Content Sj Indo
-
Upload
euvilla-van-de-charl -
Category
Documents
-
view
230 -
download
0
description
Transcript of Content Sj Indo
1
PENGENALAN:
Konfrontasi membawa maksud persemukaan antara dua orang pihak yang bertentangan
atau pertentangan yang secara langsung yang menyebabkan orang atau pihak yang terlibat
menghadapi kemungkinan berlakunya pergaduhan, peperangan dan sebagainya.1 Konfrontasi
antara Malaysia dan Indonesia tercetus disebabkan oleh beberapa faktor. Salah satunya ialah
pengumuman mengenai Gagasan Malaysia2 yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman.
Pengumuman mengenai gagasan ini menerima pelbagai reaksi positif serta negatif terutamanya
dari Indonesia.
Penentangan Indonesia terhadap Gagasan Malaysia terbahagi kepada dua peringkat utama,
iaitu tahap pertama yang berlaku sebelum terjadinya pemberontakan di Brunei pada 27 Mei 1961
sehingga 7 Disember 1962. Manakala penentangan tahap kedua pula berlaku selepas
pemberontakan Brunei dari 9 Disember 1962 sehingga 16 September 1963. Konfrontasi ini telah
berlangsung selama tiga tahun bermula dari tahun 1963 sehingga tahun 1966.3
FAKTOR-FAKTOR TERCETUSNYA KONFRONTASI
1. TUNKU ABDUL RAHMAN DAN CADANGAN PENUBUHAN MALAYSIA
Tunku Abdul Rahman merupakan Perdana Menteri Malaysia yang pertama sewaktu Tanah
Melayu mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957. Beliau mempunyai harapan untuk
membantu wilayah-wilayah jajahan British yang lain untuk mencapai kemerdekaan mereka serta
merasa bimbang sekiranya negara-negara jiran akan menuntut wilayah-wilayah tersebut kerana
ketidakmampuan mereka untuk berdikari.4 Hal ini telah menyebabkan beliau menyampaikan
hasrat ini kepada Malcolm MacDonald yang merupakan bekas Pesuruhjaya Tinggi British di
1 Konfrontasi. 2008-2015. Carian prpm.dbp.gov.my.
Diakses pada 15 Disember 2015, dari http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=konfrontasi 2 Gagasan Malaysia merupakan cadangan daripada Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama
untuk menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Brunei dan Borneo Utara (Sabah). Kemasukan Sarawak,
Brunei dan Borneo Utara adalah perlu bagi mengimbangi komposisi rakyat kerana sekiranya Tanah Melayu hanya
bergabung dengan Singapura seperti yang dikehendaki oleh British, kaum Melayu akan menjadi kaum minoriti kerana
bilangan kaum Cina yang lebih ramai. 3 Abdullah Zakaria Ghazali, Zulkarnain Abdul Rahman, Konflik Dunia Abad Ke-20, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa
dan Pustaka, 2008, hlm 2. 4 Nik Abdullah Nik Mahmud, Konfrontasi Malaysia Indonesia, Selangor, Universiti kebangsaan Malaysia, 2000, hlm
17.
2
Tanah Melayu, Lord Holme serta Lord Perth yang merupakan Setiausaha Luar dan Menteri
Negara. Kenyataan tersebut berbunyi:
“Malaya today as a nation realizes that she cannot stand alone and in isolation.
Sooner or later Malaya should have an understanding with Britain and the people
of Singapore, North Borneo, Brunei and Sarawak. It is premature for me to say now
how this closer understanding can be brought about, but it is inevitable that we
should look ahead to this objective and think of plan whereby there territories
are brought closer together in political and economis cooperation.”5
Cadangan mengenai Gagasan Malaysia ini diumumkan oleh Tunku Abdul Rahman sendiri
sewaktu majlis jamuan makan malam yang dianjurkan oleh Foreign Correspondents Association
of South-East Asia pada tanggal 17 Mei 1961 di Adelphi Hotel, Singapura. Pada pendapat beliau,
Gagasan Malaysia ini akan dapat mengimbangi sumber ekonomi Tanah Melayu, Singapura,
Sarawak, Borneo Utara dan Brunei. Malahan, gagasan ini juga akan dapat mengeratkan hubungan
politik antara wilayah-wilayah yang terlibat.
