Esei Gawai Antu

19
ULASAN DAN KEUNIKAN ‘HARI GAWAI ANTU’ Gawai merupakan antara perayaan yang di sambut oleh masyarakat Iban di Sarawak. Terdapat pelbagai jenis Gawai yang di sambut oleh masyarakat Iban. Antaranya ialah Gawai Dayak, Gawai Nangga Langit, Gawai Tangga Hari dan Gawai Mangkung Tiang. Sambutan hari Gawai yang pelbagai sentiasa di sambut oleh masyarakat Iban sama ada di rumah panjang tradisional ataupun rumah panjang moden zaman sekarang. Jenis-jenis hari-hari gawai yang lain termasuk Gawai Kenyalang, Gawai Batu (permulaan musim menanam padi), Gawai Burung (perayaan berkaitan dengan sesuatu tanda atau mimpi yang tidak baik), Gawai Besimpan (kesyukuran setelah selesai menuai) dan Gawai Antu (perayaan untuk roh orang-orang yang sudah meninggal dunia). Antara yang paling penting ialah Gawai Kenyalang dan Gawai Antu. Bagi masyarakat Iban, perayaan Gawai merupakan lambang ataupun identiti kaum itu sendiri. Sambutan Hari Gawai bukan sahaja sekadar untuk berhibur malah mempunyai maknanya sendiri. Menurut penceritaan secara lisan oleh generasi terdahulu, sambutan Gawai merupakan suruhan Petara ( Tuhan ) masyarakat Iban yang tinggal di atas kayangan iaitu Raja Petara, Sengalang Burung, Keling Gerasi Nading, Bungai Nuing dan banyak lagi. Sambutan Hari Gawai merupakan medium untuk masyarakat Iban merapatkan lagi hubungan yang telah ada dan merapatkan lagi hubungan bersama kaum lain yang turut berada di dalam lingkungan kehidupan masyarakat Iban. Semasa sambutan hari gawai, semua kaum yang hadir akan dapat menyaksikan keunikan adat, sikap

description

esei gawai antu

Transcript of Esei Gawai Antu

ULASAN DAN KEUNIKAN HARI GAWAI ANTUGawai merupakan antara perayaan yang di sambut oleh masyarakat Iban di Sarawak. Terdapat pelbagai jenis Gawai yang di sambut oleh masyarakat Iban. Antaranya ialah Gawai Dayak, Gawai Nangga Langit, Gawai Tangga Hari dan Gawai Mangkung Tiang. Sambutan hari Gawai yang pelbagai sentiasa di sambut oleh masyarakat Iban sama ada di rumah panjang tradisional ataupun rumah panjang moden zaman sekarang. Jenis-jenis hari-hari gawai yang lain termasuk Gawai Kenyalang, Gawai Batu (permulaan musim menanam padi), Gawai Burung (perayaan berkaitan dengan sesuatu tanda atau mimpi yang tidak baik), Gawai Besimpan (kesyukuran setelah selesai menuai) dan Gawai Antu (perayaan untuk roh orang-orang yang sudah meninggal dunia).Antara yang paling penting ialah Gawai Kenyalang dan Gawai Antu. Bagi masyarakat Iban, perayaan Gawai merupakan lambang ataupun identiti kaum itu sendiri. Sambutan Hari Gawai bukan sahaja sekadar untuk berhibur malah mempunyai maknanya sendiri. Menurut penceritaan secara lisan oleh generasi terdahulu, sambutan Gawai merupakan suruhan Petara ( Tuhan ) masyarakat Iban yang tinggal di atas kayangan iaitu Raja Petara, Sengalang Burung, Keling Gerasi Nading, Bungai Nuing dan banyak lagi.Sambutan Hari Gawai merupakan medium untuk masyarakat Iban merapatkan lagi hubungan yang telah ada dan merapatkan lagi hubungan bersama kaum lain yang turut berada di dalam lingkungan kehidupan masyarakat Iban. Semasa sambutan hari gawai, semua kaum yang hadir akan dapat menyaksikan keunikan adat, sikap menghormati tetamu, kelainan makanan dan gaya hidup rumah panjang yang amat berbeza dari kaum lain. Antara sambutan yang sering kali diadakan oleh masyarakat Iban ialah Gawai Antu. Gawai Antu merupakan keramaian yang diadakan untuk roh atau orang yang sudah meninggal dunia. Sambutan ini diadakan