BAB 01

10
  1 BAB 1 PENGENALAN DAN DEFINISI KONSEP OBJEKTIF BAB Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Menerangkan  maksud moral dan etika. 2. Memahami  perkaitan antara moral dan etika. 3. Membezakan  pendekatan-pendekatan falsafah etika. 4. Menjelaskan  bagaimana gerakan-gerakan mengenai etika dikaitkan dengan pentadbiran dan aspek kehidupan manusia. 5. Menerangkan  etika yang perlu ada dalam perkhidmatan awam. 1.1 PENGENALAN Etika ialah salah satu unsur penting dalam kehidupan yang menjadi garis panduan kepada tingkah laku seseorang individu. Bayangkan kehidupan kita dalam dunia yang tidak mengambil kira aspek moral, tidak ada justifikasi betul atau salah, baik atau buruk. Di sinilah terletaknya kepentingan aspek moral dan etika. Etika digunakan untuk merujuk atau mengkategorikan konsep-konsep seperti “betul” atau “salah”, “wajar” atau “tidak” serta “baik” atau “buruk” dalam konteks moral. Jadi etika atau moral sering kali dilihat sebagai satu elemen yang sinonim. Dalam kehidupan seharian, kita sering kali diajukan atau bertanya diri sendiri persoalan-persoalan berkenaan etika yang menentukan wajar atau tidak, betul atau salah segala tindak-tanduk kita. Contohnya, adakah wajar tindakan seorang doktor yang terpaksa memungkiri janji kerana mengendalikan satu kes kecemasan? Dalam persoalan ini kita dapati ada unsur tolak ansur atau justifikasi moral yang mungkin berbeza antara individu. Individu A misalnya mungkin mengatakan “sangat wajar tindakan tersebut”, individu B mungkin mengatakan “wajar kerana membantu orang yang sakit lebih penting daripada menghadiri temu janji”, individu C pula mungkin mengatakan “wajar atau tidak bergantung kepada sejauh mana seriusnya kes kecemasan tersebut”.  Terdapat juga persoalan moral atau etika yang mempunyai perkaitan dengan unsur perundangan. Contohnya, kita tidak boleh membunuh orang yang tidak bersalah. Sebagai seorang manusia yang normal kita akan rasa bersalah jika melakukan sesuatu yang memberikan kesan yang buruk kepada orang lain. Malahan kita boleh dihukum atau dikenakan tindakan undang-undang jika berbuat demikian. Jadi kita boleh simpulkan bahawa aspek etika mungkin hanya dinilai dari segi moralnya sahaja sama ada betul atau salah,

Transcript of BAB 01

  • 1

    BAB 1

    PENGENALAN DAN DEFINISI KONSEP

    OBJEKTIF BAB

    Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Menerangkan maksud moral dan etika. 2. Memahami perkaitan antara moral dan etika. 3. Membezakan pendekatan-pendekatan falsafah etika. 4. Menjelaskan bagaimana gerakan-gerakan mengenai etika dikaitkan

    dengan pentadbiran dan aspek kehidupan manusia. 5. Menerangkan etika yang perlu ada dalam perkhidmatan awam.

    1.1 PENGENALAN Etika ialah salah satu unsur penting dalam kehidupan yang menjadi garis panduan kepada tingkah laku seseorang individu. Bayangkan kehidupan kita dalam dunia yang tidak mengambil kira aspek moral, tidak ada justifikasi betul atau salah, baik atau buruk. Di sinilah terletaknya kepentingan aspek moral dan etika. Etika digunakan untuk merujuk atau mengkategorikan konsep-konsep seperti betul atau salah, wajar atau tidak serta baik atau buruk dalam konteks moral. Jadi etika atau moral sering kali dilihat sebagai satu elemen yang sinonim. Dalam kehidupan seharian, kita sering kali diajukan atau bertanya diri sendiri persoalan-persoalan berkenaan etika yang menentukan wajar atau tidak, betul atau salah segala tindak-tanduk kita. Contohnya, adakah wajar tindakan seorang doktor yang terpaksa memungkiri janji kerana mengendalikan satu kes kecemasan? Dalam persoalan ini kita dapati ada unsur tolak ansur atau justifikasi moral yang mungkin berbeza antara individu. Individu A misalnya mungkin mengatakan sangat wajar tindakan tersebut, individu B mungkin mengatakan wajar kerana membantu orang yang sakit lebih penting daripada menghadiri temu janji, individu C pula mungkin mengatakan wajar atau tidak bergantung kepada sejauh mana seriusnya kes kecemasan tersebut. Terdapat juga persoalan moral atau etika yang mempunyai perkaitan dengan unsur perundangan. Contohnya, kita tidak boleh membunuh orang yang tidak bersalah. Sebagai seorang manusia yang normal kita akan rasa bersalah jika melakukan sesuatu yang memberikan kesan yang buruk kepada orang lain. Malahan kita boleh dihukum atau dikenakan tindakan undang-undang jika berbuat demikian. Jadi kita boleh simpulkan bahawa aspek etika mungkin hanya dinilai dari segi moralnya sahaja sama ada betul atau salah,

