Post on 10-May-2017
KEBERKESANAN KURIKULUM KOLEJ VOKASIONAL DALAM MELAHIRKAN
TENAGA MAHIR SEAWAL USIA 19 TAHUN.
PENGENALAN
Kolej Vokasional (KV) merupakan sebuah institusi yang ditransformasikan dari sistem
sekolah menengah vokasional. Ia termasuk dalam Transformasi Pendidikan Vokasional yang
mensasarkan Malaysia menuju negara maju menjelang tahun 2020. KV diwujudkan bagi
memenuhi keperluan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan mampu untuk menjadi seorang
yang mempunyai tahap profesionalisme dalam menjalankan tugas seharian.
Transformasi Pendidikan Vokasional ini selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang mahukan pelajar menguasai bidang Sains, Teknologi,
Kejuruteraan dan Matematik (sTeM). Kementerian akan memastikan murid dilengkapi
kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran dunia yang sedang berubah dengan
pengaplikasian sains, Teknologi, kejuruteraan dan Matematik (sTeM). Kementerian juga akan
berusaha meletakkan asas di peringkat sekolah untuk memastikan negara mempunyai bilangan
siswazah sTeM yang berkelayakan dan mencukupi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja
industri untuk memacu ekonomi Malaysia (PPPM, 2013-2015).
Kurikulum KV memainkan peranan penting dalam memastikan tahap penguasaan
seseorang pelajar. Keupayaan seseorang pelajar itu diukur melalui penilaian yang dijalankan
sepanjang tempoh pengajian. KV juga menawarkan kurikulum yang disusun semula dan pada
peringkat sijil dan diploma yang diakreditasi iaitu Diploma Vokasional Malaysia (DVM). Sijil
dan diploma ini diiktiraf untuk mendapatkan kredit di bawah standard kebangsaan dan
antarabangsa. Kurikulum diploma yang baharu ini mengandungi 70 peratus latihan kemahiran
praktikal dan 30 peratus pendidikan akademik umum. Kurikulum ini juga melibatkan komponen
latihan industri selama enam bulan. Pelbagai rakan kongsi industri dirujuk bagi memastikan
keselarasan dengan standard dan amalan industri.
Pelajar-pelajar KV diuji dan dinilai setiap semester dari mereka berumur 16 tahun
sehingga 19 tahun. Oleh itu, sejauh manakah keberkesanan kurikulum Kolej Vokasional ini di
dalam melahirkan graduan seawal umur 19 tahun? Adakah ia dapat memenuhi keperluan dan
menyumbangkan tenaga kepada negara menjelang tahun 2020?
LATAR BELAKANG MASALAH
Kurikulum merupakan salah satu perkara penting di dalam sesebuah institusi pendidikan.
Kurikulum ialah dokumen yang mengandungi rancangan Pembelajaran dan Pengajaran (P&P)
yang mempunyai objektif psikomotor, efektif dan kognitif bagi sesuatu subjek. Ia berperanan
sebagaigaris panduan dan penentu sempadan ilmu yang hendak disampaikan. Kurikulum
Pendidikan di Malaysia dibina selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu bagi
melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Penyelarasan Kurikulum Kolej Vokasional dengan Negara lain.
Kurikulum KV yang telah dilaksanakan ketika ini selaras dengan konsep pendidikan
voksional di peringkat antarabangsa. Kurikulumnya yang lebih memberi keutamaan kepada kerja
amali berbanding akademik. Sepanjang sesi pengajian, pelajar-pelajar akan melalui 70 peratus
sesi amali manakala 30 peratus sahaja bagi bidang akademik. Bertepatan dengan konsep
kurikulum KV iaitu meorientasikan pembelajaran berasaskan pekerjaan. Sesi amali yang mereka
jalani ialah seperti latihan-latihan kemahiran mengikut bidang masing-masing. Contohnya,
pelajar dalam bidang elektrik akan lebih banyak membuat latihan berkaitan dengan elektrik
seperti kerja pendawaian, membaikpulih perkakas elektrik, motor elektrik dan sebagainya.
Bidang akademik pula pelajar-pelajar akan mempelajari mata pelajaran teras seperti Bahasa
Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan lain-lain.
Kelayakan pelajar lepasan Kolej Vokasional.
