Bab 07.pdf

20
155 BAB 7 PERATURAN DAN DISIPLIN PEGAWAI AWAM OBJEKTIF BAB Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Menjelaskan peraturan-peraturan yang terpakai kepada penjawat awam. 2. Meneliti latar belakang sejarah peraturan tatatertib di Malaysia. 3. Mengenal pasti peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam Perintah Am Bab ‘D’. 4. Menjelaskan sejauh mana peraturan-peraturan di dalam Perintah Am Bab ‘D’ terpakai. 5. Membincangkan jenis-jenis kesalahan di bawah Perintah Am Bab ‘D’. 7.1 PENGENALAN Kawalan tatatertib atau disiplin merupakan salah satu daripada fungsi pengurusan kakitangan yang penting. Tatatertib atau disiplin ini secara umumnya merupakan peraturan yang dipersetujui oleh sesuatu kumpulan atau organisasi bagi membolehkan wujud suasana aman dan tenteram serta menjamin keharmonian ahli dalam sesebuah organisasi terbabit. Disiplin bukan hanya berkait dengan cara berfikir yang teratur yang melahirkan sifat rasional, keyakinan diri dan ketabahan hati seseorang, tetapi juga berkaitan dengan tatasusila, keadaan, akhlak dan kesopanan yang dikehendaki oleh masyarakat. Orang yang berdisiplin dikatakan telah mematuhi perlakuan yang diingini oleh masyarakat seperti menepati janji, menepati waktu, rajin, menghormati orang lain dan sebagainya walaupun mereka menyedari bahawa tidak mematuhinya bukan merupakan satu kesalahan yang akan dikenakan sebarang denda atau hukuman. Dalam mana-mana organisasi pun, disiplin amat perlu dititikberatkan untuk mencapai kestabilan dan objektif yang telah ditetapkan. Oleh kerana itu dalam perkhidmatan awam, tatacara atau peraturan berkaitan tataertib ini dijadikan asas utama bagi membentuk negara yang teguh, berdaulat dan dihormati. Tatatertib merupakan alat kawalan bagi memastikan wujud sistem pentadbiran yang mendapat kepercayaan ramai dengan melaksanakan tugas dan tanggungjawab kerajaan secara jujur, adil dan saksama.

Transcript of Bab 07.pdf

  • 155

    BAB 7

    PERATURAN DAN DISIPLIN PEGAWAI AWAM

    OBJEKTIF BAB

    Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Menjelaskan peraturan-peraturan yang terpakai kepada penjawat

    awam. 2. Meneliti latar belakang sejarah peraturan tatatertib di Malaysia. 3. Mengenal pasti peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam

    Perintah Am Bab D. 4. Menjelaskan sejauh mana peraturan-peraturan di dalam Perintah

    Am Bab D terpakai. 5. Membincangkan jenis-jenis kesalahan di bawah Perintah Am

    Bab D.

    7.1 PENGENALAN Kawalan tatatertib atau disiplin merupakan salah satu daripada fungsi pengurusan kakitangan yang penting. Tatatertib atau disiplin ini secara umumnya merupakan peraturan yang dipersetujui oleh sesuatu kumpulan atau organisasi bagi membolehkan wujud suasana aman dan tenteram serta menjamin keharmonian ahli dalam sesebuah organisasi terbabit. Disiplin bukan hanya berkait dengan cara berfikir yang teratur yang melahirkan sifat rasional, keyakinan diri dan ketabahan hati seseorang, tetapi juga berkaitan dengan tatasusila, keadaan, akhlak dan kesopanan yang dikehendaki oleh masyarakat. Orang yang berdisiplin dikatakan telah mematuhi perlakuan yang diingini oleh masyarakat seperti menepati janji, menepati waktu, rajin, menghormati orang lain dan sebagainya walaupun mereka menyedari bahawa tidak mematuhinya bukan merupakan satu kesalahan yang akan dikenakan sebarang denda atau hukuman. Dalam mana-mana organisasi pun, disiplin amat perlu dititikberatkan untuk mencapai kestabilan dan objektif yang telah ditetapkan. Oleh kerana itu dalam perkhidmatan awam, tatacara atau peraturan berkaitan tataertib ini dijadikan asas utama bagi membentuk negara yang teguh, berdaulat dan dihormati. Tatatertib merupakan alat kawalan bagi memastikan wujud sistem pentadbiran yang mendapat kepercayaan ramai dengan melaksanakan tugas dan tanggungjawab kerajaan secara jujur, adil dan saksama.

  • 156

    Matlamat kawalan tatatertib dalam perkhidmatan awam ini juga bertujuan untuk membentuk sikap yang positif dan mencegah daripada berlakunya penyelewengan kerana matlamat akhirnya ialah untuk melahirkan kakitangan yang bermotivasi dan berdisiplin (JPA, 1991).

    SOALAN DALAM TEKS

    1. Kenapakah disiplin penting dalam setiap organisasi?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    7.2 LATAR BELAKANG PERATURAN TATATERTIB DALAM

    PERKHIDMATAN AWAM Peraturan-peraturan yang ada kaitan dengan tatatertib telah mula dipakai di Negeri-Negeri Selat bersama-sama dengan Colonial Regulations dalam awal tahun 1920-an. Ia merupakan peraturan-peraturan bagi pegawai-pegawai yang berkhidmat di bawah pemerintahan Inggeris di negeri-negeri jajahannya. Seterusnya satu bab khusus mengenai tatakelakuan dan tatatertib yang mempunyai kuat kuasa undang-undang telah diperkenalkan dalam pentadbiran kerajaan di Tanah Melayu pada tahun 1956. Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1956 ini merupakan hasil daripada perakuan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Taylor yang dibentuk dalam tahun 1952 bertujuan untuk mengkaji perkara-perkara berhubung dengan keutuhan perkhidmatan awam. Dalam tahun 1955 telah diterbitkan satu laporan yang memperakukan antara lain penubuhan satu badan yang bebas untuk menyiasat perbuatan rasuah dan langkah-langkah untuk membanterasnya. Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Perintah Am Bab D) 1968 dan Peraturan-Peraturan Pegawai-Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Perintah Am BabD) 1969 merupakan perubahan kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1956. Seterusnya peraturan-peraturan ini telah digantikan oleh Perintah-Perintah Am Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Bab D) 1980 yang berkuat kuasa pada 17 Julai 1980. Oleh kerana Malaysia telah melaksanakan Sistem Saraan Baru mulai 1 Januari 1992, maka Perintah-Perintah Am Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Bab D) 1980 telah digantikan dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang berkuat kuasa mulai 15 Disember 1993. Beberapa peruntukan baru telah dimasukkan di dalam Peraturan ini pada tahun 2002 selaras dengan kehendak semasa.

