Post on 08-Nov-2021
1
WASIAT, HUKUM, PROSEDUR DAN PENGALAMAN DI MAHKAMAH SYARIAH PERAK1
Haji Mohammad Taifor Bin Ahmad Rusdi2
Abstrak
Wasiat adalah merupakan salah satu instrumen yang penting bagi perancangan harta
Islam di mana ianya adalah merupakan suatu pemberian harta yang berlaku selepas
kematian pemberi wasiat. Instrumen perancangan harta melalui kaedah wasiat amat
digalakkan kepada umat Islam bagi memudahkan pengurusan harta dan juga bagi
mengelakkan isu pertikaian harta di antara keluarga, saudara dan pewaris kelak.
Sehubungan itu, penulisan ini akan memfokuskan kepada konsep dan pelaksanaan
wasiat menurut undang-undang dan perspektif hukum syarak selain juga melihat
kepada realiti-realiti tuntutan kes pengesahan wasiat yang telah dilaporkan di dalam
jurnal dan tuntutan-tuntutan kes yang tidak dilaporkan di Mahkamah Syariah Perak.
Katakunci: wasiat, pengurusan harta keluarga islam, kes wasiat di mahkamah syariah
1. PENDAHULUAN - PENTADBIRAN HARTA PUSAKA DI MALAYSIA
Secara umumnya, urusan pentadbiran harta pusaka di Malaysia sama ada ianya terdiri
daripada harta pusaka yang tidak berwasiat, harta pusaka yang berwasiat mahupun
harta pusaka separuh berwasiat telah diletakkan di bawah tanggungjawab empat buah
institusi yang telah diiktiraf oleh kerajaan dan sah di sisi undang-undang di Malaysia.
Institusi-institusi yang dimaksudkan sedemikian ialah terdiri daripada Mahkamah Tinggi
Sivil, Mahkamah Tinggi Syariah, Amanah Raya Berhad, Jabatan Ketua Pengarah
Tanah Dan Galian Persekutuan (JKPTG), seksyen pembahagian harta pusaka dan
institusi yang berbentuk institusi kewangan yang mana simati mempunyai akaun
simpanan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Syarikat Insurans, Lembaga
1 Kursus Pengurusan Harta Keluarga Islam di Dewan Besar IKIM pada 14 hingga 15 Oktober 2019
2 Hakim Utama Mahkamah Tinggi Syariah Perak di Ipoh
2
Urusan Tabung Haji dan sebagainya. Bidang kuasa Mahkamah Syariah hanyalah
terhad kepada penentuan waris yang terlibat dan juga bahagian pusaka atau wasiat
yang layak diterima sahaja sebagaimana yang telah dinyatakan dengan jelas dalam
Perlembagaan Persekutuan di bawah perkara 74(2). 3
Justeru itu, setiap negeri diberi kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan
dengan harta perwarisan ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah di setiap
negeri. Antara contoh rujukan undang-undang negeri yang boleh dirujuk sebagai contoh
di dalam negeri Perak adalah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.
Dengan adanya peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan serta Enakmen
Pentadbiran Agama Islam inilah, maka Enakmen wasiat telah digubal bagi
membolehkan rujukan dibuat berkaitan hukum berwasiat. Walaubagaimanapun, hanya
tiga buah negeri sahaja yang menggubal enakmen tersebut iaitu negeri Selangor
(Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 – Enakmen No. 4 tahun 1999), negeri
Melaka (Enakmen Wasiat Orang Islam (Melaka) 2005 – Enakmen 4 tahun 2005) dan
Negeri Sembilan (Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Sembilan) 2004 – Enakmen 5
tahun 2004). Manakala, bidang kuasa pentadbiran harta pusaka ini pula diletakkan di
bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Sivil sebagaimana yang dinyatakan dengan
jelas di bawah Jadual Kesembilan, Senarai 1, Senarai Persekutuan di bawah Perkara 4
(e) (i).
2. UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN HARTA PUSAKA DI MALAYSIA4
Bidang kuasa eksklusif Mahkamah Tinggi yang dimaksudkan dalam konteks
pengurusan dan pentadbiran harta pusaka ialah kuasa pemberian Surat Kuasa Wasiat
atau Surat Kuasa Pentadbiran di samping memutuskan rayuan yang dirujuk kepadanya
apabila mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan perintah pembahagian atau apa-
apa keputusan yang dibuat oleh Pentadbir Tanah. Di peringkat negeri atau daerah,
institusi yang terlibat dikenali sebagai Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian
3 Nor Adila Mohd Noor, Che Zuina Ismail, Nor Azlina Mohd Noor & Siti Mashitoh Mahamood, (2018),
Harta Wasiat Orang Islam: Satu Ulasan Ringkas Dari Perspektif Perundangan di Malaysia 4 Ibid
3
Persekutuan (JKPTG), Seksyen Pembahagian Pusaka yang mengendalikan harta
simati yang meninggalkan harta tak alih (tanah) sahaja atau harta tak alih beserta
dengan harta alih seperti duit simpanan di bank dan sebagainya dan nilainya tidak
melebihi RM 2, 000000.00 dan tidak berwasiat mengikut Akta Wasiat 1959. Undang-
undang yang berkuat kuasa ialah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta
98).
Amanah Raya Berhad pula berperanan menguruskan harta simati yang hanya
meninggalkan harta alih sahaja dan nilainya tidak melebihi RM 600,000.00
berpandukan kepada seksyen 17(1), Akta Perbadanan Amanah Raya Berhad 1995
(Akta 532). Bagi harta simati yang melebihi RM 2, 000000.00 pula sama ada harta alih
sahaja atau kombinasi harta alih atau tak alih, perlu membuat tuntutan pembahagian
harta di Mahkamah Tinggi Sivil bagi mendapatkan Geran Mentadbir harta tetapi
berbeza dengan harta si mati muslim yang mempunyai wasiat. Bagi harta simati muslim
yang ada wasiat, pewaris perlu membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi Sivil terlebih
dahulu dan bukannya di Mahkamah Syariah bagi mendapatkan Geran Probet walaupun
nilai harta di bawah RM 2, 000000.00. Sekiranya ada kombinasi harta tak alih, selepas
Mahkamah Tinggi Sivil mengeluarkan Geran Probet, pewaris perlu membahagikan
harta tak alih ke Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (JKPTG),
Seksyen Pembahagian Pusaka untuk tujuan penukaran nama atas geran tanah.
