Post on 07-Feb-2018
1
TAWAF DAN PERMASALAHANNYA
Tawaf merupakan salah satu daripada rukun-rukun haji dan umrah. Dalam
bab Haji dan Umrah, istilah rukun merujuk kepada amalan yang wajib
dilakukan ketika mengerjakan haji dan umrah. Jika ia tidak dilakukan, haji dan
umrah menjadi tidak sah. Tawaf merupakan salah satu daripada kerja-kerja
haji dan umrah yang wajib dilakukan sendiri oleh jemaah. Tidak sah
mewakilkan orang lain melakukan tawaf bagi pihak dirinya. Jika uzur, jemaah
boleh tawaf dengan menaiki kereta sorong. Bakal haji hendaklah mengetahui
dengan baik perkara-perkara yang berkaitan dengan syarat-syarat tawaf dan
sunat-sunatnya supaya mereka dapat melakukan tawaf dengan sempurna.
Jenis-jenis tawaf
Terdapat lapan jenis tawaf : 1- Tawaf Haji (Ifadah), 2- Tawaf Umrah, 3-
Tawaf Qudum, 4- Tawaf Tahiyyatul Bait, 5- Tawaf Tahallul, 6- Tawaf Wada’,
7- Tawaf Nazar, 8- Tawaf Sunat.
Syarat-syarat tawaf
1- Suci daripada hadas besar dan kecil.
Sebelum melakukan tawaf, jemaah hendaklah mengambil wuduk dengan
sempurna. Jika berlaku persentuhan kulit ketika tawaf dengan lelaki/wanita
ajnabi (asing), jemaah hendaklah berpegang dengan satu pendapat dalam
Mazhab Syafie yang mengatakan tidak batal wuduk jika berlaku persentuhan
kulit dengan lelaki/wanita ajnabi melainkan jika ia berlaku dengan sengaja
dan timbulnya syahwat. Bagi pasangan suami isteri yang tawaf bersama
sambil berpegangan tangan dengan berlapik adalah sah tawaf mereka. Jika
timbulnya syahwat, tawaf tersebut masih lagi sah melainkan apabila keluar air
mazi kerana ianya membatalkan wuduk. Bagi wanita yang berada dalam
keadaan haid, dia hendaklah menunggu sehingga haidnya kering. Apabila
haidnya kering, hendaklah dia mandi wajib dan mengambil wuduk, maka
2
bolehlah dia melakukan tawaf. Bagi jemaah yang selalu berhadath atau
sentiasa berada dalam keadaan kotor seperti mengidap penyakit kencing
yang sentiasa menitis atau istihadah, sebelum melakukan tawaf hendaklah
membersihkan kotoran. Kemudian membalut tempat berkenaan dengan
kemas, seterusnya berwuduk dan segera melakukan tawaf. Kadar segera
yang dimaksudkan ini tidak termasuk persediaan untuk menutup aurat dan
perjalanan ke masjid. Tetapi bukan kerana makan, berbual dan
seumpamanya. Cara berniat ketika mengambil wuduk bagi kes sebegini
adalah seperti berikut : "Sahaja aku berwuduk untuk mengharuskan tawaf".
2- Suci daripada najis pada pakaian, badan dan tempat tawaf.
Jemaah hendaklah mempastikan, pakaian dan badannya suci daripada najis.
Jika jemaah terpijak tahi burung yang terdapat di kawasan tawaf, maka ianya
dimaafkan dengan syarat tahi burung itu kering dan ianya berlaku tanpa
disengajakan.
3- Menutup aurat sebagaimana di dalam solat.
Semasa tawaf, aurat hendaklah sentiasa ditutup. Bagi lelaki, sekurang-
kurangnya antara pusat dan lutut. Bagi wanita pula seluruh tubuh badannya
kecuali muka dan tapak tangan. Jika aurat terbuka semasa tawaf, jemaah
hendaklah menutupnya dengan segera. Tawaf tidak batal kerana ianya tidak
disengajakan dan segera ditutup. Bagi wanita yang tawaf dengan menaiki
kereta sorong, hendaklah berhati-hati supaya kainya tidak terselak sehingga
menampakkan betisnya.
4- Tawaf hendaklah dimulakan dan disudahi pada sudut Hajarul Aswad.