  • 157

    SOALAN DALAM TEKS

    2. Bilakah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan

    dan Tatatertib) 1993 mula berkuat kuasa. 3. Sejak bilakah peraturan-peraturan mengenai tatatertib

    ini mula dipakai di Tanah Melayu.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    7.3 PENGENALAN KEPADA PERINTAH AM - BAB D. Tajuk sebenar Perintah Am Bab D ialah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib). Ia wujud dengan menggunakan kuat kuasa Perkara 132(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut:

    Kecuali sebagaimana selainnya diperuntukkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, kelayakan untuk perlantikan bagi orang-orang dalam perkhidmatan awam dan syarat-syarat perkhidmatan mereka, lain dari orang-orang dalam perkhidmatan yang tersebut dalam perenggan (g) Fasal (1) boleh dibuat peraturan oleh undang-undang persekutuan dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan itu, oleh Yang di-Pertuan Agong

    Perintah Am Bab D ialah mengenai kelakuan dan tatatertib penjawat awam yang merangkumi senarai kelakuan dan tatatertib yang seharusnya dipatuhi atau dihindari oleh penjawat awam. Sekiranya berlaku perlanggaran terhadap perintah ini, maka seseorang penjawat awam itu boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuklah dibuang kerja atau diturunkan pangkat. Persoalannya sekarang, sejauh manakah Perintah Am Bab D ini mempunyai kuat kuasa undang-undang? Walaupun mengikut sejarah yang diketahui, sebelum tahun 1948, Perintah Am tentang kelakuan dan tatatertib penjawat awam ini tidak ada kuat kuasa undang-undang, ia cuma mempunyai kuat kuasa pentadbiran sahaja, tetapi keadaan kini telah berubah selari dengan pindaan yang telah dibuat beberapa kali ke atas perintah am tersebut sehingga wujudnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang terpakai sehingga sekarang. Dalam kes Sambasivam lwn Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (1970) 1 MLJ 61, Mahkamah Persekutuan dalam kes ini mengesahkan bahawa Perintah Am Bab D mempunyai kuat kuasa undang-undang dan hendaklah dikira sebagai mandatori, sekurang-kurangnya setakat ia menjalankan tujuan Perkara 135(2) Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga dalam kes Najar

  • 158

    Singh lwn Kerajaan Malaysia (1976) 2 MLJ 203. Mahkamah Majlis Privy juga mempunyai pendapat yang sama dengan menyetujui bahawa Perintah Am Bab D mempunyai kuat kuasa undang-undang. Perintah Am Bab D 1993 mengandungi lapan bahagian seperti berikut: (i) Bahagian I

    Permulaan diikuti Bahagian IA tentang kewajipan mematuhi peraturan-peraturan dan Bahagian IB tentang tugas kawalan dan pengawasan tatatertib.

    (ii) Bahagian II

    Tatakelakuan. (iii) Bahagian III

    Ketidakhadiran tanpa cuti. (iv) Bahagian IV

    Pegawai yang tertakluk kepada prosiding jenayah dan sebagainya. (v) Bahagian V

    Prosedur Tatatertib. (vi) Bahagian VI

    Hukuman Tatatertib, termasuklah tentang penahanan kerja dan penggantungan kerja dalam Bahagian VIA.

    (vii) Bahagian VII

    Penamatan demi kepentingan awam. (viii) Bahagian VIII

    Pelbagai.

    SOALAN DALAM TEKS

    4. Jelaskan prinsip undang-undang yang terdapat di

    dalam kes Sambasivam lwn Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (1970) 1 MLJ 61.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

  • 159

    7.4 JENIS-JENIS KESALAHAN DI BAWAH PERINTAH AM BAB D

    Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah menetapkan tatakelakuan dan peraturan-peraturan yang harus diikuti oleh seseorang penjawat awam. Antara jenis kesalahan yang boleh diambil tindakan tatatertib ialah seperti berikut: Peraturan 4: Tatakelakuan Peraturan 4 telah menyenaraikan beberapa tatakelakuan atau perbuatan penjawat awam yang boleh dianggap melakukan kesalahan tatatertib yang membolehkan tindakan dan hukuman tatatertib dikenakan terhadapnya. Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 menyenaraikan tatakelakuan-tatakelakuan dalam perkhidmatan awam seperti berikut: 1. Seseorang pegawai hendaklah pada setiap masa memberikan taat

    setianya kepada Yang di-Pertuan Agong, Negara dan Kerajaan. Bagi maksud di atas seseorang pegawai dianggap telah melanggar tatakelakuan ini jika berlaku antara lain (i) bersubahat dengan musuh-musuh Negara; (ii) sengaja membocorkan rahsia kerajaan; (iii) melanggar undang-undang atau peraturan kerajaan dengan tujuan

    untuk menentang kerajaan; (iv) memburuk-burukkan serta memperkecil-kecilkan dasar serta

    tindakan kerajaan; (v) mengelakkan diri daripada mempertahankan dasar dan tindakan

    kerajaan sedangkan adalah menjadi kewajipannya untuk berbuat demikian; dan

    (vi) memijak-mijak bendera kebangsaan dengan tujuan menghina.