Sehubungan dengan ini, terdapat satu kes rujukan iaitu kes rayuan Jumaaton & Raja
Delila v. Raja Hizaruddin5 yang mana Pengerusi Panel Hakim Mahkamah Rayuan
Syariah Wilayah Persekutuan, telah memutuskan bahawasanya Mahkamah Syariah
hanya mempunyai bidang kuasa untuk menentukan waris yang terlibat berserta
bahagian masing-masing dan Mahkamah Syariah tidak berbidang kuasa mengenai
probet dan pentadbiran pusaka kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah
Sivil.
5 (1998) 6 MLJ 556
4
3. KONSEP WASIAT DALAM ISLAM
4.1 Definisi wasiat dari segi bahasa
Dari sudut bahasa, perkataan wasiat berasal dari perkataan „wassa‟ yang
bermaksud menyambung/menyampaikan/memberikan hak pemilikan selepas
kematian. Ianya bermaksud menghubungkan kebaikan yang diperolehi oleh
seseorang daripada hartanya itu semasa hidupnya dengan kebaikan yang
mengikutinya kemudian daripada harta yang sama setelah ia meninggal dunia
iaitu pahal yang akan diperolehinya di hari akhirat dengan sebab wasiat yang
dilakukan olehnya ke atas harta itu.
4.2 Definisi wasiat dari segi istilah syarak
Manakala wasiat dari segi istilah pula ialah pemberian atau sumbangan oleh
seseorang kepada orang atau pihak lain setelah dia meninggal dunia sama ada
perkataan wasiat itu diucapkan atau tidak. Menurut mazhab Syafie, wasiat ialah
pemberian suatu hak yang boleh dilaksanakan selepas berlakunya kematian
pewasiat sama ada dengan menggunakan lafaz atau tidak. Manakala menurut
Abdul Karim Zaidan, wasiat ialah memberi milik kepada seseorang secara
sukarela yang dilaksanakan selepas kematian pewasiat sama ada benda atau
manfaat. Ada juga fiqaha’ yang mendefinisikan wasiat sebagai suatu pemberian
oleh seseorang kepada pihak yang lain sama ada benda, hutang atau manfaat
untuk dimiliki oleh penerima wasiat akan pemberian tersebut selepas kematian
pewasiat.
4. ASAS PENSYARIATAN WASIAT
Pensyariatan wasiat didasarkan kepada nas Al-Quran, As-sunnah dan Ijmak. Pada
permulaan Islam, berwasiat adalah wajib kepada ibu bapa dan kaum kerabat terdekat
bagi mereka yang memiliki harta yang banyak berdasarkan kepada firman Allah s.w.t:-
5
“Maksudnya: Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia
ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan
kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu
kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa” (Surah Al-Baqarah, ayat 180)
Kebanyakan para sahabat antaranya Saidina Abu Bakar, Saidina Ali Bin Abi Talib, Ibnu
Umar dan Imam Syafie berpandangan bahawa hukum wajib ini telah dimansuhkan
dengan turunnya ayat al-mawarith iaitu ayat 11, 12 dan 176 Surah Al-Nisa’ yang secara
khusus menyentuh peruntukan bahagian-bahagian yang telah ditetapkan kepada waris-
waris dalam pembahagian harta pusaka. Dengan turunnya ayat-ayat tersebut, amalan
berwasiat menjadi suatu perbuatan yang digalakkan (disunatkan) kepada keluarga yang
terdekat yang tidak mendapat harta pusaka dan yang bukan waris. Pensyariatan wasiat
juga diambil daripada Surah Al-Nisa’ ayat 11 di mana Allah s.w.t berfirman:-
“Maksudnya: … (pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah
diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya” (Surah Al-Nisa,
ayat 11)
Terdapat banyak hadith Rasulullah s.a.w yang menjelaskan dalil pensyariatan wasiat di
antaranya adalah:-
“Maksudnya: Tidak wajar bagi seseorang muslim yang mempunyai sesuatu
untuk diwasiatkan, membiarkan dua malam berlalu tanpa menulis wasiatnya”
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadith yang lain pula:-
“Maksudnya: Sa‟ad Bin Abi Waqas r.a berkata: “Rasulullah s.a.w datang
mengunjungiku pada tahun haji wada‟ sewaktu aku dalam keadaan yang sangat
sakit, lalu aku bertanya: Hai Rasulullah, sakitku ini adalah sangat serius,
6
bagaimana pendapat tuan. Aku ini orang berada tetapi tidak ada yang dapat
mewarisi hartaku melainkan anak perempuanku seorang. Apakah sebaiknya aku
wasiatkan 2/3 hartaku?”. “Jangan”, jawab Rasulullah. “Separuh ya Rasulullah?”
sambungku lagi. Jawab Rasulullah: “Jangan, sepertiga, sebab sepertiga itu
banyak dan besar, kerana jika kamu meninggalkan ahli waris dalam keadaan
yang mencukupi adalah lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam
keadaan miskin yang meinta-minta kepada orang ramai”. (Hadith Riwayat
Bukhari dan Muslim)
5. HUKUM BERWASIAT
Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini bahawa pada peringkat permulaan
Islam hukum berwasiat adalah wajib dengan merujuk kepada ayat 180 Surah Al-
Baqarah, namun hukum berkenaan telah dinasakhkan oleh ayat mawarith iaitu ayat
ayat 11, 12 dan 176 Surah Al-Nisa’. Walaubagaimanapun, amalan wasiat masih lagi
digalakkan dengan had maksimum 1/3 harta pusaka dan ditujukan kepada bukan waris.
Mengikut pendapat mazhab sunni yang empat dan al-Zaidiyyah bahawa sesungguhnya
wasiat itu tidak difardhukan ke atas setiap orang yang mempunyai harta dan tidak juga
difardhukan untuk kedua ibu bapa dan kaum kerabat yang tidak menjadi waris, akan
tetapi hukumnya adalah bergantung kepada keadaan-keadaan tertentu seperti berikut:-
a) Wajib – jika terdapat tanggungjawab syarie yang perlu dilaksanakan seperti
zakat dan haji dan dia bimbang harta berkenaan habis jika tidak diwasiatkan.