untuk memperingati si mati dan simbolik kepada berakhirnya hubungan di antara yang hidup dan yang mati. Hubungan sama ada dari segi fizikal ataupun mental seharusnya diputuskan tetapi ianya tidak bermakna bahawa yang masih meneruskan kehidupan harus melupakan terus si mati. Ia hanya adat yang wajib dijalankan untuk meneruskan kelangsungan hidup bagi mereka yang ditinggalkan oleh si mati.Sambutan Hari Gawai Antu memerlukan satu tempoh masa yang lama untuk diadakan dan untuk di sambut. Hal ini kerana sambutan Gawai Antu memerlukan persiapan yang sangat rapi dan tidak boleh di ambil ringan oleh masyarakat Iban. Kerjasama yang erat diperlukan dalam kalangan penduduk rumah panjang. Banyak persediaan yang perlu dilaksanakan sebelum sambutan ini diadakan. Sebagai contoh, jumlah makanan yang perlu dihidangkan, jumlah tetamu yang akan di undang, dan kos yang perlu di tanggung sepanjang keramaian ini diadakan. Masa sambutan ini diadakan juga perlu di ambil kira, misalnya semasa musim cuti sekolah agar semua saudara-mara dapat menghadiri upacara keramaian tersebut. Sebelum sambutan ini diadakan, Ketua Rumah Panjang ataupun di gelar sebagai Tuai Rumah dalam masyarakat Iban akan mengumpulkan semua penduduk rumah panjang dan mengadakan mesyuarat. Semasa perjumpaan ini, semua pihak akan berbincang mengenai sambutan gawai yang bakal diadakan. Antara perkara yang dibangkitkan ialah tempoh sambutan hari gawai diadakan, tetamu yang bakal di undang dan atur cara sambutan tersebut. Semasa mesyuarat ini diadakan, Tuai Rumah akan meminta pendapat daripada anak buahnya sekaligus memutuskan segala perkara yang dibangkitkan pada hari tersebut.Seterusnya, selepas keputusan dipersetujui sebulat suara oleh penduduk rumah panjang, persediaan rapi akan mula diadakan. Biasanya, persediaan sambutan hari Gawai Antu memerlukan masa yang lama sehingga memakan masa bertahun-tahun. Rumah panjang perlu diperbaiki agar semua tetamu berasa selesa. Kemudahan pengangkutan juga dititikberatkan sekiranya rumah panjang tersebut sukar dihubungi melalui jalan darat. Selain itu, tempat memasak makanan yang luas juga perlu di ambil kira. Bukan itu sahaja, air tradisional masyarakat Iban iaitu ai tuak ataupun air tapai perlu disediakan lebih awal sama ada enam bulan sebelum sambutan gawai atau tiga bulan sebelumnya. Penyediaan air tapai merupakan suatu kemestian bagi setiap masyarakat Iban tidak kira apa jua jenis perayaan. Sebelum upacara utama sambutan Gawai Antu diadakan, beberapa adat ataupun upacara ritual harus dilakukan. Semasa membuat persediaan, semua penduduk rumah panjang akan berada dalam keadaan yang sibuk namun keadaannya tetap meriah. Antara perkara yang wajib dilaksanakan ialah, Gawai Beban Ramu. Sambutan Gawai Beban Ramu ialah adat ritual untuk membina sebuah tempat persinggahan buat para tetamu yang hadir. Adat Beban Ramu akan diikuti dengan upacara ngeretok iaitu atur cara mengambil kayu-kayan dari hutan untuk membina sungkup. Sungkup akan di bina di bahagian hadapan rumah panjang yang di panggil sebagai tanju dalam Bahasa Iban. Selepas selesai upacara ngeretok, setiap keluarga yang menyambut perayaan gawai ini akan memperbaik ataupun membina sebuah panggau ataupun tempat khas buat para tetamu.Setelah selesai semua persiapan yang harus dilakukan mengikut adat, semua penduduk rumah panjang akan mengambil peluang yang ada untuk menghias bilik, ruai, tanju dan halaman rumah mengikut cadangan yang telah diperstujui bersama. Biasanya, tugas