    2. Seseorang pegawai tidak boleh a. membelakangkan tugas awamnya demi kepentingan peribadinya;

    seseorang pegawai dianggap telah melanggar tatakelakuan ini jika berlaku antara lain

    (i) menguruskan hal-hal perniagaan atau pelaburan kepunyaan sendiri,

    atau isterinya, anaknya atau saudara-maranya dalam waktu pejabat; (ii) menyebelahi dan memberi keutamaan kepada saudara-mara atau

    rakan-rakan atau orang yang rapat dengannya dalam menimbangkan sesuatu permohonan;

  • 160

    (iii) tidak menjalankan kewajipan rasmi seperti menyiasat gerak-geri seseorang yang karib dengannya yang disyaki pernah menerima rasuah, atau

    (iv) mengambil kesempatan untuk menguruskan hal-hal perniagaan semasa membuat lawatan rasmi di luar pejabat.

    b. berkelakuan dengan sedemikian cara yang mungkin menyebabkan

    kepentingan peribadinya bercanggah dengan tugas awamnya. Antara keadaan yang boleh menyebabkan seseorang pegawai dikatakan telah melanggar tatakelakuan ini ialah sekiranya beliau (i) tidak mengelakkan dirinya daripada terlalu rapat bergaul dengan

    mereka yang jelas akan mendapat keuntungan besar daripada mengetahui tugas-tugas rasminya;

    (ii) tidak mengelakkan dirinya daripada menerima hadiah yang mahal-mahal daripada syarikat atau peniaga atau individu;

    (iii) sebagai seorang majistret membicarakan keluarganya; (iv) menguruskan hal-hal tender atau sebut harga sedangkan beliau

    mengetahui bahawa ada antara mereka yang mengemukakan tender atau sebut harga itu terdiri daripada saudara-maranya; dan

    (v) memproses atau menimbang atau meluluskan sesuatu permohonan daripada isteri atau suami atau saudara-maranya.

    Kelakuan-kelakuan di atas seolah-olah tidak menunjukkan bahawa terdapat percanggahan antara kepentingan persendirian dengan kewajipan rasmi. Namun begitu kemungkinan akan berlaku percanggahan kepentingan memang wujud dan dengan itu langkah pencegahan adalah diperlukan. c. Berkelakuan dengan apa-apa cara yang mungkin menyebabkan syak

    yang munasabah bahawa (i) dia telah membiarkan kepentingan peribadinya bercanggah dengan

    tugas awamnya sehingga menjejaskan kebergunaannya sebagai seorang pegawai awam; atau

    (ii) dia telah menggunakan kedudukan awamnya bagi faedahnya sendiri. Berlaku perlanggaran ke atas tatakelakuan ini sekiranya pegawai melakukan antara lain (i) tidak mengambil tindakan terhadap seseorang yang telah melanggar

    mana-mana undang-undang Negara dengan tujuan mendapat ganjaran daripadanya;

    (ii) melepaskan barang-barang yang dibawa masuk tanpa dibayar cukai dengan harapan untuk mendapat faedah (rasuah) daripada empunya barang;

  • 161

    (iii) sebagai seorang yang mempunyai kuasa untuk menentukan arah jalan raya, meluluskan pembinaannya di tepi tanah kepunyaannya supaya beliau mendapat faedah daripadanya;

    (iv) meluluskan sekeping tanah kerajaan kepada isteri atau anaknya, atau saudara-maranya; atau

    (v) menyalahgunakan hak-hak keistimewaan sebagai seorang diplomat untuk kepentingan diri sendiri dengan terlibat dalam aktiviti penyeludupan.

    Pada pendapat anda adakah wujud pertelingkahan kepentingan dalam situasi berikut: Penjawat Awam A telah mengambil kesempatan

    menguruskan perniagaannya sendiri sewaktu menjalankan urusan kerja rasminya di Kuala Lumpur.

    Penjawat Awam B tidak mengambil tindakan terhadap tuan punya lori yang melakukan kesalahan kerana beliau rapat dengan mereka dan ada menerima habuan daripada mereka.

    d. Berkelakuan dengan sedemikian cara sehingga memburukkan nama

    atau mencemarkan nama perkhidmatan awam. Berlaku perlanggaran ke atas tatakelakuan ini sekiranya pegawai antara lain (i) sengaja melengah-lengahkan proses permohonan untuk mendapat

    lesen daripada orang ramai; (ii) terlibat dalam penyalahgunaan dadah; (iii) menerima keraian yang berlebihan; (iv) disabitkan dengan kesalahan jenayah termasuk sabitan dalam

    Mahkamah Syariah; (v) bermain judi di pejabat; (vi) berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai seperti mabuk, biadap

    atau menonjol-nonjolkan kepentingan diri sendiri; (vii) meletakkan dirinya terhutang budi kerana wang daripada seseorang

    yang mungkin dihubunginya dalam melaksanakan tugas rasminya; (viii) keterhutangan kewangan yang serius; (ix) tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sekelilingnya dan

    sentiasa bertelingkah bukan sahaja dengan rakan-rakan sejawat tetapi dengan orang ramai; dan

    (x) sebagai seorang diplomat terlibat dalam kegiatan penyeludupan dan pasaran gelap.

    e. Kurang cekap atau kurang berusaha. Seseorang pegawai dianggap sebagai telah melanggar tatakelakuan ini jika beliau antara lain

  • 162

    (i) tidak mempunyai daya usaha dan lemah dalam daya pemikirannya; (ii) lalai atau berlengah-lengah dalam menjalankan tugas-tugasnya; (iii) sebagai seorang pegawai kanan, tidak berkebolehan dan terpaksa

    diarah sepanjang masa; (iv) bersikap malas dalam menjalankan tugas-tugasnya; atau (v) tidak jujur atau kurang berusaha. Berlaku perlanggaran ke atas tatakelakuan ini sekiranya pegawai antara lain (i) tidak melaporkan harta atau pelaburan yang dipunyai olehnya,

    isterinya atau anaknya seperti yang dikehendaki oleh Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993;

    (ii) mengemukakan bil hotel palsu dalam tuntutan elaun sewa hotel; (iii) membuat tuntutan palsu mengenai elaun perjalanan, lojing, makan

    atau tambang pengangkutan (lori) semasa perpindahan; (iv) mengesahkan tuntutan bekerja lebih masa yang tidak betul daripada

    seorang pekerja dengan tujuan untuk mendapat habuan daripada pekerja;

    (v) tidak melaporkan hutang-piutangnya dengan tujuan menipu Ketua Jabatan dan Lembaga Tatatertib yang berkenaan mengenai keberhutangan beliau yang serius;

    (vi) berdalih-dalih atau bercakap bohong dalam apa-apa jua penyiasatan yang dijalankan terhadapnya; atau

    (vii) pura-pura sakit atau uzur. f. Tidak bertanggungjawab.