Indonesia tidak memberikan sebarang penentangan atau pun persetujuan selepas
pengumuman mengenai cadangan Gagasan Malaysia dibuat. Menteri Luar Indonesia, Dr.
Subandrio telah menyatakan bahawa penubuhan Gagasan Malaysia hanya melibatkan penduduk-
penduduk di kawasan yang terlibat. Beliau juga turut menyatakan bahawa Indonesia tidak
berhasrat untuk menuntut sebarang wilayah jajahan British di Borneo. Kenyataan ini telah diulang
semula di Majlis Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 20 November 1961. Kenyataan
tersebut jelas menyatakan bahawa:
5 Kunaseelan A/L Muniandy, Hubungan Malaysia Indonesia 1957-1970, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka,
1996, hlm 131.
3
”...when told us of her intention to merge with the three British Crown Colonies of
Sarawak, Brunei and North Borneo as one federation, we told them that we have
no objection and that we wished them success with merger so that everyone may
live in peace and freedom...”6
Walaupun Indonesia menunjukkan reaksi positif seolah-olah mereka menyokong
pembentukan Gagasan Malaysia namun Indonesia sebenarnya tidak bersetuju dengan gagasan
tersebut. Penentangan terhadap Gagasan Malaysia tidak dapat dilakukan kerana Indonesia terlibat
dengan krisis pertikaian tuntutan Irian Barat. Isu ini telah menghalang Indonesia untuk membantah
penubuhan tersebut kerana Amerika Syarikat dan British terlibat sama dalam menyelesaikan
masalah ini. Hal ini kerana Indonesia bimbang sekiranya penentangan terhadap gagasan tersebut
akan mempengaruhi keputusan status Isu Irian Barat.7
2. SUKARNO DAN INDONESIA RAYA
Presiden Indonesia iaitu Presiden Sukarno juga mempunyai hasrat dan impian beliau yang
ingin menggabungkan wilayah sekitar Indonesia bagi mewujudkan sebuah negara. Sukarno ingin
mengemukakan cadangan untuk menubuhkan Indonesia Raya yang merupakan sebuah kesatuan
berdasarkan warisan Kerajaan Majapahit. Namun Tunku Abdul Rahman telah terlebih dahulu
mengumumkan Gagasan Malaysia yang menyebabkan hasrat Presiden Sukarno tersebut terhalang.
Presiden Sukarno beranggapan bahawa pengumuman mengenai gagasan tersebut
seharusnya disampaikan oleh beliau, bukannya oleh Tunku Abdul Rahman. Hal ini menyebabkan
beliau cuba menghalang gagasan tersebut dari menjadi kenyataan. Namun, disebabkan Isu Irian
Barat yang belum lagi selesai, penentangan beliau terhad kepada sindiran dan ungkapan dingin.
6 Nik Abdullah Nik Mahmud, Konfrontasi Malaysia Indonesia, hlm 69. 7 Irian Barat atau nama lainnya Papua merupakan salah satu wilayah jajahan Belanda. Indonesia telah menuntut untuk
memasukkan wilayah ini ke dalam Indonesia manakala Belanda pula mahu menjadikannya sebagai sebuah negara
merdeka. Pada tanggal 1 Mei 1963, Irian Barat secara rasmi telah menjadi wilayah Republik Indonesia apabila
penduduk Irian Barat telah memilih untuk menjadi sebahagian dari Indonesia.
4
Presiden Sukarno pernah menyatakan rasa ketidakselesaan beliau terhadap penubuhan Malaysia
dengan menyatakan bahawa:
“If Tunku can do it we have no objection.”8
Presiden Sukarno turut menyatakan bahawa usaha dan perjuangan Indonesia terhadap
penjajahan dan imperialisme Barat masih belum tamat walaupun isu Irian Barat akan berjaya
diselesaikan. Beliau menegaskan bahawa pembentukan Gagasan Malaysia ini merupakan suatu
dasar perluasan imperialisme Barat dan Neokolonisme.9 Neokolonisme10 menurut Presiden
Sukarno adalah merupakan satu bentuk baru penjajahan. Penubuhan Gagasan Malaysia ini
menurut Presiden Sukarno akan menyebabkan British mempunyai kuasa berterusan dalam
perusahaan getah, bijih timah serta minyak. Hal ini kerana Tanah Melayu memang terkenal dengan
lombong bijih timah seperti yang terdapat di Perak manakala Brunei pula terkenal dengan hasil
minyak dan pada masa tersebut Indonesia dikelilingi oleh negara imperialisme dan Old
Established Force.