Begitu juga, jika berkaitan dengan hutang dan wadiah sekiranya pemilik sebenar
tidak dikenali oleh orang lain.
b) Sunat – jika berwasiat untuk kaum kerabat yang memerlukan sedangkan
mereka tidak berhak mendapat harta pusaka. Begitu juga berwasiat kepada
orang miskin dan untuk tujuan kebajikan pada jalan Allah.
7
c) Harus – jika berwasiat kepada sahabat handai atau orang kaya yang mana
mereka bukan dari golongan yang berilmu dan beramal soleh.
d) Makruh – jika pewasiat seorang yang kurang berada dan mempunyai waris-
waris yang ramai serta memerlukan harta.
e) Haram – jika berwasiat kepada perkara yang haram.
6. RUKUN DAN SYARAT WASIAT
Wasiat mempunyai rukun dan syarat-syarat seperti berikut:-
a) Pewasiat (al-Musi) iaitu orang yang membuat tawaran (ijab) untuk berwasiat
semasa hidupnya. Pewasiat disyaratkan kepada syarat-syarat yang tertentu
iaitu:-
i. Milikan sempurna - Pewasiat hendaklah pemilik harta secara milikan
sempurna pada masa kematian;
ii. Baligh - Bagi mazhab Hanafi, Syafie dan Zahiri, mensyaratkan baligh bagi
seseorang pewasiat manakala mazhab Maliki dan Hanbali pula
berpendapat bahawa pewasiat hendaklah seorang yang mumaiyyiz;
iii. Berakal (tidak gila) – Menurut mazhab Hanafi dan Syafie, gila yang
berterusan bagi satu tempoh waktu yang panjang akan membatalkan
wasiatnya jika dia mati dalam keadaan tersebut;
iv. Redha dan pilihan sendiri; dan
v. Cerdik (al-rusyd) – Mazhab Syafie mensyaratkan pewasiat adalah
seorang yang cerdik
8
b) Penerima wasiat (al-Muso lahu) iaitu orang yang menerima (qabul) wasiat yang
dibuat oleh pewasiat. Penerima wasiat terbahagi kepada dua (2) kategori sama
ada individu atau institusi. Disyaratkan penerima wasiat hendaklah terdiri
daripada syarat-syarat berikut iaitu:-
i. Penerima wasiat, institusi atau badan yang tertentu (seperti masjid) dan
disyaratkan bukan untuk tujuan maksiat;
ii. Penerima wasiat hendaklah wujud secara hakiki atau taqdiri;
iii. Penerima wasiat hendaklah diketahui dengan jelas;
iv. Penerima hendaklah seorang yang boleh menerima harta dan boleh
memberi milik harta. Bagi kanak-kanak yang belum mumaiyyiz,
penerimaan hendaklah dibuat oleh wali malnya;
v. Penerima wasiat bukan seorang pembunuh. Walaubagaimanapun,
mazhab Syafie mengharuskan seorang pembunuh menerima wasiat;
vi. Penerima wasiat bukan kafir harbi; dan
vii. Penerima wasiat bukan dari kalangan waris melainkan setelah mendapat
persetujuan waris-waris yang lain
c) Harta yang diwasiatkan (al-Muso bih). Syarat-syaratnya adalah seperti
berikut:-
i. Harta yang hendak diwasiatkan itu hendaklah mal hakiki seperti harta alih
dan harta tak alih dan mal hukmi iaitu manfaat;
9
ii. Harta itu hendaklah harta mutaqawwim iaitu harta yang boleh
dimanfaatkan di sisi syarak;
iii. Harta itu boleh dijadikan hak pemilikan;
iv. Harta itu wujud dalam pemilikan pewasiat pada masa wasiat itu dilakukan;
v. Harta itu tidak terikat dengan hutang yang ditanggung oleh pewasiat pada
masa kematiannya; dan
vi. Harta itu hendaklah tidak melebihi kadar 1/3 harta prwasiat kecuali telah
dipersetujui oleh ahli-ahli waris selepas kematiannya
d) Sighah iaitu ijab dan qabul. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:-
i. Sighah wasiat hendaklah dengan lafaz yang sorih, kinayah ataupun
isyarat;
ii. Qabul hendaklah diterima oleh penerima wasiat individu tertentu, jika
penerima institusi maka tidak disyaratkan qabul;
iii. Qabul oleh penerima wasiat hendaklah dibuat selepas kematian pewasiat.
Penerimaan atau penolakan yang dibuat pada masa hidup pewasiat tidak
diambil kira; dan
iv. Qabul oleh pewasiat tidak disyaratkan dengan segera
10
7. JENIS WASIAT
JIka dilihat kepada penerima, lafaz dan harta yang diwasiatkan secara terperinci, maka
wasiat terbahagi kepada empat jenis iaitu waisat mutlak, wasiat bersyarat, wasiat am
dan wasiat khas.
a) Wasiat Mutlak
Wasiat mutlak ialah wasiat yang dilakukan dengan bebas atau tidak terikat
dengan syarat-syarat tertentu yang dikenakan ke atas harta diwasiatkan yang
mungkin diletakkan oleh pemberi wasiat. Oleh itu, mengikut mazhab Syafie dan
Hanbali, kesan dari wasiat mutlak ini ialah ia akan berkuatkuasa selama-
lamanya.
b) Wasiat Bersyarat
Wasiat bersyarat ialah wasiat yang mengandungi syarat-syarat tertentu yang
dikenakan oleh pewasiat. Para fuqaha’ bersependapat bahawa sah syarat-syarat
diletakkan dalam wasiat asalkan ia tidak menyalahi syarak sama ada dari sudut
harta, tujuan atau cara mengerjakan syarat-syarat yang dikenakan dan
hendaklah wasiat itu membawa kebaikan kepada penerima, pewasiat atau
selainnya. Oleh itu, wasiat yang mempunyai syarat-syarat yang sah akan
mengikat penerima dan terpulang kepada penerima wasiat sama ada menerima
wasiat yang berserta syarat-syaratnya atau menolak wasiat tersebut. Sekiranya
syarat-syarat yang terkandung di dalam wasiat bersyarat ini adalah sah di sisi
syarak tetapi tidak dipenuhi oleh penerima wasiat maka kesannya ialah wasiat itu
menjadi batal.
c) Wasiat Am
Wasiat am adalah wasiat yang dibuat berbentuk umum seperti kepada penduduk
sesebuah kampung atau bandar. Wasiat yang berbentuk sedemikian adalah
merangkumi kesemua ahli penduduk tempat tersebut sama ada Islam ataupun
kafir. Adapun bilangan yang paling minimum penerima sesuatu wasiat yang
11
umum yang ditujukan kepada kumpulan yang ramai seperti penduduk sesuatu
tempat maka memadai dengan tiga orang mewakili kumpulan yang ramai
tersebut menurut pendapat Imam Syafie. Namun terdapat perbezaan pendapat
di kalangan fuqaha’ mazhab Hanafi, Abu Yusuf mengatakan adalah memadai
sekiranya wasiat itu diberikan kepada seorang daripada kumpulan yang ramai
itu, sedangkan Muhammad Hassan al-Shaybani pula menyatakan hendaklah
sekurang-kurangnya diberikan kepada dua orang daripada mereka.