    Antara contoh pegawai dianggap telah melanggar tatakelakuan ini ialah

    (i) menghasut kakitangan kerajaan supaya jangan terlalu berusaha dalam

    menjalankan tugas-tugas mereka; (ii) menjalankan sesuatu tugas tanpa menghiraukan implikasinya

    terhadap jabatan khasnya dan Kerajaan amnya; (iii) mengambil cuti rehat di saat-saat perkhidmatannya sangat-sangat

    diperlukan; (iv) suka mewujudkan suasana yang tegang di pejabat dengan melaga-

    lagakan rakan-rakan sejawat untuk kepentingan diri sendiri; (v) tidak melaporkan kesalahan yang serius yang telah dilakukan oleh

    pegawai bawahannya kepada pegawai yang lebih kanan; (vi) tidak menghiraukan pandangan atau pendapat orang lain

    sungguhpun pandangan atau pendapat itu boleh mendatangkan faedah kepada Kerajaan;

    (vii) bersikap tidak acuh terhadap tugas-tugas dan tanggungjawabnya; (viii) tidak memperdulikan atau menjaga harta kerajaan sebagaimana yang

    sepatutnya; (ix) tidak hadir bekerja tanpa cuti atas sebab-sebab yang munasabah; (x) membazir wang kerajaan dengan membeli alat-alat yang tidak atau

    kurang berguna; atau

  • 163

    (xi) mengikuti kursus pengajian tanpa mendapat kelulusan pihak yang berkuasa terlebih dahulu.

    g. Membawa atau cuba membawa apa-apa bentuk pengaruh atau

    tekanan luar untuk menyokong atau memajukan apa-apa tuntutan berhubung dengan atau terhadap perkhidmatan awam, sama ada tuntutan itu ialah tuntutannya sendiri atau tuntutan mana-mana pegawai lain.

    Seseorang pegawai dianggap telah melanggar tatakelakuan ini jika beliau antara lain (i) meminta seorang kenamaan untuk menggunakan jasa baiknya

    mempengaruhi Lembaga Kenaikan Pangkat yang berkenaan untuk menaikkan pangkatnya;

    (ii) meminta ahli politik untuk menyokong permohonan-permohonan untuk mendapatkan tanah Kerajaan atau rumah; atau

    (iii) menggunakan pengaruh luar dalam soal-soal pertukaran dan penempatan.

    h. Ingkar perintah atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang boleh

    ditafsirkan dengan munasabah sebagai ingkar perintah. Seseorang pegawai dikatakan telah ingkar perintah sekiranya beliau antara lain (i) enggan atau tidak mahu mengikuti, menjalankan atau melaksanakan

    arahan lisan atau tulisan pegawai kanannya berhubung dengan tugas-tugas rasminya;

    (ii) membantah atau melawan pegawai kanannya; atau (iii) sengaja melanggar arahan-arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan

    dalam pekeliling atau surat pekeliling.

    Pada pandangan anda adakah seseorang penjawat awam dikatakan telah ingkar perintah sekiranya dia enggan mematuhi arahan Ketua Jabatan untuk bertugas pada waktu makan tengah hari?

    i. Cuai dalam melaksanakan tugas-tugasnya. Seseorang pegawai dianggap telah cuai dalam melaksanakan tugas-tugasnya sekiranya beliau antara lain (i) memandu kenderaan kerajaan dengan terlalu laju atau tidak

    mengikuti peraturan lalu lintas hingga menyebabkan kemalangan berlaku;

  • 164

    (ii) pegawai perubatan meninggalkan objek asing seperti kapas, gunting dan lain-lain dalam tubuh badan pesakit semasa melakukan pembedahan;

    (iii) pesilapan pegawai dalam menandatangani dokumen rasmi Kerajaan sehingga mengakibatkan Kerajaan mengalami kerugian; atau

    (iv) kegagalan melaporkan kepada pihak-pihak yang berkenaan mengenai pemberhentian pembayaran gaji bagi pegawai yang meletak jawatan.

    Seterusnya terdapat beberapa larangan lain di dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang diperuntukan secara khusus serta menghuraikan secara lebih terperinci beberapa peruntukan umum yang dinyatakan dalam Peraturan 4 tentang tatakelakuan penjawat awam di atas terutamanya tentang konflik kepentingan persendirian dengan kewajipan awam dan perbuatan atau perkara yang boleh menjejaskan reputasi perkhidmatan awam. Antara peruntukan khusus atau larangan-larangan lain itu ialah seperti berikut: Peraturan 4A- Gangguan seksual (i) membuat cubaan untuk merapati orang lain secara seksual, atau

    meminta layanan seksual daripada orang itu; atau (ii) melakukan apa-apa perbuatan yang bersifat seksual berhubung

    dengan orang lain yang akan menyebabkan seseorang yang waras tersinggung, terhina atau terugut.

    Perlakuan bersifat seksual termasuklah secara lisan, bertulis dan lain-lain dan ia tidak terhad di tempat kerja atau pada waktu kerja selagi mencemarkan nama perkhidmatan awam.