menghias akan diserahkan kepada tenaga muda agar tugas yang ada dapat diselesaikan dengan cepat. Hiasan yang biasa di lihat semasa sambutan Gawai Antu ialah bunga hiasan yang di buat sendiri oleh kaum wanita rumah panjang tersebut. Manakala di sepanjang jalan memasuki kawasan rumah panjang akan dihiasi menggunakan panji-panji yang berwarna-warni dan juga bendera negara Malaysia serta bendera negeri Sarawak.Keadaan rumah panjang yang ,meriah dan juga berwarna-warni akan dapat menggambarkan bahawa terdapat keramaian yang bakal disambut oleh penduduk rumah tersebut. Menjelang hari sambutan Gawai Antu, semua penduduk rumah panjang dan juga saudara-mara yang hadir akan berada dalam keadaan yang sibuk. Para wanita akan memulakan tugas memasak dan menyediakan makanan untuk sambutan kemuncak Gawai Antu. Antara hidangan yang menjadi kemestian semasa sambutan gawai ialah beras pulut yang di masak menggunakan buluh. Manakala para lelaki pula akan di kerah untuk menyediakan dan mencari makanan yang harus dihidangkan buat para tetamu. Tugas mencari kayu api untuk keperluan memasak juga diserahkan kepada tenaga lelaki. Kemeriahan sambutan akan mula terasa beberapa hari sebelum sambutan kemuncak disambut pada tarikh yang telah ditetapkan.Seterusnya, sambutan Gawai Antu yang sebenarnya akan di sambut pada hari yang berikutnya. Pada pagi sambutan perayaan bermula, kesibukan akan mula terasa apabila kaum wanita dan kaum lelaki mula menjalankan tanggungjawab masing-masing. Wanita akan mula memasak hidangan yang akan dihidangkan pada petang dan malam berikutnya. Sesetengahnya pula akan mendirikan ranyai. Keseronokan yang dialami amat sukar dirasai dan jarang sekali dialami. Tiada yang lebih menggembirakan apabila dapat meluangkan masa bersama saudara-mara dan bergelak ketawa bersama-sama. Ikatan kekeluargaan juga akansemakin bertambah rapat dan semangat kerjasama akan dapat di semai pada saat ini. Manakala kaum lelaki pula akan akan menjalankan tugas mereka di luar rumah. Misalnya menjaga dan memasak makanan yang perlu menggunakan buluh seperti manuk pansuh (ayam di masak di dalam buluh) dan juga menyediakan tempat untuk tetamu yang ditetapkan untuk menjaga ranyai antu. Tanju yang di bina perlulah kukuh dan tidak boleh runtuh sepanjang perayaan diadakan. Sekiranya tanju yang di bina runtuh semasa sambutan gawai diadakan, maka perkara tersebut di anggap membawa sial. Maka persiapan yang rapi perlulah diadakan dengan sempurna perlu disiapkan agar tidak membawa malu kepada keluarga.Di sebalik semua kemeriahan yang dialami, roh si mati juga perlu dihormati. Setiap perkara yang dilakukan perlulah menghormati si mati dan tidak melampaui batas. Pada hari sebelum sambutan akan diadakan upacara sabung ayam. Upacara ini diadakan bertujuan untuk memutuskan terus hubungan di antara si mati dengan yang masih hidup dan menandakan tiada lagi kaitan sama ada dari segi hubungan fizikal dan mental dengan si mati. Namun ini tidak bermakna si mati akan terus dilupakan oleh ahli keluarga yang masih meneruskan kehidupan. Hal ini hanyalah sebagai simbolik dan adat kemestian yang harus dilakukan oleh setiap keluarga si mati. Sambutan kemuncak akan bermula apabila tetamu mula tiba dan pelbagai kerenah serta ragam dapat di lihat pada ketika ini. Tetamu yang di undang biasanya tetamu yang tinggal berhampiran dengan rumah panjang dan ada juga saudara-mara yang datang dari jauh semata-mata untuk menghadiri upacara keramaian Gawai Antu.