Jemaah hendaklah memulakan tawafnya pada sudut Hajarul Aswad. Apabila
jemaah menghampiri untuk memasuki ke dalam kawasan penjuru Hajarul
Aswad, maka hendaklah berniat tawaf jika tawaf tersebut selain tawaf haji
(ifadah), umrah dan qudum. Bagi tiga jenis tawaf ini, hukum berniat sebelum
memulakan tawaf adalah sunat.
3
5- Sewaktu berjalan melakukan tawaf, bangunan Kaabah hendaklah sentiasa
berada di sebelah kiri bahu.
Jika jemaah ditolak akibat kesesakan ketika tawaf sehingga bahunya
terpesong sedikit daripada bangunan Kaabah, maka hendaklah segera
membetulkan segera bahunya itu menghala ke arah bangunan Kaabah. Bagi
jemaah uzur yang tawaf di tingkat atas Masjidil Haram dengan berkereta
sorong secara berupah, waris jemaah tersebut dinasihatkan hadir bersama-
samanya untuk mempastikan syarat mengirikan Kaabah ini dilaksanakan
dengan sempurna oleh orang yang mengambil upah menyorong itu.
6- Berjalan itu dengan tujuan tawaf.
Sepanjang berjalan melakukan tawaf, jemaah hendaklah mengekalkan niat
perjalanannya itu adalah semata-mata kerana tawaf. Terdapat kes jemaah
yang terpisah daripada kumpulannya atau pasangannya, lalu dia berjalan
selepas itu bertujuan semata-mata untuk mencari kumpulannya atau
pasangannya, maka batallah pusingan itu sahaja bukannya semua pusingan.
Jika niat tawafnya masih ada tetapi dalam masa yang sama dia tawaf sambil
mencari rakan-rakan sekumpulannya atau pasangannya, maka pusingan
tawaf tersebut tidak batal.
7- Cukup tujuh keliling dengan yakin.
Jika jemaah ragu-ragu ketika tawaf pada menentukan bilangan pusingan
tawaf, maka hendaklah mengambil jumlah yang terkecil. Contohnya, jika
jemaah ragu-ragu antara 6 atau 7 pusingan, maka dikira masih 6 pusingan.
Jemaah tersebut hendaklah mencukupkan satu lagi pusingan. Jikalau tawaf
dilakukan secara berkumpulan, jemaah hendaklah memakai keyakinan pada
diri sendiri dalam menentukan jumlah pusingan tawaf, walaupun bercanggah
dengan pendapat rakan sekumpulan. Jikalau ragu-ragu berlaku selepas
selesai tawaf, maka ianya tidak memberi mudarat.
8- Tawaf itu hendaklah dilakukan di dalam Masjidil Haram dan di luar
daripada bahagian Kaabah seperti Hijir Ismail dan Syazarawan.
4
Semasa tawaf, jemaah tidak boleh menyentuh bangunan Kaabah,
kelambunya, Hijir Ismail dan Syazarawan. Begitu juga jemaah tidak boleh
memasuki ke dalam Hijir Ismail ketika tawaf. Bagi jemaah yang tersentuh
perkara-perkara tersebut hendaklah mengulangi pusingan tawaf yang terbatal
itu sahaja. Tetapi tidak mengapa tawaf melalui ruangan antara Maqam
Ibrahim dan bangunan Kaabah.
Sunat-sunat tawaf
1- Tawaf dengan berjalan kaki tanpa memakai alas kaki serta memendekkan
langkah.
Bagi jemaah yang sihat, harus tawaf dengan berkereta sorong tetapi makruh
hukumnya.
2- Beridtiba’, iaitu memakai kain ihram dalam keadaan menutup bahu kiri dan
membuka bahu sebelah kanan bagi lelaki sepanjang tujuh tawaf.
Beridtiba' ini sunat dilakukan pada tawaf yang diiringi selepas itu dengan saie
seperti pada tawaf umrah, tawaf qudum bagi jemaah haji ifrad atau qiran
yang berhasrat melakukan saie haji selepas melakukan tawaf qudum itu, dan
pada tawaf haji (ifadah) bagi yang akan melakukan saie haji selepas itu
(terutamanya jemaah haji tamattu') dan dia ketika itu dalam keadaan
memakai pakaian ihram.