  • 2

    wajar atau tidak tetapi tidak ada tindakan yang boleh dikenakan. Jika dilihat dari satu segi yang lain sesuatu tindakan itu mungkin salah atau tidak wajar dan ada tindakan yang boleh diambil untuk membetulkan atau mewajarkan tindakan tersebut khususnya yang mempunyai implikasi undang-undang. 1.2 DEFINISI KONSEP MORAL DAN ETIKA Etika berasal daripada perkataan Inggeris iaitu ethics dan ethics pula berasal daripada perkataan Greek, iaitu ethos yang membawa maksud karektor atau watak atau keperibadian kita (Richard, 1986). Ia merupakan teori berkaitan dengan sesuatu tindakan dan tujuan yang membawa kepada makna sesuatu tindakan tersebut. M.Uthman El-Muhammady (1984) merujuknya sebagai falsafah nilai atau disiplin ilmu yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tingkah laku manusia yang betul. Iwabuchi (1990) pula mendefinisikan etika sebagai sains moral dan prinsip-prinsip moral yang bertanggungjawab menentukan sesuatu tindakan seseorang itu sama ada baik atau buruk (Mustafa Daud, 1996). Bertens (2003) melihat etika sebagai satu cabang ilmu yang membicarakan tentang apa yang boleh atau dapat dilakukan yang merujuk kepada ilmu tentang adat kebiasaan. Beliau menjelaskan pengertian etika kepada tiga berdasarkan Kamus Besar Bahasa Indonesia iaitu pertama etika sebagai ilmu berkenaan apa yang baik dan buruk tentang hak dan kewajipan moral (akhlak). Kedua, kumpulan asas atau sesuatu nilai yang berkaitan dengan nilai moral, seperti kod etika. Pengertian yang ketiga melihat etika sebagai nilai tentang benar dan salah yang dianuti sesuatu golongan atau komuniti. Ini bererti etika ialah satu sistem nilai yang berfungsi sebagai satu pegangan kepada individu atau kumpulan atau masyarakat dalam mengatur tindakannya. Perkataan moral berasal daripada bahasa Latin iaitu mos (mores) yang membawa maksud kebiasaan atau adat. Etimologi kata moral dikatakan sama dengan etimologi kata etika kerana kedua-duanya berasal daripada kata yang bermaksud adat kebiasaan walaupun bahasa asalnya adalah berbeza (Bertens, 2003). Mohd. Nasir Omar (1986) menjelaskan bahawa moral merupakan cara atau berbagai-bagai kaedah untuk melihat dan mempersoalkan pelbagai isu berkaitan dengan sesuatu perbuatan atau tingkah laku. Morality pula ialah perkataan Latin yang berasal daripada kata moralis yang membawa makna adat, kebiasaan, kelakuan, gaya atau sikap. Ia merupakan satu kenyataan umum yang diterima oleh sesebuah masyarakat tentang sesuatu tingkah laku manusia sama ada baik atau buruk. Dalam sistem moral terdapat kepercayaan tentang hakikat manusia, kepercayaan dan pegangan tentang kebaikan dan keburukan yang ingin dicapai, peraturan mengenai sesuatu yang boleh, tidak boleh atau harus dilakukan, dan dorongan-dorongan yang membuat seseorang itu mengikut sesuatu arah yang betul atau salah. Moral bertunjangkan agama dan terhasil daripada

