Persamaan Lambang dan Makna Dalam Peribahasa
Bahasa Semai dan Bahasa Melayu
Mohd. Rasdi bin Saamah
IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan
Kajian ini dilaksanakan untuk meninjau peribahasa yang mempunyai
persamaan lambang dan makna, dan persamaan makna dengan lambang
yang berbeza dalam peribahasa masyarakat Orang Asli suku kaum Semai
dan peribahasa Melayu. Kajian ini menggunakan kaedah temu bual dan
analisis dokumen dengan memanfaatkan strategi penterjemahan yang
disarankan oleh Baker (1992) iaitu menggunakan peribahasa yang sama
bentuk dan sama makna dan menggunakan peribahasa yang sama makna
tetapi lain bentuk dengan sedikit penyesuaian. Hasil kajian ini mendapati
bahawa daripada jumlah 150 peribahasa masyarakat Orang Asli suku
kaum Semai yang diperolehi, 78 daripadanya mempunyai kedua-dua ciri
iaitu menggunakan lambang dan makna yang sama, dan mempunyai
makna yang sama tetapi menggunakan lambang yang berbeza seperti
peribahasa yang digunakan oleh masyarakat Melayu. Daripada jumlah
78 peribahasa tersebut, 29 daripadanya merupakan peribahasa yang
menggunakan lambang dan makna yang sama dengan peribahasa
Melayu, manakala 49 peribahasa lagi merupakan peribahasa yang
mempunyai makna yang sama tetapi menggunakan lambang yang
berbeza. Kajian ini penting kerana masyarakat di negara ini perlu kepada
pendedahan secara akademik untuk memahami bahasa dan budaya
kaum-kaum lain dalam negara yang berbilang kaum ini. Kajian ini juga
penting untuk pemahaman kepada golongan yang mempunyai hubungan
secara langsung dengan kelompok berkenaan agar jurang sosiobudaya
antara kaum dapat dirapatkan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Kata kunci: peribahasa, suku kaum Semai, sosiobudaya, persamaan
lambang dan makna, dan perbezaan lambang.
Dalam kehidupan seharian, manusia berinteraksi antara satu sama lain pada setiap waktu.
Semasa berinteraksi, bahasa merupakan alat komunikasi yang penting dalam
menyampaikan maksud tertentu. Semasa berbahasa pada umumnya setiap penutur sesuatu
bahasa itu ingin mengungkapkan gagasan atau perasaannya secara langsung maupun tidak
langsung agar mudah difahami tanpa harus banyak menggunakan ungkapan yang
panjang. Ada kalanya tidak semua bahasa yang diungkapkan oleh penutur sesuatu bahasa
itu mempunyai makna secara langsung yang boleh difahami dengan mudah, sebaliknya
mereka menggunakan ungkapan-ungkapan yang mempunyai makna secara tidak langsung
yang agak sukar untuk ditafsirkan oleh penerimanya. Bentuk bahasa yang mempunyai
ciri-ciri seperti tersebut antaranya ialah bahasa kiasan, iaitu sesuatu perkataan, frasa atau
ayat mempunyai maksud yang berlainan dengan makna harfiah kata-kata yang
membinanya.
2
Menurut Za’aba (2002) bahasa kiasan dalam bahasa Melayu dapat digolongkan
kepada dua golongan, iaitu kiasan jenis peribahasa dan kiasan jenis bukan
peribahasa. Antara kedua-dua jenis bahasa kiasan ini, terdapat perbezaan yang nyata dari
segi maksudnya. Bahasa kiasan jenis peribahasa mempunyai makna khas, iaitu tidak
bergantung kepada konteksnya. Manakala mengikut Ding Choo Ming (2009) sifat utama
peribahasa ialah metaforanya yang perlu difahami dalam konteks budaya penuturnya.
Peribahasa dalam masyarakat Melayu timbul bersama-sama masyarakat daerah atau
kampung. Menurut kebiasaan lama masyarakat Melayu, berbicara secara terus terang
dalam sesuatu perkara dianggap kurang sopan, perbuatan yang kurang manis dan
melanggar adat (Darus, 1978). Dalam peribahasa Melayu, terkumpul banyak aspek hidup.
Banyak peribahasa Melayu yang mengambil lambang alam sekeliling untuk memberi
makna yang padat dan tepat, yang terbit daripada pengalaman, pemerhatian dan
pandangan tajam. Selain itu, peribahasa juga dibentuk dengan menggunakan lambang
daripada keadaan yang terdapat dalam sesebuah masyarakat (Ishak, 1990).
Kebanyakan bahasa di dunia ini mempunyai peribahasa dengan maknanya yang
tersendiri termasuk bahasa sukuan atau bahasa yang dituturkan oleh kelompok minoriti.
Bahasa Semai umpamanya dipertuturkan oleh kira-kira 42,383 orang masyarakat Orang
Asli suku kaum Semai atau 30% daripada jumlah keseluruhan masyarakat Orang Asli di
negara ini (Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, 2008). Daripada jumlah tersebut seramai
25,736 orang atau 60.7% daripada mereka terdapat di negeri Perak (Perak Selatan),
15,781 orang atau 37.2% terdapat di negeri Pahang (Pahang Barat), manakala selebihnya
2.1% lagi terdapat di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor. Mereka
menggunakan pertuturan bahasa Semai dengan pelbagai idiolek mengikut kawasan
masing-masing iaitu di utara, selatan dan tengah negeri Perak, Cameron Highlands, Jelai
dan selatan negeri Pahang (Dentan, 2003). Masyarakat Orang Asli suku kaum Semai juga
menggunakan peribahasa dalam konteks budayanya sebagaimana bahasa-bahasa lain
yang sejagat di rantau ini.
Pernyataan Masalah
Kepelbagaian bahasa dan budaya telah menjadikan masyarakat di negara ini termasuk
kelompok minoriti hidup dengan bahasa dan budaya yang berbeza-beza antara satu sama
lain mengikut kelompok masing-masing. Keadaan ini boleh membataskan pergaulan dan
aktiviti sosial masyarakat minoriti dengan masyarakat arus perdana lain, umpamanya
akan wujud jurang hubungan antara masyarakat Orang Asli dengan masyarakat Melayu
atau dengan kaum-kaum lain di negara ini. Masalah ini dikhuatiri pada suatu masa nanti
boleh menimbulkan hubungan yang kurang selesa antara satu kaum dengan kaum yang
lain. Mengikut Sa'adiah Ma'alip (2011) masyarakat Orang Asli yang mengamalkan adat
resam dan kesopanan dalam pertuturan yang menyamai orang Melayu, seseorang itu
harus cekap dalam pemilihan kata-kata sapaan yang sesuai semasa bertutur atau
berhubung dengan individu tertentu. Jika pemilihan kata-kata berkenaan tidak bersesuaian
akan menyebabkan wujudnya suasana yang tidak menyenangkan antara kedua-dua belah
pihak.
Kekeliruan penggunaan bahasa yang berbeza mengikut etnik boleh menimbulkan
tanggapan yang tidak sihat ke arah penyatuan bangsa sehingga ia perlu ditangani secara
akademik untuk membuka ruang saling memahami (Azmi Abdullah, 2011). Oleh itu
masyarakat di negara ini seharusnya didedahkan secara akademik agar saling memahami
3
bahasa dan budaya kaum-kaum yang terdapat dalam masyarakat yang berbilang kaum ini.
Dalam konteks peribahasa misalnya, penggunaan sesuatu ungkapan lambang kata yang
sama dalam peribahasa sesuatu kaum itu berkemungkinan mempunyai makna yang sama
atau berbeza dalam peribahasa kaum yang lain. Begitu juga sebaliknya, penggunaan
lambang kata yang berbeza kemungkinan membawa makna yang sama dalam peribahasa
kaum yang lain. Kajian ini bertujuan untuk melihat persamaan daripada aspek
penggunaan lambang dan makna dalam peribahasa masyarakat Orang Asli suku kaum
Semai dan masyarakat Melayu yang digunakan semasa mereka berkomunikasi dalam
komuniti masing-masing.