Pendirian Presiden Sukarno mengenai Indonesia Raya dan Neokolonisme ini telah
menyebabkan beliau mengarahkan tentera Indonesia untuk bersiap-sedia menyerang Tanah
Melayu serta wilayah-wilayah yang terlibat dalam Gagasan Malaysia selepas tamatnya isu Irian
Barat. Sikap beliau ini merupakan salah satu faktor tercetusnya konfrontasi antara Malaysia dan
Indonesia.
8 Tunku Abdul Rahman, Pandang Balik, Kuala Lumpur, Heinemann Education Book, 1980, hlm 109. 9 Abdullah Zakaria Ghazali, Zulkarnain Abdul Rahman, Konflik Dunia Abad Ke-20, hlm 8. 10 Neokolinisme bermaksud penguasaan ekonomi secara berterusan selepas negara yang ditakluk telah mencapai
kemerdekaan. Konsep ini akan memberikan keuntungan kepada negara penjajah dalam memonopoli sumber bahan
mentah serta eksport dan import di negara yang pernah ditakluki.
5
3. PARTI KOMUNIS INDONESIA (PKI)
Tunku Abdul Rahman telah memohon sokongan rasmi daripada Indonesia sewaktu dalam
proses untuk mewujudkan Gagasan Malaysia. Permohonan ini dibuat semasa sambutan
kemerdekaan Tanah Melayu yang ke-4 pada 31 Ogos 1961. Namun, PKI telah mengkritik
penubuhan tersebut dengan menyatakan Gagasan Malaysia ini merupakan dasar neokolonisme
Barat yang mahu menguasai wilayah-wilayah yang terlibat dalam gagasan tersebut. PKI
merupakan parti politik pertama yang menyatakan rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap
gagasan tersebut. Kritikan mereka terhadap gagasan tersebut disalurkan melalui akhbar Harian
Rakyat.11
PKI merupakan penghalang kepada usaha penggabungan wilayah serantau yang mahu
membentuk Malaysia.12 PKI juga bertanggungjawab dalam menghasut dan mendesak kerajaan
Indonesia untuk bermusuh dengan Tanah Melayu. PKI telah berperanan untuk menyerang Tanah
Melayu bagi menunjukkan bahawa mereka tidak bersetuju dengan penubuhan Gagasan Malaysia.
Penentangan PKI ini adalah disebabkan oleh kebimbangan mereka terhadap pengaruh British yang
berkemungkinan melenyapkan pengaruh komunisme di Borneo dan Singapura. Pada tanggal 30
dan 31 Disember 1961, PKI telah mengadakan Perhimpunan Jawatankuasa Pusat kali yang ketiga
di Jakarta. Perhimpunan ini bertujuan untuk memberikan kelulusan resolusi untuk menentang
penubuhan Malaysia. Dalam resolusi ini, PKI telah memberikan dua sebab untuk menentang
Gagasan Malaysia.
Sebab yang pertama, PKI berpendapat bahawa cadangan penubuhan Malaysia ini
merupakan suatu tipu helah British bagi menjamin kepentingan ekonomi mereka di rantau ini.
Selain itu, PKI juga turut memberikan alasan bahawa British tidak dapat meneruskan penjajahan
di kawasan Kalimantan Utara kerana penduduknya mahukan kemerdekaan. selepas resolusi
tersebut diluluskan, PKI telah menghasut kerajaan Indonesia agar menentang penubuhan Malaysia
habis-habisan sekitar tahun 1961. Namun, kerajaan Indonesia tidak memberikan sebarang respon
kerana isu Irian Barat yang masih belum selesai.
11 Akhbar rasmi Parti Komunis Rakyat bermula dari tahun 1951 sehingga 1965. Akhbar ini diterbitkan buat pertama
kalinya pada 31 Januari 1951. Nama asal akhbar ini adalah Suara Rakyat sebelum ditukarkan kepada Harian Rakyat. 12 Nik Anuar Nik Mahmud, Konfrontasi Malaysia Indonesia, hlm 76.