Bagi melayakkan pelajar-pelajar Kolej Vokasional memperoleh diploma, pelajar-pelajar
dinilai dan ditaksir setiap semester. Keseluruhan program ini akan mengambil masa selama 4
tahun iaitu sebanyak 8 semester. 2 tahun pertama pembelajaran merupakan program berasaskan
pra-diploma. Pelajar-pelajar dikehendaki mencapai CGPA sekurang-kurangnya 2.5 bagi
melayakkan mereka meneruskan ke tahun 3 dan 4. Selain itu, pelajar-pelajar perlu menjalani On
Job Training selam 3 bulan di sektor industri. Setelah pelajar-pelajar ini menamatkan pengajian,
mereka akan memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 4 dan Diploma Vokasional
Malaysia.
Kebolehan pelajar KV di sektor industri.
Di samping itu, pelajar-pelajar KV juga mampu untuk melakukan kerja-kerja separa
mahir di dalam sektor industri. Ini adalah kerana pelajar-pelajar telah mempinyai kemahiran
yang banyak semasa menuntut di KV. Kerja-kerja yang mereka lakukan juga setanding dengan
mereka yang keluar dari institusi kemahiran yang lain.
Had umur kelayakan bekerja di sektor industri.
Graduan-graduan kolej vokasional akan menamatkan pengajiannya seawal umur 19
tahun. Umur sebegini ialah peringkat umur yang boleh dikatakan seseorang itu berada pada
peringkat awal dewasa. Umur seseorang yang telah dewasa mengikut undang-undang kontrak
pada umumnya adalah 18 tahun. Penetapan umur dewasa ini terpakai dalam semua bentuk urus
niaga kecuali jika dinyatakan sebaliknya (Muhammad Fathi, 2006). Mengikut Akta Pekerjaan
1955, seseorang yang berumur 18 tahun ke bawah tidak dibenarkan bekerja di sektor industri.
Ketika pelajar-pelajar menjalani latihan industri atau On Job Training pada semester 7 dan
semester 8, mereka telahpun mencukupi umur 18 tahun untuk membolehkan mereka berada di
sektor tersebut. Ini sekaligus, membolehkan mereka layak untuk bekerja di dalam sektor industri
setelah menamatkan sesi pengajian mereka.
Kerjasama Kolej Vokasional dengan industri dalam negara.
Selain itu, kerjasama yang dijalinkan antara kolej vokasional dengan industri dalam
negara juga dapat memberikan peluang yang lebih banyak kepada pelajar lepasan kolej ini.
Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) adalah di antara usaha yang dijalankan dalam
Transformasi Pendidkan Vokasional yang mana ia merupakan sistem yang dijalankan di dua
tempat iaitu 70 peratus di tempat kerja yang sebenar dan 30 peratus di institusi latihan bertauliah.
Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu syarikat di Negara ini menyertai SLDN untuk melahirkan
tenaga kerja berkemahiran tinggi negara menjelang tahun 2020 (S.Anand Kumar,2012). Selain
daripada SLDN, setiap KV mempunyai kolaborasi dengan pihak industri setempat. Sebagai
contoh, Kolej Vokasional Port Dickson telah menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU)
antara kerajaan dan syarikat-syarikat automobil seperti Amada Services Centre, Speed Tyre and
Battery Service Centre, Alang Ya'acob Auto Service Centre, FZL Auto Servis, BMV Auto Tech
Sdn Bhd, Miester Technology (M) Sdn Bhd, Awalynn Auto Service dan Weister Solution Sdn
Bhd. untuk menempatkan pelajar-pelajarnya mengadakan latihan industri pada tahun 2016.
Dengan kerjasama sebegini, kedua-dua belah pihak akan mendapat keuntungan dalam
memajukan kedua-dua sektor.
Pengetahuan dan kemahiran yang sama dengan institusi kemahiran lain.
Kurikulum standard KV juga telah selari dengan Standard Kemahiran Pekerjaan
Kebangsaan (NOSS) di Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). NOSS adalah salah satu
dokumen yang menggariskan ketrampilan yang diperlukan oleh seseorang pekerja mahir yang
bekerja di Malaysia bagi sesuatu bidang dan tahap pekerjaan serta laluan untuk mencapai
ketrampilan tersebut. Kurikulum di KV mengambilkira kemudahan bagi graduan-graduan
lepasannya memiliki peluang pekerjaan yang sama dengan graduan-graduan daripada lepasan
institusi pengajian kemahiran yang lain. Jadi, ibu bapa dan pelajar-pelajar yang masih menuntut
di KV tidak perlu risau dengan peluang pekerjaan setelah tamat pengajian.
