawasan
rumah seseorang itu, makin kayalah orang itu pada pandangan masyarakat.
Berdasarkan laman sesawang ewaliman.blogspot,
https://ewaliman.blogspot.com/2020/02/deb.html, tempurung kelapa ialah bahagian keras antara
sabut dengan isi. Makin besar tempurung kelapa, makin besarlah isinya. Pada tahap paling asas,
ISSN 1823-9242 Jurnal Linguistik Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
46
tempurung kelapa digunakan sebagai bahan bakar untuk menghidupkan api untuk tujuan memasak
kerana mudah menyala dan tahan lama. Tempurung kelapa juga turut digunakan sebagai pemanas
bagi penggosok baju antik zaman dahulu.
Menurut ewaliman.blogspot, https://ewaliman.blogspot.com/2020/02/deb.html lagi, tempurung
kelapa mempunyai bahagian jantan dan betina. Tempurung jantan ialah bahagian bawah yang tidak
mempunyai lubang dan tempurung betina pula ialah bahagian atas dan mempunyai lubang. Oleh
sebab tidak berlubang, tempurung jantan lebih banyak digunakan untuk mengisi sesuatu kerana
tidak bocor dan ia juga lebih tahan. Dalam kalangan orang miskin, tempurung kelapa digunakan
sebagai ganti pinggan dan gelas. Bagi tempurung kelapa yang bersaiz besar, tempurung ini
dijadikan sebagai penyukat beras.
Tempurung bersaiz tebal, keras, tahan lama, serta kalis suhu dan kalis cahaya yang menjadi
tempat yang selesa bagi katak. Saiznya yang ringan menyebabkan ia mudah ditolak dari dalam.
Tempat belahan tempurung pula biasanya rata dan mudah melekat di tanah dan menyebabkan sukar
diangkat atau diterbalikkan melainkan dikorek sedikit bahagian yang melekat pada tanah.
Dari segi falsafahnya, makna tempurung ini dipetakan kepada makna pelindung atau
pendinding kepada orang yang berada di bawahnya. Sifat tebal menyebabkan nasihat tidak dapat
tembus ke dalamnya. Sifatnya yang kalis suhu menyebabkan kemarahan orang yang berada di luar
tidak dapat dirasai oleh orang yang berada di dalam. Sifatnya yang kalis cahaya pula menghalang
orang yang berada di dalamnya daripada melihat nasihat atau ancaman yang berada di luarnya.
Seterusnya, walaupun pendinding ini kuat dan menyelesakan, sifatnya yang ringan
membolehkan ia dibuka dengan mudah dari dalam. Namun begitu, cara untuk membukanya
perlulah diketahui iaitu daripada tepi dengan cara mencungkil pada kelilingnya. Cara ini samalah
seperti seorang motivator yang perlu mendekati orang yang berada di dalam masalah itu dengan
cara yang dekat dan mencungkil segala isi hatinya untuk mengetahui masalah yang berlaku.
Berikutnya, sifat keras pendinding ini dapat dipetakan kepada sifat malas yang terlalu keras
untuk dipecahkan. Sifat pendinding yang tahan lama pula dipetakan kepada sifat manusia yang
tebal telinga yang mampu bertahan (buat-buat bodoh) terhadap nasihat orang lain dengan cara tidak
mempedulikannya.
4.2.3.3 Penolakan Haiwan dan Pendinding Lain
Orang Melayu mempunyai beberapa pilihan untuk memetakan sifat orang yang berada di dalam
pendinding ini. Antaranya, burung dalam sangkar, ikan dalam akuarium, dan binatang dalam zoo.
Namun begitu, haiwan dan pendinding lain ini jauh daripada makna abstrak yang ingin
disampaikan menerusi akal budi orang Melayu.
Bagi burung dalam sangkar, burung bukanlah haiwan yang mirip dengan ciri manusia. Malah,
burung ini dipelihara dan diberi makanan, selain disayangi dan dibelai oleh tuannya. Walaupun
dikurung, burung ini dapat dilihat dari luar. Tuannya juga sentiasa menjaga kebersihan kurungan
haiwan ini dan haiwan itu sendiri. Burung itu sendiri tidak rela dirinya dikurung. Jika ada peluang,
burung tersebut akan melarikan diri. Hal yang sama berlaku pada ikan dalam akuarium dan
binatang dalam zoo.
Keadaan ini berbeza daripada katak yang tidak ada sesiapa yang ingin mempedulikannya.
Katak juga masuk sendiri ke dalam tempurung tanpa ada pihak lain yang memasukkannya ke dalam
tempurung tersebut. Malah, tiada sesiapa yang akan memberikannya makanan dan kasih sayang.
Katak juga boleh hidup lama di bawah tempurung, tidak seperti burung, ikan dan haiwan lain. Oleh
sebab saiz tempurung yang kecil, katak hanya duduk tidak bergerak di bawah tempurung.