    Peraturan 5 Pekerjaan luar Seseorang pegawai tidak boleh (i) mengambil bahagian secara langsung atau tidak dalam pengurusan

    atau urusan apa-apa pengusahaan komersial, pertanian atau perindustrian;

    (ii) usahakan untuk mendapat upah apa-apa kerja dengan mana-mana institusi, syarikat, firma atau individu persendirian;

    (iii) sebagai seorang pakar, memberikan apa-apa laporan atau keterangan sama ada percuma atau berbayar; atau

    (iv) bertugas sebagai seorang wasi, pentadbir atau penerima

  • 165

    melainkan mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Ketua Jabatannya, sama ada bagi faedahnya atau bagi faedah saudara-maranya yang dekat atau bagi mana-mana badan yang tidak mencari keuntungan yang dia ialah seorang pemegang jawatan dalam badan tersebut. Ketua Jabatan dalam menimbangkan permohonan tersebut hendaklah memastikan pekerjaan luar itu tidak bercanggah dengan tatakelakuan pegawai awam di bawah Peraturan 4, dan khususnya hendaklah memastikan pekerjaan luar itu (i) tidak dilakukan dalam waktu pejabat dan semasa pegawai itu

    dikehendaki melaksanakan tugas rasminya; (ii) tidak akan dengan apa-apa cara cenderung menjejaskan kebergunaan

    pegawai itu sebagai seorang pegawai perkhidmatan awam; dan (iii) tidak akan dengan apa-apa cara cenderung bercanggah dengan

    kepentingan perkhidmatan awam atau menjadi tidak selaras dengan kedudukan pegawai itu sebagai seorang pegawai perkhidmatan awam.

    Peraturan 6- Etiket pakaian Cara berpakaian semasa bertugas akan ditentukan oleh Kerajaan melalui arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan pihak berkuasa lain. Dalam upacara rasmi, hendaklah berpakaian sebagaimana yang ditentukan bagi upacara itu. Peraturan 7- Dadah Dadah berbahaya, ertinya apa-apa dadah atau bahan yang disenaraikan dalam Jadual Pertama kepada Akta Dadah Berbahaya 1952. Seseorang pegawai tidak boleh menggunakan, mengambil, menyalahgunakan atau menagih dadah berbahaya kecuali bagi maksud perubatan. Jika seseorang pegawai yang diperaku oleh Pegawai Perubatan Kerajaan sebagai menggunakan, mengambil, menyalahgunakan atau menagih dadah berbahaya, pegawai tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja. Bagaimanapun sekiranya pegawai telah mencapai umur persaraan pilihan, pegawai boleh ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam di bawah Peraturan 49. Peraturan 8- Hadiah Pegawai, suami atau isteri pegawai atau mana-mana orang lain, dilarang memberi atau menerima hadiah daripada atau kepada mana-mana orang, persatuan, badan atau kumpulan orang jika penerimaan atau pemberian hadiah itu dalam apa-apa segi mempunyai kaitan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan tugas rasmi.

  • 166

    Jika seseorang pegawai berasa ragu-ragu tentang bentuk, amaun atau hadiah yang sukar ditolak, maka penerimaan hadiah itu hendaklah mendapat kebenaran Ketua Jabatan sama ada hadiah itu boleh disimpan atau dikembalikan. Walau bagaimanapun, Ketua Jabatan boleh membenarkan seseorang pegawai menerima surat pujian sempena persaraan atau pertukaran dari mana-mana persatuan, badan, orang atau membenarkan pemungutan sumbangan secara spontan oleh pegawai di bawah jagaannya bagi maksud pemberian hadiah sempena persaraan, pertukaran, perkahwinan atau apa-apa peristiwa lain yang sesuai. Peraturan 9 Menerima atau memberi keraian Seseorang pegawai tidak boleh menerima atau memberi keraian sekiranya keraian itu dapat dengan apa-apa cara mempengaruhi tugas rasminya atau keraian itu tidak sejajar dengan tatakelakuan pegawai awam di bawah Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Peraturan 10- Pemunyaan harta Seseorang pegawai dikehendaki membuat pengisytiharan harta dalam keadan-keadaan berikut: (i) pada tarikh dilantik; (ii) pada bila-bila masa dikehendaki oleh kerajaan; (iii) memperoleh harta baru; dan (iv) melupuskan harta. Mana-mana pegawai yang hendak memperoleh harta yang tidak sejajar dengan tatakelakuan di bawah Peraturan 4, sebelum memperoleh harta itu hendaklah meminta kebenaran daripada Ketua Setiausaha Kementerian terlebih dahulu. Dalam memutuskan sama ada hendak memberikan kebenaran atau tidak, Ketua Setiausaha Kementerian hendaklah mengambil kira perkara-perkara berikut: (i) saiz, amaun atau nilai harta itu berbanding dengan emolumen

    pegawai itu dan apa-apa pendapatan persendirian yang sah; (ii) sama ada pemerolehan atau pemegangan harta itu akan atau

    mungkin akan bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan awam, atau dengan kedudukan pegawai itu sebagai seorang pegawai awam, atau dengan apa-apa cara menjadi tidak selaras dengan Peraturan 4;

    (iii) apa-apa faktor lain yang dianggap perlu oleh Ketua Setiausaha Kementerian bagi menjaga keutuhan dan kecekapan perkhidmatan awam.

  • 167

    Peraturan 11- Menyenggara taraf hidup melebihi emolumen atau pendapatan yang sah Seseorang pegawai boleh dipanggil oleh Ketua Jabatan supaya memberi penjelasan bertulis dalam tempoh 30 hari bagaimana ia boleh menyenggara taraf hidup tersebut jika ternyata pegawai itu (i) menyenggara sesuatu taraf kehidupan yang melebihi emolulmen dan

    pendapatan persendirian lain yang sah jika ada; atau (ii) mempunyai kawalan atau memiliki sumber kewangan atau harta (alih

    atau tak alih) yang nilainya tidak seimbang dengan, atau yang tidak boleh semunasabahnya dijangka telah diperoleh oleh pegawai itu dengan emolumennya dan apa-apa pendapatan persendiriannya yang sah.