Semasa ketibaan para tetamu, beberapa das tembakan akan dilepaskan ke arah langit dan pukulan tabuh akan mula berkumandang. Tetamu yang tiba akan di sambut dengan ai tuak dan juga beberapa jenis minuman yang beralkohol di hadapan rumah panjang. Keadaan ini akan berterusan hingga ke penghujung rumah panjang apabila semua anggota rumah panjang tersebut akan menyambut kedatangan para tetamu dengan ai tuak. Adat sambutan ini bagaikan tol yang harus dilalui oleh para tetamu untuk masuk ke rumah panjang tersebut. Kemeriahan menyambut kehadiran para tetamu ini jarang sekali di lihat diamalkan oleh kaum ataupun etnik lain. Inilah di antara keunikan sambutan upacara tersebut.Setelah semua tetamu tiba, minuman akan mula dihidangkan. Minuman manis seperti air berkarbonat akan dihidangkan terlebih dahulu dan bukan minuman beralkohol yang dihidangkan. Para tetamu wanita kebanyakannya akan berada di dalam bilik dan kaum lelaki akan berada di ruai. Setelah air minuman dihidangkan, makanan akan dihidangkan. Pada ketika ini pelbagai jenis makanan akan dihidangkan untuk di jamu oleh para tetamu. Kepelbagaian jenis makanan melambangkan kebaikan sesebuah rumah panjang tersebut dan ia akan menjadi kenangan dan sebutan tetamu yang hadir.Setelah selesai menjamu selera, sambutan Gawai Antu akan bermula secara rasminya apabila Tuai Rumah mengalu-alukan kehadiran para tetamu. Setelah Tuai Rumah mengucapkan kata alu-aluan leka geliga akan didengarkan kepada para tetamu. Setelah leka geliga diperdengarkan,semua para hadirin yang ada akan menumpukan perhatian kepada lemambang yang akan nimang jalong. Lemambang bagaikan seorang tok dalang yang akan menghiburkan semua tetamu yang hadir pada malam tersebut. Nimang jalong ataupun mantera yang dilagukan oleh lemambang. Lemambang akan mengelilingi rumah panjang tersebut dan akan mengalunkan mantera yang berkaitan. Aluan mantera mempunyai maksudnya yang tersendiri dan tidak boleh dialunkan sekiranya lemambang tidak mempunyai kemahiran yang betul-betul diyakini.Selain daripada lemambang yang nimang jalong, akan ada kaum wanita yang berpakaian tradisional lengkap untuk mengiringi kumpulan lemambang tersebut untuk mengelilingi rumah panjang tersebut. Oleh yang demikian, setiap keluarga di rumah panjang yang menyambut perayaan ini akan menghantar seorang wakil anak perempuan atau pun cucu perempuan yang masih lagi belum bersuami atau lebih tepat lagi masih suci. Kaum wanita yang berpakaian tradisional lengkap berperanan untuk memanggil indu antu ataupun dewi agar majlis yang diadakan mempunyai keberkatan. Kaum wanita yang mengenakan ngepan hanya akan menyertai para lemambang menjelang waktu dini hari. Keunikan upacara sebeginilah yang semakin sukar di lihat pada zaman sekarang kerana ramai masyarakat Iban yang sudah memeluk agama Kristian. Upacara sebegini hanya akan dapat disaksikan sekiranya penduduk rumah panjang tersebut masih lagi mengekalkan adat lama dan berpegang kepada kepercayaan asal nenek moyang.Lemambang akan mengalunkan mantera sepanjang malam hingga menjelang subuh. Setiap bait mantera yang dialunkan akan memanggil dewa agar air jalong yang bakal dihidangkan akan diberkati. Ai jalong merupakan penghormatan kepada si mati. Orang yang dibenarkan menghirup ai jalong merupakan kaum lelaki yang berani dan bersemangat waja seperti askar yang pernah menumpaskan musuh semasa menghadapi peperangan. Biasanya, lelaki berani yang menghirup ai jalong merupakan warga emas dan pernah menewaskan musuh pada suatu ketika dahulu. Sekiranya lelaki yang di pilih untuk menghirup ai jalong tidak pernah bedengah atau menghadapi cabaran seperti peperangan, orang tersebut akan terkena sumpahan orang yang sudah meninggal dan mampu menyebabkan si lelaki yang minum air tersebut mendapat penyakit hingga meninggal dunia.Upacara meminum ai jalong akan diadakan pada waktu dini hari misalnya pada pukul tiga pagi. Upacara ini di gelar sebagai upacara nuntungke jalong. Pada ketika inilah lelaki berani yang telah di pilih akan minum ai jalong yang telah disediakan. Kaum wanita yang akan menghidangkan ai jalong tersebut kepada lelaki yang telah di pilih. Upacara minum ai jalong ini merupakan acara kemuncak bagi upacara sambutan Gawai Antu. Setelah selesai upacara ngirup ai jalong maka selesailah sebahagian daripada upacara yang perlu diadakan oleh masyarakat Iban di rumah panjang semasa sambutan Gawai Antu.Setelah selesai upacara nimang jalong, adat muai rugan pula akan diadakan. Adat