1
PERUTUSAN PENGERUSI SEMPENA ULANG TAHUN KELIMA
SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN / ENFORCEMENT AGENCY INTEGRITY COMMISSION (EAIC)
Assalamulaikum dan Salam Sejahtera
Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. yang
telah memberikan kesempatan kepada saya untuk menintakan
Perutusan ini sempena Ulang Tahun Kelima EAIC.
Seperti kita sedia maklum, EAIC ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya
Integriti Agensi Penguatkuasaan, 2009 [Akta 700] yang mula
dikuatkuasakan pada 1 April 2011. Penubuhan EAIC ini adalah selaras
dengan hasrat Kerajaan bagi memastikan budaya integriti dalam
pemeliharaan dan pengendalian penguatkuasaan yang wajar dan adil
oleh agensi penguatkuasaan, sekaligus dengan komitmen untuk
membangunkan amalan penguatkuasaan terbaik, pencegahan salah
laku dan kecuaian serta pendidikan masyarakat, justeru
memperkukuhkan keyakinan orang ramai terhadap agensi
penguatkuasaan.
2
Sejarah penubuhan
Pada hari ini 1 April 2016, EAIC memasuki tahun kelima penubuhannya.
Menoleh kebelakang, sejarah penubuhan EAIC telah diasaskan
daripada Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah
Laku Polis 2005, yang kemudiannya digantikan dengan Akta 700 bagi
membolehkan agensi-agensi penguatkuasaan lain, yang pada mulanya
khusus ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM), dimasukkan bersama
bagi menjadi agensi-agensi di bawah seliaan Akta 700. Maka melalui
kuasa yang diberikan oleh seksyen 1(4) Akta 700, Perdana Menteri
telah menetapkan sejumlah 21 agensi penguatkuasaan di bawah Jadual
Akta 700 bagi tujuan kawal selia oleh EAIC.
Sebaik sahaja Akta 700 diluluskan dan diwartakan pada 3 September
2009, satu pasukan yang dinamakan Tim Nukleus telah ditubuhkan
melalui Waran Perjawatan Bil. A75 Tahun 2010, dengan keanggotaan
oleh seorang Setiausaha yang dipinjamkan oleh Jabatan Peguam
Negara (AGC), enam orang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dan
dibantu oleh sembilan orang kakitangan sokongan.
Pejabat EAIC yang pertama bertempat di Aras 9, Blok Menara,
Bangunan Menara Usahawan, Presint 2, Putrajaya. Tim Nukleus
tersebut di antara lain berperanan untuk:
(i) Perwartaan tarikh kuat kuasa Akta 700;
(ii) Pelantikan ahli Pesuruhjaya dan saraan;
(iii) Pembangunan maklumat korporat;
(iv) Pembangunan sistem aduan atas talian iSPAAA;
(iv) Permohonan bagi ruang pejabat; dan
3
(v) Permohonan perjawatan.
Tujuan utama pembentukan Tim Nukleus tersebut adalah untuk
melakukan kerja-kerja operasi penubuhan EAIC bagi membolehkannya
beroperasi dengan sempurna sebagai sebuah Badan Berkanun.
Lanjutan dari usaha oleh Tim Nukleus tersebut, pada 31 Mac 2011,
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin telah
memperkenankan supaya Akta 700 mula dikuatkuasakan pada 1 April
2011 melalui warta P.U.(B) 148/2011.
Pada 1 April 2011, Yang di-Pertuan Agong, juga telah memperkenankan
pelantikan tujuh orang ahli Pesuruhjaya EAIC bagi tempoh tiga tahun,
dan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Heliliah Mohd
Yusof telah dilantik sebagai Pengerusi EAIC yang pertama.
Usaha oleh Tim Nukleus diteruskan dengan permohonan mendapatkan
ruang pejabat tambahan bagi perjalanan operasi EAIC. Pada 16 Jun
2011, Bahagian Pengurusan Harta di Jabatan Perdana Menteri (JPM)
telah meluluskan ruang pejabat tambahan di Aras 5, 8 dan 11 Bangunan
Menara Usahawan untuk diduduki oleh EAIC sebagaimana yang
terdapat sekarang.