    FujitsuHighlight

  • 3

    kepercayaan dan agama. Jadi etika lazimnya dirujuk kepada karektor atau ciri-ciri keperibadian individu manakala moraliti lebih merujuk kepada aspek hubungan antara manusia (Thiroux, 1995). Lazimnya apabila kita menyatakan bahawa seseorang itu beretika atau bermoral atau tidak beretika atau tidak bermoral kita sering kali merujuk kepada maksud yang sama. Ini bermakna, apabila kita berkata manusia A ialah seorang yang bermoral atau beretika kita sebenarnya mengatakan bahawa individu A tadi ialah seorang yang baik iaitu mempunyai karektor, watak dan keperibadian yang disenangi. Malahan beliau juga menunjukkan sikap, gaya dan kelakuan yang positif dalam hubungannya dengan manusia lain. Begitulah sebaliknya apabila kita mengatakan individu B ialah seorang yang tidak beretika atau tidak bermoral. Apa yang sebenarnya kita maksudkan ialah individu B ialah seorang yang tidak baik dari segi watak, karektor dan keperibadiannya. Oleh itu, individu B tidak mempamerkan sikap dan kelakuan yang disenangi dalam hubungannya dengan manusia lain. Sebenarnya pertimbangan moral individu sangat bergantung kepada persekitaran atau suasana di tempat individu tersebut berada, situasi individu dibesarkan, agama yang dianuti serta sistem sosial dalam masyarakat (Mohd. Nasir Omar, 1986). Contohnya, tinggal serumah antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim adalah sesuatu yang tidak bermoral dan salah serta berdosa bagi orang-orang Islam tetapi bagi satu masyarakat yang lain itu adalah perkara biasa dan tidak akan dianggap tidak bermoral.

    SOALAN DALAM TEKS

    1. Terangkan apa yang anda faham dengan perkataan

    etika? 2. Adakah etika dan moral mempunyai persamaan?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    1.3 PERKAITAN ANTARA MORAL DAN ETIKA Etika berkaitan dengan tindakan dan praktis. Ia berkaitan dengan nilai-nilai seperti apakah yang sepatutnya dilakukan? Contohnya, apakah tindakan yang paling wajar dilakukan dalam situasi ini? Adakah kita tidak boleh berbohong sama sekali? Bolehkah kita mencuri untuk membantu orang fakir? Apabila kita membincangkan persoalan-persoalan ini, lazimnya ia perlu bersandarkan kepada kepercayaan, adat, budaya dan agama yang dipegang.

  • 4

    Teori-teori moral membincangkan aspek yang berbeza berkenaan dengan skop moraliti. Adakah aspek moral ini merangkumi semua makhluk Tuhan atau hanya khusus kepada manusia atau mereka yang rasional? Selain mempunyai perkaitan yang sangat rapat dengan agama, moraliti juga mempunyai perkaitan rapat dengan undang-undang. Ini kerana undang-undang membolehkan kita semua hidup dalam keharmonian sosial dan menyelesaikan konflik-konflik yang berkaitan dengan satu-satu kepentingan (conflict of interest) (Pojman, 1998). Terdapat perbezaan antara kedua-duanya kerana aspek etika mungkin menganggap sesetengah undang-undang itu tidak bermoral sedangkan undang-undang tersebut sebenarnya sah sebagai satu undang-undang. Contohnya, terdapat undang-undang yang membolehkan pengguguran dilakukan, iaitu ia sah di sisi undang-undang tetapi dari segi etika perbuatan tersebut dikatakan tidak bermoral dan dari segi agama pula adalah berdosa. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa penulis yang menyamakan istilah moral dalam bahasa Latin dengan ethos dalam bahasa Greek. Kedua-dua perkataan ini bersangkut paut dengan aktiviti-aktiviti praktikal yang berkaitan dengan tingkah laku, adat dan cara hidup serta niat dan kecenderungan seseorang individu atau sesuatu masyarakat. Secara ringkasnya boleh dikatakan bahawa istilah moral dan etika memfokuskan kepada perkara-perkara yang lebih kurang sama dan juga mempunyai bidang kajian yang hampir serupa. Moral ditafsirkan sebagai satu disiplin yang dapat menerangkan kepada kita tentang sistem moral yang dihayati oleh sesuatu komuniti tertentu manakala etika pula cuba mengkaji, menganalisis dan mengkritik sistem moral tersebut. Oleh yang demikian etika dikatakan bersifat reflektif dan teoritikal sedangkan moral bersifat praktikal (Mohd. Nasir Omar, 1986).

