CONTOH 1.doc
Transcript of CONTOH 1.doc
CONTOH 1
JEJAK LABAH-LABAH MENINGKATKAN PENGUASAAN KEMAHIRAN
MEMBACA SUKU KATA DAN PERKATAAN KVK DI KALANGAN MURID
TAHUN 1 (LINUS) MELALUI TEORI KECERDASAN KINESTATIK
Abstrak:
Kecerdasan Kinestatik adalah salah satu cabang daripada Teori Kecerdasan Pelbagai.
Teori ini amat penting kerana ia berkait rapat dengan dunia pendidikan. Adalah diakui
bahawa setiap murid memiliki pelbagai kecerdasan. Namun, apa yang membedakan
mereka ialah cara berfikir, bertindak dan belajar. Aplikasi Teori Pelbagai Kecerdasan
dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu Tahun1 adalah bertujuan untuk
menyokong proses pembelajaran bersepadu dan menyeluruh selaras dengan keperluan
murid dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jesteru, inovasi dalam proses pengajaran
dan pembelajaran guru -murid yang diketengahkan ini JEJAK LABAH-LABAH,
telah menggabungkan teknik permainan untuk mempertingkatkan kemahiran
membaca perkataan suku kata KV dan KVK, di kalangan 4 orang murid Program
Linus Tahun 1 Lily SK Wawasan, Seremban 2. Permainan kata - perkataan suku kata
kv dan kvk dalam ‘Jejak Labh-labah’, ini dapat membantu meningkatkan penguasaan
membaca perkataan suku kata kv dan kvk dikalangan 4 pelajar tadi. Responden ini,
telah dirawat dengan ‘Jejak Labah-labah’ selama 60 minit setiap sesi rawatan.
Rawatan ini dijalankan selama 4 minggu sahaja. Kajian ini telah dapat diselesaikan
dalam tempoh 2 bulan. Keputusan Ujian Post telah menunjukkan peningkatan prestasi
penguasaan bacaan kv dan kvk pelajar. Dapatan daripada soal selidik pula
menunjukkan pelajar amat berminat untuk membaca dan mereka telah memahami dan
menguasai kemahiran membaca ini sepenuhnya. Mereka amat seronok ketika bermain
permainan ini. Akhirnya, ‘Jejak Labah-labah’ telah berjaya memupuk minat dan
mempertingkatkan penguasaan kemahiran membaca pelajar.
Tajuk Kajian:
Jejak Labah-labah Dalam Penguasaan Kemahiran Membaca Perkataan Suku Kata
KVK
1. Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran yang lalu:
Saya adalah guru Bahasa Melayu Tahun 1 di Sekolah Kebangsaan Wawasan
Seremban 2 yang mengajar mengikut Program Linus anjuran KPM di bawah NKRA
daripada tahun 2008 hinggalah sekarang. Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu selama 3 bulan di tahun 2011, saya telah mendengar bacaan murid
dari Tahun 1 Lily seramai 4 daripada 14 orang melalui aktiviti membaca berdasarkan
modul yang dibekalkan dan mendapati mereka kurang minat untuk mengeja dan
membaca.Timbul persoalan di fikiran saya mengapa agaknya mereka tidak boleh
menyebutkan perkataan dengan sebutan yang betul mengikut suku kata, ini
menyebabkan kemahiran membaca mereka amat lemah. Oleh itu, saya telah
menjalankan pemerhatian tidak berstruktur dalam P&P saya. Hasil dapatannya, saya
dapati mereka kurang berminat untuk membaca, tidak boleh membaca kad perkataan
yang diberi dengan lancar dan betul sebutannya, serta kurang memberi tumpuan
terhadap apa yang dibaca dan amat suka bermain-main semasa P & P terutama di
kelas biasa. Sekiranya masalah ini tidak diberi perhatian, maka mereka akan menjadi
murid yang tercicir. Sehubungan itu, saya telah menjalankan kajian tindakan ini.