Tinjauan Literatur
Kajian tentang perbandingan daripada segi penggunaan bentuk lambang dalam peribahasa
telah banyak dilakukan tetapi kajian berkaitan yang berasaskan bahasa sukuan atau
kelompok minoriti masih tidak banyak dijalankan. Mengikut Abdullah Hassan (2002)
kiasan seperti peribahasa dicipta berdasarkan dua jenis perbandingan, iaitu a)
Perbandingan rupa bentuk - sesuatu yang hendak diceritakan sifatnya dibandingkan
dengan sesuatu benda lain yang mempunyai ciri-ciri rupa bentuk yang serupa. b)
Perbandingan sifat - sesuatu benda yang hendak diceritakan sifatnya dibandingkan
dengan benda lain yang serupa sifatnya walaupun rupa bentuknya berlainan.
Rahmawati Iskandar (2006) dalam kajiannya terhadap penggunaan lambang dan
makna kata ‘kera’ dalam peribahasa Jepun dan peribahasa Indonesia mendapati terdapat
beberapa persamaan daripada segi makna dan situasi keadaan penggunanya. Kajian
tersebut mendapati bahawa sebanyak 12 daripada 16 peribahasa Jepun yang
menggunakan lambang dan makna kata ‘kera’ mempunyai erti atau makna yang hampir
sama dengan peribahasa Indonesia. Dapatan kajian tersebut juga mendapati 4 buah
peribahasa Jepun lagi tidak memiliki erti atau makna yang sama atau sepadan dengan
peribahasa Indonesia. Hal ini tidak boleh disimpulkan dengan mutlak bahawa hanya 12
peribahasa Jepun yang mengandungi lambang dan makna kata ‘kera’ yang memiliki erti
atau makna yang sama dengan peribahasa Indonesia. Kemungkinan bahawa di luar 16
peribahasa Jepun yang dikaji penulis masih terdapat banyak lagi peribahasa Jepun yang
terbentuk daripada kata ‘kera’ yang memiliki erti atau makna yang sama dengan
peribahasa Indonesia. Manakala tiadanya peribahasa Indonesia yang memiliki erti atau
makna yang sama dengan peribahasa Jepun kerana pengungkapan sesuatu peribahasa itu
bergantung kepada cara berfikir pengguna bahasa tersebut.
Goh (2009) dalam kajiannya tentang pemindahan lambang ‘padi’ dalam
penterjemahan bahasa Melayu dan Mandarin mendapati daripada 78 peribahasa yang
mengandungi lambang ‘padi’ yang dikutip daripada Kamus Bahasa Melayu-Mandarin
(Xu Younian, 2001) didapati sebanyak 9 peribahasa diterjemahkan dengan menggunakan
strategi sama bentuk, sama makna dan sama lambang, 24 peribahasa diterjemahkan
dengan menggunakan strategi sama bentuk, sama makna dan ganti lambang yang sefungsi
dan 4 peribahasa diterjemahkan dengan menggunakan strategi sama bentuk, sama makna
dan lain lambang. Manakala masing-masing sebanyak 16 peribahasa ditangani dengan
strategi parafrasa dan 24 peribahasa ditangani dengan strategi literal.
Manakala Goh (2010) dalam kajiannya terhadap persamaan lambang dalam
terjemahan peribahasa bahasa Melayu dan bahasa Mandarin mendapati daripada objek
4
haiwan liar dan binatang peliharaan, objek keperluan harian, manusia, kitaran alam,
perbuatan serta objek abstrak yang berunsurkan kepercayaan yang digunakan sebagai
lambang dalam peribahasa bahasa Melayu dan terjemahannya yang berbentuk peribahasa
bahasa Mandarin, kelihatan lambang ini diberikan interpretasi yang serupa dalam
kalangan pengguna bahasa Melayu dan bahasa Mandarin. Makna yang didukung oleh
setiap lambang dalam peribahasa bahasa Melayu ini dapat disampaikan dengan tepat dan
sejadi melalui lambang yang serupa dalam terjemahan bahasa Mandarin.
Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa ada haiwan liar dan binatang
peliharaan, objek keperluan harian, manusia, kitaran alam, perbuatan serta objek abstrak
yang berunsurkan kepercayaan antara kedua-dua bahasa ini yang mempunyai fungsi
bahasa yang serupa. Kesamaan tafsiran terhadap lambang yang serupa turut menunjukkan
bahawa terdapat corak pemikiran yang mirip antara pengguna bahasa Melayu dan bahasa
Mandarin. Walaupun bukan dalam kesemua kes, namun jelas ternyata ada sesetengah kes
yang telah membuktikan bahawa wujudnya kesamaan cara pengamatan terhadap alam
persekitaran yang sama antara pengguna bahasa Melayu dan bahasa Mandarin. Justeru,
keadaan ini telah memungkinkan kebolehterjemahan peribahasa bahasa Melayu ke dalam
bentuk peribahasa bahasa Mandarin.
Kajian Amirah dan Rozaimah (2011) mendapati perbezaan masyarakat Melayu
dan Inggeris dalam mengangkat simbolisme ‘air’ berdasarkan kedua-dua peribahasa
tersebut adalah berhubung kait dengan cara perspektif atau kaca mata pemikiran
masyarakat tersebut. Dalam hal ini, masyarakat Melayu cenderung merujuk simbolisme
‘air’ sebagai ‘orang’ kerana pertalian objek semula jadi ‘air’ dan orang. Manakala dalam
bahasa Inggeris, ‘air’ diibaratkan sebagai situasi kerana kecenderungan masyarakat
Inggeris melihat ‘air’ dengan pelbagai keadaan atau situasi seperti ‘air’ yang berkocak
sebagai situasi berbahaya. Kajian ini juga dapat memperlihatkan perbezaan kognisi
masyarakat Melayu dan Inggeris dalam menerapkan simbolisme ‘air’ berdasarkan data-
data peribahasa yang ditemui. Walaupun terdapat juga sedikit persamaan, namun yang
jelas kedua-dua kelompok masyarakat mempunyai perspektif yang berbeza terhadap
simbolisme ‘air’ yang digunakan dalam peribahasa. Secara keseluruhannya, masyarakat
Melayu lebih cenderung mengaitkan ‘air’ sebagai simbol rujukan ‘orang’ dan sesuatu
yang positif, tetapi sebaliknya, bahasa Inggeris lebih melihat simbolisme ‘air’ sebagai
satu situasi atau keadaan dan merujuk kepada perkara yang negatif.
Kesimpulannya dapat dilihat bahawa kajian-kajian tersebut telah memperlihatkan
persamaan corak pemikiran dan cara hidup masyarakat pengguna sesuatu bahasa itu
menjurus kepada penghasilan peribahasa dengan menggunakan objek atau lambang,
makna dan fungsi yang sama. Perbezaan penggunaan sesuatu lambang dengan maksud
yang sama dalam sesuatu peribahasa itu adalah disebabkan oleh perbezaan cara
pengamatan terhadap persekitaran masing-masing yang berbeza. Pada hakikatnya
perbezaan ini tidak dapat dielakkan kerana setiap kelompok masyarakat itu mempunyai
persekitaran yang berbeza antara satu sama lain.
5
Objektif Kajian
Kajian ini adalah bertujuan untuk:
1. meninjau persamaan lambang dan makna yang terdapat dalam peribahasa
masyarakat Orang Asli suku kaum Semai dan peribahasa Melayu.
2. meninjau persamaan makna dengan lambang berbeza yang terdapat dalam
peribahasa masyarakat Orang Asli suku kaum Semai dan peribahasa Melayu.
