Post on 17-Jan-2016
description
Asigment Individu
SENI DALAM PENDIDIKAN
1.0 Pengenalan
Mengikut Kamus Dewan Edisi baru, seni didefinisikan sebagai karya ( sajak,
lukisan, muzik dan lain-lain ) yang diciptakan dengan bakat, kebolehan mencipta sesuatu
yang indah. Secara tidak langsung mengakui bahawa untuk menghasilkan sesuatu produk
seni, bakat, kebolehan dan penghayatan serta pemahaman yang jitu amat penting.
Kebolehan adalah sesuatu yang mampu dipelajari dan dibentuk manakala bakat pula
adalah sesuatu yang berdiri dengan sendiri hasil daripada kurniaan Ilahi. Kedua-dua ini
saling berkait rapat di dalam menghasilkan sesuatu produk seni yang mempunyai nilai
estetika yang tinggi.
Dipandang daripada sudut agama, Imam Muslim melalui penulisan kitabnya, Kitab
Al- Iman, menjelaskan tentang kesenangan estetik dan konsep keindahan sebagai
pertemuan antara seseorang yang mempunyai pengetahuan terhadap mesej atau objek
yang ditemui. Dalam erti kata lain, Muslim menjelaskan seni itu sebagai suatu bentuk ilmu
( pengetahuan ) di mana seseorang yang mempunyai ilmu ataupun pengetahuan seni
tersebut akan mencipta serta melahirkan manifestasi pemikiran dan perasaannya
terhadap sesuatu objek yang dihayatinya melalui karya-karya seni, ataupun setidak-
tidaknya akan menghargai keindahan objek serta karya tersebut, sekiranya tidak mampu
menghasilkan karya seni. Ini adalah kerana seni itu sendiri mempunyai pertalian erat di
antara penggiat dan khalayak seni itu sendiri.
Menurut Herbert Read ( buku, The Meaning of Arts ) pula seni adalah penghasilan
rupa bentuk yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik ( Art is
Expression ). Kesenangan estetik di sini adalah merujuk kepada konsep kesenangan yang
terhasil kesan oleh penghayatan terhadap keindahan seni visual. Kepuasan, kenikmatan,
kesukaan dan kegembiraan juga termasuk di dalam kesenangan ini.
2.0 Aplikasi seni dalam pendidikan
Seni merupakan sesuatu yang subjektif untuk digambarkan. Seni itu indah dan
halus. Seni bukan sahaja diaplikasikan dalam satu bidang tetapi dalam beberapa bidang
seperti seni suara, seni tari dan seni lakon. Kesemua seni yang dinyatakan tadi merupakan
seni yang memerlukan pergerakan, suara, dan ekspresi dalam melahirkan sesuatu yang
indah dari dalam diri kita. Seni juga diaplikasikan dalam pengajaran. Pengajaran
memerlukan pemahaman dan pemahaman memerlukan tarikan yang menarik dan kreatif.
Seni yang disematkan dalam setiap pengajaran haruslah memberi satu nilai dalam jangka
masa yang panjang dan memberi impak yang positif untuk seseorang individu.
“Seni adalah hasil daripada kreatif dan kritis dari pemikiran seseorang manusia
yang diolah secara halus dan sederhana”. (Pahlawi Web Al. Mei 2007). Kenyataan tadi
mendefinisikan seni sebagai satu pergerakan yang dinamik dan pemikiran logik manusia
yang diwujudkan melalui ketekunan dan kehalusan budi yang ditentukan oleh ilmu,
moral, dan ketakwaan manusia terhadap sang pencipta. Seni juga merupakan satu disiplin
ilmu yang bersama-sama terbentuk dalam mencapai kedewasaan akhlak dan tabiat
seseorang muslimseperti jujur, rajin , taqwa serta sabar. Apabila dasar pembelajaran seni
ini diterapkan, pembelajaran menjadi lebih lengkap dari pelbagai aspek.
