Bab 1 Pendahuluan Penerokaan Ilmu Syariah dan...

4
ISU SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG SIRI 22 Disunting oleh: Md. Yazid Ahmad, Anwar Fakhri Omar & Mohammad Zaini Yahaya © Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi, Selangor. ISSN 1511-3434 http://ukmsyariah.org/terbitan/index.php/isusyariah22/ Bab 1 Pendahuluan Penerokaan Ilmu Syariah dan Undang- Undang Teras Kelangsungan Keilmuan Islam Md Yazid Ahmad, Anwar Fakhri Omar & Mohammad Zaini Yahaya Kedinamikan semangat para sarjana dan cendikiawan Islam meneroka ceruk ilmu untuk merealisasikan gagasan membina peradaban jelas terpahat dalam lembaran kecemerlangan sejarah ketamadunan manusia. Seiring dengan itu, UKM yang mendukung aspirasi ‘Pendaulat Amanah Negara’ bersama-sama khalayak akademianya khususnya Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam meneruskan kesinambungan perjuangan tersebut dalam konteks ilmu syariah dan undang-undang dengan memacu aktiviti penyelidikan dan penulisan yang bersifat proaktif bagi melestarikan kelangsungan ilmu Islam di samping menghasilkan lanskap persekitaran ilmiah yang berkualiti demi meraih kesejahteraan dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Ungkapan ‘Penerokaan’ yang terbit dari kata dasar ‘teroka’ membawa maksud ‘perihal perbuatan meneroka atau menerokai’. Justeru, ‘penerokaan’ dalam tema ini mempunyai konotasi dengan proses memugar ceruk ilmu syariah dan undang-undang khususnya ruang yang langka disentuh untuk menjamin kelangsungan ilmu Islam agar sentiasa mekar dan segar. Sejajar dengan tema, makalah isu-isu syariah dan undang-undang yang ke 22 ini memaparkan garapan idea para penyumbang dalam merungkai kepelbagaian isu dan permasalahan dalam konteks kehidupan bermasyarakat di samping meneliti model undang-undang yang diamalkan di negara Islam lain sebagai rujukan dan panduan dalam bidang-bidang tertentu. Klasifikasi bidang yang menjadi tumpuan kali ini ialah bidang undang-undang keluarga Islam, undang- undang tort perbandingan, fiqh semasa, siyasah syar’iyyah, undang- undang hartanah Islam dan muamalat Islam. Bab pertama yang

Transcript of Bab 1 Pendahuluan Penerokaan Ilmu Syariah dan...

ISU SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG SIRI 22 Disunting oleh: Md. Yazid Ahmad, Anwar Fakhri Omar & Mohammad Zaini Yahaya

© Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi, Selangor. ISSN 1511-3434 http://ukmsyariah.org/terbitan/index.php/isusyariah22/

Bab 1

Pendahuluan

Penerokaan Ilmu Syariah dan Undang-

Undang Teras Kelangsungan Keilmuan Islam

Md Yazid Ahmad, Anwar Fakhri Omar & Mohammad Zaini Yahaya

Kedinamikan semangat para sarjana dan cendikiawan Islam meneroka

ceruk ilmu untuk merealisasikan gagasan membina peradaban jelas terpahat dalam lembaran kecemerlangan sejarah ketamadunan manusia. Seiring dengan itu, UKM yang mendukung aspirasi ‘Pendaulat Amanah

Negara’ bersama-sama khalayak akademianya khususnya Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam meneruskan kesinambungan perjuangan tersebut dalam konteks ilmu syariah dan undang-undang

dengan memacu aktiviti penyelidikan dan penulisan yang bersifat proaktif bagi melestarikan kelangsungan ilmu Islam di samping menghasilkan lanskap persekitaran ilmiah yang berkualiti demi meraih

kesejahteraan dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Ungkapan ‘Penerokaan’ yang terbit dari kata dasar ‘teroka’

membawa maksud ‘perihal perbuatan meneroka atau menerokai’. Justeru, ‘penerokaan’ dalam tema ini mempunyai konotasi dengan

proses memugar ceruk ilmu syariah dan undang-undang khususnya ruang yang langka disentuh untuk menjamin kelangsungan ilmu Islam agar sentiasa mekar dan segar.

Sejajar dengan tema, makalah isu-isu syariah dan undang-undang yang ke 22 ini memaparkan garapan idea para penyumbang dalam

merungkai kepelbagaian isu dan permasalahan dalam konteks kehidupan bermasyarakat di samping meneliti model undang-undang yang diamalkan di negara Islam lain sebagai rujukan dan panduan

dalam bidang-bidang tertentu. Klasifikasi bidang yang menjadi tumpuan kali ini ialah bidang undang-undang keluarga Islam, undang-

undang tort perbandingan, fiqh semasa, siyasah syar’iyyah, undang-undang hartanah Islam dan muamalat Islam. Bab pertama yang

Isu Syariah & Undang-undang Siri 22 2

disediakan oleh Md Yazid Ahmad, Anwar Fakhri Omar dan

Mohammad Zaini Yahaya selaku sidang penyunting, membuka tirai

perbincangan dengan mengulas secara ringkas keseluruhan korpus yang terkandung dalam buku ini yang menumpukan kepada aspek isu-isu syariah dan undang-undang yang mewarnai kehidupan umat Islam di

Malaysia.