3- Berlari-lari anak bagi lelaki pada pusingan 1, 2 dan 3. Manakala pada
pusingan ke 4 hingga 7, jemaah lelaki hendaklah berjalan macam biasa.
Berlari-lari anak ini juga dilakukan pada tawaf yang diiringi selepas itu dengan
saie seperti pada tawaf umrah, tawaf qudum bagi jemaah haji ifrad atau qiran
yang berhasrat melakukan saie haji selepas melakukan tawaf qudum itu, dan
pada tawaf haji (ifadah) bagi yang akan melakukan saie haji selepas itu
(terutamanya jemaah haji tamattu').
5
4- Tawaf berhampiran dengan bangunan Kaabah bagi lelaki, melainkan jika
tidak dapat melakukan perbuatan berlari-lari anak. Maka dalam keadaan ini,
hendaklah tawaf berjauhan sedikit daripada bangunan Kaabah. Bagi wanita
adalah afdal bagi mereka tawaf berjauhan daripada bangunan Kaabah.
5- Melakukan istilam (sentuh) Hajarul Aswad kemudian mengucupnya,
meletakkan dahi atasnya dan mengucup tangannya selepas itu. Jika tak
mampu berbuat demikian terutamanya ketika kesesakan pada tempat tawaf,
jemaah hanya disunatkan mengisyaratkan dengan tangan kanan dari jauh
sambil menyebut Bismillah Allahu Akbar kemudian mengucup tapak tangan
tersebut tanpa membunyikan suara. Begitu juga sunat istilam (sentuh) Rukun
Yamani dan mengucup tangannya selepas itu. Jika tidak mampu, disunatkan
isyarat dengan tangan kanan dari jauh sambil menyebut Bismillah Allahu
Akbar dan mengucup kucup tapak tangan tersebut tanpa membunyikan
suara. Namun begitu, pada kedua-dua tempat ini, jemaah hanya dinasihatkan
melakukan isyarat sahaja dan mengucup tapak tangannya itu. Jika jemaah
tetap mahu mengucup Hajarul Aswad, dinasihatkan melakukannya di luar
masa tawaf. Ini kerana cara yang betul untuk mengucup Hajarul Aswad dan
istilam Rukun Yamani semasa tawaf tidak dapat dilaksanakan terutamanya
pada musim haji. Jikalau Hajarul Aswad dilumur dengan minyak wangi, maka
haram mengucupnya dan menyentuhnya bagi jemaah yang berada di dalam
ihram.
6- Membaca doa dan wirid serta menghadirkan hati.
Jika tidak dapat membaca atau menghafal doa-doa atau wirid-wirid yang
tertentu semasa tawaf, maka bacalah ayat-ayat al-Quran, zikir-zikir atau doa-
doa yang lain. Jika semua perkara tersebut tidak dapat dilakukan, maka
tawaflah tanpa apa-apa doa dan wirid. Doa dan wirid ini sunat dibaca dengan
perlahan kerana cara bacaan sebegini sangat membantu menghadirkan
kekhusyukan semasa tawaf.
7- Berturut-turut (muawalat) pada tujuh pusingan tawaf tersebut.
6
Jikalau batal wuduk semasa tawaf, jemaah hendaklah berwuduk semula dan
menyambung semula pusingan tawaf tersebut pada tempat dia berhenti tadi.
Namun begitu, yang afdalnya dia menyambung semula pusingan tersebut
pada penjuru Hajarul Aswad. Cara ini juga hendaklah digunapakai bagi
jemaah yang berhenti rehat semasa tawaf kerana kepenatan.
8- Tawaf dengan tawaduk dan khusyuk.
Jangan bercakap-cakap ketika tawaf melainkan dalam keadaan yang sangat
memerlukan. Elakkan daripada menyakiti orang lain dengan tolak-menolak
ketika tawaf. Makan dan minum ketika tawaf makruh hukumnya.
