Bab 08

11
175 BAB 8 ISU-ISU ETIKA DAN CABARAN OBJEKTIF BAB Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Menjelaskan beberapa isu berkaitan etika dan mengaitkannya dengan situasi tempat kerja anda. 2. Memahami bahawa isu etika ialah satu isu yang penting dan perlu diambil berat. 3. Membincangkan perkaitan di antara rasuah dan etika. 4. Mengetahui bahawa gangguan seksual ialah satu isu etika yang serius yang berlaku di tempat kerja. 5. Mengenal pasti tindakan-tindakan yang boleh diklasifikasikan sebagai isu etika yang lazim berlaku di tempat kerja. 8.1 PENGENALAN Etika ialah satu tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh individu dalam bertingkah laku terutamanya bagi seseorang pentadbir awam. Ini kerana profesion sebagai seorang penjawat awam melibatkan tanggungjawab terhadap masyarakat. Masyarakat yang semakin berkembang dan membangun selaras dengan perubahan zaman dan teknologi memperlihatkan pelbagai isu dan masalah yang tidak dapat lari daripada persoalan moral dan etika. Oleh itu, bab ini akan mengupas beberapa isu penting serta cabaran yang berkaitan dengan etika seperti rasuah dan gangguan seksual khasnya dalam sektor awam. 8.2 RASUAH Wan Azmi Ramli (1996) mengatakan bahawa rasuah atau sogokan dapat dijelaskan berdasarkan takrifan perundangan dan juga takrifan keorganisasian. Ia boleh terdiri daripada penyelewengan wang, kuasa mahupun tindakan atau kelakuan. Appleby (1952) mendefinisikan rasuah sebagai ketidakrelaan (unwillingness) dan tindakan tidak beretika dalam melaksanakan tanggungjawab, tidak mampu berurusan dengan orang ramai, kegagalan untuk menggunakan sumber-sumber organisasi secara efisien, dan juga gagal untuk mengendalikan masalah-masalah birokratik. Walaupun tingkah laku-tingkah laku tersebut kebanyakannya mungkin tidak salah dari segi undang-undang tetapi secara jelas tidak beretika (Frederickson, 1993). Dari segi undang-undang di Malaysia, Akta Pencegahan Rasuah 1961, rasuah dapat diklasifikasikan kepada tiga bentuk seperti berikut:

Transcript of Bab 08

  • 175

    BAB 8

    ISU-ISU ETIKA DAN CABARAN

    OBJEKTIF BAB

    Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Menjelaskan beberapa isu berkaitan etika dan mengaitkannya

    dengan situasi tempat kerja anda. 2. Memahami bahawa isu etika ialah satu isu yang penting dan perlu

    diambil berat. 3. Membincangkan perkaitan di antara rasuah dan etika. 4. Mengetahui bahawa gangguan seksual ialah satu isu etika yang

    serius yang berlaku di tempat kerja. 5. Mengenal pasti tindakan-tindakan yang boleh diklasifikasikan

    sebagai isu etika yang lazim berlaku di tempat kerja.

    8.1 PENGENALAN Etika ialah satu tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh individu dalam bertingkah laku terutamanya bagi seseorang pentadbir awam. Ini kerana profesion sebagai seorang penjawat awam melibatkan tanggungjawab terhadap masyarakat. Masyarakat yang semakin berkembang dan membangun selaras dengan perubahan zaman dan teknologi memperlihatkan pelbagai isu dan masalah yang tidak dapat lari daripada persoalan moral dan etika. Oleh itu, bab ini akan mengupas beberapa isu penting serta cabaran yang berkaitan dengan etika seperti rasuah dan gangguan seksual khasnya dalam sektor awam. 8.2 RASUAH Wan Azmi Ramli (1996) mengatakan bahawa rasuah atau sogokan dapat dijelaskan berdasarkan takrifan perundangan dan juga takrifan keorganisasian. Ia boleh terdiri daripada penyelewengan wang, kuasa mahupun tindakan atau kelakuan. Appleby (1952) mendefinisikan rasuah sebagai ketidakrelaan (unwillingness) dan tindakan tidak beretika dalam melaksanakan tanggungjawab, tidak mampu berurusan dengan orang ramai, kegagalan untuk menggunakan sumber-sumber organisasi secara efisien, dan juga gagal untuk mengendalikan masalah-masalah birokratik. Walaupun tingkah laku-tingkah laku tersebut kebanyakannya mungkin tidak salah dari segi undang-undang tetapi secara jelas tidak beretika (Frederickson, 1993). Dari segi undang-undang di Malaysia, Akta Pencegahan Rasuah 1961, rasuah dapat diklasifikasikan kepada tiga bentuk seperti berikut:

  • 176

    (a) Kesalahan menerima dan memberi suapan rasuah

    Seksyen 3(a) dan (b) serta Seksyen 4(a) dan (b), mendefinisikan rasuah jenis ini sebagai tindakan menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, galakan atau sebagai upah kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang mempunyai hubungan dengan prinsipalnya.

    (b) Kesalahan mengemukakan dokumen/butiran palsu

    Peruntukan ini diletakkan di bawah Seksyen 4 (c) yang menjelaskan bahawa seseorang dengan diketahuinya mengemukakan apa-apa resit, akaun atau lain-lain dokumen yang mengandungi apa-apa pernyataan palsu atau khilaf atau tidak lengkap dengan niat hendak mengelirukan prinsipalnya.

    (c) Pilih kasih/salah guna kuasa (kedudukan) untuk kepentingan

    sendiri

    Peruntukan ini dijelaskan dalam Seksyen 2 (1) Ordinan No.22 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat, 1970 iaitu mana-mana anggota pentadbiran atau mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri atau mana-mana pegawai awam, yang semasa menjadi anggota, ahli atau pegawai telah melakukan perbuatan rasuah apabila telah menggunakan kedudukan atau jawatan awamnya untuk faedah kewangannya atau apa-apa faedahnya yang lain.

    Selepas Pindaan 1997, jenis kesalahan rasuah ditambah kepada satu lagi iaitu kesalahan menawar dan memberi rasuah yang diperuntukkan di bawah Seksyen 11 (a) dan (b) yang berbunyi mana-mana orang atau ajen secara rasuah menawar atau memberi atau bersetuju memberi suapan rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan dengan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal atau majikan berkenaan, adalah melakukan suatu kesalahan (http://www.jaring.my/bpr/act.97.htm). Rasuah dalam politik dan birokrasi bukanlah satu perkara baru, malahan menjadi satu isu yang sering diperdebatkan dan lazimnya mencuri tumpuan masyarakat umum. Jika kita tinjau dari segi sejarah, kejatuhan kerajaan Melaka itu sendiri dikaitkan dengan amalan rasuah oleh pegawai-pegawai istana. Kes-kes rasuah seperti penahanan bekas Timbalan Perdana Menteri, Anuar Ibrahim, penyelewengan dalam Perwaja Steel, isu pemberian lesen terbang oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan, kes VCD cetak rompak yang melibatkan Pegawai Kanan Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan berbagai-bagai kes lagi yang bukan sahaja melibatkan kerugian jutaan ringgit malahan menjatuhkan imej dan kredibiliti pihak berkuasa khususnya dalam perkhidmatan awam. Oleh itu, langkah kerajaan menubuhkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan menyemak semula akta-akta dan prosedur berkaitan ialah satu langkah bijak yang sangat dialu-alukan. Bab yang

  • 177

    seterusnya akan menyorot latar belakang dan fungsi-fungsi badan ini (BPR) dengan lebih mendalam.