Seni dalam pendidikan merupakan sesuatu yang baru dan ianya menggabungkan
tiga elemen penting. Elemen-elemen tersebut ialah seni visual, seni pergerakan dan juga
seni muzik. Dalam seni visual ianya lebih melibatkan lukisan, manakala seni pergerakan
melibatkan penggunaan ruang dalam sesuatu aktiviti dan seni muzik pula lebih kepada
interpretasi seseorang terhadap muzik yang didengari. Warna merupakan elemen yang
penting dalam kehidupan. Tanpa warna kehidupan akan menjadi tidak bermakna.
Semestinya, kehidupan akan menjadi bosan dan tidak menarik. Warna juga turut
digunakan dalam seni dalam pendidikan iaitu dalam komponen Pendidikan Seni Visual.
Warna memainkan peranan yang penting dalam menggambarkan sesebuah kebudayaan,
emosi. dan maksud dalam karya seni visual.
Irama merupakan elemen yang terdapat dalam seni muzik. Irama dapat
dinyatakan sebagai rentak yang berlaku secara berulang. Sesuatu irama itu boleh
dinikmati sewaktu kita mendengar muzik. Irama yang menarik dalam sesuatu muzik akan
mempengaruhi seseorang untuk mendengar muzik tersebut berulang kali. Dalam
kehidupan kita seharian, kita semestinya akan menemui pelbagai irama. Sebagai contoh
bunyi tapak kaki, bunyi degupan jantung, bunyi titisan air di sinki dan sebagainya. Semua
ini merupakan irama yang wujud disekeliling kita tanpa kita sedari dan kebanyakan ianya
berlaku setiap masa.. Dalam pendidikan seni, irama digambarkan sebagai sesuatu susunan
corak yang berulang dan susunan sekata yang mewujudkan pergerakan.
Kanak-kanak akan mula memahami sesuatu kemahiran yang berbentuk irama
sewaktu mereka melakukan aktiviti seperti melompat, bergerak ke kiri dan ke kanan,
menari, melukis corak dan sebagainya. Sebenarnya irama dapat meransang minda kanak-
kanak untuk memberikan tumpuan apa yang sedang dilakukan. Tanpa kehadiran muzik,
sudah semestinya sesuatu aktiviti itu menjadi hambar dan murid akan merasa cepat
bosan. Selain itu, kehadiran Irama dalam aktiviti yang dilakukan secara tidak langsung
menarik minat kanak-kanak untuk menyertai sesuatu aktviti dengan lebih seronok dan
bersemangat. Kanak-kanak akan merasa lebih seronok melakukan aktviti seperti
melompat sambil mengikut irama muzik.
Irama yang diaplikasikan dalam pengajaran akan menjadikan pelajar banyak
melakukan pergerakan dan secara tidak langsung, elemen yang ketiga dipenuhi. Elemen-
elemen seni dalam pengajaran ini menjadi satu hubung kait yang kukuh dalam
menjadikan pengajaran lebih efektif dan kreatif. Kanak-kanak akan menjadi lebih
terdorong untuk memahami sesuatu perkara secara seronok. Kesimpulannya, guru perlu
mengambil langkah dalam memanipulasikan elemen seni dalam pengajaran supaya
pengajaran mereka akan menjadi lebih berkesan.
Menurut Kenneth M.Lansing ( 1973 ) dalam bukunya Art, Artist dan Art
Education menyatakan bahawa aktviti pendidikan seni yang wujud boleh berfungsi
sebagai satu cabang komunikasi. Kebolehan guru dalam menyampaikan pengajaran dan
menggunakan kaedah yang betul akan dapat memenuhi keperluan. Selain itu, guru
perlulah memahami dan menghayati kurikulum dan menguasai Sukatan Pelajaran
Pendidikan Seni Visual. Kemahiran guru dalam mengolah sukatan pelajaran dengan
menumpukan kepada perkembangan pengetahuan dan peningkatan kemahiran tertentu
dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan teknik yang sesuai. Seni Dalam
Pendidikan sebenarnya memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka alam
sekeliling mereka, yakni apa yang mereka lihat, sentuh,bergerak dan berfikir dalam setiap
aktviti pembelajaran yang mereka lakukan. Melalui cara ini, secara tidak langsung, ia
mengajar murid untuk menguruskan sumber imaginasi, kreativiti, pemikiran, serta emosi
dengan lebih efektif dan proaktif.