Dalam usaha membangunkan maklumat korporat EAIC yang
merangkumi Visi, Moto dan Objektif, pada bulan Ogos 2011, satu
pertandingan mencipta logo telah diadakan. Sejumlah 44 penyertaan
telah diterima dan satu daripada logo yang diterima itu telah dipilih untuk
menjadi logo rasmi EAIC yang terpakai hingga sekarang. Pada awal
tahun 2012, sistem iSPAAA telah mula digunakan oleh EAIC sebagai
4
saluran alternatif kepada pengadu bagi membuat aduan secara atas
talian (online) dan aduan pertama secara atas talian diterima pada 8
Mac 2012.
Usaha oleh Tim Nukleus juga dilakukan dengan permohonan
perjawatan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Pada
asalnya sejumlah 282 perjawatan pelbagai gred telah dipohon. Walau
bagaimanapun setelah melalui beberapa siri perbincangan, pada 20 Mei
2011, hanya 29 perjawatan pegawai dan kakitangan pelbagai gred telah
diluluskan melalui Waran Perjawatan Bil. A19 Tahun 2011. Daripada 29
perjawatan tersebut, EAIC memutuskan agar 18 perjawatan dibuka
kepada orang ramai untuk dilantik terus oleh EAIC di bawah sekyen
14(1) Akta 700, dan 11 perjawatan yang lain diputuskan untuk dilantik
secara pinjaman pegawai daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mulai 15 September 2011 hingga 3 Oktober 2011, seramai 18 orang
pegawai dan kakitangan lantikan terus EAIC melapor diri. Pada bulan
November 2011, beberapa orang pegawai pinjaman dari AGC dan
SPRM mula melapor diri. Pada September 2011, Tim Nukleus
dibubarkan apabila pegawai dan kakitangan Tim Nukleus mula bertukar
dan digantikan oleh pegawai dan kakitangan lantikan baru EAIC serta
yang dipinjamkan oleh AGC dan SPRM.
Mulai September 2011 hingga Disember 2012, jumlah perjawatan yang
telah diisi adalah seramai 25 orang, iaitu 13 orang pegawai dan 12
orang kakitangan daripada 29 perjawatan yang diluluskan pada 20 Mei
2011. Dari jumlah tersebut, empat pegawai adalah terdiri dari pegawai
5
yang dipinjamkan oleh SPRM dan tiga lagi pegawai dipinjamkan oleh
AGC, termasuk Setiausaha / Ketua Pegawai Eksekutif EAIC.
Pada bulan Mac 2012, beberapa orang pegawai EAIC telah dilantik
oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah seksyen 2B Akta
Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) sebagai Pegawai Pengelas bagi
membolehkan EAIC membuat pengelasan dokumen-dokumen bersifat
rahsia selaras dengan kehendak peruntukan seksyen 52 Akta 700.
Dalam pada itu, pada bulan November 2011, satu perjawatan akauntan
EAIC telah diisi bagi membolehkan EAIC mengendalikan urus tadbir
kewangannya sendiri yang sebelumnya itu diuruskan oleh Pentadbiran
Am, Jabatan Perdana Menteri. Perjawatan akauntan tersebut telah
dapat diwujudkan setelah EAIC membuat trade-off satu perjawatan
terbuka di Seksyen Siasatan EAIC pada Februari 2012.
EAIC dengan itu mula beroperasi pada awal bulan September 2011 dan
aduan salah laku yang pertama diterima pada 6 September 2011.
Pada 29 Februari 2012, laman sesawang rasmi EAIC www.eaic.gov.my
telah dilancarkan bertujuan memberi maklumat tentang EAIC kepada
orang ramai. Kini laman sesawang tersebut telah dilayari lebih daripada
144,000 pengunjung berbanding dengan hujung tahun 2014 di mana
jumlah pengunjung adalah seramai 31,000 orang.
