Cabaran Bahasa Melayu Dalam Era Ledakan Teknologi Maklumat Dan Langkah Untuk Mengatasinya

download Cabaran Bahasa Melayu Dalam Era Ledakan Teknologi Maklumat Dan Langkah Untuk Mengatasinya

of 5

description

Penulisan Ilmiah BM

Transcript of Cabaran Bahasa Melayu Dalam Era Ledakan Teknologi Maklumat Dan Langkah Untuk Mengatasinya

CABARAN BAHASA MELAYU DALAM ERA LEDAKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN LANGKAH UNTUK MENGATASINYA

Malaysia telah melangkah ke alaf baru empat tahun lalu. Pada tahun 2020 Malaysia dijangka menjadi sebuah negara maju, meninggalkan tarafnya sebagai negara membangun. Perhitungan ini banyak disandarkan kepada pembangunan fizikal dan terlalu sedikit kepada asas-asas jiwa dan penjiwaan, kualiti hidup dan jati diri bangsa.

Negara sedang diterap dan dicorakkan oleh nilai-nilai dan amalan dunia global dengan hebatnya. Segala macam ilmu pengetahuan akan lebih pantas diperolehi. Cara berfikir, cara bertindak dan cara hidup, semuanya akan berubah. Banyak penyakit yang tidak terubat pada masa ini mungkin beroleh penawar yang mujarab di zaman itu. Atau sebaliknya, masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu, akan lebih terdedah kepada unsur-unsur baru.

Kesan kemajuan global telah banyak mengubah cara hidup lama. Satu-satunya yang baru ialah hidup dengan komputer dan internet. Orang kini mengirim berita pantas melalui e-mail dan sms, dua istilah yang sudah pun menjadi sebahagian perbendaharaan kata kita, dan sehubungan itu ramai yang berurus niaga melalui internet. Perkataan terbaru sering memasuki perbendaharaan kata bahasa Melayu, kadangkala tanpa perlu ditapis atau dihalusi terlebih dahulu. Istilah Infotenmen, misalnya, yang menimbulkan kontroversi dalam penggunaan istilah bahasa Melayu juga merupakan satu istilah baru yang dipertikaikan walaupun Menteri Penerangan telah menghujahkan alasan-alasan penggunaannya di Parlimen. Hiburan, berita dan maklumat, kebanyakannya disajikan oleh media sampai terus ke bilik tidur dengan nisbah yang lebih ketara daripada yang disajikan secara tempatan. Alat-alat canggih pengguna dipasarkan secara meluas lalu menggantikan peralatan lama. Bahasa Melayu dituturkan separuh Melayu separuh Inggeris, di kalangan sektor swasta pertuturan adalah lebih kurang 70% dalam bahasa Inggeris dan hanya 30% dalam bahasa Melayu, itu pun adunan bahasanya dalam keadaan lintang-pukang seolah-olah sekerat ular sekerat belut. Dan secara ketara, pendidikan negara mulai disalut dengan kaedah-kaedah baru dengan perantaraan media baru iaitu bahasa Inggeris.

Bahasa (kata istilah dan konsepnya) cukup penting dalam mengungkapkan tahap-tahap ilmu yang tertentu. Dalam hierarki mempelajari sesuatu ilmu, wujud empat tahap keilmuan. Ilmu yang terbawah ialah ilmu empirikal (misalnya - ilmu sains dengan berbagai-bagai cabang ilmunya), diikuti tahap yang paling tinggi iaitu ilmu rasional (ilmu falsafah dan ilmu pemikiran kreatif), ilmu laduni (intuitive knowledge) iaitu ilmu terus daripada Allah SWT dan ilmu tertinggi ialah ilmu makrifat yakni ilmu tentang Ilahi yang merupakan ilmu yang tertinggi dalam hierarki ilmu. Setiap tahap ilmu mempunyai kata, istilah dan konsepnya yang tersendiri. Misalnya bahasa yang diungkapkan pada tahap ilmu empirikal adalah bahasa saintifik. Bahasa saintifik membawa pengertian bahasa yang logik, yakni yang berfungsi dan bersifat tersendiri tetapi yang melibatkan erti tepat. Dalam konteks inilah sayang sekali konsep tepat pengertian dan tepat penghasilan tidak didalami sebelum kita mengaku kalah, lalu bahasa Melayu tidak mampu menjadi wahana sains dan matematik.

Bahasa merupakan alat untuk berhubung antara anggota masyarakat. Komunikasi ini dilakukan secara meluas, baik secara rasmi atau tidak rasmi. Masyarakat pada hari ini perlu menerima hakikat bahawa perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) berkait secara langsung dengan kemampuan menjana idea, kreativiti dan inovasi bagi memantapkan penggunaan Bahasa Melayu.

Kesantunan berbahasa semakin luntur dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Secara amnya, budaya kesantunan berbahasa diwarisi oleh kita sejak turun temurun kerana masyarakat Malaysia kaya dengan kesopanan, keluhuran, ketertiban, hormat, merendah diri, serta penggunaan suara yang baik dan menyenangkan.