Perbincangan berhubung bidang undang-undang keluarga Islam dimulakan menerusi bab kedua. Penghasilan karya oleh Norhidayah Md Salleh dan Zuliza Mohd Kusrin yang mengupas secara tuntas interpretasi ibu tunggal dan jaminan hak mereka dalam kerangka syariah sebagai salah satu pendekatan signifikan bagi memelihara dan memartabatkan peranan wanita dalam institusi kekeluargaan yang merupakan teras kepada pembentukan generasi muslim. Penganalisisan dimulakan dengan huraian konsep ibu tunggal menurut perspektif syarak dan seterusnya penjelasan hak-hak ibu tunggal sebagaimana yang digariskan dalam syarak termasuk hak untuk dihormati dan mendapat layanan baik dalam masyarakat di samping menyatakan tanggungjawab pihak bekas suami atau pihak berkuasa dalam menunaikan hak-hak tersebut.

Kesinambungan perbincangan bidang undang-undang keluarga Islam ini diteruskan dalam bab ketiga yang menelusuri fasa-fasa sejarah penetapan kadar mas kahwin di Johor. Karya historiografi yang dilakar oleh Muhammad Najib Abd Wakil dan Che Maryam Ahmad ini membawa tumpuan khalayak pembaca menyingkap kembali satu persatu lembaran asal usul penetapan kadar mas kahwin yang merentasi era sebelum dan semasa penjajahan hinggalah pasca merdeka. Sorotan sejarah penetapan kadar mas kahwin di Johor yang dipersembahkan oleh para penulis ini disulami dengan peruntukan-peruntukan kadar mas kahwin yang termaktub dalam undang-undang yang menjadi amalan di zaman tersebut dan dihiasi dengan analisis ringkas nuansa nilai mas kahwin menghasilkan rantaian penceritaan yang menarik. Di akhir penulisannya, Muhammad Najib Abd Wakil dan Che Maryam Ahmad mengesyorkan pihak berautoriti di negeri Johor menyemak semula kadar mas kahwin yang ditetapkan agar mengikut kesesuaian semasa demi memelihara dan mengangkat martabat wanita Islam ke tahap yang lebih tinggi.

Dalam dimensi perbincangan yang lain, bab empat mengutarakan perbincangan mengenai tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah Sabah. Makalah Nur Shafiqqah Mudran dan Zuliza Mohd Kusrin meneliti peruntukan undang-undang berkaitan harta sepencarian di negeri Sabah dan memfokuskan kepada kes-kes tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Kinabalu tahun 2010-2015. Kupasan perbincangan secara deskriptif ini telah diadun dengan analisis ringkas dan dijalin dengan dapatan kajian yang menyakinkan telah menjadikan makalah ini sesuatu yang sangat bermanfaat khususnya berhubung metode penyelesaian harta sepencarian yang lebih efektif dan praktikal di negeri Sabah.

Hak Ibu Tunggal menurut Syarak 3

Seterusnya, perbincangan yang menjurus kepada bidang undang-undang tort perbandingan dipaparkan dalam bab kelima melalui

makalah Abdul Basir Mohamad yang menganalisis secara perbandingan kedudukan tanggungjawab pemunya premis dalam undang-undang tort Islam yang berkisar tentang bebanan tanggungan

pemunya premis berhubung kemudaratan yang diakibatkan oleh kerosakan asal sesebuah premis atau bangunan dan kerosakan luar dugaan sesebuah premis atau bangunan dengan peruntukan yang

termaktub dalam Undang-Undang Sivil Maghribi dan Tunisia. Di akhir perbincangan, Abdul Basir Mohamad merumuskan bahawa undang-undang Islam lebih menumpukan bebanan tanggungan ke atas pihak

yang mempunyai hiyāzah qānūniyyah daripada hiyāzah māddiyyah. Ini bermakna jika berlaku sesuatu kemudaratan bersabit dengan sesebuah bangunan, pemunya yang tercatat namanya di dalam geran pemilikan

bangunan itu perlu dikenal pasti untuk dibebankan tanggungan, bukan pihak lain. Berbeza mengikut Undang-undang Sivil Maghribi dan

Tunisia, hiyāzah māddiyyah juga diambil kira, selain daripada hiyāzah qānūniyyah.

