Analisis 5 Lagu Rakyat Assign

17
1.0 ANALISIS LAGU RAKYAT Pengenalan Karya -karya di dalam lagu rakyat merupakan puisi tradisional yang dikira sebagai sastera lisan atau sastera rakyat. Sebelum adanya penulisan, puisi disebarkan melalui lisan. Oleh itu, ia dikira sebagai sastera lisan. Kebiasaannya Puisi Melayu Tradisional disampaikan dalam bentuk nyanyian. Khazanah Puisi Tradisional kita mengandungi 12 genre puisi Melayu Tradisional iaitu Pantun, Syair, Gurindam, Seloka, Nazam, Teka-teki, Peribahasa berangkap, Teromba, Talibun, Prosa berirama, Mantera dan Dikir . Puisi Melayu Tradisional telah membentuk pemikiran dan mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu . Puisi tradisional yang digunakan dalam lagu rakyat atau nyanyian, kebanyakannya menggunakan pantun atau syair. Lagu dan lirik memainkan peranan besar dalam kehidupan manusia dari dahulu hingga kini. Selain menghiburkan, puisi dalam lagu juga merupakan salah satu cara untuk nenek moyang menyampaikan nasihat, memudahkan hafalan dan sebagainya. 1.1 ANALISIS LIRIK LAGU PUISI TRADISIONAL 1.1.1 Pengajaran Lagu “Lompat Si Katak Lompat” Lagu ini tergolong dalam puisi Melayu Tradisional, yang berperanan untuk mendidik kanak-kanak agar rajin belajar sekiranya ingin menjadi orang yang berjaya; bak kata pepatah 1

description

analisis

Transcript of Analisis 5 Lagu Rakyat Assign

Page 1: Analisis 5 Lagu Rakyat Assign

1.0 ANALISIS LAGU RAKYAT

Pengenalan

Karya -karya di dalam lagu rakyat merupakan puisi tradisional yang dikira

sebagai sastera lisan atau sastera rakyat. Sebelum adanya penulisan, puisi

disebarkan melalui lisan. Oleh itu, ia dikira sebagai sastera lisan. Kebiasaannya

Puisi Melayu Tradisional disampaikan dalam bentuk nyanyian. Khazanah Puisi

Tradisional kita mengandungi 12 genre puisi Melayu Tradisional iaitu Pantun, Syair,

Gurindam, Seloka, Nazam, Teka-teki, Peribahasa berangkap, Teromba, Talibun,

Prosa berirama, Mantera dan Dikir. Puisi Melayu Tradisional telah membentuk

pemikiran dan mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu. Puisi tradisional yang

digunakan dalam lagu rakyat atau nyanyian, kebanyakannya menggunakan pantun

atau syair. Lagu dan lirik memainkan peranan besar dalam kehidupan manusia dari

dahulu hingga kini. Selain menghiburkan, puisi dalam lagu juga merupakan salah

satu cara untuk nenek moyang menyampaikan nasihat, memudahkan hafalan dan

sebagainya.

1.1 ANALISIS LIRIK LAGU PUISI TRADISIONAL

1.1.1 Pengajaran Lagu “Lompat Si Katak Lompat”

Lagu ini tergolong dalam puisi Melayu Tradisional, yang berperanan untuk

mendidik kanak-kanak agar rajin belajar sekiranya ingin menjadi orang yang berjaya;

bak kata pepatah Melayu , hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Lirik di dalam

lagu ini memberikan pengajaran bahawa seseorang yang ingin berbakti kepada

negara haruslah bermula daripada sikap rajin belajar agar menjadi orang yang

terpelajar serta bangsa yang berilmu. Selain itu, di dalam lagu ini juga terdapat kata-

kata ‘semua orang akan gembira’ yang bermaksud bahawa ibu bapa serta guru-guru

juga akan turut gembira sekiranya kanak-kanak itu berjaya.

Terdapat juga nasihat dan pengajaran di dalam lagu ini yang berulang kali

mengingatkan tentang bangun di waktu pagi. Mengikut adat Melayu dan ajaran

Islam, bangun di waktu pagi memberikan banyak kebaikan kerana pada waktu

1

Page 2: Analisis 5 Lagu Rakyat Assign

tersebut adalah masa di mana rezeki akan masuk. Maka adalah wajar bagi

seseorang itu bangun pagi untuk mencari rezeki.