ini bertujuan untuk untuk memusnahkan bakul yang telah di anyam oleh kaum wanita pada awal permulaan Gawai Antu. Bakul ini mengandungi beberapa jenis hidangan atau santapan untuk dipersembahkan kepada roh si mati. Antara santapan yang menjadi kemestian ialah nasi pulut hitam, nasi pulut perang, nasi pulut biasa, salai ikan keli dan banyak lagi. Ikan di anggap sebagai antara makanan yang paling digemari oleh si mati. Hanya lelaki yang sudah berusia dibenarkan untuk muai rugan kerana dikhuatiri jika lelaki muda yang muai rugan lelaki tersebut akan mendapat musibah ataupun penyakit. Hal ini kerana lelaki muda dianggap tidak mempunyai kekuatan tenaga dalaman atau tidak mempunyai semangat spiritual yang tinggi.Seterusnya, upacara bebungkar ruang akan diadakan. Upacara ini merupakan simbolik kepada berakhirnya adat nimang jalong dan muai rugan. Semasa upacara ini, tetamu akan dihidangkan daging dan ai tuak yang dikhaskan untuk adat bebungkar ruang. Nama lain bagi upacara ini ialah makai dagin yang bermaksud makan daging. Apabila upacara muai rugan ini berakhir, ianya akan disusuli oleh upacara ngambi tebalu. Bagi masyarakat lain selain daripada bangsa Iban, upacara begini mungkin tidak pernah diadakan. Upacara ngambi tebalu menjadi simbol berakhirnya hubungan antara balu dan suami atau isteri mereka yang sudah meninggal. Ini bermakna balu si mati boleh membina kehidupan baru bersama orang lain tanpa perlu merasa bersalah dan berdosa terhadap suami atau isteri mereka yang sudah meninggal dunia. Oleh itu, pengakhiran janji suci dan abadi yang disebut semasa hayat si mati masih ada boleh dimungkiri.Selesai upacara ngambi tebalu adalah upacara berangap. Hidangan terakhir buat para tetamu akan dihidangkan. Biasanya, upacara ini hanya akan mengambil tempat pada waktu awal pagi. Setelah selesai upacara menghidangkan makanan, para tetamu akan beransur pulang dan hanya saudara-mara yang terdekat sahaja yang akan tinggal untuk membantu ahli keluarga si mati untuk upacara seterusnya. Upacara terakhir yang perlu dilaksanakan semasa sambutan Gawai Antu ialah nganjung sungkup. Sungkup merupakan ukiran kayu yang di ukir indah oleh saudara terdekat si mati. Biasanya saiz sungkup ialah 6 kaki panjang dan 4 kaki lebar. Sungkup akan di bawa ke kubur si mati dan dipakukan di atas rumah yang telah di bina khas untuk si mati. Semasa nganjung sungkup pelbagai makanan akan di bungkus untuk si mati dan akan dihidangkan kepada si mati semasa berada di kubur.

Setelah selesai upacara nganjung sungkup, maka berakhirlah sambutan Gawai Antu. Apabila berakhirnya perayaan ini, semua saudara-mara yang dekat mahupun jauh akan membawa haluan masing-masing dan akan meneruskan kehidupan mereka seperti biasa. Sambutan yang seumpamanya hanya akan dapat dirasai setelah berbelas atau berpuluh tahun kemudian. Pastinya upacara ini akan membawa seribu makna dan kenangan yang tak mungkin akan dapat dilupakan oleh setiap tetamu yang datang terutamanya saudara-mara yang jauh dengan ahli keluarga. Adalah sukar untuk penduduk rumah panjang untuk bertemu dengan saudara-mara yang jauh setelah sambutan Gawai Antu selesai.Antara keunikan upacara ini ialah ianya mampu memaparkan kebudayaan asal masyarakat Iban dan betapa indahnya adat asal yang dimiliki oleh masyarakat Iban. Jarang ada kaum lain yang mrempunyai begitu banyak sambutan perayaan dan adat yang begitu kompleks seperti masyarakat Iban. Upacara dan perayaan yang dimiliki oleh masyarakat Iban bukan sahaja jarang ditemui di negara lain, malah ianya mampu merapatkan lagi hubungan di antara tetamu yang hadir dan saudara-mara yang datang. Tiada yang lebih mengujakan apabila dapat bersua dengan saudara-mara atau rakan-rakan yang telah lama terpisah dan jarang sekali bertemu muka.Sesungguhnya, setiap adat yang diwarisi dari zaman nenek moyang harus dikekalkan dan dipelihara agar ianya tidak pupus di telan zaman. Generasi zaman sekarang juga seharusnyalebih cekal dan bersemangat untuk meneruskan kebudayaan warisan bangsa yang sukar didapati dan jarang di lihat di mana-mana tempat melainkan negara Malaysia dan negeri Sarawak. Jangan hanya mengagung-agungkan budaya luar tetapi budaya sendiri dianaktirikan. Hargai apa yang ada dan bersyukur atas segala nikmat yang telah diperolehi. Tuntasnya, apa yang kita miliki sekarang adalah hasil usaha nenek moyang kita sejak berabad yang lalu dan ia sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara apa yang sudah kita miliki.