    Penjelasan pegawai itu akan dilapor kepada Pihak Berkuasa Tatatertib dan terpulanglah kepada Pihak Berkuasa Tatatertib berkenaan untuk mengambil tindakan yang difikirkan wajar. Peraturan 12- Meminjam wang Seseorang pegawai tidak boleh meminjam wang dari mana-mana orang atau menjadi penjamin kepada mana-mana peminjam atau dengan apa cara meletakkan dirinya di bawah suatu obligasi kewangan kepada mana-mana orang (i) yang secara langsung atau tidak langsung tertakluk kepada kuasa

    rasminya; (ii) yang dengannya pegawai itu ada atau mungkin ada urusan rasmi; (iii) yang tinggal atau memiliki tanah atau menjalankan perniagaan di

    dalam kawasan tempat yang dia mempunyai kuasa rasmi; atau (iv) yang menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang. Pegawai boleh meminjam wang atau menjadi penjamin kepada mana-mana orang yang meminjam wang daripada bank, insurans, koperasi atau syarikat kewangan yang dilesenkan di bawah Akta Bank & Institusi Kewangan 1989 atau menanggung hutang dengan cara memperoleh barang-barang melalui perjanjian sewa-beli dengan syarat (i) bank, syarikat insurans, koperasi atau syarikat kewangan berlesen

    iaitu yang daripadanya pegawai itu meminjam tidak secara langsung tertakluk kepada kuasa rasminya;

    (ii) peminjaman itu tidak membawa kepada skandal atau tidak ada ditafsirkan bahawa pegawai itu telah menyalahgunakan kedudukan awamnya untuk faedah persendiriannya; atau

    (iii) agregat hutangnya tidak menyebabkan atau tidak memungkinkan pegawai itu berada dalam keterhutangan kewangan yang serius.

  • 168

    Seseorang pegawai boleh menanggung hutang-hutang berikut: (i) jumlah wang yang dipinjam atas cagaran tanah yang digadaikan atau

    digadaijanjikan, jika jumlah wang yang dipinjam itu tidak melebihi nilai tanah itu;

    (ii) overdraf atau kemudahan kredit lain yang diluluskan oleh institusi kewangan;

    (iii) jumlah wang yang dipinjam daripada penanggung insurans atas cagaran polisi insurans;

    (iv) jumlah wang yang dipinjam daripada Kerajaan, badan berkanun atau mana-mana koperasi; atau

    (v) jumlah wang yang kena dibayar atas barang-barang yang diperoleh melalui perjanjian sewa beli.

    Peraturan 13- Keterhutangan kewangan yang serius Seseorang pegawai ditafsirkan berada dalam keadaan keterhutangan yang serius sekiranya tanggungan hutangnya menyebabkan kesulitan kewangan yang berat. Seseorang pegawai juga dikatakan berada dalam keterhutangan yang serius jika (i) agregat hutang dan nilai tanggungan tidak bercagarnya pada bila-bila

    masa tertentu melebihi sepuluh kali emolumen bulanannya; (ii) dia ialah seorang penghutang penghakiman dan hutang

    penghakiman itu tidak dijelaskan dalam tempoh satu bulan daripada penerimaan perintah bermeterai penghakiman itu; atau

    (iii) dia ialah seorang bankrap atau seorang pemakan gaji tak solven, mengikut mana-mana yang berkenaan, selagi apa-apa penghakiman terhadapnya yang memihak kepada Pegawai Pemegang Harta masih belum dijelaskan atau selagi tidak ada pembatalan penghukuman kebankrapannya.

    Keadaan pegawai yang berada dalam keadaan keterhutangan yang serius itu telah memburukkan nama perkhidmatan awam. Menjadi tanggungjawab pegawai itu melaporkan kepada Ketua Jabatannya jika dia merasakan hutangnya akan menyebabkan kesusahan yang berat. Peraturan 15- Meminjamkan wang Seseorang pegawai tidak boleh meminjamkan wang dengan faedah, sama ada dengan atau tanpa cagaran. Penyimpanan wang secara deposit tetap atau ke dalam suatu akaun dalam mana-mana institusi kewangan atau koperasi atau dalam bon yang diterbitkan oleh kerajaan atau oleh mana-mana badan berkanun tidak boleh dianggap sebagai peminjaman wang dengan faedah atau bunga bagi maksud Peraturan 15 ini.

  • 169

    Peraturan 16- Penglibatan dalam pasaran komoditi atau pasaran sekuriti hadapan Tiada pegawai boleh melibatkan dirinya dalam pasaran komoditi atau pasaran hadapan sebagai pembeli atau penjual atau selainnya sama ada dalam pasaran tempatan atau luar negara. Peraturan 17 Cabutan bertuah dan loteri Seseorang pegawai tidak boleh mengadakan atau mengelolakan atau mengambil bahagian dalam apa-apa cabutan bertuah atau loteri selain bagi maksud kebajikan. Peraturan 18- Membuat pernyataan awam Pernyataan awam di dalam peraturan ini bermaksud apa-apa pernyataan atau ulasan yang dibuat kepada pihak akhbar atau orang ramai atau semasa memberikan apa-apa syarahan atau ucapan awam atau dalam apa-apa penyiaran atau penerbitan, tanpa mengira caranya. Justeru seseorang pegawai tidak boleh, secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain membuat apa-apa pernyataan awam: (i) yang boleh memudaratkan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan

    Kerajaan tentang apa-apa isu; (ii) yang boleh memalukan atau memburukkan nama kerajaan; (iii) membuat apa-apa ulasan tentang kelemahan apa-apa dasar,

    rancangan atau keputusan Kerajaan; atau (iv) mengedarkan apa-apa pernyataan atau ulasan, sama ada yang dibuat

    olehnya atau mana-mana orang lain. Selain itu, pegawai juga tidak boleh sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa cara lain kecuali mendapat kebenaran bertulis daripada menteri sama ada secara am atau khusus, membuat pernyataan awam seperti berikut: (i) membuat apa-apa ulasan tentang kelebihan apa-apa dasar, rancangan

    atau keputusan Kerajaan; (ii) memberikan apa-apa maklumat berdasarkan fakta berhubung

    dengan perjalanan fungsi Kerajaan; (iii) memberikan apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa peristiwa

    atau laporan yang melibatkan Kerajaan; atau (iv) menyebarkan apa-apa ulasan, maklumat atau penjelasan sedemikian

    sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain.