Pengaruh Lagu Lompat Si Katak Lompat

Lagu lompat si katak merupakan lagu kanak-kanak (nursery and children song).

Pengaruh puisi yang terdapat dalam lagu ini ialah pengaruh pantun. Lagu ini

mempunyai lapan rangkap, dan setiap rangkap terdiri daripada empat baris. Rima

dalam lagu ini ialah berbentuk rima terikat iaitu a,b,a,b. Contohnya:

Lompat si katak lompat

Lompat lah tinggi-tinggi

Cepat lah adik cepat

Cepat bangun pagi-pagi

Selain itu lirik lagu ini mempunyai rima terikat berbentuk a,a,a,a. Contohnya:

Kalau adik rajin usaha

Tentu jadi orang berjaya

La la la la la la la (2x)

Semua akan gembira

Baris pertama dan kedua pantun empat kerat dinamakan pembayang atau

sampiran. Dua baris kemudiannya disebut maksud. Setiap rangkap pantun

melengkapkan satu idea yang hendak disampaikan. Pantun berkait memerlukan

lebih daripada satu rangkap untuk melengkapkan idea yang hendak disampaikan.

Pantun yang dilahirkan dalam lagu ini adalah sebagai alat komunikasi dalam

masyarakat yang bertemakan kasih sayang. Tujuannya adalah untuk menasihati

golongan muda terutamanya kanak-kanak agar mereka rajin menimba ilmu. Pantun

jenis ini walaupun pendek maksudnya tetapi mengandungi nasihat yang padat dan

bernas. Nasihat yang disampaikan sungguh berkhemah dan secara tidak langsung

menunujukan sikap kesopanan dalam menasihati seseorang.

2

Page 3: Analisis 5 Lagu Rakyat Assign

Ia juga berfungsi sebagai hiburan kepada masyarakat setempat.

Ciri pantun yang terdapat dalam lagu ini berpola dan berentak iaitu baris pantun

yang bersukat dan seimbang dengan pola rima di hujung dan di tengah baris, apabil

diucapkan memunculkan rima yang menjadikannya mudah dihafaz dan diingat

semula. Contohnya:

Lompat si katak lompat

Lompat lah tinggi-tinggi

Cepat lah adik cepat

Cepat bangun pagi-pagi

Seterusnya pengaruh pantun yang terdapat dalam lagu rakyat ini ialah pemilihan

katanya yang berkaitan dengan alam sekeliling seperti katak, bangun, dan pagi-pagi.

Ia juga menggunakan Bahasa yang ringkas tetapi padat contohnya Kalau adik rajin

usaha, tentu jadi orang berjaya. Penggunaan perumpamaan sebegini memudahkan

hafalan kerana perumpamaan ialah ungkapan yang dikongsi bersama, selalu

didengar justeru cepat terakam di dalam minda.

Lagu rakyat ini juga mempunyai ciri-ciri pantun dari segi pengulangan ayat atau

perkataan. Perulanagan merupakan satu teknik yang bijak untuk memebantu

ungatan malahan membangkitkan ritma yang mengindahkan bunyi dan

menimbulkan kesan atasa bentuk pantun.Contonya :

Lompat si katak lompat

Lompat lah tinggi-tinggi

Cepat lah adik cepat

Cepat bangun pagi-pagi

Lompat si katak lompat

Lompat lah tinggi-tinggi

Cepat lah adik cepat

Cepat bangun pagi-pagi

3

Page 4: Analisis 5 Lagu Rakyat Assign

Lagu ini juga menggunakan bahasa pengulangan aliterasi iaitu pengulangan yang

berlaku dalam ayat. Pengulangan kata ganda sepenuhnya juga digunakan iaitu

tinggi-tinggi dan pagi-pagi.