3.0 Kepentingan seni dalam pendidikan kepada pendidik
Seni dalam pendidikan adalah untuk membantu perkembangan menyeluruh
danseimbang setiap insan dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani selari
denganFalsafah Pendidikan Negara. Seni dalam pendidikan bermatlamat untuk
menyediakan guru permulaan sekolah rendah dengan pengetahuan dan kemahiran untuk
mengintergrasikan aktiviti Seni Visual, Muzik dan Pergerakan dalam proses pengajaran
dan pembelajaran pelbagai bidang matapelajaran lain. Melalui aktiviti ini, ianya akan
dapat mendorong kanak-kanak menggunakan imaginasi, ekspresi, inkuiri dan kecerdasan
pelbagai. Integrasi seni dalam pendidikan akan mambantu dan memudahkan lagi guru
dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan mengaplikasikan teori-
teori pembelajaran dalam proses tersebut terutama di sekolah rendah. Di antara faedah
dan kepentingan seni kepada seorang pendidik seperti:
1) Melahirkan guru yang kreatif, inovatif, peka, berpesonalti yang berketrampilan dan
professional.
Menurut Leonardo da Vinci iaitu seorang seniman, jurutera, anatomis dan saintis
menyatakan bahawa dengan penghayatan seni yang betul, ianya akan memotivasikan kita
untuk menjadi seorang guru yang kreatif, inovatif, peka,berpesonaliti yang seimbang,
berketrampilan dan professional. Guru yang kreatif dan inovatif mampu menarik
perhatian atau tumpuan pelajar untuk belajar dengan lebih yakin dan berkesan.
Contohnya melalui aktiviti seni visual, muzik dan pergerakan, guru dapat membantu
murid-muridnya melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran dan mendorong kanak-
kanak menggunakan imaginasi, eksperesi, inkuiri dan kecerdasan kepada murid-murid
dan ini akan lebih menyeronokkan murid-murid tersebut.
2) Membantu guru melaksanakan dengan mudah proses pengajaran dan pembelajaran.
Seni membantu para guru dalam memahami diri dan persekitaran. Aktiviti seni visual,
muzik dan pergerakan memudahkan proses menghubungkait semua benda dalam alam
ini. Dengan demikian, seni dapat membantu untuk mengaktifkan proses pembelajaran dan
perpindahan pembelajaran.
3) Guru senang mencapai objektif atau matlamat.
Integrasi seni visual, muzik dan pergerakan dengan pelajaran yang lain membantu
dalam mengimbangkan perkembangan otak kiri dan kanan. QuadrantConcept (1991) oleh
Hermann menunjukkan perkembangan otak kiri dan kanan,menyatakan bahawa seni
membantu pemikiran yang rasional dan intuitif seseorang terutama untuk guru agar
mereka dapat menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.
Justeru itu, dengan pengetahuan tentang keistimewaan seni, guru senang mencapai
objektif dan matlamat dalam pengajaran dan pembelajaran.
4) Guru dapat mempelbagaikan teknik dan strategi dalam pangajaran dan pembelajaran.
Dalam Teori Kecergasan Manusia, Gardner (1983) mengesyorkan bahawa terdapat
tujuh jenis kecergasan tetapi kebanyakkan sekolah memberi penekanan kecergasan
linguistik dan matematik sahaja.Kecergasan lain mungkin akan hilang.Teori ini
menyokong seni perlu diberi peranan yang penting dalam kurikulum, ini kerana manusia
memperolehi pengetahuan melalui pelbagai kecergasan dan juga melalui perbagai teknik
pengajaran. Oleh itu, guru hendaklah menggunakan pelbagai teknik dan strategi serta
kelebihan diri untuk menggalakkan murid mencapai objektif kendiri dalam melancarkan
lagi proses pengajaran dan pembelajaran. Pendidikan Seni menyarankan strategi
pembelajaran yang bersepadu. Dalam setiap kegiatan seni perkara seperti pemupukan
nilai dan pemahaman unsur seni dihubungkaitkan dengan kemahiran asas seni. Cara
bekerja yang teratur, cermat dan selamat dalam proses membuat sentiasa ditegaskan
3.0 Faedah yang diperolehi melalui pembelajaran Seni Dalam Pendidikan ialah:-
1) Pengalaman optima melalui seni membawa kepada keyakinan diri dan kemahiran
belajar.
