Post on 12-Jan-2016
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
PENGENALAN
Pendidikan Kesusasteraan Melayu selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan
Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi, dan jasmani. Menyedari bahawa kesusasteraan ialah cerminan masyarakat
dan budaya, maka kesusasteraan sangat penting dipelajari oleh semua pelajar. Dengan ini,
pelajar dapat memahami manusia dan kemanusiaan melalui apresiasi karya kesusasteraan
Melayu. Selain itu, pendidikan Kesusasteraan Melayu berupaya mengukuhkan
penguasaan Bahasa Melayu di kalangan pelajar dan merealisasikan pengetahuan
kesusasteraan dalam bidang kerjaya. Pendidikan Kesusasteraan Melayu juga bertujuan
untuk mendidik pelajar agar dapat menikmati kehalusan dan keindahan karya sastera
Melayu. Oleh itu, Kesusasteraan Melayu harus menjadi landasan ke arah melahirkan Mata
Pelajaran Kesusasteraan Melayu Dalam Kerjaya untuk melatih pelajar dalam pelbagai
bidang kerjaya yang berkaitan seperti kewartawanan, penyiaran, dan pengkaryaan seni.
Keberkesanan pelaksanaan Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu ini berkait rapat dengan guru yang mengajarkan mata pelajaran Bahasa
Melayu itu sendiri. Guru-guru perlu memahami konsep Komponen Kesusasteraan Melayu
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu itu terlebih dahulu. Ini penting supaya guru-guru
dapat mentafsir sukatan pelajaran dengan tepat dan seterusnya pengajaran yang betul.
Kesusasteraan Melayu dalam konteks pendidikan ialah karya asal yang tertulis dalam
bahasa Melayu berunsurkan keindahan dan kehalusan, sama ada berbentuk novel, cerpen,
drama, sajak, prosa tradisional atau puisi tradisional bagi mengimbangi perkembangan
intelek, rohani, emosi, dan jasmani di samping memaparkan nilai kemanusiaan, dan citra
masyarakat.
1
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
Pembelajaran Kesusasteraan Melayu di peringkat menengah bertujuan untuk memberikan
pengetahuan kepada pelajar tentang unsur-unsur kesusasteraan dan nilai-nilai murni agar
mereka dapat menghayati dan menghargai bahasa, kesusasteraan dan nilai masyarakat
Melayu. Melalui bahan sastera dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan,
para pelajar akan dididik untuk berfikir secara analitis, kritis dan kreatif. Selanjutnya
diharapkan mereka akan mampu meningkatkan keupayaan berbahasa dan membina
kepekaan estetik apabila membaca dan mengkaji hasil sastera Melayu.
CERPEN
Cerpen atau cerita pendek merupakan suatu bentuk prosa naratif. Cerita pendek bermula
daripada pencerita lisan kisah-kisah terkenal. Sebelum wujudnya istilah ‘cerpen’, istilah
umum yang digunakan ialah ‘cerita rakyat’ atau ‘fabel’. Cerita rakyat mengandungi
panduan moral yang ditujukan kepada masyarakat. Cerpen mengandungi kisah yang padat
yang menjurus kepada tema yang berbeza daripada karya fiksyen yang lain. Cerita pendek
model muncul sebagai genrenya sendiri pada awal abad ke-19.
Cerpen biasanya memusatkan perhatian pada satu kejadian atau peristiwa, mempunyai
satu plot, satu latar, jumlah watak yang terhad dan mencakupi jangka waktu yang singkat.
Kebanyakan cerpen diakhiri dengan mendadak dan kesudahan yang terbuka yang
menghendaki pembaca sendiri membuat kesimpulannya. Pesanan moral dan pengajaran
juga diselitkan ke dalam cerita oleh pengarangnya.
Istilah cerpen umumnya merujuk kepada karya fiksyen yang panjangnya tidak lebih
daripada 20 000 patah perkataan dan tidak kurang daripada 1000 patah perkataan. Cerpen
menjadi popular dalam kesusasteraan Melayu kerana ia diterbitkan dalam akhbar dan
majalah yang lebih luas penyebarannya. Cerpen Melayu zaman awal berkembang selaras
dengan kegiatan persuratkhabaran Melayu.
2
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
SINOPSIS CERPEN ANAK BUMI TERCINTA
Cerpen Anak Bumi Tercinta, karya Fatimah Busu ini memaparkan kisah kehidupan sebuah
keluarga di kampung yang menitikberatkan suasana kehidupan ala kadar yang berakhir
dengan satu tragedi. Matain ialah budak lelaki yang masih kecil yang dilahirkan dalam
kehidupan keluarga yang agak susah.
Ayah Matain, Pak Cik Amat bekerja sebagai tukang rumah, manakala ibunya, Mak Cik
Esah menanam sayur-sayuran. Matain mempunyai seorang abang dan dua orang kakak,
Matain anak bongsu. Abangnya bernama Jali dan kakaknya ialah Jarah dan Sitiawa. Jarah
dan Sitiawa masih bersekolah, manakala Jali sudah bekerja. Matain suka bergaduh dengan
kakaknya, Sitiawa. Kak Jarah sangat sayang kepada Matain dan selalu membelanya.