Jika pewasiat menyatakan golongan penerima wasiat tidak jelas iaitu hanya
secara umum sahaja seperti mewasiatkan kepada fakir miskin maka menurut
pendapat Imam Syafie harta yang diwasiatkan itu hendaklah digunakan untuk
kepentingan fakir miskin di tempat harta itu berada. Harta yang diwasiatkan itu
boleh diberikan kepada daerah atau negeri lain yang berdekatan sekiranya harta
itu terlalu banyak dan penduduk di kawasan tersebut menerima bahagian yang
memadai dan mencukupi untuk keperluan hidup mereka.
Pewasiat yang hendak mewasiatkan harta perlulah menyatakan dengan jelas
dan betul supaya tidak menimbulkan kekeliruan. Namun bagi pewasiat yang
berwasiat dengan harta dan kadarnya yang dinyatakan dalam bentuk umum
yang mengelirukan, sebagai contoh: “Berikan sedikit pemberian atau sebahagian
atau sesuatu daripada hartaku setelah kematianku” atau “Berikan sesuatu
kepada si pulan setelah kematianku” maka menurut pendapat para fuqaha’
termasuk Imam Syafie, Hanafi, Hanbali dan lain-lain hanya waris pewasiat yang
berhak menentukan maksud sebenar yang terkandung dalam pemberian itu.
d) Wasiat Khas
Wasiat khas adalah wasiat yang dikhususkan untuk pihak tertentu. Terdapat
kemungkinan pewasiat dalam berwasiat kepada seseorang yang tertentu
membuat perbandingan kadar yang hendak diwasiatkan dengan kadar yang
sepatutnya diterima oleh salah seorang waris pewasiat. Sebagai contoh,
pewasiat mewasiatkan supaya memberikan hartanya kepada seseorang tertentu
dengan kadar yang sama banyak dengan kadar anak lelakinya. Dalam kes ini,
12
maka perlu dipastikan pewasiat ada meninggalkan anak atau tidak, jantina anak
dan jumlah anaknya. Menurut pendapat Imam Syafie, Imam Hanafi, al-Sha’bi, al-
Nakha’i dan al-Thawri, sekiranya pewasiat mewasiatkan bahagian anak lelakinya
sedangkan ia mempunyai seorang sahaja anak maka kadar pemberian wasiat
yang dibenarkan ialah 1/2 bahagian harta tetapi jika anaknya tidak bersetuju
dengan lebihan kadar wasiat yang dibenarkan itu maka wasiat itu hanya sah
setakat 1/3 bahagian sahaja. Seterusnya, jika diwasiatkan dengan kadar
bahagian anak-anaknya dan pewasiat hanya ada dua orang anak sahaja maka
penerima wasiat berhak mendapat 1/3 bahagian harta sahaja.
Namun begitu, sekiranya pewasiat mempunyai seorang anak lelaki dan seorang
perempuan dan pewasiat berwasiat menyatakan supaya diberikan kepada
penerima wasiat sebagaimana bahagian salah seorang anaknya maka di sini
penerima wasiat berhak menerima kadar bahagian harta yang diterima oleh anak
perempuan kerana itu adalah kadar yang terendah yang boleh diberikan
kepadanya. Dan sekiranya pewasiat mewasiatkan dengan kadar bahagian
anaknya sedangkan anaknya kafir, pembunuh atau sebagainya yang terdinding
secara langsung (hirman) daripada menerima harta wasiat maka wasiat yang
sedemikian adalah batal kerana harta itu diwasiatkan seperti bahagian mereka
yang tidak berhak mendapat bahagian daripada harta pusaka.
8. KADAR HARTA YANG BOLEH DIWASIATKAN
Kadar harta yang boleh diwasiatkan oleh pewasiat menurut ketentuan syarak adalah
setakat 1/3 sahaja daripada harta bersih peninggalannya yang masih ada pada waktu
kematiannya setelah digunakan untuk belanja pengebumiannya dan penunaian hutang-
hutangnya jika ada yang menjadi tanggungan pewasiat. Oleh itu, wasiat yang melebihi
kadar 1/3 harta pewasiat adalah tidak sah kecuali waris-waris bersetuju dengan kadar
yang lebih itu. Jika waris-waris bersetuju, maka wasiat lebih daripada 1/3 adalah sah,
dan jika mereka tidak bersetuju maka wasiat hanya sah setakat 1/3 sahaja dalan
13
lebihan daripada itu menjadi harta pusaka. Ini adalah berdasarkan kepada hadis
Rasulullah s.a.w yang bermaksud:-
“Maksudnya: Sa‟ad Bin Abi Waqas r.a berkata: “Rasulullah s.a.w datang
mengunjungiku pada tahun haji wada‟ sewaktu aku dalam keadaan yang sangat
sakit, lalu aku bertanya: Hai Rasulullah, sakitku ini adalah sangat serius,
bagaimana pendapat tuan. Aku ini orang berada tetapi tidak ada yang dapat
mewarisi hartaku melainkan anak perempuanku seorang. Apakah sebaiknya aku
wasiatkan 2/3 hartaku?”. “Jangan”, jawab Rasulullah. “Separuh ya Rasulullah?”
sambungku lagi. Jawab Rasulullah: “Jangan, sepertiga, sebab sepertiga itu
banyak dan besar, kerana jika kamu meninggalkan ahli waris dalam keadaan
yang mencukupi adalah lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam
keadaan miskin yang meinta-minta kepada orang ramai”. (Hadith Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Jika pewasiat tidak mempunyai waris, maka menurut pendapat mazhab Hanafi wasiat
yang melebihi 1/3 harta adalah sah. Tetapi menurut pendapat jumhur, wasiat yang
melebihi kadar 1/3 adalah tidak harus secara mutlak kerana ia melibatkan hak orang
Islam. Mengenai masalah kadar sebenar harta yang ada pada pewasiat sama ada
diketahui atau sebaliknya atau termasuk harta pertambahan yang diperolehi yang tidak
diketahui oleh pewasiat, terdapat perselisihan di kalangan fuqaha’ iaitu menurut jumhur
fuqaha’ termasuk mazhab Syafie dan Hanafi, pewasiat tidak disyaratkan mengetahui
kadar sebenar harta yang ada pada masa ia melakukan wasiat kerana harta sebenar
yang diambil kira adalah harta yang ada pada waktu kematiannya.
