Banteras_dadah

download Banteras_dadah

of 2

description

artikel

Transcript of Banteras_dadah

  • RABU, 28 SEPTEMBER 2011

    Banteras dadah: Pintu masuk utama negara diperkemas

    BUKIT MERTAJAM 27 Sept. - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) akan memperkemaskan sistem dan operasi penguatkuasaan di pintu masuk utama negara bagi mengekang kegiatan penyeludupan bahan terlarang ke negara ini.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf berkata, pihaknya telah berbincang dengan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAB) dan Jabatan Imigresen bagi memperkemaskan lagi prosedur pelepasan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

    Menurutnya, masalah kebolosan penyeludup membawa masuk dadah ke negara ini agak membimbangkan berdasarkan statistik rampasan di lapangan terbang yang menyaksikan peningkatan mendadak.

    "Kastam tidak berupaya memeriksa setiap penumpang yang masuk ke Malaysia menyebabkan sesetengah pelancong mengambil kesempatan menyeludup bahan terlarang seperti dadah dan senjata api.

    "Penyeludup dadah pun semakin berani menggunakan pelbagai kaedah untuk membawa masuk bahan terbabit seperti di dalam gincu bibir dan kasut," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Pengarah-pengarah Kastam Malaysia Ke-66 di Seberang Jaya di sini hari ini.

    Tambahnya, pihak MAB diberi masa untuk membuat pengubahsuaian ke atas susun atur balai ketibaan serta menyiapkan simulasi sama ada ia sesuai atau tidak untuk dilaksanakan sepenuhnya.

    Jelasnya, ada ruang untuk penambahbaikan di lapangan terbang antarabangsa di negara ini agar ia tidak mudah dibolosi dan JKDM tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu keselamatan negara.

    "Satu kajian menyeluruh sedang dijalankan melibatkan proses dan aliran operasi di KLIA dan LCCT termasuk sedikit pindaan infrastruktur di lapangan terbang.

    "Simulasi ini juga penting bagi mengelakkan kesesakan di lapangan terbang sehingga menjejaskan industri pelancongan kita," ujarnya.

  • Khalid memberitahu, pihaknya berjaya merampas pelbagai barangan tidak diikrarkan bernilai RM331.42 juta melibatkan duti import sebanyak RM236.91 juta sepanjang Januari hingga September tahun ini.

    Selain itu, sehingga 25 September lalu, pihaknya berjaya memperoleh cukai sebanyak RM21.8 bilion iaitu penambahan RM1.42 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 7 peratus.

    "Melihat peningkatan pendapatan itu, saya yakin kita mampu mencapai sasaran sebanyak RM30 bilion hujung tahun ini," katanya.