Walaupun Matain masih kecil dan belum bersekolah, namun dia rajin. Setiap hari Matain
akan mengikut ibunya ke kebun sayur.
Kejadian ini bermula pada satu tengah hari yang panas dan kering, Matain mengikut
ibunya ke kebun terung. Sitiawa ikut ke kebun terung selepas pulang dari sekolah. Sitiawa
mengusik Matain yang kononnya tidak boleh makan gulai ikan keli. Hal ini membuat
Matain naik radang lalu dia membaling tanah ke muka Sitiawa yang menyebabkan mulut
kakaknya itu berdarah. Matain teruk dimarahi ibunya dan ibunya menampar belakang
badannya. Matain merajuk lalu terus pulang ke rumahnya.
Kesedihan Matain reda apabila bertemu dengan Kak Jarah. Matain tahu Kak Jarah sayang
akan dirinya lalu dia berasa gembira semula. Sekembalinya Sitiawa dari kebun terung, dia
berkelahi lagi dengan Matain. Ini menyebabkan Matain mengucapkan kata-kata kesat.
Apabila ibu mendengar akan ucapan kata-kata kesat Matain itu, sekali lagi ibu
memarahinya. Matain menyangka ibunya tidak menyayanginya lagi lalu merajuk dan
keluar dari rumah.
3
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
Dia berusaha mengambil air dari telaga dengan timba untuk menyiram anak pokok terung.
Saat Matain jatuh ke dalam telaga, ibunya, kak Jarah serta Sitiawa tak sedar. Ibunya
menyangka hanya timba yang jatuh ke dalam telaga. Matain telah terjatuh ke dalam
telaga. Suasana menjadi pilu apabila Matain tidak dapat diselamatkan lagi. Kepulangan
ayah dan abang Jali dari kerja disambut bau kemenyan kerana Matain sudah tidak ada
lagi.
ULASAN PENGAJARAN DALAM CERPEN ANAK BUMI TERCINTA
Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran komponen Kesusasteraan Melayu dalam
mata pelajaran Bahasa Melayu, penekanan terhadap nilai murni dan pengajaran lebih
ditumpukan kepada karya sastera mengikut kesesuaian, keperluan dan kaitannya dengan
cerita atau peristiwa serta watak dan perwatakan yang mengandungi nilai kemanusiaan,
kemasyarakatan dan pengajaran yang boleh dijadikan pedoman.
Pengajaran bermaksud peringatan atau pedoman yang cuba dipaparkan oleh pengarang
kepada pembaca. Kebiasaannya, pengarang menulis perkara yang baik untuk dijadikan
teladan, manakala yang buruk atau negatif sebagai sempadan atau teladan. Setiap
peristiwa mengandungi pengajaran yang dapat dicontohi oleh pembaca.
Cerpen Anak Bumi Tercinta ini sesuai dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran
dalam KOMSAS kerana cerpen ini memaparkan realiti dalam kehidupan seharian
masyarakat kampung dan manusia biasa. Lantas cerpen ini dijadikan sebagai wadah dan
penggantara dalam penerapan nilai-nilai murni dan pengajaran dalam diri pelajar.
Terdapat pelbagai nilai dan pengajaran yang boleh dijadikan contoh ikutan dan teladan
kepada pelajar.
4
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
Pengajaran dalam cerpen ini dapat dinyatakan melalui peristiwa-peristiwa yang
dipaparkan dalam cerpen ini.Terdapat beberapa pengajaran yang cukup bernilai telah
diutarakan oleh Fatimah Busu dalam cerpennya.Antara pengajaran yang boleh diteladani
oleh pembaca mahupun para pelajar adalah seperti :
a) Ibubapa seharusnya memberikan kasih sayang yang sama adil kepada anak-
anak mereka.
Tidak dapat dinafikan bahawa punca kepada tragedi yang berlaku ke atas Matain adalah
dari rasa kecil hati atau tidak puas hati beliau terhadap layanan ibunya kepada beliau.
Matain merasakan ibunya lebih menyayangi kakaknya Sitiawa. Ini jelas dipaparkan
melalui dialog antara Matain, emaknya dan Sitiawa ketika mereka berada di kebun terung,
“Awa tindih tudung periuk gulai ikan keli dengan alu lesung.
Ikan goreng Awa bubuh dalam almari”
“Awa makan gulai ikan keli! Mak tak beri pada Tain!”
(halaman 126)
Hasil dari situasi ini Matain telah menunjukkan sikap meradangnya apatah lagi bila beliau
diejek oleh kakaknya Sitiawa, menyebabkan beliau membaling seketul tanah kepada
kakaknya yang terkena mulut lalu berdarah. Lanjutan dari ini juga Matain kena
penampang di belakang badan dan dimarahi oleh ibunya.