Pada era ledakan teknologi ini, keutamaan tidak diberikan lagi kepada kesantunan berbahasa. Penggunaan bahasa yang suka membangga diri, memaki hamun, memfitnah, memprovokasi, mengejek dan merendahkan orang lain sedang berleluasa. Perkara ini jelas menunjukkan penghakisan budaya ketimuran dan kesantunan berbahasa selain menggambarkan citra dan peribadi bangsa yang negatif. Sepatutnya, bahasa diangkat sebagai medium yang menggabungkan pemikiran, kesopanan, keintelektualan dengan budaya masyarakat Melayu.

Perkembangan era globalisasi memberikan cabaran baru kepada Bahasa Melayu. Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) melahirkan unsur baru yang dikenali sebagai bahasa rojak. Bahasa rojak semakin berkembang luas dalam kalangan pengguna bahasa iaitu penggunaan Bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan Bahasa Inggeris. Kelahiran K-Ekonomi pula telah membawa perubahan besar kepada semua bentuk perlakuan dan pemikiran manusia.

Penggunaan Bahasa Melayu dalam internet juga perlu dipertingkatkan agar seiring dengan penggunaan bahasa-bahasa utama lain di dunia. Penggunaan Bahasa Melayu dalam ruang siber ini menyebabkan berlakunya perubahan yang ketara khususnya ruang sembang siber yang memperlihatkan unsur bahasa yang unik dan tersendiri yakni Bahasa Melayu internet. Muncul perkataan seperti kang (nanti), akum (assalamualaikum), tipon (telefon), persal (mengapa), nko (engkau) dan lain-lain. Fenomena ini merupakan unsur perubahan yang dikhuatiri akan mencemarkan nilai-nilai asli dalam Bahasa Melayu. Ayat-ayat yang terbentuk juga tidak mematuhi hukum tatabahasa Bahasa Melayu dan kelihatan janggal. Inilah yang perlu disedari oleh pengguna internet yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai wadah komunikasi agar tidak menggunakan Bahasa Melayu sesuka hati tanpa mengambil kira soal peraturan yang sedia ada.

Penggunaan bahasa yang tidak sopan juga berpunca daripada pengaruh media massa. Bahasa yang digunakan dalam majalah terutamanya, sering kali ditemukan bahasa yang tidak elok seperti kau dah gila?, bodoh betullah kau ni, bengap betul budak ni dan sebagainya. Bukan sahaja dalam medium teknologi maklumat dan komunikasi sahaja tidak mementingkan budaya kesantunan berbahasa malahan media khususnya saluran radio masih menampakkan kegagalan untuk mempraktikkan unsur kesopanan berbahasa dengan baik. Gagal mengenal pasti penggunaan kata ganti diri yang tepat. Misalnya, terdapat iklan mempromosi pakaian yang menggunakan kata ganti diri kamu yang tidak sesuai . Hal yang sama terjadi dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi di mana aspek usia, taraf pendidikan dan status gelaran tidak diambil perhatian . Contohnya, dalam laman sosial , kata ganti nama kau selalu digunakan dalam artikel rasmi yang dimuat naik untuk makluman semua pihak. Dalam konteks ini, orang dewasa yang membaca artikel sebegini berasa seolah-olah tidak dihormati.

Bahasa rojak dikatakan lebih santai dan tidak begitu formal, sama seperti penggunaan Bahasa Melayu pasar. Justeru, penekanan terhadap penggunaan Bahasa Melayu yang betul harus diutamakan khususnya dalam laman sesewang yang dikendalikan oleh anak Malaysia, walaupun menggunakan dwibahasa. Amalan berbahasa yang baik dan betul perlu dipupuk dan dibajai daripada peringkat sekolah lagi dan secara menyeluruh mencapai segenap anggota masyarakat. Hanya dengan cara ini sahajalah, Bahasa Melayu akan mendapat tempat yang sewajarnya dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).RUJUKAN1. Kamus Dewan Edisi Baharu (2008). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Ismail Hussein, 1966. Sejarah Pertumbohan Bahasa Kebangsaan Kita, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

3. Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa dan Abdul Hamid Mahmood (2008). Tatabahasa Dewan (Edisi Ketiga). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.4. James T Collins, 1998. Malay, World Language: A Short History,. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.5. Ibrahim Ahmad 1994. Perkamusan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.6. Gazali Dunia(1992). Sastera Melayu Lama. Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.:Kuala Lumpur.7. Asmah Haji Omar, 1985. Perancangan bahasa dengan rujukan khusus kepada perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.8. B. Mallikarjun Globalization and Indian languages. Language in India, Vol.3: 2 Februari 2003.9. A.Aziz Deraman, 2000. Tamadun Melayu Dan Pembinaan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.10. Abdullah Hassan, 1997. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu dan Esei-Esei Lain. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti.11. Awang Sariyan, 2004. Teras Pendidikan Bahasa Melayu. Asas Pegangan Guru, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.12. Hashim Bin Hj. Musa, 2004. Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia: Menghadapi Globalisasi Barat. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.13. Siti Hajar Abdul Aziz (1996). Tatabahasa Bahasa Melayu (Perkataan). Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.14. Harimurti Kridalaksana (1983). Tradisi dan Inovasi dalam Penyelidikan Bahasa Melayu. dalam Jurnal Persatuan Linguistik Malaysia.5