Data Kajian
Kajian ini memanfaatkan koleksi Peribahasa Orang Asli Suku Kaum Semai yang
diperolehi melalui temu bual pengkaji terhadap lima orang masyarakat Orang Asli suku
kaum Semai di Kampung Kuala Koyan, Lembah Jelai, Kuala Lipis, Pahang (Rujuk
Lampiran 3). Manakala padanan peribahasa Melayu dibuat berdasarkan peribahasa yang
terdapat dalam buku Peribahasa Melayu: Penelitian Makna dan Nilai oleh Zaitul Azma
Zainon Hamzah dan Ahmad Fuad Mat Hassan (2011) yang diterbitkan oleh Penerbit
Universiti Putra Malaysia.
Perbincangan Dapatan Kajian
Untuk menganalisis data ini, pengkaji telah memanfaatkan strategi penterjemahan yang
disarankan oleh Baker (1992) iaitu menggunakan peribahasa yang sama bentuk dan sama
makna, menggunakan peribahasa yang sama makna tetapi lain bentuk, parafrasa,
pengguguran dan penggantian. Menurut Goh (2009) peribahasa yang mempunyai sama
bentuk dan sama makna dapat dipecahkan kepada tiga jenis lagi iaitu sama bentuk dan
sama makna dengan lambang yang sama (SBSM-SL), sama bentuk dan sama makna
dengan menggantikan lambang lain yang sefungsi (SBSM-GL) dan sama bentuk dan
sama makna dengan menggunakan lambang lain (SBSM-LL). Perbincangan dapatan
kajian ini berfokus kepada strategi peribahasa yang sama bentuk dan sama makna serta
peribahasa yang sama makna tetapi lain bentuk dengan sedikit penyesuaian dalam
analisisnya. Penyesuaian dalam analisis dibuat dengan menggantikan penggunaan bentuk
kepada penggunaan lambang iaitu peribahasa yang menggunakan lambang dan makna
yang sama, dan peribahasa yang mempunyai makna yang sama tetapi mempunyai
lambang yang berbeza. Untuk peribahasa yang sama bentuk dan sama makna,
penggunaan lambangnya diklasifikasikan mengikut golongan kata berdasarkan kriteria
semantik Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (Nik Safiah dan rakan-rakan, 2008). Peribahasa
yang mempunyai makna yang sama tetapi mempunyai lambang yang berbeza dianalisis
berdasarkan pembahagian tentang perihal, keadaan, sifat, cara, kejadian dan peristiwa.
Kajian ini mendapati bahawa daripada jumlah 150 peribahasa masyarakat Orang
Asli suku kaum Semai yang diperolehi melalui temubual tersebut, 78 daripadanya
mempunyai kedua-dua ciri iaitu menggunakan lambang dan makna yang sama, dan
mempunyai makna yang sama tetapi menggunakan lambang yang berbeza sebagaimana
yang terdapat dalam peribahasa masyarakat Melayu. Daripada jumlah 78 peribahasa
tersebut, 29 daripadanya merupakan peribahasa yang menggunakan lambang dan makna
yang sama dengan peribahasa masyarakat Melayu, manakala 49 peribahasa lagi
merupakan peribahasa yang mempunyai makna yang sama tetapi menggunakan lambang
yang berbeza.
6
Peribahasa Yang Sama Lambang dan Makna
Kajian ini mendapati daripada jumlah 29 peribahasa yang mempunyai lambang dan
makna yang sama, sebanyak 15 peribahasa menggunakan kata nama (KN) yang sama, 5
peribahasa menggunakan kata kerja (KK) yang sama dan 9 peribahasa menggunakan kata
adjektif (KA) yang sama (Rujuk Lampiran 1). Bagi penggunaan kata nama (KN) sebagai
lambang yang sama, peribahasa masyarakat Orang Asli suku kaum Semai dan peribahasa
masyarakat Melayu menggunakan lambang matahari, bulan, mulut, lidah, telinga, perut,
kaki, tahi ayam, anak, mata, batu, batang dan murai. Semua lambang yang terdapat
dalam peribahasa yang dikaji merupakan kata nama am konkrit yang memberikan makna
yang sama bagi kedua-dua peribahasa tersebut. Kata nama am konkrit ialah jenis kata
nama yang membawa konsep kebendaan (Nik Safiah dan rakan-rakan, 2008). Ini
menunjukkan bahawa kedua-dua masyarakat penutur bahasa tersebut mempunyai corak
pemikiran yang sama dalam mentafsirkan alam sekitar mereka sehingga wujudnya
peribahasa tersebut.
Penggunaan lambang ‘matahari’ bagi peribahasa masyarakat Orang Asli suku
kaum Semai ‘be lenlod ru mat arik’ (berbohong dengan matahari) dan peribahasa
Melayu ‘menengadah matahari’ yang membawa maksud ‘seseorang yang bersumpah
dengan bersaksikan matahari’ dianggap sebagai satu sumpah yang berani. Masyarakat
Orang Asli suku kaum Semai menganggap matahari sebagai satu lambang ‘kuasa agung’
yang merupakan semangat yang paling utama dalam kehidupan mereka. Seseorang yang
sanggup berbohong di hadapan matahari dianggap sebagai seorang yang amat berani atau
sanggup melawan semangat yang paling utama tersebut. Manakala peribahasa cahayaq
geceq (cahaya bulan) dalam peribahasa masyarakat Orang Asli suku kaum Semai yang
membawa maksud seseorang perempuan yang sangat cantik mempunyai persamaan
dengan peribahasa Melayu bagai bulan empat belas dan bagai bulan penuh purnama.
Kedua-dua peribahasa tersebut menunjukkan penggunaan lambang untuk kecantikan
seseorang wanita dirujuk kepada salah satu keindahan alam, iaitu bulan. Penggunaan kata
nama bulan untuk melambangkan kecantikan seseorang wanita terdapat dalam
kebanyakan bahasa termasuk bahasa-bahasa sukuan atau bahasa yang dituturkan oleh
kelompok minoriti seperti bahasa Semai. Ini menunjukkan bahawa gambaran tentang
kecantikan tradisional kedua-dua bahasa tersebut banyak mengambil perumpamaan
daripada keindahan alam semula jadi.
Selain itu peribahasa begei eij puq (seperti tahi ayam) bermaksud seseorang yang
melakukan sesuatu perkara dengan penuh semangat pada awalnya sahaja. Peribahasa ini
menggambarkan seseorang yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-
sungguh pada peringkat awal sahaja tetapi semangat tersebut tidak bertahan lama.
Peribahasa ini mempunyai lambang dan makna yang sama dengan peribahasa Melayu
hangat-hangat tahi ayam. Peribahasa-peribahasa lain yang terdiri daripada kategori ini
ialah empag gepok (mulut kepuk), peribahasa Melayu yang mempunyai lambang dan
makna yang sama dengannya ialah mulut tempayan dan cepat mulut. Peribahasa entaq
beruoq (telinga beruang) sama lambang dan makna dengan peribahasa Melayu telinga
kuali dan telinga tempayan yang membawa maksud seseorang yang tidak mengendahkan
nasihat atau kata-kata orang lain. Peribahasa mat ragak (mata raga atau mata ambung)
sama lambang dan makna dengan peribahasa Melayu mata keranjang yang membawa
maksud seseorang yang pantang melihat perempuan cantik. Peribahasa teg doq (tangan
monyet) pula mempunyai lambang dan makna yang sama dengan peribahasa Melayu
panjang tangan yang membawa maksud seseorang yang suka mencuri.