9- Melakukan solat sunat dua rakaat setelah selesai tawaf di belakang Maqam
Ibrahim. Pada rakaat pertama, selepas membaca al-Fatihah, baca surah al-
Kafirun. Pada rakaat kedua, selepas membaca al-Fatihah, baca surah al-
Ikhlas. Semasa melakukan solat sunat tawaf, jemaah lelaki hendaklah
menutup semula bahu kanannya kerana idtiba’ ketika menunaikan solat sunat
tawaf adalah makruh hukumnya. Pada musim haji, jemaah tidak dapat
melakukan solat ini berhampiran dengan Maqam Ibrahim kerana kawasan
belakangnya dilalui oleh orang-orang yang sedang bertawaf. Oleh itu, jemaah
hendaklah mengundur ke belakang walaupun sampai ke pinggir kawasan
tawaf. Jika kawasan tawaf dipenuhi dengan orang-orang yang bertawaf,
maka naiklah ke dalam masjid. Selepas menunaikan solat sunat ihram,
berdoalah di belakang Maqam Ibrahim dan juga di Multazam iaitu satu
kawasan antara Hajarul Aswad dan Pintu Kaabah. Seterusnya sunat minum
air zamzam sepuas-puasnya dan membaca doanya.
7
Pelbagai isu tawaf
1- Melakukan tawaf qudum bagi jemaah yang melakukan haji ifrad atau qiran
adalah sunat. Mereka diharuskan melakukan tawaf qudum selama mana
mereka masih belum lagi berwukuf. Selepas melakukan tawaf qudum,
diharuskan bagi mereka melakukan saie haji. Jika tawaf qudum tidak
dilakukan sehinggalah mereka berwukuf, maka saie haji tersebut wajib
dilakukan selepas mereka melakukan tawaf haji (ifadah).
2- Sah tawaf bagi jemaah yang uzur dengan menaiki kereta sorong dengan
mengikuti syarat-syarat tawaf. Begitu juga sah tawaf bagi yang menyorong
kereta sorong tersebut dalam masa yang sama. Tetapi tidak sah tawaf bagi
jemaah yang bertawaf serentak dengan anak kecil yang didukungnya. Maka
dia hendaklah melakukan tawaf secara berasingan seperti meniatkan tawaf
untuk anaknya terlebih dahulu. Lalu dilakukan tawaf untuk anaknya dengan
didukung. Kemudiannya dia melakukan tawaf untuk dirinya sendiri pula.
3- Terdapat jemaah uzur yang mengerjakan haji dalam keadaan gangguan
fikiran. Kadang-kadang sedar dan dalam masa yang lain tidak sedar pula.
Maka hukum tawaf bagi jemaah ini dikira sah jika ia dilakukan dalam keadaan
sedar.
4- Dalam keadaan yang lain pula, terdapat jemaah yang tawaf secara
bersorong tertidur semasa tawaf. Berhubung dengan wuduk jemaah ini, ia
dikira tidak batal jika ia tidur dalam keadaan tetap papan punggung. Bagi
bilangan tawaf pula, orang yang menyorong disyorkan memaklumkan kepada
jemaah yang disorongnya itu setiap kali sampai ke kawasan penamat tawaf.
Ini adalah untuk memastikan dia menyakini tawafnya cukup tujuh pusingan
walaupun semasa dalam perjalanan menuju ke tempat tamat pusingan tawaf
dia dalam keadaan tertidur.
5- Bagi jemaah yang berulang alik antara penginapannya dengan Masjid
Haram Makkah, mereka mempunyai pilihan sama ada melakukan solat
8
tahiyyatul masjid atau tawaf tahiyyatul bait ketika masuk ke dalamnya. Jika
dia mahu melakukan tawaf tahiyyatul bait, maka afdalnya dia berbuat
demikian. Sekiranya dia melakukan solat sunat tawaf selepas itu, dia turut
mendapat pahala sunat solat tahiyyatul masjid. Jika dia tidak mahu
melakukan tawaf tahiyyatul bait, maka lakukanlah solat sunat tahiyyatul
masjid.
6- Kadang-kadang ketika melakukan tawaf, muazzin menyeru untuk
ditunaikan solat jenazah. Maka dalam masalah ini, adalah afdal jemaah
meneruskan tawaf jika tawafnya itu tawaf wajib. Jika tawafnya itu tawaf
sunat, adalah afdal dia turut sama menunaikan solat jenazah.
7- Dalam keadaan tertentu, terdapat jemaah wanita yang melaksanakan
tawaf sunat. Belum cukup tujuh pusingan, beliau kedatangan haid dan tidak
sempat melengkapkan tujuh pusingan kerana pulang ke Malaysia. Bagi kes
ini, jemaah tersebut tidak perlu melengkapkan pusingan tawaf dan boleh
pulang ke tanah air tanpa terikat dengan apa-apa hukum kerana ia adalah
tawaf sunat. Ini juga terpakai bagi jemaah haji lelaki yang mengerjakan tawaf
sunat dan tidak sempat menyempurnakan pusingan kerana terpaksa pulang
ke Malaysia.