CADANGAN PENAMBAHBAIKKAN
Memperbanyakan Isi Kandungan Akademik Ke Dalam Kursus- kursus Vokasional
Kaedah ini paling ringkas kerana usaha ke arah ini kadang kadang berlaku secara tidak
formal, di mana guru-guru mungkin memberi latihan-latihan yang bercorak akademik kepada
pelajar mereka. Contohnya membuat esei merentasi kurikulum, membuat pengiraan matematik
asas dalam kerja-kerja dibengkel dan ini dilakukan kerana asas-asas ini adalah di antara asas
yang diperlukan oleh majikan-majikan. Ini merupakan model yang paling biasa didapati di
mana-mana sekolah vokasional sekarang.
Penyatuan Guru-Guru Vokasional Dan Akademik
Bertujuan untuk Meningkatkan Kemahiran Akademik Dalam Pendidikan Vokasional.
Prinsip yang digunakan adalah prinsip team teaching (pengajaran koloboratif). Prinsip atau
konsep ini dijalankan menerusi empat pendekatan atau alternatif iaitu guru akademik mengajar
matapelajaran akademik kepada pelajar vokasional dalam kelas subjek vokasional dengan
menggunakan modul atau pengajaran yang lebih menjurus kepada keperluan bidang kerjaya
pelajar.Bidang akademik ini hanyalah sebahagian daripada keseluruhan topik-topik untuk kelas
tersebut. Kadang-kadang ia bertujuan sebagai pengukuhan sahaja.
Guru akademik hanya membantu guru vokasional dalam menyediakan bahan-bahan
untuk pengajaran sahaja. Pengajaran dilakukan oleh guru vokasional. Guru akademik bertindak
sebagai pembimbing kepada sesetengah pelajar dari kelas vokasional dalam membantu mereka
yang bermasalah secara intensif
Guru akademik memberi pengajaran lebih spesifik kepada aplikasi subjek beliau
terhadap mana-mana bidang vokasional. Pendekatan memerlukan guru akademik mengetahui
dengan lebih dekat tentang keperluan subjek akademik beliau dalam bidang-bidang vokasional
yang tertentu.
Mengaitkan Kurikulum Akademik Dengan Alam Vokasional Dan Pekerjaan
Isi kandungan akademik digunakan secara nyata untuk menunjukkan aplikasinya.
Pengubahsuaian kurikulum akademik dibuat untuk menepati kehendak kerjaya masa depan
pelajar berbanding dengan pengubahsuaian kurikulum vokasional semata-mata. Pendekatan ini
melibatkan banyak aktiviti-aktiviti makmal (hands-on) dan kerja lapangan yang cuba
menghubungkaitkan diantara subjek-subjek akademik yang lain (interdisciplinary approach).
Dengan pendekatan ini, ibubapa akan lebih yakin dan terus memberikan kepercayaan
kepada aliran Vokasional yang boleh menjamin kejayaan dalam bidang kemahiran dimasa akan
datang. Sektor kemahiran akan berkembang dengan pesat dan menjadi satu bidang yang menjadi
tumpuan ramai terutama bagi anak-anak yang berminat dengan kerja-kerja kemahiran.
Penyelarasan Kedua-dua Kurikulum
Sukatan pelajaran diantara subjek-subjek akademik dan vokasional dirancang bersama
guru- guru dari kedua-dua model untuk supaya apa yang diajar dalam subjek akademik dan
vokasional mempunyai “horizontal alignment”.
Dalam hal ini mungkin guru- guru akademik dapat menggunakan masalah dalam subjek
vokasional yang dipelajari ketika ini sebagai contoh penyelesaian kepada konsep yang
diajarnya. Penyelarasan mungkin secara keseluruhan dan formal tetapi ia juga boleh dilakukan
secara tidak formal dan ringkas seperti hanya topik-topik yang tertentu sahaja yang diselaraskan
mengikut isu-isu yang hendak dibincangkan.