7
Dalam aspek penggunaan kata kerja (KK) yang sama bagi kedua-dua peribahasa,
terdapat 5 kata kerja yang digunakan sebagai lambang dan maksud yang sama iaitu kata
kerja buka mata, langkah bendul, lenggang-lenggok, kokok dan mengail. Kesemua kata
kerja yang digunakan dalam peribahasa berkenaan merupakan kata kerja yang biasa
digunakan dalam komunikasi seharian. Peribahasa ‘pej mat’ (buka mata) dan langkah
mendul (langkah bendul) umpamanya, menggunakan kata kerja serta makna yang sama
dengan peribahasa yang terdapat dalam peribahasa Melayu. Peribahasa pej mat (buka
mata) membawa maksud yang sama dengan peribahasa Melayu buka mata yang
bermaksud melihat sesuatu dengan betul berdasarkan keadaan sebenar. Manakala
Langkah bendul membawa maksud seseorang adik berkahwin mendahului abang atau
kakak yang menunjukkan bahawa perkara berkenaan bukan sahaja terdapat dalam cara
hidup dan budaya masyarakat Melayu, malah terdapat juga dalam budaya kalangan
masyarakat Orang Asli suku kaum Semai.
Peribahasa ‘renawej selak manou’ (lenggang-lenggok daun manau)
menggunakan pergandaan berentak kata kerja yang sama dengan ‘lenggang-lenggok
bagai cupak hanyut’ dalam peribahasa Melayu. Masyarakat Orang Asli suku kaum
Semai menggunakan objek (kata nama) yang berbeza iaitu selak manou (daun manau)
berbanding masyarakat Melayu yang menggunakan objek (kata nama) cupak hanyut.
Perbezaan penggunaan objek (KN) dengan maksud yang sama ini disebabkan oleh
perbezaan cara pengamatan terhadap persekitaran masing-masing yang berbeza.
Masyarakat Orang Asli suku kaum Semai memberi maksud peribahasa ‘renawej selak
manou’ sebagai ‘keindahan atau kelembutan seseorang wanita semasa menari atau
berjalan’ berdasarkan ayunan lemah gemalai atau lenggang-lenggok daun rotan manau
semasa ditiup angin yang terdapat di persekitaran kehidupan mereka. Manakala
masyarakat Melayu mengumpamakan kelembutan tersebut dengan keadaan cupak (alat
penyukat padi atau beras yang diperbuat daripada tempurung kelapa) yang sedang hanyut
di permukaan air atau sungai.
Keadaan yang sama juga terdapat pada peribahasa masyarakat Orang Asli suku
kaum Semai yang menggunakan kata kerja mengail iaitu tenroij kaq selaq, bicak ha kaq
kadag (mengail ikan daun, dapat ikan selat) dan peribahasa masyarakat Melayu mengail
yu dapat setoka yang bermaksud lain yang dihajati tetapi lain yang didapat. Dalam
konteks ini masyarakat Orang Asli suku kaum Semai menggunakan objek (KN) spesis
sejenis ikan sungai iaitu ikan daun (nandus mercantus) dan ikan selat (notopterus
chitala), manakala masyarakat Melayu menggunakan spesis ikan laut iaitu ikan yu dan
ikan setoka (sejenis ikan pari yang kecil) sebagai perbandingannya. Perbezaan ini dapat
membuktikan bahawa terdapat cara pengamatan terhadap persekitaran masing-masing
yang berbeza antara kedua-dua kelompok masyarakat tersebut. Selain itu terdapat
peribahasa tenader puq (kokok ayam) dengan peribahasa Melayu yang sama iaitu kokok
berdegar-degar ekor bergelumang tahi dengan maksud seseorang yang bercakap besar
terlebih dahulu. Kedua-dua peribahasa ini membawa maksud seseorang yang lantang atau
hanya berani berkata-kata semasa berada jauh dari musuhnya sahaja, tetapi berdiam diri
bila kedua-duanya berhadapan.
Dalam aspek kata adjektif (KA) sebanyak 9 kata digunakan sebagai lambang dan
maksud yang sama dalam kedua-dua peribahasa tersebut. Kata adjektif yang digunakan
ialah kata adjektif sifatan atau keadaan iaitu fasih, basah, tajam, hilang, putus, suam,
panas dan besar, kecuali sekangkang yang merupakan kata adjektif ukuran. Kata adjektif
8
sifatan atau keadaan terdiri daripada perkataan yang memberi pengertian sifatan atau
keadaan sebagai unsur keterangan nama, manakala kata adjektif ukuran ialah jenis
perkataan yang membawa pengertian ukuran sebagai unsur keterangan (Nik Safiah dan
rakan-rakan, 2008). Kesemua kata adjektif yang digunakan dalam peribahasa yang dikaji
merupakan kata adjektif yang biasa digunakan dalam pertuturan seharian serta membawa
maksud yang sama bagi kedua-dua bahasa. Bagi peribahasa masyarakat Orang Asli suku
kaum Semai bej bedeg (fasih berkata-kata) yang membawa maksud seseorang yang
pandai berkata-kata atau berpidato adalah sama dengan peribahasa fasih lidah dalam
peribahasa masyarakat Melayu. Begitu juga keadaannya dengan peribahasa cebat-cebat
yej, cebat lagik lentaq (setajam-tajam parang, tajam lagi lidah) mempunyai persamaan
dengan peribahasa Melayu lidah lebih tajam daripada pedang dan keris lembing tiada
tajam, lebih tajam mulut manusia yang membawa maksud kata-kata itu lebih berbisa
atau tajam daripada parang. Peribahasa marha seningkang rau (seluas sekangkang
kera) dan sekangkang kera merupakan kata adjektif ukuran yang membawa maksud
sesuatu kawasan yang sangat sempit. Sebagaimana juga masyarakat Melayu, masyarakat
Orang Asli suku kaum Semai menggunakan sekangkang untuk menggambarkan sesuatu
kawasan yang sempit misalnya kawasan kebun atau tanah yang mereka terokai.
Bagi tujuan menunjukkan tahap kepanasan air yang sesuai untuk memandikan
bayi atau kanak-kanak, peribahasa masyarakat Orang Asli suku kaum Semai dan
peribahasa masyarakat Melayu menggunakan kata adjektif pancaindera iaitu sen ep deq
peruq (Sesuam sarang tupai) dan suam-suam kuku yang membawa maksud tahap atau
suhu kepanasan air yang sesuai untuk memandikan bayi. Kata adjektif pancaindera terdiri
daripada perkataan yang membawa pengertian konsep rasa, pandang, dengar, bau, sentuh,
atau gabungan kelima-lima indera, sebagai penerang kata nama (Nik Safiah dan rakan-
rakan, 2008). Kajian ini mendapati bahawa peribahasa masyarakat Orang Asli suku kaum
Semai mengumpamakan tahap kepanasan air yang suam itu dengan keadaan sarang tupai,
yang tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk yang dianggap selesa untuk dijadikan
tempat perlindungan bagi haiwan tersebut. Peribahasa-peribahasa lain dalam aspek kata
adjektif ialah ce’os ke’at / ta’at (Kayu api basah), peribahasa Melayunya ialah beras
basah yang membawa maksud seseorang yang sukar untuk diminta bantuan. Peribahasa
ngencat re-is (putus akar) mempunyai makna yang sama dengan peribahasa Melayu kata
putus dan genting putus biang tembok yang bermaksud sesuatu keputusan yang
muktamad dan tidak boleh dirunding lagi. Selain itu terdapat peribahasa timul inos ladak
(timbul hati panas) dengan peribahasa Melayu yang sama makna, iaitu panas darah dan
peribahasa yap entoi (cakap besar) dengan peribahasa Melayu yang sama, iaitu besar
diri dan besar cakap.