‘Bedebak! Tapak tangan emak menampang belakang Matain.’
“Tidak boleh duduk dekat.Kalau duduk dekat hendak mengkerekah
saja kerjanya.”
(halaman 127)
Peristiwa ini telah menguatkan lagi tanggapan Matain bahawa emaknya sememangnya
lebih sayang kepada Sitiawa. Ini dapat kita lihat dalam dialog antara Matain dan kakaknya
iaitu ketika ia dimandikan oleh Jarah. Matain mengadu kepada Jarah mengatakan
emaknya lebih sayang kepada Sitiawa,
5
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
“Tadi Awa makan gulai ikan keli.Mak tidak bagi pada Tain.Mak sayangkan
Awa.Tadi mak pukul Tain.”
(halaman 131)
Matain merasakan emaknya tidak tidak sayang kepada beliau malah bukan setakat itu saja
matain juga merasakan emaknya tidak berlaku adil terhadapnya. Ini jelas dipaparkan oleh
penulis ketika Matain bermonolog bila melihat para di batas-batas terungnya baru
setengah dipasang oleh emaknya.
Ah, tidak adil betul!
(halaman 132 baris 23)
Persoalan kasih sayang boleh menjadi pengajaran kepada kita semua. Sebagai ibu bapa
kita seharusnya bersikap adil dan saksama dalam memberikan kasih sayang kepada anak-
anak lebih-lebih lagi kepada anak yang kecil. Meraka ini merupakan golongan yang
mudah terasa dengan segala tidak tanduk kita orang dewasa.
b) Kita harus bersatu dan berbaik-baik sesama adik-beradik.
Dalam cerpen Anak Bumi Tercinta Fatimah Busu memperlihatkan keupayaan beliau
menggarap satu pengajaran untuk pembaca dan amat bertepatanlah jika cerpen ini
dijadikan satu dari komponen komsas di peringkat sekolah menengah. Bentuk pengajaran
yang dimaksudkan adalah berkenaan dengan kehidupan sebagai adik-beradik mestilah
bersatu dan berbaik-baik sesama sendiri. Situasi yang menunjukkan ketidaksepakatan
adik-beradik itu dipaparkan semasa Sitiawa menunjuk-nunjukkan kepala ikan goreng
kepada Matain yang seterusnya disambar oleh Matain. Sitiawa marah kepada matain,
”Wuuu laa! Jahat! Selalu rebut hak orang! Jahat!”
(halaman 126)
6
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
Dalam situasi lain pula Sitiawa mengejek Matain kerana adiknya itu tidak dapat makan
iakan keli gulai;
”Padan muka kamu! Wuuuu la, aku dapat makan ikan gulai.
Kamu tidak dapat makan! Padan muka! Padan muka!
(halaman 127)
Fatimah Busu juga memperlihatkan kepada kita jika hidup tidak bersatu sesama adik-
beradik maka banyak masalah yang timbul. Penulis menunjukan akibat dari berkelahi
dan tidak bersatu boleh membawa kepada kecederaan .Contohnya mulut Sitiawa berdarah
kerana dibaling dengan tanah oleh Matain. Manakala Matain pula diberi penampang dan
dimarahi oleh emaknya kerana berkelahi dengan Sitiawa. Ini dapat kita lihat dari dailog
berikut,
”Tidak boleh duduk dekat. Kalau duduk dekat hendak mengkerekah saja
kerjanya.”
(halaman 127)
Cerpen ini juga memaparkan akibat dari pertelingkahan yang berlaku akan menyebabkan
salah seorang dari kita akan berdendam atau menyimpan dendam dihati. Dendam adalah
sesuatu yang tidak baik apatah lagi jika berdendam sesama adik-beradik. Dalam kes ini
kita dapati penulis telah menunjukkan yang Sitiawa ada menyimpan dendam terhadap
adiknya Matain. Situasi ini dapat kita lihat ketika Sitiawa dimarahi oleh kakaknya Jarah
dan matain mengejeknya;
”Wuuuuu laaaa! Awa kena marah! Padan muka Awa kena Marah! Tidak
malu kena marah!!!”
”Matain melonjak di tanah dekat jemuran dapur. Sitiawa masuk ke dalam
bilik. Nanti kalau Matain masih lagi di tanah waktu dia akan turun ke telaga,
7
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
dia akan hambat Matain sampai terberak. Panas hati betul
dengan kejahatan Matai ini!’
(halaman 132)
Dalam cerpen ini juga penulis ada memberi contoh teladan yang baik yang sepatutnya ada
bagi setiap adik-beradik. Sikap dan contoh teladan yang baik dipaparkan melalui watak
Jarah. Beliau merupakan seorang kakak yang tahu akan tanggungjawabnya dan
mempunyai rasa kasih sayang terhadap adik-adiknya. Ini dapat dibuktikan ketikan Jarah
memandikan adiknya ditelaga. Beliau memandikan Matain dengan rasa penuh kasih
sayang sehinggakan Matain merasakan kakaknya menyayangi dia. Disamping itu Jarah
juga seorang kakak yang tahu tanggungjawabnya seperti menegur kesalahan adik-adiknya
dan mengajar Matain membaca. Contoh ini dapat kita ikuti dari dailog berikut;
” Awa yang selalu buat pasal, macam mana Tain tidak sakit hati?”