    SOALAN DALAM TEKS

    3. Mengapakah undang-undang penting dalam aspek

    moral dan etika?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    1.4 FALSAFAH ETIKA DAN KLASIFIKASINYA Etika atau kadangkala disebut falsafah moral ialah satu usaha sistematik untuk kita lebih memahami konsep-konsep moral dan menjustifikasikan prinsip-prinsip moral tersebut. Pendekatan falsafah yang mengkaji tentang moraliti terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Etika Normatif atau Preskriptif dan Etika Metaethics atau Analytic (Thiroux, 1995). Mohd. Nasir

  • 5

    Omar (1986) pula membahagikan etika kepada dua bahagian iaitu Etika Deskriptif dan Etika Normatif manakala Bertens (2003) membincangkan etika sebagai ilmu kemoralan berdasarkan tiga pendekatan iaitu Etika Deskriptif, Etika Normatif dan Metaetika. Di sini kita akan membincangkan tentang etika berdasarkan ketiga-tiga pendekatan tersebut. Etika deskriptif menurut Mohd. Nasir Omar (1986), ialah satu disiplin yang menerangkan tentang sejarah sistem moral, iaitu apakah sistem moral yang dianuti oleh seseorang individu atau oleh sekelompok masyarakat. Contohnya, penilaian moral mungkin berbeza antara bangsa Yahudi, Melayu, Cina, India dan sebagainya. Ini bermakna etika deskriptif cuba menjelaskan bahawa terdapat pelbagai sistem moral yang efektif tetapi ia tidak membuat penilaian atau keputusan terhadap sistem moral tersebut. Bertens (2003) pula menjelaskan bahawa etika deskriptif ialah aspek kemoralan yang terdapat pada individu tertentu, dalam kebudayaan tertentu, pada sesuatu tempoh masa dan sebagainya lagi. Beliau juga menjelaskan bahawa pendekatan metaetika ini tidak membuat penilaian moral terhadap sesuatu tindakan. Misalnya, minum arak mungkin dilakukan oleh ramai orang dan membawa pelbagai kesan tetapi ia tidak memutuskan bahawa tindakan tersebut adalah salah atau betul. Falsafah Etika Preskriptif atau Normatif berkaitan dengan norma-norma atau standard-standard yang telah ditentukan. Contohnya, manusia lazim bertindak mengikut kepentingan diri masing-masing. Dari segi normatif akan dipersoalkan sama ada manusia harus (should) bertindak mengikut kepentingan diri masing-masing atau sepatutnya (ought to) bertindak atau berkelakuan mengikut kepentingan masing-masing. Ini bermakna Etika Normatif cuba menentukan atau menetapkan bagaimana seseorang individu harus bertingkah laku, namun ia tidak menerangkan bagaimana mereka bertindak atau berkelakuan. Aspek lain dalam etika preskriptif ini ialah, ia turut merangkumi justifikasi nilai moral dalam sesuatu keterangan atau fakta. Misalnya, pengguguran ialah satu perbuatan yang tidak bermoral. Kenyataan ini mungkin tidak menentukan apa-apa tetapi melibatkan penilaian nilai moral normatif (Thiroux, 1995). Inilah sebabnya etika normatif juga disebut sebagai preskriptif (memerintah) kerana ia berhujah, menjelaskan dan mengemukakan sebab-musabab mengapa sesuatu tingkah laku tersebut betul atau salah (Bertens, 2003). Malahan ia juga mencadangkan satu undang-undang moral yang dianggap baik atau patut dengan mengemukakan satu sistem moral yang standard berpandukan sistem sedia ada. Selain itu, etika normatif ini juga menyedarkan kita bahawa nilai-nilai moral tidak semuanya berbentuk relatif iaitu berubah mengikut perubahan budaya manusia sebaliknya terdapat juga nilai-nilai moral yang tetap sesuai dengan keseluruhan perubahan situasi (Mohd. Nasir Omar, 1986). Contohnya nilai-nilai mutlak yang diajari dalam setiap agama seperti membunuh, menipu dan berzina yang bukan sahaja