Bruvand (dlm. Fauzi Abdullah, 2010) mengelaskan lagu rakyat jenis near folksongs

iaitu lagu yang mana liriknya(puisi) lebih dipentingkan daripada muziknya. Lagu ini

juga merupakan jenis lagu rakyat berfungsi untuk hiburan dan pendidikan

1.1.2 Pengajaran Lagu Rakyat Ikan Kekek

Secara keseluruhannya, lagu rakyat ini pula memberi pengajaran mengenai laut

yang tercemar akibat perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab dan suka

membuang sampah ke dalam laut sehingga menjejaskan bilangan haiwan-haiwan

yang tinggal di laut serta hidupan laut yang lain. Antara kehidupan laut yang terjejas

ialah batu karang, sotong, ikan paus dan ikan jerung. Air laut menjadi tercemar dapat

dibuktikan melalui lirik di dalam lagu rakyat ini di mana seekor ikan paus berasa

hairan terhadap warna laut yang dahulunya berwarna biru tetapi kini sudah berubah

menjadi warna kelabu.

Di samping itu, lagu ini turut merujuk kepada perbuatan manusia yang tidak

rasional iaitu mengambil batu-batu karang secara sewenang-wenangnya yang mana

telah mengakibatkan bilangan batu karang yang terdapat di dasar laut semakin

berkurangan. Perbuatan manusia yang rakus itu secara tidak langsung telah

menjejaskan ekosistem hidupan di dalam laut.

Lagu ini juga memberi pengajaran supaya manusia tidak melakukan sesuka hati

terhadap hidupan seperti haiwan. Terdapat keluhan di dalam lagu rakyat ini yang

menyatakan tentang sikap manusia yang memburu ikan jerung untuk mendapatkan

siripnya. Perbuatan memburu haiwan tersebut dan memotong siripnya secara

berleluasa untuk dijadikan hidangan makanan adalah dianggap sebagai menganiaya

binatang.

Pengaruh Lagu “Ikan Kekek”

4

Page 5: Analisis 5 Lagu Rakyat Assign

Lagu rakyat ikan kekek ini mempunyai pengaruh syair. Syair merupakan sejenis

puisi berlagu berasal dari Arab- Parsi dan telah dibawa masuk ke Alam Melayu

bersama-sama dengan kedatangan Islam. Tetapi lagu ini tidak beracukan syair Arab

atau mana-mana puisi Arab Parsi tetapi ciptaan asli masyarakat Melayu. Lagu rakyat

ini mempunyai ciri syair jenis kiasan.Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan bentuk

perlambangan atau kiasan di mana watak ikan mewakili sikap manusia. Contoh

Ikan paus tanya padaku

Mengapakah laut tak macam dulu

Mengapakah air biru dah jadi kelabu

Ketam batu tanya pada sotong

Mengapakah banyak sampah yang terapung

Apakah ini angkara manusia yang sombong

Ciri-ciri syair yang terdapat dalam lagu rakyat ini ialah rima akhirnya adalah sama .

Rangkap pertama empat baris serangkap dengan rima a/a/a/a. Rangkap kedua,

rangkap ketiga, rangkap keempat dan rangkap kelima mempunyai variasi bentuk

dalam syair melayu iaitu tiga baris serangkap dengan rima a/a/a. contohnya:

Sang Duyung pun turut menangis

Air matanya jatuh tak putus-putus

Di atas batu karang yang semakin pupus

Dan Sang Jerung pun turut bermurung

Kerana ramai kawan -kawannya yang sudah kudung

Kerana makanan siripnya sudah dipotong

Struktur syair dalam lagu ikan kekek ini mempunyai maksud yang tersirat pada

setiap baris kerana syair tidak mempunyai pembayang seperti pantun. Contohnya:

Sang Duyung pun turut menangis

Air matanya jatuh tak putus-putus

Di atas batu karang yang semakin pupus

5

Page 6: Analisis 5 Lagu Rakyat Assign

Setiap rangkap syair tidak boleh berdiri sendiri kerana saling berkait dengan

rangkap-rangkap yang lain. Isinya bercorak cerita yang berfungsi sebagai

pengajaran dan nasihat. Contohnya:

Dulu laut indahnya amboi

Tapi sekarang semua dah terabai

Sang Duyung pun turut menangis

Air matanya jatuh tak putus-putus

Di atas batu karang yang semakin pupus

1.1.3 Pengajaran Lagu Kalau Tidak Kerana Bintang

Terdapat pelbagai nasihat dan pengajaran yang dapat diperolehi daripada lagu

rakyat yang bertemakan budi dan kasih sayang ini. Antaranya ialah budi baik

seseorang itu akan sentiasa dikenang walaupun jasad seseorang itu sudah tiada lagi

di dunia ini. Selain itu, lagu ini turut memberi nasihat bahawa seseorang itu akan

dipandang hina sekiranya tidak berbudi. Dalam setiap ajaran agama ada

menekankan tentang amalan berbudi iaitu berbuat baik dengan sesama manusia.