Selaras dengan sains dan teknologi, Seni Dalam Pendidikan dapat membantu
membina keupayaan bagi menangani perubahan pesat yang sedang berlaku pada hari ini.
Pengalaman yang diperolehi melalui seni sememangnya dapat mempengaruhi kehidupan
kita. Contohnya, dari segi warna yang kita suka dan warna baju yang kita pakai. Warna
yang lembut, terang ataupun gelap dapat mempengaruhi emosi dan tindakan kita
terhadap sesuatu perkara atau tindakan. Apabila kita menggunakan pilihan warna yang
lembut, ianya dapat member ikeyakinan dalam diri kita. Keyakinan akan membuka minda
untuk mendapatkan kemahiran yang kita pelajari.
2) Memperkembangkan kemahiran meneroka, pengalaman dan ekspresi.
Pengetahuan tentang teori-teori kesenian dapat membantu kita mengembangkan
lagi tahap kemahiran yang sedia ada. Pengaplikasian teori dalam pembelajaran dapat
membantu kita memudahkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran. Contohnya,
warna boleh menggambarkan peribadi dan tingkah laku seseorang individu.Justeru itu,
kemahiran meramal tingkah laku akan dapat dikenalpasti.
3) Menggalakkan pembelajaran seumur hidup secara menyeluruh.
Kreativiti semulajadi akan meransang proses pembelajaran. Ini menjurus kepada
keperluan masyarakat yang kompleks dan kompetitif.Seni banyak dihubungkaitkan
dengan personaliti, sosial, ekonomi dan kebudayaan. Oleh itu, seni mampu mempengaruhi
kita dalam membina sikap, keperibadian dan kemahiran intelektual mengikut kesesuaian
masyarakat masa kini. Seni dapat memupuk displin diri,mengukuhkan ‘esteem’ kendiri
dan menggalakkan kemahiran berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran
dengan lebih berkesan dan berterusan dan menyeluruh. Inilah yang dikatakan seni yang
dapat menggalakan pembelajaran seumur hidup secara menyeluruh.
4) Belajar cara belajar-aplikasi informasi secara berkesan.
Integrasi seni dengan pelajaran lain melengkapkan lagi perkembangan otak kiri
dan otak kanan, pada masa yang sama kanak-kanak belajar secara aktif dan
menyeronokkan. Melalui seni, kita dapat mempelajari cara orang lain berfikir, bekerja
dan mengekspresi kendiri. Justeru itu, seni dapat mempengaruhi kita untuk membuat
keputusan dalam pelbagai situasi. Pemerolehan ilmu seni dapat mambantu kita belajar
dengan lebih menyeronokkan dan mampu mengembangkan potensi individu dalam
meneroka, hubungkait idea dengan objek dan di antara pemikiran dengan perlakuan kita.
5) Penghubungkait, gerak hati, celik akal dan kecergasan “Lateral Leaps”
Bidang seni pendidikan menjurus kepada pengetahuan yang berupaya
meningkatkan kebolehan dalam memahami dengan gerak hati, membuat
taakulan,berimaginasi dan kepantasan dalam membentuk ekspresi dan komunikasi. Seni
juga adalah penghubungkait anatara kecergasan otak dan kesan tindakan seseorang.
Ianya memberi keupayaan dalam kemahiran berfikir seperti menyelesaikan masalah,
membuat analisis, sintaksis dan penilaian melalui perasaan, ekspresi dan imaginasi
5.0 Kesimpulan
Secara kesimpulannya, seni dalam pendidikan adalah sangat penting dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana, pengajaran seni dalam pendidikan dapat
memupuk minat pelajar serta menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran
menyeronokkan dan tidak lagi membosankan. Oleh itu, guru harus mengaplikasikan seni
dalam pengajaran untuk memastikan penyampaian pengajaran guru tersebut dapat
merangsang kearah pembelajaran yang berkesan. Di samping dapat mengalakkan pelajar
bergerak aktif ketika proses P&P ini berlangsung kerana tertarik dengan kaedah yang
digunakan ini.
http://shydatulhushna.blogspot.com/2010/10/asigment-individu.html