  • 6

    dianggap salah dalam agama Islam tetapi juga dianggap sebagai satu tingkah laku yang buruk oleh manusia sejagat. Pendekatan ketiga iaitu pendekatan metaetika berasal daripada perkataan awalan meta daripada bahasa Yunani yang bermaksud melebihi atau melampaui. Ini kerana ia dikatakan berada di taraf yang lebih tinggi daripada perilaku beretika iaitu pada taraf bahasa beretika iaitu bahasa yang kita gunakan dalam disiplin moral (Bertens, 2003). Thiroux (1995) pula menulis bahawa pendekatan Etika Metaethics atau Analytic pula bersifat analitikal dalam dua cara. Pertama ialah analisis bahasa etika metaethicists. Contohnya apa yang kita maksudkan apabila kita menyebut perkataan baik. Adakah perkataan baik tersebut menggambarkan maksud yang sama bagi semua manusia atau ia mungkin ditafsirkan dengan maksud yang berbeza oleh individu yang berbeza. Kedua, menganalisis sejauh mana rasionalnya sistem etika iaitu aspek logik dan alasan-alasan yang diberikan oleh pelbagai penganalisis etika. Berbeza dengan etika normatif, etika metaethics tidak menerangkan tentang sesuatu sebaliknya melihat kepada aspek yang lebih luas (meta), berkaitan dengan sebab-musabab dan kewarasan, struktur-struktur logikal dan bahasa berbanding dengan kandungan. Ahli-ahli etika metaethics memfokuskan kepada aspek bahasa dan logik kerana mereka tidak dapat menetapkan secara jelas satu sistem yang dikatakan beretika dan perlu dipatuhi oleh semua. Ini kerana manusia hidup dalam dunia, budaya dan persekitaran yang bukan sahaja berbeza malah juga kompleks.

    SOALAN DALAM TEKS

    4. Apakah dua pendekatan falsafah yang

    membincangkan tentang moraliti? 5. Pendekatan manakah lebih meluas skopnya? 6. Pendekatan manakah yang melibatkan justifikasi nilai

    moral?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    1.5 SEJARAH GERAKAN ETIKA DALAM PENTADBIRAN Pergerakan kontemporari berkaitan dengan etika dalam pentadbiran pada awalnya muncul sebagai satu reaksi kepada amalan rasuah yang berlaku dalam sektor awam. Oleh itu, diharapkan dengan pengenalan aspek etika, amalan rasuah tersebut akan berkurangan. Pada masa sekarang terdapat pelbagai struktur dan program seperti whistleblowing, talian etika (ethics hot line), jawatankuasa etika, etika jabatan, Kod Etika Profesional dan sebagainya