2. Isu Keprihatinan:
Walaupun saya mengesan banyak masalah yang dihadapi oleh murid saya, saya hanya
memfokuskan kajian ini untuk meningkatkan penguasaan kemahiran membaca
perkataan suku kata kvk Secara khususnya murid berkenaan menghadapi masalah
membaca di peringkat suku kata dan masalah pengamatan. Untuk mengatasi masalah
mereka, satu inovasi berbentuk permainan telah diketengahkan. Melalui pemerhatian
dan kajian, didapati kebolehan guru menarik minat murid dalam proses pengajaran
dan pembelajaran Bahasa Melayu dengan mengaplikasikan inovasi – Jejak Labah-
labah berasaskan Teori Kecerdasan Kinestastik, merupakan daya pengerak kepada
pengukuhan bacaan dan minat murid. Pengajaran dan Pembelajaran Guru – Murid
menjadi lebih seronok, dan guru dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan murid.
Akhirnya manipulasi alat dan bahan digunakan untuk aktiviti pengukuhan seterusnya.
3. Objektif Kajian:
3.1 Objektif Am
i. Jejak Labah-labah meningkatkan penguasaan kemahiran membaca perkataan suku
kata kvk dalam kalangan murid pemulihan khas melalui Teori Kecerdasan Kinestatik.
3.2 Objektif Khusus
i. Di akhir kajian 100% pelajar boleh membaca suku kata kv dengan lancar.
ii. Di akhir kajian 100% pelajar boleh membaca perkataan suku kata kv dan kvk
dengan lancar.
iii. Mengubah persepsi murid terhadap keupayaan diri, meningkatkan jati diri dan
punya rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri.
iv. Mewujudkan interaksi mesra guru dengan murid, murid dengan guru,dan murid
dengan murid.
4. Kumpulan Sasaran:
Kumpulan sasaran kajian saya terdiri daripada murid Linus Tahun 1 Arif seramai 4
orang. Dua orang lelaki dan dua orang perempuan yang masing-masing tidak
menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
Sampel 1: Hema Loshini A/P Veeramany. Bapa seorang pemandu lori dan ibu
merupakan seorang suri rumah sepenuh masa. Mempunyai 4 orang adik beradik dan
merupakan anak bongsu dalam keluarga. Abangnya pernah mengikuti kelas
pemulihan semasa berada di Tahun 2 dan 3.
Sampel 2: Nur Zahirah bt Za’im. Bapanya seorang akauntan manakala ibunya pula
merupakan seorang kerani. Beliau mempunyai 4 orang adik beradik dan merupakan
anak bongsu dalam keluarga. Kakaknya pernah mengikuti kelas pemulihan semasa
berada di Tahun 2.
Sampel 3: Muhammad Amir Razi b Nordin. Bapanya bekerja sendiri manakala
ibunya pula merupakan seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Beliau mempunyai
9 orang adik beradik dan merupakan anak ke-6 dalam keluarga. Kakak dan abangnya
pernah mengikuti kelas pemulihan semasa berada di Tahun 2 dan 3.
Sampel 4: Muhammad Najiem Haqeemi b Abdullah. Bapanya seorang peniaga
manakala ibunya pula merupakan seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Beliau
merupakan anak angkat dan mempunyai 5 orang adik beradik yang lain bersama
keluarga angkatnya. Jarak tempat tinggalnya adalah sejauh 10km dari sekolah.
5.Pelaksanaan Kajian:
Proses Tindakan
Proses 1 Merancang : Sebelum melaksanakan Kajian Tindakan, penyelidik perlu
membuat perancangan.
1.1 Tinjauan Masalah
Kaedah Soal Selidik. Dalam pelaksanaan kajian ini, saya telah menjalankan soal
selidik tahap penguasaan bacaan kepada 4 orang murid Tahun 1Lily berasaskan
Saringan 1 dibawah Program Linus KPM, dengan menggunakan Kad Senarai Semak
Baca. Analisis dapatan menunjukkan 100 % murid tidak boleh membatangkan
perkataan dengan betul dan lancar. Sepatutnya di Tahun 1 , mereka telah menguasai
kemahiran membaca perkataan kv, kvk dan kvk serta ayat-ayat mudah.