    SOALAN DALAM TEKS

    1. Berikan tiga bentuk rasuah mengikut Akta

    Pencegahan Rasuah 1961. 2. Senaraikan tiga contoh yang boleh dikategorikan

    sebagai amalan rasuah dalam pentadbiran.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    8.2.1 Badan Pencegah Rasuah Badan Pencegah Rasuah (BPR) berasal daripada Urusetia Pencegah Rasuah yang ditubuhkan pada 1 November 1959 di bawah Jabatan Perdana Menteri. Fungsi utama urusetia ini pada awalnya ialah untuk mendidik masyarakat tentang bahaya rasuah, mendapatkan sokongan daripada orang ramai serta mengumpul maklumat bagi pihak Unit Jenayah khas untuk tujuan siasatan. Urusan pendakwaan kes-kes rasuah pula dikendalikan oleh Bahagian Pendakwaan, Kementerian Undang-Undang. Akhirnya pada 1967, Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah ditubuhkan yang kemudian telah ditukar namanya kepada Biro Siasatan Negara (BSN) pada tahun 1973. Bagaimanapun pada tahun 1990, BSN telah ditukarkan kembali namanya kepada BPR. Rasionalnya ialah untuk memberi penekanan kepada fungsi sebenar badan ini dalam menangani gejala rasuah (Amir Haidi, 1998/99). BPR ditubuhkan dengan objektif untuk mencegah dan menghapuskan segala bentuk rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang ditegah oleh undang-undang. Visi BPR pula adalah untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada gejala rasuah berlandaskan nilai-nilai kerohanian dan moral yang tinggi, yang diterajui oleh Kerajaan yang bersih, cekap dan amanah. BPR ditubuhkan dengan misi utamanya untuk membanteras jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa secara bersepadu dan berterusan berteraskan prinsip keadilan undang-undang negara. Oleh itu, strategi yang diguna pakai oleh BPR ialah Strategi Pengukuhan, Penggalakkan dan Pencegahan serta Strategi Penguatkuasaan. Selaras dengan itu, tujuh aktiviti utama BPR dalam memenuhi objektif dan misi badan itu ialah Perisikan, Siasatan, Pendakwaan, Pencegahan, Latihan, Korporat dan Pengurusan Am (Laporan Tahunan BPR, 1998). Sehingga sekarang BPR diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, tetapi hanyalah dari segi urusan kewangan dan kakitangan. Segala urusan harian BPR dilaksanakan secara bebas dan berkecuali oleh para kakitangan yang

  • 178

    dipertanggungjawabkan di bawah pengawasan seorang Ketua Pengarah. Ketua Pengarah BPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Seksyen 3 (2) Akta Pencegahan Rasuah 1997 atas nasihat Perdana Menteri. Dari segi carta organisasi, Ketua Pengarah BPR dibantu oleh dua orang Timbalan Pengarah. BPR mempunyai sembilan bahagian di peringkat Ibu Pejabat serta 15 buah pejabat peringkat negeri yang diketuai oleh seorang Pengarah Negeri (http://www.jaring.my/bpr/bm/organisasi2.htm, 12 April 2004).

    SOALAN DALAM TEKS

    3. Apakah tiga strategi yang digunakan oleh BPR dalam

    menangani gejala rasuah?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    8.2.2 Akta Pencegahan Rasuah 1997 Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta No. 575) diluluskan oleh Parlimen dan diwartakan pada 25 September 1997. Akta ini merupakan gabungan tiga akta rasuah yang digunakan sebelum ini iaitu Akta Pencegah Rasuah 1961, Akta Badan Pencegah Rasuah 1982 dan Ordinan (Kuasa-kuasa Perlu) Dharurat No. 22 1970. Akta ini terbahagi kepada lapan bahagian yang terdiri daripada 62 seksyen. Bahagian-bahagian tersebut adalah seperti berikut: Bahagian I Permulaan (Seksyen 1 & 2) Bahagian II Penubuhan Badan, Pelantikan dan Kuasa (Seksyen 3-9) Bahagian III Kesalahan dan Penalti (Seksyen 10-20) Bahagian IV Penyiasatan, Pemeriksaan dan Penggeledahan, Penyitaan

    dan Penangkapan (seksyen 21-30) Bahagian V Peruntukan Yang Berhubungan Dengan Pendakwaraya