Laman sesawang EAIC kini boleh diakses dalam dwi bahasa apabila
pada 23 Mac 2016, versi Bahasa Inggeris mula dilancarkan. Pengunjung
laman sesawang EAIC juga boleh mengakses terus kepada facebook
http://www.eaic.gov.my/
6
dan twitter EAIC melalui laman sesawang tersebut bagi mendapatkan
berita terkini berkaitan isu-isu integriti dan aktiviti EAIC.
Pada tahun 2013, EAIC memperkenalkan video korporat sebagai
branding tools dalam memberikan penerangan berkenaan peranan
dan fungsi EAIC kepada orang ramai. Kini klip video tersebut boleh
diakses oleh orang ramai melalui laman sesawang EAIC.
Seksyen 48 Akta 700 menghendaki laporan tahunan (annual report)
EAIC dikemukakan kepada Parlimen pada setiap tahun. Selaras dengan
itu, EAIC telah mengemukakan laporan tahunan bagi Tahun 2011/2012,
2013 dan 2014 masing-masingnya di Parlimen. Bagi Laporan Tahunan
2015, EAIC dijangka akan membentangkan laporan tersebut di Parlimen
pada awal bulan April 2016 ini. Laporan tahunan itu membutirkan
dengan terperinci segala aktiviti EAIC pada sepanjang tahun tersebut.
Aduan salah laku
Pada tahun 2011 selepas penubuhannya, EAIC telah menerima
sejumlah 18 aduan berkaitan salah laku. Pada tahun 2012, EAIC
menerima sejumlah 357 aduan. Bagi tahun 2013 pula, EAIC menerima
sejumlah 306 aduan salah laku. Bagi tahun 2014, EAIC menerima
sejumlah 312 aduan salah laku. Pada tahun 2015, jumlah aduan salah
laku yang diterima adalah sejumlah 326 aduan. Bagi tahun semasa
2016 ini, setakat akhir bulan Mac, jumlah aduan salah laku yang telah
diterima adalah sebanyak 98 aduan. Dua negeri iaitu Selangor dan
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah negeri yang paling banyak
diterima aduan, iaitu 326 dan 323 masing-masingnya.
7
Di dalam mengendalikan aduan-aduan yang diterima tersebut, setakat
penghujung tahun 2015, saya berpuas hati bahawa Jawatankuasa
Aduan EAIC telah menyelesaikan siasatan awal melebihi daripada 90%
daripada jumlah aduan-aduan tersebut, melepasi daripada peratusan
sasaran yang ditetapkan iaitu 85% kadar penyelesaian. Baki aduan
yang tidak sempat dirujukkan ke Jawatankuasa Aduan adalah
merupakan aduan-aduan yang diterima pada sekitar bulan Oktober,
November dan Disember 2015 yang boleh disifatkan sebagai spill over
bagi tahun tersebut kerana tempoh yang masih singkat. Kekerapan
Mesyuarat Suruhanjaya yang diadakan pada sepanjang tahun 2015,
iaitu 16 Mesyuarat Suruhanjaya menjadi penyumbang besar kepada
peningkatan kadar penyelesaian dan keputusan ke atas aduan-aduan
yang diterima dan telah melancarkan operasi EAIC untuk dapat berjalan
dengan licin dan pantas disamping peningkatan ke atas kualiti siasatan
kes-kes yang diadukan.