Oleh itu, manusia tidak akan rugi dengan melakukan kebaikan sebaliknya mereka

akan dipandang hina dengan melakukan keburukan.

Lagu rakyat ini turut mengajar kita supaya mengamalkan sifat maaf-memaafi

antara sesama manusia dalam kehidupan. Sekiranya seseorang itu melakukan

kesilapan, maka eloklah kita mengamalkan sifat saling bermaaf-maafan dan tidak

menyimpan sifat marah serta dendam di dalam hati.

Pengaruh Lagu Kalau Tidak Kerana Bintang

Lagu kalau tidak kerana bintang merupakan lagu pemberi nasihat berbuat baik.

(homiletic folksongs) .Pengaruh puisi yang terdapat dalam lagu ini ialah pengaruh

6

Page 7: Analisis 5 Lagu Rakyat Assign

pantun. Lagu ini mempunyai empat rangkap, dan setiap rangkap terdiri daripada

empat baris. Rima dalam lagu ini ialah berbentuk rima terikat iaitu a,b,a,b Contoh,

Kalau tidak kerana bintang

Tak kan bulan terbit tinggi

Kalau tidak kerana sayang

Tak kan saya datang ke mari

Selain itu lirik lagu ini mempunyai rima tidak terikat berbentuk a,b,c,b. Contohnya

Bunga melati bunga bidara

Bunga seroja di tepi kali

Hina besi kerana karat

Hina manusia kerana tidak berbudi

Baris pertama dan kedua pantun empat kerat dinamakan pembayang atau

sampiran. Dua baris kemudiannya disebut maksud. Setiap rangkap pantun

melengkapkan satu idea yang hendak disampaikan. Pantun berkait memerlukan

lebih daripada satu rangkap untuk melengkapkan idea yang hendak disampaikan.

Pantun yang dilahirkan dalam lagu ini adalah sebagai alat komunikasi dalam

masyarakat yang bertemakan kasih sayang. Tujuannya adalah untuk menasihati

golongan muda supaya tidak melupakan budi seseorang.

Kalau tidak kerana bintang

Tak kan bulan terbit tinggi

Kalau tidak kerana sayang

Tak kan saya datang ke mari

7

Page 8: Analisis 5 Lagu Rakyat Assign

Pantun jenis ini walaupun pendek maksudnya tetapi mengandungi nasihat yang

padat dan bernas. Nasihat yang disampaikan sungguh berhemah dan secara tidak

langsung menunujukan sikap kesopanan dalam menasihati seseorang. Contohnya:

Pulau Pandan jauh ke tengah

Gunung Daik bercabang tiga

Hancur badan dikandung tanah

Budi yang baik dikenang jua

Ia juga berfungsi sebagai hiburan kepada masyarakat setempat.

Ciri pantun yang terdapat dalam lagu ini berpola dan berentak iaitu baris pantun

yang bersukat dan seimbang dengan pola rima di hujung dan di tengah baris,

apabila diucapkan memunculkan rima yang menjadikannya mudah dihafaz dan

diingat semula. Contohnya

Kalau ada jarum yang patah

Jangan disimpan di dalam peti

Kalau ada silap dan salah

Jangan di simpan di dalam hati

Seterusnya pengaruh pantun yang terdapat dalam lagu ini ialah pemilihan katanya

yang berkaitan dengan alam sekeliling seperti bulan, gunung, bunga melati, dan

bunga seroja. Ia juga menggunakan Bahasa yang ringkas tetapi padat contohnya,

Kalau ada jarum yang patah,

Jangan disimpan di dalam peti

Penggunaan perumpamaan sebegini memudahkan hafalan kerana perumpamaan

ialah ungkapan yang dikongsi bersama, selalu didengar justeru cepat terakam di

dalam minda.