Kesan positif daripada sekatan berwasiat hanya sekadar 1/3 sahaja daripada harta
peninggalan pewasiat adalah untuk memelihara kebajikan waris-waris pewasiat yang
berhak ke atas harta peninggalan tersebut. Ini ialah kerana berkemungkinan sama ada
secara sedar atau tidak pewasiat akan menafikan harta peninggalannya kepada waris-
waris yang berhak dengan melepaskan kesemua hartanya atau mengurangkan
bahagian mereka hingga menjejaskan kadar bahagian mereka. Wasiat yang tidak
14
dijelaskan kadar sebenar yang sepatutnya diterima oleh penerima wasiat dan gagal
mendapatkan penjelasan yang sebenar daripada kenyataan pewasiat maka menurut
mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali terpulanglah kepada waris-waris pewasiat untuk
menentukan kadar yang sebenar.
Walaupun telah ditetapkan kadar maksima harta yang boleh diwasiatkan adalah 1/3
tetapi para sahabat dan para fuqaha’ bersetuju bahawa kadar sebaik-baiknya untuk
berwasiat adalah tidak melebihi kadar maksimum tersebut. Ini adalah bersandarkan
kepada beberapa hadis berkaitan wasiat yang menekankan bahawa berwasiat dengan
kadar 1/3 adalah banyak dan menurut hadis yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Waqqas
dan Sa’ad bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa kadar 1/3 itu adalah
banyak.
Para sahabat sendiri umpamanya Saidina Abu Bakar dan Saidina Ali tidak berwasiat
dengan kadar 1/3 di mana masing-masing berwasiat hanya sekadar 1/5 daripada harta
mereka dan begitu juga dengan Saidina Umar yang berwasiat dengan kadar 1/4
bahagian daripada hartanya. Menurut Qatadah, sebaik-baik berwasiat adalah dengan
kadar 1/5 bahagian harta dan demikian juga pendapat ahli-ahli fiqh Basrah. Menurut al-
Sha’bi, kebanyakan ulama’ cenderung dengan kadar 1/4 dan 1/5 daripada bahagian
harta sahaja.
9. WASIAT KEPADA AHLI WARIS
Waris ialah orang yang berhak mendapat harta pusaka si mati sama ada dia terdiri
daripada waris ashab al-furud atau „asabah. Waris sebagai penerima wasiat mestilah
menjadi waris ketika kematian pewasiat bukan ketika wasiat dibuat. Oleh itu, jika
seseorang mewasiatkan sebahagian hartanya kepada saudaranya ketika beliau tidak
mempunyai anak kemudian beliau mendapat anak lelaki sebelum meninggal dunia,
maka wasiat tersebut adalah sah.
15
Para ulamak berselisih pendapat dalam menentukan hukum berwasiat kepada waris
seperti berikut:-
a) Jumhur ulama’ berpendapat bahawa wasiat kepada waris adalah tidak sah,
kecuali mendapat persetujuan daripada semua waris. Jika mereka bersetuju,
maka wasiat itu sah dan sebaliknya jika mereka tidak bersetuju maka wasiat itu
tidak sah. Persetujuan mereka hendaklah dibuat selepas kematian pewasiat dan
mereka yang memberi persetujuan hendaklah berkelayakan berbuat demikian.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:-
“Sesungguhnya Allah menetapkan hak bagi setiap empunyanya, oleh itu tidak
harus berwasiat kepada waris” (Hadis riwayat al-Tirmidhi).
Mana-mana waris yang menerima wasiat tersebut ketika hayat pewasiat boleh
menolaknya selepas kematian pewasiat. Begitu juga, mana-mana waris yang
menolaknya ketika hayat pewasiat boleh menerimanya selepas kematian
pewasiat. Jika selepas kematian pewasiat, hanya sebahagian waris sahaja yang
bersetuju tetapi sebahagian yang lain membantah, maka wasiat itu dibatalkan
daripada bahagian waris yang membantah tetapi dilaksanakan pada bahagian
waris yang bersetuju mengikut kadar bahagian mereka di dalam pusaka.
b) Syiah Imamiyyah, Ismailiyyah dan sebahagian Zaidiyyah berpendapat bahawa
wasiat kepada waris adalah harus dan boleh dilaksanakan tanpa persetujuan
waris-waris lain. Kedudukannya sama seperti wasiat kepada bukan waris.
c) Al-Muzani, al-Subki dan al-Zahiri berpendapat bahawa wasiat kepada waris
adalah tidak sah sekalipun mendapat keizinan daripada waris-waris yang lain.
Namun waris yang berkenaan boleh mengizinkan bahagian pusaka masing-
masing tetapi bukan dalam bentuk wasiat.
16
d) Mazhab Maliki berpendapat bahawa wasiat kepada waris adalah batal secara
mutlak.
Walaubagaimanapun, Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999, Enakmen Wasiat
Orang Islam (Negeri Melaka) 2005 dan Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri
Sembilan) 2004 memperuntukkan bahawa sah wasiat kepada waris dengan kadar satu
pertiga bahagian tanpa perlu mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris yang lain.
