Teks Ucapan YB. Datuk Abdul Rahim BakriTimbalan Menteri Pertahanan
Sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Tentera Yang Ke-49
Tarikh : 15 Jun 2014 (Ahad)
Tempat : Dewan Perhebat, Kem Sungai Buloh
Masa : 10.00 Pagi
Bismillahirrahmanirrahim.
Terima kasih saudari pengacara majlis.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Yang Berbahagia Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Bin Hj Jaafar Panglima Tentera Lautmerangkap Naib Yang Dipertua Koperasi TenteraMemangku Panglima Angkatan Tentera merangkap Yang Dipertua Koperasi Tentera
Yang Berbahagia Leftenan Jeneral Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd NawawiTimbalan Panglima Tentera DaratMewakili Panglima Tentera Darat merangkap Naib Yang Dipertua Koperasi Tentera
Yang Berbahagia Leftenan Jeneral Dato’ Sri Hj Roslan bin SaadTimbalan Panglima Tentera UdaraMewakili Panglima Tentera Udara merangkap Naib Yang Dipertua Koperasi Tentera
Yang Berbahagia Datuk Nik Ali bin Mat Yunus Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia
Yang Berbahagia Mejar Jeneral Bersara Dato’ Paduka Che Hasni Bin Che AhmadPengerusi Koperasi Tentera
Yang Berbahagia Brigidier Jeneral Bersara Dato’ Ahmad Zahudi Hj. SallehKetua Pegawai Eksekutif Koperasi Tentera
Mantan-mantan Pengerusi dan Lembaga Pengarah, tuan-tuan dan puan-puan serta anggota Koperasi Tentera yang saya hormati sekalian.
1. Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafakkan setinggi-tinggi
rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-
Nya, saya diberi kesempatan untuk bersama-sama hadir dengan tuan-
tuan dan puan-puan pada hari ini bagi menjayakan Mesyuarat Agung
Koperasi Tentera Yang Ke-49.
2. Pada pagi hari ini, saya berasa amat kagum dan teruja dengan
kehadiran anggota Koperasi Tentera yang tidak mengira usia, bangsa
dan pangkat, hadir bersama-sama menunaikan tanggungjawab sebagai
anggota Koperasi bagi sesi pengundian untuk memilih Anggota
Lembaga baru serta menghadirkan diri ke Mesyuarat Agung Tahunan.
Jumlah kehadiran yang ramai pada pagi ini jelas membuktikan bahawa
tuan-tuan dan puan-puan amat komited di dalam menjalankan aktiviti
koperasi terutama Mesyuarat Agung yang sememangnya penting dalam
menentukan arah tuju sesebuah koperasi. Syabas saya ucapkan kepada
tuan-tuan dan puan-puan atas semangat, komitmen dan kesungguhan
yang ditunjukkan.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
3. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi
tahniah kepada Anggota Lembaga, pihak pengurusan dan seluruh
anggota Koperasi Tentera di atas inisiatif dan usaha anda semua
sehingga berjaya mengekalkan Koperasi Tentera di antara Koperasi
yang berprestasi cemerlang di negara ini. Saya dimaklumkan bahawa
Koperasi Tentera telah menerima Anugerah Koperasi Negara semasa
sambutan Hari Koperasi Negara 2013 di Jitra, Kedah. Anugerah ini
terhasil dari usaha pihak pengurusan dengan sokongan daripada Ahli
Lembaga dan kakitangan Koperasi Tentera yang menyumbangkan
sumber dan tenaga dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi.
Syabas saya ucapkan!
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
4. Koperasi Tentera sememangnya mempunyai rekod kewangan yang
cemerlang dan tidak terkecuali untuk tahun 2013. Prestasi kewangan
kekal positif dengan pendapatan bersih berjumlah RM204.9 juta dan
keuntungan sebelum cukai berjumlah RM159.3 juta dalam keadaan
ketidaktentuan ekonomi masa kini. Saya telah dimaklumkan bahawa Ahli
Lembaga Koperasi telah mencadangkan pemberian dividen sebanyak
RM 106.7 juta atau bersamaan 11%. Untuk tahun kewangan 2013, kadar
1% dividen telah meningkat menjadi RM9.5 juta berbanding RM 8.4 juta
untuk tahun 2012. Namun setelah Menteri Pertahanan berbincang
dengan Anggota Lembaga, jumlah ini ditambah lagi lebih kurang RM10
juta atau bersamaan 1% menjadikan kadar dividen meningkat kepada
12%. Tambahan ini akan dimasukkan ke dalam akaun yuran tuan / puan.
Cadangan ini akan dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan selepas ini
untuk kelulusan seterusnya. Untuk rekod, pada tahun 2012 Koperasi
Tentera telah mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 14% dengan
melibatkan pembayaran sebanyak RM118 juta dan dengan tambahan 1%
ini menjadikan jumlah yang dibayar untuk tahun 2013 adalah sama
walaupun dengan kadar yang berbeza.