    (Seksyen 31-41) Bahagian VI Keterangan (Seksyen 42-49) Bahagian VII Pendakwaan dan Perbicaraan Kesalahan (Seksyen 50-53)

    dan Bahagian VIII Am (Seksyen 54-62) (Rujuk Akta Pencegahan Rasuah 1997 untuk maklumat lanjut). 8.2.3 Punca-Punca Gejala Rasuah Terdapat pelbagai faktor dan fenomena yang boleh menyumbang kepada jenayah rasuah. Antaranya ialah sikap dan keperibadian seseorang yang tidak bermoral dan tidak beretika dalam melaksanakan tugas serta

  • 179

    tanggungjawabnya. Ini dikaitkan dengan sikap tamak, tidak jujur, pentingkan diri dan terlalu mementingkan kebendaan tanpa mengambil kira aspek halal haram. Contohnya ialah sikap penjawat awam yang memberikan tender kepada seseorang kontraktor walaupun terdapat kontraktor lain yang lebih layak kerana menerima faedah atau apa-apa suapan daripada kontraktor berkenaan. Pengalaman BPR sendiri dalam mengendalikan kes-kes rasuah turut menyenaraikan aspek kurangnya penghayatan nilai-nilai murni dan elemen keagamaan sebagai punca utama jenayah rasuah (http://www.jaring.my/bpr/bm/punca.htm, 26 April 2004). Faktor yang seterusnya ialah kekurangan penyeliaan dan pengawasan daripada pihak atasan. Keadaan ini akan menyebabkan seseorang individu mengambil kesempatan daripada sesuatu situasi khususnya apabila tindakan yang dilakukan tidak disemak semula (tiada check and balance) daripada pihak atasan. Contohnya kes seperti keutamaan layanan kaunter, penerimaan borang yang melepasi tarikh dan sebagainya lagi yang melibatkan kuasa budi bicara tanpa pengawasan pihak atasan. Lazimnya kes-kes seperti ini walaupun kecil dan tidak menyebabkan kerugian yang besar, namun jika berterusan boleh membawa kepada penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang merosakkan imej organisasi dan mengurangkan kredibiliti sektor awam di mata rakyat. Selain itu, terdapat juga kes-kes rasuah yang berlaku akibat daripada kelemahan dan kelonggaran sistem pelaksanaan kerja itu sendiri serta peraturan-peraturan yang ada. Tatacara dan peraturan yang longgar mahupun terlalu rigid menyebabkan sesebuah jabatan mudah terdedah kepada peluang-peluang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh para penjawat awam. Tatacara dan peraturan yang terlalu longgar menyebabkan mekanisme kawalan dan pengawasan kurang dan memungkinkan penjawat awam melibatkan diri kerana menyangka perlakuan tersebut tidak akan diketahui. Jika diketahui sekalipun mungkin tindakan tidak boleh diambil kerana tidak terdapat peraturan dan aspek perundangan mengenainya. Peraturan yang terlalu rigid pula mungkin melambatkan dan menyulitkan sesuatu urusan. Oleh itu, elemen suapan tertentu yang berbentuk wang ringgit, kebendaan dan pertolongan boleh digunakan untuk mengelakkan peraturan/tatacara tersebut. Faktor-faktor lain yang mungkin turut menyumbang kepada gejala ini adalah seperti kepimpinan yang lemah, sistem ganjaran yang kurang memuaskan dan ketiadaan pilihan. Kepimpinan yang lemah dikaitkan dengan ketua yang kurang komited, tidak mengambil berat akan tanggungjawab dan peranannya serta menunjukkan contoh yang tidak baik. Sistem ganjaran yang tidak menarik dan berpatutan juga boleh menjadi punca. Misalnya, gaji anggota polis terutamanya kakitangan peringkat bawahan yang tidak mencukupi untuk menyara kehidupun dengan selesa, sedangkan mereka bertanggungjawab dalam menguatkuasakan sesuatu undang-undang. Dalam sesetengah keadaan jenayah rasuah mungkin berlaku akibat terpaksa atau tiada pilihan khususnya apabila menerima ugutan. Walau apapun semua ini

  • 180

    tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan perbuatan tersebut kerana amalan rasuah secara jelas adalah tidak bermoral dan boleh merosakkan pelbagai pihak.