Peribahasa Yang Sama Makna dengan Lambang Berbeza
Kajian ini mendapati bahawa daripada 150 peribahasa masyarakat Orang Asli suku kaum
Semai terdapat sebanyak 49 daripadanya mempunyai makna yang sama dengan
peribahasa Melayu tetapi dengan menggunakan lambang yang berbeza. Kesemua
peribahasa dalam kategori ini merupakan peribahasa yang berkaitan dengan sosiobudaya
khususnya tentang adat budaya, kemasyarakatan, pergaulan, kemanusiaan, alam
kehidupan dan persekitaran. Berdasarkan klasifikasi tersebut, pengkaji telah
membahagikan makna peribahasa-peribahasa tersebut berdasarkan pembahagian tentang
perihal, keadaan, sifat, cara, kejadian dan peristiwa. Untuk pembahagian sifat pengkaji
telah membahagikan kepada dua pecahan makna iaitu sifat positif dan sifat negatif.
Berdasarkan klasifikasi tersebut kajian ini mendapati bahawa 21 peribahasa membawa
9
makna tentang perihal, 2 peribahasa membawa makna tentang sifat positif, 18 peribahasa
membawa makna tentang sifat negatif, 6 peribahasa membawa makna tentang keadaan
dan masing-masing 1 peribahasa membawa makna tentang cara dan peristiwa (Rujuk
Lampiran 2).
Peribahasa masyarakat Orang Asli suku kaum Semai dan bahasa Melayu yang
membawa makna yang sama tentang ‘perihal’ dalam kajian ini ialah kap ‘abaq’/lenguak
(gigit bekas) dan pog raweg (tepuk kosong) yang bermaksud perihal membuat sesuatu
perkara yang tidak membawa apa-apa hasil. ‘Kap ‘abaq’ dalam masyarakat Orang Asli
suku kaum Semai merupakan buluh yang digunakan untuk memasak nasi. Setelah masak
‘abaq’ dibelah dua dan sebahagian daripada ‘abaq’ digunakan sebagai bekas untuk
memakan nasi tersebut. Ini bermakna sekiranya seseorang itu tidak mendapat makanan,
dia hanya mendapat ‘abaq’ atau bekas sahaja. Peribahasa ini merujuk kepada seseorang
yang tidak mendapat apa-apa hasil walaupun telah berusaha untuk mendapatkannya.
Peribahasa masyarakat Orang Asli suku kaum Semai yang mempunyai makna yang sama
dengan lambang yang berbeza ialah pog raweg (tepuk kosong). Manakala peribahasa
Melayu yang mempunyai makna yang sama dengan peribahasa-peribahasa tersebut yang
menggunakan lambang yang berbeza ialah bagai mencincang air, cangkul angin, hampa
tangan, cangkul angin, tangkap wap, menanam mumbang, menjaring angin, pisang
ditanam tak berjantung dan ikan di hulu tuba di hilir.
Peribahasa-peribahasa lain yang membawa makna tentang ‘perihal’ dengan
penggunaan lambang yang berbeza dalam kajian ini ialah peribahasa le’em-le’em moh
gau (lembut-lembut hidung babi) dan peribahasa masyarakat Melayu air yang tenang
jangan disangka tiada buaya yang bermaksud seseorang yang kelihatan lemah lembut itu
adakalanya boleh bertindak kasar dan ganas. Meskipun pada dasarnya penggunaan
lambang dalam kedua-dua peribahasa itu kelihatan sama iaitu di bawah kategori haiwan,
namun jenis haiwan yang digunakan oleh kedua-dua bahasa tersebut berbeza. Masyarakat
Orang Asli suku kaum Semai menterjemahkan ‘hidung babi’ yang kelihatan lembut itu
dalam keadaan tertentu boleh bertukar menjadi keras sehingga boleh menyodok dan
menggali tanah, meruntuhkan batas serta boleh merosakkan tanaman. Manakala dalam
konteks masyarakat Melayu, mereka menterjemahkan keadaan ‘air yang tenang’ dan
tidak berkocak itu kadang-kadang ada juga didiami ‘buaya’ iaitu sejenis haiwan yang
ganas. Kedua-dua peribahasa tersebut sebenarnya menggambarkan perihal seseorang
yang kelihatan senyap itu dalam keadaan tertentu boleh bertukar menjadi agresif atau
menggambarkan sesuatu keadaan yang tenang itu kadang-kadang boleh berlaku perkara-
perkara yang di luar jangkaan kebanyakan orang.
Peribahasa masyarakat Orang Asli suku kaum Semai dan bahasa Melayu yang
membawa makna yang sama tentang ‘sifat positif’ pula ialah bunga seteq (sejenis bunga)
dan hat ikenmeq (sangat cantik atau elok) yang masing-masing membawa maksud sifat
positif iaitu seseorang perempuan yang sangat cantik. Meskipun kedua-dua peribahasa
tersebut mempunyai makna yang sama, tetapi kedua-duanya menggunakan lambang yang
berbeza iaitu kata nama ‘bunga’ dan kata adjektif ‘cantik atau elok’ berserta dengan kata
penguat ‘sangat’. Peribahasa Melayu yang membawa maksud yang sama dengan bunga
seteq dan hat ikenmeq yang membawa maksud seseorang perempuan yang sangat cantik
ialah bulan penuh dan bagai bulan purnama. Perbezaan penggunaan lambang ini
menunjukkan bahawa cara pengamatan terhadap persekitaran berbeza antara kedua-dua
masyarakat bahasa tersebut. Masyarakat Orang Asli suku kaum Semai menterjemahkan
10
kecantikan seseorang wanita itu dengan lambang ‘bunga’, manakala masyarakat Melayu
menterjemahkannya melalui lambang ‘bulan purnama’.
Bagi peribahasa yang membawa makna tentang ‘sifat negatif’, kajian ini
mendapati bahawa untuk menggambarkan seseorang yang malas bekerja masyarakat
Orang Asli suku kaum Semai menggunakan peribahasa caq berd (makan tidur) dan kep
kerdup (kura-kura menelungkup) yang masing-masing menggunakan lambang kata kerja
‘makan’ dan ‘tidur’, dan haiwan ‘kura-kura’. Manakala masyarakat Melayu
menggunakan peribahasa peluk tubuh, berat tangan, berat kaki dan berat tulang bagi
mengambarkan maksud yang sama. Peribahasa dalam kedua-dua bahasa tersebut
menggunakan lambang yang berbeza antara satu sama lain tetapi dengan makna yang
sama. Masyarakat Orang Asli suku kaum Semai menganalogikan seseorang yang malas
atau tidak berbuat sesuatu itu dengan kata ‘makan’ dan ‘tidur’ yang juga selalu digunakan
dalam komunikasi lisan masyarakat Melayu. Bagi peribahasa kura-kura menelungkup
pula, masyarakat Orang Asli suku kaum Semai mengumpamakan seseorang yang malas
bekerja atau tidak melakukan sesuatu untuk dirinya dan orang lain seperti kura-kura yang
menyembunyikan diri di dalam cengkerangnya. Dalam konteks ini masyarakat Melayu
menggunakan kata kerja ‘peluk’ dan kata adjektif ‘berat’ bagi menggambarkan sifat
malas atau tidak berbuat sesuatu itu.
Peribahasa-peribahasa masyarakat Orang Asli suku kaum Semai lain yang
membawa makna tentang sifat negatif dengan lambang yang berbeza ialah angkut jelmol
(angkat gunung) dan entoi i cen op (besar bungkusan daripada isi). Manakala peribahasa
Melayu yang membawa maksud yang sama ialah air setitik dilautkan, tanah sekepal
digunungkan dan cakap sejengkal dibawa sehasta. Peribahasa-peribahasa dalam kedua-
dua bahasa tersebut membawa makna seseorang yang suka memperbesar-besarkan
perkara yang kecil. Penggunaan lambang ’gunung’ dalam peribahasa masyarakat Orang
Asli suku kaum Semai tersebut menunjukkan sesuatu benda atau objek yang
sememangnya sukar malah mustahil untuk diangkat kerana sifat fizikalnya. Oleh itu
seseorang yang sanggup ‘mengangkat gunung’ tersebut dianggap sebagai seseorang yang
suka memperbesar-besarkan sesuatu perkara kecil atau perkara yang ringan.