KESESUAIAN SAMBUTAN HARI GAWAI ANTU DIPERTAHANKANMemang sudah menjadi lumrah bahawa berlakunya perubahan terhadap kebudayaan sesuatu bangsa dan kaum kerana dipengaruhi oleh persekitaran yang lebih dominan dan mudah diterima ramai. Begitu juga dengan kaum Iban yang mengalami perubahan budaya yang sangat ketara apatah lagi dipengaruhi oleh arus pemodenan yang berlaku di sekeliling sekitar 1980-an dan juga ada sesetengah budaya tersebut tidak sinonim lagi diamalkan pada masa kini.Dapat dilihat dengan begitu jelas kebudayaan kaum Iban yang harus menjadi warisan adalah ia tidak tahu dan bersesuaian dengan peredaran zaman telah dipertahankan. Perubahan kebudayaan ini juga turut mempengaruhi cara kehidupan masyarakat Iban secara keseluruhannya. Kebanyakan mereka sudah meninggalkan amalan hidup yang lama dan memulakan diari kehidupan yang baru. Perkembangan ini secara jelasnya membawa kepada kelahiran masyarakat Iban yang baru.Malaysia sudah mencapai era pemodenan maka ia secara tidak langsung membawa sama masyarakat Iban mengalami perubahan untuk terus relevan kekal sebagai anggota masyarakat yang dinamik. Ini juga bersangkutan dengan keperluan ekonomi yang sudah berubah di mana kegiatan ekonomi tradisional yang sudah ditinggalkan kerana tidak sesuai dengan peredaran zaman. Budaya hidup yang tidak konsisten menyebabkan sebilangan besar masyarakat Iban terutamanya golongan belia juga memilih gaya hidup moden. Perkembangan teknologi maklumat memainkan peranannya apabila media cetak dan elektronik mula menjadi pilihan masyarakat untuk mengikuti keadaan semasa. Faktor penolak kepada isu ini ialah budaya baru yang dominan mengambil alih tempat kebudayaan tradisional yang dilihat tidak begitu popular bagi masyarakat Iban. Tambahan pula golongan muda lebih senang menerima budaya baru memandangkan mereka mula berhijrah ke kawasan bandar dan juga merantau ke tempat orang. Dalam keadaan yang sedemikian juga, pilihan haruslah ditentukan sama ada memilih corak hidup lama atau melih corak kehidupan baru.

Seiring dengan perubahan zaman yang menganjak ke arah ke pemodenan, maka cara dan pendekatan yang dilakukan oleh kaum Iban dalam mengadakan perayaan juga turut berubah. Banyak perkara yang perlu diambil kira dalam perubahan yang dilakukan oleh masyarakat Iban ini. Dalam perkara ini, perubahan yang dilakukan telah mengubah landskap budaya itu sendiri kerana keaslian budaya tradisi telah berasmilasi dengan budaya baru yang datang menyerap ke dalam kehidupan masyarakat Iban. Dalam perayaan dan festival tradisional yang dilangsungkan, sudah tertera dengan jelas bagaimana bentuk yang dimaksudkan tersebut.Namun yang demikian, ada juga segelintir daripada kumpulan masyarakat Iban yang sedaya upaya mempertahankan keaslian budaya tersebut khususnya sebahagian besar masyarakat Iban pedalaman dan tidak kurang juga orang Iban yang berpendidikan juga masih memegang kuat adat dan mengadakan festival dan perayaan mengikut adat tradisi kerana seperti yang sudah dijelaskan mereka masih patuh kepada pemikiran bahawa kaum Iban ini masih berpegang kuat kepada perkara yang spiritual dan juga roh alam ghaib sentiasa bersama mereka. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kemasukan budaya baru dan juga penyerapan agama luar khususnya Kristian dan juga sebilangan kecil yang menganut Islam telah mengikis tatacara yang diamalkan dalam menyambut perayaan dalam masyarakat Iban.Gawai besar yang diamalkan oleh masyarakat Iban seperti Gawai Antu telah mengalami banyak perubahan terutamanya dalam ritual dan juga pengisiannya. Dalam era pemodenan yang telah mula bercambah di Sarawak, kaum Iban lebih senang merayakannya dengan cara yang baru dengan alasan tidak bercanggah dengan ajaran Kristian. Manakala yang sudah menganut Islam sebilangan kecilnya tidak merayakannya kerana ia adalah tabu dalam pegangan mereka. Upacara sepertimengap (nyanyian ritual),ngirup jalong(tuak yang telah mengalami proses nyanyian ritual) dannyungkup (mendirikan rumah si mati di atas kubur) langsung tidak ada dalam pengisian tetapi digantikan dengan upacara menyalakan lilin di kuburan dan kerja membersihkan kubur dan juga paderi mengambil alih tempat untuk memimpin dalam ritual memperingati roh si mati dengan doa dan juga amalan Kristian.