    SOALAN DALAM TEKS

    4. Jelaskan tiga faktor yang menyumbang kepada gejala

    rasuah.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    8.3 PELAN INTEGRITI NASIONAL Pelan Integriti Nasional (PIN) dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada April 2004 untuk membentuk sebuah masyarakat Malaysia, terutamanya perkhidmatan awam yang bukan sahaja cekap dan berkesan tetapi juga bebas daripada unsur-unsur rasuah dan penyelewengan. Ini bererti kita cuba untuk menjadi sebuah negara yang rakyatnya sentiasa bermoral dan beretika. Pelancaran pelan ini tepat pada masanya selaras dengan hasrat murni kerajaan untuk memperbaiki imej dan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa. Mengikut indeks yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI), di Berlin, Jerman, Malaysia berada di tangga ke-37 daripada 133 negara sebagai negara kurang rasuah berbanding Indonesia yang tersenarai sebagai negara yang berleluasa rasuah. Bangladesh merupakan negara yang paling terkenal dengan rasuah mengatasi Nigeria (Utusan Malaysia, 26 April 2004). PIN dilihat sebagai satu pelan komprehensif yang melibatkan semua sektor dan lapisan masyarakat. Terdapat lima sasaran yang ditetapkan untuk dicapai dalam tempoh lima tahun iaitu dari tahun 2004 hingga 2008. Sasaran ini dikenali sebagai Tekad 2008 yang bertujuan untuk (i) Mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa

    secara berkesan. (ii) Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan

    awam dan mengatasi kerenah birokrasi. (iii) Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan. (iv) Memantapkan institusi keluarga. (v) Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat. Untuk memastikan PIN ini dapat mencapai hasratnya, sebuah agensi pelaksana yang dikenali sebagai Institut Integriti Malaysia (IIM) telah ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara. Pelan ini

  • 181

    juga diharap dapat membantu mencapai matlamat wawasan 2020 iaitu membentuk sebuah masyarakat yang kukuh dari segi moral dan etika, mempunyai nilai-nilai keagamaan dan kerohanian yang tinggi. Malahan PIN juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama segenap lapisan masyarakat daripada semua sektor dalam memantapkan integriti. Sebenarnya penubuhan pelan ini bukanlah satu usaha baru kerajaan dalam memastikan wujudnya integriti, sebaliknya telah ada beberapa langkah seumpamanya sebelum ini. Contohnya seperti pemantapan proses kerja, penerapan nilai-nilai murni, Kod Urus Tadbir Malaysia (kod etika untuk syarikat swasta), kod etika wakil rakyat dan sebagainya lagi yang jelas bertujuan untuk memastikan wujudnya sebuah kerajaan dan negara maju yang bersih, cekap dan mantap.

    SOALAN DALAM TEKS

    5. Apakah tujuan Pelan Integriti Nasional (PIN)

    ditubuhkan?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    8.4 GANGGUAN SEKSUAL Mengikut WAO atau Pertubuhan Pertolongan Wanita (Womens Aid Organisation), gangguan seksual merujuk kepada perlakuan seksual yang tidak diminta, diundang atau ditawarkan sama ada berbentuk lisan, isyarat, visual, psikologi mahupun fizikal. Gangguan lisan adalah seperti komen, membuat bunyi, berjenaka dan sebagainya manakala isyarat adalah seperti menjilat bibir, mengeluarkan lidah atau memegang sesuatu secara menggoda. Gangguan berbentuk visual adalah seperti menunjukkan gambar, melukis sesuatu dan sebagainya. Gangguan psikologikal adalah seperti undangan sosial yang tidak disenangi dan gangguan fizikal ialah perbuatan seperti mencubit, meraba, sentuhan dan sebagainya lagi yang melibatkan fizikal pihak yang terlibat. Lazimnya, apabila kita membicarakan tentang isu ini kita lebih merujuk kepada gangguan yang dilakukan oleh lelaki kepada wanita. Sebenarnya gangguan seksual boleh juga berlaku kepada lelaki khususnya di tempat kerja. Gangguan seksual di tempat kerja bukan sahaja memberi tekanan dan mengakibatkan kejatuhan produktiviti kepada mereka yang terlibat, tetapi juga ia boleh menjejaskan imej sesebuah organisasi. Equal Employment Opportunity Commision (EEOC), mendefinisikan gangguan seksual di tempat kerja sebagai tingkah laku seksual yang tidak diingini, permintaan-permintaan berbentuk seksual dan lain-lain tingkah laku verbal dan fizikal yang dikategorikan sebagai gangguan seksual apabila