Mesyuarat Suruhanjaya yang pertama, iaitu Bil. 1 Tahun 2011 telah
diadakan 25 April 2011. Sejumlah tujuh Mesyuarat Suruhanjaya telah
diadakan pada sepanjang tahun 2011. Pada tahun 2012 sejumlah 11
Mesyuarat Suruhanjaya diadakan. Pada tahun 2013 sejumlah 13
Mesyuarat Suruhanjaya dan dua Mesyuarat Khas Suruhanjaya telah
diadakan. Sejumlah 8 Mesyuarat Suruhanjaya telah diadakan pada
tahun 2014. Kekurangan kekerapan mesyuarat pada tahun 2014 ini
berlaku disebabkan tempoh pegangan jawatan ahli-ahli Pesuruhjaya
yang telah tamat pada 1 April 2014 dan lantikan baru ahli-ahli
Pesuruhjaya serta Pengerusi Suruhanjaya yang baru hanya dibuat mulai
15 Oktober 2014.
8
Sepanjang tahun 2015 sejumlah 16 Mesyuarat Suruhanjaya dan 6
Mesyuarat Khas Suruhanjaya telah diadakan. Bagi tahun semasa 2016
ini setakat akhir bulan Mac, sejumlah 4 Mesyuarat Suruhanjaya dan 2
Mesyuarat Khas Suruhanjaya telah diadakan. Mesyuarat Suruhanjaya
yang dihadiri oleh ahli-ahli Pesuruhjaya serta pegawai-pegawai kanan
EAIC adalah bertujuan di antaranya untuk mengkaji dan memutuskan
kertas-kertas pertimbangan yang dibawa oleh Bahagian Operasi EAIC
berkaitan siasatan ke atas aduan-aduan salahlaku yang diterima serta
membincangkan perkara-perkara berkaitan polisi dan operasi EAIC
selaras dengan fungsi EAIC di bawah seksyen 4 Akta 700.
Mesyuarat Khas Suruhanjaya yang dihadiri oleh ahli-ahli Pesuruhjaya
EAIC dan pegawai kanan tertentu EAIC pula diadakan bagi
membincangkan isu-isu khusus semasa yang memerlukan keputusan
segera Suruhanjaya seperti siasatan berkaitan kejadian kematian orang
tahanan semasa di dalam tahanan lokap polis yang mendapat liputan
meluas dan kes-kes yang mempunyai elemen kepentingan awam yang
signifikan.
Pembangunan kapasiti
Menyedari keperluan mendesak bagi membangunkan kapasiti untuk
melaksanakan dan mengimbangi beban tugas yang bertambah, pada
awal tahun 2013, EAIC telah membuat permohonan bagi 49 perjawatan
baru sebagai tambahan kepada perjawatan sedia ada kepada pihak
JPA. Pada 1 Jun 2013, pihak JPA telah meluluskan kesemua 49
perjawatan yang dipohonkan. Dengan pertambahan perjawatan
9
tersebut, jumlah keseluruhan perjawatan di EAIC adalah sebanyak 78
perjawatan, iaitu 1 perjawatan bagi kumpulan pengurusan tertinggi, 38
perjawatan bagi kumpulan pengurusan dan professional, dan 39
perjawatan bagi kumpulan sokongan.
Pada 4 Ogos 2013, EAIC telah mengiklankan kesemua jawatan baru
tersebut di media cetak dan elektronik. Walau bagaimanapun hanya
mulai bulan Disember 2014, perjawatan baru tersebut mula diisikan dan
pengisian secara berperingkat tersebut berakhir pada bulan Mei 2015.
Pada masa sekarang sejumlah 72 perjawatan telah diisikan. Dari jumlah
tersebut seramai 16 orang daripadanya adalah merupakan peguamcara
dan peguambela yang sedang beramal yang dilantik terus oleh EAIC
pada sekitar bulan Mac hingga Mei 2015 sebagai pegawai aduan dan
pegawai siasatan EAIC. EAIC berterima kasih kepada pihak Jabatan
Peguam Negara (AGC) yang telah meminjamkan seramai lima orang
pegawai undang-undang yang berpengalaman dan pernah bertugas
sebagai Timbalan Pendakwa Raya bagi ditempatkan di EAIC dalam
membantu kerja-kerja EAIC. EAIC juga berterima kasih kepada pihak
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah
meminjamkan seramai tiga orang pegawai penyiasat yang
berpengalaman bagi ditempatkan di EAIC juga untuk membantu kerja-
kerja siasatan.