  • 170

    Peraturan 20- Larangan bertindak sebagai penyunting akhbar atau majalah atau jurnal Seseorang pegawai tidak boleh bertindak sebagai penyunting atau mengambil bahagian secara langsung atau tidak langsung dalam pengurusan atau dengan apa-apa cara membuat apa-apa sumbangan kewangan atau selainnya kepada mana-mana penerbitan atau jurnal, kecuali penerbitan yang berikut: (i) penerbitan jabatan; (ii) penerbitan profesional; (iii) penerbitan organisasi sukarela yang tidak bercorak politik; dan (iv) penerbitan yang diluluskan secara bertulis oleh Ketua Jabatan. Peraturan 21 Kegiatan politik Pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional dilarang mengambil bahagian dalam politik atau memakai lambang parti politik. Secara khususnya pegawai tidak boleh: (i) membuat pernyataan awam secara lisan atau bertulis yang

    memberikan suatu pandangan yang berat sebelah atas apa-apa perkara yang menjadi isu antara parti-parti politik;

    (ii) menerbitkan atau mengedar buku, makalah atau risalah mengemukakan pandangannya atau pandangan orang lain yang berat sebelah tentang apa-apa perkara yang berkaitan dengan mana-mana parti politik;

    (iii) terlibat dalam merayu undi dalam apa-apa pilihan raya dan untuk apa-apa jawatan yang dipertandingkan;

    (iv) bertindak sebagai ejen pilihan raya atau ejen tempat mengundi; (v) masuk bertanding apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik;

    atau (vi) memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik. Pegawai-pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh dilantik dalam apa-apa jawatan atau bertanding setelah mendapat kebenaran secara bertulis daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha Kementerian yang berkenaan, mengikut mana-mana yang berkenaan. Semua kumpulan pegawai boleh mengambil bahagian secara aktif dalam politik semasa bercuti sebelum persaraan dengan syarat telah mendapat kebenaran daripada pihak yang di sebut di atas. Semua pegawai boleh menjadi ahli biasa mana-mana parti politik dengan syarat keahliannya itu hendaklah dilaporkan kepada Ketua Jabatan.

  • 171

    Peraturan 22- Membawa prosiding undang-undang dan bantuan guaman Seseorang pegawai tidak boleh membawa apa-apa perbicaraan undang-undang bagi kepentingan peribadinya akibat daripada tugas rasminya tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan. Di samping itu, seseorang pegawai yang berkehendakkan bantuan guaman berbangkit daripada perbicaraan mahkamah yang dibawa terhadapnya atas tugas-tugas rasmi boleh memohon bantuan guaman kepada Setiausaha Kementerian dan tertakluk kepada nasihat Peguam Negara tentang: (i) amaun bantuan guaman yang hendak diluluskan (ii) peguambela dan peguamcara yang hendak diambil dan diarahkan

    oleh pegawai itu; atau (iii) apa-apa syarat lain yang peguam negara fikirkan baik. Peraturan 24- Tidak hadir bertugas Tindakan tatatertib boleh diambil terhadap seseorang pegawai yang didapati tidak hadir bertugas tanpa cuti atau tanpa kebenaran atau tanpa sebab-sebab yang munasabah. Ketidakhadiran dalam peraturan ini bermaksud sebagai tidak hadir selama beberapa lama jua pun, pada masa dan tempat di mana pegawai dikehendaki bertugas.

    SOALAN DALAM TEKS

    5. Berikan tiga keadaan yang menyebabkan seseorang

    penjawat awam dikatakan telah mencemarkan nama Perkhidmatan Awam.

    6. Huraikan secara ringkas maksud Peraturan 4A- Gangguan Seksual di tempat kerja.

    7. Maksud dadah berbahaya dalam Peraturan 7. 8. Apakah yang dimaksudkan dengan membuat

    pernyataan awam.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

  • 172

    7.5 PERATURAN-PERATURAN LEMBAGA TATATERTIB PERKHIDMATAN AWAM 1993

    Peraturan-Peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam 1993 ini telah mula berkuat kuasa pada 15 Disember 1993. Penubuhan Peraturan Lembaga Tatatertib ini adalah dengan izin serta kuasa yang diberikan oleh Fasal (5B) Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut:

    Yang di-Pertuan Agong boleh dengan peraturan-peraturan membuat peruntukan bagi perkara-perkara berhubung dengan pelantikan ahli-ahli jemaah atau ahli-ahli Jemaah Rayuan itu, dan acara yang akan diikuti oleh jemaah atau Jemaah Rayuan itu di bawah Fasal ini.