Pada malam perayaan, penghuni rumah panjang dan tetamu hanya dihidang dengan juadah dan minuman serta berhibur dengan hiburan kontemporari sehinggalah ke pagi keesokkannya. Kalau hendak diambil perbandingan, hanya segelintir kecil yang masih mengamalkan amalan sambutan Gawai Antu secara tradisi dan tidak dapat dipastikan sampai bila ia akan dapat dipertahankan. Bagi yang sudah berhijrah ke kawasan bandar, perayaan ini langsung tidak disambut dan hanya pergi menziarahi kuburan ahli keluarga bila tibanya Krismas untuk sedekahkan doa dan mengingati si mati. Kekangan budaya terhadap cara hidup mungkin menjadi punca masyarakat Iban moden mengambil pendekatan membuang amalan yang kompleks dan mengambil yang masih relevan dalam mengadakan festival Gawai Antu.

RUMUSANAdat, kebudayaan dan kepercayaan masyarakat Iban yang unik ini ialah warisan turun temurun yang berkaitan rapat dengan amalan hidup masyarakat Iban awal. Sehubungan dengan itu juga, ia juga turut berkait rapat dengan kepercayaan tradisional masyarakat Iban kerana beberapa adat dan kebudayaan yang mengandungi unsur-unsur ritual yang yang berkaitan rapat dengan kepercayaan. Malah adat, kebudayaan dan kepercayaan ini dilihat sebagai asas pembinaan ketamadunan Iban walaupun ia tidaklah menonjol namun tetap menarik perhatian untuk dikaji. Seperti dalam perayaan yang mempunyai unsur ritualnya sendiri, dalam upacaramiringyang merupakan persembahan kepada Tuhan Adat sehinggakan ke dalam upacarangayau, menyabung ayam dan juga tenunan yang mempunyai unsur-unsur ghaibnya yang tersendiri. Namun perubahan zaman secara tidak langsung telah menghakis amalan budaya tradisi masyarakat Iban kerana masyarakatnya perlu fleksibel dengan zaman. Namun yang demikian, ia masih tidak pupus malah kebudayaan Iban ini masih dikekalkan walaupun secara asasnya ia tidaklah setulen kebudayaan Iban yang lama. Seharusnya adat, kebudayaan dan kepercayaan adalah sesuatu yang sangat bernilai kerana ia adalah identiti dan juga sebagai warisan asal usul kewujudan satu-satu kaum ataupun bangsa. Tanpa budaya tradisi yang sejati, maka bangsa tersebut tidak akan tahu asal usul dan identiti mereka kelak.REFLEKSIEDU 3063 Budaya dan Pembelajaran merupakan kursus wajib yang perlu dilaksanakan oleh setiap mahasiswa guru yang berada pada Semester 5. Pada semester ini, setiap mahasiswa guru perlu melaksanakan kerja kursus projek (KKP) berasaskan kefahaman terhadap konsep dan kepelbagaian kelompok di Malaysia. Selain mengadakan pameran bagi etnik atau kaum yang dipilih, kami juga perlu melaksanakan satu rakaman video berkaitan budaya seperti tarian tradisional, perkahwinan, perayaan dan lain-lain bagi satu etnik atau kaum yang dipilih. Bagi melaksanakan keperluan kerja kursus ini, saya telah memilih video mengenai satu perayaan yang disambut oleh masyarakat saya sendiri iaitu kaum Iban. Perayaan yang saya pilih ialah sambutan Hari Gawai Antu. Rasional saya memilih perayaan tersebut adalah kerana pada cuti pertengahan semester yang lepas, saya telah berpeluang balik ke negeri asal saya iaitu Sarawak. Demi memenuhi keperluan tugasan ini, iaitu melaksanakan rakaman video berkaitan budaya, saya sanggup balik ke Sarawak kerana saya telah dimaklumkan oleh keluarga bahawa ada sebuah rumah panjang di kawasan kampung saya akan mengadakan sambutan Hari Gawai Antu. Saya berasa teruja untuk bersama-sama dalam merayakan sambutan Hari Gawai Antu sambutan Hari Gawai Antu memerlukan satu tempoh masa yang lama untuk diadakan dan untuk di sambut. Ia jarang sekali dilakukan dan kadang-kadang selang 25 tahun baru sambutan tersebut akan diadakan. Ia tidak boleh dibuat selalu kerana untuk mengadakan sambutan hari tersebut memerlukan belanja yang sangat besar. Hal ini kerana sambutan Gawai Antu memerlukan persiapan yang sangat rapi dan tidak boleh di ambil ringan oleh masyarakat Iban.Perasaan