(halaman 132)
” Kamu selalu ejek Tain, kakak tahu. Kan Tain tu bodoh.Kenapa
kamu turut jadi bodoh?Kalau sakit bukan Tain, kamu sendiri.Tengok,
sekarang mulut sudah bengkak. Esok pergi ke sekolah semua orang
ketawakankamu. Balik dari sekolah bukan hendak salin baju dan mandi.
Balik dari sekolah bukan hendak salin baju dan mandi. Dengan baju sekolah
terus saja merayau sana sini. Tengok, baju itu belum ditukar lagi!”
”Matain! Kamu buat apa di tanah itu? Mari naik kakak ajar ABC.”
(halaman 132)
8
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
c) Kita patut bekerjasama membantu orang tua bekerja seperti mana yang
ditunjukkan oleh Matain dan kakak-kakaknya.
Dalam cerpen ini juga penulis mengajak pembaca untuk menunjukkan sikap prihatin
terhadap kesusahan kedua orang tua . Pengajaran ini digarapkan dengan begitu jelas oleh
penulis melalui watak Matain dan kakak-kakaknya .Kita lihat walaupun usia Matain yang
masih setahun jagung tetapi beliau begitu gigih membantu ibunya di kebun terung. Matain
membantu ibunya menyiram anak terung yang masih dalam semaian mahu pun bila anak-
anak terung itu dipindahkan ke batas-batas kekal. Kenyataan ini dapat kita buktikan
melalui dialog Matain dengan emaknya;
”Anak terung hidup segar, mak! Bagus betul! Tain mahu siram acap-acap!”
(halaman 128)
Matain juga setiap pagi membantu ibunya menyiram anak-anak terungnya dengan
mengangkut air menggunakan tin minyak kacang di samping membantu ibunya
meletakkan peneduh bagi melindungi anak-anak terung dari panas terik matahari. Ini
dapat kita buktikan dari kenyataan penulis sepertimana berikut;
’Dan apabila semua orang sudah pergi tiap-tiap pagi, Matain angkut
air dengan tin minyak kacang menyiram anak-anak terungnya.
Sitiawa hanya siram anak-anak terungnya pada waktu petang.
Waktu pagi, selalu emak tolong siramkan. Dan tiap-tiap pagi juga
Matain letak peneduh yang emak buat daripada daun medan kering
yang dikelongsongkan untuk meneduh anak-anak terung waktu tengah hari.’
(halaman 129)
Jarah iaitu kakak Matain juga merupakan seorang yang sentiasa membantu emaknya
terutama sekali dalam hal-hal menguruskan Matain. Tidak dapat dinafikan dalam keadaan
kesempitan hidup Mak Cik Esah sudah tentu tidak dapat menumpukan sepenuhnya
9
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
kepada Matain dan Sitiawa. Jadi peranan itu diambil alih oleh Jarah seperti membantu
emaknya memandikan Matain, mengajar adik-adiknya belajar dan juga membantu ibunya
di kebun terung. Keperihatinan Jarah terhadap kesusahan hidup yang dialami keluarganya
membuatkan Jarah sedar akan peranan dan tanggungjawabnya sebagai seorang anak.
Begitu juga dengan anak lelaki Mak Cik Esah iaitu Jali, yang bekerja pukul kain batik di
Penambang. Jali sebagai seorang anak lelaki bekerja pukul kain untuk membantu ayahnya
menyara mereka sekeluarga.
d) Kita harus mengamalkan sikap tolong-menolong dan semangat kejiranan yang
tinggi terutama apabila ada yang dalam kesusahan atau ditimpa musibah.
Fatimah Busu memaparkan tentang kehidupan masyarakat melayu yang hidup di
kampung yang tinggi dengan budaya hidup bermasyarakat dan tolong menolong. Mesej
yang ingin beliau sampaikan ialah tentang perlunya kita hidup tolong-menolong bila
salah seorang dari ahli masyarakat menghadapi kesusahan, pengajaran ini jelas tergarap
dalam cerpen beliau semasa keluarga Mak Cik Esah menghadapi kesusahan. Ketika mak
Cik Esah menyuruh Jarah memberitahu Pak Cik Bakar dan Pak Ngah Isa dan Mat daud
kita dapati beberapa orang penduduk masing-masing memainkan peranannya iaitu ada
yang datang dengan membawa sigai (tangga buluh) untuk membantu membawa naik
Matain dan ada yang membantu menyampaikan berita ini kepada Pak Cik Amat (ayah
Matain). Situasi ini jelas sekali ketika majid bertanyakan kepada Mak Cik Esah di
manakah Pak Cik Amat bekerja dan beliau segera bergegas ke tempat Pak Cik Amat
bekerja:
”Pak Cik Amat buat rumah di mana, Mak Cik Esah?” Majid baru
teringat kepada bapak Matain.