Peribahasa masyarakat Orang Asli suku kaum Semai yang membawa maksud
’keadaan’ dalam kajian ini ialah cungkag kalag (percakapan hiruk-pikuk) yang membawa
maksud keadaan percakapan yang hiruk-pikuk dalam sesuatu majlis. Peribahasa Melayu
yang mempunyai maksud yang sama dengan peribahasa ini ialah bagai langau
mengerumuni bangkai, bagai ombak purus, riuh bagai Cina karam dan bagai kacang
direndang. Manakala peribahasa yang membawa maksud ’cara’ dalam masyarakat Orang
Asli suku kaum Semai ialah caq beris (makan mentah) yang membawa maksud membuat
keputusan secara terburu-buru. Peribahasa Melayu yang mempunyai persamaan makna
dengan peribahasa tersebut ialah babi (membabi) buta dan buta akal. Bagi
menggambarkan maksud ’peristiwa’ didapati masyarakat Orang Asli suku kaum Semai
menggunakan peribahasa rit nuit (hilang atau ghaib) yang mempunyai sama makna
dengan peribahasa Melayu iaitu hilang tidak menentu rimbanya yang bermaksud sesuatu
yang disayangi (orang dan sebagainya) hilang atau ghaib.
11
Rumusan
Pada kesimpulannya kesemua peribahasa yang diteliti dalam kajian ini merupakan
peribahasa yang bertemakan sosiobudaya masyarakat penutur bagi kedua-dua bahasa iaitu
bahasa Semai dan bahasa Melayu. Penelitian ini mendapati bahawa banyak aspek
sosiobudaya dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku kaum Semai dan dalam
kalangan masyarakat Melayu digunakan sebagai pengajaran, perbandingan, teladan,
peringatan, sindiran, dan nasihat kepada ahli masyarakat masing-masing. Kajian ini
mendapati bahawa peribahasa-peribahasa yang mempunyai lambang dan makna yang
sama, dan peribahasa-peribahasa yang mempunyai makna yang sama dan menggunakan
lambang yang berbeza mempunyai fungsi bahasa yang hampir serupa dalam kedua-dua
bahasa. Persamaan fungsi bahasa yang hampir serupa tersebut dapat dilihat berdasarkan
penggunaan golongan kata iaitu kata nama, kata kerja dan kata adjektif dalam peribahasa
kedua-dua bahasa tersebut. Manakala kebanyakan persamaan daripada segi makna yang
terdapat dalam peribahasa-peribahasa yang dikaji adalah berhubung dengan perihal,
keadaan, sifat, cara, kejadian dan peristiwa tetapi dengan penggunaan lambang yang
berbeza. Perbezaan penggunaan lambang yang diterjemahkan sebagai makna ini adalah
bergantung kepada persekitaran, cara pengamatan dan cara berfikir pengguna kedua-dua
bahasa tersebut. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa dalam kebanyakan aspek
wujudnya cara pengamatan dan cara berfikir yang hampir sama bagi masyarakat Orang
Asli suku kaum Semai dan masyarakat Melayu.
Rujukan
Abdullah Hassan (2002). Koleksi Terindah Peribahasa Melayu. Pahang: PTS
Publications & Distributor Sdn. Bhd.
Abdullah Hassan (2009) Bahasa melayu di persimpangan: antara jati diri dengan
rempuhan globalisasi. Jurnal Kemanusiaan 16, 59–81. 17 September 2012 dalam
http://web.usm.my/kajh/kajh%2016/KAJH%204%20Abdullah%20(59-
81)A[1].pdf
Amirah Ahmad & Rozaimah Rashidin (2011) Terjemahan “‘air’’ dalam peribahasa
Melayu-Inggeris: Analisis semantik kognitif. Jurnal Linguistik 13 (6): 1-12.
Azmi Abdullah (2011) Bahasa (+) hormat dan bahasa (-) hormat: Satu tinjauan
pragmatik silang budaya. Prosiding Persidangan Linguistik ASEAN (PLA) V, 21-
22 Disember 2011, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Baker, M. (1992) In other words: A coursebook on translation. London: Routledge.
Darus Ahmad (1978) Persuratan Melayu: Lama-Baru. Pulau Pinang: Sinaran.
Dentan, Robert Knox (2003) Preliminary Field Notes on the Semai Language. Edited by
Thomas Doyle. 16 September 2012 dalam
http://www.keene.edu/library/OrangAsli/DentanBaer.pdf
Ding Choo Ming (2009) Beberapa sifat, asal usul dan kepengarangan peribahasa Melayu.
Sari - International Journal of the Malay World and Civilisation 27(2) (2009): 3-
12
26. 16 September 2012 dalam http://www.scribd.com/doc/54198138/Beberapa-
Sifat-Asal-Usul-dan-Kepengarangan-Peribahasa-Melayu
Goh Sang Seong (2009) Pemindahan lambang ‘padi’ dalam penterjemahan bahasa
Melayu-Mandarin. Prosiding Seminar Antarabangsa Linguistik dan
Pembudayaan Bahasa Melayu Ke-5. Hal. 133-136.
Goh Sang Seong (2010) Persamaan Lambang dalam Terjemahan Peribahasa Bahasa
Melayu-Bahasa Mandarin dalam Looi Siew Teip et al. (eds). Found in
Translation. Kuala Lumpur: Universiti of Malaya.
Ishak Ramly (1990) Perkembangan peribahasa dalam Bahasa Melayu. Jurnal Dewan
Bahasa 34(1): 54-61.
Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (2008) Data Maklumat Asas. Bahagian Perancangan dan
Penyelidikan, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia.
Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa & Abdul Hamid Mahmood (2008)
Tatabahasa dewan (Edisi ketiga). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rahmawati Iskandar (2006) Analisis peribahasa Jepang dan Indonesia yang
menggunakan kata “kera” (Saru). (Kertas Projek Sarjana Pendidikan tidak
diterbitkan) Universiti Pendidikan Indonesia.
Sa'adiah Ma'alip (2011) Sistem panggilan kekeluargaan orang Asli Teman di Desa
Temuan, PJ. Prosiding Persidangan Linguistik ASEAN (PLA) V, 21-22 Disember
2011, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Zainal Abidin Ahmad (2002) Ilmu Mengarang Melayu / Zainal Abidin Ahmad (Za'ba);
dengan pengenalan oleh Asmah Haji Omar . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka
13
LAMPIRAN 1
Peribahasa dengan kata nama (KN) dan makna yang sama
Bil Peribahasa
Melayu
Peribahasa
Semai
Maksud
1 Menengadah
matahari
Be lenlod ru mat arik [bə
lənlɔd ru maʔ ari ʔ] (Berbohong dengan
matahari)
Seseorang yang bersumpah dengan
bersaksikan matahari.
2 Fasih lidah Belentaq [bələntaʔ] (Mempunyai lidah)
Seseorang petah berkata-kata atau
pandai berhujah.
3 Hangat-hangat
tahi ayam Begei eij pug [bagɛi eij
pug] (Seperti tahi ayam)
Seseorang yang melakukan sesuatu
perkara dengan penuh semangat
pada awal sahaja.
4
Bagai bulan
empat belas,
Bagai bulan
penuh purnama
Cahayaq geceq [cahayaʔ
gɛcɛʔ] (Cahaya bulan)
Seseorang perempuan yang sangat
cantik.