  • 7

    lagi yang diwujudkan untuk membendung gejala rasuah dan juga sebagai garis panduan kepada para penjawat awam. Gerakan berkaitan etika ini dilihat sebagai satu pencetus ke arah gerakan pemulihan seperti mana pergerakan pemulihan dalam pentadbiran kerajaan. Kebanyakan daripada gerakan berkaitan etika bermula di universiti-universiti di mana kebanyakan daripada universiti-universiti mempunyai institut etika atau institutinstitut yang mengendalikan nilai-nilai kemanusiaan (human values). Kelakuan manusia sebagai satu pernyataan nilai-nilai boleh ditafsirkan sebagai jujur atau tidak jujur bergantung kepada definisi konsep jujur tersebut. Kerajaan demokrasi termasuk perlembagaan dan undang-undang boleh dilihat sebagai satu pernyataan bersama terhadap nilai-nilai yang telah dipersetujui itu. Oleh yang demikian, kelakuan-kelakuan individu atau kumpulan yang ditimbang berasaskan konvensyen sosial, undang-undang dan perlembagaan yang bertepatan atau selaras akan dilihat sebagai beretika kerana ia menepati nilai-nilai yang ditetapkan dalam undang-undang atau perlembagaan atau konvensyen sosial tersebut. Sebaliknya jika ia bertentangan dengan nilai-nilai yang diberikan atau didefinisikan oleh undang-undang atau perlembagaan atau konvensyen sosial yang ditetapkan, maka ia dikatakan tidak beretika. Ini bermakna undang-undang dan perlembagaan adalah antara alat yang digunakan untuk menilai sesuatu tingkah laku sama ada beretika atau tidak. Inilah sebabnya kerajaan mewujudkan pelbagai bentuk polisi dan peraturan untuk meningkatkan dan menambah baik etika individu dan kumpulan. Sebenarnya terdapat perbezaan antara pembaharuan pentadbiran atau kerajaan dan gerakan etika. Pembaharuan pentadbiran yang bermula pada awal era 90-an bertitik tolak daripada gejala rasuah dalam kerajaan. Pada pertengahan 1930-an sektor kerajaan menjadi semakin besar dan menjelang tahun 1950-an perkhidmatan awam dianggap penting dan lazim disebut sebagai cabang keempat kerajaan. Menjelang tahun 1980-an birokrasi yang merupakan simbol kerajaan yang besar mula dikaitkan dengan isu-isu seperti pembaziran, penyelewengan dan penipuan, serta rasuah. Oleh itu, era 1990-an ialah permulaan kepada gerakan era etika yang menyaksikan pengenalan dan penggubalan peraturan dan undang-undang tentang etika di segenap peringkat daripada peringkat negeri sehinggalah kepada para birokrat. Tujuan utamanya adalah untuk memantau dan mengawal rasuah dalam kerajaan. Ini bererti etika dalam kerajaan merujuk kepada standard moral perkhidmatan awam, kualiti sesebuah kerajaan dan pentadbirannya termasuk perlakuan-perlakuan pekerja yang seharusnya sentiasa selari dengan sistem nilai organisasi.

  • 8

    SOALAN DALAM TEKS

    7. Apakah isu utama yang mencetuskan gerakan etika

    dalam pentadbiran awam? 8. Senaraikan masalah-masalah utama yang wujud

    dalam birokrasi.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    1.6 ETIKA DALAM PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA

    Perkhidmatan awam merupakan satu institusi yang penting dalam mana-mana kerajaan kerana ia dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan semua dasar, aspirasi dan peraturan demi pembangunan rakyat dan seterusnya negara. Untuk menjalankan tanggungjawab tersebut, kerajaan memperuntukkan pelbagai sumber termasuklah kewangan dan kuasa kepada perkhidmatan awam untuk diagih-agihkan atau digunakan secara cekap dan berkesan. Rakyat pula pasti mengharapkan segala sumber-sumber tersebut ditadbir dan diuruskan dengan sempurna agar kualiti perkhidmatan dapat ditingkatkan dan mereka dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik. Oleh itu, anggota perkhidmatan awam mestilah menjalankan tugasnya dengan bersih, cekap dan amanah agar kredibilitinya tidak dipersoalkan dan sentiasa terpelihara.

    Oleh kerana perkhidmatan awam ditunjangi oleh para penjawat atau pentadbir awam, maka perkhidmatan awam yang berkualiti hanya dapat dihasilkan jika para pentadbir tersebut memiliki dua aspek keunggulan, iaitu keunggulan peribadi dan professional competency. Keunggulan peribadi merujuk kepada sikap, pemikiran, dan tingkah laku yang diasaskan kepada nilai-nilai murni seperti amanah, jujur, tekun, bertanggungjawab, adil dan lain-lain lagi. Professional competency pula merujuk kepada tahap profesionalisme yang tinggi iaitu cekap, mahir, produktif, inovatif, intelektual, bijak dan berwawasan (INTAN, 1994). Dua elemen di atas sangat penting dan perlu ada dalam diri setiap penjawat awam secara seimbang. Maknanya tahap profesionalisme yang tinggi sahaja tidak mencukupi untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang cemerlang jika tidak diikuti dengan sikap peribadi dan tingkah laku yang mulia. Sering kali kita mendengar kes-kes seperti rasuah, penyelewengan, pecah amanah dan sebagainya lagi yang dilakukan oleh individu yang bijak, berkelulusan tinggi dan mahir dalam bidang masing-masing. Contohnya nepotisme, penipuan, diskriminasi dan sebagainya lagi. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah menerapkan Etika Kerja dalam Perkhidmatan Awam bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sektor awam.