Ketika ini EAIC sedang mengusahakan dengan pihak JPA untuk enam
perjawatan kumpulan pengurusan dan professional yang merupakan
jawatan Gred L41/44 terbuka yang belum diisikan untuk dijadikan/ditukar
sebagai perjawatan tertutup bagi membolehkan EAIC membuat
pengambilan terus pegawai bagi perjawatan tersebut dalam usaha
10
memantapkan kapasiti EAIC sebagai sebahagian daripada perancangan
strategik bagi memenuhi keperluan jangkamasa panjang yang
memerlukan pengekalan kesinambungan perkhidmatan dan
pengalaman pegawai berbanding dengan pegawai yang dipinjamkan
yang hanya akan berada di EAIC untuk suatu tempoh masa yang
pendek.
Siasatan khusus dan pendedahan awam (public disclosure)
Adalah menjadi satu sejarah yang signifikan kepada EAIC apabila pada
30 Januari 2015, EAIC membuat dedahan umum (public disclosure)
melalui kenyataan akhbar dan paparan di laman sesawang EAIC ke
atas laporan penuh siasatan EAIC berkaitan kes kematian orang
tahanan bernama James Ramesh a/l Ramasamy yang mati ketika
berada di dalam Lokap HQ, IPK Pulau Pinang.
Pada 30 Oktober 2015, EAIC membuat dedahan awam kedua melalui
kenyataan akhbar dan paparan laporan siasatan di laman sesawangnya
ke atas laporan siasatan kejadian kematian orang tahanan bernama
Syed Mohd Azlan bin Syed Mohamed Noor yang mati semasa berada
dalam tahanan polis di Kota Tinggi, Johor.
Pada 29 Februari 2016, EAIC telah membuat dedahan umum kali ketiga
melalui kenyataan akhbar dan paparan di laman sesawangnya atas
hasil siasatan berkaitan isu pencerobohan bot-bot kenka di perairan
persisiran pantai Tanjung Piandang dan Kuala Kurau, Perak.
11
Pendedahan umum tersebut telah mendapat liputan meluas oleh media
massa dan portal-portal berita serta reaksi susulan oleh badan-badan
bukan kerajaan (NGOs) yang mahu melihat supaya syor-syor serta
perakuan oleh EAIC diberikan tindakan oleh pihak berkuasa terlibat.
Seterusnya EAIC melalui satu Pasukan Petugas yang ditubuhkan telah
menyelesaikan satu lagi siasatan yang dilaksanakan secara
pendengaran awam (public hearing) iaitu kes kematian orang tahanan
bernama Dharmendran a/l Narayanasamy (N. Dharmendran) yang mati
semasa berada di dalam Lokap D9. IPK Kuala Lumpur. Laporan penuh
siasatan tersebut dijangka akan diumumkan secara rasmi oleh EAIC
pada awal Mei 2016.
Dalam pada itu EAIC sedang menjalankan siasatan ke atas tiga lagi kes
kematian orang tahanan semasa berada di lokap polis yang telah
mendapat liputan meluas oleh media serta perhatian orang ramai.
Ketiga-tiga siasatan tersebut dijangka akan dapat disiapkan dalam tahun
2016 ini.
Pindaan ke atas Akta 700
Menyedari keperluan penambahbaikan dan dalam usaha mengukuhkan
peranan dan bidang tugas EAIC supaya dapat dilaksanakan dengan
lebih lancar dan efektif, EAIC sedang mengambil langkah bagi membuat
beberapa pindaan ke atas Akta Suruhanjaya Integriti Agensi
Penguatkuasaan, 2009 [Akta 700]. Deraf Rang Undang-undang Pindaan
Akta 700 tersebut sekarang ini sedang berada dengan pihak Jabatan
Peguam Negara (AGC) bagi semakan akhir sebelum ianya dibawa
12
kepada Mesyuarat Jemaah Menteri dan seterusnya dijangka akan dapat
dibentangkan di Parlimen pada sesi persidangan Mei 2016.