ingin tahu saya mengenai sambutan Hari Gawai Antu adalah amat membuak-buak kerana saya sendiri tidak pernah mengikuti perayaan ini sepanjang umur saya. Ini adalah pertama kali saya dapat merasai nikmat dan kemeriahan sambutan Hari Gawai Antu. Melalui tugasan ini, saya dapat mengkaji salah satu daripada adat dan budaya masyarakat kaum saya sendiri yang saya langsung tidak pernah ambil kisah mengenai kewujudan perayaan ini. Walhal perayaan seperti Hari Gawai Antu ini sudah hampir pupus dalam kalangan masyarakat Iban, namun rata-rata kebanyakkan anak muda pada masa kini sudah tidak ambil peduli mengenai adat dan budaya mereka sendiri. Pada pendapat saya, anak muda serta masyarakat Iban moden sekarang ini tidak boleh dipersalahkan seratus peratus kerana mereka seolah-olah kurang melaksanakan sambutan seperti Hari Gawai Antu mahupun perayaan-perayaan lain. Hal ini demikian kerana kebanyakan masyarakat pada masa kini telah memeluk agama Kristian dan Islam. Justeru perayaan yang melibatkan adat dan kepercayaan seperti ini adalah bertentangan dengan agama yang mereka anuti. Namun ada segelintir masyarakat Iban yang tinggal di pedalaman yang masih berpegang kepada adat dan kepercayaan lama serta masih mengamalkan perayaan-perayaan dan amalan ritual.Pada pendapat saya, sebagai anak muda yang juga kaum Iban sendiri adalah tidak salah untuk bersama-sama turut meraikan dan merasai sendiri kenikmatan sambutan perayaan yang diwarisi secara turun-temurun daripada nenek moyang kita dulu asalkan kita tidak terlepas daripada ajaran agama masing-masing. Namun untuk menyaksikan dan belajar budaya serta nilai murni yang terdapat dalam setiap perayaan adalah digalakkan bagi anak-anak muda pada zaman sekarang. Bagi masyarakat Iban, perayaan Gawai merupakan lambang ataupun identiti kaum itu sendiri. Sambutan Hari Gawai bukan sahaja sekadar untuk berhibur malah mempunyai maknanya sendiri.Melalui tugasan penghasilan video yang telah saya rakamkan, terlalu banyak pengalaman yang telah saya perolehi. Saya telah belajar dan mengetahui sesuatu yang baru yang tidak pernah saya rasai sebelum ini. Pelbagai peristiwa yang baru saya saksikan dan alat-alat untuk perayaan Hari Gawai Antu yang belum pernah saya lihat. Dengan penghasilan tugasan ini, saya telah mendapat banyak ilmu yang sangat berguna mengenai adat dan budaya kaum Iban. Saya berasa teruja untuk saling berkongsi video yang telah saya hasilkan bersama pensyarah dan rakan-rakan supaya mereka dapat mengetahui sesuatu yang baru mengenai adat dan budaya kaum Iban. Untuk proses penghasilan tugasan ini, saya telah membuat banyak rujukan secara lisan iaitu melalui sesi temu ramah bersama orang-orang tua di kampung saya. Mereka telah memberikan saya maklumat sebanyak mungkin yang diperlukan. Selain itu juga, saya telah membuat kajian melalui pemerhatian semasa saya merakamkan video mengenai perayaan tersebut. Terdapat banyak istilah yang saya baru pelajari yang selama ini saya tidak ambil tahu mengenai perkara tersebut. Melalui penghasilan tugasan ini juga, saya telah belajar mengenai penghasilan suatu video. Pada pendapat saya, bukan senang untuk menghasilkan suatu video yang boleh menarik minat orang lain untuk menontonnya. Dari proses merakam, mengedit dan seterusnya menambah unsur yang menarik adalah suatu proses yang mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Namun saya dapat mengaplikasikan ilmu Teknologi Maklumat dan Komunikasi melalui penghasilan video tersebut.Secara kesimpulannya, melalui penghasilan tugasan ini adalah wajar untuk dilaksanakan kepada setiap pelatih guru kerana mereka akan belajar sendiri mengenai keunikan etnik dan budaya setiap kaum. Setiap guru perlu memahami bahawa setiap bangsa atau etnik yang terdapat di Malaysia mempunyai budaya masing-masing yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi berikutnya.

.