Proses 2 Analisa keputusan / dapatan dan mereflek keberkesanan aktiviti yang
dijalankan.
2.1 Kaedah Temu Bual
Saya juga menjalankan temu bual bagi mendapatkan bukti kesahihan tanggapan saya,
bahawa mereka tidak minat membaca. Maka pada 4/10/2011 saya juga telah
mengadakan temu bual secara berstruktur untuk mengetahui punca permasalahan dan
sikap mereka terhadap bacaan. Dapatan daripada temubual tersebut, saya dapati 4
orang pelajar ini tidak suka membaca. Kesemua mereka mengaku tidak pandai
membaca, tetapi mereka suka mendengar orang membaca dan merasa aktiviti
membaca tidak seronok. Oleh itu, mereka tidak suka mengambil ujian membaca
kerana takut tidak boleh membaca teks ujian yang diberi.. Daripada dapatan ini ,
andaian saya, murid tidak berminat untuk membaca adalah benar.
Proses 3 Bertindak ( melaksanakan rancangan )
Penyelidik melaksanakan rancangan mengikut apa yang telah dirancang.
3.1 Tindakan Yang Dijalankan
Saya memperkenalkan permainan ‘Jejak Labah-labah’, berasaskan Pendekatan
Kecerdasan Kinestatik, untuk merangsang minat membaca seterusnya dapat
mempertingkatkan tahap bacaan mereka dalam kemahiran membaca perkataan suku
kata kv dan kvk ketahap yang optimum. Saya telah merangka 5 aktiviti yang
dinamakan Jejak Labah-labah-1-4
o Aktiviti 1- Jejak Labah-labah 1, saya menjalankan pengukuhan semula sebutan
abjad a hingga z.
o Aktiviti 2- Jejak Labah-labah 2, saya menjalankan pengukuhan sebutan suku kata
kv.
o Aktiviti 3- Manakala dalam Jejak Labah-labah 3, saya memberikan peneguhan
dalam bacaan perkataan gabungan daripada suku kata terbuka kv + kv.
o Aktiviti 4- Jejak Labah-labah 4, saya membuat peneguhan dalam membaca
perkataan suku kata kvk.
Berikut adalah bahan-bahan yang digunakan dalam kajian ini:
�� Tapak Jejak Labah-labah.
�� Dadu konsonan dan vokal.
�� Kad abjad a hingga z berleminate.
�� Kad-kad perkatan kv berleminate.
�� Kad-kad perkataan kvk berleminate.
Proses 4 Memerhati ( mengumpul bukti )
Pengumpulan maklumat boleh dikumpul melalui pemerhatian, temubual, soal selidik,
ujian dan latihan serta analisis dokumen.
4.1 Pelaksanaan Tindakan /Pemerhatian dan Refleksi
4.1.1 Aktiviti 1- MODEL JEJAK LABAH-LABAH 1 –
4.1.1.1 Minggu 1 kemahiran mengenal abjad a hingga z.
4.1.1.2 Murid mencari nombor bagi setiap abjad dan sebut abjad a hingga z serta
menyanyikan lagu ABC secara didik hibur.
4.1.1.3 Murid dapat mengenal huruf vokal dan konsonan.
4.1.1.4 Ulang aktiviti kepada murid lain sehingga 4 pusingan.
4.1.5 Berdasarkan pemerhatian daripada aktiviti 1, ternyata aktiviti ini dapat
mengukuhkan penguasaan kemahiran mengenal abjad a hingga z murid.