5 Mulut tempayan,
Cepat mulut
Empag gepok [əmpag
gəpɔʔ] (Mulut kepuk)
Seseorang yang tidak boleh
menutup peristiwa lama atau tidak
boleh menyimpan rahsia.
6
Telinga kuali,
Telinga
tempayan
Entaq beruoq [əntaʔ
beruɔq]
(Telinga beruang)
Seseorang yang tidak
mengendahkan nasihat atau kata-
kata orang lain.
7 Buruk perut Entoi ked [əntoi kəd]
(Perut besar) Seseorang yang makan banyak.
8
Kaki sudah
terlangkah
tangan sudah
terjambakan
Jerloh ku loboq [jərloh ku
loboʔ] (Kaki terperosok ke
lubang)
Kata-kata yang tidak dapat ditarik
balik.
9 Anak emas,
Anak bapa
Mai iluij [mai iluij]
(Anak bongsu)
Anak kesayangan atau anak yang
paling akhir yang diberi perhatian
berbanding anak-anak yang lain.
10 Mata keranjang Mat ragak [maʔ ragaʔ] (Mata raga atau mata
ambung)
Seseorang yang pantang melihat
perempuan cantik.
11 Kepala batu Nus batuk [nɔs batuuʔ] (Hati batu)
Seseorang yang keras hati atau
degil.
12 Sebatang kara
Puntung kalug [puntuŋ
kaluʔ] (Batang sireh)
Seseorang yang hidup sebatang
kara.
13
Mulut murai,
Bagai murai
tercabut ekor
Raha cep birai [ra ha cəp
birai]
(Seperti burung murai)
Seseorang yang suka bercakap
banyak.
14
Telinga kuali,
Telinga tempayan
Tok entaq [tɔʔ əntaʔ] (Tiada telinga)
Seseorang yang degil atau tidak
mendengar nasihat.
14
15 Panjang tangan Teg doq [təg doq]
(Tangan monyet) Seseorang yang suka mencuri.
Peribahasa dengan kata kerja (KK) dan makna yang sama
Bil Peribahasa
Melayu
Peribahasa
Semai
Maksud
1 Buka mata Pej mat [pɛj maʔ] (Buka mata)
Melihat sesuatu dengan betul
berdasarkan keadaan sebenar.
2 Langkah bendul
Langkah mendul [laŋkah
məndol]
(Langkah bendul)
Seseorang adik berkahwin
mendahului abang atau kakak.
3 Lenggang-lenggok bagai
cupak hanyut
Renawej selak manou
[rinawɛj səlaʔ manou]
(Lenggang-lenggok daun
manau)
Keindahan atau kelembutan
seseorang wanita semasa menari
atau berjalan.
4
Kokok
berdegar-degar
ekor
bergelumang
tahi
Tenader puq [tənadɛr puq]
(Kokok ayam)
Seseorang yang bercakap besar
terlebih dahulu.
5 Mengail yu
dapat setoka
Tenroij kaq selaq, bicak
ha kaq kadag [tənroij kaʔ
səlaʔ, bicaʔ ha kaʔ kadag]
(Mengail ikan daun, dapat
ikan selat)
Lain yang dihajati tetapi lain yang
didapat.
Peribahasa dengan kata adjektif (KA) dan makna yang sama
Bil Peribahasa
Melayu
Peribahasa
Semai
Maksud
1 Fasih lidah Bej bedeg [bəj bədəg]
(Fasih berkata-kata)
Seseorang yang pandai berkata-
kata atau berpidato.
2 Beras basah Ce’os ke’at / ta’at [cɛ ’ɔs
kə’at / ta’at]
(Kayu api basah)
Seseorang yang sukar untuk
diminta bantuan.
3 Hilang semangat
Kiberuai [kibəruai]
(Hilang roh (terlampau
terkejut))
Seseorang yang terlampau terkejut
sehingga membawa kepada jatuh
sakit atau demam.
4
Lidah lebih
tajam daripada
pedang,
Keris lembing
tiada tajam,
lebih tajam
mulut manusia
Cebat-cebat yej, cebat
lagik lentaq [cəbaʔ- cəbaʔ
yəj, cəbaʔ lagiʔ ləntaʔ] (Setajam-tajam parang,
tajam lagi lidah)
Kata-kata itu lebih berbisa atau
tajam daripada parang.
15
5 Sekangkang
kera
Marha seningkang rau
[marha sniŋkaŋ rau]
(Seluas sekangkang kera)
Sesuatu kawasan yang sangat
sempit.
6
Kata putus,
Genting putus
biang tembok
Ngencat re-is [ŋəncaʔ rɛ-is]
(Putus akar)
Sesuatu keputusan yang muktamad
dan tidak boleh dirunding lagi.
7 Suam-suam kuku
Sen ep deq peruq [sən əp
dəg pəruʔ] (Sesuam sarang tupai)
Tahap atau suhu kepanasan air
yang sesuai untuk memandikan
bayi.
8 panas darah
Timul inos ladak [timul
inos ladaʔ] (Timbul hati panas)
Seseorang yang marah.
9 Besar diri,
Besar cakap Yap entoi [ɣap ɛntoi]
(Cakap besar)
Seseorang yang suka bercakap
besar.
LAMPIRAN 2
Peribahasa Sama Makna dengan Lambang Berbeza
Makna Peribahasa Semai Peribahasa Melayu
Perihal
Seseorang yang
menyerah kuasa kepada
orang lain dengan mudah
atau seseorang yang
kehilangan kuasa.
Begei koh [ (Bagai
baning atau kura-kura
bukit)
Seperti gajah rompong
belalai
Seseorang tua yang
menganggap dirinya
tidak lagi berguna atau
dihormati setelah
nasihatnya tidak
diendahkan oleh orang
lain.
Bel bekoh (Mabuk
uban) Quran buruk
Seseorang yang makan
banyak
Cen houq (Makhluk
halus (yang makan
banyak))
1. Buruk selera
2. Lapang perut
3. Bagai lukah tak
penuh air
Perihal membuat sesuatu
perkara yang tidak
membawa apa-apa hasil.
1. Kap ‘abaq’/lenguak
(Gigit bekas)
2. Pog raweg (Tepuk
kosong)
1. Bagai mencincang
air
2. Cangkul angin
3. Hampa tangan
4. Tangkap wap
5. Menanam mumbang
6. Menjaring angin
7. Pisang ditanam tak
berjantung
8. Ikan di hulu tuba di
hilir.
Seseorang yang hebat Kep pous [kɛp pɔus] Jaguh kampung
16
atau terkenal dalam
kawasannya sahaja.
(Kentut kijang)
Seseorang yang membuat
sesuatu pekerjaan
separuh siap atau tidak
kemas (sambil lewa).
Kerjaq serengkal (Kerja ringkas)
1. Bagai melepas batok
di tangga
2. Ke langit tak
sampai, ke bumi tak
nyata
Kecantikan dan
kemewahan seseorang itu
tidak akan kekal lama.
Kesumbak ku moh (Kesumba berwarna
merah)
1. Embun di hujung
rumput
2. Sungguhpun lemak
santannya akhirnya
basi juga
3. Bunga kembang
menanti layu
Seseorang yang kelihatan
lemah lembut itu ada
kalanya boleh bertindak
kasar dan ganas.
Le’em–le’em moh gau
(Lembut-Lembut
hidung babi)
Air yang tenang jangan
disangka tiada buaya
Menunjukkan suara
seseorang yang tidak
merdu
Lempok karouq
(Suara cengkerik)
1. Seperti bunyi gong
pecah
2. Bagai perian pecah
Seseorang yang handal
bercakap dalam
kawasannya sahaja.
Lempos wol (Tepus
merah) Jaguh kampung
Seseorang yang bercakap
berbelit-belit atau
seseorang yang suka
berjalan ke hulu dan ke
hilir tanpa tujuan.