(halaman 138)
Penduduk kampung juga turut merasakan kesedihan yang dialami oleh Mak Cik Esah
seperti apa yang berlaku itu adalah turut sama menimpa keluarga mereka. Kita dapat
melihat situasi ini semasa Matain telah disahkan oleh Pak Cik Bakar telah meninggal.
10
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
Bukan setakat Mak Cik Esah dan Jarah saja yang menangis malah beberapa orang
perempuan yang ada di situ turut menitiskan air mata.
”Ya sudah tidak ada lagi.”
’Emak dan Jarah meraung sekuat hati.Beberapa orang perempuan juga mula
menghisap hingus masing-masing.’
(halaman 138)
Dari peristiwa yang digarapkan oleh penulis dalam cerpennya jelas sekali sikap tolong -
menolong menjadi amalan penduduk kampung dengan mendukung konsep ’berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing.’ Sikap sebegini jugalah yang perlu ada dalam diri setiap
orang lebih-lebih lagi pelajar-pelajar kita.
e) Kita hendaklah mengisi masa dengan membuat kerja yang berfaedah.
Bentuk pengajaran yang seterunya yang boleh kita dapati dari cerpen Anak Bumi Tercinta
ialah kita mesti mengisi masa terluang kita dengan melakukan kerja-kerja yang
berfaedah. Ini jelas sekali digarapkan oleh penulis tentang diri Mak Cik Esah yang tidak
boleh duduk diam. Beliau bukan sahaja tahu menjalankan tugas dan tanggungjawabnya
sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anaknya, malah beliau seorang yang tahu
menghargai masa dan mengisi masa terluang dengan aktiviti seperti berkebun terung.
Pada awal-awal pagi Mak Cik Esah menyediakan makanan untuk suaminya yang hendak
pergi berkerja dan juga kepada anak-anak yang hendak pergi belajar. Selepas suami dan
anak-anaknya pergi bekerja serta bersekolah Mak Cik Esah akan ke kebun menanam
sayur sambil menjaga ank bongsu beliau Matain.
Di satu pihak yang lain Jarah juga boleh dipuji kerana beliau merupakan seorang yang
tahu membuat kerja-kerja yang berfaedah seperti membaca buku dan mengulangkaji
pelajaran. Pendek kata beliau tidak membiarkan masa berlalu begitu saja tanpa membuat
sesuatu kerja yang berfaedah.
11
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
TEKNIK PENGAJARAN
Teknik ialah cara yang lebih khusus atau spesifik yang digunakan untuk mengajar sesuatu
kemahiran atau aspek bahasa. Ia boleh wujud dalam bentuk aktiviti, strategi atau taktik,
dan bahan atau alat yang berkaitan yang menyokongnya. Seperti kaedah, teknik
dipraktikkan di bilik darjah untuk tujuan tertentu dalam pengajaran bahasa. Teknik dicipta
untuk membantu guru menjayakan sesuatu kaedah pengajaran. (Abd. Aziz Abd. Talib
2000:29). Menurut Mengantar Simanjuntak pula (dalam buku Kamarudin Husin 1998:77),
teknik adalah satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru untuk
mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa
tertentu.
Berdasarkan beberapa pendapat di atas, bolehlah disimpulkan bahawa teknik ialah strategi
atau bagaimana sesuatu isi pelajaran itu disampaikan. Teknik boleh dilihat sebagai satu
cara khusus untuk membantu dan menjayakan sesuatu kaedah pengajaran. Melalui teknik-
teknik ini, pelajar-pelajar menerima dan mempelajari isi-isi pelajaran yang ingin
disampaikan oleh guru. Teknik yang dipilih hendaklah sejajar dengan kaedah dan
pendekatan yang digunakan serta bersesuaian dengan topik pengajaran. Teknik pengajaran
dan pembelajaran yang digunakan bertujuan menarik minat pelajar, mengekalkan
perhatian dan membangkitkan rasa ingin tahu.
TEKNIK KERUSI PANAS
Teknik kerusi panas adalah salah satu teknik pengajaran dan pembelajaran komsas.
Teknik ini sesuai bagi pengajaran prosa tradisional, novel, cerpen dan drama. Ini kerana
teknik ini mudah dan menarik minat pelajar mengikuti aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Teknik ini berpusatkan pelajar dan menggalakkan mereka menggunakan
bakat, kreativiti dan pengetahuan sedia ada dalam menjalankan aktiviti di dalam kelas.
12
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
Teknik Kerusi Panas (Hot Seating) adalah satu latihan asas penghayatan watak dan
perwatakan. Teknik ini sering digunakan dalam latihan asas teater untuk membuat
justifikasi tentang perwatakan sesuatu peranan yang akan dilakonkan. Biasanya pelakon
akan diberikan satu peranan (berdasarkan skrip atau improvisasi) dan pelakon akan cuba
mengimaginasikan gaya atau aksi watak tersebut dalam semua aspek seperti cara
bercakap, cara berjalan, pemikirannya dan seumpananya. Pelakon juga dikehendaki
mengkaji berapakah umur watak, gambaran fizikalnya dan bagaimanakah dia bertindak.