4.1.2 Aktiviti 2 – MODEL JEJAK LABAH-LABAH 2
4.1.2.1 Murid ditunjukkan carta Jejak Labah-labah kv.
4.1.2.2 Murid mencari abjad berdasarkan nombor yang diberi dan menyebut suku
kata kv yang diperolehi
4.1.2.3 Ulang aktiviti kepada murid lain sehingga 4 pusingan.
4.1.2.4 Berdasarkan pemerhatian daripada aktiviti 2, ternyata aktiviti ini dapat
mengukuhkan penguasaan kemahiran suku kata kv.
4.1.3 Aktiviti 3 – MODEL JEJAK LABAH-LABAH 3
4.1.3.1 Murid ditunjukkan carta Jejak Labah-labah kv+ kv.
4.1.3.2 Murid mencari abjad berdasarkan nombor yang diberi dan menyebut suku
kata kv+kv yang diperolehi
4.1.3.3 Ulang aktiviti kepada murid lain sehingga 4 pusingan.
4.1.3.4 Berdasarkan pemerhatian daripada aktiviti di atas, ternyata aktiviti ini
dapat mengukuhkan penguasaan kemahiran suku kata kv.
4.1.4 Aktiviti 4 – MODEL JEJAK LABAH-LABAH 4
4.1.4.1 Murid ditunjukkan carta Jejak Labah-labah.
4.1.4.2 Murid mencari abjad berdasarkan nombor yang diberi dan menyebut suku
kata kvk yang diperolehi.
4.1.4.3 Ulang aktiviti permainan kepada murid lain sehingga 4 pusingan.
4.1.4.4 Berdasarkan pemerhatian,ternyata aktiviti ini dapat mengukuhkan
penguasaan kemahiran suku kata kvk melalui permainan yang dijalankan.
Guru menyediakan beberapa cara lain bagi mempelbagaikan perkataan
kvk yang lain.
Contoh perkataan kvk yang lain:
a- jam d- mop g- bom j- bot m- van
b- beg e- tin h- jet k- jem n- zip
c- pin f- kek i- gas l- bas o- vas
Proses 5 Mereflek ( analisa dan refleksi )
Semasa aktiviti Jejak Labah-labah 1 hingga 4 dilaksanakan,saya merasa sangat
gembira , terharu dan bangga, di atas catatan pencapaian yang tinggi yang telah
diperolehi oleh 4 orang murid sasaran kajian saya. Walaupun aktiviti 4 adalah aktiviti
yang tertinggi aras kemahiran bacaanya tetapi atas minat, keyakinan yang lahir kesan
daripada permainan ini, telah menyebabkan tiga daripada mereka mencatatkan
keputusan yang membanggakan .Dua orang daripadanya yang amat lemah bacaan
mereka pun telah mencatatkan keputusan yang membanggakan. Seorang
daripadanya ,telah menunjukkan minat untuk datang ke sekolah dan mengikuti
pengajaran dan pembelajaran di kelas saya dan boleh membaca perkataan suku kata
kvk walaupun pada awalnya, dia tidak mengenal huruf a – z . Pelajar berjaya
mengecam dan membetulkan kesalahan yang sengaja guru lakukan untuk menguji
penguasaan bacaan mereka.
Selepas menjalankan kajian kepada 4 orang murid tersebut, mereka suka membaca
dan menyatakan aktiviti membaca itu sesuatu yang menyeronokkan. Inilah salah satu
luahan kata yang telah diungkapkan oleh salah seorang murid kajian, “Cikgu dulu
saya takut nak baca, tetapi sekarang saya suka baca”, ..Di sisi murid, pengaplikasian
Jejak labah-labah dalam P&P telah meningkatkan motivasi, menghilangkan rasa
rendah diri, meningkatkan tahap kepuashatian murid dan semangat untuk terus
belajar. Hal ini kerana mereka telah berjaya melepasi “halangan” iaitu kegagalan
menguasai kemahiran membaca. Tanpa dapat dinafikan bahawa bahasa merentas
kurikulum. Sesungguhnya situasi yang memberi sinar harapan ini disumbangkan oleh
keistimewaan-keistimewaan yang terdapat dalam kaedah rawatan menggunakan
teknik Jejak Labah-labah.