6
4. BANTAHAN PEMIMPIN DAN PARTI POLITIK INDONESIA
Terdapat juga bantahan yang disuarakan oleh parti politik tempatan di Indonesia namun
tidak terlalu menonjol dan agresif. Bantahan ini disalurkan melalui akhbar sama seperti yang
dilakukan oleh PKI. Bantahan ini dilakukan sekitar akhir tahun 1961. Salah satu parti yang terlibat
menyuarakan penentangan adalah Parti Indonesia (Partindo).13 Parti ini telah disertai oleh Presiden
Sukarno dan mempunyai ahli lebih daripada 1000 orang pada awal penubuhannya.
Partindo mempunyai pandangan yang sama seperti Presiden Sukarno dan PKI terhadap
penubuhan Malaysia. Melalui akhbar rasmi, Bintang Timor, Partindo telah menyatakan bahawa
dasar imperialisme British telah mewujudkan Mighty Malaysia dan British telah mempergunakan
Tunku Abdul Rahman bagi menjadikan Tanah Melayu dan jajahan wilayah British yang terlibat
dalam Gagasan Malaysia sebagai neokolonisme.
Selain Partindo, Parti Nasional Indonesia (PNI) juga turut menentang penubuhan Malaysia.
PNI merupakan parti politik yang tertua di Indonesia yang ditubuhkan pada 4 Julai 1927 oleh
sekumpulan pelajar yang terlibat dalam Kelab Pembelajaran Algemeene, Bandung, Indonesia.
Parti ini diketuai oleh Presiden Sukarno pada awalnya. Pada tahun 1962, bekas Perdana Menteri
Indonesi dan Pengerusi PNI iaitu Ali Sastromidjojo telah menyatakan bahawa Indonesia tidak akan
menjadi boneka kepada Malaysia. Indonesia perlu menentukan sama ada penubuhan Malaysia
akan meberikan kesan positif atau sebaliknya kepada Indonesia. Ali juga telah menimbulkan isu
persempadanan dengan menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Dr
Subandrio yang tidak berniat untuk menuntut wilayah di luar bekas tanah jajahan Belanda di
Borneo. Ali menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu kesilapan.14
Tunku Abdul Rahman telah membalas kenyataan tersebut dengan menyatakan bahawa
beliau telah gagal memberikan kefahaman kepada Indonesia mengenai kelebihan dan kekurangan
penubuhan Gagasan Malaysia. Tunku Abdul Rahman juga menegaskan bahawa Tanah Melayu
tidak mempunyai niat untuk menimbulkan masalah dengan Indonesia tetapi mahu meminta
13 Partindo merupakan lanjutan daripada Parti Nasional Indonesia yang ditubuhkan oleh Sartono. Sartono telah
memegang tampuk PNI bagi menggantikan Sukarno kerana ditangkap oleh pemerintah Belanda pada tahun 1929.
Organisasi ini dibentuk pada 30 April 1931 bertujuan untuk bergabung dengan PNI. Pada awalnya Sortono sangat
dikecam oleh anggota PNI-lama serta golongan yang tidak bersetuju dengan pembubaran PNI. Parti ini berkonsepkan
sosio-nasionalisme dan sosio-demokrasi seperti yang diusung oleh Presiden Sukarno. 14 Kunaaseelan A/L Muniandy, Hubungan Malaysia Indonesia 1957-1970, hlm 144.
7
bantuan dari Indonesia dan negara yang lain untuk memberi sokongan dan mengikuti
perkembangan Gagasan Malaysia. Beliau juga mengingatkan bahawa Indonesia tidak seharusnya
mencampuri urusan Tanah Melayu. Beliau terpaksa menunjukkan ketegasan terhadap kenyataan
Ali kerana PNI mempunyai hubungan dengan Presiden Sukarno. Tunku Abdul Rahman merasa
bimbang sekiranya Ali akan mempengaruhi Sukarno dengan kenyataan tersebut dan menjadikan
Tanah Melayu sebagai musuh Indonesia.
Penentangan Indonesia ini tidak dilahirkan secara terang-terangan. Namun, beberapa
pemimpin di Indonesia seperti Dr. Subandrio dan Prof. Mohd Yamin telah mengecam
pembentukan gagasan ini secara senyap. Hal ini disebabkan mereka merasa gagasan tersebut
adalah pesaing yang akan menghalang impian mereka untuk menubuhkan Indonesia Raya.