Les lis los [lɛs lis lɔs]
(Cakap berbelit-belit)
1. Pancang digoncang
arus
2. Kerbau pembulang
tali
Seseorang yang amat
dihormati dan penting
dalam membuat sesuatu
keputusan.
Mai raknak (Orang
tua dihormati) Tulang belakang
Seseorang yang tidak
mempunyai tempat
tinggal yang tetap.
Raha weoi (Macam
mawas)
1. Bantal lengan
2. Bertilamkan pasir
3. Bertiraikan banir
4. Berkandilkan bulan
5. Berkelambukan gua
6. Segan menggerak
lingkar
Seseorang yang hidup
sebatang kara. Ris kaluk (Akar sireh)
1. Sebatang kara
2. Enau di hutan
Menunjukkan jarak yang
sangat dekat. Sempaq paser (Selontar pasir)
Berbisik kedengaran,
berimbau kelampauan
Seseorang yang hidup
bergantung kepada orang
lain
Sui ku jug kelaag [
(Hidup di kaki helang)
1. Jadi umang-umang
2. Bagai geluk tinggal
di air
Lihat diri seseorang
dahulu sebelum
menilainya.
Telag i woq canuk (Lihat bayang dahulu)
Daun mengenalkan
pohonnya
17
Seseorang yang tunduk
atau tidak dapat
mengangkat muka kerana
malu setelah
kesalahannya terbukti.
Telag malok (Lihat kemaluan)
1. Hilang muka
2. Jatuh air muka
3. Muka berconteng
arang
Seseorang yang bercakap
terlalu lama jika diberi
peluang.
Yap acereq (Bercakap
panjang)
1. Bagai puyuh laga
2. Seperti kersik di
pulau
Seseorang itu hendaklah
bercakap dengan berhati-
hati.
Yap besengik (Bercakap berhati-hati)
Jaga mulut
Seseorang yang suka
bercakap secara berterus
terang tanpa
berselindung.
Yet nap tet nup teu (Bercakap berterus
terang)
1. Seperti tempong
menuju jih
2. Dengan kartu
terbuka
Keadaan
Keadaan percakapan
yang hiruk-pikuk dalam
sesuatu majlis.
Cungkag kalag (Percakapan hiruk-
pikuk)
1. bagai langau
mengerumuni bangkai
2. bagai ombak purus
3. riuh bagai Cina
karam
4. bagai kacang
direndang
Seseorang ketua yang
membuat kesilapan
menyebabkan orang
bawahan turut menerima
akibatnya.
Karap i kit, karap
ikuliu (Karam di pangkal
rakit, semuanya karam)
1. Mati ayam mati
tungaunya
2. Seorang cecak
semuanya merasa
pedih
Seseorang yang sedang
nazak.
Lehem cep (Nafas
burung)
1. Nyawa-nyawa ikan
2. Tinggal nadi
Sesuatu kawasan yang
sempit. Marha woj doq
(Sebesar pusar beruk)
1. Sekangkang kera
2. Seluas dada tuma
Petanda yang dirasai
seseorang bahawa
sesuatu perkara buruk
akan berlaku ke atas
dirinya atau orang lain.
Ngenha’ (Petanda sial
atau petanda buruk)
1. Bawa alamat
2. Nampak gabak di
hulu, tahu di angin
turun naik
Sesuatu masalah yang
rumit untuk diselesaikan.
Renawej cok kacu
(Membuai akar gambir)
1. Seperti aur ditarik
songsang
2. Bagai getah dibawa
ke semak
Sifat
Positif
Seseorang perempuan
yang sangat cantik
1. Bungak seteq
(Sejenis bunga)
2. Hat ikenmeq
(Sangat cantik atau
elok)
1. Bulan penuh
2. Bagai bulan empat
belas
Sifat
Negatif
Orang yang suka
memperbesar-besarkan
perkara yang kecil.
1. Angkut jelmol
(Angkat gunung)
2. Entoi i cen op
(Besar bungkusan
daripada isi)
1. Air setitik dilautkan,
tanah sekepal
digunungkan
2. Cakap sejengkal
dibawa sehasta
18
Seseorang yang suka
membebel.
Begei eij pug (Seperti
tahi ayam)
Hangat-hangat tahi
ayam
Seseorang yang suka
tidur pada waktu siang
atau malas bekerja.
Bed ned ngensej (Tidur musang)
1. Berat tanga
2. Berat kaki
3. Berat tulang
Orang yang malas Caq berd (Makan
tidur)
1. Peluk tubuh
2. Berat tangan
3. Berat badan
Seseorang yang dianggap
bodoh.
Kenalok kurak (Kura-
Kura bodoh)
1. Diam penggali
2. Buta perut
Seseorang yang tidak
membuat sesuatu.
Kep kerdup (Kura-
kura menelungkup)
1. Berat tangan
2. Berat kaki
3. Berat tulang
Seseorang yang bercakap
besar dan takbur akhirnya
rugi.
Lapoq serej (Lapang
lukah)
Nak menangguk ikan,
tertangguk batang
Seseorang yang suka
mereka cerita atau putar
belit.
Mek cengnung (Bercakap bohong)
1. Lidah bercabang
2. Tahi minyak
3. kaki temberang
4. Lidah biawak
Seseorang yang garang
atau cepat marah.
Nus rag (Hati
harimau) Darah panas
Seseorang yang tidak
berhati perut.
Pek ber eij wet (Tiada
bertali perut) Kering hati
Seseorang yang suka
mengikis wang atau harta
ibubapanya atau orang
lain.
Raha greeig caq ma
ipangkal (Seperti anai-
anai makan hingga ke
pangkal)
Pisau cukur
Seseorang yang kedekut. Raha rau/dog (Seperti
kera atau beruk)
1. Tangkai jering
2. Ketam batu
Seseorang yang cepat
marah atau panas baran.
Sengik tajuk (Hati
ular atau hati tedung) Telinga nipis
Seseorang yang suka
menceritakan tentang
keburukan orang lain
tetapi akhirnya
keburukan itu terkena
kepada dirinya.
1. Ten nyak pous
(Tendangan kijang)
2. Ten nyak rusak
(Tendangan rusa)
1. Jaras dikatakan raga
jarang
2. Memulangkan paku
buah keras
3. Menepuk air di
dulang, terpecik ke
muka sendiri
4. Jaras dikatakan raga
jarang
Perihal membuat sesuatu
perkara yang tidak
membawa apa-apa hasil.
Kap ‘abaq’/lenguak (Gigit bekas)
1. Bagai mencincang
air
2. Cangkul angin
Cara Membuat keputusan
secara terburu-buru
Caq beris (Makan
mentah)
1. Babi (membabi) buta
2. Buta akal
3. Buta tuli
Peristiwa Sesuatu yang disayangi
(orang dan sebagainya)
Rit nuit (Hilang atau
Hilang tak tentu
rimbanya
19
hilang atau ghaib. ghaib)
LAMPIRAN 3
Responden Temu Bual
1. Achom bin Luji
Umur : 62
Alamat: Kampung Kuala Koyan, Kuala Lipis, Pahang
Pekerjaan: Pesara Kerajaan
2. Sembunyi anak Jamil
Umur : 53
Alamat: Jabatan Kebajikan Orang Asli, Kuala Lipis, Pahang
Pekerjaan:
3. Pong a/p Panjang
Umur : 60
Alamat: Kampung Kuala Koyan, Kuala Lipis, Pahang
Pekerjaan: Suri rumah
4. Batin Achom a/l Khamis
Umur : 70
Alamat: Kampung Kuala Koyan, Kuala Lipis, Pahang
Pekerjaan: Kerja kampung
5. Munan a/l Yai
Umur : 42
Alamat: Kampung Kuala Koyan, Kuala Lipis, Pahang
Pekerjaan: Kerja kampung
Top Related