Peruntukan tambahan/baru melalui Pindaan Akta 700 tersebut iaitu bagi
mewajibkan pihak berkuasa tatatertib agensi penguatkuasaan yang
terlibat untuk memaklumkan EAIC mengenai prosiding dan keputusan
tindakan tatatertib yang diambil ekoran daripada syor yang dibuat oleh
oleh EAIC; pemakaian/gunapakai laporan dan siasatan EAIC bagi
tindakan tatatertib oleh pihak berkuasa tatatertib; kuasa EAIC bagi
mengambil alih siasatan tatatertib oleh agensi/pihak berkuasa tatatertib
yang didapati tidak memuaskan. Dijangkakan dengan peruntukan
tambahan/baru di bawah Pindaan Akta 700, apabila dikuatkuasakan
nanti, akan membawa impak) yang jelas dan signifikan ke atas peranan
EAIC dalam mengukuhkan integriti di kalangan pegawai penguat kuasa
dan agensi penguatkuasaan.
Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK 11)
Semasa pembentangan RMK 11 (2016-2010) di Parlimen, YB Perdana
Menteri telah mengumumkan bahawa dua badan kawalselia, iaitu EAIC
dan SPRM akan diberi peranan utama dalam menjalankan usaha
pengukuhan integriti ke atas agensi-agensi penguatkuasaan.
Selaras dengan hasrat Kerajaan tersebut, EAIC telah mula mengorak
langkah dengan beberapa tindakan susulan penambahbaikan dalam
keupayaan operasi. Pada Disember 2015, EAIC telah selesai
menjalankan penstrukturan semula Bahagian Operasi EAIC yang
melihatkan pewujudan Unit Aduan (Polis) dan Unit Siasatan (Polis) yang
13
secara khusus mengendalikan semua aduan dan siasatan yang
berkaitan aduan salah laku anggota dan pegawai polis (PDRM) yang
diterima oleh EAIC.
Manakala Unit Aduan (Agensi) dan Unit Siasatan (Agensi) di Bahagian
Operasi EAIC pula secara khusus mengendalikan aduan-aduan salah
laku yang diterima oleh EAIC terhadap agensi-agensi penguatkuasaan
lain, seperti yang tersenarai di dalam Jadual Akta 700.
Dengan penstrukturan semula tersebut, pegawai-pegawai aduan dan
siasatan di Bahagian Operasi EAIC akan mempunyai pengkhususan
kerja yang lebih fokus dan dapat meningkatkan kualiti siasatan serta
keberkesanan kerja-kerja siasatan.
Selari dengan hasrat Kerajaan tersebut juga, EAIC sedang mengambil
tindakan bagi membuat beberapa pindaan ke atas Akta 700 bertujuan
untuk memantapkan peranan dan operasi EAIC melalui cadangan
pindaan yang telah disebutkan di atas tadi.
Di samping usaha-usaha yang disebutkan tadi, EAIC telah menyusun
lebih banyak aktiviti dan program bagi sepanjang tahun 2016 dalam
usaha meluaskan lagi kesedaran dan pengetahuan umum ke atas
kewujudan dan peranan EAIC melalui program bulanan EAIC & Anda,
majlis dialog bersama badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan
kempen-kempen sebaran maklumat melalui media massa. Tidak
ketinggalan dan signifikan ialah untuk EAIC meneruskan siri dialog EAIC
dengan pemimpin dan pegawai kanan agensi-agensi penguatkuasaan
14
dan pegawai-pegawai penguat kuasa yang berada di lapangan melalui
program turun padang.