  • 9

    Etika kerja didefinisikan sebagai prinsip-prinsip moral yang ditetapkan oleh sesebuah organisasi untuk mengawal tingkah laku pekerja atau ahli organisasi tersebut. Etika ini merupakan satu bentuk kawalan bagi memastikan tingkah laku pekerja sentiasa selaras dengan sistem nilai organisasi. Apabila wujudnya prinsip-prinsip tertentu yang termaktub dalam etika kerja, maka seseorang itu akan mengetahui apakah perbuatan-perbuatan yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam organisasi berkenaan. Oleh kerana etika kerja tersebut dibentuk berdasarkan nilai-nilai universal yang kemudiannya disesuaikan dengan lunas undang-undang negara, sistem nilai masyarakat setempat dan peraturan-peraturan tertentu yang telah ditetapkan, maka tingkah laku-tingkah laku yang digariskan itu ialah perbuatan yang diterima atau betul di mata masyarakat. Dalam perkhidmatan awam, etika kerja sebagaimana yang disebutkan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, merupakan unsur yang sangat penting untuk dititikberatkan kerana setiap kakitangan kerajaan perlu memiliki dan menunjukkan tingkah laku yang sempurna seperti yang dikehendaki oleh masyarakat. Selain itu, mereka juga perlu berpegang teguh kepada sikap dan nilai yang positif seperti bertanggungjawab, berdisiplin, berintegriti, jujur, bersopan dan sebagainya lagi (Ahmad Sarji Abdul Hamid, 1991).

    SOALAN DALAM TEKS

    9. Apakah dua aspek penting yang perlu dimiliki oleh

    setiap pentadbir awam dalam menjalankan tugasnya?

    10. Jelaskan apa yang anda faham dengan etika kerja?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    1.7 KESIMPULAN Sebagai kesimpulannya kita boleh katakan bahawa etika ialah satu unsur yang penting dan perlu wujud dalam kehidupan manusia khususnya apabila ia melibatkan aspek hubungan individu dengan individu lain, iaitu kehidupan bermasyarakat. Unsur ini menjadi lebih mustahak dalam pentadbiran dan pengurusan organisasi kerana ia memandu manusia dalam bertingkah laku, bekerjasama dan bertanggungjawab dalam mencapai matlamat individu, kumpulan dan organisasi. Oleh itu, kita tidak boleh menafikan bahawa etika mempunyai kedudukan yang istimewa dan penting dalam kehidupan seharian serta dalam pengurusan.

  • 10

    SOALAN PENILAIAN KENDIRI

    1. Apakah yang anda faham dengan moraliti dan bincangkan perkaitan

    unsur ini dengan etika? 2. Jelaskan bagaimana aspek undang-undang mempunyai perkaitan

    yang rapat dengan etika? 3. Terangkan secara ringkas bagaimana munculnya gerakan etika dalam

    pentadbiran.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

    1. Etika bermaksud karektor, watak dan keperibadian seseorang. 2. Terdapat persamaan dan perbezaan. Etika dan moral mempunyai

    perkaitan yang sangat rapat.

    3. Undang-undang menentukan apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan dan apa yang dianggap beretika/bermoral.

    4. Etika Normatif (Preskriptif) dan Etika Metaethics (Analytic). 5. Etika Metaethics (Analytic). 6. Etika Normatif (Preskriptif). 7. Amalan rasuah. 8. Tidak cekap, pembaziran sumber-sumber dan penyelewengan. 9. Keunggulan Peribadi dan Professional Competency. 10. Etika kerja merupakan prinsip-prinsip moral yang ditetapkan oleh

    sesebuah organisasi untuk mengawal tingkah laku pekerja atau ahli organisasi tersebut.