Aktiviti ini bertujuan mengenal pasti watak dalam teks sastera dan pelbagai aspek pada
diri watak.
Kerusi panas adalah kerusi yang diletakkan di hadapan kelas. Guru mengarahkan seorang
pelajar duduk di kerusi itu dan bersedia menjawab setiap soalan yang dikemukakan.
Soalan-soalan yang dikemukakan adalah berkaitan watak yang dilakonkan dalam cerita
daripada teks komsas.
Sebelum memulakan aktiviti ini, semua pelajar perlu membaca teks terlebih dahulu.
Teknik kerusi panas dapat menjadikan pelajar menghayati setiap watak dan perwatakan
dan memahami plot cerita yang dipelajari. Teknik ini menerapkan kemahiran lisan pelajar
melalui pendapat dan perasaan yang dikemukakan. Di samping itu, guru juga dapat
menerapkan beberapa perkara seperti kemahiran interpersonal, mencari maklumat, latihan
bertanya dan menjawab soalan secara spontan ataupun berstruktur.
Menjawab soalan secara spontan dapat menjana minda pelajar. Pelajar yang duduk di
tempat kerusi panas perlu menjawab setiap soalan dan tidak boleh mengatakan ‘tidak
tahu’. Ini adalah syarat utama aktiviti permainan kerusi panas. Selain itu, pelajar-pelajar
juga akan mendapat maklumat berkaitan sesuatu perkara.
13
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
Langkah pelaksanaan teknik kerusi panas dalam pengajaran dan pembelajaran cerpen.
Guru membahagikan pelajar kepada empat kumpulan mengikut jumlah watak yang
hendak dikaji iaitu watak Matain, Mak Cik Esah, Jarah dan Sitiawa. Seterusnya pelajar
berbincang dalam kumpulan meneliti watak dan perwatakan. Mereka perlu menulis fakta
ataupun mengisi peta minda yang disediakan oleh guru berkaitan ciri-ciri fizikal dan
perwatakan yang ada pada watak. Guru memberi masa kepada pelajar untuk berbincang
dan merangka peta minda.
Selepas semua kumpulan selasai menyediakan fakta, setiap kumpulan perlu menghantar
seorang wakil bagi memainkan peranan watak yang telah ditetapkan. Guru menyediakan
tempat aktiviti kerusi panas di hadapan kelas. Setiap pelajar dalam kelas telah membaca
teks terlebih dahulu supaya mereka dapat memahami dan menjiwai watak. Sesiapa sahaja
boleh bertanya soalan dan pelajar yang melakonkan watak perlu menjawab secara
spontan. Pelakon perlu menjawab setiap soalan yang ditanya supaya markah kumpulan
mereka tidak dipotong. Ini kerana syarat utama permainan ini adalah pelakon tidak
dibenarkan menjawab ‘tidak tahu’ dan sekiranya ia berlaku, markah kumpulan itu akan
dipotong.
Contoh situasi aktiviti kerusi panas mengikut watak yang dilakonkan adalah seperti
berikut:
Kumpulan 1 – Watak Matain
Kumpulan 2 – Watak Mak Cik Esah
Kumpulan 3 – Watak Jarah
Kumpulan 4 – Watak Sitiawa
14
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
Guru menilai persembahan setiap kumpulan berdasarkan kreativiti dan jawapan yang
diberi oleh pelakon watak daripada setiap kumpulan. Selepas semua kumpulan selesai
membuat persembahan, pelajar diminta memberi komen, membuat rumusan dan akibat
yang berlaku daripada perlakuan setiap watak yang dilakonkan. Guru mengarahkan
pelajar membuat ulasan dengan teliti dan lengkap berserta contoh yang boleh dipetik
daripada buku teks.
Setelah semua kumpulan selesai membuat persembahan, pelajar-pelajar diminta memberi
komen, membuat rumusan apa yang berlaku daripada perlakuan setiap watak yang
dilakonkan. Guru mengarah pelajar membuat ulasan dengan teliti dan lengkap berserta
dengan contoh yang boleh dipetik daripada teks. Pelajar-pelajar juga digalakkan memberi
komen berkaitan dengan peranan yang dilakonkan oleh rakan-rakan mereka.
Teknik kerusi panas sesuai digunakan bagi mengajar aspek watak dan perwatakan.
Dengan mengguna teknik ini, pelajar berpeluang merasai situasi sebenar yang berlaku
dalam cerita dan dapat menjiwai watak dan perwatakan yang ada dalam cerpen tersebut.
Dalam kerusi panas juga kita boleh melihat pelbagai aspek pada diri watak yang
berdasarkan teks. Oleh itu, diharapkan teknik ini dapat menarik minat pelajar dalam
bidang sastera yang semakin dilupai. Teknik kerusi panas membantu menguatkan ingatan
dan menjana minat pelajar serta menimbulkan keseronokan semasa belajar.
Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ialah pengajaran dan pembelajaran yang
menarik. Pembelajaran yang menarik pula sudah tentu akan meninggalkan kesan yang
mendalam terhadap pengetahuan pelajar. Diharapkan minat pelajar dapat disuburkan oleh
guru yang mengajarkan komsas dengan teknik yang sesuai dan memberikan bimbingan
bukan sahaja untuk mengkaji aspek sastera malahan berupaya untuk menghasilkan karya
sastera seperti sajak, pantun, gurindam, cerpen dan novel.
15
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
RANCANGAN PENGAJARAN BAHASA MELAYU KOMSAS
Genre : Prosa Moden (Cerpen)
Tingkatan : 3 Bakawali
Bilangan pelajar : 38 orang
Masa : 80 minit
Tajuk : Anak Bumi Tercinta
Bidang : Estetika dan Interpersonal
Hasil Pembelajaran
Fokus Utama : 10.6 Mengulas karya sastera dari aspek watak dan perwatakan,
latar, plot, gaya bahasa dan sudut pandangan
Aras 1 (v) Menjelaskan aspek watak dan perwatakan, latar, plot,
gaya bahasa dan sudut pandangan
Aras 2 (iv) Menganalisis watak dan perwatakan serta latar
Fokus Sampingan : 1.2 Mendengar dan memberi respon secara lisan dan bertulis
tentang sesuatu yang diperhatikan oleh orang lain
Aras 2 (ii) Berkongsi idea yang bernas dan menokok tambah dan
mengukuhkan idea menggunakan variasi ayat yang
gramatis dan jelas maksudnya
16
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
Objektif : Pada akhir pengajaran, pelajar dapat ;
1. Menghuraikan empat perwatakan watak utama dalam cerpen.
2. Menyenaraikan sifat-sifat luaran dan dalaman watak dalam teks
yang dikaji
3. Membandingkan perwatakan Matain, Sitiawa, Jarah dan Mak Cik
Esah
Sistem Bahasa : Kosa kata : Timba upih, mengkerekah, kain kelubung, kerek-
kerek, ubi ketela, jerkahan
Pengisian Kurikulum : Ilmu : Kesusasteraan Melayu
Nilai Murni : Simpati, kasih sayang, ketaatan
Kemahiran Bernilai : Kemahiran Berfikir, Kecerdasan pelbagai
Tambah
Bahan Bantuan : Radio, kaset rakaman, lembaran pengurusan grafik,
Mengajar
Pengetahuan sedia : Pelajar telah membaca cerpen Anak Bumi Tercinta dan
ada mempelajari konsep watak dan perwatakan dalam karya sastera.
Strategi pengajaran : Teknik Kerusi Panas
17
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
Langkah Isi Pelajaran Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran Catatan
Set
Induksi
(7 minit)
Rakaman
ungkapan
watak.
Pelajar diperdengarkan dengan rakaman kaset
ungkapan watak-watak dalam cerpen.
Contoh ungkapan watak :
”Wuuuuu laaaa! Awa kena marah! Padan
muka Awa kena Marah! Tidak malu kena
marah!!!”
”Matain! Kamu buat apa di tanah itu? Mari
naik kakak ajar ABC.”
”Orang tidak buat apa-apa dengan Tain”
”Kamu sudah makan nasi ,Sitiawa?
Guru bersoal jawab dengan pelajar tentang
ungkapan tersebut.
Guru mengaitkan aktiviti dengan pelajaran pada
hari ini.
Radio dan kaset
rakaman
Langkah 1
(8 minit)
Sinopsis
cerpen
fokus kepada
aspek watak
dan
perwatakan.
Guru bersoal jawab dengan pelajar tentang cerpen
Anak Bumi Tecinta.
Guru bertanya kepada pelajar tentang isi cerita
keseluruhan cerpen dan nama watak-watak
didalamnya.
Guru meminta pelajar menyenaraikan watak-
Sinopsis cerpen
dipancar pada
LCD
18
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
watak yang terdapat dalam cerpen.
Langkah 2
(15 minit)
Perbincangan
kumpulan
mengenai
watak dan
perwatakan
Pelajar dibahagikan kepada empat kumpulan.
Guru mengedarkan kad arahan tugasan kepada
setiap kumpulan;
Kumpulan 1 : Watak Matain
Kumpulan 2 : Watak Mak Cik Esah
Kumpulan 3 : Watak Jarah
Kumpulan 4 : Watak Sitiawa
Guru mengarah pelajar berbincang dalam
kumpulan tentang watak dan perwatakan yang
ditetapkan dari cerpen Anak Bumi Tercinta.
Pelajar membincang dan menganalisis perwatakan
watak dalam cerpen.
kumpulan melantik seorang ahli yang akan
memainkan peranan watak di kerusi panas.
Kad arahan
tugasan
Langkah 3
(27 minit)
Watak dan
perwatakan.