Integrasi Melalui Projek Tahun Akhir ( Senior Project)
Membolehkan pelajar-pelajar tahun akhir dikehendaki membuat projek yang
menggabungkan antara matapelajaran lain dan penggunaan kemahiran dari bengkel kerja
vokasional. Pembinaan kurikulum untuk pendekatan ini adalah memberi tumpuan kepada
pendekatan penyelesaian masalah sebagai persediaan pelajar untuk projek akhir. Pelajar-pelajar
didedahkan dengan elemen-elemen penyelidikan yang dapat membantu mereka bekerja secara
individu dalam menyiapkan projek tersebut.
Kepelbagaian bidang Vokasional.
Kepelbagaian bidang yang diadaptasi sebagai sekolah dalam sekolah di mana ia terdiri
daripada guru-guru akademik seperti daripada matapelajaran Bahasa Inggeris, matematik dan
sains bersama-sama guru vokasional seperti elektronik, keusahawanan atau pertanian. Pelajar
dan guru akan berada tetap contohnya dalam empat matapelajaran ini yang dipanggil akademi
selama 2 atau 3 tahun. Struktur ini merupakan elemen penting dalam pendekatan akademi.
Bidang kemahiran perlu diperbanyakkan dan ditambahbaik. Contoh bidang yang boleh
ditambah adalah seperti bidang ICT, Penyelenggaraan Komputer, Penyelenggaraan Telefon
Bimbit dan banyak lagi yang boleh diketengahkan. Selain itu juga, jalinan hubungan yang rapat
dengan firma-firma luar yang berkaitan dengan akedemi masing-masing berkaitan teknologi.
Firma-firma ini bertanggungjawab dalam menyediakan motivasi tambahan yang diperlukan
mentor dan juga tempat untuk latihan amali disamping menjadi penaung selaras dengan status
Malaysia menuju Negara maju menjelang 2020.
Sekolah Magnet Dan Sekolah Tinggi (occupational High School)
Kedua-dua mekanisme yang menjurus kepada bidang kerjaya yang akan diikuti oleh
pelajar diperingkat IPT atau apabila di alam pekerjaan.
Sekolah-sekolah ini biasanya mempunyai fokus mereka sendiri seperti keusahawanan,
komputer atau elektronik. Semua guru disekolah ini menjuruskan pengajaran mereka kepada
aplikasi kepada bidang fokus sekolah mereka. Pelajar diberi pendedahan awal terhadap alam
pekerjaan di tahap rendah persekolahan dan penekanan terhadap alam pekerjaan menjadi
bertambah spesifik atau menjurus apabila pelajar menaiki tahap persekolahan yang lebih tinggi.
Penekanan terhadap kedua-dua mekanisme ini adalah berfokuskan bidang kerjaya yang
luas yang merangkumi banyak pekerjaan dibawah satu bumbung kerjaya. Jika fokus terlalu
sempit terhadap sesuatu bidang maka kesukaran untuk menerapkan konsep integrasi kurikulum
akademik secara nyata akan dihadapi dan ini akan menghasilkan satu sekolah vokasional
tradisional atau berbentuk lama.
Kelompok Kerjaya (Occupational Cluster)
Organisasi sekolah terdiri daripada jabatan-jabatan dari kelompok kerjaya yang tertentu.
Jabatan-jabatan tersebut mungkin terdiri daripada jabatan pertanian, keusahawanan dan industri,
dan perkhidmatan awam. Guru-guru akademik diletakkan di dalam setiap kelompok akademik
yang berasingan. Diperingkat awal, semua pelajar didedahkan kepada pengenalan kepada
kesemua kelompok kerjaya yang ada. Penyatuan guru-guru akademik dan vokasional
merupakan tunggak kepada model integrasi ini.
KESIMPULAN
Setiap negara memerlukan pekerja yang berkemahiran dan berketrampilan dalam
memastikan perkembangan ekonomi dan perindustrian sesebuah negara itu terus berkembang.
Bagi memastikan keperluan ini dapat dipenuhi sesebuah negara memerlukan sistem pendidikan
teknik dan vokasional yang tersendiri bagi mencapai matlamat mereka.