Sebaliknya, burung, ikan dan haiwan lain tidak mungkin duduk diam begitu sahaja dalam kurungan
ISSN 1823-9242 Jurnal Linguistik Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
47
masing-masing, apatah lagi jika tempat kurungannya sempit. Ruang yang sempit menyebabkan
burung, ikan dan haiwan lain ini berasa tertekan, seterusnya dapat menjejaskan kesihatan dirinya
dan tidak mustahil untuk menyebabkan dirinya mati selepas itu.
Oleh sebab itu, dapat dikatakan bahawa katak di bawah tempurung atau orang di bawah
pendinding ini sengaja memilih untuk berada dalam suasana terlindung. Walaupun mempunyai
potensi besar dalam hidup dan mampu untuk keluar, tetapi disebabkan oleh sifat malas, ia kekal di
situ, seterusnya menyebabkan ia terpisah daripada maklumat dunia luar yang menyebabkan ia jahil
dalam pelbagai perkara.
5. Kesimpulan
Berdasarkan satu simpulan bahasa dan satu perumpamaan yang dibincangkan ini, wujudnya
hubungan yang boleh dipetakan antara objek haiwan dalam metafora dengan makna yang hendak
disampaikan seperti yang dinyatakan oleh Nor Hashimah Jalaluddin (2020). Pemetaan makna
abstrak kelajuan dan kejahilan disebabkan kemalasan kepada makna konkrit lipas dan katak,
masing-masing ini menyerlahkan akal budi bangsa Melayu yang mencipta metafora tradisional ini.
Akal budi yang lebih difahami sebagai kebijaksanaan orang Melayu ini terserlah bukan sahaja dari
segi pemilihan objek konkrit tersebut, tetapi juga penolakan objek konkrit yang lain yang jika
dilihat atau difikirkan sekali lalu, seolah-olah boleh menggantikan objek yang dipilih itu, tetapi
hakikatnya objek konkrit lain yang ditolak itu langsung tidak mampu menepati makna abstrak yang
dihajati oleh penghasil metafora tersebut. Kajian metafora tradisional ternyata relevan dengan
pendekatan semantik inkuisitif. Jelasnya bukan sahaja makna tersirat dapat dicungkil, bahkan
kebijaksanaan bangsa Melayu juga dapat diserlahkan kerana mampu mengaitkan objek abstrak
dengan makna konkrit seterusnya memperlihatkan falsafah di sebalik penciptaan metafora
tradisional Melayu.
Rujukan
10 fakta serangga yang paling luar biasa. THEMAGAZINE. Dicapai pada 22 Januari 2021,
daripada https://ms.icreb.org/5116-10-most-incredible-insect-facts.html
4 Tanda Mudah Kehadiran Lipas. MY NEW PEST CONTROL. Dicapai pada 16 Disember 2020, daripada
https://mynewpestcontrol.wordpress.com/2018/09/28/4-tanda-mudah-kehadiran- lipas/
7 Sifat Teladan yang Patut Kita Ditiru Dari Seekor Katak. IDNTIMES. Dicapai pada 1 Disember 2020,
daripada https://www.idntimes.com/life/inspiration/ramdan-7/7-sifat- teladan-yang-patut-kita-
ditiru-dari-seekor-katak-c1c2/5
Abdullah Hussain. 2016. Kamus Istimewa Peribahasa Melayu Edisi Kedua. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Anupum Pant. Is Cheetah No Longer the Fastest Land Animal? Awesci.com. Dicapai pada 14 Januari
2021, daripada http://awesci.com/is-cheetah-no-longer-the-fastest-land-animal/
Binatang Termalas di Dunia Ternyata Katak, Bukan Keong. Wartakotalive.com. Dicapai pada 31 Disember
2020, daripada https://wartakota.tribunnews.com/2015/07/16/binatang- termalas-di-dunia-ternyata-
katak-bukan-keong
Charles Choi. 2007. Fact or Fiction?: A Cockroach Can Live without Its Head. Dicapai pada 5 Januari
2021, daripada https://www.scientificamerican.com/article/fact-or-fiction- cockroach-can-live-
without-head/
Christie. Rahasia Katak Tidur Tahunan Tanpa Makan dan Air. Dicapai pada 5 Januari 2021, daripada
https://www.liputan6.com/tekno/read/235380/rahasia-katak-tidur-tahunan- tanpa-makan-dan-
air
Cockroach Antennae. SCHOLARPEDIA. Dicapai pada 6 Januari 2021, daripada
http://www.scholarpedia.org/article/Cockroach_antennae#:~:text=Cockroach%20antenna
e%20have%20been%20extensively,role%20for%20perceiving%20physical%20objects.
ISSN 1823-9242 Jurnal Linguistik Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
48
Douglas Fox. 2007. Consciousness in a Cockroach. Dicapai pada 28 Disember 2020, daripada
https://www.discovermagazine.com/mind/consciousness-in-a-cockroach
Frog. Britannica. Dicapai pada 23 Disember 20201, daripada https://www.britannica.com/animal/frog
Frogs have unique ability to see color in the dark. ScienceDaily. Dicapai pada 5 Januari 2021, daripada
https://www.sciencedaily.com/releases/2017/02/170228131001.htm
Hishamudin Isam, Nor Fazilah Noor Din, Mashetoh Abd Mutalib & Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail.