Guru meminta setiap kumpulan menghantar
seorang wakil yang akan memainkan peranan
watak di kerusi panas hadapan kelas.
Pelajar menyoal dan mengajukan pelbagai soalan
berkaitan dengan perwatakan watak berkenaan.
Pelajar terpilih menduduki kerusi panas dan
menjawab atau mempertahankan setiap pertanyaan
yang diajukan.
Pelajar yang terpilih menduduki kerusi panas akan
berganti setelah sesi soal jawab setiap watak
selesai.
Teknik kerusi
panas
19
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
Langkah 4
(17 minit)
Penilaian: Setiap kumpulan berbincang dan mengisikan
borag lembaran pengurusan grafik tentang
perwatakan watak-watakyang disediakan.
Guru membuat penilaian dan pengukuhan.
Guru mengemukakan 5 soalan penilaian
berdasarkan petikan cerpen Anak Bumi Tercinta
pada pancaran skrin.
Pelajar menjawab soalan – soalan tersebut.
Guru memancarkan jawapan pada skrin dan
pelajar menyemak jawapan secara berpasangan.
Lembaran
pengurusan
grafik (LPG)
Penutup
( 6 minit)
Pengukuhan Guru meminta seorang pelajar
Pelajar dan guru membuat rumusan tentang
pelajaran pada hari ini.
Tugasan/Kerja Rumah:
Guru menayangkan tugasan-tugasan pengayaan
Sebagai kerja rumah kepada semua pelajar.
Refleksi:
Saya dapati pelajar begitu tertarik dengan sesi pengajaran dan pembelajaran, di
mana pelajar melibatkan diri dengan aktif dalam setiap langkah aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Pelajar bersoal jawab dengan aktif semasa aktiviti kerusi panas dan langkah
20
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
pembelajaran lain.. Saya dapati hasil pembelajaran tercapai bila pelajar dapat menulis
tentang perwatakan watak dengan baik dan jelas.
PENUTUP
Bahasa dan sastera tidak seharusnya dipisahkan kerana keduanya diibaratkan seperti irama
dan lagu. Di dalam karya sastera, pengarang menggunakan bahasa sebagai media
pengantar untuk menyampaikan idea, mesej dan pandangan mengenai dunianya. Bahan
sastera seharusnya menjadi sebahagian daripada bahan pengajaran dan pembelajaran di
sekolah. Pendedahan awal seharusnya bermula dari murid-murid itu berada di peringkat
rendah bawah lagi. Penggunaan bahan sastera di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
menjadikan bahan sastera itu sebagai komponen yang dijadikan bahan utama bagi
mengukuhkan penguasaan Bahasa Melayu.
Kunci kejayaan pengajaran Bahasa Melayu bukan hanya terletak pada kecanggihan
kurikulum atau kelengkapan kemudahan di sekolah. Namun ia terletak kepada kredibiliti
guru dalam mengatur dan memanfaatkan bahan pengajaran di bilik darjah. Begitu halnya
dalam penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa memerlukan kekreatifan guru
dalam mengolah bahan-bahan tersebut mengikut kesesuaian dan keperluan murid-murid di
bilik darjah. Akhirnya, untuk memupuk minat murid terhadap karya sastera aktiviti
berterusan juga perlu diusahakan bukan sahaja di bilik darjah, malahan aktiviti susulan di
luar darjah seperti, pihak sekolah mengadakan pertandingan mendeklamasikan sajak,
berbalas pantun, berpidato dan peraduan berbahas. Dengan yang demikian khazanah
kesusasteraan kita akan sentiasa disanjung dan menjadi kebanggaan oleh generasi masa
kini.
21
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
RUJUKAN
Abd Aziz Abd Talib. (2000). Pedagogi Bahasa Melayu: Prinsip, kaedah dan teknik.
Kuala Lumpur: Utusan Distributors Sdn. Bhd.
Kamarudin Husin. (1998). Pedagogi bahasa. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.
Kementerian Pelajaran Malaysia.(2004). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
Bahasa Melayu Tingkatan 3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2001). Antologi Kompenan Sastera Dalam Bahasa
Melayu Tingkatan 3, Anak Bumi Tercinta. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2003). Sukatan Pelajaran KBSM, Bahasa Melayu.
Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2003). Huraian Sukatan Pelajaran KBSM Tingkatan
3, Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.
Naffi Mat. (2006). Teknik mengajar KOMSAS. Kuala Lumpur: PTS Profesional.
Nadzeri Isa. (2009). HBML 3103 Pengajaran Kesusasteraan Melayu dan Kemahiran
Berbahasa. Selangor: Meteor Doc Sdn. Bhd.
Siti Hajar Abdul Aziz. (2009). Siri Pendidikan Guru : Bahasa Melayu II. Selangor:
Oxford Fajar
22
HBML3103 LIM BEE YEN 660920035788
www.tutor.com.my/tutor/special/ceramah.ppt
http://www.tutor.com.my/tutor/daily/eharian
23