5. KEBIMBANGAN TERHADAP PANGKALAN SEATO DAN TENTERA
Gagasan Malaysia telah meluaskan perjanjian Pertahanan Tanah Melayu-British (Anglo-
Malayan Defence Agreement) (AMDA) antara Tunku Abdul Rahman dan Sir Harold MacMicheal
yang merupakan Perdana Menteri British pada waktu tersebut. Perjanjian ini telah diluaskan
kepada Perjanjian Pertahanan Malaysia-British pada tanggal 23 November 1961. Perluasan
perjanjian ini sekaligus menyebabkan Tanah Melayu terlibat dalam SEATO (Southeast Asia
Treaty Organization).15 British telah memberikan cadangan untuk menjadikan Singapura sebagai
pangkalan SEATO dengan kebenaran Tanah Melayu. Cadangan tersebut dikemukakan melalui
kenyataan bersama dalam perluasan perjanjian AMDA.
Penglibatan Malaysia dalam SEATO ini ditentang hebat oleh Indonesia kerana pangkalan
yang bakal didirikan di Singapura tersebut akan memberikan ancaman terhadap keselamatan dan
kedudukan negara disekitarnya. Hal ini kerana Amerika Syarikat merupakan sebuah negara yang
mempunyai kuasa veto. Indonesia juga tidak mahu memihak kepada Barat kerana negara-negara
Barat mempunyai sikap politik yang bebas dan Indonesia berpandangan bahawa masalah dalaman
perlulah diselesaikan oleh negara tersebut sendiri. Namun, penentangan Indonesia tersebut tidak
15 SEATO merupakan sebuah organisasi pertahanan yang berpusat di Bangkok Thailand dan wujud bagi melindungi
negara-negara di kawasan Asia Tenggara daripada ancaman Komunis. Negara-negara yang terlibat dalam organisasi
ini ialah Thailand, Filipina, Pakistan, Amerika Syarikat, Perancis, Britain dan Australia. Organisasi ini ditubuhkan
pada 19 Februari 1955 dan berakhir pada 30 Jun 1977.
8
dapat dizahirkan oleh Indonesia kerana isu Irian Barat yang melibatkan Amerika Syarikat masih
belum selesai.
Indonesia juga turut berasa bimbang dengan penubuhan pangkalan tentera di Borneo dan
menyebabkan mereka melancarkan konfrontasi terhadap penubuhan Malaysia. Dr. Subandrio telah
menyatakan bahawa pemisahan Tanah Melayu dan Indonesia oleh kawasan laut tidak akan
mengurangkan dasar campurtangan Indonesia terhadap aktiviti di Tanah Melayu. Namun, dengan
kewujudan Gagasan Malaysia pasti akan wujud persempadanan darat di kawasan Borneo yang
akan menyebabkan Indonesia memberi perhatian terhadap sebarang tindakan Tanah Melayu di
kawasan tersebut. Dr. Subandrio dalam kenyataan beliau menyatakan bahawa:
“How can we remain indifferent to this? If everything goes on smoothly, then we
shall not be concerned – it is their business. But if the things go wrong,
then we must take notice to protect our interest.”16
Dr. Subandrio mengingatkan Tanah Melayu bahawa Indonesia akan memberikan tindak
balas terhadap tindakan yang salah dan perbuatan mengecam Indonesia. Indonesia juga turut
mengingatkan British agar tidak membina sebarang pangkalan tentera di kawasan Borneo Utara,
Sarawak dan Brunei selepas tertubuhnya Malaysia. Sekiranya British tetap membina pangkalan
tentera di wilayah Borneo, Indonesia tidak akan teragak-agak untuk membawa masuk Kesatuan
Soviet (Soviet Union) dan membuka pangkalan tentera di Indonesia. Namun, kenyataan Dr.
Subandrio tersebut disangkal oleh Lee Kuan Yew dengan menyatakan bahawa tiada pangkalan
tentera akan dibina di kawasan Borneo disebabkan sistem komunikasi yang masih mundur.