2018. Kekwat: Di Mana Bahasa dan Akal Budi Bangsa Kita? Jurnal Linguistik. 22 (1): 1-17.
HORNE‟S PEST CONTROL. Dicapai pada 14 Januari 2021, daripada
https://www.hornespestcontrol.com/cockroaches/
Julaina Nopiah, Nor Hashimah Jalaluddin & Junaini Kasdan. 2017. Refleksi Dualisme Durian- Timun
dalam Peribahasa Melayu: Pendekatan Semantik Inkuisitif. Jurnal Linguistik. 21(2): 1-14.
Junaini Kasdan, Nor Hashimah Jalaluddin & Wan Nurasikin Wan Ismail. 2016. Ikan (Pisces) dalam
Peribahasa Melayu: Analisis Semantik Inkuisitif. International Journal of the Malay World and
Civilisation (Iman). 4(1): 31-42.
Kamus Dewan Edisi Keempat. 2007. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Pelajar Edisi Kedua. 2015. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Katak oh katak. zulsadon.com. Dicapai pada 14 Januari 2021, daripada https://zulsadon.com/katak-
oh-katak/
Kegunaan Tempurung Kelapa. ewaliman.blogspot. Dicapai pada 22 Disember 2020, daripada
https://ewaliman.blogspot.com/2020/02/deb.html
Koboi Ternak Trading. Dicapai pada 22 Disember 2020, daripada
https://web.facebook.com/KoboiTernakTrading/posts/sifat-manusia-dengan- katakletakkan-
katak-hidup-di-dalam-air-mendidih-adakah-ia- a/878693472258108/?_rdc=1&_rdr
Korpus DBP. http://sbmb.dbp.gov.my/korpusdbp/SelectUserCat.aspx
Maulana al-Fin Che Man & Nor Hashimah Jalaluddin. 2018. Unsur Burung dalam Pantun: Analisis
Semantik Inkuisitif. Jurnal Wacana Sarjana. 2(1): 1-15.
Mengapa kulit katak selalu basah dan lembab. Tarahap. Dicapai pada 2 Januari 2021, daripada
https://www.tarahap.xyz/2019/10/kulit-katak-selalu-basah-dan-lembab.html
Muhammad Zaid Daud. 2018. Domain Rezeki dalam Peribahasa Melayu Berorientasikan Aves Melalui
Perspektif Semantik Inkuisitif. MALTESAS Multi-Disciplinary Research Journal (MIRJO).
3(1): 19-28.
Nor Hashimah Jalaluddin. 2014. Semantik dan Akal Budi Melayu. Selangor: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Nor Hashimah Jalaluddin. 2020. Objek dalam Metafora dan Akal Budi Melayu. Melayu: Jurnal
Antarabangsa Dunia Melayu. 13(2): 199-222.
Onerichtechnology. Dicapai pada 2 Januari 2021, daripada
https://onerichtech.wordpress.com/2016/07/27/apakah-maksudnya-ibarat- katak-di-
bawah-tempurung/
Physics Stack Exchange. Dicapai pada 2 Januari 2021, daripada
https://physics.stackexchange.com/questions/178837/inertia-vs-momentum
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi. Babi hutan masuk bandar. Dicapai pada 2 Januari 2021, daripada myMetro.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2015/04/43633/babi-hutan-masuk- bandar.
Siti Nur Izzaty Salit & Norsimah Mat Awal. 2017. Unsur Feminisme dalam Peribahasa Melayu: Analisis
Semantik Kognitif. Jurnal Linguistik. Vol. 21(2): 15-23.
Siti Zainon Ismail. 2014. Bijak Si Katak Bijak (Bahasa Jepun). Kuala Lumpur. Institut Terjemahan Buku
Malaysia.
Struktur kecoa - luaran dan dalaman. PestCtrl.BIZ. Dicapai pada 24 Disember 2020, daripada
https://ms.pestctrl.biz/tarakany/vse-o-tarakanah/skolko-nog-u-tarakanov/#i-3
Talal Al-Khatib. 2013. Cockroaches: The Ultimate Survivors: Photos. Seeker. Dicapai pada 20 Disember
2020, daripada https://www.seeker.com/cockroaches-the-ultimate-survivors- photos-
1767563045.html
Tangaprabu Murthy & Mary Fatimah Subet. 2020. Gajah dalam Peribahasa Tamil: Analisis Semantik
Inkuisitif. Asian People Journal. 3(2): 134-146.
Tom Weihmann, Pierre-Guillaume Brun & Emily Pycroft. 2017. Speed dependent phase shifts and gait
changes in cockroaches running on substrates of different slipperiness. Frontiers in Zoology. 14:54.
ISSN 1823-9242 Jurnal Linguistik Vol. 25 (2) November 2021 (033-049)
49
Biodata Penulis
Mohd Syukri Anwar merupakan staf di Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka yang sedang
melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Nor Hashimah Jalaluddin (PhD) ialah professor di Program Linguistik, Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik,
Universiti Kebangsaan Malaysia. Kepakaran beliau menjurus kepada Semantik, Pragmatik dan Geolinguistik.