  • 182

    (i) Kepatuhan terhadap perlakuan tersebut sama ada secara jelas atau tersembunyi menjadi satu syarat dalam pekerjaan.

    (ii) Kepatuhan atau penolakan terhadap perlakuan tersebut menjadi asas atau mempengaruhi sesuatu keputusan berkaitan pekerjaan/jawatan atau

    (iii) Perlakuan sedemikian mempunyai tujuan atau memberi kesan kepada prestasi kerja seseorang, atau mewujudkan persekitaran kerja yang tidak selesa dan mengancam. (Levy dan Paludi, 2002)

    Gangguan seksual boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu pertama, quid pro quo yang berupa pengenaan syarat berbentuk seksual ke atas pekerjaan. Contohnya, seorang pegawai atasan yang berkuasa menentukan markah penilaian prestasi dan kenaikan gaji mengugut pekerja bawahan agar memberikan layanan seksual kepadanya jika ingin mendapat kenaikan pangkat. Kategori yang kedua ialah tingkah laku yang menimbulkan suasana yang tidak tenteram di tempat kerja juga disebut sebagai hostile work environment (Levy dan Paludi, 2002). Gangguan ini juga merupakan satu ancaman dan penghinaan kepada mangsa tetapi tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan faedah-faedah pekerjaan. Walau bagaimanapun, ia tetap mewujudkan suasana kerja yang tidak selesa dan tidak tenteram untuk terus bekerja.

    SOALAN DALAM TEKS

    6. Apakah bentuk gangguan lisan yang boleh

    dikategorikan sebagai gangguan seksual? 7. Jelaskan maksud Quid pro quo.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    8.4.1 Kod Amalan Gangguan Seksual Mengikut sumber yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman untuk Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, kes yang dilaporkan pada tahun 2000 ialah sebanyak 112 kes di mana melibatkan majikan (50 suspek) dan rakan sekerja (62 suspek). Pada tahun 2001 angka ini berkurangan dengan agak banyak kepada hanya 86 kes (51 majikan dan 35 rakan sekerja) manakala pada tahun 2002 terdapat sedikit pengurangan kepada 84 kes yang melibatkan 43 kes daripada majikan dan selebihnya melibatkan rakan sekerja (http://www.jaring.my/bpr/bm/organisasi2.htm, 4 April 2004).

  • 183

    Walaupun angka tersebut menunjukkan penurunan dalam bilangan kes yang dilaporkan, namun perbuatan tidak beretika ini tidak boleh dipandang remeh kerana statistik tersebut membuktikan bahawa perlakuan sedemikian memang berlaku. Oleh itu, kerajaan telah melancarkan Kod Amalan untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja pada 17 Ogos 1999 yang lalu melalui Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Jabatan Hal Ehwal Wanita (HAWA) dan sebagainya. Kod amalan ini bertujuan untuk memberi garis panduan kepada majikan mengenai penubuhan mekanisme dalaman di peringkat organisasi untuk mencegah dan seterusnya menghapuskan gangguan seksual di tempat kerja. Mekanisme dalaman tersebut yang digalakkan untuk diwujudkan di peringkat organisasi haruslah mengandungi perkara-perkara berikut: (i) Satu kenyataan dasar yang melarang gangguan seksual di organisasi. (ii) Definisi gangguan seksual yang jelas. (iii) Prosedur untuk membuat aduan. (iv) Peraturan, disiplin dan hukuman terhadap pesalah dan individu yang

    membuat aduan palsu. (v) Langkah-langkah pemulihan dan perlindungan kepada mangsa. (vi) Program-program promosi dan pendidikan untuk memberi

    penerangan tentang dasar organisasi terhadap gangguan seksual serta meningkatkan kesedaran pekerja dan pihak pengurusan.