Pembicaraan berhubung bidang fiqh semasa pula dibincangkan dalam bab keenam. Melalui bab ini, Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dan Diani Mardina Mat Zin membentangkan perbahasan secara kritis

yang menumpukan kepada konsep mukhannath dan khunsa, hukum lelaki mengubah dirinya kepada perempuan serta hukum lelaki menyerupai perempuan di samping penjelasan faktor penyebab

daripada aspek Islam dan sains. Huraian yang diutarakan oleh penulis dengan membangkitkan isu-isu yang melingkari intipati perbahasan dan diadun dengan impak negatif rentetan daripada tindakan pelaku

tersebut menghasilkan jalinan persembahan analisis yang kemas dan tersusun. Di akhir perbincangan, Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dan Diani Mardina Mat Zin melontarkan kebimbangan berhubung

penularan gejala tersebut dan impak negatif terhadap jati diri muslim dalam membina generasi berakhlak tinggi di masa akan datang. Selaras dengan itu, tindakan proaktif perlu dilakar menerusi mobilisasi usaha

bersepadu bagi mendepani masalah ini.

Bab ketujuh memaparkan perbincangan dalam bidang siyāsah shar‘iyyah berhubung isu penggunaan mata wang maya menurut syariat Islam. Kupasan yang dibuat oleh Muhammad Amir Husairi Che Rani dan Anwar Fakhri Omar dalam merungkai isu ini adalah berasaskan kepada penjelasan kedudukan dan posisi mata wang maya baru seperti bitcoin di sisi syariat Islam dan kesesuaian penggunaannya bagi menggantikan mata wang sedia ada dengan membawa perbandingan kedudukan maṣlaḥah dan mafsadah mata wang maya mengikut perspektif siyāsah shar‘iyyah. Muhammad Amir Husairi Che Rani dan Anwar Fakhri Omar merumuskan di hujung penulisannya bahawa tindakan untuk tidak membenarkan penggunaan bitcoin sebagai

Isu Syariah & Undang-undang Siri 22 4

mata wang baru oleh pihak berautoriti adalah langkah yang bertepatan dengan kehendak syarak atas asas kewajipan setiap muslim untuk menghindarkan diri daripada terlibat dengan perkara syubhah.

Bidang undang-undang hartanah Islam pula dibentangkan dalam bab kelapan yang mengutarakan perbincangan secara deskriptif berhubung polisi umum pentadbiran tanah di era Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA. Huraian ringkas oleh Md Yazid Ahmad dalam makalahnya ini memaparkan kreativiti pemikiran Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA dalam menyusun urusan pentadbiran tanahnya dengan memperkenalkan polisi-polisi yang bersifat dinamik khususnya yang menyentuh aspek pembahagian dan pemilikan tanah, cukai tanah dan pentadbiran tanah di samping idea transformasinya berhubung penghapusan amalan sistem penyewaan tanah yang didominasi oleh golongan elit tuan-tuan punya tanah yang telah berakar umbi sekian lama. Di akhir perbincangannya, Md Yazid Ahmad menekankan bahawa gagasan pemerkasaan pentadbiran tanah melalui pelaksanaan polisi-polisi Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA merupakan titik tolak transisi pemodenan pentadbiran tanah Islam yang dijadikan sebagai model panduan oleh khalifah-khalifah selepasnya.

Bab kesembilan merupakan penutup tirai buku ini yang

mengemukakan perbahasan secara kritis berhubung konsep al-ijarah al-muntahiyah bi al-tamlik dan perbandingannya dengan amalan yang berlaku di Jordan. Melalui makalah ini, Abu Baker Taufeeq Fattah,

Ahmad Dahlan Salleh dan Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani turut menganalisis faktor yang mendorong keterlibatan pihak yang

melakukan transaksi untuk menggunakan kontrak tersebut di samping menjelaskan kedudukan kontrak ini dari sudut undang-undang dengan menjadikan negara Jordan sebagai model. Sebelum mengakhiri

kupasan perbincangan, para penulis memaparkan cadangan penambahbaikan yang perlu diaplikasi bagi menyempurnakan lagi kontrak ini agar lebih selari dan menepati dengan ruh dan prinsip

perundangan syariah yang boleh dijadikan sebagai wadah untuk memartabatkan sistem muamalah Islam di Malaysia.

Justeru, tema kali ini iaitu ‘Penerokaan Ilmu Syariah dan Undang-Undang Teras Kelangsungan Keilmuan Islam’ merupakan manifestasi usaha pelestarian denyut nadi khazanah keilmuan Islam agar kesinambungan kesarjanaan yang berpaksikan jati diri muslim dapat membina khalayak akademia yang proaktif dan dinamik yang mampu mengadaptasi nilai-nilai keilmuan yang ada padanya demi kesejahteraan sosial manusia sejagat. Korpus isu-isu syariah dan undang-undang yang digarap dalam buku ini dan dipersembahkan dalam bentuk karya ilmiah merupakan hasil sumbangan para sarjana yang diharap dapat dijadikan sebagai rujukan dan solusi bagi mendepani permasalahan semasa umat Islam khususnya di Malaysia.