16 Kunaseelan A/L Muniandy, Hubungan Malaysia Indonesia 1957-1970, hlm 144.
9
6. A.M AZAHARI DAN PEMBERONTAKAN BRUNEI
Perkembangan politik yang berlaku di Brunei juga telah mempengaruhi Indonesia terhadap
penubuhan Gagasan Malaysia. Parti Rakyat Brunei (PRB) yang dipimpin oleh AM Azahari telah
menentang cadangan penubuhan Gagasan Malaysia. PRB merupakan sebuah parti berhaluan kiri.
AM Azahari menggesa Sultan Brunei untuk tidak meneruskan hasrat baginda menyertaai
Malaysia. Hal ini kerana beliau berhasrat untuk menubuhkan negara berkerajaan sendiri untuk
Brunei serta mewujudkan gugusan Kalimantan Utara yang memasukkan Brunei, Sarawak dan
Borneo Utara.
Bagi mencapai cita-cita beliau, AM Azahari telah menjalinkan kerjasama sulit dengan
kerajaan Indonesia bagi bersama-sama menentang Gagasan Malaysia. Beliau telah mengadakan
lawatan ke Indonesia dan Indonesia telah memberikan bantuan yang berbentuk wang serta
mendirikan pangkalan tentera di Malinau, Kalimantan. Pangkalan tersebut bertujuan untuk melatih
tentera gerila iaitu Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU). AM Azahari juga telah cuba
berunding dengan Filipina dengan meminta Filipina untuk menuntut semula Borneo Utara pada
Jun 1962 namun telah ditolak oleh Filipina. Pengaruh beliau juga telah berkembang ke Singapura
dan mempengaruhi kumpulan anti-Malaysia seperti Barisan Sosialis dan Parti Rakyat Malaya
untuk memberi sokongan terhadap perjuangan PRB.
Perjuangan ini akhirnya membawa kepada pemberontakan di Brunei yang diketuai oleh
AM Azahari. Hasrat beliau untuk menubuhkan Pers.ekutuan Wilayah-wilayah Borneo telah
ditolak oleh Sultan Brunei. Penolakan tersebut disebabkan oleh kesukaran menuntut wilayah yang
berada di bawah kekuasaan British serta British juga berniat untuk menggabungkan Borneo Utara
dan Sarawak ke dalam Gagasan Malaysia. Sultan Brunei juga menolak kerana bimbang akan
jumlah bumiputera bukan Melayu yang lebih ramai di Sarawak dan Borneo Utara yang akan
menyebabkan golongan Melayu di Brunei akan menjadi kumpulan minoriti.
Sultan Brunei telah menangguhkan persidangan Majlis perundangan Brunei yang
sepatutnya diadakan pada 5 Disember 1962 kerana lebih berminat untuk menyertai Gagasan
Malaysia yang sekaligus menghancurkan impian AM Azahari.17 Hal ini menyebabkan AM
Azahari bertindak menghantar telegram kepada Tunku Abdul Rahman dengan pernyataan bahawa
17 Mackie, Konfrontasi Malaysia Indonesia Dispute 1963-1966, Kuala Lumpur, Oxford University Press London,
1974, hlm 116.
10
beliau menentang penubuhan Malaysia secara habis-habisan dan mencetuskan pemberontakan
pada 7 Disember 1962 bagi menunjukkan rasa ketidakpuasan hati beliau terhadap tindakan Sultan
Brunei yang menangguhkan Majlis Perundingan Brunei.
Pemberontakan ini telah dirancang oleh AM Azahari bersama-sama dengan Jawatankuasa
Pusat PRB agar Sultan Brunei dapat memberikan kerjasama kepada PRB bagi menubuhkan
Persekutuan Borneo. AM Azahari telah mengarahkan TNKU menyerang kawasan penggalian
petroleum di daerah Seria dan Kuala Belait semasa pemberontakan sedang tercetus. Beliau pada
waktu itu berada di Manila kerana mengisytiharkan kemerdekaan penyatuan Brunei, Sarawak dan
Borneo Utara iaitu Kesatuan Kalimantan Utara (NKKU) dengan Sultan Brunei menjadi ketua
negara dan beliau sebagai Perdana Menteri.