Ketirisan integriti
Secara amnya terdapat agensi-agensi penguatkuasaan yang telah
melihatkan peningkatan dan kesedaran integriti di kalangan pegawai
penguat kuasa. Ukuran peningkatan tersebut dapat dibuat melalui
interaksi dan dialog yang diadakan oleh EAIC bersama ketua-ketua
agensi penguatkuasaan. Walaubagaimanapun masih terdapat ruang
bagi penambahbaikan dan pengukuhan integriti dilakukan oleh agensi-
agensi penguatkuasaan dalam aktivit-aktiviti penguatkuasaan undang-
undang.
Program-program pengukuhan integriti perlu disusun dan dilaksanakan
secara berterusan ke atas setiap peringkat pegawai penguat kuasa oleh
agensi-agensi penguatkuasaan. EAIC telah menawarkan khidmat
penceramah kepada beberapa agensi bagi tujuan tersebut, termasuk
kepada pihak PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian
Pengangkutan Malaysia yang baru-baru ini mengisytiharkan tahun 2016
sebagai tahun integriti bagi Kementerian Pengangkutan dan agensi-
agensi di bawahnya.
Di samping itu, EAIC juga telah membuat beberapa pengesyoran yang
membabitkan penambahbaikan kepada SOP agensi-agensi
penguatkuasaan yang berkaitan dengan operasi dan tempat tahanan
termasuk lokap, yang melibatkan PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia,
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan
15
Perikanan Malaysia. Peranan ini selari dengan fungsi EAIC yang
disebutkan di bawah seksyen 4 Akta 700.
Dalam pada itu saya terpanggil untuk membuat sedikit ulasan ke atas
kes-kes semasa yang telah mendapat liputan meluas dan perhatian
orang ramai. Kes yang saya maksudkan ialah tahanan dan tangkapan
oleh SPRM ke atas pegawai tinggi Kerajaan dan sekutu-sekutunya baru-
baru ini yang disyaki telah menyelewengkan peruntukan dana
kerajaan/dana awam pada skala yang amat besar. Amatlah
mendukacitakan apabila pegawai atau penjawat awam menggunakan
kedudukan atau jawatannya bagi mencari peluang untuk mendapat
kekayaan bagi diri dan keluarga secara yang tidak sah dan melanggar
undang-undang. Kes-kes sebegini yang boleh menghilangkan keyakinan
orang ramai ke atas institusi Kerajaan dan menjejaskan nama baik
perkhidmatan awam perlukan diberi tindakan yang serius oleh pihak
berkuasa tatatertib dan ketua-ketua jabatan terlibat. Ketiadaan
pegangan kepada amanah dan integriti diri telah menyebabkan
berlakunya sedemikian dengan cara memanipulasi atau mengeksploitasi
kelemahan sistem kawalan atau seliaan yang longgar. Salah laku dan
perlakuan jenayah sedemikian wajar dibenteras. EAIC menyokong
penuh tindakan oleh SPRM dan pihak berkuasa tatatertib terlibat bagi
pagawai-pegawai sedemikian dibawa kemuka pengadilan dan
disingkirkan dari perkhidmatan.
Penutup
Sebelum saya mengakhiri Perutusan ini, saya juga bersyukur dan
menjunjung kasih ke atas DYMM Yang di-Pertuan Agong yang telah
16
memperkenankan saya untuk dilantik sebagai Hakim Mahkamah
Rayuan Malaysia berkuatkuasa mulai 21 Mac 2016 yang lalu. Saya
percaya lantikan tersebut akan mengkukuhkan lagi reputasi dan
kredibiliti EAIC sebagai sebuah badan bebas yang dipengerusikan
secara sepenuh masa oleh seorang Hakim Mahkamah Rayuan
Malaysia.
Akhirnya, saya mengucapkan selamat menyambut Ulang Tahun Kelima
kepada semua warga kerja EAIC. Saya berharap setiap warga kerja
EAIC dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan terbaik
serta bersama mengembeling tenaga dengan barisan kepimpinan EAIC
dalam menjayakan misi dan visi Suruhanjaya ini. Selamat Maju Jaya.
Terima kasih.
DATUK YAACOB BIN HAJI MD. SAM Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Bertarikh 1 April 2016
Top Related