    (http:www.mohr.gov.my/makluman/kod.htm)

    Dengan adanya garis panduan sedemikian dan satu mekanisme dalaman yang jelas dalam organisasi adalah diharapkan masalah ini dapat diatasi atau dikurangkan. Walaupun begitu, mekanisme dalaman ini tidak mempunyai implikasi undang-undang yang nyata jika majikan tidak mahu menerima pakai kerana ia hanyalah satu kod amalan. Ini bermakna perbuatan tidak bermoral mungkin berlaku secara berterusan jika pihak majikan tidak serius mengenainya. Oleh itu, apa yang perlu diterapkan kepada semua pekerja dan majikan dalam menangani masalah ini ialah menjadikan perlakuan yang baik dan bermoral sebagai satu amalan harian tanpa perasaan takut kepada hukuman atau undang-undang. 8.5 KESIMPULAN Kita tidak boleh menyangkal lagi bahawa etika ialah elemen penting yang perlu dititikberatkan di kalangan pentadbir awam demi mewujudkan sebuah perkhidmatan awam yang telus, berkualiti, dan cemerlang. Pembentukan nilai-nilai murni yang boleh dikongsi bersama oleh semua kaum perlu dalam organisasi awam agar para pentadbir dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada semua pihak tanpa mengira batasan agama mahupun bangsa. Walaupun Malaysia terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik yang

  • 184

    mengamalkan adat dan kepercayaan masing-masing namun kita sentiasa hidup dalam kedamaian dan kesejahteraan. Ini bersamaan dengan etika yang mana nilai-nilai yang diterapkan ialah nilai-nilai sejagat kepunyaan bersama seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, adil, bersopan dan lain-lain lagi. Kepentingan etika bukanlah dalam perkhidmatan awam sahaja ataupun di kalangan pentadbir awam sahaja malah meluas kepada semua pihak dalam masyarakat. Sektor swasta, korporat, perindustrian dan perniagaan juga tidak ketinggalan, harus mengamalkan pengurusan yang beretika. Dengan itu, gejala-gajala negatif seperti rasuah, diskriminasi, pecah amanah, penipuan dan sebagainya lagi dapat dihindarkan atau dikurangkan. Sesungguhnya etika berlandaskan agama dan agama sentiasa memandu kita ke arah kebaikan dan kesejahteraan.

    SOALAN PENILAIAN KENDIRI

    1. Terangkan secara ringkas apa yang anda faham dengan rasuah. 2. Jelaskan bagaimana kelemahan sistem dan peraturan membawa

    kepada gejala rasuah dalam pentadbiran. 3. Pada pendapat anda apakah senario yang menyebabkan kerajaan

    melancarkan Pelan Integriti Nasional? 4. Bincangkan bagaimana organisasi dapat memainkan peranan dalam

    membendung gangguan seksual di tempat kerja?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

    1. (i) Menerima dan memberi suapan.

    (ii) Kemukakan dokumen palsu. (iii) Salah guna kuasa.

    2. (i) Memberikan tender kepada kontraktor yang tidak layak. (ii) Memberi keutamaan kepada saudara-mara dalam perjawatan. (iii) Penipuan dalam kerja.

    3. Strategi pengukuhan, strategi penggalakan dan pencegahan serta strategi penguatkuasaan.

    4. (i) Sikap peribadi manusia yang tamak dan tidak jujur.

    (ii) Kurang penguatkuasaan dan kawalan pihak atasan. (iii) Kelemahan peraturan.

  • 185

    5. PIN ditubuhkan untuk membentuk sebuah masyarakat dan perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan serta bebas dari unsur rasuah dan penyelewengan. Ini dapat memantapkan integriti pentadbir awam.

    6. Membuat bunyi, memberi komen dan berjenaka. 7. Mengenakan syarat berbentuk seksual jika ingin mendapatkan

    sesuatu.