8

Page 9: Analisis 5 Lagu Rakyat Assign

1.1.4 Pengajaran Lagu Rakyat Burung Kenek-kenek

Lagu rakyat ini mengandungi beberapa pengajaran yang mementingkan jati diri

dan sifat seseorang. Lagu ini mendidik kanak-kanak supaya rajin belajar dan

memberi keutamaan kepada ilmu. Ilmu tidak akan datang bergolek tanpa sikap rajin

berusaha untuk belajar. Sebenarnya, orang tua dahulu kala telah lebih mengetahui

akan kepentingan menuntut ilmu. Oleh itu, tidak hairanlah dalam setiap rangkap lagu

ini banyak menyelitkan kata-kata ‘pesan datuk nenek’ yang menunjukkan bahawa

walau pun mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi pada masa itu,

tetapi mereka faham akan kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan dan

sebagai bekalan di akhirat.

Selain itu, lagu ini juga menekankan amalan nilai murni iaitu sikap tolong-

menolong dalam kehidupan. Nilai murni dalam lagu tersebut lebih memfokuskan

kepada amalan menolong ibu bapa yang telah mengasuh kita. Untuk menjadi insan

yang berguna, selain menuntut ilmu, kejayaan seseorang juga bergantung kepada

restu dan usaha ibu bapa yang telah penat lelah mendidik dan membesarkan kita.

Oleh itu, sebagai anak, adalah tidak wajar untuk kita melupakan akan segala jasa

dan pengorbanan ibu bapa terhadap kita selama ini. Lantaran itu, atas rasa

kesedaran dan tanggungjawab kepada kedua-dua ibu bapa, maka kita jangan lupa

untuk menolong ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk kita.

Pengajaran Lagu Rakyat Burung Kenek-kenek

Pengaruh Gurindam terdapat dalam lagu ini berdasarkan kepada definisinya iaitu,

Gurindam sebagai sebuah wacana yang mengandungi kalimat yang berirama

( Illadam 2003). Menurut kamus dewan (1994) Gurindam ialah sejenis puisi yang

terdiri daripada 2 baris, berisi dengan berbagai-bagai pengajaran.

Burung kenek kenek terbang tinggi di awan

Pesan datuk nenek pandai pandai cari kawan

Burung kenek kenek terbang atas pagar

Pesan datuk nenek rajin rajin lah belajar

Berdasarkan bait lagu diatas, lagu ini termasuk dalam golongan gurindam berbentuk

terikat. Bait ini terdiri daripada dua baris yang berpasangan dan berirama. Baris

9

Page 10: Analisis 5 Lagu Rakyat Assign

pertama sebagai isyarat dan baris kedua sebagai jawapan. Kedua-dua beris

tersebut merupakan kesatuan yang utuh. setiap baris biasanya mengandungi tiga

hingga enam patah perkataan; dan polarima a-a; a-b; atau serima. Setiap rangkap

ini merupakan sebahagian daripada idea yang berturutan dan biasanya memerlukan

beberapa rangkap untuk menyatakan keseluruhan idea.

Lagu burung Kenek-Kenek juga bertepatan dengan fungsi gurindam iaitu sebagai

alat untuk meyampaikan pengajaran dengan menunjukkan jalan hidup yang

sempurna kepada masyarakat. Dalam lagu ini dapat dilihat pelbagai aspek

pengajaran yang berfungsi untuk membimbing masyarakat bagi mencapai taraf

hidup yang sempurna.

Contohnya;

Burung kenek kenek hinggap atas atap

Pesan datuk nenek rajin- rajin baca kitab

Burung kenek kenek hinggap pohon kelapa

Pesan datuk nenek bantulah ibu dan bapa

1.1.5 Pengajaran Lagu Rakyat Air Pasang Pagi

Berdasarkan lirik lagu rakyat Air Pasang Pagi, pengajaran yang boleh kita

terapkan di dalam kehidupan harian adalah amalan menyiram pokok bunga

hendaklah dilakukan pada waktu pagi. Ini adalah kerana tumbuh-tumbuhan akan

menjadi segar dan sihat jika disiram pada sebelah pagi. Sebaliknya, jika disiram

pada sebelah petang, tumbuh-tumbuhan tersebut tidak dapat menyerap sumber air

dengan baik. Hal ini sesuai dengan kaedah keperluan tumbuhan seperti dalam ilmu

sains tumbuhan. Ini berdasarkan lirik lagu ‘Nyonya bangun pagi, siram pokok

bunga’. Hakikatnya, amalan bangun pada waktu pagi ini juga seiring dengan ajaran

Islam yang menggalakkan manusia melakukan pekerjaan dan menuntut ilmu di awal

pagi. Selain dikatakan bahawa seseorang itu akan murah rezeki jika melaksanakan

tugas di waktu pagi, kebaikan lain ialah dengan bangun di awal pagi, maka banyak

tugas dapat disiapkan dan diselesaikan dengan segera.