Hanyalah wasiat kepada waris yang melebihi kadar satu pertiga sahaja yang perlu
mendapatkan persetujuan ahli-ahli waris yang lain. Seksyen 26(2) Enakmen Wasiat
Orang Islam Selangor 1999, Seksyen 26 (2) Enakmen Wasiat Orang Islam Melaka
2005 dan Seksyen 26 (2) Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Sembilan 2004
memperuntukkan:-
“Sesuatu wasiat (bekues) yang dibuat kepada seseorang waris atas kadar yang
melebihi satu pertiga, hendaklah tidak boleh berkuat kuasa (tidak boleh
dikuatkuasakan) sehingga diberi persetujuan oleh waris-warisnya (melainkan jika
waris-waris mempersetujuinya) selepas kematian pewasiat”.
10. PEMBATALAN WASIAT
Pembatalan wasiat boleh berlaku disebabkan pewasiat sendiri, penerima wasiat atau
harta yang diwasiatkan. Huraiannya adalah seperti berikut:-
a) Pewasiat hilang keahlian seperti gila yang berterusan
Mazhab Hanafi berpendapat bahawa wasiat terbatal disebabkan pewasiat gila,
sama ada gila itu berterusan sehingga pewasiat meninggal dunia atau tidak.
Manakala menurut pendapat jumhur, wasiat tidak terbatal disebabkan pewasiat
gila, sama ada gila itu berterusan sehingga pewasiat meninggal dunia atau tidak.
Ini kerana, pewasiat mempunyai keahlian semasa melakukan wasiat dan
hilangnya keahlian selepas itu seperti gila tidak menyebabkan wasiat yang
dilakukannya semasa dia waras terbatal.
17
b) Pewasiat murtad
Mazhab Syafie dan Hanafi berpendapat bahawa wasiat terbatal disebabkan
pewasiat murtad dan dia meninggal dunia dalam keadaan murtad. Begitu juga,
penerima wasiat murtad boleh menyebabkan wasiat terbatal menurut pendapat
mazhab Maliki. Walau bagaimanapun, menurut pendapat mazhab Hanbali wasiat
yang dilakukan itu masih lagi sah walaupun pewasiat murtad.
c) Menggantungkan wasiat dengan sesuatu syarat yang tidak berlaku
Contohnya, seseorang berkata: “Jika aku meninggal dunia disebabkan sakitku ini
atau jika aku meninggal dunia dalam pengembaraanku ini maka aku berikan
kepada pulan sekian banyak hartaku”. Kemudian selepas itu pewasiat tersebut
tidak meninggal dunia, maka wasiat yang dilakukannya itu terbatal kerana syarat
tersebut tidak berlaku.
d) Penarikan balik wasiat
Penarikan balik wasiat yang telah dilakukan oleh pewasiat adalah hak dan
keistimewaannya yang boleh dibuat pada bila-bila masa yang dikehendakinya,
sama ada ke atas semua atau sebahagian dari harta yang diwasiatkan. Ini
kerana wasiat yang dilakukan itu merupakan suatu akad yang tidak lazim dan
dianggap belum sepenuhnya berkuatkuasa selama pewasiat masih hidup serta
pemberian wasiat juga merupakan perbuatan sukarela. Penarikan balik wasiat
boleh dilakukan secara terang-terangan seperti pewasiat mengatakan “aku
batalkan wasiatku itu”, “aku hapuskan wasiatku itu”, “harta ini untuk warisku atau
sebagai harta pusaka” atau seumpamanya. Selain itu, penarikan balik juga boleh
berlaku secara diam-diam yang akan membawa kesan yang sama seperti
penarikan secara terang-terangan. Contohnya, pewasiat menjual atau
memberikan harta itu kepada orang lain atau pewasiat mengubah sifat harta
yang diwasiatkan seperti kain yang diwasiatkan itu dijadikan baju atau
sebagainya lagi sehingga hilang nama asal benda yang diwasiatkan itu.
18
Sebaliknya, jika hanya berlaku perubahan kepada harta berkenaan seperti
pertambahan maka ia tidak dianggap pewasiat telah menarik balik wasiatnya.
e) Penolakan wasiat
Wasiat juga terbatal jika sekiranya penerima wasiat menolak atau tidak mahu
menerimanya selepas kematian pewasiat.
f) Penerima wasiat meninggal dunia sebelum pewasiat
Keempat-empat mazhab sunni bersependapat bahawa wasiat terbatal
disebabkan kematian penerima wasiat sebelum pewasiat meninggal dunia. Ini
kerana wasiat hanya boleh berlaku selepas kematian pewasiat dan penerima
wasiat menerima wasiat tersebut. Begitu juga, wasiat terbatal jika penerima
wasiat meninggal dunia selepas kematian pewasiat, sedangkan penerima wasiat
belum sempat menerimanya menurut pendapat jumhur kecuali mazhab Hanafi.
g) Penerima wasiat membunuh pewasiat
Menurut pendapat mazhab Hanafi dan Hanbali wasiat kepada pembunuh adalah
terbatal, sama ada pembunuhan itu berlaku sebelum berlaku wasiat seperti
seseorang mencederakan seseorang lain dengan tujuan membunuhnya,
kemudian sebelum dia meninggal dunia, dia sempat mewasiatkan hartanya
kepada orang yang mencederakannya itu, atau selepas berlakunya wasiat,
walaupun diizinkan oleh waris-waris tetapi wasiat tersebut tetap juga terbatal. Ini
kerana mereka menyamakan halangan pewarisan dengan wasiat. Oleh itu,
bentuk pembunuhan yang menyebabkan terbatalnya wasiat menurut kedua-dua
mazhab ini adalah sama seperti halangan pewarisan.
Walau bagaimanapun, mazhab Syafie, Maliki dan Shiah Imamiyyah berpendapat
bahawa wasiat tersebut tidak terbatal walaupun pembunuhan itu secara sengaja
atau bertujuan untuk mempercepatkan kematian pewasiat supaya dia mendapat
harta yang diwasiatkan itu dengan segera. Ini kerana wasiat merupakan suatu
akad pemilikan sama seperti hibah dan ia berlainan dengan pewarisan.