Melalui aktiviti yang dijalankan bagi pihak guru pula, saya dapat merangka rancangan
pengajaran yang menarik minat murid kepada mata pelajaran Bahasa Melayu dan
dapat meningkatkan keyakinan diri sendiri. Selain daripada itu kaedah ini juga
menjadi daya penggerak kepada pengukuhan bacaan murid. Pengajaran dan
pembelajaran menjadi lebih seronok, guru dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan
murid. Maklum balas ini penting untuk tindakan susulan yang selanjutnya. Aktiviti
secara permainan ini dapat mengeratkan lagi hubungan mesra guru dan murid. Murid
tidak lagi merasa takut untuk menyebut perkataan sambil bermain. Perasaan ini perlu
terus dipupuk pada kemahiran bacaan yang lebih tinggi, seperti dalam mengajar
membaca perkataan yang mengandungi diftong dan diagraf berganding, serta
membaca ayat untuk kepelbagaian ayat di masa akan datang.
Dengan ini saya telah dapat menanamkan keyakinan diri dan merasakan dirinya
benar-benar berguna dan dihargai . Sesungguhnya aktiviti yang tidak membosankan
ini telah menggalakkan murid untuk mencuba dan terus mencuba, untuk terus
menghabiskan permainan dan memperoleh ganjaran sama ada dalam bentuk material
atau non material (pujian dan sanjungan ). Rumusannya , aplikasi Jejak Labah-labah
dalam P&P Bahasa Melayu secara tidak langsung telah membantu murid untuk
menguasai 3M seiring dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, untuk
melahirkan insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi , rohani dan intelek.
6. Cadangan Kajian Seterusnya:
Hasil daripada penyelidikan yang dijalankan, saya dapati terdapat perubahan yang
positif dari segi amalan pengajaran guru dan amalan pembelajaran pelajar.Saya
mencadangkan untuk mengguna pakai Teknik Permainan ini untuk mengajar
kemahiran membaca pantun dan simpulan bahasa. Teknik ini juga boleh digunakan
untuk mempertingkatkan kemahiran menulis perkataan berasaskan latih tubi membaca
. Saya juga berhasrat untuk membina model-model “Jejak kv+kvk, Jejak kvk+kvk”,
dan kemahiran seterusnya yang lain dengan melengkapkan lagi model ini dengan
unsur-unsur visual dan grafik yang lebih menarik, serta melengkapkannya dengan
soalan-soalan serta kaedah yang lebih mencabar dan kreatif. Semoga hasil kajian saya
ini dapat dimanfaatkan dan menjadi proses P&P lebih menarik, berkesan dan
menyeronokkan.
Bibliografi:
1. Buku panduan,Pelaksanaan Program Pendidikan Pemulihan Khas(masalah
penguasaan 3M).1998
Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia.
2. Majid Konting. 1994. Kaedah Penyelidikan Pendidikan, Kuala Lumpur,Dewan
Bahasa Dan Pustaka
3. Manual IPP3M tahun3, (bagi kegunaan program pemulihan khas Kementerian
Pendidikan Malaysia), Jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia.
4. Nik Safiah Karim,Farid M.Onn, Hashim Hj. Musa, 2000.Tatabahasa Dewan Jilid 2:
Perkataan; Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.
5. Puan Hajah Juliani bt. Abdullah, Kaedah Cepat Membaca, Bacalah
Sayang,Gabungan Majlis Guru Besar
6. Pusat Perkembangan Kurikulum: Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai Dalam
Pengajaran & Pembelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia.
7. Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia, Belajar Cara
Belajar.Kementerian Pendidikan Malaysia.
8. Selan Osni, Bahasa Melayu Tahun Satu (transisi) Asas Bacaan Fahaman dan
tulisan.
9. Sharida Sharudin, Bacalah Sayang, Associated Educational Distributors ( M) Sdn.
Bhd. Sek. Rendah Malaysia, Kreatif Kembara Sdn. Bhd.