Lagu rakyat ini juga mengandungi unsur pengajaran yang mendidik manusia

10

Page 11: Analisis 5 Lagu Rakyat Assign

supaya sentiasa mengamalkan sikap bersederhana dalam tindak tanduk dan tutur

kata seperti tidak ketawa secara berlebihan semasa bergurau-senda. Budaya

Melayu pada ketika itu amat menitikberatkan sikap budi bahasa dan sopan-santun

yang tinggi dalam kehidupan seharian. Justeru itu, adalah tidak sopan jika

seseorang itu ketawa secara berlebihan di khalayak ramai kerana aksi tersebut

dapat mencerminkan peribadi seseorang yang tidak bersopan.

Pengajaran Lagu Rakyat Air Pasang Pagi

Pengaruh Gurindam

Pengaruh gurindam dapat dilihat dalam lirik Lagu Air Pasang Pagi. Ini dalah

berdasarkan kepada ciri-ciri gurindam

a. setiap bait terdiri atas dua larik

b. jumlah suku kata dalam setiap larik antara 10 – 14

c. bersajak aa

d. hubungan larik 1 dan 2 membentuk kalimat majmuk yang biasanya bersifat sebab

dan akibat.

Contohnya

Air pasang pagi surut pukul lima

Nyonya bangun pagi siram pokok bunga

Pokok bunga melur tanam tepi batas

Itik bertelur ayam menetas

Pengaruh Seloka.

Selain itu, lirik lagu ini mempunyai ciri-ciri bahasa seloka. Antara ciri-ciri seloka ialah:

a. Sejenis puisi 2 baris/ kerat

b. Mempunyai 16 suku kata yang disusun dalam 4 unit

c. Mempunyai 4 baris seloka / lebih

d. Bebas dari segi rima

Isi seloka ialah pengajaran dan nasihat tetapi disampaikan dalam nada yang

berbentuk nada menyindir dan mengejek / dalam nada jenaka. Hal ini dapat

11

Page 12: Analisis 5 Lagu Rakyat Assign

dibuktikan dalam rangkap

Encik Baba jatuh dalam parit

Cik Minah datang tolong tarik

Encik Baba upah satu ringgit

Cik Minah beli kain songket

Selain itu, pengaruh seloka juga berperanan sebagai alat untuk berhibur kepada

masyarakat. Hal ini dapat dibuktikan melalui keseluruhun lirik lagu ini yang

sememangnya bertujuan sebagai hiburan.

Kesimpulan

Pada keseluruhannya kelima-lima buah lagu yang dikaji merupakan lagu rakyat. Ini

berdasarkan kepada lirik lagu rakyat ini mempunyai kaitan dengan bentuk puisi lama

yang masih lagi didendangkan sehingga hari ini. Tanpa diketahui siapakah

penciptanya, lagu rakyat yang lahir dalam kalangan masyarakat tradisi ini terus

berkembang dari generasi kepada satu generasi secara lisan. Sesuai dengan diksi

‘lagu’, lagu rakyat ini ada nadanya yang tersendiri dan dipersembahkan secara

berlagu. Justeri, lagu rakyat menjadi salah satu daripada bentuk yang sangat

digemari oleh masyarakat sewaktunya untuk menghiburkan hati. Lagu rakyat yang

terhasil daripada gabungan gubahan senikata dan melodi dengan muzik atau tanpa

iringan muzik ini berupaya mencerminkan pemikiran, sikap, nilai dan kelakuan

masyarakat yang memilikinya. Daripada lirik dan irama yang dibawanya

menunjukkan betapa kebijaksanaan intelektual masa silam yang mengkagumkan.

12

Page 13: Analisis 5 Lagu Rakyat Assign

13