19
Di negeri-negeri yang telah ada undang-undang wasiat seperti Selangor, Melaka
dan Negeri Sembilan, memakai pendapat mazhab Hanafi dan Hanbali dalam
soal penerima wasiat membunuh pewasiat. Menurut Seksyen 14 Enakmen
Wasiat Orang Islam Selangor 1999 (peruntukan yang sama juga terdapat dalam
Seksyen 14 Enakmen Wasiat Orang Islam Melaka 2005 dan Enakmen Wasiat
Orang Islam Negeri Semblian 2004) memperuntukkan:-
“Sesuatu wasiat hendaklah menjadi batal sekiranya seseorang benefisiari
dengan sengaja menyebabkan kematian pewasiat, secara langsung atau
tidak langsung, sama ada dia bertindak sebagai prinsipal, rakan jenayah
atau pensubahat atau sebagai saksi palsu yang keterangannya
menyebabkan hukuman mati ke atas pewasiat dilaksanakan:
Dengan syarat bahawa pembunuhan tersebut adalah dilakukan tanpa hak
dan keuzuran syarie dan benefisiari adalah sempurna akal dan telah
mencapai umur matang menurut hukum syarak”.
h) Berlaku kerosakan terhadap harta yang diwasiatkan
Wasiat terbatal jika harta yang dinyatakan di dalam wasiat itu rosak sebelum
berlaku penerimaan.
11. PENGESAHAN WASIAT DI MAHKAMAH SYARIAH
Sebagaimana yang dijelaskan di bahagian awal penulisan ini, bidang kuasa Mahkamah
Syariah hanyalah terhad kepada penentuan waris yang terlibat dan juga bahagian
pusaka atau wasiat yang layak diterima sahaja sebagaimana yang telah dinyatakan
dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah perkara 74(2). Justeru itu,
setiap negeri diberi kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan dengan harta
perwarisan ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah di setiap negeri.
20
Di dalam negeri Perak, tiada Enakmen khusus berkaitan dengan wasiat telah digubal
bagi membolehkan rujukan dibuat berkaitan hukum berwasiat. Ianya hanya ada
diperuntukkan di dalam Seksyen 50 (3)(b)(v) Enakmen Pentadbiran Agama Islam
(Perak) 2004 sahaja iaitu di bawah peruntukan bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah.
Pelaksanaan terkini yang terpakai di dalam Mahkamah Syariah Perak adalah suatu
tuntutan pengesahan wasiat itu hendaklah dimulakan melalui pemfailan Saman dan
Pernyataan Tuntutan dengan menamakan waris-waris si mati (pemberi wasiat) menurut
hukum syarak sebagai Defendan atau Defendan-Defendan dalam tuntutan tersebut dan
ianya adalah terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah.
Bagi pembuktian tuntutan pengesahan wasiat di Mahkamah Syariah, Plaintif selaku
pihak yang menuntut menanggung beban untuk membuktikan bahawa segala rukun
dan syarat sah suatu wasiat yang didakwanya telah berlaku adalah sah di sisi hukum
syarak. Selepas Mahkamah berpuashati bahawa segala rukun dan syarat sah wasiat
tersebut telah dipenuhi dan berjaya dibuktikan di Mahkamah, dalam masa yang sama
Mahkamah juga perlu melakukan siasatan sama ada waris-waris si mati yang telah
dinamakan sebagai Defendan atau Defendan-Defendan tersebut bersetuju atau pun
tidak dengan wasiat tersebut sekiranya wasiat yang telah dibuat tersebut melebihi
daripada 1/3 bahagian daripada keseluruhan harta si mati yang ditinggalkan. Sekiranya
semua Defendan bersetuju maka ianya disahkan sebagaimana yang telah diwasiatkan
oleh si mati namun sekiranya tidak, maka wasiat tersebut boleh ditolak oleh Mahkamah.
Berkenaan persetujuan ahli waris terhadap wasiat yang melebihi satu pertiga, di dalam
kes Sheikh Abdul Latif dan lain-lain lwn Sheikh Elias Bux6, Mahkamah Rayuan di
Selangor telah memutuskan bahawa sahnya wasiat dan pembahagian harta seorang
Islam hendaklah mengikut undang-undang Islam seperti yang ditadbir oleh Negeri-
Negeri Melayu Bersekutu dan di bawah undang-undang Islam seseorang Islam tidak
boleh mewasiatkan lebih dari 1/3 dari harta kepunyaannya pada masa ia meninggal
dunia dan baki hartanya hendaklah dibahagikan kepada ahli warisnya mengikut
bahagian yang ditetapkan oleh undang-undang Islam. Dalam kes ini Sheikh Elias Bux
6 [1915] 1 (FMSLR 204)
21
telah membuat wasiat dalam tahun 1913 dan meninggal dunia tahun 1914. Wasiatnya
supaya hartanya dibahagikan sama rata antara anak angkatnya, dua balunya dan anak
perempuannya. Dia juga ada meninggalkan waris lain iaitu seorang saudara
perempuan dan dua orang saudara lelaki. Seorang saudara lelakinya telah menuntut di
mahkamah mengatakan wasiat tidak sah dan ia telah diterima oleh Mahkamah dan
diperintah supaya wasiat di bahagikan ikut hukum faraid Islam. Rayuan di Mahkamah
Rayuan juga telah ditolak.
Dalam kes Amanullah bin Haji Ali lawan Hajjah Jamlilah7 juga telah diputuskan di
Mahkamah Tinggi bahawa pewasiat yang cuba memberi lebih 1/3 dari hartanya kepada
seorang anak lelakinya adalah tidak sah dan diperintahkan diberikan kepada ahli waris
yang lain mengikut hukum syarak.
Selanjutnya, dalam kes Siti Binti Yatim lwn. Mohamed Nor Bin Bujal8, si mati telah
mewasiatkan bahawa kesemua hartanya diberikan kepada anaknya Mohamed Nor Bin
Bujal. Tujuan si mati membuat wasiat sedemikian adalah untuk menghalang isterinya
daripada mendapat semua bahagian dalam hartanya kerana beliau berpendapat
isterinya telah pun diberi cukup harta semasa hidupnya. Wasiat Bujal yang
mengutamakan anaknya dengan mengenepikan hak isterinya adalah tidak sah. Begitu
juga dengan kes In Re The Will of M. Mohamed Haniffa deceased Abdul Jabbar
lwn. M. Mohamed Abu Backer9 dan kes Katchi Fatimah lwn. Mohamed Ibrahim10,
Mahkamah turut memutuskan bahawa wasiat kepada ahli waris yang melebihi 1/3
tanpa persetujuan ahli waris yang lain adalah tidak sah.