    Seperti yang telah kita ketahui, seseorang pegawai hendaklah mematuhi peruntukan yang telah ditetapkan di dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Mana-mana pegawai awam yang melanggar peraturan ini boleh menyebabkan beliau dikenakan tindakan tatatertib seperti yang telah ditetapkan di dalam peraturan berkaitan. Justeru, Peraturan-Peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam 1993 telah ditubuhkan bagi memperlengkapkan fungsi pihak Lembaga Tatatertib ini. Antara peruntukan yang terdapat di dalam Peraturan-Peraturan Lembaga Tatatertib 1993 ialah mengenai fungsi, bidang kuasa Lembaga Tatatertib, keahlian serta prosedur yang harus dipatuhi dalam sesuatu perbicaraan. Seterusnya peraturan ini juga memuatkan maklumat tentang sejauh mana kuasa yang dimiliki oleh pihak Lembaga Tatatertib untuk membuat penyiasatan dan juga penubuhan serta prosedur rayuan tatatertib sekiranya mana-mana pegawai yang terkilan dengan keputusan Lembagan Tatatertib berniat untuk membuat rayuan terhadap keputusan yang diterima. 7.6 KESIMPULAN Tidak dinafikan bahawa kawalan tatatertib atau disiplin adalah penting dalam sesebuah organisasi termasuklah dalam perkhidmatan awam bagi mengawal tingkah laku serta disiplin para pekerjanya. Bagi kakitangan dalam perkhidmatan awam pula, amat penting kepada mereka untuk mengambil tahu segala isi kandungan yang terdapat di dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 untuk membolehkan mereka mengetahui apakah hak dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan atau perkara yang perlu dielakkan. Ini kerana, sebarang perlanggaran terhadap peraturan ini boleh menyebabkan seseorang dihadapkan ke Lembaga Tatatertib dan ada sesetengah hukuman membawa kepada hukuman turun pangkat atau dibuang kerja. Justeru, adalah penting kepada semua kakitangan awam untuk mematuhi segala peruntukan yang berkaitan dalam usaha untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan awam negara ke taraf yang lebih baik kerana secara tidak

  • 173

    langsung ia dapat membentuk sebuah negara yang teguh, aman serta dihormati di seluruh dunia.

    SOALAN PENILAIAN KENDIRI

    1. Berdasarkan dua situasi berikut, sila huraikan sama ada telah berlaku

    ingkar perintah oleh pegawai-pegawai berikut di bawah Peraturan 4(2)(i) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993:

    (a) Seorang Ketua Jabatan telah mengarahkan semua kakitangan

    bawahannya tanpa mengira kategori pangkat untuk mencuci pejabat setengah jam sebelum pulang dari kerja pada setiap hari. Pada mulanya semua kakitangan akur dengan kehendak Ketua Jabatan, tetapi lama-kelamaan Encik Ali dan beberapa orang rakan sejawatannya telah enggan menurut arahan berkenaan. Adakah mereka telah melakukan kesalahan ingkar perintah?

    (b) Kementerian Pendidikan Tinggi telah mengeluarkan arahan

    kepada semua pensyarah Institusi Pengajian Tinggi Awam supaya menjalani latihan ala tentera selama sebulan pada cuti akhir semester akan datang. Encik Abu telah enggan menjalani latihan tersebut. Adakah dia telah ingkar perintah?

    (c) Arahan telah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah sebuah

    Jabatan Kerajaan agar separuh daripada kakitangannya di ibu pejabat bekerja pada waktu malam dan separuh lagi pada waktu siang. Alasan yang diberikan kerana, tidak cukup ruang meletak kenderaan, ruang pejabat juga sempit, jabatan mudah dihubungi dan bermacam-macam alasan lagi. Encik Ahmad yang diarahkan bekerja pada waktu malam tidak menghiraukan arahan itu dan telah datang kerja di waktu siang seperti biasa. Adakah Encik Ahmad telah ingkar perintah?

    2. Apakah yang perlu diberi perhatian oleh Ketua Jabatan sekiranya

    mendapat permohonan daripada pekerja bawahannya untuk melakukan pekerjaan luar.

    Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

  • 174

    JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS 1. Kawalan tatatertib atau disiplin penting kerana ia merupakan salah

    satu daripada fungsi pengurusan kakitangan yang penting. Selain itu, disiplin amat perlu dititikberatkan untuk mencapai kestabilan dan objektif yang telah ditetapkan oleh mana-mana organisasi berkenaan. Disiplin juga dapat membentuk sikap yang positif dan mencegah daripada berlakunya penyelewengan dalam setiap organisasi.

    2. Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993

    mula berkuat kuasa pada 15 Disember 1993. 3. Peraturan mengenai tatatertib mula dipakai di Tanah Melayu dalam

    awal tahun 1920-an iaitu di Negeri-Negeri Selat bersama-sama dengan Colonial Regulations.

    4. Isu yang dibincangkan dalam kes Sambasivam lwn Suruhanjaya

    Perkhidmatan Awam ialah adakah Perintah Am Bab D mempunyai kuat kuasa undang-undang. Mahkamah Persekutuan dalam kes ini telah mengesahkan bahawa Perintah Am Bab D mempunyai kuat kuasa undang-undang dan hendaklah dikira mandatori, sekurang-kurangnya setakat ia menjalankan tujuan Perkara 135(2) Perlembagaan Persekutuan.

    5. Tiga keadaan yang boleh mencemarkan nama Perkhidmatan Awam

    ialah

    (i) Terlibat dalam penyalahgunaan dadah. (ii) Menerima keraian yang berlebihan. (iii) Bermain judi di pejabat.

    6. Gangguan seksual di dalam Peraturan 4A bermaksud membuat

    cubaan untuk merapati orang lain secara seksual atau meminta layanan seksual daripada orang tersebut atau melakukan apa-apa perbuatan yang bersifat seksual berhubung dengan orang lain. Segala tindakan ini akan menyebabkan seseorang yang waras akan tersinggung, terhina atau terugut. Perlakuan bersifat seksual termasuklah secara lisan, bertulis dan lain-lain dan tidak terhad di tempat kerja atau di waktu kerja sahaja selagi boleh mencemarkan nama perkhidmatan awam.

    7. Dadah berbahaya ertinya apa-apa dadah atau bahan yang disenaraikan

    dalam jadual Pertama di dalam Akta Dadah Berbahaya 1952. 8. Pernyataan awam di dalam peraturan ini bermaksud apa-apa

    pernyataan atau ulasan yang dibuat kepada pihak akhbar atau orang ramai atau semasa memberikan apa-apa syarahan atau ucapan awam atau dalam apa-apa penyiaran atau penerbitan tanpa mengira caranya.