Pengisytiharan tersebut telah sampai ke pengetahuan Sultan Brunei dan baginda telah
bertindak dengan mengharamkan PRB serta mengisytiharkan darurat. Baginda telah memohon
bantuan daripada kerajaan British di Singapura bagi meleraikan pemberontakan tersebut. British
dengan mudah telah menyekat sebarang bentuk bantuan terutamanya yang berbentuk senjata dan
makanan daripada sampai kepada tentera TNKU yang menyebabkan pemberontakan ini akhirnya
terlerai. Hasil daripada penilaian ke atas pemberontakan yang berlaku di Brunei, Indonesia
menyatakan bahawa pemberontakan tersebut adalah bukti bahawa Gagasan Malaysia tidak
diterima oleh rakyat Borneo. Tambahan pula isu Irian Barat telah pun selesai dan Indonesia telah
berjaya memiliki Irian Barat. Hal ini menyebabkan Indonesia boleh menjadi lebih agresif dalam
menentang Gagasan Malaysia.
7. PENGARUH ORANG CINA
Indonesia juga turut memberi alasan bahawa penentangan terhadap Gagasan Malaysia
dilaksanakan kerana pengaruh orang Cina. Indonesia berasa bimbang terhadap perluasan pengaruh
orang Cina di Tanah Melayu dan Asia Tenggara akan berlaku sekiranya Malaysia ditubuhkan.
Indonesia juga memberikan alasan bahawa kaum Cina akan menguasai politik Tanah Melayu serta
Malaysia sekiranya Malaysia ditubuhkan.
11
Kenyataan Indonesia ini diperkukuhkan lagi dengan menyatakan bahawa sekiranya Tanah
Melayu digabungkan bersama Singapura, jumlah masyarakat Melayu hanya akan menjadi 39
peratus berbanding masyarakat Cina yang berjumlah 42 peratus. Mohd. Hatta yang merupakan
bekas Naib Presiden Indonesia pada ketika itu berpendapat bahawa:
“The creation of a Malaysia is nothing but the creation of a second China
using mask of Malay, a new colony dominated by Chinese Capitalist,
oppressing the Malay Nation.”18
Namun, kebimbangan Indonesia ini dijawab oleh Tunku dengan menyatakan bahawa
penubuhan Malaysia ini akan menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Sarawak
beserta Brunei. Masalah komposisi kaum akan dapat diatasi dengan kehadiran bumiputera dari
Borneo Utara serta Sarawak.
KESIMPULAN
Penubuhan Gagasan Malaysia ini adalah merupakan faktor utama yang menyebabkan
Indonesia melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia. Hal ini dapat dilihat daripada keinginan
Presiden Sukarno yang ingin membentuk Indonesia Raya. Konfrontasi yang dilancarkan adalah
melalui tiga aspek iaitu sekatan ekonomi, pemutusan hubungan politik dan serangan ketenteraan.
Pelbagai penyelesaian cuba dilakukan oleh kedua-dua belah pihak seperti perjanjian
MAPHILINDO, Perjanjian Bangkok dan sebagainya namun sikap tegas daripada Tunku Abdul
Rahman dan Presiden Sukarno telah menyebabkan kesemua jalan penyelesaian ini menuju ke arah
kebuntuan. Konfrontasi ini hanya tamat apabila Presiden Sukarno digantikan oleh Presiden
Suharto dan beliau bertanggungjawab memeterai perundingan dengan Malaysia pada 11 Ogos
1966. Isu tuntutan Borneo Utara pula selesai pada tahun 1965 apabila Presiden Marcos naik
menggantikan Presiden macapagal dan menjalinkan perdamaian antara Filipina dan Malaysia.
18 Kunaseelan A/L Muniandy, Hubungan Malaysia Indonesia 1957-1970, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka,
1996, hlm 151.
12
SENARAI RUJUKAN
Senarai Buku
1. Abdullah Zakaria Ghazali, Zulkarnain Abdul Rahman. (2008) Konflik Dunia Abad Ke-20.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. Kunaseelan A/L Muniandy. (1996) Hubungan Malaysia Indonesia 1957-1970. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
3. Mackie. (1974) Konfrontasi Malaysia Indonesia Dispute 1963-1966. Kuala Lumpur:
Oxford University Press London.
4. Nik Abdullah Nik Mahmud. (2000) Konfrontasi Malaysia Indonesia. Selangor:
Universiti Kebangsaan Malaysia.
5. Tunku Abdul Rahman. (1980) Pandang Balik. Kuala Lumpur: Heinemann Education Book.
Laman Sesawang
1. Pusat Rujukan Persuratan Melayu @ DBP,
http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=konfrontasi