5. Saya sedar pemberian dividen ini agak rendah dari segi peratusan
berbanding lima tahun kebelakangan ini, namun dengan pemberian
dividen 12% ini membuktikan Koperasi Tentera masih mampu
memberikan pulangan yang tinggi secara konsisten kepada anggotanya
walaupun sedang dalam proses transformasi. Saya amat berbangga dan
syabas saya ucapkan kepada Anggota Lembaga dan Pengurusan
Koperasi Tentera di atas pencapaian ini. Saya juga menyeru semua
anggota Koperasi Tentera terus menyokong Koperasi dalam tempoh
peralihan ini.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian,
6. Seperti yang kita semua maklum, Koperasi Tentera kini dalam
proses transformasi untuk menjadi sebuah bank koperasi yang
berlandaskan syariah menjelang tahun 2015. saya dapat melihat banyak
usaha telah dilakukan oleh Anggota Lembaga dan Pengurusan Koperasi
Tentera bagi mencapai misi transformasi Koperasi Tentera dalam
tempoh 12 bulan ini. Ini termasuk membangunkan kepakaran sumber
manusia, menyemak proses kerja, menyusun semula struktur
organisasi, memupuk budaya kerja berprestasi tinggi dan
membudayakan urus tadbir korporat yang lebih tinggi.
7. Saya sedar usaha ini bukanlah satu perkara yang mudah
memandangkan banyak aspek yang perlu dilihat oleh Koperasi Tentera
sebagai persediaan untuk menjadi sebuah Bank Koperasi kelak. Namun
begitu, saya yakin dengan kepimpinan dan perancangan Koperasi
Tentera untuk melangkah ke tahap yang lebih tinggi lagi melalui program
transformasi ini. Jika ini berjaya, Koperasi Tentera akan mencatit sejarah
dengan menjadi sebuah Bank Koop pertama yang seratus peratus
dimiliki oleh anggota tentera.
8. Sebagai Timbalan Menteri, saya sedar kepentingan memenuhi
keperluan kewangan dan kebajikan anggota tentera dan penjawat awam
di bawah Kementerian Pertahanan. Oleh itu, Koperasi Tentera sentiasa
bersedia untuk memenuhi keperluan tuan puan ini dan bakal
memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan efisien apabila menjadi
sebuah bank koop kelak dengan menawarkan produk dan perkhidmatan
yang lebih kompetitif. Transformasi ini dilakukan bagi memastikan
Koperasi Tentera terus kekal relevan dan dapat terus menjaga kebajikan
anggotanya.
9. Saya amat berbangga dengan pencapaian Koperasi Tentera
setakat ini. Untuk sampai hingga ke tahap ini bukanlah sesuatu yang
mudah dan ini hanya mampu dilakukan oleh pemimpin yang bijak,
pengurusan yang berkesan dan sokongan anda semua sebagai anggota
Koperasi Tentera. Teruskan sokongan anda sehingga Koperasi Tentera
menjadi sebuah Bank Koperasi yang disegani.
10. Kita telah melihat banyak pencapaian yang telah dikecapi oleh
Koperasi Tentera sehingga kini dan saya berharap lebih banyak
kejayaan akan dicipta di masa hadapan. Saya sendiri sangat teruja untuk
melihat Koperasi Tentera menjadi sebuah bank koperasi dan saya akan
membantu di mana perlu bagi memastikan matlamat ini tercapai. Saya
juga berharap anda semua turut sama memberi sokongan yang padu
atas usaha Koperasi Tentera ini.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
11. Hari ini merupakan hari pemilihan Ahli Lembaga Koperasi yang
baru bagi menggantikan anggota yang telah tamat tempoh perkhidmatan
mereka. Bagi saya, amalan demokrasi yang termaktub dalam prinsip-
prinsip Koperasi adalah perkara yang perlu dihormati agar setiap
keputusan dibuat berdasarkan suara ramai atau ringkasnya suara
majoriti demi mencapai kepentingan bersama. Kepada mereka yang
bertanding, saya berharap anda semua telah melengkapkan diri dari
segala sudut, dari keilmuan dan sahsiah, berintegriti dan bersedia
memberi khidmat dengan penuh komitmen dan ikhlas kepada Koperasi.
12. Pesanan saya kepada anggota sekalian, gunakanlah peluang
keemasan ini dengan bijaksana dan matang untuk menentukan pucuk
pimpinan anda dan pada masa yang sama terus memberi sokongan
kepada barisan anggota Lembaga demi kestabilan dan pembangunan
koperasi pada masa hadapan.
13. Sebelum berundur, saya sekali lagi ingin mengambil kesempatan
ini untuk mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada
semua anggota lembaga, pihak pengurusan dan kakitangan Koperasi
Tentera di atas perkhidmatan yang telah diberikan sepanjang tahun.
Anggaplah kejayaan hari ini sebagai satu cabaran untuk kita lebih
cemerlang di masa hadapan.
14. Dengan kata-kata itu, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya
dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Tentera
yang ke-49.
Sekian terima kasih.
Top Related