8- Pada masa kini, terdapat program ziarah ke bandar Jeddah termasuk
Masjid Terapung di tepi Laut Merah. Bagi jemaah yang mahu mengikuti
program ziarah ini, diwajibkan ke atas mereka melakukan tawaf wadak
sebelum memulakan program ziarah ini kerana jarak perjalanan adalah lebih
daripada dua marhalah iaitu 104km.
9- Sebelum jemaah keluar daripada Tanah Haram Makkah selepas selesai
kerja-kerja haji, wajib mereka melakukan tawaf wadak melainkan bagi orang-
9
orang yang dikecualikan seperti wanita yang sedang berhaid. Tawaf wadak ini
dilakukan setelah semua urusan sudah diselesaikan. Waktu melakukan tawaf
wadak adalah seperti berikut :
i- Hari Jumaat (bagi bas yg akan bertolak antara pukul 2 hingga 3 petang)
Uruf selepas tawaf wadak ialah 4-5 jam. Contohnya, jadual bertolak keluar
dari Makkah pada pukul 2 atau 3 petang, maka jemaah dibolehkan
melakukan tawaf wadak pada pukul 10 pagi.
ii- Hari Sabtu hingga Khamis dan Jumaat (bagi bas yg bertolak selain waktu di
atas)
Uruf selepas tawaf wadak ialah 2-3 jam. Contohnya, jadual bertolak keluar
dari Makkah pada pukul 6 petang, maka jemaah dibolehkan melakukan tawaf
wadak pukul 3 petang.
Sebaik sahaja melakukan tawaf wadak, jemaah terus meninggalkan Makkah
kecuali jika ada hajat-hajat yang tertentu. Antara hajat-hajat yang boleh
dilakukan selepas tawaf wadak adalah seperti berikut :
a- Sejurus selepas tawaf wadak :
i- Menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa selepasnya.
ii- Berdoa di Multazam.
iii- Minum air zamzam dan berdoa.
iv- Mengucup Hajarul Aswad jika berkesempatan dan suasana mengizinkan.
v- Menunaikan solat jika bilal telah melaungkan iqamat, atau bilal sedang
melaungkan azan sedangkan ia telah berusaha untuk keluar setelah
melaksanakan tawaf wadak tetapi tidak sempat juga keluar dari Masjidil
Haram dan kawasan sekitarnya yang bersambung saf kerana kesesakan yang
amat ketara lalu iqamat dilaungkan.
10
b- Selepas tawaf (di maktab/penginapan)
i- Makan dan minum sekadar keperluan dalam bilik penginapan di hotel
(maktab).
ii- Qada hajat dalam tandas bilik penginapan, mandi, menukar pakaian
iii- Mengambil beg atau barang yang diletakkan/ditinggalkan dalam bilik
penginapan
iv- Mencari isteri, saudara, waris, rakan yang hilang
v- Mengangkat barang-barang yang hendak dibawa bersama.
vi- Melawat isteri, saudara, waris, rakan yang sakit di hospital/klinik/maktab
(bagi kes kecemasan dan hajat)
vii- Sebarang urusan yg berkaitan dengan perjalanan sama ada ke Jeddah
atau Madinah seperti membeli makanan atau minuman untuk kegunaan
dalam perjalanan dan sebagainya.
viii- Menunggu kenderaan yang lewat tiba kerana kesesakan dan sebagainya
viiii- Mengambil gambar semasa menunggu bas
Bagi wanita yang kedatangan haid, sunat baginya untuk meninggalkan kota
Makkah pergi ke hadapan pintu Masjidil Haram, memandang Kaabah (jika
mampu) dan melambai-lambai tangan dengan perasaan yang sayu.
Inilah sebahagian besar permasalahan-permasalahan yang berkaitan dengan
tawaf yang yang perlu diketahui oleh bakal haji supaya mereka dapat
melakukan tawaf tersebut dengan sempurna.
Penulis : Ustaz Jamalluddin bin Hashim
Pembimbing Ibadat Haji Terengganu