Sistem Pendidikan Aliran Vokasional (PAV) merupakan satu langkah bijak yang diambil
Kementerian Pelajaran Malaysia seawal 13 tahun untuk menyahut kepentingan bidang
vokasional ini. Sistem pendidikan teknik dan vokasional ini merupakan satu dasar kerajaan dan
mempunyai hubungkait diantara PAV dengan Sistem Vokasional sedia ada bagi pelajar tingkatan
empat dan lima dalam melahirkan tenaga mahir. Sekolah-sekolah aliran vokasional ini juga telah
dinaiktaraf kepada Kolej Vokasional (KV) yang menunjukkan langkah agresif kerajaan kearah
melahirkan tenaga mahir menempuh sasaran status Negara maju menjelang 2020.
Proses pembangunan ekonomi sesebuah negara berkait rapat dengan pembangunan
sumber manusia yang mampu dilaksanakan negara tersebut. Memandangkan negara kita sedang
menumpukan pembangunan ekonomi yang berteraskan industri dan teknologi, maka, adalah
sudah barang tentu harapan yang tinggi diletakkan terhadap peranan bidang pendidikan teknik
dan vokasional. Keupayaan sistem pendidikan teknik dan vokasional ini untuk dilaksanakan
dengan jayanya akan menentukan nasib masa depan wawasan negara bagi mencapai sebuah
negara maju. Dalam usaha untuk menyusun suatu kurikulum yang komprehensif bagi program
latihan dan pendidikan bidang ini sejajar dengan saranan Kementerian Pendidikan Malaysia
menjelang tahun 2015, 10% pelajar di Malaysia memilih laluan vokasional manakala 20%
pelajar memilih lauan Vokasional menjelang tahun 2020 sempena Malaysia melangkah ke status
Negara maju.
Maka kerjasama yang erat adalah perlu diwujudkan secara ikhlas serta konsisten di antara
kerajaan dan swasta. Ini adalah perlu bagi memastikan lulusan pendidikan teknik dan vokasional
berupaya mengikuti perubahan teknologi dan memenuhi keperluan pasaran kerja semasa. Oleh
itu, kerjasama semua pihak adalah diharapkan bagi merealisasikan cita-cita negara kita ke arah
menjadi sebuah negara yang setanding dengan negara-negara maju yang lain.
BIBLIOGRAFI
Lankard, Bettina A. 1992. Integrating Academic and Vocational Education : Strategies For
Implementation. Columbus Ohio. U.S
Emery J. Hyslop-Margison. 2000. An Assessment Of The Historical Arguments In Vocational
Education Reform. Simon Fraser University.
Karen Levesque, Mark Premo, Robert Vergun.1995. Vocatioanal Education In The United
States : The Early 1990s. U.S Department Of Education Office Of Education Research
And Improvement. U.S
Patrick N. Foster. 1997. Lessons From History : Industrial Art / Technology Education As a
Case. University Of Missoury – Columbia. U.S
Sonia Jurich. 2000. Vocational And Technical Education, The “ A merican Way”. Knowledge
Enterprise, Inc.
Prof. I. Smirnov. 1999. The Role Of Technical And Vocational Education In the Education
System Of The Russian Federation. UNESCO.
Benson, Charles S. 1997. “New Vocationalism In The United States : Potential Problem And
Outlook “ Economics Of Education Review. U.S
Gordon, Howard R. D. Daggett, Willard R. 2002. Vocational And Technical Education.
Encyclopedia of Education. U.S
Muhammad Fathi Yusoff (2006), Soal jawab Undang-undang Kontrak, ms 75
S. Anand Kumar (2012), Syarikat Wajar Sertai SLDN, Berita Harian 3/10/2012
http://www.slideshare.net/nayiza/konsep-dan-definisi-kurikulum, page 1
http://www.bptv.edu.my/v4/index.php/transformasi-pendidikan-vokasional
http://www.dsd.gov.my/index.php/ms/profil/bahagian3/bahagian-national-occupational-skills-
standard-noss
Kertas Kerja Pengurusan Sumber Manusia (Mtt 2703) Akta Dan Undang-Undang Pekerjaan Di
Malaysia, Http://Sarjana.Tripod.Com/Undang1.Html
Lapan Firma Automobil ambil pelatih Kolej Vokasional(2013).
http://www.bharian.com.my/
bharian/articles/LapanfirmaautomobilambilpelatihKolejVokasional/Article/index_html