Menelusuri pula kepada kes-kes lain yang telah diputuskan di Mahkamah Tinggi
Syariah Perak, iaitu dalam kes MKG & 7 lain lwn SUKSM & 4 lain11, di mana dalam
kes ini, Plaintif 1 hingga Plaintif 7 adalah merupakan anak kandung daripada
perkahwinan pertama si mati. Manakala, Defendan 1 adalah isteri pertama kepada si
7 (1975) 1 MLJ 70
8 (1983) 3 JH 217
9 (1940) 9 MLJ 286
10 (1962) 28 MLJ 374
11 Kes Mal Bil: 08100-039-0003-2018
22
mati dan Defendan 2 hingga Defendan 5 adalah merupakan anak kandung daripada
perkahwinan kedua si mati. Plaintif-Plaintif dalam kes ini membuat tuntutan kepada
Mahkamah untuk mengesahkan kata-kata lisan si mati yang dibuat dalam mesyuarat
agung keluarga pada 16.5.1998 sebagai suatu bentuk wasiat yang sah di sisi hukum
syarak. Dalam kes ini, tuntutan pengesahan wasiat yang difailkan telah ditolak oleh
Mahkamah disebabkan rukun wasiat itu sendiri tidak dipenuhi iaitu Plaintif-Plaintif tidak
menyatakan secara jelas apakah lafaz sighah yang disebut oleh si mati secara lisan
dalam mesyuarat tersebut di mana Plaintif-Plaintif hanya sekadar mendakwa bahawa si
mati ada menyatakan secara lisan sahaja tanpa berjaya memperincikan lafaz sighah
tersebut seterusnya membuktikannya kepada Mahkamah. Dalam kes ini juga, wasiat
yang didakwa dibuat oleh si mati tersebut juga adalah adalah melebihi 1/3 bahagian
dan tidak mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris si mati yang lain.
Seterusnya, di dalam satu kes lain yang telah diputuskan pula adalah kes AR & 1 lain
lwn AM & 8 lain12 di mana dalam kes ini faktanya adalah Plaintif 1 adalah merupakan
anak saudara lelaki kepada si mati manakala Plaintif 2 adalah anak angkat kepada si
mati dan Defendan-Defendan kesemuanya adalah ahli-ahli waris yang sah kepada si
mati. Dalam kes ini, si mati telah membuat suatu dokumentasi wasiat melalui Amanah
Raya Berhad pada 21.7.2011 yang mana isi kandungan dokumentasi wasiat tersebut
menyatakan bahawa kesemua harta alih dan tak alih yang disenaraikan di dalamnya
adalah diberikan kepada Plaintif 1 dan 2 selepas daripada kematiannya. Kesemua
Defendan dalam kes ini faham dengan wasiat yang dibuat oleh si mati tersebut dan
bersetuju dengan apa yang telah diwasiatkan oleh si mati melalui dokumentasi wasiat
tersebut, maka oleh yang demikian, Mahkamah mensabitkan bahawa wasiat tersebut
adalah sah di sisi hukum syarak.
12. ISU-ISU PELAKSANAAN WASIAT – PENGALAMAN DI MAHKAMAH
SYARIAH PERAK
12
Kes Mal Bil: 08105-039-0080-2018
23
Melalui pengalaman penulis mendengar pelbagai tuntutan pengesahan wasiat di
Mahkamah Syariah selama ini, adalah didapati bahawa terdapat beberapa isu yang
timbul dalam proses pengurusan wasiat. Isu utamanya sudah tentulah menyentuh
kepada ketidakfahaman masyarakat Islam mengenai hukum dan prosedur penyediaan
wasiat itu sendiri. Penyediaan wasiat khususnya secara bertulis merupakan suatu
proses yang paling penting kerana pada peringkat inilah termaktubnya suatu wasiat itu.
Implikasi yang timbul apabila suatu penulisan wasiat tersebut ditulis tanpa kefahaman
terhadap konsep wasiat yang sebenar dan tidak mengikuti hukum syarak dan juga
undang-undang yang ditetapkan sebagai contoh wasiat harta melebihi kadar 1/3 dan
juga wasiat dibuat kepada ahli waris.
Selain itu, isu seterusnya yang dilihat sering berlaku dalam kebanyakan perbicaraan
kes-kes tuntutan pengesahan wasiat di Mahkamah Syariah Perak adalah tiada atau
kurang kesepakatan di antara ahli-ahli waris kepada si mati kerana waris-waris si mati
tidak mengetahui tentang wasiat yang dibuat kerana tidak dimaklumkan oleh pewasiat
semasa hayatnya. Keadaan ini dapat dilihat selepas pihak penerima wasiat memfailkan
kes tuntutan pengesahan wasiat di Mahkamah di mana ada di antara waris-waris
kepada si mati yang terkejut dengan kewujudan wasiat oleh si mati tersebut, tidak
kurang juga ada yang kecewa dengan wasiat yang telah dibuat oleh si mati tersebut.
Oleh yang demikian, proses pelaksanaan menjadi lebih rumit dan sukar untuk
dilaksanakan di mana wasiat perlu dibatalkan daripada bahagian waris yang
membantah dan dilaksanakan pula pada bahagian waris yang bersetuju mengikut
bahagian mereka dalam pusaka.
13. KESIMPULAN
Kesimpulannya, wasiat adalah merupakan suatu keperluan dalam perancangan harta
pusaka kerana pembahagian harta pusaka menjadi lebih mudah sekiranya terdapat
wasiat yang ditinggalkan oleh pewasiat. Wasiat yang ditinggalkan perlulah dilaksanakan
segera sejurus selepas kematian pewasiat agar waris dan penerima wasiat menerima
wasiat yang telah ditetapkan. Kelewatan pelaksanaan boleh wasiat menyebabkan
24
sesebuah keluarga itu menjadi pecah belah dan boleh menyebabkan waris-waris
berterusan memakan harta yang bukan hak mereka dan harta anak yatim secara sedar
atau pun tidak. Walaubagaimanapun, perlu diingat bahawa bukan setakat
pelaksanaannya sahaja perlu disegerakan, tetapi yang lebih utama adalah penyediaan
dan/atau pembentukan wasiat itu perlulah dibuat selari dengan kehendak hukum syarak
dan undang-undang terlebih dahulu supaya tidak timbul masalah di hari kemudian
sama ada untuk mengesahkannya di Mahkamah Syariah atau untuk melaksanakannya
di agensi-agensi lain yang mempunyai kuasa melaksanakannya.